Showing posts with label BAHASA HATI. Show all posts
Showing posts with label BAHASA HATI. Show all posts

Saturday, October 29, 2011

Taatlah tanpa syarat


oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Dalam kehidupan kita, setiap insan sentiasa memerlukan antara satu sama lain. Dan di dalam keperluan itu, setiap manusia sering mahukan orang lain cinta dan taat kepadanya. Misalnya seorang ayah mahukan anak dan isterinya menjadi ahli keluarga yang taat kepadanya. Begitu juga seorang ahli perniagaan yang perlukan pekerja yang mendengar arahan tidak ketinggalan pemimpin politik yang hendakkan ahli-ahlinya patuh serta taat perintah dan arahan partinya.

Semua manusia mahukan ia dihormati. Dan penghormatan itu diterjemahkan di dalam ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Demikianlah sifat manusia yang penuh dengan kelemahan dan kekurangan. Lantaran kekurangan itu, kadangkala ramai insan tidak mampu memberi ketaatan hatta kepada orang yang sangat dicintainya atau organisasi yang disertainya.

Begitu juga Allah, Tuhan yang Menciptakan manusia. Sayugialah Dia juga menuntut ketaatan makhluk ciptaan-Nya. Lebih-lebih lagi Allah yang menjadikan sekelian alam, menciptakan peraturan dan segala isinya. Lalu ketaatan itu disebut sebagai akidah atau iman yang mesti diyakini setiap insan bahawa tiadalah suatu kuasa pun yang layak menandingi Allah s.w.t.

Kesilapan dalam ketaatan

Ramai insan sering tersilap dalam memberi ketaatan. Mereka seringkali tersalah sangka atau tafsir. Atau kadangkala manusia menyangka bahawa mereka sudah taat dan cinta kepada sesuatu, namun ia hanyalah sebuah sandiwara yang akhirnya musnah dan berlalu begitu sahaja.

Biasanya, dengan ketaatan ia akan melahirkan cinta, kasih dan sayang dan begitulah sebaliknya. Itu fitrah manusiawi yang tiada sesiapa boleh menghalang. Seorang anak yang sayang pada ayah dan ibunya akan melahirkan sifat taat di dalam pergaulannya kepada kedua orang tuanya. Begitu juga seorang isteri yang cinta dan kasih kepada suaminya, akan menzahirkannya dengan sifat ketaatan yang tidak berbelah bahagi.

Namun di sana, kadangkala terjadi peristiwa di mana orang yang dicintai dan dikasihi tidak dapat memberi ketaatan kepada dirinya, malah dia menjadi musuh atau menjadi 'duri dalam daging', walaupun dia adalah orang yang disayangi dahulu.

Oleh kerana manusia penuh dengan sifat kekurangan, maka sering manusia tersilap dalam memberi ketaatan. Ada manusia yang memberi ketaatan melalui rasa kasih dan cinta kepada akhlak, terpikat dengan kecantikan wajah, atau terikat dengan perjanjian dan gaji. Banyak juga yang tersilap memberikan kasih kerana sifat-sifat luaran yang menghiasi seseorang itu.

Kesilapan ini datang apabila manusia memberi ketaatan kepada barang yang tidak kekal dan akan musnah. Misalnya memberi kecintaan kepada akhlak sang suami sedangkan kelak akhlak tersebut mungkin tidak kekal. Mencintai isteri kerana sifatnya yang lemah lembut dan wajahnya yang cantik, walaupun kelak kecantikan tersebut pastinya akan pudar.

Begitu juga ketaatan seorang pekerja kepada majikannya, atas dasar perjanjiannya di atas gaji yang bakal diperolehinya. Sedangkan apabila syarikat itu bangkrup, maka semua pekerja lari dan tidak dapat menumpahkan ketaatannya lagi kerana tiada tempat mereka bergantung taat.

Lihatlah bagaimana Allah menjanjikan kesudahan yang sangat setimpal kepada manusia. Mereka cinta dan taat kepada perkara yang sementara, kelak Allah memberikan kemusnahan dan penyesalan kepada mereka.

Tanpa syarat

Sesungguhnya, Allah mengajar kita agar mentaati sesuatu 'tanpa syarat'. Demikianlah Allah memberi tunjuk ajar bahawa dalam mentaati Allah dan segala suruhannya, ia perlu datang dengan hati yang ikhlas yakni kosong daripada segala perantara, motivasi, sogokan, ganjaran atau terpikat dengan sesuatu apa pun. Ia benar-benar kerana Allah.

Taat yang tanpa syarat ini pastinya akan kekal selama-lamanya. Kerana ia datang dari sesuatu yang kekal dan berkuasa yakni Allah s.w.t. Siapakah yang akan kekal selamanya sesudah hancurnya alam maya ini selain Allah?

Begitu jualah panduan buat manusia di dalam memberi ketaatan kepada urusan dunia. Agar ia berkekalan, maka sandarkanlah seluruh ketaatan mahupun kecintan kepada Allah. Di dalam mencintai manusia, tetapkanlah batas bahawa kecintaan kita adalah berpandukan cinta Allah, kelak cintanya itu kekal hingga ke syurga.

Godaan dunia sememangnya begitu memeritkan, namun itulah ujian yang disediakan buat manusia. Sangat payah untuk meletakkan kaca mata Allah di dalam membuat penilaian untuk urusan dunia, seringkali kita akan tertewas dan dicela. Berapa banyak orang yang mencintai Allah sering disisihkan kerana tidak mengikuti apa yang dunia inginkan. Namun, oleh kerana dunia itu sementara, maka kepayahan itu jua bersifat sementara. Mereka bakal mendapat kegembiraan di negeri Akhirat, negeri yang bukan untuk 'orang-orang dunia.'

Wednesday, August 3, 2011

Hakikat Ramadhan dan Puasa

Ramai yang berpuasa, namun ramai tidak mengerti hakikat berpuasa..
-Secawan Kopi-

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Apabila tibanya bulan Ramadhan, ramai yang akan mencari-cari apakah fadilat (kelebihan) ibadah di dalam bulan ini. Di setiap tazkirah, para ustaz akan membicarakan mengenai keutamaan dan ganjaran-ganjaran yang bakal dinikmati orang yang berpuasa.

Namun, ramai juga yang tidak menyedari tentang hakikat sebenar berpuasa. Ini kerana hakikat puasa hanya datang daripada Allah. Kerana hakikat yang penuh rahsia itulah Nabi s.a.w pernah bersabda dalam Hadis Qudsi, firman Allah: "Sesungguhya puasa itu adalah untuk-Ku, maka Akulah yang memberi ganjarannya (yakni menentukan pahalanya)." (Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a).

Tiada siapa di dunia ini boleh menentukan ganjaran sebesar mana yang didapati seseorang di dalam puasanya. Malah seorang mufti yang 'alim juga tidak boleh menentukan diterima mahupun ditolak puasa seseorang itu secara zahirnya.

Rahsia puasa

Kelebihan dan keutamaan puasa itu bukanlah datang hanya daripada kita mengagumi apa yang Allah s.w.t sediakan pada bulan Ramadhan dengan limpahan kurniaan-Nya yang terlalu banyak. Ganjaran ibadah yang berlipat kali ganda itu bagi orang yang benar-benar ikhlas berpuasa hanyalah satu motivasi yang kecil berbanding cita-citanya hanya mengharap keredhaan Allah ketika berpuasa. Keredhaan inilah sebagai syarat utama diterimanya puasa.

Keredhaan Allah inilah kunci kepada terbukanya rahsia-rahsia kesempurnaan di dalam berpuasa. Walau banyak mana ganjaran yang ditawarkan di dalam bulan ini, Allah tetap merahsiakan sama ada puasa seseorang itu diterima atau banyak mana ganjaran yang akan diberikan kepadanya.

Walaupun begitu, Allah menyediakan tanda-tanda kepada orang yang benar-benar yakin dengan rahsia Allah itu. Di dalam hadis yang mahsyur, Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang mengerjakan puasa Ramadhan dengan keimanan dan ihtisab (merasakan balasan dan ganjaran yang bakal dikenakan kepadanya), diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.).

Hakikat puasa

Istimewanya sebatang pokok adalah denganh buahnya. Begitu juga di dalam ibadah, selepas melaksanakannya dengan sempurna rukun dan syaratnya, buah kepada ibadah adalah kesannya kepada peribadi dan rohani seseorang. Itu tanda dan bukti bahawa Allah meredhainya dan dengan keredhaan-Nya, Dia menjadikan seseorang itu sebagai hamba Allah yang patuh serta taat hasil daripada kewajipan berpuasa. Sebaliknya, orang yang kekal di dalam peribadinya terdahulu dengan tiada perubahan ke arah yang lebih baik, maka puasa tidak memberi kesan kepadanya atau keredhaan Allah masih belum dicapainya.

Ada beberapa petanda menunjukkan tercapainya redha Allah kepada orang berpuasa:

1. Gembira menantikan kedatangan Ramadhan, dan sayu dengan pemergiannya

Inilah tanda awal bagi perindu kepada redha Allah. Bulan Ramadhan yang di dalamnya penuh dengan rahmat (kasih-sayang) dan keampunan daripada Allah begitu dinanti-nantikan. Mereka menantikan waktu yang mana kemuncak kepada kasih-sayang dan melimpahnya redha Allah, lalu diambil dengan sebaiknya waktu-waktu itu dengan dipenuhi perkara-perkara yang akan membuahkan redha Allah.

Dan tatkala ia meniti hari-hari terakhir Ramadhan, maka di saat orang lain bergembira untuk menyambut Aidilfitri, dia menangis kesedihan kerana bulan yang sarat dengan keredhaan Allah bakal meninggalkannya. Dia merasakan bahawa kalau-kalau puasanya tidak diterima lantaran kurangnya ibadah dan semakin hampir dengan penghujungnya. Dia bimbang jika tergolong daripada kelompok manusia yang banyak yang disabdakan Nabi s.a.w: "Berapa banyak orang yang berpuasa, namun tidak ada baginya puasa itu melainkan hanya lapar dan dahaga." (Riwayat An-Nasa'ie daripada Abu Hurairah r.a).

Apabila timbul kesayuan dan kehibaan di dalam hatinya kerana akan meninggalkan Ramadhan, maka ia sebagai satu petanda keredhaan Allah mula mendekati dirinya.

2. Tidak terasa lapar berpuasa kerana mengutamakan hal ibadah

Sesungguhnya kewajipan berpuasa bukan sekadar menahan manusia daripada kenyang, malah matlamatnya lebih besar dan agung daripada itu iaitu menahan hawa nafsu. Berpuasa hanya salah satu daripada kaedah yang ditentukan Allah dalam mengawal hawa nafsu selain ibadah-ibadah lain. Apakah yang menjadi simbol agungnya bulan puasa itu?

Jawapannya adalah pada ibadah yang dilakukannya. Ibadah sunat yang dilakukan pada bulan biasa tidak sama dengan ibadah pada bulan Ramadhan. Begitu juga keadaan ibadah orang yang berpuasa tidak sama dengan ibadah seseorang yang dalam keadaan tidak puasa. Apabila berpuasa, kehendak dan kepentingan untuk makan tiada lagi, malah kita dielakkan daripada memikirkan punca-punca kepada makanan itu yang menjadi keutamaan manusia pada hari ini.

Orang yang benar-benar berpuasa, laparnya itu bukan kerana dia menahan makannya, sebaliknya sebagai penahan daripada dia terjebak dan terjerumus ke lembah yang membawanya lalai dan jauh daripada ibadah dan suruhan Tuhannya. Apabila dia menjadikan makan dan minum itu bukan sebagai kepentingan utamanya lagi, maka keredhaan Allah mula sampai kepadanya.

3. Tiada berkira di dalam ibadah

Ibadah baginya bukan lagi kerana ganjaran yang berlipat kali ganda, bahkan sudah menjadi kemanisan di dalam dirinya. Dia tidak mengira banyak mana ibadah yang sudah dilakukannya, tetapi mengira kalau-kalau ibadahnya tidak diterima atau ibadahnya tidak sampai kepada maksud sebenar redha Allah itu. Dia mengira dengan penuh khusyuk dan tawadhuk betapa keikhlasan dan keredhaan Allah sebagai punca utama ibadahnya diterima.

Dengan jalan itu secara automatik, perlaksanaan ibadahnya menjadi berlipat kali ganda berbanding orang yang lain. Ibadahnya tanpa dipaksa dan diberi nasihat, kerana ia sudah menjadi darah daging untuknya mencapai keredhaan Allah.

4. Rasa rugi dan bersalah jika tertinggal ibadah

Seseorang yang benar-benar dengan ibadah puasanya akan timbul rasa bersalah di dalam hatinya setiap detik dan saat yang berlalu tidak disertai dengan ibadah dan perkara yang bermanfaat. Ini juga petanda kepada keredhaan Allah mula mendekati jiwanya. Lena tidurnya tidak panjang, bahkan memikirkan tidak sempat beribadah dengan ruang waktu yang terbatas lalu dikorbankan masa tidurnya dan rehatnya untuk diisi dengan ibadah yang bermanfaat.

Ibadah bukan sekadar menunaikan solat sunat dan berzikir semata-mata, bahkan tugas-tugas yang memberi manfaat kepada orang lain juga dinilai sebagai ibadah selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat dan bertujuan mencari redha Allah. Nabi s.a.w pernah bersabda: "Amalan yang paling utama dilaksanakan adalah kamu menyuntik ketenangan (kebahagiaan) dalam diri seseorang."

Begitu juga rasa bersalahnya apabila berhadapan dengan hidangan yang lazat-lazat tatkala berbuka puasa. Dia merenung bahawa di sana terdapat masih ramai lagi yang tidak dapat menikmati makanan seumpama itu. Dengan perasaan itu, timbul dihatinya sifat tidak membazir dan mengurangkan juadah buka puasanya dengan hanya makanan yang boleh memberi kekenyangan kepadanya bagi mengalas seharian berpuasa. Malah dibelinya lebih makanan buat orang-orang lain yang tidak berkemampuan.

Setiap masa, ada sahaja ibadah yang dilakukannya dan kebaikan yang diusahakan kepada orang lain seperti bersedeqah, memberi makan orang berpuasa dan membantu orang lain di dalam kesusahan. Jika dia tertinggal perbuatan itu di dalam sehari, maka rasa bersalah timbul di dalam hatinya.

5. Ibadahnya tidak terhenti dan berpanjangan selama-lamanya

Kemuncak kepada kemanisan ibadah, orang yang benar-benar berpuasa akan kekal istiqamah di landasan ibadahnya meskipun bulan Ramadhan yang dicintainya sudah berlalu pergi. Seumpama kekasih yang merindui kekasihnya, dia berharap agar bertemu kembali jika diberikan kesempatan dan rezeki oleh Allah s.w.t kelak. Oleh kerana tidak pasti akan bertemu lagi, maka dia berusaha mencapai tahap ibadahnya seperti bulan Ramadhan.

Dia merasakan bahawa, jika ibadahnya terhenti hanya pada bulan Ramadhan, maka tiada gunanya segala amalan yang dilakukannya kerana hanya berharapkan kebaikan pada bulan Ramadhan semata-mata sedangkan ibadah yang sebenar adalah pada kecintaannya kepada redha Allah yang akan kekal selamanya sekalipun beliau sudah meninggalkan Ramadhan dan ditakdirkan tidak bertemu lagi.

Inilah antara sifat orang yang benar-benar berpuasa dengan keimanan. Mungkin disebalik itu, masih banyak lagi rahsia yang perlu difikirkan agar tercapainya martabat redha Allah. Ramadhan sebagai bulan yang melahirkan Rabbaniyyun bukannya Ramadhaniyyun sebagaimana yang diungkapkan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, iaitu melahirkan manusia yang berjiwa Rabbani (sifat-sifat soleh) bukan manusia yang berjiwa Ramadhan yang tidak kekal hanya pada bulan Ramadhan sahaja.

Wallahu a'lam

Hospital Tawakkal
Jalan Pahang
03/07/2011 (Rabu)

Tuesday, July 19, 2011

Hakikat kehidupan

Hakikat hidup adalah sebuah keajaiban, namun ia hanya ajaib bagi orang-orang yang selalu berfikir..-Generasi Wahyu.

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Setiap manusia akan melalui kehidupannya yang berbeza-beza antara satu sama lain. Ada orang yang hidupnya bermula dengan kesenangan dan berakhir dengan kesusahan. Ada juga manusia pada awalnya hidupnya penuh keperitan dan kesusahan, namun pada akhirnya dia menemui kesenangan.

Ada sesetengah orang, mereka diuji dengan kesakitan. Ia berlaku pada dirinya, atau pada anggota keluarganya, atau kepada sahabat serta orang-orang yang disayangi. Di sana, ada juga orang yang memiliki kesenangan dan kekayaan, memiliki harta yang banyak dan wang tidak menjadi masalah kepadanya.

Mungkin di kalangan kita ada yang pernah kehilangan orang tersayang, sama ada ibu, ayahnya, atau anaknya. Ada juga di antara kita pernah melalui saat-saat keperitan di dalam hidupnya, kehilangan rumah, terlibat dengan kemalangan dan sebagainya.

Hakikat kehidupan

Apa yang penting, setiap dari kita pernah melaluinya atau bakal melaluinya namun tidak diketahui bila masa dan ketikanya atau kepada siapa akan berlaku sama ada dirinya sendiri atau orang yang disayanginya. Inilah hakikat kehidupan. Hanya orang yang pernah melaluinya akan memahami maksudnya. Sesiapa yang tidak pernah merasainya tidak akan memahami maksud disebalik peristiwa itu.

Seorang yang lahir yang keluarganya sudah memiliki rumah yang besar dan kaya, tidak pernah melalui pengalaman menjaja atau menjual nasi lemak di tepi jalan. Malah dia mungkin tidak mengetahui mengapa sebabnya ada orang berniaga di tepi jalan itu. Padanya, makanan sudah terhidang di atas meja, atau kalaupun dia hendak makan, dia akan membelinya di tepi jalan.

Tetapi, pernahkah dia terfikir bahawa seorang makcik tua yang menjual nasi lemak itu, mungkin dia terpaksa menanggung nafkah anak-anaknya, membeli keperluan rumah, membayar sewa rumahnya, dan membayar yuran dan keperluan anaknya yang bersekolah. Lebih lagi, mak cik itu mungkin adalah seorang janda yang sudah kehilangan suaminya tempat bergantung, lalu terpaksa membanting tulang berniaga nasi lemak di tepi jalan demi menyara kehidupannya dan keluarganya.

Seorang yang anggota keluarganya yang tidak pernah mengalami peristiwa-peristiwa hitam, tidak akan mengetahui dan mungkin tidak terfikir perkara seumpama itu akan berlaku. Seorang yang sihat tubuh badannya, akan sibuk bekerja, berniaga, menghabiskan masa ke tempat yang disukainya, dan kadangkala tidak pernah terfikir akan apakah musibah yang bakal berlaku kepadanya.

Di satu sudut, ada orang yang pernah ditimpa penyakit, misalnya sakit buah pinggang yang memerlukan dia melakukan dialisis setiap minggu, yang pastinya terpaksa menghabiskan wang yang begitu banyak untuk menampung kos rawatannya. Jika dia tidak bekerja, atau kerjanya hanya cukup makan sahaja,dia tidak dapat menampung kos rawatan sakitnya itu.

Seorang yang pernah lumpuh, yang tidak boleh langsung bergerak akan memikirkan, seandainya diberikan semula kesihatan, maka dia tidak akan melakukan perkara yang akan membawanya kepada sakitnya itu. Dia akan menjaga makan dan minumnya. Semua ini, tidak difikirkan oleh seorang yang sihat, kerana dia akan sibuk bekerja dan bekerja untuk mendapatkan su
mber kewangan untuk memperbaiki hidupnya.

Keajaiban

Kehidupan adalah satu keajaiban. Kadangkala, bagi sesiapa yang pernah melalui pengalaman seperti itu, mereka pernah mengeluh, mengapa ditimpakan musibah seumpama itu. Mengapa ujian ditimpakan kepada dirinya, atau keluarganya atau orang yang disayanginya. Perkataan ini, walau tidak keluar dari mulut, namun dari dalam hati pasti ia pernah terdetik.

Kita tidak boleh lari, kerana sifat manusia memang sebegitu. Kita biasa akan mengeluh jika ditimpa kesusahan, dan gembira apabila diberi nikmat. Itu sifat fitrah manusia. Namun, pernahkah kita terfikir, di saat kita mula-mula menerima musibah dan ujian tersebut, dan di mana kita berada pada hari ini sebenarnya kita telah melangkah jauh daripada apa yang kita harapkan.

Seorang yang sudah 5 tahun lumpuh, pasti akan terkenang sewaktu mula-mula dia menghidap kesakitan itu. Tetapi apabila dia merenung dirinya pada hari ini, pastinya dia tidak menyangka bahawa Allah masih lagi memberikan kepadanya nafas dan nyawa untuk dia hidup, meskipun pergerakan hidupnya terbatas.

Seorang yang ditimpa kemiskinan, setiap hari memohon kepada Allah agar diberikan kesenangan, rezeki yang mencukupi. Sebenarnya jika dia melihat dirinya pada hari ini, sesungguhnya dia sudah mendapat lebih daripada apa yang dia harapkan. Dia masih lagi hidup, masih lagi dikurniakan rezeki dan makannya cukup, dia boleh menampung rezeki keluarganya walaupun tidak menjadi seorang yang kaya-raya.

Sebab itulah, Dr HAMKA pernah berkata: "Lihatlah, bagaimana Allah telah mengagih-agihkan rezeki pada setiap hamba-Nya."

Kita sering menyangka bahawa seorang yang kaya, memiliki kediaman yang besar adalah seorang yang senang dan bahagia, manakala seorang yang susah dan miskin, tinggal di pondok buruk, pastinya hidup mereka dihimpit kerisauan, dan kesusahan. Sebenarnya di dalam kehidupan bukan begitu.

Ada orang yang setiap hari makan hidangan yang lazat-lazat, lauk pauknya sangat baik, makan di tempat yang mewah, restoran yang mahal. Namun, hatinya tidak bahagia, bahkan sering merisaukan hartanya yang ditinggalkan, risaukan keluarganya yang ditinggalkan dan juga risaukan perniagaannya yang tidak bertambah-tambah, sedangkan harta sudah mengelilinginya.

Ada orang yang hanya tinggal di pondok buruk, makannya satu dua lauk sahaja dan mungkin sekali atau dua kali sehari, namun hidupnya bahagia. Walau anak-anaknya ramai, tetapi tidak pernah mereka menyusahkannya bahkan menerima seadanya kehidupan yang sebegitu.

Syukur

Oleh sebab itu, kadangkala bagi manusia, syukur itu lebih susah daripada sabar. Sebahagian orang boleh menerima ujian yang berlaku ke atas dirinya, namun amat sedikit orang yang boleh bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah ke atasnya. Syukur itu kata Dr HAMKA: "Mensyukuri apa yang dimiliki, bukan mensyukuri apa yang baru diperolehinya." Ramai orang yang bersyukur apabila mendapat sesuatu yang baru, tetapi tidak ramai orang bersyukur dengan apa yang sudah dimiliki. Kata Dr HAMKA lagi: "Yang ada ini sudah menjadi harapan kita, namun tidak salah mengharapkan perkara yang lain.."

Kadangkala, Allah tidak memberikan apa yang kita harap-harapkan. Kita harapkan agar diberi kekayaan, tetapi kita tidak menjadi kaya. Kita berdoa diberi kesihatan, tetapi Allah timpakan kesakitan kepada kita. Kita selalu banyak mengharap sesuatu yang baru, namun kita tidak selalu sedar bahawa apa yang dimiliki sekarang ini sudah lebih dari apa yang kita harapkan. Kita masih dikurniakan kehidupan dan sebagainya.

Sebab itu, agama hanya menganjurkan kepada kita agar memohon apa yang terbaik dari sisi Allah. Kerana, apa yang terbaik dari sisi Allah, itulah sebaik-baik kurnia seperti mana doa yang selalu kita baca selepas solat: "Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami apa yang baik dari sisi-Mu di dunia, dan juga di Hari Akhirat, dan jauhkanlah kami dari azab neraka.."

Apa yang terbaik di sisi Allah tidak sama seperti apa yang terbaik dari sisi manusia. Manusia menganggap kesihatan itu baik bagi mereka, namun bagi Allah mungkin ia adalah suatu buruk. Mungkin dengan kesihatan itu akan menyebabkan hamba-Nya lebih lalai dari mengingati-Nya, justeru, Allah berinya kesakitan agar hamba-Nya sentiasa mengingati Allah. Begitu juga dengan kekayaan.

Sesungguhnya, kehidupan itu penuh dengan keajaiban. Namun ia ajaib bagi orang yang selalu memikirkannya, yang selalu belajar dari kehidupan. Kehidupan adalah guru yang paling baik bagi kita. Harungilah kehidupan dengan semangat dan kesediaan disamping menghubungkan diri dengan Allah, nescaya kita akan melihat keajaiban-keajaiban yang dikurniakan Allah kepada hamba-Nya yang beriman.

11.54 a.m (19 Julai 2011)
Hospital Tawakkal,
Jalan Pahang.

Thursday, June 30, 2011

Unggun Bersih


Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara
Kita laungkan juga pesan merdeka
Demokrasi sebenderang mentari
Sehasrat hajat semurni harga diri

Lama resah kita - demokrasi luka
Lama duka kita - demokrasi lara
Demokrasi yang angkuh kita cemuhi
suara bebas yang utuh kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru
(di Boston dijirus teh ke laut biru)
Tak diperlu gempita sorak yang gebu
diperlu hanya unggun api yang syahdu

Kini menyalalah unggun sakti itu
kini merebaklah nyala unggun itu

A. Samad Said
24&25 Jun 2011

Saturday, November 20, 2010

Alahai artis-artis kita..


oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya kadang-kadang pelik kerana rakyat Malaysia sangat mengagungkan dunia hiburan dan kesenian. Artis-artis juga diibaratkan sebagai ikon remaja dan trend hari ini.

Di surat khabar arus perdana misalnya, paparan berkenaan artis dan hiburan begitu banyak.

Namun, hari ini, jika kita menyorot dengan teliti dan insaf, ramai artis di Malaysia tidak layak menjadi ikon masyarakat. Walau bagaimana pun, apa yang boleh dibuat kerana artis sangat sinonim dengan media.

Sesekali rasa ingin 'termuntah' apabila seluruh kehidupan seorang artis itu diceritakan dan dipaparkan secara terperinci di dada akhbar.

Hatta, jika tak keterlaluan dikatakan bahawa jenis 'seluar dalam' pun hendak dikisahkan di media.

Terfikir juga apabila media massa membuat liputan secara besar-besaran kisah artis yang berkahwin. Acaranya begitu gilang-gemilang, lebih mudah disebut sebagai wedding of the year. Namun, dua minggu selepas itu, bercerai.

Tidak sedikit serasa saya kes-kes moral buruk yang telah berlaku kepada artis. Antaranya boleh disebutkan adalah terlibat dengan dadah, khalwat dan penceraian.

Pada 12 Jun 2010, pelawak dan pelakon terkenal sitkom senario, Saiful Apek atau nama sebenar Saifulizam Yusoff ditahan kerana memiliki 40 gram ganja. Dia ditahan dirumahnya pada jam 10 malam. Kes beliau disiasat dibawah Seksyen 39A (1), Seksyen 6, dan 15(1), Akta Dadah Merbahaya.

Yassin Yahya, juga anggota kumpulan Senario juga pernah ditahan di pusat hiburan Sunway Pyramid kerana didapati positif dadah. Beliau direman selama 3 hari dan didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta dadah Merbahaya.

Selain dari itu, pelakon drama terkenal Benjy atau nama sebenarnya Khyrill Benjamin Ibrahim ditahan pada 11 Mac 2010 di tempat letak kereta di rumahnya. Beliau ditahan kerana disyaki terlibat dengan dadah. Sehingga hari ini kesnya masih dibicarakan.

Seorang artis perempuan yang terkenal membintangi filem Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM), Zarina Ann Julie telah ditahan di LCCT dan mengaku telah mengambil dadah jenis 'ketamin'.

Penyanyi Jamal Abdillah, yang terkenal dengan lagu 'Siapa bilang gadis Melayu tak menawan' telah ditahan di sebuah rumah rehat di Teluk Intan oleh pihak polis apabila disyaki memiliki dadah jenis 'syabu'. Beliau didakwa dibawah Akta dadah Merbahaya.

Tidak kurang juga yang terlibat dengan masalah moral dan akhlak serta rumah tangga.

Ako Mustapha, seorang dramatis serta pelakon telefilem cerekarama TV3, ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa Hulu Kelang.

Artis 'Gerak Khas', Norman Hakim yang menjadi model kehebatan polis kepada masyarakat gagal menjadi model sebenar apabila ditangkap berkhalwat di Ukay Perdana dengan pasangannya juga seorang pelakon Memey Suhaiza. Lebih memalukan apabila beliau sudah berumah tangga dengan Abby Abadi yang juga seorang pelakon terkenal.

Pengacara program 'Bang bang Boom' Ahmad Azahari Mohd Ali ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor pada 7 Oktober 2010 kerana disyaki berkhalwat dan berdua-duaan dengan wanita yang juga masih isteri orang.

Kisah bercerai-berai dalam rumah tangga juga dilakonkan oleh artis-artis kita di luar selepas melakonkan watak itu di dalam filem mahupun drama yang dibintanginya.

Pelakon jelita sitkom 'Puteri', Nora Danish bercerai dengan suaminya Rizal Asyram atas alasan sudah tidak serasi dan membawa haluan masing-masing. Lebih memalukan apabila lafaz cerai mereka dilakukan melalui panggilan telefon.

Pada 26 April 2006, pelakon terkenal Yusri KRU bersama isterinya Erra Fazira sah melafazkan cerai di mahkamah. Kedua-dua pelakon ini juga tatkala majlis perkahwinan mereka telah disiarkan secara meluas dan gemilang oleh media.

Ac Mizal telah menyaman isterinya Shafnie Zainuddin selepas menceraikannya serta masih lagi di dalam perebutan di dalam tanggungjawab memberi nafkah dan hak penjagaan anak.

Apa lagi sebenarnya yang kita mahukan daripada artis-artis ini untuk menjadi role-model kepada masyarakat? Seperkara lagi, media begitu pantas memainkan peranan. Kadang-kadang imej buruk artis-artis ini cepat dipadamkan oleh mereka.

Hiburan serta artis alternatif perlu berusaha lebih kuat dan gigih untuk menaikkan imej mereka di mata masyarakat agar dapat menenggelamkan artis-artis yang tidak bermoral ini.

Wednesday, October 20, 2010

Pukullah anak untuk masa depan akhlak dan negara


oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Dalam satu hadith, Daripada Amru Bin Shuib, Rasulullah s.a.w telah bersabda :

"Perintahkanlah olehmu anak-anakmu (supaya) solat tatkala berusia tujuh tahun, dan pukullah anak-anakmu apabila berusia sepuluh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur mereka."

Falsafah pendidikan anak-anak ini sudah lama diajarkan oleh Nabi s.a.w dalam menangani permasalahan sosial dan akhlak anak-anak muda.

Sewajarnya, apa yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya semestinya benar dan releven sepanjang zaman. Ia adakah asas atau pun dasar dalam memandu perjalanan hidup manusia dan seluruh alam.

Maksud tersirat

ibu bapa pada hari ini, dalam kaedah mendidik anak-anak, wajar memerhati dan memperdalam hadith ini.

Mengapakah Nabi s.a.w menganjurkan agar mengajar anak-anak solat bermula umur tujuh tahun? Apakah maksud supaya dipukul mereka tatkala berumur sepuluh tahun apabila tidak mahu bersolat?

Mesti di sana ada ibrah iaitu pengajaran mahupun hikmah yang tersirat yang perlu dicari.

Contoh sahabat r.a

Para sahabat r.a terdahulu dalam melihat Hadith Nabi s.a.w akan terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama yang akan melaksanakan langsung hadith tersebut secara zahiri (tekstual), manakala golongan kedua akan memerhati serta mentafsirkan hadith tersebut dengan mengambil kira apa sebenarnya maksud yang ingin disampaikan Nabi s.a.w.

Dalam satu peristiwa, Nabi s.a.w apabila melalui satu jalan yang terdapat sebatang pokok, Baginda akan menundukkan kepalanya. Lalu para sahabat mengikut sebagaimana apa yang Nabi lakukan.

Sehinggalah Baginda wafat, ada para sahabat yang masih lagi melakukan apa yang dilakukan Nabi s.a.w ketika hidup dahulu dengan alasan ia seakan sunnah perbuatan yang perlu dilakukan. Sedangkan sebahagian sahabat yang lain sudah meninggalkan perbuatan tersebut kerana mereka berhujah Nabi s.a.w menundukkan kepalanya kerana mengelakkan dari terlanggar dahan pokok tersebut.

Dalam hadith tadi, mungkin kita boleh menafsirkan pelbagai maksud berkenaan pendidikan anak-anak melalui solat.

Basyiran wa nazira

Dalam Islam sendiri, pendidikan mesti disalurkan kepada manusia melalui dua cara. Basyira dan nazira. Basyira adalah khabar berita yang baik atau boleh ditafsirkan sebagai lemah-lembut, kasih sayang dan bertolak-ansur.

Manakala nazira adalah khabar buruk atau maksud lainnya cerita mengenai azab siksaan yang bakal dihadapi atau kekerasan. Kedua-dua ini adalah dengan tujuan manusia itu mencapai apa yang disebut sebagai kesedaran (al-wa'yu).

Begitu jua dalam mendidik anak-anak. Solat merupakan tiang agama. Tiang yang akan menentukan bagaimanakah bangunan 'akhlak' seseorang itu. Maka solat yang akan menentukan keperibadian anak-anak itu. Justeru, pendidikan akhlak anak-anak perlu bermula dengan solat.

Para pengkaji Barat menyatakan bahawa umur dalam lingkungan tujuh hingga sepuluh tahun adalah tahap yang paling sesuai melentur akhlak anak-anak.

Mungkin ini maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh Nabi s.a.w.

Ibu bapa seharusnya jangan takut memukul anak-anak sekiranya 'degil' atau tidak mahu bersolat, dengan syarat memukul dengan niat mendidik serta tidak mencederakan. Walaupun dibenarkan memukul, namun Islam juga menganjurkan agar tidak melampaui batas dan bersederhana.

Memukul anak-anak yang berumur lingkungan itu adalah memukul akhlaknya dalam keadaan mereka sendiri tidak sedar kesalahan meninggalkan solat.

Namun kesedaran itu akan datang apabila mereka berumur selepas lingkungan itu. Mereka mula tahu dan berfikir mengapa mereka dipaksa solat dan dipukul dan maksud sebenar solatnya.

Mencari solusi sosial remaja

Keruntuhan akhlak remaja hari ini selain daripada kerosakan sistem, ia berlaku apabila proses mendidik tidak dilakukan seawal umur muda.

Apabila para remaja sudah memasuki alam sekolah menengah, akhlaknya sudah payah dilentur dan dibentuk. Siapa remaja pada ketika itu adalah bergantung pendidikan mereka yang diterimanya ketika kecil.

Oleh sebab itu, kerajaan, ibu bapa dan semua pihak usah rasa menyesal generasi hari ini yang dilanda masalah sosial. Menyesallah kerana tidak mendidik mereka sedari kecil.

Permulaan didikan misalnya, ketika bayi sudah dijaga dan dipelihara mengikut tuntutan Islam sehinggalah kepada pra-sekolah (taska) sudah dikenalkan dengan Allah, Rasul dan agama Islam. Ia dibantu dengan qudwah ibu bapa dirumah.

Bukankah sudah ada penyelesaian ini? Mungkin tidak perlu bagi 'First Lady' untuk menganjurkan persidangan yang menelan belanja beribu-ribu untuk mencari solusi tentang masalah anak-anak. Jika ini diikuti, sudah mencukupi bagi melahirkan generasi yang soleh berakhlak, dan berkualiti untuk memimpin negara mengikut acuan Islam.

Pinggiran Batu Caves,
20 Oktober 2010
12.06 p.m

Sunday, October 3, 2010

Tarbiyah dan Kompetensi

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Di dalam gerak kerja jemaah, unsur tarbiyyah sangat perlu dititik-beratkan oleh kepimpinan kepada ahli-ahli serta struktural organisasi.

Ini menjamin kompetensi dan maintainance serta produktiviti kerja dan ahli berkualiti dan sentiasa bertambah seiring dengan tercapainya matlamat jemaah Islam.

Kealpaan dalam tarbiyah bakal menjuruskan jemaah kepada bibit-bibit perpecahan dan hilang arah akibat jiwa tidak dibasahi dengan panduan rabbani.

Beberapa kesilapan ini pernah diperkatakan oleh seorang tokoh gerakan Islam, Ustaz Mustafa Mahsyur bahawa setiap ahli jemaah tidak boleh cuai dan lalai. Beliau melihat hari ini gerakan dan jemaah Islam banyak melakukan kesilapan berikut:

1. Memberikan tumpuan yang lebih kepada bidang politik dan meringankan aspek tarbiyah. Hal ini berlaku kerana gerakan diatur oleh politik dan terlalu sibuk menghabiskan masa dalam menyelesaikan pelbagai masalah, kemusykilan dan perhitungan.

2. Tidak menyediakan murabbi (penasihat) dan para pelatih. Para murabbi hanya menumpukan kepada peringkat tinggi. Maka menyebabkan mundurlah peringkat rendah. Selain itu, ia berlebihan memberi keutamaan kepada berceramah di merata-rata tempat kerana banyak jemputan hingga melemahkan tugas mereka dalam aspek tarbiyyah.

3. Usrah diubah kepada bengkel semata-mata untuk mengetahui dan bukan untuk mengasah bakat, pembentukan peribadi, dan membina akhlak. Lebih teruk menukarkan medan tarbiyah sebagai tempat untuk menonjolkan diri.

4. Sibuk dengan bidang-bidang lain hingga mengenepikan tugas tarbiyyah. Tarbiyyah tidak boleh diganggu dengan sesuatu walaupun dengan jihad atau memerangi musuh, malah tarbiyyah dalam suasana begini menjadi sangat penting dan diperlukan kerana unsur Iman merupakan keperluan yang dimestikan untuk mendapat sokongan dan pertolongan Allah.

5. Menjalarnya sikap cuai, dan sifat tidak mengapa, semangat tidak terikat dan tidak mematuhi syarat-syarat keanggotaan jemaah dan gerakan. Kesannya akan merosakkan suasana kerja dan merosakkan hasil kerja malah akan membawa pelbagai akibat buruk.

Ujian dan tabiatnya

Seterusnya, kebanyakan ahli-ahli gerakan pada hari ini kurang faham dan bersedia apabila berhadapan dengan ujian yang mencabar jemaah kita. Perkara-perkara seumpama ini haruslah dijauhkan:

1. Adalah satu kesilapan apabila menganggap bahawa ujian bukan merupakan perkara tabi'e (nature) dalam berdakwah, atau merasakan ujian itu merupakan natijah daripada kesalahan yang dilakukan oleh pimpinan.

2. Ragu-ragu dengan memperkatakan bahawa ujian itu dengan mengatakan : "Kalaulah kita berada di jalan yang hak nescaya Allah akan menolong kita, kerana kesalahan kitalah maka musuh mendapat kekuatan lebih dari kita"

3. Juga menjadi satu kesilapan apabila menganggap bahawa ujian yang ditempuhi boleh ditebus (diganti) dengan menggunakan hikmah dan siasah atau 'diplomasi', sedangkan musuh-musuh Islam tidak henti-henti serangan ke atas jemaah dengan tujuan menghapuskan Islam.

4. Berlindung diri dengan memberi sokongan kepada pihak yang zalim dan menyatakan bebas daripada gerakan atau jemaah, seterusnya menghentam dan mengecam jemaah sebagai cara melepaskan diri dari ancaman.

Betapa perjuangan Islam adalah jalan yang panjang dan penuh berliku. Sunnah ujian dan cabaran tidak akan berakhir selagi mana perjuangan itu masih bernafas.

Sunday, September 26, 2010

Anekdot perjuangan, sebuah dedikasi

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Sejurus dibebaskan daripada pertuduhan semalam, kira-kira jam sebelas setengah pagi, Shazni menghubungi saya, katanya mahu ke rumah saya bersama keluarga.

"Saya solat Jumaat di masjid sekitar Sri Gombak, dan terus ke rumah anta" katanya menghubungi melalui telefon. Saya menyetujuinya.

Lebih kurang jam dua setengah petang, mereka sampai. Walaupun hari agak mendung petang itu, tetapi ia tidak menghalang kami berjumpa.

Kami bersembang sekitar keputusan perbicaraan pagi tadi. Shazni melahirkan rasa gembira dan bersyukur. Kelihatannya seolah sangat gembira dan berpuas-hati. Saya yakin kerana ujiannya sudah berakhir.

Shazni Munir yang saya kenali

Shazni yang saya kenali seorang yang terlalu gigih dan kental. Bunyinya mungkin agak 'mengangkat bakul' dia, tetapi saya bercerita sebagai seorang rakan seperjuangan yang banyak bersamanya dalam pelbagai lapangan.

Bermula kepimpinannya di UM NIlam Puri, hingga ke UM Kuala Lumpur, seluruh hidupnya dicagarkan untuk memenuhi tuntutan perjuangan dalam aktivis mahasiswa.

Ketika saya tahun satu di UMKL, dalam fasa-fasa mahu 'bertatih' dalam perjuangan, dia sudah mengetuai Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA). Beliau menyeret mahasiswa untuk berbaring di hadapan Parlimen mendesak AUKU yang zalim dihapuskan.

Sehinggalah beliau mengetuai PMIUM dan di peringkat nasional dilantik sebagai pengerusi SMM (Solidariti Mahasiswa Malaysia).

Seingat saya, banyak tugas-tugas kepimpinannya saya terpaksa ambil alih yang ketika itu saya sebagai timbalannya di PMIUM. Berikutan mengetuai mahasiswa dalam suara rakyat negeri Perak yang dilanda krisis 'kudeta', beliau diburu polis.

Lebih kurang seminggu juga dia menghilangkan diri.

Ditangkap

Belum lagi kisah dia ditahan dalam siri demonstrasi mahasiswa dan kes 'Puaka UM' yang melemparkan dia ke lokap polis sebanyak hampir tiga kali.

Dua kali kerana mengetuai demonstrasi, satu kali untuk siasatan kes 'Puaka UM'

Jiwanya besar

Saya masih ingat tatkala saya ditangkap ketika mengetuai demonstrasi di hadapan SOGO berkenaan isu Autonomi Universiti.

Ketika itu saya bersama lapan yang lain hampir direman tia hari, namun peguam tangkas memaksa polis membebaskan kami malam itu juga.

Tatkala genting itu, beliau berpesan di dalam smsnya pada saya, "Jangan gentar ujian dunia, ramai lagi para pejuang yang mendapat ujian lebih dari ini".

Saya kembali bersemangat ketika itu sehinggalah dibebaskan.

Kes "puaka UM" dan sebuah ujian

Saya mengikuti hampir keseluruhan perbicaraan di mahkamah dalam kes ini. Sedari mula perbicaraan sudah nampak bahawa satu penganiayaan kepada mahasiswa.

Sehinggalah akhirnya semalam mahkamah memutuskan mereka tidak bersalah, menjawab segala pertuduhan dan persepsi negatif kepada mereka.

Saya kembali mengingati kitab-kitab haraki yang sempat saya hadami dahulu. Betapa ujian adalah sunnah dalam berjuang, dan orang yang tidak dilanda ujian bukanlah berjuang namanya.

Mereka kelima-lima ini saya 'tabik' sebagai manusia yang sudah mendepani ujian yang besar. Berhadapan polis, air mata keluarga, kewangan, masuk lokap, dihina, dan macam-macam lagi.

Mungkin sedikit nak dibandingkan dengan para sahabat, tetapi besar bagi yang tidak merasainya.

Saya yakin perjuangan mereka benar, dan Allah sentiasa bersama kebenaran.

Kepada sahabat saya Shazni Munir, salam perjuangan dan tahniah atas kemenangan. Selagi mana perjuangan belum selesai, selagi itu kita akan terus berjuang.

Rumah Real, 2.08 a.m

Tuesday, September 14, 2010

Coretan Lebaran


Catatan ini saya petik daripada blog seorang sahabat yang mencatatkan pengalaman seorang pelajar UIA yang melalui pengalaman yang sangat berharga. Saya Cuma memanjangkan agar mendapat manfaat bersama, Insya Allah. Selawat ke atas nabi s.a.w.



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...

Ya Allah..lancar jari ini menaipkan sebuah pengalaman yg amat berharga dr seorang insan yg dipilih Allah utk berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. melalui mimpi hari Khamis, 16 Rejab 1427H bersamaan 10 0gos 2006.

Nama yg dipilih oleh ayah beliau adalah Syamimi yg bermaksud 'kesayanganku', jua gelaran Nabi pada puteri kesayangan Baginda, Fatimah. Ketika khilaf memilih nama itu, ayah beliau mengharapkan mudah2an suatu hari nanti anaknya akan menjadi salah seorang mutiara kesayangan Rasulullah S.A.W. Alhamdulillah, doanya makbul selepas 23 tahun kelahiran anak sulungnya daripada 8 adik-beradik.

Al-Quran 30 juzuk terpelihara kemas dalam hatinya. Beliau menghabiskan masa 3 tahun utk menghafal 30 juzuk Kalamullah ketika berada di negeri kelahirannya. Beliau hafal sendiri utk memenuhi harapan ibu ayah yang mengharapkan ada dalam kalangan anak mereka menjadi seorang hafiz atau hafizah. Sebagai anak sulung, beliau mengambil tanggungjawab ini utk menjadi contoh kpd adik2 yg lain. Setiap hari beliau hafal 2 mukasurat Al-Quran dan tasmi' dgn ustaz di sebelah rumahnya. Sekarang beliau pelajar tahun 4 jurusan Undang-Undang Syariah di universiti ini.

Akak ni memang diuji dengan sakit yg tak tahu apa punca sejak lebih setahun yg lalu. Sakitnya rasa seperti ditikam-tikam dengan pisau di bahagian belakang tubuhnya, tambahan pula kaki yang sakit di bahagian lutut sejak 8 tahun lalu tidak pernah sembuh. Pernah satu ketika, selepas makan, beliau muntah bersama segumpal rambut dari kerongkongnya. Penderitaannya hanya Allah dan dia sendiri yang tahu. Sudah lama beliau tidak terdaya ke kelas kerana sakit itu membuatkan dia tidak dapat berdiri atau berjalan. Hilang selera makannya hingga badannya susut hampir 13 kg. Beliau hanya menggagahkan diri untuk pergi berwudhu' 2 hingga 3 kali sehari. Wudhu' itu dijaga sebaik mungkin untuk ibadah sepanjang hari.

Hari2 yang dilaluinya dipenuhi dgn membaca Al-Quran dan qiamullail sebagai pendinding daripada gangguan yg terus2an menyakiti diri. Diceritakan makhluk2 halus itu akan mengganggunya terutama pada waktu sebelum Subuh, Zuhur dan Maghrib. Beliau telah banyak berubat di merata tempat, berjumpa doktor2 pakar, malah ulama' yg faqih dalam ilmu perubatan islam serta akhir sekali bertemu sorang lecturer di sini. Tapi beliau hanya mampu bertahan. Pesan ustaznya, setiap kali beliau sakit, banyakkan baca Surah Al-Baqarah.

Pagi Khamis itu, beliau berniat utk hadir kuliyah sebab sudah terlalu lama tidak mampu ke kelas. Beliau bangun kira2 jam 4.30 pagi utk solat. Berbekalkan sedikit kekuatan yg digagahkan, beliau ke bilik air utk berwudhu' dgn memapah dinding dan segala apa yg mampu membantu beliau untuk berdiri. Habis berwudhu', beliau jatuh tersungkur, rasa seperti ada yg menolak keras dari belakang. Tika itu beliau sudah tidak mampu berdiri, justeru beliau merangkak ke bilik. Sampai saja di bilik, beliau ketuk pintu dan rebah di depan bilik tersebut. Disebabkan sakit yg mungkin dah tak tertanggung, dengan spontan beliau niatkan, "Ya Allah, kiranya mati itu baik untukku, aku redha, tapi kiranya Engkau ingin aku terus hidup, aku ingin dengar kata-kata semangat drpd Rasulullah S.A.W. sendiri.."

Kemudian beliau pengsan. Sahabat2 sebilik mengangkat beliau ke dalam biliknya dan di baringkan di sana . Waktu itu, sahabat2nya telah pun 'forward message' pd rakan2 yg lain agar dibacakan surah Yasin kerana beliau nampak sudah nazak. Malah mereka telah sedia dgn nombor2 ahli keluarganya utk dihubungi kiranya ada apa2 berlaku dengan izin Allah. Kira2 jam 11 pagi itulah, ketika tertidur dgn tenang dalam waktu qoilullah, beliau bermimpi. Beliau sedang terbaring dalam keadaan memakai telekung dgn tangannya diqiam seperti dalam solat di suatu tempat asing yang sangat cantik. Beliau terbaring di sebelah mimbar dan kelihatan banyak tiang di sekitarnya.

Tiba-tiba datang seorang Hamba Allah dgn wajah yang bercahaya dari arah depan dan berdiri hampir sekali, kira2 2 meter dari beliau. Wajahnya SubhanaLlah..indah sekali, tak dapat nak digambarkan. Beliau tertanya2, siapakah orang ini? cantik sekali kejadiannya dan hati beliau rasa sangat tenang dgn hanya melihat wajahnya. Dirasakan seluruh kesengsaraan yg ditanggung selama ini lenyap begitu sahaja. Kemudian, Hamba Allah itu mengatakan, "Assalamu'alaikum, ana Rasulullah.." Subhanallah..baginda Nabi rupanya! Nabi memakai jubah putih dan kain serban berwarna hijau di atas bahu baginda. Beliau nampak dgn jelas mata Baginda Nabi, janggut Baginda, rambut Baginda, kain serban di atas bahu Baginda dan tubuh Baginda. Kemudian Nabi katakan "Enti fil masjidi" (kamu sekarang berada di masjidku, Masjid Nabawi).. Allahuakbar!

Kemudian Baginda Nabi S.A.W. berkata: QalAllahuta' ala; "InnaAllahama' assobirin" (sesungguhnya Allah bersama orang2 yg sabar). Ketika mendengar suara Nabi mengalunkan Kalamullah, terasa bergema suara merdu Nabi di seluruh alam. Sememangnya Baginda sebaik-baik kejadian dan diciptakan dgn penuh kesempurnaan. Nabi katakan (dalam lughahl arab, tp diterjemahkan di sini) ; "Ya Syamimi, dengan berkat kesabaran enti, dgn sakit yg enti tanggung selama ini, dan dgn berkat Al-Quran yg enti pelihara di dlm hati, maka Allah bukakan hijab utk enti nampak ana.." Ketika Nabi menyebut Ya Syamimi, terlintas di hatinya "Ya Allah..Baginda kenal ummatnya!". Ya Rasulullah... Ketika itu, beliau dapat merasakan baiknya Allah, memberikan nikmat yg begitu besar buat dirinya.

Kemudian Nabi katakan lagi; "Sampaikan salamku buat sahabat2 seperjuangan Islam. InsyaAllah, kita semua akan berjumpa nanti.." Nabi S.A.W. kemudian melafazkan; "Ummati.. ummati..ummati..." dan beliau nampak jelas Nabi menangis saat itu. Beberapa titisan airmata Baginda yg suci mengalir utk ummat Baginda! Kemudian Baginda Nabi melangkah pergi. Beliau merintih, "Jangan pergi Ya Rasulullah.." tetapi Baginda tetap pergi. Subhanallah, walaupun kita tak pernah bersua dgn Nabi yg mulia, Baginda kenal dan sentiasa ingat akan ummatnya. Beliau sendiri tidak pasti, apakah Baginda menangis kerana rindu kepada ummatnya, atau mungkin saja baginda sedih dgn telatah dan sikap serta perangai ummat akhir zaman ini? wallahua'lam...

Sedar daripada tidur yg amat indah pengisiannya itu, beliau masih dikelilingi oleh rakan2 yg turut terdengar rintihan beliau dalam tidurnya "Jangan pergi Ya Rasululah..." Beliau kemudian menceritakan kpd para sahabat tentang mimpinya sekaligus menyampaikan salam Rasulullah buat ummat Baginda. Semua yg mendengar menangis lantaran rindu pada Nabi. Rasa malu pada Nabi krn kita jarang2 ingat pada Baginda sedangkan kita amat terhutang budi padanya. Lebih2 lagi kita sedar bahawa hanya syafaat Bagindalah yg dikejar di akhirat kelak.

Ya Allah..ketika itu, tiada kata yg lebih tinggi drpd kalimah Alhamdulillah utk di rafa'kan pada Allah atas ni'mat yg begitu besar yg Allah berikan pada dirinya. Rasa tak layak dirinya menerima anugerah dgn ujian yg hanya sedikit berbanding insan2 yg lebih berat diuji oleh Allah. Kiranya ada kalimah pujian yg lebih tinggi dr Hamdalah, pasti akan beliau sebutkan buat Allah Yang Maha Kaya. Semuanya terangkum dalam Rahmat-Nya yg melimpah ruah. Rasa sakit masih menular di tubuhnya. Cuma kali ini dia bertekad tidak akan menangis lagi utk kesakitan ini.

Usai solat Zuhur, rasa sakit yg ditanggung makin hebat. Tak pernah beliau merasakan sakit yg sebegitu rupa. Terasa panas seluruh badan dan seluruh tubuhnya rasa ditikam pada setiap penjuru. Kalau dulu, beliau akan menangis dalam menghadapi kesakitan, namun pada waktu itu beliau pujuk diri utk tidak menangis. "Apa sangatlah sakit yg aku tanggung ini berbanding nikmat yg Allah telah bagi utk melihat Baginda Nabi S.A.W."

Kemudian beliau tidur. Beliau terus rasakan berada di tempat tinggi, tempat yg biasa hadir sepanjang beliau menerima gangguan. Beliau katakan "Ya Allah, apa lagi yg hendak Engkau berikan buat hambamu yg hina ni, rasa malu sangat dengan-Mu Ya Allah..." Kemudian dgn izin Allah, datang empat orang yg berpakaian serba hijau. Salah seorang daripadanya mengatakan; "Assalamu'alaikum Ya Syamimi..Rasulullah s.a.w. sampaikan salam buatmu. Kami utusan Rasululah..Nahnu khulafa' ar-rasyidin. Ana Abu Bakr, ini Ummar Al-Khattab, Uthman bin 'affan dan Ali.." Subhanallah..Saidina Abu Bakr memperkenal dirinya dan ketiga2 sahabat yg mulia. Beliau nampak sendiri, Saidina Abu Bakr yg amat lembut perwatakannya, Saidina Ummar dgn wajah tegasnya, Saidina Uthman yg cantik sekali dan Saidina 'Ali yg agak kecil orangnya.

Para Sahabat mengatakan; "Kami diutuskan oleh baginda Nabi utk membantu enti.." Kemudian keempat2 mereka membacakan ayat 102 surah Al-Baqarah yg bermaksud:

"Dan mereka mengikuti apa yg dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman. Sulaiman itu tidak kafir tetapi syaitan-syaitan itulah yg kafir, mereka mengajarkan sihir pada manusia dan apa yg diturunkan pada 2 malaikat di negeri Babylon iaitu Harut dan Marut. Padahal keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang sebelum mengatakan 'sesungguhnya kami hanyalah cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kafir.' Maka mereka mempelajari dari keduanya (malaikat itu) apa yang (dapat) memisahkan antara seorang (suami) denagn isterinya. Mereka tidak akan dapat mencelakakan seseorang dgn sihirnya kecuali dengan izin Allah. Mereka mempelajari sesuatu yang mencelakakan, dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan sungguh, mereka sudah tahu, barang siapa membeli (menggunakan sihir) itu, nescaya tidak akan mendapat keuntungan di akhirat. Dan sungguh, sangatlah buruk perbuatan mereka yang menjual dirinya dgn sihir, sekiranya mereka tahu.."

Selesai membaca ayat itu, para sahabat Nabi menghembus pada makhluk2 yang sedang mengganggu beliau dan mereka semua hancur terbakar. Subhanallah..waktu itu terus terasa seolah2 tubuhnya yg sakit dahulu ditukarkan Allah s.w.t. dgn tubuh yg baru. Hilang segala kesakitan yg setahun lebih ditanggung beliau dgn sabar. Saidina Abu Bakr mengatakan; "Inilah ganjaran besar dari Allah buat orang-orang yang sabar.." Kemudian, para sahabat Nabi yg mulia pun pergi meninggalkannya.

Selesai mimpi indah yg kedua ini, beliau bangun dr tidur dan terus duduk. Rakan2 sebilik pelik, kenapa beliau dapat bangun dan duduk dgn mudah . Kemudian sahabat2nya itu menyuruh beliau bangun berdiri dan alhamduliLlah..dgn mudah beliau bangun berdiri dan berjalan d sekitar bilik. "Ya Allah, penyakit ana dah sembuh.." Semua sahabat yang ada di situ bergembira dan menangis. Kemudian beliau segera ke bilik air untuk berwudhu'. Dengan tubuh yang 'baru', beliau sujud syukur pada Allah s.w.t. "Ya Allah, kiranya di beri tempoh sujud 100 tahun pun belum dapat diriku menjadi hamba-Mu yg bersyukur atas nikmat yg telah Engkau berikan.."

Beliau berpesan pada kami; "Adik-adik, wajarlah para sahabat Nabi yang mulia sanggup mati demi mempertahankan Baginda. Akak yang diberi rezeki melihat Nabi tak sampai pun 5 minit dah rasa tak sanggup berpisah dengannya. Kalau boleh, nak duduk je di bilik untuk beribadah pada Allah dan mengenang wajah Nabi yg mulia. Tapi menyedari banyak lagi taklifan dan tanggungjawab kita atas muka bumi Allah ini, maka hidup mesti diteruskan. Sekarang ini hati akak tenang sangat..kalau boleh, nak je akak pinjamkan hati ni walau hanya sesaat agar adik2 dapat merasakan betapa beningnya hati ini. Tapi itu tak mungkin kan , mungkin ini bahagian akak, bahagian kalian? Hanya Pemiliknya Yang Maha Tahu. Akhir sekali akak ingin katakan, tak rugi kita bersabar..."

Keperibadiannya indah. Cerminan al-Quran katanya 'Aisyah ra. Dari semua aspek kehidupan, diperagakannya hanyalah kesyumulan. Allah mengajar manusia berkehidupan di muka bumi ini melalui baginda. Menuruti sunnahnya adalah pahala. Kasih sayangnya tiada bertepi, dari yang kecil hingga yang tua, dari hamba hingga ke bangsawan, dari dulu sampai sekarang, hingga ke akhirnya.. Dialah peribadi unggul sepanjang zaman. Mencintainya suatu kemuliaan...

Pernah suatu ketika Rasulullah berkumpul didalam satu majlis bersama para sahabat. Tiba-tiba bergenang air mata baginda s.a.w. Para sahabat gelosah melihat sesuatu yang tidakmereka senangi di wajah Rasulullah saw. Bila ditanya oleh Saidina Abu Bakar ra, baginda mengatakan bahawa terlalu merindui ikhwannya.. Saidina Abu Bakar sekali lagi bertanya Rasulullah saw, "bukankah kami ini ikhwanmu?" Rasulullah menjawab, "Tidak, kamu semua adalah sahabatku.. ikhwanku adalah umatku yang belum pernah melihat aku tetapi mereka beriman dan sangat mencintaiku... Aku sangat rindu bertemu dengan mereka.."

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya (al-Ahzab:56).



http://ibnu-khalid.blogspot.com/

Wednesday, August 25, 2010

Kenang-kenangan kepada ayahanda Dato' Azarae

Kepimpinan MPMUM 2010 sewaktu program Majlis Perpisahan bersama mantan TNC HEP, Dato Azarae Hj Idris

oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

7 Ogos 2010 lepas, secara rasminya tamat kontrak ayahanda Datuk Azarae Idris, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya atau selalu dikenali sebagai TNC HEP.

Kali terakhir saya bertemunya, ketika menaiki pentas untuk mengambil segulung ijazah dalam istiadat konvokesyen. Ketika itu saya senyum kepadanya tatkala melalui di hadapannya.

Saya mengenali beliau sejak dari menuntut di UM Nilam Puri lagi. Ketika itu beliau menggantikan Dato Razali Agus. Ketika saya dan rakan-rakan memimpin Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya Nilam Puri (MPPUMNP), Dato Razali masih lagi TNC HEP.

Seingat saya, pernah sekali Dato Razali turun ke Nilam Puri, bertemu dengan pimpinan MPP dengan tujuan untuk berbincang untuk membubarkan MPP di sini. Katanya tidak boleh ada dua MPP dalam satu-satu universiti.

Namun, saya dan rakan-rakan berjaya berhujah dengan beliau dan akhirnya keputusan itu tidak jadi, sehinggalah hari ini.

Selepas itu, Dato Azarae pula menggantikannya. Pada permulaan, saya mengandaikan beliau mampu untuk memberi satu harapan baru kepada mahasiswa khususnya kepada mahasiswa-mahasiswa yang selalu dilabelkan oleh HEP sebagai pembangkang.

Pilihan Raya Kampus (PRK)

Tahun pertama saya di UM Kuala Lumpur, menyertai kali pertama pilihan raya kampus (PRK), banyak kepincangan berlaku. Seakan tiada perubahan untuk HEP mengendalikan PRK. Penindasan terus berlaku, penafian kepada undi, halangan berkempen dan isu pengundi hantu di kolej kediaman ke dua belas.

Mujur pada waktu itu, Naib Canselor, Dato' Rafeah Salim seorang yang rasional dan profesional, mengarahkan agar undian semula di kolej tersebut. Beliau selaku pengerusi jawatankuasa pemilihan MPM ketika itu.

Tahun seterusnya, insiden paling teruk berlaku di kampus UM, apabila 'kemunculan' kepala babi dilemparkan di dalam masjid Akademi Pengajian Islam (API) ketika hari-hari terakhir berkempen dalam PRK. Pada ketika itu, saya dan rakan-rakan bertanding sebagai calon.

Walaupun begitu, Alhamdulillah Allah memberikan kemenangan kepada Pro-Mahasiswa (Pro-M) pada PRK tersebut, saya dan rakan-rakan memimpin kebinet MPMUM buat pertama kali setelah enam tahun di bawah aspirasi.

Menerajui MPM bersama TNC HEP

Pertama yang saya sebut kepada rakan baik saya dalam MPM, Fadzil Jamal, beliau juga adalah exco Kolej Kediaman dan Luar Kampus, "Kali ini tekanan HEP kepada kita pastinya hebat, hak-hak kita pasti dinafikan"

Apa yang menjadi kebimbangan akhirnya menjadi realiti. Satu persatu kepimpinan MPM mendapat tekanan. Bermula daripada sekatan program-program MPM kepada mahasiswa, hak mendapatkan wang peruntukan exco dinafikan, kolej-kolej kediaman yang menutup pintu kerjasama, tidak membenarkan MPM terlibat dalam Minggu Haluan Siswa (MHS).

Apatah lagi Fadzil, yang hari-hari terpaksa turun ke kolej kediaman menyelesaikan masalah penghuni kolej yang dibuang, keselamatan dan sebagainya.

Ada rakan-rakan saya yang daripada Aspirasi yang kadang-kadang tidak tahan dengan penyelewengan HEP, datang bertemu saya memberi maklumat satu persatu tentang kegiatan Aspirasi dan HEP termasuk TNC HEP, Dato Azarae Idris.

Semuanya dalam maklumat saya ketika itu, disebalik perancangan itu sebenarnya banyak dikendalikan oleh TNC HEP.

Sehinggakan, saya sendiri tidak percaya kepada pengurusan HEP, lalu segala permasalahan yang berkaitan mahasiswa saya terus berhubung kepada ayahanda Naib Canselor, Datuk Ghauth Jasmon. Malah, beliau lebih terbuka dalam hal berkaitan kebajikan mahasiswa berbanding TNC HEP!

Nasihat kepada Dato' Azarae

Pernah sekali ketika tempoh berkempen, saya dan Fadzil selaku calon Akademi Pengajian Islam (API) dijadualkan berkempen di kolej kediaman kesepuluh. Sepuluh minit sebelum turun, saya mendapat panggilan daripada penyelia kolej bahawa kebenaran untuk berkempen saya dibatalkan atas alasan saya menang tanpa bertanding.

Lalu tanpa berlengah saya terus menemui pengetua, Dr Faizah. Saya menyoalnya mengapa batalkan kebenaran selepas memberi kebenaran berkempen? Beliau memberi alasan yang sama.

Setelah 'bertekak' hampir 20 minit, saya akhirnya berkata kepadanya, kata-kata ini saya ingat sehingga kini. 'Dr kena ingat, jawatan pengetua ni sementara sahaja. Waktu ada jawatan, ada kuasa, bolehlah Dr aniaya orang, nanti Allah tarik balik jawatan tu. Kita ada syurga neraka, dosa pahala. Saya akan jumpa Dr di akhirat..' Begitu kata-kata saya menyebabkan mukanya merah padam dan langsung meninggalkan saya.

Nasihat ini juga saya pernah sebutkan kepada pegawai-pegawai HEP yang kerap kali melengah-lengahkan kelulusan program kami. Dan akhirnya saya juga pernah sebut kepada TNC HEP, Dato Azarae.

Hari ini, beliau sudah tiada jawatan di UM, di HEP. Tempatnya digantikan oleh Dr Rohana. saya berdoa agar beliau masih ingat kata-kata saya itu. Saya tidaklah mengatakan saya ini terlalu alim sehingga mengucapkan begitu. Sekurang-kurangnya, beliau tidak lagi mengulangi tindakan-tindakan beliau ketika menjadi TNC HEP di UM, apabila mungkin dilantik lagi di mana-mana universiti.

Selamat tinggal dan terima kasih ayahanda Dato Azarae Idris. Saya juga tidak akan melupakan jasa baik Dato selama ini!

12.40 p.m, Hospital Tawakkal, Jalan Pahang.

Saturday, May 22, 2010

Pesan sahabat

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Saya sempat menyertai Seminar Gerakan Islam dan Persaiangan Demokrasi di Hotel De Palma pagi tadi. Program anjuran Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam PAS serta GAMIS mendapat sambutan hangat. Tidak sangka ramai yang hadir.

Usai program, saya dipanggil oleh seseorang. Rupanya akhi Hafiz Sabri, sahabat seperjuangan saya di kampus UM. Saya bersalam dan memeluknya. Saya bertanyakan khabarnya.

Beliau baru pulang ke Malaysia daripada Yaman, setelah dua bulan di sana. Beliau di sana dihantar untuk menerima tarbiyah daripada pemimpin gerakan termasuk Ikhwan Muslimin.

Saya teruja mendengar kisahnya. Katanya, beliau sempat bertemu beberapa pemimpin Ikhwan yang pernah bersama-sama dipenjara dengan As-Syahid Sayyid Qutb dan tokoh seperjuangan Ustaz Said Hawwa dan Abdul Majeed Az-Zindani yang masih hidup.

Allah melorongkannya untuk bertemu mereka-mereka itu. Hasratnya tercapai sewaktu di dalam PMIUM bersama-samanya, dia pernah menyatakan keinginan bertemu dengan tokoh-tokoh Ikhwan.

Hafiz Sabri sahabat dan murabbi saya yang sangat saya hormati di kampus. Beliau banyak memberi nasihat tatkala saya letih berjuang. Menceritakan kisah-kisah para sahabat dan menegur saya ketika saya terlanjur. Melihatnya mukanya, timbul semangat untuk berjuang.

Sebelum pulang, beliau sempat menasihati dan berpesan pada saya agar betulkan niat dan ikhlas dalam medan perjuangan. Cari tempat bergantung di dunia seumpama ulama-ulama untuk dapat ketenangan. Dan jauhkan diri daripada maksiat yang akan melemahkan semangat perjuangan.

Walaupun hanya sepuluh minit saya sempat bertemunya, seakan mendapat penuh pengisian.

Saya mendakapnya sebelum dia pulang. "Akhi, doakan ana dapat jadi seperti enta, dan kita sama-sama syahid dalam perjuangan ini.." Saya bisik ke telinganya.

Saturday, April 17, 2010

Saya nak ke Afghanistan


oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Dua hari lepas, saya dihadiri seorang sahabat baik saya, Naim. Dia berkunjung ke rumah saya. Katanya mahu berehat dan melakukan sedikit kerja persatuan.

"Anta tak sihat ke?" saya menyoalnya. Kelihatan matanya sedikit merah dan sering terbersin.

"Ya la, Aizat. Macam nak demam" jawabnya. Suaranya agak serak.

"Anta rehatlah. Stop dulu kerja tu. Kalau tak larat, passing pada orang lain" saya memberi nasihat padanya.

Saya selalu teringat. Naim antara salah seorang sahabat saya yang sangat rajin berpersatuan. Dia sangat aktif. Seingat saya, dialah orang yang menghidupkan team sukarelawan PMIUM.

Dia tidak suka kerja-kerja besar. Dia suka kerja-kerja teknikal dan bawahan. Kebanyakan kerja-kerjanya tidak disebut dan disiarkan kerana dia bukan figure.

Itu yang saya kagum padanya. Seorang lagi sepertinya adalah Syazwan Ahmad. Dia serajin Naim dalam keterlibatan kerja-kerja dakwah, sampaikan saya segan dan malu padanya diatas kerajinan mereka ini.

Suatu hari

"Ana nak berjihad kat Afghanistanlah Aizat", suaru hari Naim berkata pada saya.

Saya tekun membaca buku ketika Naim bertanyakan saya.

"Hm.. Boleh ke?" "Kenapa di sana?" saya menyoalnya kembali.

"Ana nampak di Malaysia ni, nak dapat syahid susah. Tak ada peperangan menentang musuh Allah seperti di sana" jawabnya.

Saya meletakkan buku. Terkesima dengan jawapan dia.

"Bukankah pilihan raya tu satu medan peperangan?" saya bertanya dia.

"Betul. Tapi bagi ana tak sama macam di sana" dia menjawab.

"Jihad pilihan raya kita masih lagi boleh buat perkara-perkara yang kita ingini, seperti makan, minum dan kadang-kala kita sempat berehat lagi.."

"Tapi, orang berjihad di Afghanistan, mereka dah tak fikir itu semua. Mereka tinggalkan semua nikmat dunia mereka. Mereka serahkan keseluruhan jiwa dan nyawa mereka pada perjuangan, pada peperangan" ujarnya lagi.

"Sebab tu bagi ana tak sama.."

Nyawa dan Jihad

Saya termenung seketika. Benar apa yang dikatakan Naim pada saya.

Hari ini roh-roh seumpama itu sudah kurang kedengaran. Suara manusia yang seperti Naim semakin tenggelam. Tak ramai yang berfikir seperti dia.

Susah berjumpa orang yang memperkatakan soal jihad secara terang-terangan. Jika menyebut jihad, orang akan melabel kita ekstrim, pengganas dan sumpamanya. Dan kadangkala kita juga terpengaruh dengan itu.

Tapi, mungkin juga Islam itu perlu ekstrim. tetapi ekstrim pada musuh-musuh Allah. Biarlah orang melabel kita eksrtim. Tetapi eksrtim untuk Islam, tak mengapa.


Saya teringat ada seorang anak Melayu yang pernah syahid berjihad di Afghanistan. Buku catatan jihad beliau itu saya baca hingga tidak sedar air mata saya menitis. Menyelinap roh perjuangan beliau pada saya.

Saya berharap suatu hari Naim dapat apa yang diimpikannya. Dan saya harap saya juga akan menyusulinya. Bertemu Tuhan bersama-sama rakan-rakan yang syahid di sana.

Doakan.

Wednesday, January 13, 2010

Doakan ikut jejak mereka

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Tatkala menerima sms dua sahabat dari UPSI yang meninggal kemalangan, iaitu Fadhiri dan Faizol, saya mengingat-ingat kembali dua manusia ini.

Serasa banyak kali pertemuan dengan mereka, tapi lupa. Saya pun bukan terlibat sangat dengan aktiviti peringkat nasional. Namun, untuk ke UPSI sudah acap kali, terutama dalam pilihan raya kampus.

Rupanya Fadhiri adalah orang yang pernah saya ikuti program bersamanya, program SPIES tak silap. Seorang yang kuat belajar dan semangat. Seingat saya dia pernah bertanya bagaimana pentarbiyahan UM dapat melahirkan kader yang kuat. Saya jawab, tekanan dan berani berubah. Saya juga sarankan bawa kepada UPSI.

Bila saya dengar dia sudah tiada, makin kuat azam untuk ikut jejak langkah mereka. Mereka menemui Allah dalam perjalanan mereka.

Semoga Allah cucuri roh mereka. Al-Fatihah.

Rumah Omar
9.59 a.m

Saturday, December 26, 2009

'Amilin dan kompetensi

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Prakata

Sehingga hari ini, jika boleh dibilang, ia terlalu sedikit dan masih jauh untuk menemui seorang petugas Islam (amilin) yang betul-betul kompeten dan memiliki keperibadian daie yang lengkap dan sempurna.

Dengan perjuangan yang panjang, dan cabaran yang bersimpang-siur, gerakan Islam khususnya memerlukan petugas-petugas yang bisa menjawab keperluan dan menghilangkan kehausan ummat terhadap kecerahan Islam.

Kedahagaan ummat kepada daie

Rasulullah s.a.w bersabda: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang kuat daya hidupnya di tengah-tengah manusia”

Seorang amilin haraki, adalah Muslim yang dapat mengembangkan nilai-nilai perjuangan Islam di tengah masyarakat dan dia adalah pembawa risalah Islamiyyah dalam kehidupan ini. Sedapat tidak para Nabi dan Rasul dijadikan role model untuk dirinya.

Mereka ini semuanya manusia-manusia yang hidup aktif di tengah-tengah masyarakat, bergaul dengan mereka, makan dan minum bersama mereka, berpenat-peluh dalam kerja-kerja masyarakat, lalu bermuamalah dengan mereka melalui gambaran Al-Quran dan sabda Nabi s.a.w.

Murobbi yang dirujuki dan dirindui

Disamping itu, seorang amilin haraki didalam masyarakat adalah sebagai penasihat (nasih) yang dirujuki dan sentiasa memberi pandangan yang membina.

Kata-kata dan tindakannya selalu positif dan membangkitkan iltizam dan semangat kerana berpaksikan agama itu sebagai “Ad-diin an- nasihah” (agama sebagai nasihat).-Hadis Nabi s.a.w


Tugas yang paling besar dan berat

Tidak perlu pergi jauh dan berbincang perkara-perkara yang panjang dan kompleks, hanya merenungi hadis diatas,kita melihat kerja utama bagi seorang amilin haraki adalah sebagai juru nasihat kepada ummah.

Nasihat itu agama, kerana di dalamnya terkandung semua keperluan dan kedahagaan manusia. Manakala, agama itu adalah nasihat kerana dengan cara itulah bagi kita untuk mencapai keperluan-keperluan tersebut. Justeru, tugas juru nasihat adalah tugas yang besar dan berat. Ibarat menanggung sebuah agama.

Namun, keberatan itu hanya dinilai sebagai cabaran dan mehnah. Perjalanan yang harus dilalui. Biarpun panjang dan tidak berkesudahan. Sehingga kadang-kadang mereka kehilangan perkara-perkara yang mereka miliki. Keluarga, harta, kasih-sayang malah jiwa, semata demi membayar harga sebuah perjuangan.

Persiapan amilin munazzamah (pekerja yang strategik)

Al-Ustaz Imam Hassan Al-Banna, menggariskan hanya dua perkara penting dalam mendepani sebuah gerakan dalam menyelesaikan persoalan ummah. Para amilin yang iltizam, haruslah menjauhkan diri-diri mereka daripada terjebak dengan dua perkara ini.

Rosaknya hubungan dengan Allah

Benteng dan motivasi paling ampuh bagi seorang amilin adalah kuatnya pergantungan dirinya dengan Allah. Ini bermakna, seorang petugas Islam akan meletakkan sepenuh pengharapan akhir dalam segenap strategi dan gerak kerjanya kepada Allah.

Begitu juga dalam perjuangan, mereka tidak meletakkan nilaian kemenangan itu penentunya, bahkan dalam usaha yang bersungguh-sungguh. Ini kelebihan para amilin berbanding musuh-musuh mereka.

Banyaknya bertelingkah

Perpecahan yang berlaku hari ini ibarat menjauhkan lagi jemaah-jemaah Islam antara satu sama lain. Sedangkan antara mereka bertanggungjawab menjadi penampung antara satu sama lain. Bahkan lebih dari itu dalam matlamat juang.

Di sini, konsep ukhuwwah yang utama adalah salamatu as-sadri (berlapang dada) serta ithaar (mendahulukan orang lain) dalam ikatan sesama jemaah. Ia pastinya akan mengurangkan bibit perpecahan apabila masing-masing menerima pandangan antara jemaah.

Akhir

Dan barangkali, sudah tiba masanya para amilin mengorak langkah baru dalam mendepani dakwah yang bersifat global dan kompleks. Persediaan memahami waqi (keadaan) adalah sangat penting. Lebih-lebih lagi dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan.

Monday, September 7, 2009

Sedikit Coretan Ramadhan

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Marwan yang semangat

Hari Ahad, berkesempatan bersama-sama rakan-rakan OKU (Orang Kurang Upaya) di Kolej Kediaman ke-7 dalam satu program usrah. Berkenalan dengan Marwan, abang Hidayat, Ubaidullah Kelantan, abang Sam, abang Arif dan Rizal selaku ketua PERMIUM, cukup menginspirasikan.

Marwan cukup senang meluahkan pengalamannya. Dia cacat penglihatan kerana jangkitan penyakit sedari kecil. Katanya, dahulu dia punyai ramai kawan, tetapi kini sudah berkurang, kerana ramai tak nak bersahabat dengannya, dia tidak boleh nampak.

Tapi, Marwan punya cita-cita besar, dia nak jadi guru kepada orang-orang cacat satu hari nanti.

Abang Dayat juga begitu. 2 tahun dahulu, dia seperti kawan-kawannya yang lain, boleh berlari, boleh ketawa riang. Namun, selepas peristiwa kemalangan, pergerakannya terbatas sedikit. Kena berkerusi roda ke sana ke sini.

Saya pesan pada mereka, dahulu Abdullah Bin Abi Maktum juga cacat penglihatan. Minta kepada Rasulullah untuk berperang, tetapi Nabi tidak izinkan. Tetapi Abdullah dengan semangat memberitahu, andai aku keluar berperang, akulah orang yang paling berani, kerana aku boleh memancung sesiapa sahaja kerana aku tidak nampak siapa di hadapan aku. Lalu, Rasulullah benarkan dia.

Walid yang cepat belajar

Walid sewaktu saya kenalinya di kolej kediaman ke-8 dahulu, sangat pemalu orangnya. Dia berasal dari Yaman dalam fakulti kejuruteraan. Susah bertutur dalam bahasa lain selain bahasa arab sahaja.

Tahun kedua, dia beritahu, dia telah berpindah ke kolej kesebelas, katanya di sana ramai kawan yang sama negara dengannya. Saya setuju, ketika dia bertanya dahulu untuk ke sana, biarlah dia lebih bergaul dengan kawan senegaranya.

Walid memang cepat belajar, dahulu dia selalu bawa buku tulis 80 mukasurat. Saya tanya untuk apa? Dia jawab, nak salin perkataan-perkataan baru dalam bahasa Malaysia. Saya senyum dan tepuk bahunya. Hari kesepuluh Ramadhan, saya terserempak dengannya ketika tarawih, dia menegur saya. Dia sudah menjadi ketua bagi pelajar antarabangsa di situ.

Marwan dan Walid. Kedua-dua miliki semangat yang sama. Walau kudrat dan hidup berbeza.

Bulan Ramadhan menginsafkan. Kadangkala Allah bagi kesedaran bukan pada puasa, tapi pada kehidupan dan sekeliling. Saya berterima kasih pada Ramadhan, pada Allah..

Thursday, August 13, 2009

Lagi Kebobrokan HEPA Menjelang Ramadhan

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

1. FESKUM berjalan lancar dengan mendapat pujian dari Pro-Canselor UM.

2. Walaupun banyak perkara dalaman yang teruk terutama yang datang dari pengurusan HEPA. Antaranya kontrak tender bunga yang penuh kesangsian perjanjiannya antara HEP dengan pemegang tender. Iaitu, pemegang tender diarah bayar kepada akaun HEP sebanyak RM53,000.

3. Apa autoriti HEPA dalam hal ini? Mengapa perlu dibayar kepada akau HEPA sedangkan yang lebih berhak adalah Bendahari UM atau legal standi dalam FESKUM, iaitu bendaharinya?

4. Kini, satu lagi kebobrokan HEPA berlaku. Saya dimaklumkan pengarah program bahawa program Penghayatan Ramadhan MPMUM yang akan disambut hujung bulan ini masih lagi belum diluluskan KKDnya. Sedangkan ia dihantar pada 17 Julai yang lalu, hampir sebulan lamanya.

5. Apakah susahnya untuk meluluskan program keagamaan seumpama ini? Setahu saya, tiada sedikitpun unsur melanggar peraturan universiti dan disiplin universiti dalam rancangan program tersebut.

6. Apakah HEPA sudah mula untuk menyekat program-program agama sebagaimana yang dilakukan sejak berzaman kepada persatuan PMIUM?

7. Atau HEPA mula menunjukkan taringnya, ingin memulakan permusuhan dengan kelompok yang ingin membawa kefahaman-kefahaman Islam?

8. Atau mungkin juga HEPA tidak mahu mahasiswa didedahkan dengan kefahaman Islam, dan pendidikan kerohanian atau dengan bahasa mudahnya 'HEP tidak mahu mahasiswanya menjadi individu berpekerti mulia'?