Thursday, May 26, 2011

Kembalilah Kasih


Kembalilah Kasih

Kita melihat dunia ini
Penuh dengan peperangan dan perselisihan faham
Mereka gila harta dan kuasa
Dengki, dendam, cemburu buta, benci-membenci dan curiga

Kembalilah kasih
Kasih sayang sesama kita
Sama bergandingan tempuhi segala

Kembalilah kasih
Kasih sayang membawa bahagia
Kita kan bersatu untuk selamanya

Ke mana pergi kasih dan sayang
Sifat mazmumah mengongkong diri
Kasih sayang dilupakan
Bila kasih bersatu
Harum semerbak di padang cinta yang tak bertepi
Kita adalah kembara
Menuju Ilahi..

Nada Murni

Tuesday, May 24, 2011

India dan China perlu belajar dari Islam tentang wanita

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

ULASAN BUKU: Walaupun saya kira saya agak terlambat untuk mengulas buku bertajuk 'Wanita dalam masyarakat Islam' karya Profesor Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang sudah agak lama diterbitkan, saya kira isunya masih relevan untuk diceritakan di sini.

Tajuk wanita itu dipetik daripada buku besar karya beliau 'Malamih al-Mujtama' al-Muslim Allazhi Nanshuduhu' yang berkisar bagaimana pandangan Islam terhadap sebuah masyarakat Islam yang dinginkan.

Pencerahan buat wanita

Sangat baik bagi para wanita untuk mengetahui dan memahami di dalam buku ini bagaimana mereka berfungsi sebagai diri sendiri, sebagai anak, isteri, pendidik, dan lebih luas lagi sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat.

Sesungguhnya tanggapan bahawa golongan wanita didiskriminasi haknya oleh Islam dihurai dengan panjang lebar dan realistik oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi.

Suatu ketika dahulu, para liberalis yang berselindung dibawah suara feminisme (kesamaan gender) serta mendakwa hak wanita dinafikan sebenarnya mereka ini membuat dakwaan bukan dengan hujah, bahkan emosi semata-mata.

Bahkan andai mereka ini meneliti dan menyoroti pandangan Islam secara sejarah, perlaksanaan hukum dan hikmah disebaliknya, mereka akan mendapati bahawa Islam itu sebenarnya sangat menghargai dan mengangkat martabat wanita.

Harta perwarisan

Misalnya adalah dalam hukum pembahagian harta. Ditetapkan oleh Islam bahawa anak-anak yang kematian ayahnya memilki dua pertiga (2/3) daripada harta waris bagi lelaki manakala satu pertiga (1/3) bagi perempuannya.

Golongan feminisme tidak berpuas hati dengan pembahagian ini, bahkan ada yang menganggap ia tidak adil sedangkan yang paling banyak berkorban memelihara anak-anak adalah kaum wanita.

Dr Yusuf al-Qaradhawi menjawab dengan membuat analogi mudah. Katanya: "Jika seorang ayah meninggalkan untuk kedua anaknya seratus lima puluh ribu ringgit (150,000) umpamanya, makan anak lelakinya akan mendapat seratus ribu (100,000) daripada hartanya, sedangkan anak perempuan mendapat lima puluh ribu (50,000)."

"Maka apabila anak lelakinya itu ingin berkahwin, ia harus memberi mas kahwin dan hadiah lainnya yang diumpamakan lebih kurang dua puluh lima ribu (25,000), maka wangnya tinggal tujuh puluh lima
ribu (75,000)."

"Sementara itu, jika saudara perempuannya (adik beradik perempuan) berkahwin, ia akan menerima mas kahwin dan hadiah yang kita umpamakan seperti yang diberikan saudara lelakinya kepada isterinya. Di sini wangnya bertambah menjadi tujuh puluh lima ribu (75,000) iaitu (50,000) tambah mas kahwin (25,000). Jumlah menjadi sama banyak!"

Pengabaian negara India dan Cina kepada wanita

Disebalik itu, jika kita melihat bagaimana yang berlaku kepada masyarakat di negara India. Dalam satu kajian yang dilakukan, di dalam masyarakat India mereka sangat takut apabila mendapat anak perempuan.

Ini kerana bagi mereka kelahiran anak perempuan menyusahkan dan tidak boleh diharap apabila dewasa kelak. Perkara ini berlaku sehinggakan rata-rata masyarakat India akan melakukan imbasan untuk mengetahui sama ada anak yang bakal dilahirkan lelaki atau perempuan.

Ia disebut sebagai diskriminasi jantina. Belanja perkahwinan juga mahal di sana. Tetapi yang peliknya, mas kahwin yang disebut sebagai dowri perlu disediakan oleh pihak wanita, untuk dijadikan hantaran kepada suami. Kadang-kala, oleh kerana jumlah yang terlalu mahal, mereka terpaksa berhutang. Kajian ini telah dilakukan kepada masyarakat Punjab dan Harayana.

Begitu juga apa yang berlaku kepada negara China. Kajian yang telah dilakukan oleh Fakta Dunia Agensi Perisikan Antarabangsa, masyaraka China (tidak secara majoriti), penduduknya lebih mementingkan anak lelaki, sehingga terpaksa mengguggurkan kandungan jika mengandung anak perempuan.

Islam

Lihat betapa realistiknya Islam apabila menangani isu-isu kewanitaan. Seharusnya, golongan yang paling hadapan mempertahankan Islam adalah wanita. Ini kerana jasa-jasa Islam menaikkan martabat dan imej wanita. Daripada satu golongan yang dianggap hina sebagai pemuas nafsu, alat dan menyusahkan, kepada satu martabat digelar pendidik generasi, pemelihara keluarga dan salah satu elemen penting di dalam masyarakat.

Friday, May 20, 2011

Mahasiswa perlu konsensus baru menjelang PRU-13


oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

Pandangan: Kebelakangan ini, setelah berlalu beberapa pilihan raya kampus di universiti-universiti, ramai pihak mula menganalisis berkenaan corak pergerakan mahasiswa di kampus. Apakah mahasiswa hari ini mula kembali lesu, atau sebahagian yang lain menanti-nanti bagaimana corak dan perjuangan mahasiswa seterusnya.

Bagi pandangan rakyat terkini - yang didogmakan dengan media massa - melihat pergerakan mahasiswa di kampus terlalu agresif. Agresif dalam erti kata menunjukkan penentangan dan perlawanan dalam isu-isu hak mahasiswa. Misalnya insiden rempuhan kumpulan Pro-Mahasiswa di UPM kerana tidak berpuas hati pembatalan calon mereka.

Walaupun begitu, tidak dinafikan, memang itu gaya gerakan mahasiswa.

Rentetan daripada itu, pihak tertentu semakin banyak memperkatakan soal kematangan mahasiswa di dalam berpolitik. Ada yang berhujah, mereka matang sekiranya diberi tempat dan ruang, tidak kurang yang sebaliknya, oleh sebab itu mahasiswa perlu disekat - dek ketidak matangannya.

Persoalan matang atau tidak, perlu dilihat dalam konteks mahasiswa. Sesetengah ahli politik hari ini juga boleh ditafsirkan sebagai berpolitik secara tidak matang seperti UMNO yang menggunakan video seks untuk menjatuhkan lawan politiknya. Ini bukan sahaja tidak matang, bahkan terlalu kotor dan jijik.

Sejarah

Elok kita meneliti sejarah bagaimana mahasiswa era 60-an memiliki 'suara' yang begitu kuat dan lantang dalam mengimbangi kerajaan persekutuan ketika itu. Sejarah yang melatari Malaysia pada ketika itu adalah permulaan pasca-merdeka yang mana kerajaan masih 'bertatih' merangka dasar dan polisi kerajaan untuk dilaksanakan kepada rakyat.

Ketika itu, hanya dua kelompok sahaja yang dinilai oleh rakyat dan masyarakat sebagai golongan intelek iaitu kerajaan dan mahasiswa. Kerajaan adalah kerana mereka memegang polisi, manakala mahasiswa adalah golongan terpelajar universiti yang di dalamnya mereka belajar berkenaan polisi dan dasar tersebut.

Lebih daripada itu, ruang yang terbuka yang disediakan oleh universiti untuk mahasiswa ini bersuara, mengaktifkan dan mencambahkan lagi idealisme dan semangat perjuangan mereka. Mereka 'belajar dan seterusnya mencabar pengajaran mereka', seperti kata Profesor Ungku Aziz, intelektual terkemuka.

Tidak hairanlah selepas peristiwa 13 Mei 1969, berlaku gerakan mahasiswa memprotes dasar Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada ketika itu berkenaan pendirian terhadap soal-soal perkauman, jurang ekonomi serta kemiskinan luar bandar. Protes itu dinamakan Demonstrasi Anti-tunku 1969.

Peristiwa lain, bagaimana mahasiswa juga mendesak penyelesaian terhadap kemiskinan yang melanda masyarakat Baling pada tahun 1974 yang mengheret ribuan mahasiswa dan rakyat ke kawasan Baling.

Kini

Kini isu-isu mahasiswa tidak lebih hanya berlegar di sekitar isu hak dan keperluan mahasiswa, misalnya pemansuhan AUKU, autonomi universiti serta demokrasi dan ketelusan pilihan raya kampus. Mahasiswa lantang di kampusnya, namun hanya sedikit tenggelam apabila 'dilempar' ke luar universiti.

Sedar atau tidak sebenarnya, pada hari ini ruang untuk suara-suara didengari semakin terbuka dan luas. Bahkan semakin ramai intelektual semakin berani bersuara. Jika dahulu hanya dua golongan - mahasiswa dan kerajaan - dilihat sebagai intelektual dan mampu bersuara, pada hari ini tidak lagi.

Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak sendiri mengisytiharkan " Zaman kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir". Apa maksudnya? Kerajaan bersedia mendengar pandangan semua pihak - walaupun kenyataan bermotif politik.

Kemunculan NGO-NGO baru dengan perjuangan masing-masing, serta NGO yang sedia ada yang semakin agresif dan terbuka menyatakan pandangan serta dirancakkan lagi dengan kemunculan media-media baru dan lama yang memberikan ruang luas kepada kumpulan-kumpulan ini memberi kesan bahawa - semua suara boleh dan berhak didengari.

Di mana mahasiswa ketika ini?

Konsensus baru

Tidak dapat tidak, satu konsensus baru perlu difikirkan dan dilaksanakan oleh mahasiswa. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang. Prinsip mahasiswa sebagai third force (kuasa ketiga) masih lagi releven jika diberi semangat dan nafas baru.

Setidak-tidaknya mahasiswa punyai dua pilihan selaku anak muda dan golongan terpelajar.

Pertamanya, mereka boleh mencontohi Mesir, menumbangkan kerajaan yang zalim dan menindas rakyat dengan proses Revolusi. Pendokongnya adalah anak muda - golongan yang tidak punyai apa kepentingan - dalam politik mahupun kuasa.

Keduanya dengan menyatakan keberanian menyertai pilihan raya umum akan datang. Mahasiswa perlu hadir sebagai kuasa ketiga - tidak punyai kepentingan politik - disamping bersih dan berwibawa. Mahasiswa hanya perlu perjuangkan isu mahasiswa dan anak muda seperti PTPTN, peluang pekerjaan dan sebagainya. Sokongannya pasti daripada anak muda dan majoriti mahasiswa di universiti.

Menyertai pilihan raya dengan berhasrat membawa suara mahasiswa dan anak muda ke dalam Parlimen. dalam erti kata lain, mahasiswa menghantar wakil ke Parlimen. Permulaannya, seluruh gerakan mahasiswa harus bersatu dengan matlamat menumbangkan politik kotor dan mengangkat politik nilai dan rakyat.

Wednesday, May 18, 2011

Bersedia ke Putrajaya tanpa Anwar


oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

ANALISIS : Keputusan tuduhan Kes Liwat II kepada Dato Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mei 2011 telah menyaksikan beliau diperintah oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah agar membuat pembelaan.

Membuat pembelaan di dalam mahkamah bermaksud, saksi serta bukti yang dibawa oleh pihak pendakwaraya dinilai dari sisi dan pertimbangan Hakim sebagai berjaya membuktikan perkara tersebut (liwat) berlaku.

Walaubagaimanapun, Dato Seri Anwar berpeluang membuat pembelaan yang bakal memperlihatkan sama ada saksi-saksi serta bukti pendakwa raya berjaya 'dipatahkan' atau pun tidak.

Pasukan peguam bela Karpal Singh nampaknya berpeluang besar untuk berhujah. Jika diteliti sorotan dakwaan serta tampilan saksi serta bukti, banyak yang boleh diragukan. Misalnya bukti kehadiran Saiful Bukhari Azlan ke kondominium masih lagi terlalu samar.

Pun begitu, keputusan akhirnya bakal ditentukan oleh Hakim. Dan seperti yang kita sedia maklum, institusi kehakiman hari ini sudah banyak dicemari dengan campur tangan politik parti pemerintah.

Dengan keputusan tersebut, setidak-tidaknya sesuatu perlu dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

Apa yang boleh dibuat pertimbangan dan jangkaan adalah, bagaimanapun perbicaraan serta keputusan, Dato Seri Anwar - sebagai pengerusi Pakatan Rakyat - akan ke penjara.

Sejarah telah membuktikan, pada tahun 1998, beliau telah dituduh dan dipenjarakan atas dakwaan meliwat bekas pemandu isterinya. Walaupun beberapa tahun selepas dipenjara, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa tuduhan ke atas beliau adalah silap.

Pada 2008, beliau sekali lagi dituduh meliwat pembantu peribadinya. Seterusnya - tuduhan yang bakal menunggu - adalah melakukan seks melalui video seks yang ditayangkan trio Datuk T.

Siapa 'stateman' selepas Anwar?

Persoalannya, jika Dato Seri Anwar Ibrahim ke penjara, siapakah yang akan menggantikan beliau memimpin Pakatan Rakyat?

Memimpin Pakatan Rakyat akan datang boleh ditafsirkan sebagai siapa yang bakal mengetuai PR menghadapi pilihan raya umum ke-13. Dan yang lebih penting adalah siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri seandainya PR ditakdirkan menguasai Putrajaya?

Jika dinilai secara umum, barisan pemimpin yang boleh diposisikan sebagai 'stateman' atau negarawan di dalam Pakatan Rakyat hanyalah Anwar seorang. Hujahnya, beliau pernah menjadi orang nombr dua kerajaan Malaysia, dan semestinya pernah melibatkan diri dalam arena nasional dan antarabangsa. Beliau juga pernah menjadi menteri Kewangan, iaitu tugas menguruskan kewangan dan ekonomi negara.

Walaupun kita boleh berkata, pemimpin perlu diberi peluang. Namun, kita melihat realiti bagi menduduki jawatan tersebut.

Apa yang pasti DAP tidak berpeluang untuk menempatkan pemimpinnya sebagai orang nombor satu Pakatan Rakyat. Ini kerana - berasaskan realiti - Malaysia dan PR, DAP adalah parti paling minoriti suaranya. Yang boleh dilihat, bagaimana PAS dan PKR pula.

PAS

Tidak dinafikan, PAS punyai beberapa pemimpin yang berkaliber dan berpotensi memiliki ciri-ciri kepimpinan negarawan, walaupun secara pengalamannya masih belum terbukti. Misalnya Datuk Husam Musa, yang pernah menjadi ahli parlimen serta menjawat exco perancang ekonomi negeri Kelantan. Sekurang-kurangnya beliau berjaya membawa kemajuan ekonomi kepada Kelantan walaupun sumber kewangan terhad kerana dinafikan wang royalti Petroleum.

Dato Seri Nizar Jamaluddin, AJK PAS Pusat juga berpotensi. Dengan pengalaman beliau memimpin Perak - sebagai Menteri besar walau beberapa bulan - telah berjaya meningkatkan sokongan rakyat bukan Islam di negeri dan peringkat persekutuan.

Presiden (Dato Seri TG Hj Hadi) dan Mursyidul Am (Datuk Nik Abdul Aziz) juga punyai pengalaman dan autoriti, namun faktor usia sedikit sebanyak menghalang gerakan itu menjadi lebih agresif di Putrajaya kelak.

PKR

Dari sudut PKR pula, Setiausaha Agungnya Saifudin Nasution lebih berpotensi mendepani dari aspek politik. Begitu juga di dalam Dewan Rakyat - sebagai MP Machang - beliau juga berjaya menganalisa dengan tepat dan membangkitkan isu-isu ekonomi dan urus tadbir kewangan negara.

Begitu juga isteri Dato Seri Anwar, Datin Seri Wan Azizah. Dengan sedikit pengalaman sebagai isteri Anwar. Namun, sejauh mana beliau boleh ke hadapan, adakah faktor gender (wanita) mungkin menjadi halangan terbesar?

Mungkin juga Menteri Besar Selangor hari ini Tan Sri Khalid Ibrahim, boleh ditonjolkan ke hadapan berasaskan pengalaman memimpin Selangor. Namun, beliau dilihat agak 'lemah' menangani isu-isu yang berkait politik di Selangor.

DAP

Dari kalangan pemimpin DAP, ada yang memiliki kredibiliti. Misalnya setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. Pengalaman mentadbir Pulau Pinang boleh menjadi modal dan kredit besar. Disamping pakar ekonominya Tony Pua dan yang lainnya.

Namun, seperti yang disebutkan, secara realiti agak sukar pemimpin parti ini menduduki tempat nombor satu. Walaupun boleh, namun kecaman pasti akan berlaku dari kalangan parti lawan.

Apa peluang?

Justeru itu, PR perlu memikirkan solusi dengan segera. Misalnya dengan segera menamakan pengganti Anwar agar pemimpin dan penyokong akan bersedia dengan matlamat bergerak ke Putrajaya.

Isu Kerajaan Perpaduan (PAS), isu sama ada benar atau tidak Anwar adalah pelaku video seks dan isu kes perbicaraan liwat II, tidak boleh menjadi 'kemuncup' yang menggoyahkan pakatan Rakyat. Hasrat memikirkan semula kedudukan di dalam Pakatan Rakyat oleh mana-mana parti komponen seharusnya tidak timbul langsung.

Bagi PAS, medan muktamar pada bulan Jun ini sebagai persediaan membentuk 'kabinet' Putrajaya, iaitu dengan menampilkan pemimpin yang berkaliber dan sesuai ditempatkan di sana serta menghadapi PRU-13.

Rakyat sudah yakin dengan PR. Isunya banyak untuk ditimbulkan. Banyak juga perkara yang boleh menjadi asbab kerajaan BN hari ini jatuh. Namun persoalannya adakah PR bersedia ke Putrajaya?

Wednesday, May 11, 2011

Hospital Islam tanggungjawab 'Daulah Islamiyah' para doktor

Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) adalah salah satu hospital yang ada menerapkan ciri keislaman. Persoalannya sebanyak mana?

oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

Ada sesuatu yang saya terfikir apabila bersama-sama para doktor di dalam program semalam.

Mereka adalah bakal doktor-doktor Islam yang akan ditempatkan di hospital-hospital. Saya teruja apabila mendengar hasrat mereka suatu hari nanti akan tertubuhnya sebuah hospital Islam. Hospital di mana keseluruhannya menjalankan pentadbiran dan nilai-nilai Islam sepenuhnya.

Apabila saya merujuk kembali tulisan Dr Yusuf al-Qaradhawi, di dalam buku Fiqh al-Aulawiyyat, beliau telah menyebutkan berkenaan kepentingan ini.

Hari ini masyarakat ingin melihat bagaimana Islam meletakkan nilainya di dalam bidang perubatan. Orang bertanya di mana Islamnya pada aspek perubatan. Apakah perubatan Islam itu adalah semata-mata kaedah perawatan Islam seperti yang dilakukan Darussyifa dan sebagainya?

Keperluan mendesak

Sebenarnya jika kita renung, keperluan kepada para doktor dan pengamal perubatan berfikrah Islam begitu mendesak hari ini.

Buktinya, hari ini masih lagi banyak doktor lelaki yang menjadi penyambut bayi yang baru lahir di hospital (doktor bersalin). Lebih malang doktor lelaki bukan Islam. Begitu juga dalam aspek pembedahan. Lebih nyata kita melihat ramai para jururawat yang tatacara pemakaiannya tidak melambangkan Islam walau dia beragama Islam.

Ya, kita melihat mungkin mustahil untuk pergi sejauh itu. Bolehkah jururawat itu berpakaian bercirikan Islam? Longgar? Bertudung?

Adakah kita selesa dirawat oleh jururawat seperti ini?

Berapa ramai doktor hari ini yang mampu berjaya menerapkan aqidah yang benar kepada pesakitnya yakni meletakkan seluruh pergantungan kepada Allah tatkala pesakit berhadapan dengan situasi-situasi genting seperti tiada harapan sembuh.

Bagaimana seorang doktor itu memahami fiqh (faham Islam) yang sebenar di dalam amalan perubatannya tatkala berhadapan dengan kewajipan solat ketika sedang pembedahan? Atau ketika mana satu-satu ubat itu memiliki campuran bahan yang tidak halal yang akan diberi makan kepada pesakitnya?

Semua ini memerlukan doktor mahupun jururawat yang benar kefahaman Islamnya.

Wujudkan Daulah Islamiyah di Hospital

Jika kita kembali kepada prinsip asas dalam gerakan Islam, kita mahu mewujudkan kembali daulah Islamiyyah (negara yang bercirikan Islam) di dalam negara. Bermula individu seterusnya berakhir kepada pemerintahan.

Oleh itu, para doktor yang ditarbiyyah ini, saya kira bertanggungjawab membina Daulah Islamiyyah mereka di hospital, dengan mewujudkan tatacara dan urustadbir perubatan yang bercirikan nilai Islam sebenar. Mereka harus mentadbir perubatan itu sebagaimana mentadbir negara dengan Islam.

Inilah keutamaan para doktor kita yang berfikrah. Malah pada hari ini lebih-lebih lagi keperluannya kepada Islam.

Peringkat awal, perlunya memperbanyakkan kaderisasi para doktor yang berfikrah sebelum melakukan proses 'Islamisasi' keatas hospital dan perubatan. Sekurang-kurangnya kita berharap perlu memiliki pentadbir dan menteri perubatan yang pakar dalam bidangnya dan berfikrah Islam.

Monday, May 9, 2011

Aku dan Ikhwan: Sesuatu yang perlu dipelajari oleh gerakan


oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

Saya baru menamatkan pembacaan buku bertajuk Aku dan Al-Ikhwan Al-Muslimun karya Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Tajuk asalnya adalah Muzakkirat al-Qaradhawi. Buku ini ialah sebuah catatan pengalaman dan perjalanan Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi selama menyertai gerakan Ikhwan Muslimin.

Sepanjang membaca karya Dr Yusuf Al-Qaradhawi, inilah penulisannya yang saya cukup kagum. Ia seumpama kisah motivasi luar biasa dan menambahkan keinginan saya untuk bertemu dengannya suatu hari nanti.

Cerita Ikhwan

Ia adalah sebuah gambaran kehidupan dan perjalanan beliau sendiri dan gerakan Ikhwan. Kita akan dapat mengenali Ikhwan dengan pengkisahan beliau. Bukan sekadar batang tubuh Ikhwan, bahkan anggotanya, perjuangannya dan tribulasi yang melandai mereka.

Sebagaimana kita mengetahui ketokohan beliau, Dr Yusuf Al-Qaradhawi adalah seorang daripada ribuan anggota yang mendapat tarbiyah Ikhwan Muslimin. Apabila anda melihat dan membaca karya-karya beliau, kita akan mengetahui bagaimana pemikirannya.

Maka pemikirannya itu diasuh dan dididik di dalam medan tarbiyah Ikhwan.

Tarbiyah

Cukup agung bagaimana kita boleh melihat Ikhwan Muslimin mempunyai keanggotaan yang sangat berkualiti. Tarbiyyah dan pengisiannya diguna-pakai sehingga kini di kebanyakan gerakan Islam di Malaysia.

Ikhwan Muslimin tidak melahirkan ahli parti atau organisasi gerakan. Bahkan lebih daripada itu. Dr Yusuf al-Qaradhawi menyifatkan Imam Hassan al-Banna tidak melahirkan generasi atau pemimpin jemaah dan gerakan.

Jika demikian, maka pemimpin yang mati dan terbunuh akan diganti. Namun, kematian Imam Hassan al-Banna tidak dapat diganti. Ini kerana beliau telah berjaya membina hubungan yang sangat rapat di dalam Ikhwan seumpama seorang guru dengan muridnya, seperti seorang syeikh dengan anak buahnya. Begitu juga hubungan seperti ayah dengan anaknya di dalam hubungan emosi.

Kematiannya juga melahirkan generasi. Di Amerika Syarikat, disebalik kegembiraan Yahudi dan sekutu terhadap gugurnya Imam Al-Banna, telah membangkitkan sasterawan Syed Qutb bagi menyambung perjuangan Ikhwan.

Walaupun Dr Yusuf al-Qaradhawi begitu sedikit bertemu dengan Hassan al-Banna hanya di Kfar Musailiha, Kfar Ziyat dan Dasuq. Itupun hanya mendengar syarahan dan ucapan beliau.

Namun, beliau (al-Qardhawi) telah melalui tarbiyah secara praktikal dan realiti melalui penahanannya apabila berlaku pembunuhan Nuqrasyi, Perdana Menteri Mesir pada ketika itu. Tatkala itu seluruh pemimpin dan anggota Ikhwan ditangkap dan disumbat di penjara.

Ahli-ahli Ikhwan

Satu kisah yang sangat menarik yang perlu diceritakan di sini, adalah bagaimana ketika Dr Yusuf al-Qaradhawi dipenjarakan bersama anggota Ikhwan lain, mereka telah mengubah penjara daripada sebuah kediaman yang kosong dan sepi kepada sebuah masjid!

Bersama-sama beliau adalah ulama terkemuka, Sheikh Sayyid Sabiq, Sheikh Muhammad al-Ghazali, Ustaz Abdul Badi Saqr. Beliau juga sepenjara bersama Mehdi Akif, Mursyid Ikhwan terkini.

Penjara tersebut berubah menjadi pusat kegiatan anggota Ikhwan. Halaqah ilmu diadakan yang mana Sheikh Muhammad al-Ghazali telah mengajar Sirah Nabawiyah, manakala halaqah fiqh dianjurkan oleh Sheikh Sayyid Sabiq. Anggota Ikhwan telah menyuburkan tanah-tanah yang kering gersang dengan tarbiyah daripada Ikhwan.

Politik dan kenegaraan

Di dalam buku ini juga diceritakan secara terperinci bagaimana Ikhwan berhadapan dengan trubulasi dan cubaan yang begitu dahsyat.

Selepas berlaku pembunuhan Perdana Menteri Mesir, undang-undang darurat dikenakan kepada rakyat. Ikhwan Muslimin telah diisytiharkan sebagari 'haram' dan segala anggotanya dicari atas alasan bertanggungjawab ke atas pembunuhan Nuqrasyi.

Walaupun Imam Hassan al-Banna selepas itu mengeluarkan kenyataan penafikan pembabitan anggota Ikhwan dalam pembunuhan tersebut, namun tidak diendahkan. Kemuncak kepada tekanan itu, Imam Hassan al-Banna dibunuh.

Oleh hal yang demikian, saya berpendapat gambaran gerakan Ikhwan hari ini adalah kesan daripada perjalanan yang begitu jauh yang mereka lalui. Pembunuhan demi pembunuhan pemimpinnya serta dipenjarakan menjadikan gerak langkah Ikhwan terpaksa disembunyikan demi mencapai kebaikan yang lebih besar iaitu meluaskan tarbiyah.

Sehinggalah kepada revolusi yang berlaku baru-baru ini, barulah Ikhwan Muslimin dilihat bangkit menyuarakan perjuangan dengan melibatkan diri di dalam pilihan raya melalui platform parti al-'Adalah wa al-Huriyyah (Parti Keadilan dan Pembebasan).

Sunday, May 1, 2011

Disebalik kesusahan dan Pesta Buku Antarabangsa

Bersama Faris di Pesta Buku, sahabat lama dengan buku yang dibeli. Beliau juga peminat saya dan saya mengagumi ketabahannya.


oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

Hidup ini jika kita selalu merenung, kita akan mendapati banyak perkara tersirat.

Sebab itu, banyak ayat Al-Quran menyarankan agar kita selalu berfikir dan mencari hikmah disebalik kewajipan, larangan, teguran. Malah disebalik musibah, tentunya banyak hikmah untuk difikirkan.

Orang yang selalu dilanda musibah dan berfikir, dia akan mencapai tangga yang disebut hakikat. Yakni hakikat kehidupan.

Apabila dia merenung di setiap penjuru sudut kesusahannya, dan dia menyandarkan kembali kepada Allah, pencipta dirinya, maka dia pasti merasai kemanisan.

Dia merasai kemanisan hikmah disebalik ujian kepada dirinya.

Selalunya orang berfikir sebegitu, dia akan menjadi matang. Dia akan cuba survive dalam hidupnya, dan kesusahannya itu menguatkan diri, jiwa dan kadang kala memberi motivasi kepada manusia sekeliling.

Tulisan dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Alhamdulillah
, penulisan saya akhirnya diterbitkan oleh PTS. Sungguh menggembirakan kerana sempat buku ini menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, meski berbaki hanya dua hari.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menghantar mesej tahniah. Seperti Shazni, Shafie, Rusydi, Faris, Shahida, Azlinah, Hashima, Khairunnisa, Fahmi dan Fadzil. Mohon maaf jika tidak sempat berbalas.

Apa pun, terima kasih atas sokongan.

Tulisan ini hanya salah satu sumbangan kecil saya kepada masyarakat. Ya, saya terfikir, apakah kekuatan dan sumbangan yang perlu saya berikan kepada masyarakat setelah saya bergraduasi.

Amat malang dalam kondisi yang sedikit terbatas, saya tidak melakukan apa-apa untuk berjasa kepada masyarakat. Justeru saya menulis.

Menulis adalah proses saya menyampaikan idea dan pemikiran saya kepada masyarakat. Supaya pemikiran saya dapat diserap kepada masyarakat dan mereka menerimanya.

Ia juga boleh memperbaiki pemikiran masyarakat yang tidak betul.

Bagaimanapun, setiap orang mesti menulis tidak kira dalam lapangan apa dia berada. Anda perlu menyampaikan pemikiran anda kepada masyarakat.

Penulisan anda juga dapat menangani pemikiran-pemikiran kotor yang banyak timbul kebelakangan ini. Kekotoran politik misalnya, perlu dihapuskan dengan menulis agar masyarakat tidak terpengaruh dengannya.

Jika kita banyak berfikir, maka kita akan banyak menemui cerita dan kisah yang sangat bermakna. Dan kisah itu perlu dihidupkan dengan sebuah penulisan.

Pesta Buku Antarabangsa
PWTC
30 April 2011 (Sabtu)