Sunday, October 9, 2011

Dimanakah hendak ditemui sahabat sejati


oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Dalam kita mengharungi kehidupan, perlunya kita memiliki seorang teman untuk menjadi petunjuk dan pembantu. Apabila kita berada di dunia ini, samalah diibaratkan seperti sebuah perjalanan atau permusafiran yang jauh dan berbatu-batu, untuk sampai ke destinasi abadi dan kekal iaitu negeri Akhirat. Di dalam perjalanan itu, kita kadang kala berhenti berehat, dan kadang kala pula mempersiap bekalan.

Teman atau sahabat sangat penting buat manusia. Dia boleh menjadi petunjuk, dan boleh pula menjadi pembimbing. Lebih dari itu, sahabat juga adalah seseorang yang boleh menjadi pembantu di kala susah, penghibur di kala duka, dan penyelamat di kala kesempitan. Sesetengahnya menjadi manfaat kepada satu sama lain.

Tidak ramai manusia di dalam dunia ini mengerti hakikat bersahabat. Terkadang, kita juga keliru dengan istilah, yang mana lebih dekat antara sahabat, teman, rakan, ataupun kenalan. Ada yang mengatakan sahabat, kerana kepada Rasulullah s.a.w, Baginda hanya memiliki sahabat-sahabat yang susah dan senang bersama. Teman dan rakan yang selalu disamping, manakala kenalan hanya orang yang kita kenali. Tidak kira apa jua istilah, setiap orang mampu menafsirkan sendiri, siapa seseorang itu di sisinya.

Bersahabat kerana apa?

Setiap orang pasti ada sahabat, sama ada sedikit mahupun ramai. Ini kerana fitrah manusia sukakan orang bersama dengannya. Apa yang membezakannya antara sahabat dengan sahabat yang lain adalah sebab bersahabat. Ada orang bersahabat kerana dia terpikat dengan akhlak. Di sana ada juga yang bersahabat kerana ingin menumpang kekayaan atau kemahsyuran sahabatnya, agar dia juga dihormati. Ada juga yang bersahabat kerana inginkan teman untuk berbicara, berbincang dan meluahkan masalah.

Kita seringkali terlupa dan tidak menyedari untuk mengetahui sebab bersahabat dengan kita menoleh kembali di mana bermula kita berjumpa dengan sahabat kita. Ada yang terlibat dengan perniagaan, maka di situ dia bertemu dengan sahabat dan kenalan yang ramai. Ada yang berpolitik lalu dia bertemu dengan ramai orang yang ingin bersahabat dengannya. Tidak kurang yang terlibat dalam bidang ilmu, maka sahabatnya adalah di kalangan mereka yang menuntut ilmu.

Asasnya, dengan sebab apa seorang itu bertemu dengan sahabatnya. Maka ia akan menjadi tali pengikat sejauh mana mereka bersahabat, tidak kira kerana dunia, atau kerana Akhirat.

Boleh memilih

Setiap manusia, diberi pilihan oleh Allah untuk memilih jalan hidupnya. Kebenaran atau keburukan. Begitu juga di dalam bersahabat, kita boleh dan berhak memilih siapakah manusia yang akan dijadikan sahabat. Pilihan tersebut tidak terlepas sama ada baik atau buruk, yakni sahabat yang baik, atau sahabat yang membinasakannya. Allah sesekali tidak menghalang.

Di dalam memilih inilah manusia sering tertewas dan terkandas. Lalu banyak yang memilih untuk menjadi sahabatnya mengikut kepentingan masing-masing. Ahli perniagaan akan memilih peniaga atau jutawan agar perniagaannya dapat bertahan dengan bantuan sahabat-sahabatnya. Orang yang berkuasa akan melebarkan kuasa dan pengaruhnya dengan pertolongan sahabat di sekelilingnya.

Sebab itulah, para ulama banyak menggariskan panduan di dalam memilih sahabat. Paling minima adalah seorang sahabat itu, dia dapat menerima manfaat yang baik daripada sahabatnya. Ini kerana seseorang itu akan mengikuti dan terpaut dengan siapa dia bersahabat umpama seorang yang bersahabat dengan penjual minyak wangi, jika tidak membeli pun, paling kurang terlekat bau wanginya.

Setengah ulama pula memberi panduan, carilah sahabat yang paling setia, terutamanya di waktu-waktu susah kelak dia akan setia di waktu senang dan selama-lamanya. Dr Hamka pula berkata: "Persahabatan manusia yang didapati sesudah menempuh sengsara adalah persahabatn yang lebih kekal daripada yang didapati pada waktu gembira."

Seorang ulama, Imam Ghazali menunjukkan kepada kita, teman dan sahabat yang paling sejati dan setia adalah amalan kebaikan. Kerana, ia setia bersahabat dengan kita sewaktu hidup dan akan terus setia menemani kita di dalam kubur, serta menjadi penerang dan cahaya tatkala kita keseorangan kelak di sana. Dialah teman paling setia sehidup dan semati.

Sukar dicari

Di dalam dunia akhir zaman ini, sangat sukar dicari sahabat sejati. Di dalam kesibukan dan kemodenan manusia saling kejar mengejar kemewahan dan kedudukan, masing-masing tersirat kepentingan-kepentingan dalam setiap perkara. Setiap orang menilai manusia lain dengan pandangan dunia dan dari kacamata manusia. Ada juga yang berkata: "Kalau baik sangat, susah nak hidup.." Setiap manusia ada kehendak duniawi masing-masing.

Namun, seandainya kita mengerti dan mengetahui bahawa dunia ini hanyalah sebuah rumah persinggahan yang bakal kita tinggalkan suatu masa kelak, dan kita akan menempuh banyak lagi perjalanan yang memeritkan selepas dunia, maka kita akan mengerti bahawa perlunya memiliki sahabat yang sejati yang boleh menjadi peneman, petunjuk dan bekalan untuk menghadapi saat-saat itu.

Sahabat seperti ini susah dicari, malah mungkin tidak ditemui lagi pada hari ini. Dimanakah kita akan temui orang yang bersahabat di dunia dan berkekalan bersahabat juga di Akhirat. Ramainya terhenti hanya setakat di dunia. Selepas kematiannya, sahabat-sahabatnya meninggalkannya untuk terus hidup dan mencari sahabat lain. Begitulah kehidupan.

Kecuali yang bertaqwa. Allah menyebut: "Sahabat-sahabat yang karib itu pada hari itu (akan) saling bermusuhan, kecuali mereka yang (bersahabat dengan sahabat yang) bertaqwa." (Az-Zukhruf, 67). Orang yang bertaqwa, ikhlas bersahabat. Bersahabat bukan kerana kepentingan duniawi, dan tidak mengharapkan apa-apa kelebihan duniawi kepada sahabatnya. Malah dia mementingkan ukhrawi. Dia melihat persahabatan adalah sebuah tali ikatan yang panjang bermula di dunia hingga ke Akhirat dan ke syurga.

Sahabat-sahabat seperti ini jarang dijumpai. Kalau adapun akan diperlekehkan, dihina, dikritik dan dibenci kerana mereka tiada memiliki dunia. Berbahagialah mereka yang menjumpai mereka dan menjadikan sahabat. Kelak mereka akan setia di sisi dan menemani kita hingga ke Akhirat dan syurga, negeri kekal abadi yang tidak disedari banyak sahabat-sahabat di dunia.

Hentian Rehat dan rawat (R&R)
Ayer Keroh, Melaka
Sabtu, 8 Oktober 2011 (9.45 p.m)

No comments: