Saturday, February 21, 2009

Yang Penting Buat!


sebuah coretan oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

"Kenapa kita kena berdemo ni? Mad'u lari nanti. Enta tak faham dakwah!"
Seorang rakan saya melontar kata-kata. Seingat saya sewaktu demo anti-Israel dahulu. Hmm..pening jugak saya nak menjawabnya. Rakan saya ni dalam jurusan Pengajian Islam, so kena hati-hati nak menjawab. Saya menjangkakan hujahnya banyak untuk ini.

Saya cuba provok soalan: "Betuk ke mad'u lari?"

"Ye la..lari! apa orang kata? terpekik-pekik, menjerit, angkat-angkat tangan. Tak orang takut ke camtu?" Fuh! Bisa jugak jawabnya.

"Awak faham apa itu dakwah? Saya rasa tu demonstrasi salah satu metod dakwah." Saya cuba naturalkan perbincangan.

"Metod dakwah apa kalau mad'u tak boleh terima. Banyak benda buruk terpalit kepada Islam sendiri jika buat camtu. Awak sendiri yang memalukan Islam. Boleh jadi dosa tu."


Ha..kan dah keluar hukum. Saya tersenyum.

Menyelami Pemikiran Sang Pendakwah

Seronok kalau berbincang persoalan dakwah ni. Macam saya dengan kawan saya tu lah. Metodnya, persepsi, apa orang kata, ntah macam-macam lagi. Lagi best, nanti ada orang salahkan satu sama lain. Contohnya kalau bincang macamana nak dakwah remaja sekarang. yang sudah teruk, mula lah salahkan ibu bapa tak didik anak-anak, guru-guru tak sampaikan ilmu dengan baik, kerajaan tak gubal sistem pendidikan yang berkesan, masyarakat tak bertanggungjawab tegur satu sama lain dan last sekali, remaja sendiri kena salah, tiada pegangan diri dan mudah terpengaruh..Saya tergelak.Hehe..dakwahnya mana?

Saya rasa kita sekarang suka bincang benda yang dah berlaku. Macam kalau rumah yang terbakar. Kita akan cari punca apa yang berlaku kebakaran. Litar pintas ke, orang main api ke dsb. Yang mana khatimahnya, kita buntu apa yang nak dibuat dan kita akan tembaklah siapa-siapa yang agak tepat sasarannya. Tapi biasanya tak kena. Sekarang ni pun saya tengah tembak apa salah orang yang nak berdakwah ni!

Hari Rabu lepas, saya dikunjungi sahabat-sahabat dari Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI). Berkongsi dan bertukar-tukar pandangan dan pengalaman gerakan mahasiswa Islam di sana. Menariknya saya ingin berkongsi di sini, mereka gerakan Islam yang tidak mengisytiharkan nama Islam, tapi terus melaksanakan melalui aktiviti.

Akhi Rijalul Imam kata: "Dakwah dan ukhuwwah adalah cara kami. Jangan tonjolkan nama Islam kamu, kerana itu akan diikuti hanya orang Islam, tapi bisa diluaskan lagi kerna Islam itu kan syumul.."

"Kami mula dengan para petani, peniaga-peniaga, artis-artis, tentera, kepala-kepala student. Biarlah mereka ini siapa pun. Yang penting sampai pada mereka apa itu Islam."

"..dan kami jangka 10 tahun lagi, kami akan menguasai seluruh wilayah Indonesia tanpa perlu menggunakan cara reformasi seperti sejarah dahulu!"

Maksud saya

"Bukan Rasululullah dahulu pernah berdemo ke..? Seingat saya sewaktu baginda telah isytiharkan perjuangan Islam sewaktu di atas bukit di Makkah, baginda dengan sahabat-sahabat berpegang tangan berarak seluruh Makkah. Tu bukan demo ke?"
Saya menjawab. Ni sambungan perbualan di atas.

"Oh ye ke.. Saya tak pernah baca pun kisah tu."

"Yang kita berarak sempena Maulidur Rasul tiap-tiap tahun tu bukan demo ke?" Dia terdiam sejenak mendengar lontaran last saya.

"Awak nak berdakwah ni, buat lah camana pun. Kan Allah dah sebut: "Serulah dengan berhikmah dan peringatan yang baik" Tu luas maksudnya. Berhikmah tu, apa saja cara yang dirasakan sesuai pada waktu tersebut."

"Kalau perlu radikal, radikal lah! Kalau perlu lemah-lembut, buatlah. Kalau perlu bunuh? Hm..fikir panjang jugak tu."

"Yang penting buat dakwah tu. Jangan salahkan orang lain memanjang.."

Maafkan ye, jika saya menyalahkan orang lain.

Friday, February 6, 2009

Sekitar Demonstrasi Rakyat Perak




Malaysiakini: Pro-M kuasai jawatan utama dalam MPPUM

Kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M), Universiti Malaya, mendakwa anggota MPP dari kumpulan Penggerak Mahasiswa sengaja cuba memecahbelahkan sesama pro-M sewaktu pemilihan jawatan-jawatan utama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Isnin lalu.

Pemilihan tersebut diadakan untuk mengisi jawatan yang dipertua, naib yang dipertua, setiausaha dan bendahari MPP.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mohd Hafiz berkata, ini ekoran tindakan Penggerak Mahasiswa mencalonkan beberapa calon daripada kumpulan pro-M untuk mengisi jawatan yang dipertua.

"Tapi semua (anggota pro-M) sudah berpakat untuk mencalonkan Mohd Ridhuan Mohamad bagi memegang jawatan yang dipertua," kata Mohd Hafiz.

Mohd Hafiz juga mendakwa Penggerak Mahasiswa juga berminat untuk menyandang jawatan tersebut.

Keadaan juga menjadi agak tegang seketika apabila calon-calon pro-Aspirasi bagi jawatan-jawatan utama tersebut, tidak puas hati dengan cara pemilihannya.

"Mereka mendakwa pro-M dan calon bebas, didakwa berpakat untuk melakukan pengundian secara mengangkat tangan," kata Mohd Hafiz.

Pemilihan tiga jam

Dalam pilihanraya kampus Universiti Malaya 19 Januari lalu, Penggerak Mahasiswa (dahulu pro-Aspirasi) gagal mempertahankan majoriti kerusi yang dimenanginya setelah mendapat 20 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Manakala, pro-M mendapat 19 kerusi dan calon bebas berjaya memperolehi dua kerusi. Bagaimananapun dua calon bebas tersebut menyokong pro-M setelah pungutan suara dijalankan.

Mesyuarat pemilihan bermula kira-kira jam 11 malam yang dihadiri oleh kesemua 41 anggota MPP.

Menurut Mohd Hafiz lagi, pemilihan pemenang bagi jawatan-jawatan utama itu - yang membabitkan calon Penggerak Mahasiswa dan pro-M - berlanjutan kira-kira jam 2 pagi.

Mohd Ridhuan dipilih sebagai yang dipertua MPP, manakal Chong Yah Huei dan Shah Rizul Ayuni Zulkiply - kedua-dua dari kumpulan pro-M - masing-masing dipilih sebagai naib yang dipertua dan setiausaha.

Manakala calon Penggerak Mahasiswa - Benjamin Ong Jia Ming - terpilih mengisi jawatan bendahari.

Jumpa naib canselor HEP

Manakala pemilihan untuk jawatan timbalan naib yang dipertua, timbalan setiausaha, dan timbalan bendahari dijalankan pada malam Rabu.

Katanya, kesemua nama calon-calon yang disepakati telah dihantar kepada Naib Canselor, Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon untuk diperkenankan, pagi semalam.

Majlis penyerahan watikah tersebut berlangsung di Auditorium Kompleks Perdana Siswa (KPS) malam tadi.

Sementara itu, semua calon yang menang dalam pilihanraya kampus 19 Januari lalu, telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris dan empat pegawai HEP.

Dalam pertemuan tersebut, kata Mohd Hafiz, Dr Azarae berkata beliau akan membersihkan namanya berhubung isu rasuah yang didakwa ke atasnya dan menafikan beliau melakukan perkara tersebut.

Di samping itu, katanya, Dr Azarae juga berkata bahawa beliau akan mengadakan siri jelajah dari kolej ke kolej untuk membersihkan namanya.

Thursday, January 29, 2009

Meneruskan Momentum Tarbiyah di Fasa Kemenangan

Kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana Pro-Mahasiswa kembali mengambil-alih kembali tampuk kepimpinan MPMUM setelah sekian lama berada di bawah kepimpinan aspirasi. Sebetulnya, Allah mahukan uni perdana ini kembali berseri dengan syiar-syiar Islam dan nilai-nilai murni keadilan, kebajikan dan kesejahteraan disamping perpaduan antara masyarakat kampus. Ia sedikit-sedikit mula bersinar cerah.


Hingga saat coretan ini ditulis, masih lagi terbayang-bayang di ingatan saya saat manis kemenangan diumumkan di Dewan Tunku Canselor (DTC) pada tanggal 19 Januari 2009. Ia sungguh sukar dilupakan.


Kejayaan adalah Hasil Kekuatan Tarbiyah Ahli Gerakan

Tidak dinafikan lagi, seluruh ahli gerakan berperanan dalam menerajui kemenangan ini. Bermula dari ketua jentera, calon-calon, kempen, yang mengecat banner, yang mengedarkan risalah kesedaran, yang menyampaikan dan mewar-warkan agenda perubahan kepada rakan-rakan lain, yang menulis artikel, yang menjaga keselamatan ahli-ahli, para bloggers, yang sentiasa mendoakan, yang menyumbangkan kewangan hinggalah kepada yang menyediakan makanan untuk para petugas. Semua ini ada terpercik basahan keringat mereka dalam kemenangan ini. Justeru benarlah kata Imam Al-Banna : “tiadalah Islam itu melainkan dengan berjamaah” (berkumpulan dan berperanan satu sama lain).


Antara budaya kerja ahli-ahli gerakan kita, saya melihat kuatnya mereka ini bergantung kepada Allah. Kerja lebihan masa dan on-time atau on-job antara lain juga menjadi salah satu sikap kerja ahli gerakan khususnya di UM ini. Dalam satu masa, kita nampak seorang ahli ini tekun menyampaikan kuliah maghrib di surau kolej kediaman, tetapi di waktu lain pula, dia juga aktif menampal poster serta mengedar risalah pendidikan dan kesedaran di fakulti-fakulti.


Semua ini adalah hasil didikan atau tarbiyah yang diterima dan diasuh kepada ahli gerakan ini sehinggalah mereka mencapai tahap tersebut. Basicly, program usrah adalah mediumnya. Ia menjadi penjana mencetuskan rohani yang segar dan terdidik, melahirkan jiwa yang besar dan kuat, memandu akal dan pegangan kepada matlamat penciptaan sehingga membenihkan aqidah perjuangan yang jelas dan kukuh untuk mencapai matlamat meninggikan syiar Islam.


Kemenangan Membuka Ruang Luas Menyampaikan Idea Islam

Mengambil kesempatan yang terbuka ini, ahli gerakan perlu segera menempatkan diri di setiap sudut, ruang dan peluang yang ada untuk menyampaikan idea faham Islam. Kolej-kolej kediaman sudah semesti ditingkat aktifkan semula peranannya yang bukan sekadar hanya sebagai tempat istirehat semata.


Seingat saya, pada tahun 1982 ketika zaman Ust Muhammad Hussin memimpin PMIUM, antara gerakan yang berjaya merevolusi masyarakat kampus adalah ‘gerakan ledakan ubudiyyah’. Elemen yang meledakkan prihatin dan minat warga kampus khususnya mahasiswa yang dahagakan roh-roh untuk mengisi jiwa mereka. Para mahasiswinya berjinak-jinak mengenakan pakaian yang lebih sopan dengan bertudung dan sehingga hari ini ia menjadi trend dan pakaian generasi kini.


Apa Tunggu Lagi!

Dengan berbekal segala persiapan yang ada, tarbiyah mesti diteruskan. Malah mesti diperkasakan lagi. Semua ahli perlu difahamkan dengan situasi dan ancaman yang bakal mendatang kelak. Strategi yang lebih strategik hendaklah disusun dengan rapi, khususnya memahami sistem tarbiyah dalam fasa kemenangan ini. Supaya kita mampu meninggalkan generasi-generasi yang kompeten untuk memimpin kampus menggantikan kita nanti.

Friday, January 23, 2009

Kemenangan Pro-Mahasiswa : Sebuah Nusrah Allah


Saya sungguh terharu dan sebak, tatkala pengumuman kemenangan calon-calon Pro-Mahasiswa di dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaya pada tanggal 19 Januari 2009 di dewan penuh bersejarah, Dewan Tunku Canselor. Usai sahaja TNC mengumumkan, laungan takbir serta slogan keramat mahasiswa menggegak bergema menggegar pelusuk dewan. Ia disambut dengan laungan doa wahdah yang penuh bersemangat. Sahabat saya, Qayyum berbisik: "Inilah kali pertama setelah hampir 6 tahun dewan ini sunyi dari laungan kalimat besar Allah.." Saya menitiskan air mata dan memeluk erat sahabat saya. Sungguh terasa keagungan Tuhan.

Hari mengundi, sekitar empat pagi, kami seramai hampir 200 aktivis yang cintakan kemenangan Islam menyertai munajat perdana di dataran hadapan DTC. Terasa sangat kerdil dan kecilnya kami ini. Hari ini adalah penentu jatuh bangunnya Islam di UM. Andai kalah, kami sudah begitu redha dengan ketentuan Allah s.w.t. terhadap kami. Namun, putus asa kami tidak sekali. Pagi itu dengan linangan air mata harapan, kami bermunajat. Dengan alunan zikir taubat terhadap dosa-dosa kami yang memungkinkan kami dihalang mencapai kemenangan serta menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah s.w.t. Hamparan sejadah basah digenangi air mata kami diselangi suara serak sendu tangisan harapan.


Segala usaha, keringat, penat lelah telah dihabiskan selama hampir satu minggu berjuang. Bermacam cabaran dan ujian kami lalui. Dihalang berkempen di kolej-kolej, sehingga diugut dan dijatuhkan maruah. Semuanya kami hadapi dengan sabar dan tabah. Sehinggakan, beberapa sahabat yang sudah mengeluh dan merungut; "Ya Tuhan!..beratnya cabaran ini..bolehkah kita menang kali ini?"

Mengharapkan Kekuatan Sahaja Tidak Mampu
Jika diukur kempen-kempen yang kami lakukan serta ditambah lagi dengan sekatan-sekatan serta halangan-halangan yang mendatang, kami rasakan masih jauh lagi kami di ambang kemenangan. Yang kami harapkan keajaiban berlaku, yakni perubahan dari pengundi sendiri. Hampir tidak tersedar, sudah tinggal hanya sehari lagi sebelum hari pengundian. Namun, masih banyak lagi kolej-kolej kediaman yang belum kami tembusi pelajarnya. Kami hanya dibenar berkempen di dewan makan, dengan waktu-waktu tertentu. Kadang-kadang hanya ada lima atau enam orang satu-satu waktu.

Saya pesan kepada semua sahabat-sahabat yang bersam saya, banyakkan bertawakkal, banyakkan mengharap dari Allah. Kekuatan kita saja belum cukup untuk meraih kemenangan yang sistemnya seratus-peratus dikawal pihak musuh. Apa yang ada lagi, hanya pertolongan Allah.

Detik Kemenangan, Satu Janji Allah
Di dalam munajat dua hari sebelum mengundi, kami diwajibkan membaca Surah Al-Fath, surah yang menceritakan kemenangan umat Islam menawan kembali Kota Makkah dalam peristiwa yang dinamakan Fathu al-Makkah. Sebuah janji Allah yang tidak pernah dilupakan. Kerana sebelum dari itu, Rasulullah telah bermimpi akan memasuki Kota Makkah dengan keadaan yang sangat aman.

Allah mengotakan janjinya, kerana Dia tidak pernah sekali memungkiri janji. Tiada sebarang pertumpahan berlaku dalam peristiwa ini. Kisah ini kembali berulang buat kami, pejuang yang cintakan Agama Allah s.w.t. Sebuah coretan yang membibitkan semangat dan kekuatan untuk kami terus bangkit meneruskan perjuangan.

Kemenangan Semua, Tarbiyah Tetap Tidak Dilupakan
Kita jelas dengan aqidah perjuangan. Perjuangan jihad di medan PRK adalah menifestasi tarbiyah yang menjadi manhaj sekian lama yang melahirkan ribuan kader-kader dakwah serta menerapkan nilai-nilai murni keIslaman dengan penuh kasih-sayang buat seluruh warga kampus. Kemenangan ini adalah nilaian tarbiyah kita. Kekuatan pergantungan ,serta amal Islami yang berisi keberkatan dan bibit-bibit berukhuwwah menjadi pasakan utama yang menghiasi kemenangan.
Janganlah kita dilekakan dengan kemenangan. Banyakkan memuji serta beristighfar kepada Allah. Ingatlah, kemenangan kita, bukan kemenangan usaha kita semata. Tanpa redha dari Allah dan pergantungannya, maka tidaklah kita menemuinya sesampai ini. Jangan dilupakan kerja-kerja 'lama' kita walau sudah bergelar 'kerajaan'. Platform ini, diberikan Allah untuk memudahkan melaksanakan gerak kerja Islam, tanpa merasakan ada kepentingan walau sedetik pun.

Semoga Allah memberkati kemenangan kita.

Bersama mengisi kemenangan.
Allahu Akbar!

Saturday, January 17, 2009

Pilihan Raya Kampus : Kita Semakin Jauh

Assalamualaikum wrt wbt.

Terkejut dan sedih. Itulah gambaran apabila saya menjejak kaki ke dalam surau APIUM untuk melihat bangkai kepala babi yang diletakkan di surau. Saya tak sangka, masih ada lagi manusia-manusia sebegini yang masih 'teringin' untuk buat perkara-perkara macam tu!

Petangnya, saya sempat berjumpa sahabat saya dari UMANY, saudara Gohan. Saya minta pandangan dia tentang isu ini. Dia tak dapat nak kata apa kerana sangat teruk! Katanya lagi, orang-orang Buddha pun, mereka diharamkan untuk membawa bangkai babi ke dalam tokong mereka. Ia berdosa mengikut agama mereka.



Ini pula di dalam surau. Tempat orang- orang Islam bersolat, rumah suci dan terpelihara. Lebih menyedihkan, ia berlaku pada hari Jumaat.


Justeru itu, saya berpandangan isu ini adalah satu cubaan pihak tertentu yang mahu menimbulkan provokasi dan sentimen agama dan perkauman di UM yang tercinta. Kita sesekali tidak memaafkan orang yang melakukan sedemikian. Namun, buat masa yang ada, jangan bawa berita dan khabar dari pihak-pihak ketiga atau individu yang dengki kepada kesejahteraan dan kemanusiaan dan cuba memecah-belahkan kaum dan agama.

Yang penting, teruskan berkempen untuk membawa perubahan yang lebih baik. Jangan dihanyutkan dengan isu-isu picisan.

Salam Perubahan!