Wednesday, October 26, 2011

Solusi kepada tarbiyah Generasi Y



oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Keperluan untuk segera melakukan perubahan di dalam gerakan Islam khususnya kepada sistem dan halatuju gerakan mahasiswa Islam sudah diperkatakan sejak dulu lagi. Malah, sehingga hari ini ia mungkin sedang hebat diperdebatkan. Segala-galanya agar perjuangan gerakan tidak ketinggalan mendepani arus perubahan massa yang sangat cepat dan pantas hari ini.

Cabaran paling besar yang melanda gerakan Islam di kampus adalah bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran mad'u (baca: mahasiswa). Khususnya dalam aspek tarbiyah (pendidikan) yang menjadi isu utama yang diperjuangkan untuk melahirkan kader-kader pelapis gerakan ini.

Lebih utama lagi, mereka berhadapan dengan cabaran memahami keperluan 'generasi Y' yang agak 'bingung' untuk difahami bentuk, gaya dan budaya mereka sehinggakan kerap kali tarbiyyah gerakan ini ketinggalan yang akhirnya menghasilkan sambutan terhadap program-program tarbiyah seumpama tamrin, usrah, kuliah ilmu dan sebagainya seakan-akan malap.

Keperluan tarbiyah

Jika kita mengambil pandangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi mengenai keperluan tarbiyah, nescaya beliau akan meletakkan ia sebagai satu kerja yang paling utama di dalam keperluan gerakan Islam hari ini. Bukunya Fiqh Aulawiyyat menerangkan, "Kerana dengan pendidikan kita akan berjaya melahirkan generasi-generasi yang boleh membawa obor Islam dalam jangka masa yang lebih panjang."

Persoalannya, bagaimanakah kita mahu menghadapi generasi hari ini yang begitu kompleks keperluannya dan luas serta besar cabarannya?

Tarbiyah Generasi Y

Harusnya kita memahami terlebih dahulu apakah yang diperlukan generasi ini sebelum sesuatu sistem tarbiyah kita bina dan hasilkan buat generasi ini. Kegagalan memahami keperluan kita akan membuatkan kita menghasilkan satu keputusan yang tidak tepat kepada permasalahan semasa mereka yang akhirnya tidak akan diterima mereka. Antara keperluan dan perkara yang perlu diperhatikan:

1. Tahap intelek dan pemikiran

Kita tidak boleh meletakkan tahap pemikiran mereka seperti mana kita berfikir. Kalau tidak keterlaluan disebut, boleh dikatakan tahap pemikiran mereka jauh lebih 'advance' daripada kita. Mungkin cara berfikir kita ditentukan sebagaimana didikan kita sepuluh tahun dahulu dengan kerangka dan sejarah yang berbeza, namun mereka dididik dengan zaman dan suasana hari ini. Sungguh berbeza.

Mereka melalui zaman di mana segala-galanya mudah diperolehi. Tahap fakta dan ilmu mereka mungkin mempunyai banyak cabang dan sumber. Mereka terdedah kepada internet dan alam maya, sumber ilmu yang tidak terbatas. Mereka boleh medapatkan apa sahaja yang diperlukan dengan pantas.

2. Suasana

Berbeza suasana hari ini dengan lima tahun dahulu. Suasana hari ini ditentukan oleh medium maya. Setiap orang mendapatkan maklumat dengan pantas. Cara perhubungan yang lebih mudah, komunikasi yang pantas melahirkan generasi yang 'mudah-mudah' dalam aspek perhubungan. Misalnya mereka tidak lagi suka menghadiri ke majlis atau kuliah ilmu. Mereka berpandangan: "Buat apa ke sana, dalam internet pun sudah ada maklumatnya.."

Begitu juga komunikasi yang bukan lagi satu atau dua hala, malah hari ini seorang manusia boleh berkomunikasi dengan beratus-ratus orang dalam satu masa melalui facebook. Dapat dibayangkan bagaimana penerimaan dan aliran pemikiran yang diterima mereka hasil daripada berkomunikasi dengan ragam manusia yang pelbagai ini.

3. Tidak mahu terikat

Rata-rata generasi Y adalah generasi yang natural dan bebas. Keputusan mereka selalu ditentukan dengan maklumat dan fakta yang dibaca. Banyak fakta yang baik, maka baiklah hasilnya. Mereka sukar mahu terikat lantaran pelbagai sumber ilmu dan maklumat perbandingan yang mereka temui setiap hari. Sekiranya ilmu itu benar sekalipun, jika maklumat yang diterima banyak yang buruk, maka persepsi mereka turut bertukar buruk terhadap maklumat yang benar itu.

Solusi

Saya suka mengambil pendekatan fiqh di dalam menyelesaikan permasalahan membina kaedah dan keperluan tarbiyah yang terbaik buat generasi Y ini. Di dalam penentuan hukum terhadap sesuatu masalah semasa, ulama mengambil pendekatan:

1) Mengetahui sejarah hukum (latar belakang mengapa hukum itu terjadi)
2) Mengetahui sumber hukum (Al-Quran dan hadis)
3) Mengetahui kondisi dan realiti semasa

Maka apa yang boleh dihasilkan bagaimana keperluan tarbiyah generasi ini adalah dengan:

1) Mengetahui sejarah sistem tarbiyah (mengapa sistem/pengisian itu diciptakan, apa sejarah yang melatari sistem itu)
2) Berasaskan sumber yang benar (Al-Quran dan Sunnah atau sirah Nabi)
3) Tahu permasalahan dan realiti keperluan generasi hari ini

Penjelasan:

1) Mengetahui sejarah sistem tarbiyah (mengapa sistem/pengisian itu diciptakan, apa sejarah yang melatari sistem itu)

Semestinya setiap sistem tarbiyah yang dirangka hasil daripada keperluan zaman itu. Ia terhasil daripada keadaan zaman itu. Misalnya, jika zaman itu gerakan mengalami tekanan yang hebat, maka tarbiyah dihasilkan untuk melahirkan kader-kader yang tahan lasak. Atau jika di zaman itu memerlukan ahli yang memiliki ilmu yang tinggi kerana banyak aliran pemikiran, maka tarbiyah dirangka ke arah itu.

Justeru itu, tidak adil dan kurang sesuai jika sistem yang dirangka dahulu (mungkin 5-10 tahun dahulu) digunakan untuk generasi hari ini. Malah ia mustahil digunakan. Ini kerana sistem tarbiyah itu dirangka untuk keperluan zaman itu sahaja, ia tidak sesuai di zaman ini. Ini kerana, sejarah hanya boleh dijadikan panduan dan pengalaman untuk menghasilkan sesuatu keputusan yang baru, bukan menirunya.

Dalam satu-satu masa mungkin sejarah tarbiyah lampau boleh digunakan, namun tidak semuanya. Mungkin digunakan pada situasi dan saat yang hampir sama dengan sejarah tersebut lalu dibuat perbandingan dengan zaman hari ini. Dan keputusan yang baik perlu dihasilkan daripada pengalaman sejarah itu walaupun mungkin satu ketika ia dianggap sebagai menongkah arus.

2) Berasaskan sumber yang benar (Al-Quran dan Sunnah atau sirah Nabi)

Aspek ini pastinya setiap ahli gerakan sudah arif dan mengerti. Setiap daripada keputusan yang dihasilkan, ia perlu dibuat di dalam kerangkan syariat yakni Al-Qur'an dan As-Sunnah. Dalam mendepani cabaran dan keperluan suasana yang rencam, kebijaksanaan untuk mentafsir, membaca dan memahami Al-Quran dan Hadis perlu lebih tinggi agar syariat Islam itu tidak dilihat ketinggalan zaman dan mundur.

Begitu juga dalam aspek merangka sistem tarbiyah. Adalah lebih baik mengutamakan perkara yang mudah dilaksanakan, konsep 'Basyiran' yakni memberi khabar gembira, mengambil persoalan yang tidak rumit dan mengurangkan syarat-syarat yang ketat di dalam tarbiyah. Ia supaya sistem itu tidak dilihat ekslusif, terlalu kompleks, menyusahkan dan akhirnya akan dipenuhi dengan mereka-mereka yang 'satu jenis' dengan kita sahaja.

Konsep 'Iza ittas'a dhaqa, wa iza dhaqa ittasa'a' yang bermaksud: Jika terlalu longgar hendaklah diketatkan/disempitkan, dan jika terlalu sempit hendaklah diluaskan semula. Ia bermaksud seimbang. Kaedah yang sempit mungkin boleh diaplikasikan di dalam aspek perkara asas dalam tarbiyah misalnya pengetahuan mengenai Aqidah, Islam dan sebagainya, namun dalam perkara metodologi, hendaklah dibesarkan seluas mungkin.

3) Tahu permasalahan dan realiti keperluan generasi hari ini

Ini adalah aspek yang paling penting dan banyak gerakan yang sering gagal dalam memahami permasalahan, keperluan dan realiti generasi Y ini. Seperti yang telah disebutkan di atas (dalam keperluan generasi Y), sistem tarbiyah yang dirangka haruslah berpandukan keperluan-keperluan tersebut dengan tidak meninggalkan prinsip-prinsip yang asas yakni dari sudut pengisiannya.

Kita mesti mengetahui lapangan di mana kita duduk dan di mana generasi Y itu berada. dan penguasaan terhadap lapangan itu penting agar gerakan dapat dilihat mendepani massa. Maksud menguasai lapangan adalah dengan menggunakan semaksima mungkin ruang dan peluang seperti facebook, twiter, blog, website, dan sebagainya sebagai medium tarbiyyah. Penguasaan itu juga bukan sekadar memiliki, bahkan mesti menjadi pengguna yang pro-aktif, yang memulai isu dan maklumat agar gerakan-gerakan lain tenggelam dengan penguasaan medium ini oleh ahli gerakan kita.

Penghasilan E-Usrah misalnya, satu pendekatan yang sangat baik di dalam tarbiyyah, malah ia perlu diperhebatkan lagi dan digerakkan perubahan ini sehingga kepada seluruh sistem tarbiyyah. Selain itu, dengan menetapkan kriteria dan syarat keahlian yang tidak terlalu ketat dan menyusahkan misalnya dengan mengisi borang-borang kefahaman dan isu semasa yang berat, kadangkala menyebabkan kesilapan kita di dalam mentafsirkan sejauh mana kefahaman mad'u itu untuk diahlikan.

Selain itu, pemahaman kepada lifestyle generasi Y ini juga haruslah jelas. Generasi ini adalah generasi yang selesa kerana segala-galanya sudah terhidang di depan mata mereka. Justeru, pendekatan yang juga selesa harus digunakan, sebelum diberikan secara tahap demi tahap pemahaman yang jelas terhadap tarbiyah gerakan. Zaman ini adalah zaman hujah dan zaman bertanya. Justeru sesiapa yang dapat memberikan hujah yang terbaik, maka gerakan itulah yang akan diikuti.

Kesimpulan

Ini hanyalah secebis pandangan asas terhadap sistem tarbiyah kampus melalui pengamatan akhir-akhir ini. Ia perlu diperbahaskan dan diperbincangkan lagi. Apa yang pasti, perkara yang lebih besar untuk ditempuhi dalam merealisasikannya adalah kesediaan untuk melakukan perubahan. Dan perubahan itu datang daripada kebebasan pemikiran serta sistem yang baik, yang mana kedua-duanya perlu selari dan seiring.

1 comment:

nza said...

salam, mohon copy pste n as rujukan utk slide sy. May Allah bless :D