Wednesday, May 21, 2008

Takdir di Celahan Mimpi (Bhg Akhir)


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Tatkala Pak Kasim baru hendak menjejak tangga. Terdengar suara orang memanggil.

“Oh..Rokiah. Ada apa? Cari Mak Piah ke? Dia tak ada. Bawa anaknya ke kampung Seberang.” Pak Kasim menjelaskan pada Rokiah, anak Pak Said. Dia kenal benar anak dara itu.

“Ni, ada kuih, bapak kirim pada pak cik.” Terang Rokiah.

“Naiklah, letak kat atas meja ya. Pak cik nak masuk rumah dulu.” Pak Kasim berlalu masuk ke dalam rumah. Tanpa disedari beberapa mata mengintai dari celahan semak.
“Assalamualaikum..” Pak Kasim bergegas ke hadapan rumah. Dia terkejut. Dilihatnya Rokiah duduk di atas kerusi. Tapi tubuhnya hanya berkain batik kemban! Pintu rumah tertutup.

“Assalamualaikum... Buka pintu ni!” Sejurus pintu terbuka. “Ini kerja kamu ya! Tak senonoh..harap je baik. Rupanya buat kerja terkutuk!” Pak Kasim panik dan terpinga-pinga. Rokiah tunduk.

“Kenapa ni?” Pak Kasim masih terkejut.

“Apa kenapa-kenapa? Selama ni kami orang kampung ingat kamu baik, alim. Tapi syaitan!” Leman bersuara. “Pak Said, halau je orang tua ni dari kampung kita. Entah apa dah dia buat dengan anak Pak Said tu.” Din menambah. “Betul..betul..halau dia..”

Pak Kasim ditolak kuat lalu jatuh ke tanah. Sebentar kemudian bertubi-tubi pukulan diterimanya. Pak Dolah menghayun kakinya tepat ke rusuk kiri. Busu menambah. Sikunya diterjah ke pipi kanan Pak Kasim, darah berhambur dari mulut Pak Kasim. Tergeletak seketika. Darah masih belum berhenti mengalir. Dua saat kemudian tubuh itu kaku.

‘Mayat seorang lelaki dijumpai di dalam Parit : Polis Adakan Siasatan’

Surat khabar hari itu digenggamnya. Busu tersenyum puas.


13 Rabiul Awal 1427 Hijrah, Rabu.

“Jalankan amanahmu kemudian tinggalkan kampung ini sebelum purnama menjelang.” Amanat terakhir sebelum Faiz meninggalkan pondok itu. Faiz gelisah. Rantai di genggamannya di belek-beleknya. Dia mesti menunaikan amanah orang tua itu. Rantai itu minta diserah kepada seorang yang bernama Nur Sufiah. Itu emaknya! Bagaimana orang tua itu kenal akan emaknya. Faiz bimbang jika pemergiannya ke rumah orang tua itu diketahui dan mencetus kemarahan emaknya. Lantas didiamkan perkara itu. Tiba masanya pasti dia akan memberitahu jua.

“Esok kita ke rumah Pak Usu ya..” Mak Sufiah mengingatkan anaknya.

“Baik mak.” Sahut Faiz.

Hari Khamis mereka bertolak ke Kampung Tengah. Sebuah beg besar dibawa sekali kerana mereka akan bermalam di sana beberapa hari. Maklumlah sudah lama tidak bertandang ke sana. Faiz menahan sebuah teksi, selepas menaikinya lalu teksi meluncur pergi.

16 Rabiul Awal 1427 Hijrah, Hari ini.

‘Tragedi Tanah Runtuh. Kampung Selamat Ranap tertimbus. 238 Orang Terkorban’ Tajuk muka hadapan akhbar Berita Harian ditangannya begitu mengejutkannya. Kampungnya ditimpa bencana tanah runtuh. Seluruh kampung musnah dan mengorbankan semua orang kampung. Kebanyakan mati tertimbus. Diberitakan bahawa tanah runtuh berlaku pada waktu tengah malam, ketika semua sedang nyenyak tidur.

“Innalillah wa inna ilaihi raajiuun..” Mak Sufiah terduduk mendengar khabar itu, seakan tidak percaya tragedi itu akan berlaku. Dia tidak menyangka takdir Allah menyebelahinya. Dilafaznya takziah di dalam hati.

Di sudut hujung rumah Faiz bersendirian. ‘Bagaimana dengan orang tua yang ditemuinya dahulu. Hidupkah atau matikah bersama-sama orang kampung? Yang paling penting..siapakah dia itu....?’ Faiz termenung panjang.

No comments: