Setelah Baginda Nabi s.a.w mendapat perintah agar dakwah yang dijalankan selama di Mekah secara rahsia agar disebarkan, maka Baginda telah menyeru seluruh penduduk Mekah ke Bukit Safa.
Dalam riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w menyebut nama satu persatu pemimpin Mekah serta kaum-kaum yang terdapat di Mekah tatkala memulakan pidatonya. Bermula daripada itu, maka penentangan secara terbuka berlaku.
Paling menarik, menurut Sirah Ar-Rahiq Al-Makhtum, penentangan terhadap Baginda turut berlaku daripada kalangan mereka yang digelar seniman.
Seniman-seniman musyrik Quraisy adalah tergolong mereka yang mahir mencipta syair-syair melalui bahasa yang puitis dan indah. Mereka juga boleh dianggap idola kepada penduduk Mekah dan apabila didendangkan syair itu, maka terpegun dan terpengaruh sekelian kaum.
Antara seniman itu adalah 'Antarah bin Syadad, Al-Nadr bin Al-Harith, manakala isteri Abu Lahab, Ummu Jamil Arwa binti Harb juga adalah seniman yang pandai bersyair.
Mereka menggunakan kepakaran mereka menggubah syair untuk menyaingi Al-Quran yang dibawa Baginda s.a.w.
Menurut Ibnu 'Abbas, pantang sahaja mereka ini mendengar di mana Rasulullah s.a.w berdakwah, maka mereka ini akan berusaha 'membersihkan' semula fikrah orang yang telah didakwah Baginda.
Al-Nadr bin Al-Harith telah membeli beberapa penyanyi wanita untuk dihantar kepada lelaki yang telah cenderung mengikut dakwah Rasulullah s.a.w. Lelaki itu dijamu makan dan didendangkan lagu-lagu hingga hilang segala apa yang telah didakwah Baginda s.a.w.
Perkara ini sehingga Allah menurunkan ayat Al-Quran kepadanya yang berbunyi: "Dan ada diantara manusia, orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada perkara-perkara hiburan yang melalaikan, yang berakibat menyesatkan dari agama Allah" (Surah Luqman, ayat 6).
Rupanya sudah ada di zaman Nabi Muhammad s.a.w budaya hedonisme yang bertujuan melarikan manusia daripada ajaran Islam.
Begitupun, dikalangan seniman ada yang mengikuti perjuangan Baginda s.a.w, yakni memeluk agama Islam setelah didakwah oleh Nabi s.a.w.
Misalnya, Suwayd bin Samit, beliau adalah penyair yang sangat handal berasal daripada Yathrib. Sehinggakan beliau digelar 'Al-Kamil' kerana kehebatan syairnya.
Ketika mana Tahun kesepuluh Kenabian, hampir kepada musim Haji, Baginda s.a.w seperti biasa meneruskan agenda berdakwah kepada kabilah, pedagang, serta individu yang datang menunaikan haji dan berniaga di Mekah.
Rasulullah s.a.w bertemu dengan Suwayd bin Samit itu, lalu mengajaknya kepada Islam. Suwayd berkata: "Boleh jadi apa yang ada padamu itu sama seperti yang ada padaku."
Rasulullah s.a.w bertanya: "Apa yang ada padamu?" Suwayd menjawab: "Hikmah Luqman." (yakni Syair).
Lalu Rasulullah s.a.w berkata: "Bentangkanlah ia padaku." Lalu Suwayd membentangkan syairnya kepada Rasulullah s.a.w. Baginda berkata: "Kata-kata ini sungguh indah, tetapi yang ada padaku lebih baik lagi, iaitu Al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.a.w sebagai petunjuk dan cahaya."
Kemudian Baginda s.a.w membacakan Al-Quran kepadanya dan mengajaknya memeluk Islam. Lantas, dia terus memeluk Islam dan berkata: "Sesungguhnya ini benar-benar kata-kata yang indah.."
Ternyata, kepakara seniman tidak dapat menandingi kehebatan bahasa Al-Quran yang begitu indah dan hebat.
Tidak dapat dibayangkan bahawa seandainya seniman yang ada hari ini menghayati bait-bait kata-kata dan ayat Al-Quran, maka ramai yang boleh mengikuti jejak langkah Suwayd bin Samit. Hatta mengikuti Bob Lokman sendiri!
No comments:
Post a Comment