Saturday, January 30, 2010

PRK UM 2010 : Satu sejarah baru gerakan mahasiswa UM (1)

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Pilihan raya kampus Universiti Malaya yang berlaku baru-baru ini telah membentangkan satu jalan rentas baru buat seluruh mahasiswa Malaysia.

Bermula dengan ketetapan kerajaan untuk melaksanakan sistem e-undi di dalam pilihan raya kampus seluruh universiti, dan ia turut berlaku di kampus Universiti Malaya. Namun, ia terus mendapat tentangan demi tentangan dengan kebimbangan berlakunya penipuan dan penyelewengan terhadap sistem yang tidak terjamin keselamatannya.

Sekatan demi sekatan serta peraturan yang tidak masuk akal mula dibuat diperingkat Hal Ehwal Pelajar yang menjadi jawatankuasa pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa, dek kerana kebimbangan gelombang besar mahasiswa yang menuntut perubahan.

Tempoh berkempen yang selalunya selama seminggu, dipendekkan kepada dua hari. Satu peraturan yang tidak logik. Cuba bayangkan satu hari setengah sahaja adalah tempoh untuk menyelesaikan kelulusan poster dan banner kempen. Sudahnya, banyak mana lagi waktu untuk berkempen?

Penyelewengan dalam sistem e-undi

Menjelang hari pengundian, bantahan terhadap sistem e-undi di dalam pilihan raya terus diteruskan. Kehadiran Dato' Saifuddin Abdullah merasmikan speaker corner di UM terus diasak mahasiswa apabila memorandum dihantar sebagai desakan tuntutan mansuhkan sistem e-undi.

Hari pengundian

Sekitar awal pagi hari pengundian, laporan diterima bahawa wujudnya kebimbangan keselamatan dan kerahsiaan pengundian di kolej kediaman kelapan (Kinabalu), apabila paparan komputer untuk mengundi dapat dilihat daripada luar. Di situ juga seramai dua mahasiswa penghuni kolej berkenaan gagal mengundi apabila nama mereka tidak tersenarai di dalam daftar pemilih kolej tersebut.

Keraguan dan kebimbangan terus berlaku. Ketika jam 4.05 petang, laporan diterima berlakunya server down di enam buah komputer di kolej kediaman kedua belas (Raja Dr Nazrin Shah). Hampir 30 pelajar terhalang daripada mengundi. Hampir setengah jam tergendala, sistem diambil-alih oleh seorang pegawai kolej berkenaan yang tidak berautoriti dalam sistem.

Jam 5 petang, satu lagi laporan diterima juga berlaku server down kepada komputer-komputer untuk mengundi di pusat mengundi kolej kediaman keempat dan sekali lagi berlaku di pusat mengundi di fakulti ekonomi dan pentadbiran (FEP). Ia turut mengalami masalah yang sama.

Menjelang pengumuman keputusan

Sekitar jam 6.30 petang, mahasiswa mula berkumpul di hadapan Dewan Tunku Canselor (DTC) bagi menunggu keputusan pilihan raya yang dijangka akan diumumkan oleh Naib Canselor Datuk Ghauth Jasmon.

Jam 7 petang, Naib Canselor mengumumkan keputusan tidak rasmi. 21 kerusi dimenangi kumpulan Penggerak Mahasiswa manakala 17 dari Pro-Mahasiswa serta 3 kerusi dimenangi oleh bebas.

Keputusan yang diragui

Meneliti keputusan pilihan raya tersebut, mula wujud keraguan dikalangan mahasiswa. Sebagai contoh seperti di fakulti pendidikan, beza undi hanya 3 undian sahaja. Ditambah lagi dengan laporan-laporan yang diterima ketika pengundian yang dijalankan sedari pagi tadi.

Dengan keraguan tersebut, kumpulan Pro-Mahasiswa membuat bantahan terhadap keputusan tersebut. Bahawa wujudnya penipuan dan penyelewengan yang jelas di dalam sistem e-undi di dalam pilihan raya kali ini.

Keraguan dapat dihidu, apabila jawatankuasa bantahan yang diketuai oleh Dato' Azarae, Timbalan Naib Canselor HEP bertindak cuba menolak keseluruhan bantahan-bantahan daripada Pro-Mahasiswa. Justeru itu, keputusan diambil bahawa perlunya bertemu dengan Naib Canselor pada malan itu dengan kadar segera bagi menjelaskan status perjalanan pilihan raya yang kelihatan didominasi oleh HEP.

Lalu perarakan penyokong-penyokong mahasiswa mula beralih daripada dataran Dewan Tunku Canselor (DTC) ke pejabat Naib Canselor di Canseleri. Desakan perlu dibuat agar Naib Canselor turut campur tangan dalam pilihan raya ini dan TNC HEP perlu bertanggungjawab ke atas penyelewengan yang telah berlaku.

(Bersambung)

Akan datang : Mahasiswa Tawan Canseleri

Monday, January 18, 2010

Kerelevenan e-undi dalam pilihan raya

Dalam menuju ke era teknologi maklumat dan informasi (ICT), Malaysia juga tidak ketinggalan dalam melaksanakan pelbagai aplikasi elektronik yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat melalui aplikasi perdana e-kerajaan menerusi projek Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia).

Pelancaran e-kerajaan sememangnya mampu meningkatkan lagi mutu pentadbiran di dalam kerajaan serta kaedah menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Aplikasi e-kerajaan juga bertujuan meningkatkan mutu dan interaksi kerajaan dengan rakyat serta pihak swasta.

Pelbagai kemudahan disediakan oleh e-kerajaan termasuk pembayaran bil kemudahan asas, semakan saman trafik, penghantaran tender kerajaan dan pendaftaran perniagaan dapat dilakukan secara terus dalam talian. Dan kini, dalam bahang Pilihan Raya Umum, mungkinkah Malaysia akan mengikut jejak negara maju yang mengaplikasikan undi secara elektronik atau e-undi di masa depan?

Menurut Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman, Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan e-undi dalam pilihan raya di negara ini. "Ini kerana, jika kita tidak benar-benar bersedia, sistem ini boleh menimbulkan masalah daripada pihak ketiga seperti penggodam komputer," katanya.

Katanya, tahap celik ICT penduduk negara ini juga masih belum mencapai tahap maksimum yang tentunya akan menimbulkan masalah jika mesin mengundi itu tidak mesra pengguna. Beliau berkata, walaupun Malaysia telah maju dalam bidang perbankan elektronik (e-perbankan) tetapi ia merupakan sistem yang dikendalikan secara komersial.

Berbanding dengan sistem e-undi, ia akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seharusnya perlu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem baru tersebut.

Apakah e-undi?

E-undi merujuk kepada proses pembuangan undi dan pengiraan undi yang dilakukan secara elektronik dengan pengundi tidak lagi perlu memangkah di kertas seperti kaedah yang digunakan sekarang. Ia telah digunakan di beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat, Australia dan Brazil.

Sistem undian seperti punch card dan kad imbasan optikal juga dikira sebagai menggunakan kaedah elektronik.

Terdapat beberapa kaedah mengundi secara elektronik termasuk:

  • Mesin mengundi (sistem skrin sentuh atau mesin elektronik rekod terus (DRE).
  • Internet
  • Telefon dan telefon mudah alih
  • Pembantu digital peribadi (PDA)
  • Televisyen digital

Tempat mengundi

Terma ini merujuk kepada sistem lokasi pengundi membuang e-undi di dalam stesen mengundi atau lokasi yang diselia oleh pegawai pilihan raya. Sistem berkenaan termasuk mesin undi DRE yang merekodkan undian secara elektronik tanpa penggunaan Internet atau rangkaian lain.

Antara muka mesin DRE boleh jadi pilihan butang, skrin sentuh atau pengimbas yang mengimbas kertas undi. Terdapat sistem DRE yang menggunakan sistem kad leret atau katrij yang perlu diaktifkan sebelum undian dimulakan. Undian akan disimpan dalam kad memori, cakera padat atau peralatan memori lain.

Masalah yang mungkin dihadapi

Selaras dengan kemajuan teknologi, pengundi perlu diberikan pilihan mengundi yang sesuai dengan gaya hidup mereka dan ia mungkin boleh dilaksanakan di negara ini dalam pilihan pilihan raya selepas ini. Bagaimanapun, pelaksanaan e-undi, mungkin juga boleh menimbulkan beberapa masalah seperti keselamatan, sistem pengkomputeran gagal berfungsi, pengodaman, ancaman virus, pengguna berasa kekok dan sebagainya.

Dalam perkembangan ICT masa kini, tidak terdapat jaminan program tidak boleh dimanipulasi dan menghasilkan penyimpanan dan cetakan yang berlainan berbanding di skrin. Isu keselamatan lain termasuk memastikan semua pengundi dibenarkan membuang undi dan memastikan selepas itu undi akan disimpan dan dikira dengan tepat. Masalahnya pengundi juga perlu diyakinkan mengenai sistem e-undi.

Apabila melaksanakan sistem e-undi ini, pengundi perlu diyakinkan mengenai tahap kerahsiaan selepas mereka membuang undi kerana pengundi tidak mahu undian mereka diketahui ramai. Dalam konteks e-undi mudah alih, hanya mereka yang mendaftar dan pengundi yang sah dibenarkan membuang undi.

Pengundi yang sah akan diberikan Nombor Pengenalan peribadi (PIN), Nombor Transaksi (Tan) atau tandatangan digital sebelum dibenarkan mengundi. Bagi mengelakkan undian dilakukan lebih daripada sekali atau disalah guna, semua undian perlu direkodkan dan diperiksa bagi memastikan pengundi yang telah mengundi tidak boleh mengundi lagi.

Biometriks

Di masa hadapan, biometriks mungkin juga boleh digunakan bagi memastikan identiti dan menggantikan kod PIN dan kata kunci. Sistem mengundi tradisional telah dibangunkan bagi memastikan prinsip mengundi, kebebasan mengundi, kerahsiaan, undian tidak boleh diubah dan mengurangkan kesilapan semasa proses pengundian. Sistem e-undi perlu direka dan beroperasi bagi memastikan ketelusan dan keselamatan operasi mengundi.

Sistem e-undi perlu menepati beberapa garis panduan seperti memastikan hanya pengundi berdaftar mengundi, semua undi dikira, hak pengundi membuat pilihan mereka tanpa sebarang pengaruh, melindungi rahsia undian dan kemudahan mengundi pengundi orang kurang upaya (OKU). Apa yang penting, e-undi ini, sekiranya dilaksanakan pada masa akan datang, sekurang-kurangnya mengurangkan pergantungan kepada kaedah konvensional dan seharusnya ia merupakan sistem yang diyakini oleh semua terutama calon dan pengundi.

Thursday, January 14, 2010

'Allah mudahkan pemergian mereka'

Tanjong Malim, 14 Jan- “Alhamdulillah, Allah s.w.t telah permudahkan segala urusan arwah Fadhiri dan Faizol. Insya-Allah, moga-moga Allah menerima kebaikan yang telah mereka lakukan dan mengampunkan dosa-dosa mereka,” kata seorang saksi kejadian kemalangan maut yang lepas.

Menurut seorang lagi saksi iaitu Suhainizam Sharif ketika ditemui berkata, kedua-dua arwah hanya melafazkan nama-nama Allah sebelum kedua-dua mereka meninggal dunia. Saudara Faizol sempat mengangguk-anggukkan kepala apabila dibacakan kalimah LailahaillAllah (tiada Tuhan melainkan Allah).

“Allah telah memberikan kesempatan kepada saya untuk membisikkan perkataan mulia ini kepada saudara Faizol ketika saat-saat akhir arwah di dunia ini. Apabila berlakunya kemalangan, saya terus mendapatkan Faizol dan membisikkan kalimah LailahaillAllah. Alhamdulillah, arwah mengangguk-angguk tanda faham dan terus pergi meninggalkan kita semua,” katanya dengan sebak.

“Bagi arwah Fadhiri pula, saya mencabut topi keledar yang dipakai dan memangku arwah serta membisikkan kalimah yang sama. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan arwah ke Hospital Slim dan Hospital Teluk Intan, mulut arwah tak pernah lekang dengan menyebut nama-nama Allah sehinggalah beliau pergi,” kata saksi yang mengiringi arwah ke Hospital Slim dan Hospital Teluk Intan pada hari kejadian.

Bagi saudara Nik Azrul Nik Kamaruddin pula, beliau melihat betapa mudahnya Allah s.w.t memudahkan urusan arwah dan melihat ramainya tetamu yang hadir untuk menyolatkan kedua-dua arwah.

“Apabila saya melihat segala urusan arwah dipermudahkan dengan baik dan betapa ramainya tetamu yang hadir ketika menyolatkan mereka, hati saya tenang dan bersyukur pada Allah. Arwah Faizol disolatkan sebanyak dua kali di surau Al-Falah manakala arwah Fadhiri pula sehingga orang ramai melimpah keluar dari kediaman beliau termasuk dari pelajar-pelajar pondok yang pernah beliau menuntut ilmu,”

“Di kesempatan ini, saya ingin berterima kasih kepada pihak HEP UPSI dibawah kepimpinan Prof. Shaharuddin kerana banyak membantu urusan arwah. Tidak lupa kepada yang menziarahi beliau sama ada dari UPSI mahupun daripada luar. Semoga Allah, menerima mereka dan menjadi iktibar untuk kita semua, insyaAllah,” tambahnya lagi.-upsikini

Wednesday, January 13, 2010

Doakan ikut jejak mereka

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Tatkala menerima sms dua sahabat dari UPSI yang meninggal kemalangan, iaitu Fadhiri dan Faizol, saya mengingat-ingat kembali dua manusia ini.

Serasa banyak kali pertemuan dengan mereka, tapi lupa. Saya pun bukan terlibat sangat dengan aktiviti peringkat nasional. Namun, untuk ke UPSI sudah acap kali, terutama dalam pilihan raya kampus.

Rupanya Fadhiri adalah orang yang pernah saya ikuti program bersamanya, program SPIES tak silap. Seorang yang kuat belajar dan semangat. Seingat saya dia pernah bertanya bagaimana pentarbiyahan UM dapat melahirkan kader yang kuat. Saya jawab, tekanan dan berani berubah. Saya juga sarankan bawa kepada UPSI.

Bila saya dengar dia sudah tiada, makin kuat azam untuk ikut jejak langkah mereka. Mereka menemui Allah dalam perjalanan mereka.

Semoga Allah cucuri roh mereka. Al-Fatihah.

Rumah Omar
9.59 a.m

Tuesday, January 12, 2010

Pemimpin pelajar IPTA beri amaran demo jika e-undi diteruskan

Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Jan 11 — Gabungan Mahasiswa Bantah E-undi (Bantah) mahu membuat aduan kepada pertubuhan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa jika pusat-pusat pengajian tinggi awam meneruskan sistem pengundian elektronik (e-undi) semasa pilihan raya kampus kali ini, yang diadakan secara berperingkat-peringkat mulai minggu ini.

Jika usaha-usaha itu tidak juga berhasil manakala Kementerian Pengajian Tinggi tetap dengan pendiriannya, Pengerusi Bantah Mohd Aizat Mohd Salleh berkata mereka akan memobilasi ribuan mahasiswa untuk turun ke jalan raya berdemonstrasi sebagai jalan terakhir.

Setakat ini hanya dua universiti awam telah mengambil pendirian tidak menggunakan sistem e-undi dalam pilihan raya kampus.

Mohd Aizat berkata pihaknya akan meneruskan desakan untuk memansuhkan sistem e-undi yang akan digunakan dalam pilihan raya kampus akan datang ini.

“Justeru, Bantah bersama-sama barisan mahasiswa yang lain melancarkan kempen petisyen online serta kutipan 10,000 tandatangan sebagai referendum mendesak agar memansuhkan sistem e-undi dengan segera,” kata pemimpin pelajar dari Universiti Malaya ini dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Petisyen online tersebut boleh dilayari di sini.

“Petisyen dan kutipan tandatangan ini seterusnya akan diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Amnesty International Malaysia, pertubuhan Pilihan Raya Bebas dan Adil Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

Langkah itu bertujuan agar pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan bertindak menyiasat dan mengkaji ketidaktelusan sistem tersebut, kata Aizat.

“Selain itu, ia juga sebagai aduan mahasiswa terhadap pencabulan hak asasi serta hak kebebasan akademik dan mahasiswa di dalam universiti.

“Bantah berharap NGO seperti Amnesty International Malaysia selaku pertubuhan bertaraf antarabangsa yang memperjuangkan hak asasi masyarakat dunia, agar membawa isu ini ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, referendum ini juga ditujukan kepada universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi membuktikan suara bantahan daripada mahasiswa seluruh kampus.

“Ia adalah tindakan profesional terakhir kita setelah memorandum-memorandum bantahan yang dikemukakan oleh Bantah sebelum ini dibakulsampahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.-malaysianinsider

Monday, January 11, 2010

Faham islam cara artis

Anne buka tudung kerana watak

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
Gambar SHAIFUDIN MOHD NOR

MELIHAT Anne Ngasri mula berhijab ternyata membuatkan mana-mana mata yang memandangnya terasa sejuk sahaja. Penghijrahan pelakon yang memulakan kariernya dari usia muda itu dilakukan selepas Anne pulang dari menunaikan ibadah Umrah pada bulan Ramadan tahun lalu.

Tetapi timbul cerita yang kurang manis apabila tudung Anne ini dikatakan umpama pakai buang kerana dia masih dilihat di beberapa buah drama yang baru menunjukkan auratnya itu walaupun Anne sudah memilih untuk berubah.

Anne yang ditemui ketika penggambaran drama Mayang Mengurai di Carlton Holiday, Shah Alam, Selangor baru-baru ini mengakui, dia memang membuka tudung ketika berlakon baru-baru ini demi memenuhi kehendak produksi itu.

Ujar ibu anak dua ini, niatnya hanyalah untuk mencari rezeki kerana punca rezekinya dari dunia lakonan.

"Saya bukan sesuka hati pakai dan buka tudung saya. Di luar, saya se

bagai Anne Ngasri memang sudah bertudung.

"Tetapi apabila berlakon, ada sesetengah drama memerlukan watak saya untuk tidak bertudung, jadi saya akan buka tudung ketika pengambaran.

"Namun ia masih ada batasnya kerana saya tak akan sesekali berpakaian seksi atau 'buka' sana sini malah dari dulu lagi saya bukanlah seorang yang seksi.

"Saya tahu ia merupakan isu sensitif dan banyak pendapat dalam Islam mengenai hal ini tetapi selagi saya tahu apa yang saya buat ini benda yang betul, saya rasa okey," ujar isteri kepada Abdul Wafi Hassan ini lagi.

Anne pada masa yang sama menyedari pasti ada yang keliru dengan penampilan dan keputusannya itu.

Namun begitu, dia menegaskan, sebagai wanita Islam dia sudah membuat keputusan untuk menutup auratnya.

Mendapat sokongan penuh daripada seluruh ahli keluarga, Anne berkata, keputusannya untuk berhijab bukanlah atas paksaan sesiapa tetapi atas kesedaran diri sendiri.-utusanonline

Saturday, January 9, 2010

Kalimah Allah: Persatuan Islam dan kristian UM setuju kaedah dialog

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Dua pertubuhan agama Universiti Malaya (UM) iaitu Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Persatuan Kristian Varsiti Universiti Malaya (PKVUM) semalam mencapai persefahaman berhubung isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.

Kedua-duanya telah bersetuju bahawa wacana dan dialog antara agama jalan terbaik demi menolak budaya saling prasangka terhadap agama masing-masing.

Dalam pertemuan semalam, Shazni Munir Mohd Ithin yang mewakili PMIUM dan Benjamin Ong yang mewakili PKVUM juga bersetuju bahawa pendidikan agama kepada penganut masing-masing perlu dititikberatkan, khususnya dalam hal-hal teras.

Kedua-dua pertubuhan tersebut juga bersependapat bahawa kalimah ‘Allah’ tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan provokasi oleh pihak-pihak tertentu.

Selain itu, turut dipersetujui bahawa mahkamah bukanlah satu-catunya jalan keluar terhadap isu permohonan Gereja Katholik menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam akhbar mingguan, The Herald malah pendekatan lebih murni seperti idalog dan wacana lebih berkesan.

“(Badan) Perundangan bukanlah satu-satunya cara untuk menyelesaikan permasalahan yang ada dalam keadaan keputusan-keputusan mahkamah tersebut boleh dimanipulasi oleh sesiapa sahaja,” kenyataan media bersama PMIUM dan PKVUM dipetik.

Badan bukan kerajaan (NGO) yang berlatarbelakangkan agama sama ada Islam atau bukan Islam juga diseru agar menggiatkan lagi usaha pendidikan ke atas penganut masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub akan mencadangkan PAS menggunakan ‘Wacana Ilmiah’ dengan NGO berkaitan serta pihak Gereja Roman Katholik sendiri berhubung isu guna nama ‘Allah’ ini dalam mesyuarat PAS Pusat hujung minggu ini.

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) turut dilaporkan akan bertemu dengan Ketua Paderi Katholik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam dalam masa terdekat demi menangani isu sensitif tersebut. -harakahdaily

Tuesday, January 5, 2010

Boleh guna kalimah Allah


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Minggu ini agak ribut sedikit dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald. Demonstrasi demi demonstrasi telah diadakan oleh pihak tertentu yang nampak seolah mempertahankan sungguh-sungguh kalimah Allah ini.

Beberapa hari lepas, banyak sms yang saya terima untuk menjawab persoalan ini. Boleh atau tidak? Itu sahaja jawapan yang diinginkan.

Dan hari ini, para ulama, pemimpin negara, ahli politik, ahli akademik dan mahasiswa semua membicarakan boleh atau tidak.

Kalau ditanya saya, maka jawapan saya boleh.

Tiada masalah apabila penganut agama lain untuk menggunakan kalimah Allah tersebut. Malah dengan menggunakan nama Allah itu, ia lebih membawa mereka lebih dekat dengan maksud Allah itu yang sebenar dan bersama dengan Islam.

Tetapi dengan syarat. Syaratnya apabila nak guna kalimah Allah itu mestilah melalui pentafsiran Allah yang betul. Allah sebagaimana yang ditafsir dan dimaknakan oleh Islam, iaitu Allah Yang Maha Esa, Yang Menciptakan alam semesta dan sebagainya. Bukan sebagaimana Allah yang ditafsirkan oleh pegangan agama itu.

Jika syarat ini dipenuhi, maka tiada masalah. Saya cadangkan kepada majalah Herald, di muka surat depan majalah anda, letakkan pentafsiran nama Allah yang betul seperti yang saya sebut tadi, letak di muka depan atau ruangan yang boleh dibaca. Dan ia mesti dibuat setiap kali majalah itu dikeluarkan.

Ini supaya penganut agama anda faham maksud kalimah Allah itu. Dan bukankah itu yang dikehendaki oleh mereka?

Cumanya, janganlah ada agenda terselindung dalam perkara ini. Dan ini yang menjadi kerisauan rakan-rakan kita beragama Islam. Bukannya Islam tidak terbuka, tetapi terbuka yang membawa keburukan kepada agama Islam, bukankah mereka juga tidak mahu berlaku pada agama mereka juga?

Saturday, January 2, 2010

Demokrasi kampus: Tiada apa yang boleh diharapkan pada tahun baru 2010

Sedih dan sungguh memalukan. Itu sahaja ungkapan yang boleh saya luahkan tatkala menerima email terakhir daripada Prof Abdul Aziz Bari jam 1 petang semalam. Email itu menyebut beliau mendapat surat amaran daripada pentadbiran UIAM agar tidak menyertai forum demokrasi kampus.

Apalah yang boleh dikatakan lagi dengan demokrasi kampus kita? Sudahlah mahasiswa dibelenggu dengan akta AUKU, disekat bersuara. Hari ini sekatan itu pergi pula kepada ahli akademik.

Kali ini, saya menjangkakan, kumpulan pro-HEP benar-benar mahu merampas semula kampus daripada kelompok pro-kebajikan mahasiswa. Memang serius. Melalui maklumat dalaman yang saya terima di UM, figure-figure penting yang memenangkan kumpulan pro-Hep ketika dahulu, akan turun semula. Satu peringatan buat pro-mahasiswa.

Tidak waras

Saya tidak tahu, tahap kewarasan apa yang diguna-pakai oleh mereka ini. Kenapa begitu takut untuk membenarkan mahasiswa memberi pandangan. Mengapa begitu pengecut sehingga menggunakan ugutan lucut jawatan kepada ahli akademik yang lantang menyokong kebenaran.

Kali terakhir seingat saya, mahasiswa disekat daripada berforum adalah ketika berlangsungnya wacana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membincangkan mengenai AUKU. Mahasiswa yang datang dari luar semuanya dihalang dan disekat masuk. Pintu pagar dikunci dari dalam. Pengawal keselamatan menahan pelajar dengan bermodalkan kata-kata “Saya menjalankan arahan”.

Paling terbaru, adalah penggunaan sistem e-voting di dalam PRK akan datang. KPT dan HEP berselindung disebalik ungkapan penggunaan sistem yang lebih mudah dan jimat. Semua ini ilusi dan penipuan terang-terangan kepada mahasiswa. Dan mereka perlu bertanggungjawab dengan pencemaran demokrasi kampus yang berlaku ini.

E-voting dan mengundi di bilik air

HEP jangan jadi bodoh setelah membodohkan mahasiswa. Cukuplah kebodohan itu datang dari mereka sahaja. Jika nak mudah mengundi, saya cadangkan buat undian secara SMS. Boleh mengundi di mana-mana, lagi mudah dan senang. Dalam bilik air pun boleh mengundi. Sebelum tidur, sebelum mata terpejam pun boleh taip undian kepada siapa.

E-voting jelas membuka ruang lebih tercemarnya demokrasi kampus. Kerahsiaan dan jaminan tiada. Setakat cakap bolehlah kerana benda belum terjadi lagi. Siapa boleh jamin sistem tidak diceroboh oleh orang lain?

Dan sekatan kepada forum baru-baru ini, adalah kemuncak ketidak warasan KPT dan HEP kepada mahasiswa dan ahli akademik. Di mana autonomi universiti yang dilaung-laungkan? Di mana kebebasan pindaan AUKU yang diura-urakan? Semua kosmetik dan palsu!

Berikan makna pada universiti

Mahasiswa jangan takut dengan tekanan. Universiti milik kita. Kita punya hak. Kita bayar dan kita ada suara. Yakin dengan kuasa yang ada supaya tidak mudah diperbodohkan. Jangan jadi pak turut kepada mana-mana pihak yang berkepentingan. Jika tidak, tiada makna universiti pada mahasiswa.

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh (Pengerusi BANTAH)