Wednesday, May 18, 2011

Bersedia ke Putrajaya tanpa Anwar


oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

ANALISIS : Keputusan tuduhan Kes Liwat II kepada Dato Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mei 2011 telah menyaksikan beliau diperintah oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah agar membuat pembelaan.

Membuat pembelaan di dalam mahkamah bermaksud, saksi serta bukti yang dibawa oleh pihak pendakwaraya dinilai dari sisi dan pertimbangan Hakim sebagai berjaya membuktikan perkara tersebut (liwat) berlaku.

Walaubagaimanapun, Dato Seri Anwar berpeluang membuat pembelaan yang bakal memperlihatkan sama ada saksi-saksi serta bukti pendakwa raya berjaya 'dipatahkan' atau pun tidak.

Pasukan peguam bela Karpal Singh nampaknya berpeluang besar untuk berhujah. Jika diteliti sorotan dakwaan serta tampilan saksi serta bukti, banyak yang boleh diragukan. Misalnya bukti kehadiran Saiful Bukhari Azlan ke kondominium masih lagi terlalu samar.

Pun begitu, keputusan akhirnya bakal ditentukan oleh Hakim. Dan seperti yang kita sedia maklum, institusi kehakiman hari ini sudah banyak dicemari dengan campur tangan politik parti pemerintah.

Dengan keputusan tersebut, setidak-tidaknya sesuatu perlu dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

Apa yang boleh dibuat pertimbangan dan jangkaan adalah, bagaimanapun perbicaraan serta keputusan, Dato Seri Anwar - sebagai pengerusi Pakatan Rakyat - akan ke penjara.

Sejarah telah membuktikan, pada tahun 1998, beliau telah dituduh dan dipenjarakan atas dakwaan meliwat bekas pemandu isterinya. Walaupun beberapa tahun selepas dipenjara, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa tuduhan ke atas beliau adalah silap.

Pada 2008, beliau sekali lagi dituduh meliwat pembantu peribadinya. Seterusnya - tuduhan yang bakal menunggu - adalah melakukan seks melalui video seks yang ditayangkan trio Datuk T.

Siapa 'stateman' selepas Anwar?

Persoalannya, jika Dato Seri Anwar Ibrahim ke penjara, siapakah yang akan menggantikan beliau memimpin Pakatan Rakyat?

Memimpin Pakatan Rakyat akan datang boleh ditafsirkan sebagai siapa yang bakal mengetuai PR menghadapi pilihan raya umum ke-13. Dan yang lebih penting adalah siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri seandainya PR ditakdirkan menguasai Putrajaya?

Jika dinilai secara umum, barisan pemimpin yang boleh diposisikan sebagai 'stateman' atau negarawan di dalam Pakatan Rakyat hanyalah Anwar seorang. Hujahnya, beliau pernah menjadi orang nombr dua kerajaan Malaysia, dan semestinya pernah melibatkan diri dalam arena nasional dan antarabangsa. Beliau juga pernah menjadi menteri Kewangan, iaitu tugas menguruskan kewangan dan ekonomi negara.

Walaupun kita boleh berkata, pemimpin perlu diberi peluang. Namun, kita melihat realiti bagi menduduki jawatan tersebut.

Apa yang pasti DAP tidak berpeluang untuk menempatkan pemimpinnya sebagai orang nombor satu Pakatan Rakyat. Ini kerana - berasaskan realiti - Malaysia dan PR, DAP adalah parti paling minoriti suaranya. Yang boleh dilihat, bagaimana PAS dan PKR pula.

PAS

Tidak dinafikan, PAS punyai beberapa pemimpin yang berkaliber dan berpotensi memiliki ciri-ciri kepimpinan negarawan, walaupun secara pengalamannya masih belum terbukti. Misalnya Datuk Husam Musa, yang pernah menjadi ahli parlimen serta menjawat exco perancang ekonomi negeri Kelantan. Sekurang-kurangnya beliau berjaya membawa kemajuan ekonomi kepada Kelantan walaupun sumber kewangan terhad kerana dinafikan wang royalti Petroleum.

Dato Seri Nizar Jamaluddin, AJK PAS Pusat juga berpotensi. Dengan pengalaman beliau memimpin Perak - sebagai Menteri besar walau beberapa bulan - telah berjaya meningkatkan sokongan rakyat bukan Islam di negeri dan peringkat persekutuan.

Presiden (Dato Seri TG Hj Hadi) dan Mursyidul Am (Datuk Nik Abdul Aziz) juga punyai pengalaman dan autoriti, namun faktor usia sedikit sebanyak menghalang gerakan itu menjadi lebih agresif di Putrajaya kelak.

PKR

Dari sudut PKR pula, Setiausaha Agungnya Saifudin Nasution lebih berpotensi mendepani dari aspek politik. Begitu juga di dalam Dewan Rakyat - sebagai MP Machang - beliau juga berjaya menganalisa dengan tepat dan membangkitkan isu-isu ekonomi dan urus tadbir kewangan negara.

Begitu juga isteri Dato Seri Anwar, Datin Seri Wan Azizah. Dengan sedikit pengalaman sebagai isteri Anwar. Namun, sejauh mana beliau boleh ke hadapan, adakah faktor gender (wanita) mungkin menjadi halangan terbesar?

Mungkin juga Menteri Besar Selangor hari ini Tan Sri Khalid Ibrahim, boleh ditonjolkan ke hadapan berasaskan pengalaman memimpin Selangor. Namun, beliau dilihat agak 'lemah' menangani isu-isu yang berkait politik di Selangor.

DAP

Dari kalangan pemimpin DAP, ada yang memiliki kredibiliti. Misalnya setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. Pengalaman mentadbir Pulau Pinang boleh menjadi modal dan kredit besar. Disamping pakar ekonominya Tony Pua dan yang lainnya.

Namun, seperti yang disebutkan, secara realiti agak sukar pemimpin parti ini menduduki tempat nombor satu. Walaupun boleh, namun kecaman pasti akan berlaku dari kalangan parti lawan.

Apa peluang?

Justeru itu, PR perlu memikirkan solusi dengan segera. Misalnya dengan segera menamakan pengganti Anwar agar pemimpin dan penyokong akan bersedia dengan matlamat bergerak ke Putrajaya.

Isu Kerajaan Perpaduan (PAS), isu sama ada benar atau tidak Anwar adalah pelaku video seks dan isu kes perbicaraan liwat II, tidak boleh menjadi 'kemuncup' yang menggoyahkan pakatan Rakyat. Hasrat memikirkan semula kedudukan di dalam Pakatan Rakyat oleh mana-mana parti komponen seharusnya tidak timbul langsung.

Bagi PAS, medan muktamar pada bulan Jun ini sebagai persediaan membentuk 'kabinet' Putrajaya, iaitu dengan menampilkan pemimpin yang berkaliber dan sesuai ditempatkan di sana serta menghadapi PRU-13.

Rakyat sudah yakin dengan PR. Isunya banyak untuk ditimbulkan. Banyak juga perkara yang boleh menjadi asbab kerajaan BN hari ini jatuh. Namun persoalannya adakah PR bersedia ke Putrajaya?

Wednesday, May 11, 2011

Hospital Islam tanggungjawab 'Daulah Islamiyah' para doktor

Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) adalah salah satu hospital yang ada menerapkan ciri keislaman. Persoalannya sebanyak mana?

oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

Ada sesuatu yang saya terfikir apabila bersama-sama para doktor di dalam program semalam.

Mereka adalah bakal doktor-doktor Islam yang akan ditempatkan di hospital-hospital. Saya teruja apabila mendengar hasrat mereka suatu hari nanti akan tertubuhnya sebuah hospital Islam. Hospital di mana keseluruhannya menjalankan pentadbiran dan nilai-nilai Islam sepenuhnya.

Apabila saya merujuk kembali tulisan Dr Yusuf al-Qaradhawi, di dalam buku Fiqh al-Aulawiyyat, beliau telah menyebutkan berkenaan kepentingan ini.

Hari ini masyarakat ingin melihat bagaimana Islam meletakkan nilainya di dalam bidang perubatan. Orang bertanya di mana Islamnya pada aspek perubatan. Apakah perubatan Islam itu adalah semata-mata kaedah perawatan Islam seperti yang dilakukan Darussyifa dan sebagainya?

Keperluan mendesak

Sebenarnya jika kita renung, keperluan kepada para doktor dan pengamal perubatan berfikrah Islam begitu mendesak hari ini.

Buktinya, hari ini masih lagi banyak doktor lelaki yang menjadi penyambut bayi yang baru lahir di hospital (doktor bersalin). Lebih malang doktor lelaki bukan Islam. Begitu juga dalam aspek pembedahan. Lebih nyata kita melihat ramai para jururawat yang tatacara pemakaiannya tidak melambangkan Islam walau dia beragama Islam.

Ya, kita melihat mungkin mustahil untuk pergi sejauh itu. Bolehkah jururawat itu berpakaian bercirikan Islam? Longgar? Bertudung?

Adakah kita selesa dirawat oleh jururawat seperti ini?

Berapa ramai doktor hari ini yang mampu berjaya menerapkan aqidah yang benar kepada pesakitnya yakni meletakkan seluruh pergantungan kepada Allah tatkala pesakit berhadapan dengan situasi-situasi genting seperti tiada harapan sembuh.

Bagaimana seorang doktor itu memahami fiqh (faham Islam) yang sebenar di dalam amalan perubatannya tatkala berhadapan dengan kewajipan solat ketika sedang pembedahan? Atau ketika mana satu-satu ubat itu memiliki campuran bahan yang tidak halal yang akan diberi makan kepada pesakitnya?

Semua ini memerlukan doktor mahupun jururawat yang benar kefahaman Islamnya.

Wujudkan Daulah Islamiyah di Hospital

Jika kita kembali kepada prinsip asas dalam gerakan Islam, kita mahu mewujudkan kembali daulah Islamiyyah (negara yang bercirikan Islam) di dalam negara. Bermula individu seterusnya berakhir kepada pemerintahan.

Oleh itu, para doktor yang ditarbiyyah ini, saya kira bertanggungjawab membina Daulah Islamiyyah mereka di hospital, dengan mewujudkan tatacara dan urustadbir perubatan yang bercirikan nilai Islam sebenar. Mereka harus mentadbir perubatan itu sebagaimana mentadbir negara dengan Islam.

Inilah keutamaan para doktor kita yang berfikrah. Malah pada hari ini lebih-lebih lagi keperluannya kepada Islam.

Peringkat awal, perlunya memperbanyakkan kaderisasi para doktor yang berfikrah sebelum melakukan proses 'Islamisasi' keatas hospital dan perubatan. Sekurang-kurangnya kita berharap perlu memiliki pentadbir dan menteri perubatan yang pakar dalam bidangnya dan berfikrah Islam.

Monday, May 9, 2011

Aku dan Ikhwan: Sesuatu yang perlu dipelajari oleh gerakan


oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

Saya baru menamatkan pembacaan buku bertajuk Aku dan Al-Ikhwan Al-Muslimun karya Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Tajuk asalnya adalah Muzakkirat al-Qaradhawi. Buku ini ialah sebuah catatan pengalaman dan perjalanan Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi selama menyertai gerakan Ikhwan Muslimin.

Sepanjang membaca karya Dr Yusuf Al-Qaradhawi, inilah penulisannya yang saya cukup kagum. Ia seumpama kisah motivasi luar biasa dan menambahkan keinginan saya untuk bertemu dengannya suatu hari nanti.

Cerita Ikhwan

Ia adalah sebuah gambaran kehidupan dan perjalanan beliau sendiri dan gerakan Ikhwan. Kita akan dapat mengenali Ikhwan dengan pengkisahan beliau. Bukan sekadar batang tubuh Ikhwan, bahkan anggotanya, perjuangannya dan tribulasi yang melandai mereka.

Sebagaimana kita mengetahui ketokohan beliau, Dr Yusuf Al-Qaradhawi adalah seorang daripada ribuan anggota yang mendapat tarbiyah Ikhwan Muslimin. Apabila anda melihat dan membaca karya-karya beliau, kita akan mengetahui bagaimana pemikirannya.

Maka pemikirannya itu diasuh dan dididik di dalam medan tarbiyah Ikhwan.

Tarbiyah

Cukup agung bagaimana kita boleh melihat Ikhwan Muslimin mempunyai keanggotaan yang sangat berkualiti. Tarbiyyah dan pengisiannya diguna-pakai sehingga kini di kebanyakan gerakan Islam di Malaysia.

Ikhwan Muslimin tidak melahirkan ahli parti atau organisasi gerakan. Bahkan lebih daripada itu. Dr Yusuf al-Qaradhawi menyifatkan Imam Hassan al-Banna tidak melahirkan generasi atau pemimpin jemaah dan gerakan.

Jika demikian, maka pemimpin yang mati dan terbunuh akan diganti. Namun, kematian Imam Hassan al-Banna tidak dapat diganti. Ini kerana beliau telah berjaya membina hubungan yang sangat rapat di dalam Ikhwan seumpama seorang guru dengan muridnya, seperti seorang syeikh dengan anak buahnya. Begitu juga hubungan seperti ayah dengan anaknya di dalam hubungan emosi.

Kematiannya juga melahirkan generasi. Di Amerika Syarikat, disebalik kegembiraan Yahudi dan sekutu terhadap gugurnya Imam Al-Banna, telah membangkitkan sasterawan Syed Qutb bagi menyambung perjuangan Ikhwan.

Walaupun Dr Yusuf al-Qaradhawi begitu sedikit bertemu dengan Hassan al-Banna hanya di Kfar Musailiha, Kfar Ziyat dan Dasuq. Itupun hanya mendengar syarahan dan ucapan beliau.

Namun, beliau (al-Qardhawi) telah melalui tarbiyah secara praktikal dan realiti melalui penahanannya apabila berlaku pembunuhan Nuqrasyi, Perdana Menteri Mesir pada ketika itu. Tatkala itu seluruh pemimpin dan anggota Ikhwan ditangkap dan disumbat di penjara.

Ahli-ahli Ikhwan

Satu kisah yang sangat menarik yang perlu diceritakan di sini, adalah bagaimana ketika Dr Yusuf al-Qaradhawi dipenjarakan bersama anggota Ikhwan lain, mereka telah mengubah penjara daripada sebuah kediaman yang kosong dan sepi kepada sebuah masjid!

Bersama-sama beliau adalah ulama terkemuka, Sheikh Sayyid Sabiq, Sheikh Muhammad al-Ghazali, Ustaz Abdul Badi Saqr. Beliau juga sepenjara bersama Mehdi Akif, Mursyid Ikhwan terkini.

Penjara tersebut berubah menjadi pusat kegiatan anggota Ikhwan. Halaqah ilmu diadakan yang mana Sheikh Muhammad al-Ghazali telah mengajar Sirah Nabawiyah, manakala halaqah fiqh dianjurkan oleh Sheikh Sayyid Sabiq. Anggota Ikhwan telah menyuburkan tanah-tanah yang kering gersang dengan tarbiyah daripada Ikhwan.

Politik dan kenegaraan

Di dalam buku ini juga diceritakan secara terperinci bagaimana Ikhwan berhadapan dengan trubulasi dan cubaan yang begitu dahsyat.

Selepas berlaku pembunuhan Perdana Menteri Mesir, undang-undang darurat dikenakan kepada rakyat. Ikhwan Muslimin telah diisytiharkan sebagari 'haram' dan segala anggotanya dicari atas alasan bertanggungjawab ke atas pembunuhan Nuqrasyi.

Walaupun Imam Hassan al-Banna selepas itu mengeluarkan kenyataan penafikan pembabitan anggota Ikhwan dalam pembunuhan tersebut, namun tidak diendahkan. Kemuncak kepada tekanan itu, Imam Hassan al-Banna dibunuh.

Oleh hal yang demikian, saya berpendapat gambaran gerakan Ikhwan hari ini adalah kesan daripada perjalanan yang begitu jauh yang mereka lalui. Pembunuhan demi pembunuhan pemimpinnya serta dipenjarakan menjadikan gerak langkah Ikhwan terpaksa disembunyikan demi mencapai kebaikan yang lebih besar iaitu meluaskan tarbiyah.

Sehinggalah kepada revolusi yang berlaku baru-baru ini, barulah Ikhwan Muslimin dilihat bangkit menyuarakan perjuangan dengan melibatkan diri di dalam pilihan raya melalui platform parti al-'Adalah wa al-Huriyyah (Parti Keadilan dan Pembebasan).

Sunday, May 1, 2011

Disebalik kesusahan dan Pesta Buku Antarabangsa

Bersama Faris di Pesta Buku, sahabat lama dengan buku yang dibeli. Beliau juga peminat saya dan saya mengagumi ketabahannya.


oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

Hidup ini jika kita selalu merenung, kita akan mendapati banyak perkara tersirat.

Sebab itu, banyak ayat Al-Quran menyarankan agar kita selalu berfikir dan mencari hikmah disebalik kewajipan, larangan, teguran. Malah disebalik musibah, tentunya banyak hikmah untuk difikirkan.

Orang yang selalu dilanda musibah dan berfikir, dia akan mencapai tangga yang disebut hakikat. Yakni hakikat kehidupan.

Apabila dia merenung di setiap penjuru sudut kesusahannya, dan dia menyandarkan kembali kepada Allah, pencipta dirinya, maka dia pasti merasai kemanisan.

Dia merasai kemanisan hikmah disebalik ujian kepada dirinya.

Selalunya orang berfikir sebegitu, dia akan menjadi matang. Dia akan cuba survive dalam hidupnya, dan kesusahannya itu menguatkan diri, jiwa dan kadang kala memberi motivasi kepada manusia sekeliling.

Tulisan dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Alhamdulillah
, penulisan saya akhirnya diterbitkan oleh PTS. Sungguh menggembirakan kerana sempat buku ini menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, meski berbaki hanya dua hari.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menghantar mesej tahniah. Seperti Shazni, Shafie, Rusydi, Faris, Shahida, Azlinah, Hashima, Khairunnisa, Fahmi dan Fadzil. Mohon maaf jika tidak sempat berbalas.

Apa pun, terima kasih atas sokongan.

Tulisan ini hanya salah satu sumbangan kecil saya kepada masyarakat. Ya, saya terfikir, apakah kekuatan dan sumbangan yang perlu saya berikan kepada masyarakat setelah saya bergraduasi.

Amat malang dalam kondisi yang sedikit terbatas, saya tidak melakukan apa-apa untuk berjasa kepada masyarakat. Justeru saya menulis.

Menulis adalah proses saya menyampaikan idea dan pemikiran saya kepada masyarakat. Supaya pemikiran saya dapat diserap kepada masyarakat dan mereka menerimanya.

Ia juga boleh memperbaiki pemikiran masyarakat yang tidak betul.

Bagaimanapun, setiap orang mesti menulis tidak kira dalam lapangan apa dia berada. Anda perlu menyampaikan pemikiran anda kepada masyarakat.

Penulisan anda juga dapat menangani pemikiran-pemikiran kotor yang banyak timbul kebelakangan ini. Kekotoran politik misalnya, perlu dihapuskan dengan menulis agar masyarakat tidak terpengaruh dengannya.

Jika kita banyak berfikir, maka kita akan banyak menemui cerita dan kisah yang sangat bermakna. Dan kisah itu perlu dihidupkan dengan sebuah penulisan.

Pesta Buku Antarabangsa
PWTC
30 April 2011 (Sabtu)

Tuesday, April 19, 2011

Mengapa masih belum berlaku revolusi?

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Kita merasakan bahawa selepas daripada revolusi yang berlaku di timur tengah baru-baru ini sama ada di Tunisia, Mesir mahupun yang sudah merebak di Yaman dan Libya, akhirnya akan melanda negara kita.

Ramai ahli politik Pakatan Rakyat menggunakan hujah revolusi ini dalam banyak ceramah dan pidato mereka. Bandingan yang dibuat seolah-olah umpama esok akan berlaku fenomena itu di Malaysia. Termasuk juga beberapa amaran akan bertindak sedemikian.

Namun, sehingga hari ini ia masih belum berlaku.

Beberapa sebab yang memungkinkan revolusi masih belum berlaku di Malaysia boleh dianalisiskan seperti berikut:

Pihak pemerintah

Ciri-ciri untuk berlakunya tentangan rakyat serta revolusi sudah dimiliki oleh pemerintah (Parti BN) pada hari ini sudah ada malah terlalu banyak. Umpamanya kenaikan harga barang, kos hidup yang meningkat, pembaziran secara berlebihan dalam kekayaan negara serta sikap pemimpin-pemimpin yang bermewahan

Namun, dalam masa yang sama, pemerintah juga cerdik. Mereka turut menyediakan projek-projek yang dikatakan untuk 'kebaikan' rakyat seperti projek dalam GTP dan ETP, selain daripada slogan 1Malaysia.

Dalam pilihan raya kecil msialnya, limpahan projek segera dibuat. Ia pastinya mengaburi mata sesetengah rakyat terutama yang berada di luar bandar.

Rakyat

Tanyalah sesiapa sahaja rakyat berkenaan kesempitan yang mereka hadapi, pasti ada sahaja yang dliuahkan.

Bermula daripada kos hidup yang meningkat naik, gaji yang tidak mencukupi sehinggalah kepada isu pendidikan anak-anak mereka. Ini belum lagi soal-soal masalah sosial dan keselamatan yang menyelubungi.

Seolah-olah negara ini seperti tidak selamat diduduki. Jenayah di sana sini. Kesempitan hidup memaksa berlaku jenayah, kecurian dan pembunuhan diri.

Di hujung bandar, masih kedapatan rakyat yang merempat dan miskin. Ada yang masih makan ubi dan kayu.

Namun, jangan disalahkan rakyat. Mereka tidak tahu mengapa mereka jadi demikian. Mungkin ada yang sedikit cerdik mengatakan bahawa wakil rakyat mereka 'goyang kaki'. Rakyat hanya tahu mengundi lima tahun sekali.

Parti politik alternatif (Pakatan Rakyat)

Dalam masa yang sama, walaupun menjadi parti yang alternatif kepada rakyat untuk menggantikan BN, namun Pakatan Rakyat seolah-olah tiada keputusan dan pendirian.

Mereka mendakwa demokrasi di Malaysia sudah tercemar. SPR menjadi kuda tunggangan BN. Pilihan raya berjalan dengan tidak adil dan berat sebelah dengan kewujudan pengundi pos, dan pengundi hantu. Media massa menjadi alat utama bagi kempen BN.

Sudahnya, masih lagi menantikan sistem pilihan raya sebagai medium untuk memerintah. Tidak percaya sistem, tetapi masih mahu lagi menggunakan sistem. Inilah yang dikatakan tiada keputusan jelas.

Desas desus mahu turun ke jalan raya, tetapi masih belum ada tanda-tandanya. Masih lagi disibukkan dengan isu remeh video seks. Manakala parti Islam (PAS) sibuk memilih pemimpin mereka.

Anak Muda

Tinggal lagi anak-anak muda yang ada sedikit kesedaran. Kita menantikan anak-anak muda yang tidak berparti ini mungkin boleh berbuat sesuatu. Ini kerana mereka tiada kepentingan parti. Tak perlu menunggu keputusan parti untuk bertindak.

Cumanya anak-anak muda jangan mudah dilalaikan dengan 'hiburan' pemerintah. Jika tidak, revolusi sukar berlaku.

Tiada pencetus

Dalam banyak-banyak revolusi, ia bergantung kepada pencetus. Di Tunisa, ia dicetuskan oleh anak muda yang membakar dirinya. Di Mesir perhimpunan rakyat merebak apabila kematian demi kematian rakyat ditembak polis.

Rakyat menunggu siapa yang bakal menjadi pencetus. Namun, biasanya pencetus ini adalah tidak dijangka. Dan akhirnya akan menjadi historic moment dalam negara.

Mohamad Bouazizi yang sudah mati terbakar itu pun, tidak tahu rakyat negaranya akan turun ke jalan raya membuat revolusi.