Tuesday, February 1, 2011

Buku Transformasi Fikah Semasa - Baik untuk mereka yang ingin buat perubahan!

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya baru menamatkan pembacaan buku bertajuk 'Transformasi Fikah Semasa: Evolusi Hukum Islam', tulisan Profesor Dato' Dr Mahmood Zuhdi. Beliau adalah Timbalan Dekan di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC UIAM).

Saya mengenali beliau sejak di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Ketika itu beliau pensyarah kanan di Jabatan Fiqh Usul. Walaupun usianya agak lanjut, namun pemikirannya begitu kehadapan. Beliau adalah pengasas Fiqh Malaysia, iaitu satu idea kefahaman hukum fiqh dalam konteks negara Malaysia. Tetapi agak malang juga kerana ideanya agak kurang diterima dalam masyarakat kita.

Buku ini sangat baik dibaca bagi pengamal fiqh serta mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan agama. Lagi penting, saya mengesyorkan ia dibaca dan dijadikan bahan perbincangan kepada penggerak harakah islamiyah sama ada di kampus mahu pun di Malaysia.

Perubahan

Temanya hanya satu - perubahan! Ia perlu dilakukan kepada hukum fiqh pada hari ini, malah boleh dikira sebagai satu kewajipan. Keperluannya adalah kerana hukum fiqh kebiasaannya menjadi penilaian kepada persepsi dan pandang sisi terhadap agama Islam.

Orang di luar Islam atau yang tidak memahami Islam, akan melihat mengapa Islam melarang itu dan ini, menyekat itu dan ini, tidak sesuai dan 'kena' dengan budaya Melayu pada hari ini dan bermacam lagi persoalan.

Malangnya, ia gagal dijawab oleh ulama pada hari ini. Bahkan, ahli-ahli gerakan juga terlepas pandang perkara ini.

Prof Dr Mahmood Zuhdi awal-awal sudah menegaskan: "Sekiranya Islam hanyalah agama ritual semata-mata, segala perubahan ini sudah tentu tidak mencetuskan cabaran besar terhadap corak amalannya. ini kerana ritual agama biasanya tidak tertakluk kepada perubahan. Tetapi Islam bukanlah agama ritual, sebaliknya satu dasar hidup. Oleh kerana kehidupan sentiasa berkembang, maka cabaran yang terpaksa dihadapi adalah pengembangan tafsiran terhadap amalan dan hukum agar disesuaikan dengan keperluan semasa."

Beliau juga membawa pandangan yang menyokongnya daripada Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi. Beliau berkata: "Setiap zaman ada persoalannya tersendiri. Ada kejadian sendiri dan ada keperluan sendiri. Bumi ini berputar, cakerawala beredar, alam bergerak dan jarum jam tidak pernah berhenti.."

Hujah mereka ini memperlihatkan bahawa hukum Islam mesti bergerak selari bersama-sama dengan perubahan alam, kehidupan dan budaya sesebuah masyarakat. Bahkan di dalam konteks gerakan Islam, ia lebih-lebih lagi. Ini kerana gerakan Islam berhadapan dengan perubahan politik yang sangat pantas dan memerlukan jawapan yang segera bagi menyelamatkan agama.

Beliau membawa satu contoh yang sangat baik. Katanya: "Sebagai contoh, dahulu kebanyakan para fuqaha berpendapat wanita bersembahyang di rumah dan tidak patut ke masjid. Bagaimanapun, pendapat ini hanya sesuai pada zaman wanita terkurung di rumah. Sebaliknya, suasana seperti sekarang di mana wanita telah keluar ke mana-mana; pusat peranginan, universiti, pasar dan melakukan pelbagai kerjaya, maka tidak sepatutnya mereka dihalang daripada pergi ke masjid untuk bersembahyang.."

Begitu juga apa yang berlaku sekarang, bagaimana ulama dahulu tidak pernah berfikir akan kemajuan seumpama hari ini. Misalnya penggunaan insurans, pinjaman, membayar zakat melalui mesin ATM mahupun potongan gaji, serta dalam bab permusafiran yang dahulunya memakan masa berhari-hari namun pada hari ini kita boleh ke Arab Saudi dengan hanya beberapa jam.

Atau di dalam persoalan penggunaan kalimah Allah, hukum bagaimana orang bukan Islam masuk ke dalam masjid, bolehkah orang bukan Islam membaca ayat suci al-Quran, hukum wanita terlibat di dalam pilihan raya dan isu-isu politik yang menyentuh hukum-hakam Islam yang perlu disegerakan jawapannya agar umat Islam tidak terkeliru.

Jika tidak berlaku perubahan kepada hukum fiqh dan Islam pada waktu ini, maka bagaimanakah kita boleh menjawab akan persoalan-persoalan seumpama di atas?

Keperluan ijtihad

Buku ini juga menegaskan bahawa tidak dapat tidak, untuk menghadapi kesemua itu mesti melalui ijtihad. Ijtihad sebagaimana yang digambarkan Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi tidaklah terlalu spesifik syaratnya hinggakan menyukarkan para ulama dan ahli gerakan hari ini melakukannya.

Bahkan, Rasyid Redha di dalam tulisannya Tafsir al-Manaar, beliau berpendapat: "Untuk menghasilkan ijtihad yang mereka sebutkan itu bukanlah susah. Ia tidak memerlukan kerja yang lebih berat daripada apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang berusaha mendapat Ijazah tinggi dalam bidang ilmu semasa seperti undang-undang, perubatan dan falsafah."

Dalam suasana kemodenan dan maklumat yang tidak terbatas pada hari ini, segala fakta, ilmu, maklumat yang diperlukan sangat mudah diperolehi tanpa perlu terjun ke dalam bidang itu.

Al-Hajawi menyatakan: "Sumber ijtihad bagi zaman kita ini lebih mudah diperolehi daripada zaman lampau. Dengan adanya percetakan, ilmu dapat diwariskan dengan mudah dari generasi ke generasi. Sedangkan orang-orang terdahulu begitu sukar untuk menerbitkan hasil penulisan mereka. mereka memerlukan masa yang lama dan perbelanjaan yang besar."

Prof Dr Mahmood Zuhdi memberikan syarat asas dalam berijtihad iaitu unsur tetap yang universal yang disebut sebagai idealisme Islam yakni memahami Al-Quran dan Sunnah. Ia sebagai paksi utama dalam mencapai rujukan.

Yang keduanya adalah memahami dengan baik realiti masyarakat yang memainkan peranan sebagai pemboleh-ubah (yang menjadi faktor berubahnya hukum itu), misalnya seperti adat dan budaya.

Manakala yang ketiga adalah meneliti kefahaman ulama terdahulu dalam menafsirkan hukum berkenaan. Ia sebagai rujukan sumber sejarah (mengapa ulama itu berpendapat sedemikian, apa sebabnya dan sejarah di kala itu). Ia penting sebagai proses penilaian dan penafsiran semula.

Cabaran

Dengan tidak menolak pandangan dan ijtihad ulama terdahulu, begitu juga tidak membelakangkan kitab klasik ulama dahulu, sikap bertaqlid (mengikut membuta-tuli) harus ditinggalkan. Ia bukan bermaksud membuang, bahkan menjadikan ia kontemporari (sesuai di zaman ini). Bahkan ijtihad yang dibuat ulama pada hari ini, akan ditafsirkan semula oleh ulama akan datang apabila diperlukan untuk kesesuaian zaman itu.

Prof Dr Mahmood Zuhdi berpandangan, cabaran yang paling besar dalam melakukan perubahan adalah reformasi mental. Mengalihkan mentaliti yang lama kepada yang baru.

Beliau menyatakan: "Dalam sejarah hukum Islam, banyak reformer atau muslih yang menjadi korban kepada langkah atau gerakan reformasi yang mereka anjurkan. Sebab yang paling utama adalah tabiat manusia yang liat berubah. Di samping itu, perubahan juga biasanya mengancam kedudukan pihak-pihak tertentu, dan kerana itu ia ditentang sama ada dipercayai tidak benar atau sebaliknya."

Cabaran paling besar pada hari ini adalah bagaimana kita mahu mengubah pemikiran manusia, yang dengan perubahan itu, dunia akan berubah. Begitu juga di dalam gerakan Islam. Kadang-kala usaha untuk melaksanakan perubahan dan reformasi di dalam gerakan agar menepati kehendak semasa akan dilabel sebagai kelompok liberal, tidak wala' dan sebagainya.

Justeru itu, beliau membuat satu kesimpulan bahawa: "Cara yang paling baik ialah bukan menyogok masyarakat dengan fatwa-fatwa baru yang kontroversi, tetapi mendidik masyarakat secara sederhana ke arah perubahan paradigma tentang konsep hukum dan fikah itu sendiri. Mudahnya, islah perlu bermula dengan menyedarkan masyarakat tentang falsafah perhukuman yang betul dan bukan mengejutkan mereka dengan kesimpulan-kesimpulan hukum yang kontroversi."

Saya kira, buku ini banyak menjawab persoalan perubahan yang ingin dilakukan pada hari ini. Bagaimana cara, kaedah, pendekatan, syarat dan cabarannya dijelaskan oleh tokoh fiqh ini. Bagi saya, beliau boleh dikira mujtahid zaman ini, iaitu seorang ulama yang cuba melakukan perubahan kepada hukum Islam, agar Islam boleh dipandang sebagai agama yang kontemporari dan tidak ketinggalan zaman.

Selamat membeli dan membaca!

No comments: