Saturday, June 28, 2008

Khalifah Umar di Indonesia..

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Sehari dua ini, saya ada sedikit minat untuk mendekati negara Indonesia. Negara kepulauan yang kaya dengan tanah subur dan pernah dijajah oleh Belanda suatu ketika dulu. Bukan kerana mat-mat Indon pendatang tanpa izinnya atau bukan jua disebabkan oleh drama bersiri ’Soleha’ yang ditayangkan tiap-tiap 5.30 petang di TV9. Tetapi pada orang nombor satunya.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Melalui Lembaga Survei Indonesia yang diketuai oleh Denny Indrayana, pensyarah Undang-undang Universiti Gajah Mada, majoriti popular rakyat memilih Susilo sebagai pemimpin pilihan mereka. Ini kerana, sifat segar dan bersih memberi ruang dan harapan baru pada rakyat itu.

Yang membuatkan saya lebih kagum, kepimpinan Susilo bakal menyerupai kepimpinan khalifah Umar al-Khattab r.a, yang merupakan khalifah Islam kedua selepas Abu Bakar as-Siddiq.


Katanya:
”Saya ingin mengikuti lori dari Jakarta ke Surabaya. Saya ingin menyamar dengan memasang misai dan memakai cermin mata.. saya ingin tahu di mana lokasi pungli (rasuah dengan melakukan pungutan duit sesuka hati) itu..”

Ini bermakna, selepas ini, sang presiden bakal menjadi rakyat biasa untuk melihat sendiri suasana susah-payah rakyatnya. Berpakaian seperti seorang peniaga, atau tukang sapu sampah barangkali. Indonesia juga dikaitkan dengan amalan rasuah yang berleluasa dikalangan rakyatnya. Oleh sebab itu, ia mendesak presidennya sendiri turun kepada rakyat.

Teringat saya kisah khalifah Umar r.a yang terkenal dengan keadilannya. Cerita yang masyhur dimana beliau berjalan di tengah-tengah malam melihat sendiri masalah rakyatnya sehingga terjumpa seorang ibu yang menjerang air bersama seketul batu. Di sisinya anak-anaknya yang menangis kelaparan.

Mungkin dengan sifat seperti ini, 26 Jun 2008 lepas, Parlimen negara Indonesia sebulat suara membuat keputusan untuk mengkaji semula peningkatan 30 peratus harga minyak negara mereka. Ini melihat kepada kenaikan inflasi yang mendadak dan keluhan rakyatnya ditambah lagi seramai 21 orang setakat ini yang cedera dalam beberapa siri bantahan.

Saya terfikir juga, bila lagi negara saya mahu melahirkan seorang Umar pula. Tidak Umar pun, cukuplah sifatnya diikuti. Miskin bersama rakyat yang miskin. Lapar dengan rakyatnya yang lapar.

Thursday, June 26, 2008

Makan Sepuas-puasnya



oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh
Setapak lagi jika kita sedari, ekonomi umat Islam makin kehadapan. Dua hari lepas, saya mendapat email tentang sebuah syarikat milik umat Islam HPA Industries yang sudah melangkah setapak kehadapan.

Itulah Restoran Radix Fried Chicken (RFC) yang merupaka restoran pertama milik HPA. Pertamanya dalam sejarah Malaysia, umat Islam bebas makan fried chicken tanpa was-was. Selepas ini, anda semua (terutama beragama Islam) tidak perlu lagi ragu-ragu makan di restoran ini yang menyamai restoran francais se’standard’ KFC, MC Donald dan A&W. Sebenarnya, projek ini sudah mula berjalan terutamanya di negeri Kelantan. Antaranya Eddie Fried Chicken, yang juga meneroka bidang yang sama.



Mungkin sebelum ini, kita agak berhati-hati dalam memilih makanan seumpama ini. Antara alasannya, keraguan tentang tatacara penyembelihan, menyumbang keuntungan kepada Yahudi dan macam-macam lagi. Namun sekarang ini tidak lagi.

Sebagai permulaan, restoran sulung telah dibuka di Sungai Petani, Kedah. Dan Insya Allah akan menambah cawangan kepada 20 unit lagi pada 2009 kelak.



Saya terfikir andainya umat Islam dapat menguasai ekonomi dunia. Harga minyak, saham, pendapatan dan sebagainya dimiliki oleh umat Islam. Tidak adalah masalah kemiskinan dan kejatuhan ekonomi kerana ditadbir dengan penuh bijak dan amanah.

Sunday, June 15, 2008

Selamat Hari Abah

Di sisi Kali Ayah Bonda

Dedaun berguguran bagai mengerti
Perjalanan yang tidak berkesudahan
Bualan yang berpanjangan
Sepanjang zaman bertakhta
Di setiap hati nurani insani

Usapan lembut
Belaian kasih
Ratapan sendu
Tegar
Bersatu dalam dakapan sayang

Tika itu,
Aku bagai ikan mencari air
Bersandar di sisi mereka
Kasih, ungkapan, renungan dan gelak tawa

Kini,
Akulah ikan itu,
Ikan yang terdampar di pantai
Tidak lagi bernafas
Dengan insang yang kering tandus

Hari ini,
Bersimpuh di sisi Kali yang kian gersang
Ikan tercungap-cungap
Mencari setitis air
Kerana suatu masa dahulu,
Kali ini,
Pernah memberi sesuap rezeki
Mengais pagi dan petang
Buat menegakkan tulang belakang
Dan mendaki menara gading

Saat ini,
Air mata kian berjuraian
Tatkala terkenang memori lalu
Tidak mungkin kembali lagi

Selagi ayah bonda di sisi
Berbaktilah pada mereka
Sebelum Tuhan memanggil...
Al-Fatihah buat ayah bonda yang telah kembali

Faisal Iman,
6 Jun 2007, Rabu, 2.51 p.m, Gombak.


Selamat Hari Abah..ibu jua tidak dilupa.

Tuesday, June 10, 2008

WIN-WIN dalam exam

catatan oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh
Sahabat seperjuangan ibarat satu bahtera kapal yang saling memerlukan. (dari kiri: Syazwan,Al-Hafiz,Saya,Faris,Jameluddin,Syam,Anaqi,Yusra. Depan:Aiman dan Juani. Sewaktu Jamuan Akhir Tahun di Nilam Puri)

”Yes..naik pointer sem ni..” sahabat saya Hafiz terjerit tatkala melihat senarai keputusan examnya di skrin komputer.

”Alhamdulillah.. rezeki Allah lagi tu..” saya menambah dengan sedikit ’perasa’ kesedaran.

”Ops..” dia perasan. ”Alhamdulillah..” lalu membetulkan.

”Result sahabat-sahabat yang lain camne?” saya bertanya. “Naim, Aiman, Wan Azman, apa cerita diorang tu?” saya menambah lagi

“Harapnya oklah.. Ana kalau boleh biar semua sahabat dapat elok.” Hafiz menyatakan harapan.

”Doa-doalah. Jangan lupa sms diorang tanyakan ya..”

Saya cukup gembira dan senang hati apabila mendengar kejayaan orang. Tak kiralah, adik-beradik, sahabat dan siapa pun. Saya selalu empati dengan kejayaan orang. Kadang-kadang sampai saya pun merasai saya sebagai ’watak’ dalam drama kecemerlangan mereka-mereka ini. Andai dengar sahaja satu kejayaan, saya menjadi orang paling gembira.

Syukur. Apabila menanam, dapatlah hasilnya. Baik buahnya andai baja yang dibubuh berkualiti. Cukup siraman dan penjagaan, maka hasilnya enak dan ranum. Begitu jualah dalam study. Kelas masuk, buat nota, ulangkaji dan baca buku, di samping berdoa, Insya Allah berjaya, dapat four flat orang kata.

Erti Kegagalan

Saya turut terkesan. Sempat memberi sepatah dua nasihat dan tasyjik buat sahabat saya yang seorang tu.

”Aduh.. teruk sem ni..” keluh sahabat saya. Saya tahu, dia baru sahaja lepas meneliti keputusannya.

”Orang study, aku pun study..tapi tak dapat jugak..” suaranya tenggelam dengan angin yang lalu.

”Tak ada rezeki lagi la tu.. takpe, sem depan kena struggle lagi.” itulah sedikit motivasi yang sempat saya lempar buatnya. Buat pengubat hati.

Mengerti Ertinya

Banyak sebenarnya dalam kehidupan ini belum kita fahami. Hatta saya sendiri. Kalau nak ditempuh dengan ilmu yang sekerat ini, jauh barangkali. Cuba fahami erti kejayaan dan kegagalan pun sudah cukup sangat-sangat, untuk kenal kehidupan.

Allah itu Maha Adil. Setiap yang berusaha, pasti berjaya. Tapi sesetengah orang belum faham. Bukan tidak faham. Cuma belum.

Betulkah jika seseorang itu nak berjaya dalam akademik, antara pra-syaratnya mesti usaha bersungguh-sungguh seperti saya sebutkan diatas, maka dia akan berjaya. Noktah. Soalnya, jika dia dah buat semua tu, tapi tidak berjaya juga?

”Hang kena ingat zat, bukan cemerlang akademik kat U ni sahaja, tanda dia berjaya. Kalau macam tu, Tuhan tak Adil ke?” satu malam sahabat saya Aiman menegur.

”Allah tak bagi dia berjaya dekat U , mana tahu dia berjaya kat luar, meniaga ke, buka syarikat ke..” dia berujar lagi.

”Itulah baru tanda Allah tu Adil..” sambungnya.

Kata-kata terakhir dia itulah yang meresapi hati saya, membuat tersentuh. Hingga ke subuh saya memikirkan.

Benar. Yang berjaya itu rezeki. Yang belum berjaya, bukan dia tidak diberi rezeki, tapi sebenarnya, rezeki dia ada, tetapi di ’tempat’ lain.

Allah tahu, kerna Dia yang ciptakan hamba-Nya.

Yang berjaya, bersyukurlah. Kerana Allah memberi hadiah pada masa yang ’awal’. Syukuri dan manfaatkanlah. Yang belum berjaya, bersyukur juga, kerana Allah nak lihat kita usaha ’lebih sikit’ untuk memperoleh hadiah yang lagi besar hasil usaha yang besar. Allah Maha Adil, beri WIN-WIN kepada kita.

” Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui..”

Surah Al-Baqarah, ayat 216

Tahniah kepada sahabat-sahabat saya yang berjaya dalam exam baru-baru ini. Dan tahniah juga kepada yang belum berjaya, tunggulah sedikit masa lagi untuk kejayaan yang lebih bermakna.

Thursday, June 5, 2008

Minyak Oh Minyak..

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Saleh

Tepat jam 12 malam tadi, maka secara rasminya harga komersial minyak petrol Negara Malaysia berubah daripada RM 1.92 seliter kepada RM 2.70 seliter. Ia naik mendadak sebanyak 78 sen seliter berbanding kenaikan sebelum ini yang hanya RM 0.30 seliter sahaja. Tidak sampai beberapa tahun, kenaikannya sudah hampir RM 1.00 lebih.

Ketika sempat minum dan makan roti canai bersama ayahanda di Restoran Thaqwa Sri Gombak, kebetulan restoran tersebut hampir sungguh dengan tiga buah stesen minyak, SHELL, MOBIL dan PETRONAS. Masya Allah! Semua stesen penuh hinggakan jalan utama sesak dengan kenderaan semata-mata mahu ambil peluang harga murah sementelah naik keesokan harinya.

Perdana Menteri, selaku pemimpin negara Malaysia mengumumkan pada jam 4 petang tadi dengan sedikit ’penawar’ bahawa bagi mengurangkan bebanan itu, kerajaan akan membayar tunai kepada rakyatnya yang memiliki kenderaan persendirian. Bagi kereta RM 625 setahun, manakala motorsikal sebanyak RM 150 setahun.

Tidak tahulah apa sebenarnya strategi kerajaan Malaysia. Dengan kegawatan isu-isu yang melanda, tup-tup timbul isu baru yang sangat sensitif di hati rakyat ini. Perlu diingat, kenaikan minyak bukan sekadar terjadi pada ’zat’ minyak itu sahaja, bahkan tempiasnya pasti melanda pada harga-harga makanan seperti kuih-muih, bahan mentah contohnya ayam dan ikan serta kos perkhidmatan yang lain.

Bagi rakyat, sudah tentu perasaan tidak puas hati timbul di hati. Manakala bagi pemimpin negara, mereka ini perlu menyelesaikan permasalahan ketidak seimbangan ekonomi dan sebagainya. Masing-masing ada masalah sendiri.

Rakyat Kita

Kita selalu menonton rancangan kisah benar ’Bersamamu’ terbitan stesen televisyen TV3. kisah ini banyak memaparkan kehidupan realiti rakyat yang sangat susah dan tidak bernasib baik. Ada yang makan nasi bersama kicap, ada yang makan gam sehinggalah kepada siput babi. Semua ini ada dan berlaku dalam masyarakat kita.

Terkadang saya juga terdetik, apakah negara kita ini tersenarai dalam kategori barisan negara-negara miskin seperti Papua New Guinea atau negara Afrika Selatan hinggakan begitu sekali kemiskinannya. Tapi kadang-kadang suatu ketika, saya nampak negara ini sangat ’gah’ dengan kemajuan, kemodenan, kepesatan ekonomi sehingga berjaya menaja program-program bertaraf antarabangsa seperti Monsoon Cup dan sebagainya.

Nota Untuk Pemimpin

Teringat saya kepada ungkapan seorang khalifah Islam Saidina Umar r.a. pernah menyatakan: ”Aku tidak dapat tidur di malam hari kerana takut urusanku dengan Allah tidak selesai. Dan aku tidak dapat tidur di siang hari kerana takut urusanku dengan rakyat tidak selesai” Pernah juga suatu hari beliau menangis tersesak-esak. Apabila ditanya mengapa, beliau menjawab bahawa terdapat seekor kambing milik rakyatnya telah mati. Beliau takut dan bimbang kalau-kalau Allah s.w.t menghukumnya kerana kecuaian pemerintahannya.

Itu sifat pemimpin sejati. Pemimpin sesekali tidak mahu melihat rakyat di bawah jagaannya susah sedikit pun. Kalaupun susah, biarlah pemimpin itu menanggungnya. Dan ia akan berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah rakyatnya, bukan menambahkan lagi beban rakyatnya. Itu baharu pemimpin sejati yang bakal mendapat naungan Allah s.w.t kelak.

Sejarah telah terbukti. Contoh sudah ada. Berapa banyak pemimpin yang boleh tidur di kaki lima masjid tanpa pengawal sebagaimana zuhudnya Saidina Umar. Betapa mana pemimpin yang begitu sanggup memadamkan lilin hanya kerana membincangkan urusan keluarga, jika tidak imannya sehebat Saidina Uthman. Pemimpin abdi kepada rakyat. Ia datang dari orang-orang miskin, kembali kepada mereka semula.

Selepas ini..

Kenaikan harga minyak, kita perlu memandang dalam aspek yang berbeza. Berhentikan sejenak pemikiran ke’politik’an kita. Buang sekejap ulasan-ulasan yang agak mengkritik. Cuba bermuhasabah dan menilai apa sebenarnya suatu pengajaran yang Allah sembunyikan. Bagi yang befikir pasti ada. Bagi yang merenung pasti nampak. Dan yang mencari pasti terjumpa.

Semuanya kembali kepada ’kembara’ kita..