Monday, August 11, 2008
Yuran Tambahan KK12 RM120!
Yuran Pelajar : Mahasiswa Tuntut Penjelasan Pentadbiran Universiti
Pihak HEP telah menetapkan bahawa yuran penginapan bagi kolej yang menyediakan makanan adalah sebanyak sepuluh ringgit sehari. Apa yang menjadi keraguan para pelajar di sini adalah, yuran-yuran tambahan terus dikreditkan di dalam akaun mel pelajar tanpa dijelaskan apakah tujuan yuran tersebut.
Bukan satu kes di atas sahaja yang berlaku, malah sebelum daripada ini perkara seumpama ini telah kerap kali dirungutkan pelajar. Sedar-sedar terdapat hutang yang perlu dijelaskan sebelum mengambil peperiksaan. Jika tidak, pelajar tidak dibenarkan menduduki peperiksaan.
Gerakan Mahasiswa Prihatin (GEMPAR) meminta pihak pengurusan Universiti Malaya agar mengkaji dan meneliti semula yuran-yuran yang dikenakan kepada pelajar. Pihak pengurusan juga dicadangkan agar menjelaskan dengan terperinci yuran wajib yang perlu dibayar oleh pelajar, agar pelajar faham dan tahu ke mana wang-wang mereka disalurkan.
Kami juga mencadangkan agar pihak pengurusan mengeluarkan slip terperinci yuran yang perlu dibayar (kredit) dan yang telah dibayar (debit) oleh pelajar kepada akaun bendahari Universiti Malaya. Dan slip ini dihantar terus ke tangan mahasiswa seperti mana yang dilaksanakan oleh bank-bank seluruh negara. Ketelusan dan kejelasan inilah dapat menjamin kebajikan mahasiswa dan keharmonian mahasiswa seluruhnya.
Mohd Aizat Bin Mohd Saleh,
Gerakan Mahasiswa Prihatin (GEMPAR)
Monday, August 4, 2008
Ke Arah Uni. Malaya yang Sejahtera : Isu Bas

“Bas macam banyak, tapi yang bergeraknya satu dua je..”
“Kalau jalan kaki ni dah sampai kot..” seorang lagi mencelah.
Saya sempat mencuri-curi dengar beberapa keluhan dari rakan-rakan saya tahun satu yang ketika itu sedang menunggu bas. Saya sebenarnya turut merasai kesusahan itu.
Saya punyai motor yang saya bawa sejak tahun satu. Waktu itu, peraturan universiti masih membenarkan pelajarnya membawa kenderaan untuk ke kuliah. Namun, bermula sesi ini, UM melalui TNC HEPnya telah mewartakan peraturan baru tidak membenarkan pelajar baru untuk membawa sebarang jenis kenderaan. Dan pelajar tahun kedua dibenarkan hanya membawa motor dan kereta dikhususkan kepada pelajar final year.
Dalam perutusan TNC yang di emailkan, katanya untuk menjimatkan kos minyak yang meningkat. Turut serta menyetujui Deklarasi Kyoto yang antara lain mengurangkan penggunaan kenderaan seiring pengurangan pencemaran.
“Tensen betul!, ada ke pak guard suruh aku parking kereta kat depan tu, pastu suruh aku jalan kaki dari pintu gate sampai fakulti.. habis aku hangus dua kelas hari ni..!”
Rakan saya tahun dua, ditahan pengawal keselamatan UM kerana membawa kereta.
Saya senyum.
Bas, Minyak dan Akademik
Seperkara, saya terkilan kerana pentadbiran sanggup menggadai aspek akademik, demi mengurangkan kos pengangkutan. Cuba bayangkan, seorang rakan saya yang saya ceritakan diatas, seminggu dua kali kena macam tu. Kalau sebulan macamana? Tiga bulan? Satu sem?
Kemudian, saya nak mengajak rakan-rakan saya berfikir lagi, sekarang, pelajar tahun satu mesti menaiki bas ke kuliah dari kolej masing-masing. Ok, fine!. Cuba bayangkan, apabila mereka ini sudah berganjak ke tahun dua, sudah pasti tidak semua akan stay kolej sebab beri laluan kepada adik-adik baru nak masuk. Hmm..cuba fikir jika anda sudah tinggal di luar kolej (rumah sewa) dalam keadaan bas yang hampeh macam sekarang ni. Sudahlah nak tunggu bas Rapid, kemudian bas UM. Buatnya bas Rapid pun lembab, tambah bas UM lambat, sama dengan…tak masuk kuliahla jawabnya!
Itu baru benda basic. Saya bukannya konfran dengan pihak pentadbiran. Tapi cubalah berfikir dan berbincang dengan student sebelum buat keputusan. Nak buat keputusan untuk student mestilah jumpa student. Kalau sakit, jumpa doktor, bukan jumpa kerani. Itu analoginya..
Satu lagi, kalau benarlah, kita sama-sama nak jimat kos pengangkutan kerana kenaikan harga minyak, dan konon-kononnya nak ikut Deklarasi Kyoto (cuba tanya student, ntah tahu ke tak) untuk environment care. Saya mencadangkan agar TNC sendiri dan semua kakitangan UM bersama-sama pelajar ke pejabat dan ke kuliah menaiki bas! Amacam? Barulah betul-betul jimat!
Jika tak boleh sangat pun..tingkatkanlah kualiti perkhidmatan bas. Tambahkan pemandu, berikan elaun lebih pada mereka. Tambahkan bas, walaupun minyak mahal, tapi cover yang student punya, barulah ok! Berkebajikan…
Ataupun kalau dah tak boleh sangat nak buat..berikan saja pada kami untuk membuatnya.
Monday, July 28, 2008
Pindaan AUKU : Peluang Mahasiswa atau Udang Sebalik Batu?
Mahasiswa seluruh negara menyambut baik pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) oleh kabinet beberapa hari yang lepas. Melalui Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, semalam mengisytiharkan bahawa pindaan tersebut telah dilaksanakan.
Pindaan tersebut antara lainnya akan membenarkan ahli-ahli politik untuk masuk ke universiti tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, dengan tujuan untuk memberikan ceramah, aktiviti atau pengisian yang berbentuk ilmiah dan bertepatan dengan bidang akademik mahasiswa. Situasi ini jika diamati seakan mengembalikan integriti universiti sebagai medan percambahan idea-idea dan mengetahui maklumat-maklumat berharga dari ahli akademik dan pemimpin-pemimpin negara.
Cuba bayangkan seandainya satu forum atau debat berlangsung yang membariskan ahli panel seperti Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Bin Hj Ahmad Badawi mewakili kerajaan Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Dato’ Seri Abdul Hadi Bin Hj Awang, selaku Presiden PAS dan beberapa wakil dari NGO lain. Mereka ini berbahas dan membincangkan isu-isu nasional seperti ekonomi, sosial dan martabat bangsa. Seandainya ia berlaku, maka tidak hairan slogan ‘Mahasiswa Menggugat’ yang pernah dikumandangkan suatu ketika dahulu bakal kembali menerjah arena politik mahasiswa.
Kerajaan kini, kelihatan sudah menampakkan sikap keterbukaannya terhadap mahasiswa. AUKU jika disorot kembali, ia adalah akta yang digubal disebabkan kesan tragedi 13 Mei 1969. Melihat kepada ketidak seimbangan kaum serta ‘kuasa’ mahasiswa yang begitu hebat menggagaskan idea anti-Tunku (ketika itu) yang mana mahasiswa terlibat secara langsung dan aktif berkempen dalam pilihan raya umum.
Tetapi, perlu diingat wahai sekelian mahasiswa, terdapat satu fasa di dalam AUKU yang mana lebih kurang bunyinya: ‘Setiap aktiviti itu hendaklah melalui budi bicara Naib Canselor universiti terlebih dahulu’ Maknanya bukan mudah-mudah nak membawa masuk ahli-ahli politik ke dalam universiti.
Selepas ini, mahasiswa perlu lebih agresif mengambil peluang ini. Gunakan kesempatan ini sebaik mungkin dengan terlibat secara aktif. Pedulikan akta-akta lain yang mengganggu, gunakan akta baru yang digubal ini walaupun ia nampak seakan ‘melembabkan’ mahasiswa.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad pernah berkata:
“Mahasiswa perlu lebih agresif di dalam akta, kerana kejayaan mahasiswa terdahulu adalah kerana berani mereka menempuh akta..”
Thursday, July 24, 2008
Dulu RM 2.70, sekarang RM 2.90?
Sunday, July 20, 2008
Beberapa ‘Kata Dua’ Terhadap Sistem Pendidikan di Malaysia

Sistem pendidikan tercerna melalui pengalaman, pemerhatian dan pengamatan yang mendalam terhadap produk pelajar yang dihasilkan. Kita sangat beruntung kerana, negara Malaysia mengfokuskan pendidikan sebagai satu-satunya keperluan utama untuk ‘berdiri’ di dalam masyarakat. Dalam misi kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9), iaitu ‘Meningkatkan Keupayaan Pengetahuan dan Inovasi Negara serta Memupuk Minda Kelas Pertama’, dalam fasa 2008 hingga 2010, kita melihat usaha komited kerajaan Malaysia membangunkan pendidikan kepada masyarakat wajar dihargai.
Misalnya, kerajaan mensasarkan misi ‘Mewujudkan Institusi Pendidikan Tertiari Bertaraf Antarabangsa’ dengan matlamat untuk mencapai 60% daripada jumlah staf akademik di universiti awam berkelayakan ijazah doktor falsafah (Ph.D) menjelang tahun 2010. Maka hasilnya, melalui laporan Kajian Separuh Penggal RMK-9, staf akademik yang mempunyai kelayakan Ph.D, meningkat daripada 26.6% pada tahun 2005 kepada 31.6% pada tahun 2007 dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebanyak 64%, Universiti Malaya (UM) 51%, dan Universiti Sains Malaysia (USM) pula meningkat 50% pada tahun 2007.
Desakan Terhadap Pendidikan
Keperluan pendidikan ini adalah hasil desakan daripada keperluan guna tenaga negara. Dalam kajian semula, semua sektor ekonomi telah mewujudkan tambahan guna tenaga dengan sektor perkhidmatan mencatat kadar pertumbuhan purata guna tenaga tertinggi, iaitu 30.0% setahun. Jumlah guna tenaga dalam sektor perkhidmatan meningkat daripada 5.56 juta pada tahun 2005 kepada 5.89 juta pada tahun 2007 lantas mewujudkan 505,100 peluang pekerjaan. Daripada jumlah ini, 46.7% adalah berpengetahuan yang terdiri daripada pengurus, profesional dan juruteknik.
Banyak lagi sebenarnya rancangan pendidikan jika diperhalusi. Antaranya Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang mana hampir RM 2.6 billion diperuntukkan melalui program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar baru-baru ini.
Review Semula Sistem Pendidikan
Namun, apa yang pasti dan realiti, pembangunan ‘Modal Insan’ yang digagaskan Perdana Menteri masih belum mencapai matlamatnya. Penumpuan tenaga sektor ekonomi semata-mata, bakal melahirkan sistem pendidikan statik dan membantutkan perkembangan budaya berfikir masyarakat. Saya mencadangkan agar kerajaan perlu membuat review semula sistem pendidikan negara, setelah menempuhi 51 tahun kemerdekaan, agar menyamai sistem pendidikan dan pendekatan di negara-negara maju. Kerana di sana telah memberi banyak ruang untuk berlakunya fleksibiliti bagi membangunkan potensi modal insan sejak usia awal.
Negara maju tidak sekadar berjaya melahirkan cerdik pandai dan cendekiawan agung, bahkan di negara-negara maju jugalah lahirnya majoriti jaguh-jaguh agung di bidang sukan, seni, sastera, lakonan, teater, pereka fesyen, dan bermacam-macam bidang lagi. Ini kerana, masyarakat di negara maju mentafsir dan memahami secara lebih mendalam falsafah yang tersirat di sebalik khazanah alam yang tersurat. Lalu menerima realiti kepelbagaian insan, memberikan segala dorongan, dan membina prasarana untuk tunas-tunas muda berbakat itu dapat berkembang.
Situasi Kini
Situasi yang berlaku kini adalah sebaliknya. Banyak perkembangan baik dan meyakini disekat dan dihalang dengan alasan akan menggugat beberapa pihak yang berkepentingan. Fenomena melawan arus, tidak bersyukur dengan pemberian dan pembangkang dimomok-momokkan. Saya juga melihat, ini sebagai salah satu usaha membantutkan sistem pendidikan negara yang maju, kerana tidak memberi ruang setiap individu bangkit dengan bidangnya. Sebagai contoh mudahnya peraturan sesetengah AUKU yang menyekat mahasiswa bersuara dan berorganisasi.
Menyentuh titah Raja Dr. Nazrin, “Setiap anak didik perlu diiktiraf kebolehan dan keupayaan mereka kerana setiap mereka ada peranannya dalam masyarakat dan dalam negara”. Maka apa lagi yang boleh dipersoalkan?
Mungkin selepas ini kerajaan perlu membuat satu kuota pengambilan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), satu jawatan dengan gaji standard pegawai kanan, iaitu jawatan ‘Mahasiswa’!.