Saturday, October 29, 2011

Taatlah tanpa syarat


oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Dalam kehidupan kita, setiap insan sentiasa memerlukan antara satu sama lain. Dan di dalam keperluan itu, setiap manusia sering mahukan orang lain cinta dan taat kepadanya. Misalnya seorang ayah mahukan anak dan isterinya menjadi ahli keluarga yang taat kepadanya. Begitu juga seorang ahli perniagaan yang perlukan pekerja yang mendengar arahan tidak ketinggalan pemimpin politik yang hendakkan ahli-ahlinya patuh serta taat perintah dan arahan partinya.

Semua manusia mahukan ia dihormati. Dan penghormatan itu diterjemahkan di dalam ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Demikianlah sifat manusia yang penuh dengan kelemahan dan kekurangan. Lantaran kekurangan itu, kadangkala ramai insan tidak mampu memberi ketaatan hatta kepada orang yang sangat dicintainya atau organisasi yang disertainya.

Begitu juga Allah, Tuhan yang Menciptakan manusia. Sayugialah Dia juga menuntut ketaatan makhluk ciptaan-Nya. Lebih-lebih lagi Allah yang menjadikan sekelian alam, menciptakan peraturan dan segala isinya. Lalu ketaatan itu disebut sebagai akidah atau iman yang mesti diyakini setiap insan bahawa tiadalah suatu kuasa pun yang layak menandingi Allah s.w.t.

Kesilapan dalam ketaatan

Ramai insan sering tersilap dalam memberi ketaatan. Mereka seringkali tersalah sangka atau tafsir. Atau kadangkala manusia menyangka bahawa mereka sudah taat dan cinta kepada sesuatu, namun ia hanyalah sebuah sandiwara yang akhirnya musnah dan berlalu begitu sahaja.

Biasanya, dengan ketaatan ia akan melahirkan cinta, kasih dan sayang dan begitulah sebaliknya. Itu fitrah manusiawi yang tiada sesiapa boleh menghalang. Seorang anak yang sayang pada ayah dan ibunya akan melahirkan sifat taat di dalam pergaulannya kepada kedua orang tuanya. Begitu juga seorang isteri yang cinta dan kasih kepada suaminya, akan menzahirkannya dengan sifat ketaatan yang tidak berbelah bahagi.

Namun di sana, kadangkala terjadi peristiwa di mana orang yang dicintai dan dikasihi tidak dapat memberi ketaatan kepada dirinya, malah dia menjadi musuh atau menjadi 'duri dalam daging', walaupun dia adalah orang yang disayangi dahulu.

Oleh kerana manusia penuh dengan sifat kekurangan, maka sering manusia tersilap dalam memberi ketaatan. Ada manusia yang memberi ketaatan melalui rasa kasih dan cinta kepada akhlak, terpikat dengan kecantikan wajah, atau terikat dengan perjanjian dan gaji. Banyak juga yang tersilap memberikan kasih kerana sifat-sifat luaran yang menghiasi seseorang itu.

Kesilapan ini datang apabila manusia memberi ketaatan kepada barang yang tidak kekal dan akan musnah. Misalnya memberi kecintaan kepada akhlak sang suami sedangkan kelak akhlak tersebut mungkin tidak kekal. Mencintai isteri kerana sifatnya yang lemah lembut dan wajahnya yang cantik, walaupun kelak kecantikan tersebut pastinya akan pudar.

Begitu juga ketaatan seorang pekerja kepada majikannya, atas dasar perjanjiannya di atas gaji yang bakal diperolehinya. Sedangkan apabila syarikat itu bangkrup, maka semua pekerja lari dan tidak dapat menumpahkan ketaatannya lagi kerana tiada tempat mereka bergantung taat.

Lihatlah bagaimana Allah menjanjikan kesudahan yang sangat setimpal kepada manusia. Mereka cinta dan taat kepada perkara yang sementara, kelak Allah memberikan kemusnahan dan penyesalan kepada mereka.

Tanpa syarat

Sesungguhnya, Allah mengajar kita agar mentaati sesuatu 'tanpa syarat'. Demikianlah Allah memberi tunjuk ajar bahawa dalam mentaati Allah dan segala suruhannya, ia perlu datang dengan hati yang ikhlas yakni kosong daripada segala perantara, motivasi, sogokan, ganjaran atau terpikat dengan sesuatu apa pun. Ia benar-benar kerana Allah.

Taat yang tanpa syarat ini pastinya akan kekal selama-lamanya. Kerana ia datang dari sesuatu yang kekal dan berkuasa yakni Allah s.w.t. Siapakah yang akan kekal selamanya sesudah hancurnya alam maya ini selain Allah?

Begitu jualah panduan buat manusia di dalam memberi ketaatan kepada urusan dunia. Agar ia berkekalan, maka sandarkanlah seluruh ketaatan mahupun kecintan kepada Allah. Di dalam mencintai manusia, tetapkanlah batas bahawa kecintaan kita adalah berpandukan cinta Allah, kelak cintanya itu kekal hingga ke syurga.

Godaan dunia sememangnya begitu memeritkan, namun itulah ujian yang disediakan buat manusia. Sangat payah untuk meletakkan kaca mata Allah di dalam membuat penilaian untuk urusan dunia, seringkali kita akan tertewas dan dicela. Berapa banyak orang yang mencintai Allah sering disisihkan kerana tidak mengikuti apa yang dunia inginkan. Namun, oleh kerana dunia itu sementara, maka kepayahan itu jua bersifat sementara. Mereka bakal mendapat kegembiraan di negeri Akhirat, negeri yang bukan untuk 'orang-orang dunia.'

Wednesday, October 26, 2011

Solusi kepada tarbiyah Generasi Y



oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Keperluan untuk segera melakukan perubahan di dalam gerakan Islam khususnya kepada sistem dan halatuju gerakan mahasiswa Islam sudah diperkatakan sejak dulu lagi. Malah, sehingga hari ini ia mungkin sedang hebat diperdebatkan. Segala-galanya agar perjuangan gerakan tidak ketinggalan mendepani arus perubahan massa yang sangat cepat dan pantas hari ini.

Cabaran paling besar yang melanda gerakan Islam di kampus adalah bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran mad'u (baca: mahasiswa). Khususnya dalam aspek tarbiyah (pendidikan) yang menjadi isu utama yang diperjuangkan untuk melahirkan kader-kader pelapis gerakan ini.

Lebih utama lagi, mereka berhadapan dengan cabaran memahami keperluan 'generasi Y' yang agak 'bingung' untuk difahami bentuk, gaya dan budaya mereka sehinggakan kerap kali tarbiyyah gerakan ini ketinggalan yang akhirnya menghasilkan sambutan terhadap program-program tarbiyah seumpama tamrin, usrah, kuliah ilmu dan sebagainya seakan-akan malap.

Keperluan tarbiyah

Jika kita mengambil pandangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi mengenai keperluan tarbiyah, nescaya beliau akan meletakkan ia sebagai satu kerja yang paling utama di dalam keperluan gerakan Islam hari ini. Bukunya Fiqh Aulawiyyat menerangkan, "Kerana dengan pendidikan kita akan berjaya melahirkan generasi-generasi yang boleh membawa obor Islam dalam jangka masa yang lebih panjang."

Persoalannya, bagaimanakah kita mahu menghadapi generasi hari ini yang begitu kompleks keperluannya dan luas serta besar cabarannya?

Tarbiyah Generasi Y

Harusnya kita memahami terlebih dahulu apakah yang diperlukan generasi ini sebelum sesuatu sistem tarbiyah kita bina dan hasilkan buat generasi ini. Kegagalan memahami keperluan kita akan membuatkan kita menghasilkan satu keputusan yang tidak tepat kepada permasalahan semasa mereka yang akhirnya tidak akan diterima mereka. Antara keperluan dan perkara yang perlu diperhatikan:

1. Tahap intelek dan pemikiran

Kita tidak boleh meletakkan tahap pemikiran mereka seperti mana kita berfikir. Kalau tidak keterlaluan disebut, boleh dikatakan tahap pemikiran mereka jauh lebih 'advance' daripada kita. Mungkin cara berfikir kita ditentukan sebagaimana didikan kita sepuluh tahun dahulu dengan kerangka dan sejarah yang berbeza, namun mereka dididik dengan zaman dan suasana hari ini. Sungguh berbeza.

Mereka melalui zaman di mana segala-galanya mudah diperolehi. Tahap fakta dan ilmu mereka mungkin mempunyai banyak cabang dan sumber. Mereka terdedah kepada internet dan alam maya, sumber ilmu yang tidak terbatas. Mereka boleh medapatkan apa sahaja yang diperlukan dengan pantas.

2. Suasana

Berbeza suasana hari ini dengan lima tahun dahulu. Suasana hari ini ditentukan oleh medium maya. Setiap orang mendapatkan maklumat dengan pantas. Cara perhubungan yang lebih mudah, komunikasi yang pantas melahirkan generasi yang 'mudah-mudah' dalam aspek perhubungan. Misalnya mereka tidak lagi suka menghadiri ke majlis atau kuliah ilmu. Mereka berpandangan: "Buat apa ke sana, dalam internet pun sudah ada maklumatnya.."

Begitu juga komunikasi yang bukan lagi satu atau dua hala, malah hari ini seorang manusia boleh berkomunikasi dengan beratus-ratus orang dalam satu masa melalui facebook. Dapat dibayangkan bagaimana penerimaan dan aliran pemikiran yang diterima mereka hasil daripada berkomunikasi dengan ragam manusia yang pelbagai ini.

3. Tidak mahu terikat

Rata-rata generasi Y adalah generasi yang natural dan bebas. Keputusan mereka selalu ditentukan dengan maklumat dan fakta yang dibaca. Banyak fakta yang baik, maka baiklah hasilnya. Mereka sukar mahu terikat lantaran pelbagai sumber ilmu dan maklumat perbandingan yang mereka temui setiap hari. Sekiranya ilmu itu benar sekalipun, jika maklumat yang diterima banyak yang buruk, maka persepsi mereka turut bertukar buruk terhadap maklumat yang benar itu.

Solusi

Saya suka mengambil pendekatan fiqh di dalam menyelesaikan permasalahan membina kaedah dan keperluan tarbiyah yang terbaik buat generasi Y ini. Di dalam penentuan hukum terhadap sesuatu masalah semasa, ulama mengambil pendekatan:

1) Mengetahui sejarah hukum (latar belakang mengapa hukum itu terjadi)
2) Mengetahui sumber hukum (Al-Quran dan hadis)
3) Mengetahui kondisi dan realiti semasa

Maka apa yang boleh dihasilkan bagaimana keperluan tarbiyah generasi ini adalah dengan:

1) Mengetahui sejarah sistem tarbiyah (mengapa sistem/pengisian itu diciptakan, apa sejarah yang melatari sistem itu)
2) Berasaskan sumber yang benar (Al-Quran dan Sunnah atau sirah Nabi)
3) Tahu permasalahan dan realiti keperluan generasi hari ini

Penjelasan:

1) Mengetahui sejarah sistem tarbiyah (mengapa sistem/pengisian itu diciptakan, apa sejarah yang melatari sistem itu)

Semestinya setiap sistem tarbiyah yang dirangka hasil daripada keperluan zaman itu. Ia terhasil daripada keadaan zaman itu. Misalnya, jika zaman itu gerakan mengalami tekanan yang hebat, maka tarbiyah dihasilkan untuk melahirkan kader-kader yang tahan lasak. Atau jika di zaman itu memerlukan ahli yang memiliki ilmu yang tinggi kerana banyak aliran pemikiran, maka tarbiyah dirangka ke arah itu.

Justeru itu, tidak adil dan kurang sesuai jika sistem yang dirangka dahulu (mungkin 5-10 tahun dahulu) digunakan untuk generasi hari ini. Malah ia mustahil digunakan. Ini kerana sistem tarbiyah itu dirangka untuk keperluan zaman itu sahaja, ia tidak sesuai di zaman ini. Ini kerana, sejarah hanya boleh dijadikan panduan dan pengalaman untuk menghasilkan sesuatu keputusan yang baru, bukan menirunya.

Dalam satu-satu masa mungkin sejarah tarbiyah lampau boleh digunakan, namun tidak semuanya. Mungkin digunakan pada situasi dan saat yang hampir sama dengan sejarah tersebut lalu dibuat perbandingan dengan zaman hari ini. Dan keputusan yang baik perlu dihasilkan daripada pengalaman sejarah itu walaupun mungkin satu ketika ia dianggap sebagai menongkah arus.

2) Berasaskan sumber yang benar (Al-Quran dan Sunnah atau sirah Nabi)

Aspek ini pastinya setiap ahli gerakan sudah arif dan mengerti. Setiap daripada keputusan yang dihasilkan, ia perlu dibuat di dalam kerangkan syariat yakni Al-Qur'an dan As-Sunnah. Dalam mendepani cabaran dan keperluan suasana yang rencam, kebijaksanaan untuk mentafsir, membaca dan memahami Al-Quran dan Hadis perlu lebih tinggi agar syariat Islam itu tidak dilihat ketinggalan zaman dan mundur.

Begitu juga dalam aspek merangka sistem tarbiyah. Adalah lebih baik mengutamakan perkara yang mudah dilaksanakan, konsep 'Basyiran' yakni memberi khabar gembira, mengambil persoalan yang tidak rumit dan mengurangkan syarat-syarat yang ketat di dalam tarbiyah. Ia supaya sistem itu tidak dilihat ekslusif, terlalu kompleks, menyusahkan dan akhirnya akan dipenuhi dengan mereka-mereka yang 'satu jenis' dengan kita sahaja.

Konsep 'Iza ittas'a dhaqa, wa iza dhaqa ittasa'a' yang bermaksud: Jika terlalu longgar hendaklah diketatkan/disempitkan, dan jika terlalu sempit hendaklah diluaskan semula. Ia bermaksud seimbang. Kaedah yang sempit mungkin boleh diaplikasikan di dalam aspek perkara asas dalam tarbiyah misalnya pengetahuan mengenai Aqidah, Islam dan sebagainya, namun dalam perkara metodologi, hendaklah dibesarkan seluas mungkin.

3) Tahu permasalahan dan realiti keperluan generasi hari ini

Ini adalah aspek yang paling penting dan banyak gerakan yang sering gagal dalam memahami permasalahan, keperluan dan realiti generasi Y ini. Seperti yang telah disebutkan di atas (dalam keperluan generasi Y), sistem tarbiyah yang dirangka haruslah berpandukan keperluan-keperluan tersebut dengan tidak meninggalkan prinsip-prinsip yang asas yakni dari sudut pengisiannya.

Kita mesti mengetahui lapangan di mana kita duduk dan di mana generasi Y itu berada. dan penguasaan terhadap lapangan itu penting agar gerakan dapat dilihat mendepani massa. Maksud menguasai lapangan adalah dengan menggunakan semaksima mungkin ruang dan peluang seperti facebook, twiter, blog, website, dan sebagainya sebagai medium tarbiyyah. Penguasaan itu juga bukan sekadar memiliki, bahkan mesti menjadi pengguna yang pro-aktif, yang memulai isu dan maklumat agar gerakan-gerakan lain tenggelam dengan penguasaan medium ini oleh ahli gerakan kita.

Penghasilan E-Usrah misalnya, satu pendekatan yang sangat baik di dalam tarbiyyah, malah ia perlu diperhebatkan lagi dan digerakkan perubahan ini sehingga kepada seluruh sistem tarbiyyah. Selain itu, dengan menetapkan kriteria dan syarat keahlian yang tidak terlalu ketat dan menyusahkan misalnya dengan mengisi borang-borang kefahaman dan isu semasa yang berat, kadangkala menyebabkan kesilapan kita di dalam mentafsirkan sejauh mana kefahaman mad'u itu untuk diahlikan.

Selain itu, pemahaman kepada lifestyle generasi Y ini juga haruslah jelas. Generasi ini adalah generasi yang selesa kerana segala-galanya sudah terhidang di depan mata mereka. Justeru, pendekatan yang juga selesa harus digunakan, sebelum diberikan secara tahap demi tahap pemahaman yang jelas terhadap tarbiyah gerakan. Zaman ini adalah zaman hujah dan zaman bertanya. Justeru sesiapa yang dapat memberikan hujah yang terbaik, maka gerakan itulah yang akan diikuti.

Kesimpulan

Ini hanyalah secebis pandangan asas terhadap sistem tarbiyah kampus melalui pengamatan akhir-akhir ini. Ia perlu diperbahaskan dan diperbincangkan lagi. Apa yang pasti, perkara yang lebih besar untuk ditempuhi dalam merealisasikannya adalah kesediaan untuk melakukan perubahan. Dan perubahan itu datang daripada kebebasan pemikiran serta sistem yang baik, yang mana kedua-duanya perlu selari dan seiring.

Tuesday, October 25, 2011

Puisi: Lendir Sang Penguasa


Puisi ini ku titipkan buat Sang Penguasa, ahli-ahli politik, pentadbir negara, ahli-ahli majlis daerah, penguatkuasa, polis, si kaya, dan sesiapa atau mereka-mereka yang memiliki kuasa dan kekayaan. Puisi ini datang dari benak jiwa seorang manusia kerdil yang tidak memiliki apa-apa kuasa dan kekayaan.

Lendir Sang Penguasa

Di suatu sudut terpencil
rendam air mata
mengais sesuap rezeki
untuk mengenyang si kecil

Warga ini
tidak dtoleh
resahnya, gelisahnya
serta matinya jua
bukan dipeduli

Tiada makna mereka di sini
ketawa Sang Penguasa
berunding projek
sambil memukul bola-bola golf
Kata mereka: "Biarkan saja mereka berpayah,
bukankah itu sistem dan prosedurnya..?"

Tiada syarat untuk si air mata
atau ruang untuk berduka
bagi tempat sesuap nasi

Siapa berkuasa dialah Hakim
Siapa berharta dialah pemilik

Mereka bertanya: "Siapakah engkau disini?"
Jawabnya hanya peniaga lauk petang.
"Engkau tiada tempat disini."

Mereka bertanya: "Siapakah engkau disini?"
Jawabnya: Tandatanganku, copku berharga
dan apa sahaja mungkin ku beli
"Maka duduk engkau disini"

Usah diparahkan lagi duka si derita
Usah dihulurkan lagi megah Sang Penguasa

Derita mereka mengalir
Lalu menyepi dan hilang
bersama pasir-pasir yang berdebu
atau hanyut
dalam gelak bising
kelab-kelab dan restoran mewah

Terkenang kita doa
Baginda Muhammad s.a.w:
"Ya Allah, hidupkanlah aku dalam miskin,
matikanlah aku dalam miskin,
dan kurniakanlah aku cinta dan kasih,
kepada orang-orang miskin.."

Mohd Aizat Salleh@Faisal Iman
25 Oktober 2011 (Selasa)
12:37 p.m
Bandar Baru Selayang

Thursday, October 13, 2011

Bagaimana masa depan industri buku 10 tahun mendatang?

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya cuba menulis agak santai pada kali ini walaupun agak sukar melepaskan tulisan berbentuk analitikal dan ilmiah di dalam mengkritik isu semasa. Beberapa hari lepas, saya sempat berdiskusi dengan editor saya, Encik Syarafuddin mengenai industri buku, penerbitan, penulisan dan pembacaan di Malaysia. Banyak perkara dikritik dan persetujuan dicapai mengenai aspek itu.

Realiti mengenai budaya pembacaan di Malaysia sangat terkebelakang. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) membuat kajian, hanya purata dua buah buku setahun dibaca oleh rakyat Malaysia pada tahun 2005, dan meningkat sebanyak 7 buah pada 2010, lima tahun selepas itu. Kajian itu belum lagi diperincikan melalui bilangan muka surat buku atau genre yang dibaca. Lima tahun lepas pula, kita mundur sebanyak sepuluh kali ganda berbanding negara Asia China dalam industri buku.

Walaupun Malaysia berada di tangga ke-16 seluruh dunia di dalam bidang penerbitan, namun jumlah penerbitan berjumlah 16,000 judul buku setahun, dilihat tidak mencukupi untuk dikira dengan 54 tahun merdeka serta kedudukan Malaysia sebagai negara contoh dari sudut pendidikan.

Asas ilmu

Barangkali rakyat Malaysia sudah melupai atau tidak menyedari adanya ayat Al-Qur'an yang menyeru kaedah pembacaan sebagai permulaan dalam mendapatkan ilmu. Firman Allah: "(Wahai Muhammad) Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).." (Al-'Alaq, 1). Budaya membaca telah dicontohkan awal-awal lagi oleh Baginda Rasulullah s.a.w kepada umatnya sebagai sumber utama di dalam memperolehi ilmu.

Berbicara mengenai pembacaan, ia tidak terlepas daripada menyentuh isu penerbitan. Apabila kita bertemu penerbit, maka mereka 'menyalahkan' masyarakat yang tidak suka membaca dan dengan sebab itu mereka sukar menentukan penerbitan buku yang bagaimana dikehendaki minatnya oleh orang awam. Bila mana kita bertanya pula kepada masyarakat awam, mereka pula menuding kepada penerbit buku kerana kurang menerbitkan buku pilihan dan kesukaan masyarakat.

Ia ibarat antara ayam dan telur, mana satu yang dahulu. Sesetengah berkata ayam dahulu kerana ia mengeluarkan telur, manakala yang berpandangan telur dahulu berhujah bahawa ayam tidak akan jadi jika bukan daripada telur. Perbincangan ini tidak akan berakhir sehingga Kiamat, atau ia akan berhenti seandainya spesis ayam sudah pupus di muka bumi.

Genre yang dibaca

Sesetengah orang malu dengan genre yang menjadi minat mereka membaca. Misalnya seseorang yang meminati karya novel, akan seringkali dituduh 'jambu' atau 'tangkap nangis'. Mereka juga digelar mat cinta atau si emosional. Akhirnya jika tidak tahan mereka memberhentikan minat mereka.

Saya berkata, ketepikan soal genre. Yang penting anda membaca, tidak kira apa jenis penulisan sekalipun kerana kesemuanya bermanfaat. Setiap penulisan ada keistimewaan dan kelebihannya yang tidak boleh dinafikan oleh penulisan-penulisan lain. Paling kurang, bagi mereka yang meminati novel cinta romantis, dalam setiap satu judul buku, mereka boleh menemui satu 'kehidupan' manusia yang'mungkin' lahir daripada pengalaman penulisnya sendiri. Beerti anda sudah belajar daripada sebuah kehidupan.

Cuba bayangkan sekiranya anda membaca berpuluh-puluh buah novel cinta atau konflik keluarga, anda sudah menyelami berpuluh-puluh kisah kehidupan yang 'mungkin' anda telah alaminya sendiri atau bakal alamai. Itu baru penulisan bergenre novel, belum lagi tulisan-tulisan lain.

Industri buku

Paling mudah, elok kita bandingkan bagaimana perkembangan industri buku kita dengan negara jiran yang paling dekat iaitu Indonesia. Saya boleh katakan sangat jauh. Ya, mungkin kita boleh mendakwa bahawa jumlah penduduk Indonesia bernisbah lebih tinggi daripada Malaysia. Tapi tu bukan isu utamanya, yang penting peratusan perkembangan penulisan dan terbitnya jumlah buku yang besar menggambarkan bagaimana industri buku sesebuah negara itu dinilai.

Saya suka mengambil satu sudut iaitu dari aspek penterjemahan buku yang mana Indonesia sangat laju dan kehadapan. Saya sudah menjumpai di toko-toko buku terjemahan Tafsir Ibnu Katsir, Tafsir Al-Qurtubi dan Kitab Fiqh 4 Mazhab yang sangat besar buku-bukunya. Saya kira Tafsir Ibnu Katsir lebih kurang 30 jilid yang jumlahnya memenuhi seluruh rak buku! Di Malaysia, yang ada hanyalah Tafsir Al-Munir karangan Dr Wahbah Az-Zuhaili yang itu pun masih belum sempurna diterjemahkan.

Satu lagi yang menjadi kelebihan mereka adalah harga bukunya yang murah. Misalnya, jika kita memiliki lebih kurang RM200, kita boleh membeli hampir sepuluh buah buku yang mana jika di Malaysia kita hanya dapat membeli lebih kurang 4-5 buah buku sahaja.

Masa depan industri buku

Saya kurang pasti untuk membaca masa depan industri buku kita, yang pasti mungkin sedikit sebanyak akan ada dari segi peningkatan. Namun, apa yang pasti seperti mana kata seorang pakar Teknologi: Masa depan adalah segalanya percuma. Mungkin ada benarnya ungkapan ini. Masa depan bidang penerbitan buku harusnya percuma yakni dengan memperbanyakkan penerbitan e-book yang mudah dan senang diakses oleh masyarakat, malah ia diberikan secara percuma atau berbayar (sedikit). Ia boleh berlaku sepanjang 10 tahun mendatang.

Namun, ia mungkin kurang dipersetujui oleh penggemar buku konvensional yang lebih sukakan membelek buku, dan ghairah mengumpul buku dan menyusun di rak-rak perpustakaan rumah dan bilik mereka. Walau apapun perlu ada perubahan dari aspek teknologi, bukan sekadar genre semata-mata, bahkan lebih jauh dari aspek pengurusan penerbitan.

Sunday, October 9, 2011

Dimanakah hendak ditemui sahabat sejati


oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Dalam kita mengharungi kehidupan, perlunya kita memiliki seorang teman untuk menjadi petunjuk dan pembantu. Apabila kita berada di dunia ini, samalah diibaratkan seperti sebuah perjalanan atau permusafiran yang jauh dan berbatu-batu, untuk sampai ke destinasi abadi dan kekal iaitu negeri Akhirat. Di dalam perjalanan itu, kita kadang kala berhenti berehat, dan kadang kala pula mempersiap bekalan.

Teman atau sahabat sangat penting buat manusia. Dia boleh menjadi petunjuk, dan boleh pula menjadi pembimbing. Lebih dari itu, sahabat juga adalah seseorang yang boleh menjadi pembantu di kala susah, penghibur di kala duka, dan penyelamat di kala kesempitan. Sesetengahnya menjadi manfaat kepada satu sama lain.

Tidak ramai manusia di dalam dunia ini mengerti hakikat bersahabat. Terkadang, kita juga keliru dengan istilah, yang mana lebih dekat antara sahabat, teman, rakan, ataupun kenalan. Ada yang mengatakan sahabat, kerana kepada Rasulullah s.a.w, Baginda hanya memiliki sahabat-sahabat yang susah dan senang bersama. Teman dan rakan yang selalu disamping, manakala kenalan hanya orang yang kita kenali. Tidak kira apa jua istilah, setiap orang mampu menafsirkan sendiri, siapa seseorang itu di sisinya.

Bersahabat kerana apa?

Setiap orang pasti ada sahabat, sama ada sedikit mahupun ramai. Ini kerana fitrah manusia sukakan orang bersama dengannya. Apa yang membezakannya antara sahabat dengan sahabat yang lain adalah sebab bersahabat. Ada orang bersahabat kerana dia terpikat dengan akhlak. Di sana ada juga yang bersahabat kerana ingin menumpang kekayaan atau kemahsyuran sahabatnya, agar dia juga dihormati. Ada juga yang bersahabat kerana inginkan teman untuk berbicara, berbincang dan meluahkan masalah.

Kita seringkali terlupa dan tidak menyedari untuk mengetahui sebab bersahabat dengan kita menoleh kembali di mana bermula kita berjumpa dengan sahabat kita. Ada yang terlibat dengan perniagaan, maka di situ dia bertemu dengan sahabat dan kenalan yang ramai. Ada yang berpolitik lalu dia bertemu dengan ramai orang yang ingin bersahabat dengannya. Tidak kurang yang terlibat dalam bidang ilmu, maka sahabatnya adalah di kalangan mereka yang menuntut ilmu.

Asasnya, dengan sebab apa seorang itu bertemu dengan sahabatnya. Maka ia akan menjadi tali pengikat sejauh mana mereka bersahabat, tidak kira kerana dunia, atau kerana Akhirat.

Boleh memilih

Setiap manusia, diberi pilihan oleh Allah untuk memilih jalan hidupnya. Kebenaran atau keburukan. Begitu juga di dalam bersahabat, kita boleh dan berhak memilih siapakah manusia yang akan dijadikan sahabat. Pilihan tersebut tidak terlepas sama ada baik atau buruk, yakni sahabat yang baik, atau sahabat yang membinasakannya. Allah sesekali tidak menghalang.

Di dalam memilih inilah manusia sering tertewas dan terkandas. Lalu banyak yang memilih untuk menjadi sahabatnya mengikut kepentingan masing-masing. Ahli perniagaan akan memilih peniaga atau jutawan agar perniagaannya dapat bertahan dengan bantuan sahabat-sahabatnya. Orang yang berkuasa akan melebarkan kuasa dan pengaruhnya dengan pertolongan sahabat di sekelilingnya.

Sebab itulah, para ulama banyak menggariskan panduan di dalam memilih sahabat. Paling minima adalah seorang sahabat itu, dia dapat menerima manfaat yang baik daripada sahabatnya. Ini kerana seseorang itu akan mengikuti dan terpaut dengan siapa dia bersahabat umpama seorang yang bersahabat dengan penjual minyak wangi, jika tidak membeli pun, paling kurang terlekat bau wanginya.

Setengah ulama pula memberi panduan, carilah sahabat yang paling setia, terutamanya di waktu-waktu susah kelak dia akan setia di waktu senang dan selama-lamanya. Dr Hamka pula berkata: "Persahabatan manusia yang didapati sesudah menempuh sengsara adalah persahabatn yang lebih kekal daripada yang didapati pada waktu gembira."

Seorang ulama, Imam Ghazali menunjukkan kepada kita, teman dan sahabat yang paling sejati dan setia adalah amalan kebaikan. Kerana, ia setia bersahabat dengan kita sewaktu hidup dan akan terus setia menemani kita di dalam kubur, serta menjadi penerang dan cahaya tatkala kita keseorangan kelak di sana. Dialah teman paling setia sehidup dan semati.

Sukar dicari

Di dalam dunia akhir zaman ini, sangat sukar dicari sahabat sejati. Di dalam kesibukan dan kemodenan manusia saling kejar mengejar kemewahan dan kedudukan, masing-masing tersirat kepentingan-kepentingan dalam setiap perkara. Setiap orang menilai manusia lain dengan pandangan dunia dan dari kacamata manusia. Ada juga yang berkata: "Kalau baik sangat, susah nak hidup.." Setiap manusia ada kehendak duniawi masing-masing.

Namun, seandainya kita mengerti dan mengetahui bahawa dunia ini hanyalah sebuah rumah persinggahan yang bakal kita tinggalkan suatu masa kelak, dan kita akan menempuh banyak lagi perjalanan yang memeritkan selepas dunia, maka kita akan mengerti bahawa perlunya memiliki sahabat yang sejati yang boleh menjadi peneman, petunjuk dan bekalan untuk menghadapi saat-saat itu.

Sahabat seperti ini susah dicari, malah mungkin tidak ditemui lagi pada hari ini. Dimanakah kita akan temui orang yang bersahabat di dunia dan berkekalan bersahabat juga di Akhirat. Ramainya terhenti hanya setakat di dunia. Selepas kematiannya, sahabat-sahabatnya meninggalkannya untuk terus hidup dan mencari sahabat lain. Begitulah kehidupan.

Kecuali yang bertaqwa. Allah menyebut: "Sahabat-sahabat yang karib itu pada hari itu (akan) saling bermusuhan, kecuali mereka yang (bersahabat dengan sahabat yang) bertaqwa." (Az-Zukhruf, 67). Orang yang bertaqwa, ikhlas bersahabat. Bersahabat bukan kerana kepentingan duniawi, dan tidak mengharapkan apa-apa kelebihan duniawi kepada sahabatnya. Malah dia mementingkan ukhrawi. Dia melihat persahabatan adalah sebuah tali ikatan yang panjang bermula di dunia hingga ke Akhirat dan ke syurga.

Sahabat-sahabat seperti ini jarang dijumpai. Kalau adapun akan diperlekehkan, dihina, dikritik dan dibenci kerana mereka tiada memiliki dunia. Berbahagialah mereka yang menjumpai mereka dan menjadikan sahabat. Kelak mereka akan setia di sisi dan menemani kita hingga ke Akhirat dan syurga, negeri kekal abadi yang tidak disedari banyak sahabat-sahabat di dunia.

Hentian Rehat dan rawat (R&R)
Ayer Keroh, Melaka
Sabtu, 8 Oktober 2011 (9.45 p.m)

Monday, October 3, 2011

Kita hadir hanya ketika membantah


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Mungkin agak terlewat mengetengahkan kembali isu hiburan sekarang ini. Namun saya masih lagi tertarik untuk memberi pandangan mengenai isu filem 'Hantu Bonceng' yang diarahkan oleh Ahmad Idham dengan Zizan dan Juliana Evans sebagai pelakon utama. Walaupun ia telah berlalu, namun hari ini mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad kembali memberi respons.

Isunya hanyalah adegan dan dialog yang dianggap seperti menghina Islam. Ucapan syahadah yang bercampur dengan perkataan 'Syaitan' serta mempermainkan azan ketika Zizan terpana melihat Juliana Evans tertidur di sofa dengan kain terselak. Isu ini melarat apabila Ketua Pemuda PAS mencadangkan agar diberi penambah baikan di dalam tapisan filem serta membidas filem-filem yang terlalu banyak unsur yang merosakkan.

Isu

Saya ingin mengenepikan isu keburukan yang berlaku di dalam filem tersebut. Ini kerana saya yakin, pengarahnya sendiri bukanlah seorang yang berfikrah Islam sepertimana Rashid Sibir yang pernah menghasilkan telemovie Liang Lahad, atau Faisal Ishak (telemovie Panggilan Arwah), atau filem yang sarat dengan mesej kemanusiaan yang pernah dihasilkan oleh U-Wei Haji Saari.

Namun, saya yakin beliau (Ahmad Idham) punyai matlamat walaupun - mungkin kurang jelas - dalam mengetengahkan isu mat rempit yang semakin menjadi-jadi. Saya juga yakin bahawa mat-mat rempit yang menonton filem ini, akan mengakhiri tontonan mereka dengan kepuasan kerana lawak daripada Zizan, bukannya dari mesej Ahmad Idham.

Petang tadi, saya sempat bertwitter dengan Ahmad Idham. Oleh kerana isu ini timbul kembali, saya berkata padanya harapnya dalam filem akan datang tidaklah kontroversi lagi. Lalu beliau menjawab: "Susah nak jamin, sebab kebanyakannya suka cari salah orang lain.." Kata beliau menyebabkan saya terkedu sejenak. Mungkin ada kebenaran.

Hadir hanya ketika membantah

Dengan tidak menyalahkan seratus-peratus tindakan parti politik yang membantah unsur buruk dalam filem itu, saya suka melihat dari perspektif berbeza. Khususnya kepada gerakan Islam - yang perjuangannya bermesejkan dakwah - selalunya hadir dalam segenap isu dalam keadaan membantah dan mengecam. Atau kata lainnya - kita selalu hadir hanya ketika membantah.

Kita hanya berperspektif melihat kesalahan-kesalahan yang dilakukan orang lain. Dan dengan kesalahan itu, kita membantah dan mencadangkan sesuatu. Saya tidak katakan ini tindakan salah. Tetapi kadangkala boleh ditafsirkan kurang bijak dan tepat.

Bukankah dengan tindakan ini, ia lebih menampakkan gerakan Islam itu sebagai musuh di dalam industri hiburan, sedangkan alangkah baiknya kita menjadi agen yang menyerap masuk ke dalam industri ini, lalu memperbetulkannya daripada dalam. Di sana, adakah kita sudah merancang dan menyusun strategi ke manakah kita mahu menghalakan artis-artis yang sudah berubah ini untuk ditempatkan di dalam industri hiburan?

Cabaran

Inilah cabaran paling besar kita: Mengislamisasikan industri hiburan. Dalam hal ini, saya melihat negara Indonesia lebih kehadapan di dalam menyusun kader-kader dari kalangan artis ke dalam seni dan perfileman yang akhirnya mereka boleh menghasilkan fenomena di dalam perfileman yang berbentuk Islamik.

Bila lagi kita boleh lahirkan pengarah-pengarah yang filemnya box office namun dalam masa yang sama boleh mengesankan jiwa-jiwa masyarakat yang menonton. Khabir Bhatia dengan Nur Kasih The Movie, boleh dianggap contoh yang boleh diikuti. Malah perlu melahirkan lebih banyak pengarah-pengarah seumpama itu. Sesungguhnya industri filem sangat memberi kesan kepada masyarakat dalam membentuk pemikiran dan budaya mereka.