Friday, October 15, 2010

'Kasih pertama yang tidak kesampaian'


oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Seakan-akan tiada jawapan tepat kepada apa yang terjadi pada isu-isu seminggu dua ini.

Isu sosial banyak diperkatakan. Paling popular buang bayi, seks bebas muda-mudi, pembunuhan Datuk Sosilowati seorang jutawan. Selain kemalangan ngeri bas Delima Ekspress di lebuh raya PLUS seremban-Kuala Lumpur.

Semuanya ini menuntut jawapan yang jelas berkenaan bagaimana solusi dan pendekatan terbaik untuk menyelesaikannya.

Sosial remaja, kesibukan ibu bapa

Pernah satu pagi, di dalam kereta saya mendengar satu perbincangan sebuah stesen radio Islam. Topiknya berkenaan dengan 'Pusat jagaan kanak-kanak tanpa permit'. Isunya berlaku apabila seorang bayi mati tersedak susu di sebuah pusat jagaan kanak-kanak.

Antara persoalan yang timbul, mengapa ibu bapa mengahantar anak ke nursery? Ada pendengar yang berpendapat kerana tiada masa menjaga anak-anak ketika kerja serta isteri membantu suami bekerja untuk menampung pendapatan keluarga.

Saya boleh bayangkan ibu bapa yang sibuk bekerja. Keluar rumah seawal jam 6.30 pagi untuk menghantar anak ke sekolah, dan berkejar ke tempat kerja untuk mendapat jam sebelum 8 pagi waktu mula bekerja.

Ini belum ditambah lagi dengan suasana jalan raya yang jam. Semua berlumba-lumba ke tempat yang sama dan pada waktu yang sama.

Petangnya, juga mengalami suasana yang serupa. Terpaksa berkejar untuk pulang bermula 5.30 petang, dan mengambil anak di sekolah lebih kurang jam 6 petang. Semua melakukan perkara yang sama pada waktu yang sama.

Dan perkara ini dilakukan pada setiap hari, lima kali seminggu.

Pulangnya, ibu bapa sudah letih. Letih ditempat kerja ditambah lagi dengan keletihan memandu dan terperangkap dalam kesesakan. Paling awal sampai di rumah jam 6.45 petang.

Akibat keletihan, tumpuan ibu bapa terhadap anak-anaknya berkurang. Bagi isteri, tiba di rumah, tanggungjawab menguruskan rumah menanti. Pakaian perlu dicuci, makanan perlu disediakan dan rumah perlu dikemas.

Bagi suami pula, akibat keletihan tertidur dan tidak sempat melihat anak-anak. Esok pagi perlu bangun awal untuk berkejar ke tempat kerja seperti hari biasa.

Anak-anak 'putus kasih sayang'

Sesekali mendengar lagu In-Team bertajuk 'Keluarga Penyayang' kadang-kala menginsafkan dan mengembalikan diri kepada solusi apa yang berlaku hari ini.

Benarlah, apa yang berlaku hari ini adalah kerana anak-anak sudah putus kasih sayang. Saya catatkan lirik tersebut di sini:

Dodoian ibu menidurkan anak
Sayup terdengar memecah sunyi
Diam hai anak jangan di tangisi
Ayahmu pergi bekerja nantikan kembali

Disini digambarkan keluarga bahagia
Bermula si suami menyucikan hati
Dan isteri yang elok pekerti
Mereka mendoakan anak yang soleh
Penyeri kehidupan

Anak dididik berlandaskan Iman
sifat mahmudah jadi pegangan
Sifat buruk sentiasa dihindar
Rasul mulia dijadikan contoh
Tauladan sepanjang zaman

Bila keluarga sudah bahagia
Sifat kasih sudah tersemai
Tidak perlu kasih kedua
Dadah arak dan peleseran
menjadi musuh diri

Memanglah benar kata pujangga
Tangan yang menghayun buaian
Bisa menggegar pelusuk dunia
Diasaskan oleh keluarga bahagia

Lirik dan lagu asal : Suara Firdaus

Dalam rangkap itu ada menyebutkan 'bila keluarga sudah bahagia, tidak perlu kasih kedua'. Rangkap ini sangat bermakna jika diteliti.

Anak-anak hari ini banyak mendapat kasih kedua. Lebih menyedihkan 'kasih kedua' mereka adalah teman-teman dan hiburan yang melalaikan serta memesongkan mereka.

Ini kerana ibu bapa gagal atau 'terlepas' memberikan kasih sayang pertama dan utama mereka kepada anak-anak, lalu mereka mencari-cari sesuatu yang boleh menumpang kasihnya. Kasih pertama mereka tidak kesampaian.

Ibu bapa yang bekerja dan sibuk setidak-tidaknya jangan tinggalkan untuk mencurah kasih utama kepada anak-anak. Walau sesibuk mana pun kita.

Malah kesibukan itulah yang mendidik dan menambahkan pahala hasil kepenatan dalam ibadah mencari rezeki ditambah dengan kesusahan ibadah menyemai kasih sayang kepada anak-anak. Yang pasti, Allah akan janjikan syurga.

Solusi

Itulah sebenarnya solusi yang tepat dan mendapat berkat. Islam tidak menghalang mencari rezeki dan sibuk dengannya. Namun Islam sangat menanjung tinggi ibu bapa yang bijak dalam membahagikan kerja dengan rumah tangga dan mendidik anak-anak melengkapkan amanah di dalam institusi rumah tangga.

Semua masyarakat perlu kembali kepada agamanya. Saya yakin, mana-mana agama pun mahukan penganutnya bersifat baik dan menjauhi keburukan. Lebih-lebih lagi kembali kepada keimanan bagi yang Islamnya.

Mencari solusi yang terbaik adalah solusi yang muktamad dan bukan solusi yang perlu kepada solusi yang lain. Menyelesaikan masalah yang perlukan penyelesaian lain daripada penyelesaian itu.

Taman Sri Gombak,
15 Oktober 2010,
12.08 p.m

No comments: