Saturday, November 21, 2009

Berhentilah memenjara mahasiswa!

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Universiti adalah satu institusi yang sepatutnya menjadi medan berkumpulnya sekelian manusia yang mahukan satu perkara yang baru, belajar dan bebas berfikir, merencana, mengkritik dan mengeluarkan idea.

Seharusnya, universiti bukanlah tempat untuk menjalankan sistem semata, bahkan lebih dari sebagai pusat yang melahirkan sistem-sistem lain yang baru, hasil daripada proses kajian dan observasi.

Namun, amat malang seandainya di ruang yang seulung universiti ini, dihuni oleh golongan yang ‘bukan ahlinya’.

Kemelesetan aktivisme mahasiswa

Lebih malang lagi, ada sesetengah sistem itu lagi menampakkan dan menggambarkan bahawa makin terkebelakangnya kredibiliti sebuah ‘gedung ilmu’ dan idea.

Misalannya, dalam aspek kegiatan pelajar seumpama berpersatuan, mengendalikan program, hatta forum-forum, ceramah dan siri-siri wacana keilmuan, mahasiswa teruk ‘disondol’ oleh akta dan statut yang menyekat.

Dalam kes yang berlaku di Universiti Malaya baru-baru ini, di mana seramai lapan mahasiswa aktivis persatuan telah didakwa dan dikenakan prosiding case kerana menjemput ahli politik di dalam program anjuran persatuan mereka. Atas alasan salah di sisi undang-undang universiti menjemput ‘orang luar’ selain daripada pegawai universiti sahaja.

Sangat kelakar mendengarnya!

Bukan itu sahaja, saya sendiri sudah lama tidak ‘beriman’ dengan sistem sebegini.

Cuba anda bayangkan, sebuah persatuan yang menaungi mahasiswa-mahasiswi, tetapi diletakkan penasihat dari pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP), yang kita pun tidak tahu mereka ini pernah masuk universiti atau tidak dahulu. Hatta mungkin SPM pun tidak lepas! Bagaimana mahu menasihat mahasiswa?

Bagaimana mahasiswa yang lahir?

Seorang tokoh gerakan pernah menyebut: “Andai mahu melihat bagaimana masa depan sesebuah negara, lihatlah kepada generasi mudanya.”

Nah! Inilah mahasiswa kita sekarang. Tidak kemana, dan tidak kemana-mana! Tinggal lagi, kita masih ada satu kelompok yang masih tegar lantang menuntut hak-hak mahasiswa yang ditindas, sekalipun ditengah-tengah akta yang mendekam.

Nasihat saya, berhentilah dari menyekat mahasiswa. Biarkanlah mahasiswa itu lahir daripada idea dan pandangan mereka sendiri. Mengapa perlu ditakuti mahasiswa sebegini? Adakah hanya kerana tidak sehaluan fikrah dengan pentadbiran, lalu ditutup peluang dan ruang yang ada di universiti?

Jika beginilah, usah sebut untuk menjadi universiti APEX bertaraf antarabangsa, sedangkan sistem kita tidak ke arah itu.

Saturday, November 14, 2009

E-Undi dari Pandangan Islam


Artikel dipetik dari blog Presiden GAMIS, saudara Mohd Idris b. Mohd Yussoff

Allah s.w.t mewajibkan setiap daripada kelompok manusia itu dipilihnya pemimpin yang boleh memandu masyarakatnya ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Pemimpin akan dipersoalkan serta dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukan terhadap rakyat di bawahnya. Ini ditegaskan dalam hadith Nabi s.a.w:

“Apabila keluar tiga orang diantara kamu, maka (hendaklah) dipilihnya dikalangan mereka seorang pemimpin (ketua).”

Dalam kewajipan itu, aspek pemilihan kepimpinan dan kriterianya sangat perlu diambil kira dengan penuh teliti. Para ulama menegaskan dalam konsep usul fiqh:

“Apa yang tidak sempurna sesuatu kewajipan itu, melainkan dengan melakukan sesuatu perkara itu, maka perkara itu turut menjadi wajib”

Justeru itu, pemimpin itu wajib dipilih, dan apa sahaja usaha ke arah memilih kepimpinan turut menjadi satu kewajipan. Dalam pada ini, jika di kampus dan universiti, medan Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah landasan yang terbaik memilih kepimpinan.

Pemimpin? – caranya apa?

Islam tidak menghalang apa jua yang baik, selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip dan peraturan yang ditetapkan. Oleh itu, medan pilihan raya adalah satu medan penting dan sesuai memilih dan menilai siapakah pemimpin yang baik untuk dipilih.

Konsep jarh wa ta’dil (kritik dan analisis) kepada batang tubuh pemimpin digalakkan dalam Islam. Supaya pemimpin ini boleh bekerja dengan baik dan amanah tatkala ia diberikan jawatan oleh rakyat yang memilihnya.

Rakyat ada hak untuk mengetahui siapakah yang bakal memimpinnya. Dan orang yang dipilih juga mempunyai hak untuk memilih sesiapa sahaja yang dirasakan mengikut pengamatan mereka adalah baik dan boleh bekerja untuk mereka. Dan hak ini diberi kebebasan oleh Islam malah juga dalam perlembagaan Malaysia.

Sistem E-Undi : Membunuh Hak Memilih Pemimpin

Apakah maknanya satu sistem yang dikendalikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan dan diragui integriti. Seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai satu badan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, mereka tidak boleh bertindak seperti menyokong satu pihak tertentu dan menyalahi pihak yang lain.

Begitu juga dengan hakim di mahkamah yang memutuskan sesuatu keputusan.

Apakah wajar satu sistem pilihan raya kampus atau lebih dikenali sebagai medium demokrasi kampus untuk para mahasiswa memilih kepimpinan ditentukan oleh hanya dua atau tiga orang yang memegang sistem tersebut?

Adakah adil seandainya orang lain yang menentukan pemimpin yang perlu kita ikuti? Adakah dinamakan demokrasi dan keadilan Islam sekiranya kita dipaksa untuk memilih satu-satu individu tertentu untuk menjadi orang yang akan memandu kehidupan kita kelak?

Jika begitu, bagaimanakah pula pemimpin yang lahir daripada sistem-sistem tersebut?

Keadilan, Ketelusan dan Kepimpinan

Soal pemimpin bukan persoalan main-main dan boleh disembangkan di kedai-kedai kopi. Betapa pentingnya kepimpinan ini boleh diambil pengajaran daripada peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w.

Sejurus Rasulullah s.a.w wafat, belum pun disemadikan jasadnya, para sahabat terus mengadakan pertemuan tergempar untuk membahaskan siapakah pemimpin yang bakal menggantikan Rasulullah sebagai khalifah kelak. Apakah para sahabat sudah tidak sempat-sempat memilih pemimpin sehinggakan tidak menghormati kematian Rasulullah?(Rujuk Kitab: Fiqh Sirah karangan Dr Said Ramadhan Al-Buthi)

Pandang ke hadapan, hadapan dan terus ke hadapan

Pandanglah kehadapan dan bagaimana generasi-generasi yang bakal lahir daripada penciptaan sistem-sistem yang tidak berlandaskan keadilan. Saya yakin ini bukan persepsi yang memutar kembali jam ke belakang, seolah tidak menerima kemajuan dan kemodenan kerana saya yakin Islam tidak sekali-kali menolak kemajuan dan malah sentiasa mendepaninya.

Malah penilaian ini juga bukan sahaja kepada yang melahirkan sistem ini, bahkan pengundi yang amanah dan sedar akan kepentingan memilih kepimpinan yang baik, turut bertanggungjawab mengubah sistem ini dengan kuasa yang ada di tangan mereka

Tuesday, November 10, 2009

Siapa yang boleh diharap menyelamatkan PAS?

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Hari ini saya terpaksa mengkritik lagi tindakan beberapa pemimpin PAS. Ini kerana saya sayangkan PAS.

Saya memohon maaf, seandainya saya menafsirkan tindakan PAS mengadakan Seminar Politik baru-baru ini sebagai tindakan yang tidak tepat. Dan sikap masih ada segelintir pemimpin PAS yang tidak dapat 'menerima hakikat' persepsi rakyat kepada mereka, seakan membawa PAS u-turn ke arah yang semakin jauh dari landasan politik Malaysia.

Saya masih optimis, PAS merupakan satu-satunya parti yang bakal menjadi 'goverment in waiting' kepada kerajaan BN yang ada sekarang ini. Saya masih optimis.

Ini kerana, saya yakin PAS adalah sebuah parti yang paling lama bertahan dan bergelumang dengan cabaran, memiliki keahlian yang terbesar, serta sistem tarbiyah yang menjadi tunjang kekuatan ahli-ahlinya. Itu tidak dinafikan.

Saya menjangkakan perlunya pemimpin yang boleh menggantikan 'bahtera PAS' jika PAS mahukan masa depan mereka lebih baik.

Kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi (TGHH)

Saya tidak mempertikaikan kewibawaan TGHH serta kewarakan beliau. Malah keilmuannya disanjung tinggi. Saya dan seluruh rakyat Malaysia sangat menyayanginya sebagai ulama yang telah banyak berbakti kepada masyarakat, mencorak negara dalam jatuh bangunnya perjuangan Islam.

Namun, saya semakin tidak jelas, bahawa TGHH mampu memimpin sebuah gerakan politik sebesar PAS dalam jangka masa sekarang, yang berhadapan dengan kemelut politik yang sangat kritikal dan permasalahan dalaman PAS.

Hakikatnya, dalam banyak keputusan-keputusan TGHH akhir-akhir ini dilihat tidak tepat dan kurang tegas dalam menyelesaikan masalah dan beliau sebagai seorang pemimpin politik!

Apakah dengan isu sebesar Kerajaan Perpaduan yang berlaku, hanya diakhiri dengan ungkapan "Kita tutup pintu perbincangan" Itu sahaja?

Kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz (TGNA)

Berbanding TGNA yang dilihat hari demi hari semakin licik dan pantas dalam berpolitik dan memimpin negerinya. Walau beliau dilihat seperti kurang sihat dan sering kali ke IJN.

Buktinya, bagaimana kerajaan negeri Kelantan pimpinan beliau, tegas membuat keputusan terhadap Wang Royalti yang dirampas kerajaan BN. Katanya: "Kita batalkan sahaja MOU Kelantan dengan Petronas". Noktah. Tegas, tajam dan tepat!

Dan saya pasti kerajaan BN kini tercungap-cungap dengan keputusan ini.

Game politik UMNO dan cabaran mendatang PAS

Apakah TGHH perlu bermain dengan game politik UMNO tanpa satu prinsip dan keputusan yang tegas dalam isu sekritikal Kerajaan Perpaduan?

Justeru, apakah juga munasabah ia diselesaikan dengan hanya mengadakan Seminar Politik selama lapan jam, lalu ketika itu pembentang yang cuba ingin menyelamatkan PAS teruk dihentam dan dikritik?

Di hadapan PAS kini bakal menghadapi satu situasi yang tidak terduga. Sama ada ahli-ahlinya sedar dan segera menyelamatkan PAS daripada tergelincir, atau terus sayang dan kekalkan segelintir pemimpin yang bertindak cuba mengkhianati prinsip PAS demi Melayu Islam.

Mohon semua ahli-ahli dan pemimpin berfikir semula dan buat pertimbangan yang tepat!

Sunday, November 8, 2009

Bantah Yuran KUIS Naik : Teruskan Pertahan Hak Mahasiswa!


Kenaikan lebih 50 peratus sejak 2007 didakwa bebankan ibu bapa

BANGI: Lebih 2,000 pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) yang menggelarkan diri mereka Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) mengadakan demonstrasi di pekarangan kolej itu semalam, bagi membantah kenaikan yuran pengajian yang dikenakan ke atas mereka.

Kumpulan pelajar terbabit berarak membawa poster, membantah tindakan Kuis menaikkan yurannya secara beperingkat bermula pada 2006 dan lebih 50 peratus pada 2007.

Pelajar terbabit turut menyerahkan memorandum kepada pengurusan Kuis menuntut supaya yuran mereka dikaji semula.

Presiden GMS, Ahmad Syafiq Akmal Ahmad Kamil, berkata selain memohon supaya yuran pengajian diturunkan, memorandum juga mengandungi cadangan supaya Kuis mewujudkan skim pinjaman dalaman.

Selain itu mereka turut meminta Kuis memohon Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meningkatkan kadar pinjaman mereka.

"Memorandum itu adalah bantahan pelajar yang tidak berpuas hati dengan yuran tinggi yang tidak setimpal dengan kemudahan ditawarkan kolej, selain membebankan pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin.

"Kami harap kolej mempertimbangkan menurunkan yuran bagi pengajian diploma sehingga 15 peratus manakala pengajian sarjana muda 10 peratus," katanya.

Ahmad Syafiq, berkata memorandum itu dibuat hasil kaji selidik perbandingan yuran antara institusi pengajian tinggi swasta dan maklum balas daripada pelajar Kuis.

Memorandum itu diserahkan Ahmad Syafiq kepada Pegawai Khas Rektor Kuis, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Ahmad Syafiq mendakwa bantahan diadakan selepas rundingan yang diadakan pengurusan kolej sejak 2006 menemui jalan buntu.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) Kuis, Nasrul Izad Mohd Isa, menegaskan MPM tidak terbabit dengan tuntutan dan penyerahan memorandum itu.

Timbalan Rektor Korporat dan Antarabangsa Kuis, Mohd Shah Abdullah, berkata yuran pengajian ditentukan selepas merujuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

"Struktur yuran kolej juga mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), selaku pemilik kolej.

"Bagaimanapun, kolej bersedia mempertimbangkan memorandum itu walaupun kesal dan kecewa dengan cara GMS berkumpul dan berdemonstrasi," katanya.

Thursday, November 5, 2009

Salafi : JAIS, PAS dicabar berdebat dengan Ustaz Asri

catatan oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Apakah yang boleh disebutkan lagi tatkala berita penangkapan Ustaz Asri, bekas Mufti Perlis di Damansara baru-baru ini, selain daripada ramai pihak mengutuk tindakan Jabatan Agama Islam Selangor itu.

PAS juga menentang keras tindakan JAIS itu, biarpun nampaknya tindakan itu mustahil tidak diketahui oleh pimpinan PAS yang duduk di dalam Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Peristiwa ini dilihat sebagai kemuncak kepada 'kegeraman' terhadap dakwah yang dibawa oleh Ustaz Asri terhadap fahaman Wahabi atau Salafi yang dikatakan bertentangan dengan masyarakat Malaysia hari ini.

Meneruskan Tradisi Zalim Dahulu

Tindakan JAIS di bawah kerajaan PR Selangor tidak ubah sama seperti tindakan zalim kerajaan BN sewaktu mereka memerintah dahulu. Ada satu ketika ramai ustaz-ustaz ditahan ketika berkuliah di surau, atas alasan tiada tauliah dan membangkang kerajaan.

Antara ustaz yang saya ingat dilucutkan tauliahnya, ialah Ustaz Ismail Kamus, Ustaz Ahmad Awang dan rakan-rakan mereka.

Lucu mendengar ulasan mereka: "Dahulu, kamilah yang meluluskan tauliah ustaz-ustaz JAIS ini, tapi sekarang mereka yang lucutkan dari kami. Kalau kami ini ditarik tauliah kerana tidak diiktiraf, maka mereka ini apatah lagi, sebab mereka menuntut dari kami, anak murid kami.."

Saya yakin, walau seribu orang seperti ustaz Asri dan ditangkap keseluruhannya, akan lahir beribu-ribu yang lain, kerana tangkapan tidak akan menyelesaikan masalah penyebaran ilmu seumpama yang dibawa Ustaz Asri, kerana masyarakat sekarang benar-benar dahaga ilmu. Mengapa ingin ditahan orang yang ingin belajar?

Fahaman Salafi dan Sikap Kita

Apa yang dibawa Ustaz Asri, bagi saya langsung tidak salah. Tidak ada yang lebih mulia melainkan umat Islam sekarang kembali kepada Al-Quran dan Sunnah yang sebenar dan dihayati sepenuhnya. Mengamalkan kembali sunnah-sunnah yang sudah lama ditinggalkan serta mengamalkan cara Islam dengan bersih dan suci. Inilah yang dibawa Ustaz Asri.

Apa yang silap disini hanyalah metod pembawaannya yang agak 'keras' dan kurang meraikan masyarakat. Dan ini bagi saya boleh diubah. Tetapi bukan diubah dengan menangkap beliau!

Islam Tertegak dengan Hujah

Sebab itu, Al-Quran awal-awal lagi dan meletakkan bahawa, setiap tindakan, kepercayaan dan pengamalan kita, mestilah didasari dengan kefahaman, dan kefahaman ini mesti datang daripada hujah dan dalil, tidak kiralah apa pun yang kita lakukan.


Jika PKR berani berdebat isu minyak negara dengan menteri dan jika PAS boleh mencabar Sister In Islam (SIS) untuk berdebat bagi menegakkan siapa yang benar, mengapa tidak cuba mengajak Ustaz Asri berdebat? Nilai dan tengok, apa hujah yang dikemukakan Salafi yang dibawa Ustaz Asri.

Bagi saya hujah mana yang kuat, masyarakat boleh nilai. Dan saya sebutkan sekali lagi, Islam itu tertegak dengan hujah. Masakan tidak menang fahaman Islam yang sebenar andai itu yang benar.

Ataupun kita takut seandainya diberi ruang berdebat, akan lagi ramai orang akan mengikuti Salafi dan meninggalkan Islam yang dibawa kita? Itu masalah dan sikap dari kita, bukan Salafi! Kitalah yang gagal untuk tarik masyarakat dengan apa Islam yang kita bawa, jangan salahkan mereka.

Monday, November 2, 2009

Usrah Jelebu (1)

Catatan oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

"Tak selesai jugak! Akhirnya kita akan menyalahkan naqib yang malas buat usrah.." jawab saya kepada persoalan Abang Azlan. Saya ditanya tentang kerancakan usrah di kampus yang sudah semakin hilang.

Persoalan itu berbangkit setelah saya lama diam di dalam kereta. Saya dan abang Azlan dalam perjalanan pulang dari Jelebu ke Kuala Lumpur setelah menemaninya ke satu program.

"Bagi ana bukan naqib yang salah, paradigma mereka yang kena betulkan." Dia membalas kata-kata saya.

"Bukan paradigma naqib sahaja, bahkan pemikiran semua masyarakat mesti diubah dalam memahami usrah." dia berhujah lagi.

"Orang memandang hari ini, usrah adalah medan mencari ilmu, mesti dimulai dengan Al-Fatihah dan mesti dalam lingkungan bulatan dan skema..", saya beri pandangan.

"Enta agak kenapa orang fikir macam tu?" abang Azlan bertanya.

"Sebab ini sunnah Rasulullah, baginda kan berdakwah guna metod usrah waktu mula-mula di Kota Mekah ." Saya menjawab persoalannya.

"Ni yang enta silap, akhi." "Bukan itu yang Nabi maksudkan dalam usrah ni.." Dia membalas.

Pandang Objektif Bukan Sunnah

"Enta tak boleh ambil semua sirah Nabi s.aw itu sebagai sunnah." Dia membantah pandangan saya.

"Maksud abang Lan?" Saya kurang pasti apa yang dimaksudkannya.

"Seperti Nabi s.a.w pergi berhjrah ke Kota Madinah. Adakah zaman sekarang kita perlu berhijrah sebagaimana Nabi s.a.w berhijrah dari satu tempat ke satu tempat?" Dia bertanya.

"Hmm.. mungkin juga. Pada pandangan surface." Saya beri pendapat.

Dia menyambung lagi. "Yang Nabi s.a.w nak tunjukkan dalam hijrah tersebut adalah Islam ni nak tertegak kena ada kuasa, kena cari tapak supaya penyebaran Islam ni lebih luas."

"Macam tu juga dengan usrah." Terangnya.

Usrah Yang Kita Faham

"Apa objektif usrah?" Dia bertanya saya semula.

"Untuk sebarkan fikrah Islam." Jawab saya.

"Maknanya, apa sahaja medium yang boleh dijadikan asbab untuk sebarkan Islam, itulah usrah. Buatlah apa pun.." abang Azlan berkata lagi.

"Face book ke, makan-makan ke, pergi rehlah ke, jika adanya unsur penyebaran fikrah dan faham Islam di situ, usrahlah tu.." Dia menambah.

"Atau pun, kalau tak nak sempit lagi, kita buka sikit pemahaman tu." Sambungnya.

"Usrah yang kita faham sekarang ni, kita anggap sebagai bukan satu-satunya tunjang tarbiyah seperti yang selalu kita sebut. Tapi banyak lagi medium lain yang boleh kita klasifikasikan ia sebagai 'tunjang tarbiyah'. Contohnya macam ana sebut tadilah." Panjang lebar hujahnya

"Kalau camtu, sekarang ni kita tengah usrahlah?" Saya menduga.

"See.."

Kami berdua tersenyum dengan kata-kata yang terakhir itu.

Kereta terus dipecut laju.