Thursday, February 3, 2011

'Bukan pengkagum Anwar'


oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya bukan pengkagum Anwar Ibrahim. Namun ada beberapa faktor yang mendorong saya kadang-kala memujinya. Terutama dari aspek pidato serta retoriknya.

Tetapi, saya menghormati karismanya. Terutamanya apabila membaca gerakan mahasiswa yang dipimpinnya sewaktu dia bergelar pelajar. Beliau berjaya memimpin mahasiswa sewaktu di dalam PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya).

Beliau juga boleh dianggap berjaya tatkala memimpin rakyat melaksana Gelombang Reformasi pada tahun 1998. Ketika itu saya berada di darjah enam, namun mengikuti sekali-sekala demonstrasi di Masjid Negara dan Kampung Baru bersama ayah saya.

Sehingga kini saya masih menyimpan VCD gerakan tahun 1998 itu. Malah, selepas dipenjarakan, saya banyak memiliki buku-buku serta poster bertemakan bebaskan Anwar Ibrahim. Saya mengikuti sedikit sebanyak perbicaraannya, walau tidak berapa arif berkenaan undang-undang dan mahkamah.

Bersama Dato Seri Anwar Ibrahim dalam satu program di rumahnya. Penulis terkejut tatkala ingin pulang, Dato Seri Anwar mengajak ke restoran mamak untuk minum, katanya: "Awat orang muda balik awai sangat? Jom pi minum dulu bincang-bincang.."

Apabila dibebaskan selepas enam tahun di penjara, beliau mengaktifkan parti keadilan. Pilihan raya tahun 2008, adalah pilihan raya pertama selepas beliau dibebaskan. Sekali lagi beliau berjaya memimpin gelombang perubahan yang akhirnya sebanyak 5 negeri diperolehi Pakatan Rakyat (PR).

'One Man Show'

Seperkara yang agak menjadi kebimbangan bagi saya khususnya kepada Pakatan Rakyat adalah istilah 'one man show'. Anwar Ibrahim adalah one man show di dalam PKR. Memang benar, sejak kehadirannya, terbukti beliau berhasil mencipta dirinya sebagai ikon perpaduan bagi rakyat Malaysia.

Bahayanya adalah, apabila pemimpin sebegini dirosakkan imejnya, maka agenda dan perjuangannya turut akan tercemar. Oleh sebab itu, BN beria-ia dan begitu konsisten menjatuhkan maruah beliau dalam isu liwat. Ditambah lagi dengan mencalarkan kredibiliti beliau gagal memimpin PKR.

PM in waiting

Jika melihat gelombang rakyat hari ini, saya yakin PR boleh menuju ke Putrajaya. Namun dengan beberapa tindakan yang lebih agresif terutama dalam aspek imej.

Anwar Ibrahim, disebut-sebut sebagai 'PM in waiting' memang sudah diterima umum. Sebab itu BN banyak menyerangnya. Saya kira beberapa perkara perlu beliau tukar untuk meletakkan beliau ikon rakyat dan pemimpin nombor satu negara.

Saya melihat dari kaca mata rakyat. Misalnya di dalam pilihan raya kecil DUN Tenang baru-baru ini, hasil analisis kegagalan PR, salah satunya adalah pemimpin utama PR tidak turun padang, seperti Anwar Ibrahim, TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi.

Maksud turun padang adalah bukan sekadar berceramah, membangkitkan isu-isu politik dan negara, tetapi turun berdamping dengan rakyat dalam program dan aktiviti.

Inklusif, jangan ekslusif

Anwar Ibrahim memang diyakini perjuangannya. Beliau banyak membangkitkan isu rakyat, misalnya kemiskinan, harga barang yang naik, harga minyak naik dan sebagainya. Namun tindakannya masih lagi ekslusif.

Sebagai contoh, Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak, walaupun beliau dilihat menaikkan harga barang, dikaitkan imej rasuah dan kegagalan urus tadbir negara, tetapi apabila berlaku masalah banjir di Johor, beliau sendiri turun melihat rakyatnya.

Beliau sendiri juga menghulurkan bantuan. Walaupun itu tugas asasi pemimpin kerajaan, namun tindakannya itu berjaya menarik hari rakyat. Beliau 'dekat' dari sudut tindakannya kepada rakyat, walaupun beliau jugalah yang menaikkan harga minyak.

Sebab itu rakyat masih boleh menerima beliau dan BN. Agak sukar juga jika mahu samakan atau pun membuat revolusi seperti mana di Mesir, walaupun isunya sama sahaja.

Apa boleh dibuat, kerana rakyat persepsinya begitu.

Oleh hal yang demikian, saya kira pemimpin PR perlu berubah ke arah itu. Saya tidak nampak di mana pemimpin penting PR turun di Johor menolong mangsa banjir itu. Biarlah negeri UMNO 'totok' pun, tetapi dekatilah rakyat.

Saya masih teringat tatkala hari-hari pertama Dato Seri Najib Tun Razak menjadi PM. Tempat yang dilawatinya adalah di Chow Kit dan Bangsar. Seterusnya beliau ke restoran dan warung-warung mendekati penjaja di sana. Ketika itu beliau bersifat inklusif benar.

PR perlu bercakap soal keperitan rakyat, malah dalam masa yang sama mesti turut serta memahami dan melalui keperitan itu.

Saya kurang bersetuju hari ini PKR buat roadshow memperbaiki imej partinya. Biarkan sahaja orang-orang yang tidak berpuas hati itu, lambat laun senyaplah. Lebih baik masa dihabiskan dengan turun di tempat-tempat rakyat miskin, dan memberikan bantuan.

Terutama Anwar Ibrahim, beliau perlu memulakan dahulu. Bersihkan imejnya dan parti dengan tindakan seumpama itu. Politik nilai lebih penting dan berkesan daripada politik retorik. Jika ini boleh berlaku, PM in waiting akan menjadi realiti kelak buat beliau.

Sekali lagi, saya bukan pengkagum Anwar Ibrahim, tetapi hanya menghormati karismanya.

Tuesday, February 1, 2011

Buku Transformasi Fikah Semasa - Baik untuk mereka yang ingin buat perubahan!

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya baru menamatkan pembacaan buku bertajuk 'Transformasi Fikah Semasa: Evolusi Hukum Islam', tulisan Profesor Dato' Dr Mahmood Zuhdi. Beliau adalah Timbalan Dekan di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC UIAM).

Saya mengenali beliau sejak di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Ketika itu beliau pensyarah kanan di Jabatan Fiqh Usul. Walaupun usianya agak lanjut, namun pemikirannya begitu kehadapan. Beliau adalah pengasas Fiqh Malaysia, iaitu satu idea kefahaman hukum fiqh dalam konteks negara Malaysia. Tetapi agak malang juga kerana ideanya agak kurang diterima dalam masyarakat kita.

Buku ini sangat baik dibaca bagi pengamal fiqh serta mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan agama. Lagi penting, saya mengesyorkan ia dibaca dan dijadikan bahan perbincangan kepada penggerak harakah islamiyah sama ada di kampus mahu pun di Malaysia.

Perubahan

Temanya hanya satu - perubahan! Ia perlu dilakukan kepada hukum fiqh pada hari ini, malah boleh dikira sebagai satu kewajipan. Keperluannya adalah kerana hukum fiqh kebiasaannya menjadi penilaian kepada persepsi dan pandang sisi terhadap agama Islam.

Orang di luar Islam atau yang tidak memahami Islam, akan melihat mengapa Islam melarang itu dan ini, menyekat itu dan ini, tidak sesuai dan 'kena' dengan budaya Melayu pada hari ini dan bermacam lagi persoalan.

Malangnya, ia gagal dijawab oleh ulama pada hari ini. Bahkan, ahli-ahli gerakan juga terlepas pandang perkara ini.

Prof Dr Mahmood Zuhdi awal-awal sudah menegaskan: "Sekiranya Islam hanyalah agama ritual semata-mata, segala perubahan ini sudah tentu tidak mencetuskan cabaran besar terhadap corak amalannya. ini kerana ritual agama biasanya tidak tertakluk kepada perubahan. Tetapi Islam bukanlah agama ritual, sebaliknya satu dasar hidup. Oleh kerana kehidupan sentiasa berkembang, maka cabaran yang terpaksa dihadapi adalah pengembangan tafsiran terhadap amalan dan hukum agar disesuaikan dengan keperluan semasa."

Beliau juga membawa pandangan yang menyokongnya daripada Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi. Beliau berkata: "Setiap zaman ada persoalannya tersendiri. Ada kejadian sendiri dan ada keperluan sendiri. Bumi ini berputar, cakerawala beredar, alam bergerak dan jarum jam tidak pernah berhenti.."

Hujah mereka ini memperlihatkan bahawa hukum Islam mesti bergerak selari bersama-sama dengan perubahan alam, kehidupan dan budaya sesebuah masyarakat. Bahkan di dalam konteks gerakan Islam, ia lebih-lebih lagi. Ini kerana gerakan Islam berhadapan dengan perubahan politik yang sangat pantas dan memerlukan jawapan yang segera bagi menyelamatkan agama.

Beliau membawa satu contoh yang sangat baik. Katanya: "Sebagai contoh, dahulu kebanyakan para fuqaha berpendapat wanita bersembahyang di rumah dan tidak patut ke masjid. Bagaimanapun, pendapat ini hanya sesuai pada zaman wanita terkurung di rumah. Sebaliknya, suasana seperti sekarang di mana wanita telah keluar ke mana-mana; pusat peranginan, universiti, pasar dan melakukan pelbagai kerjaya, maka tidak sepatutnya mereka dihalang daripada pergi ke masjid untuk bersembahyang.."

Begitu juga apa yang berlaku sekarang, bagaimana ulama dahulu tidak pernah berfikir akan kemajuan seumpama hari ini. Misalnya penggunaan insurans, pinjaman, membayar zakat melalui mesin ATM mahupun potongan gaji, serta dalam bab permusafiran yang dahulunya memakan masa berhari-hari namun pada hari ini kita boleh ke Arab Saudi dengan hanya beberapa jam.

Atau di dalam persoalan penggunaan kalimah Allah, hukum bagaimana orang bukan Islam masuk ke dalam masjid, bolehkah orang bukan Islam membaca ayat suci al-Quran, hukum wanita terlibat di dalam pilihan raya dan isu-isu politik yang menyentuh hukum-hakam Islam yang perlu disegerakan jawapannya agar umat Islam tidak terkeliru.

Jika tidak berlaku perubahan kepada hukum fiqh dan Islam pada waktu ini, maka bagaimanakah kita boleh menjawab akan persoalan-persoalan seumpama di atas?

Keperluan ijtihad

Buku ini juga menegaskan bahawa tidak dapat tidak, untuk menghadapi kesemua itu mesti melalui ijtihad. Ijtihad sebagaimana yang digambarkan Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi tidaklah terlalu spesifik syaratnya hinggakan menyukarkan para ulama dan ahli gerakan hari ini melakukannya.

Bahkan, Rasyid Redha di dalam tulisannya Tafsir al-Manaar, beliau berpendapat: "Untuk menghasilkan ijtihad yang mereka sebutkan itu bukanlah susah. Ia tidak memerlukan kerja yang lebih berat daripada apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang berusaha mendapat Ijazah tinggi dalam bidang ilmu semasa seperti undang-undang, perubatan dan falsafah."

Dalam suasana kemodenan dan maklumat yang tidak terbatas pada hari ini, segala fakta, ilmu, maklumat yang diperlukan sangat mudah diperolehi tanpa perlu terjun ke dalam bidang itu.

Al-Hajawi menyatakan: "Sumber ijtihad bagi zaman kita ini lebih mudah diperolehi daripada zaman lampau. Dengan adanya percetakan, ilmu dapat diwariskan dengan mudah dari generasi ke generasi. Sedangkan orang-orang terdahulu begitu sukar untuk menerbitkan hasil penulisan mereka. mereka memerlukan masa yang lama dan perbelanjaan yang besar."

Prof Dr Mahmood Zuhdi memberikan syarat asas dalam berijtihad iaitu unsur tetap yang universal yang disebut sebagai idealisme Islam yakni memahami Al-Quran dan Sunnah. Ia sebagai paksi utama dalam mencapai rujukan.

Yang keduanya adalah memahami dengan baik realiti masyarakat yang memainkan peranan sebagai pemboleh-ubah (yang menjadi faktor berubahnya hukum itu), misalnya seperti adat dan budaya.

Manakala yang ketiga adalah meneliti kefahaman ulama terdahulu dalam menafsirkan hukum berkenaan. Ia sebagai rujukan sumber sejarah (mengapa ulama itu berpendapat sedemikian, apa sebabnya dan sejarah di kala itu). Ia penting sebagai proses penilaian dan penafsiran semula.

Cabaran

Dengan tidak menolak pandangan dan ijtihad ulama terdahulu, begitu juga tidak membelakangkan kitab klasik ulama dahulu, sikap bertaqlid (mengikut membuta-tuli) harus ditinggalkan. Ia bukan bermaksud membuang, bahkan menjadikan ia kontemporari (sesuai di zaman ini). Bahkan ijtihad yang dibuat ulama pada hari ini, akan ditafsirkan semula oleh ulama akan datang apabila diperlukan untuk kesesuaian zaman itu.

Prof Dr Mahmood Zuhdi berpandangan, cabaran yang paling besar dalam melakukan perubahan adalah reformasi mental. Mengalihkan mentaliti yang lama kepada yang baru.

Beliau menyatakan: "Dalam sejarah hukum Islam, banyak reformer atau muslih yang menjadi korban kepada langkah atau gerakan reformasi yang mereka anjurkan. Sebab yang paling utama adalah tabiat manusia yang liat berubah. Di samping itu, perubahan juga biasanya mengancam kedudukan pihak-pihak tertentu, dan kerana itu ia ditentang sama ada dipercayai tidak benar atau sebaliknya."

Cabaran paling besar pada hari ini adalah bagaimana kita mahu mengubah pemikiran manusia, yang dengan perubahan itu, dunia akan berubah. Begitu juga di dalam gerakan Islam. Kadang-kala usaha untuk melaksanakan perubahan dan reformasi di dalam gerakan agar menepati kehendak semasa akan dilabel sebagai kelompok liberal, tidak wala' dan sebagainya.

Justeru itu, beliau membuat satu kesimpulan bahawa: "Cara yang paling baik ialah bukan menyogok masyarakat dengan fatwa-fatwa baru yang kontroversi, tetapi mendidik masyarakat secara sederhana ke arah perubahan paradigma tentang konsep hukum dan fikah itu sendiri. Mudahnya, islah perlu bermula dengan menyedarkan masyarakat tentang falsafah perhukuman yang betul dan bukan mengejutkan mereka dengan kesimpulan-kesimpulan hukum yang kontroversi."

Saya kira, buku ini banyak menjawab persoalan perubahan yang ingin dilakukan pada hari ini. Bagaimana cara, kaedah, pendekatan, syarat dan cabarannya dijelaskan oleh tokoh fiqh ini. Bagi saya, beliau boleh dikira mujtahid zaman ini, iaitu seorang ulama yang cuba melakukan perubahan kepada hukum Islam, agar Islam boleh dipandang sebagai agama yang kontemporari dan tidak ketinggalan zaman.

Selamat membeli dan membaca!