Thursday, December 30, 2010

Negeri Terengganu dan kisah pemandu bas

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Selama dua hari saya menghabiskan waktu untuk beberapa urusan di negeri Terengganu baru-baru ini. Seingat sudah hampir dua tahun tidak menjejakkan kaki ke negeri pesisir pantai itu.

Sebaik solat Subuh di Masjid Putih di tengah bandar, saya singgah di sebuah warung di stesen bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Agak terkejut kerana makan nasi minyak sepinggan berlauk daging dengan secawan kopi lebih kurang RM7! Macam di KL pula.

Mungkin juga sebab saya tidak 'kecek' Terengganu barangkali, pengusaha kedai menyangka saya orang luar, senang-senang dia letak harga sebegitu.

Pembangunan rancak

Di sekitar bandaraya itu, pembangunan semakin rancak. Secara peribadi, saya mengkagumi usaha kerajaan Terengganu (tidak pasti MB Idris Jusoh atau MB Md Said) memelihara warisan Terengganu.

Pembinaan beberapa kompleks lagi di sekitar Pasar Payang dilihat seiring dengan status bandarayanya. Apa pun begitu, pembangunan insannya masih lagi saya lihat belum berkembang.

Wanitanya, seperti dahulu lagi dari segi pakaiannya. Dan kelihatan beberapa kumpulan lelaki berfesyen 'punk' dan 'skin head' masih lagi berkeliaran di bandar ini. Tidak berubah seperti dahulu lagi, ketika saya bersekolah di sini.

Mungkin cuba untuk mengejar pembangunan seperti bandar Kuala Lumpur gayanya, namun seperti tidak seimbang dan rakyatnya masih belum bersedia menerima culture shock sebegitu.

Cerita pemandu bas

Di dalam bas ketika bertolak ke Kuala Lumpur, saya sempat bersembang dengan beberapa pemandu bas Ekspres S.P Bumi.

Akhir-akhir ini kecoh satu negara berkenaan berita kemalangan bas di sana-sini. Seperti biasa, kerajaan dan masyarakat akan menuduh pemandu bas, kerosakan bas, syarikat tidak bertanggung jawab dan sebagainya.

Namun lain yang saya dengar daripada pemandu bas ini.

Katanya, dalam satu trip pemanduan bas selama lapan (8) jam, daripada Terengganu ke Kuala Lumpur misalnya, dua pemandu akan bersilih-ganti. Setiap pemandu akan mengambil empat (4) jam seorang. Sementara tunggu untuk memandu, pemandu kedua akan berehat.

"Mustahil akan berlaku pemandu mengantuk kerana rehatnya cukup" katanya.

Yang peliknya, dalam rekod kemalangan bas dua tingkat, kerajaan menyalahkan pemandu dan struktur bas yang tidak stabil. Sedangkan katanya, keadaan jalan raya juga perlu dilihat.

Katanya juga, ada jalan raya yang kotor akibat tumpahan minyak diesel. Ia memberi risiko kepada kenderaan kerana minyak diesel tidak mengewap berbanding minyak biasa. Ia akan kekal di atas jalan raya. Bukan setakat bas, malah motor pun boleh terbabas.

Saya bertanya lagi, adakah pemandu mengejar trip untuk mendapat gaji atau elaun lebih. Dia menjawab, 'mungkin juga'. Kerja memandu bas sepertilah tugasnya pengawal keselamatan. Memerlukan tenaga dan penumpuan lebih. Berbanding kerja kerajaan yang hanya duduk di dalam pejabat dengan penghawa dingin, walaupun kerja bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Gaji pemandu

Saya berkira-kira. Jika satu syarikat bas membuat dua trip satu bas ke Terengganu (malam dan pagi). Satu bas biasanya memuatkan 30 penumpang dengan harga tiket RM40 seorang. Jika perkiraan mudah satu trip, syarikat bas tersebut boleh mendapat RM1,200, maka dua trip adalah RM2,400.

Jika dihitung perjalanan sebulan (30 hari), maka syarikat bas mendapat hasil jualan tiket sebanyak RM72,000! Itu baru satu bas, jika ada sepuluh (10) bas? Cuba bayangkan.

Mustahil dengan keuntungan seperti itu tidak boleh meningkatkan gaji pemandu. Ditolak harga minyak dan penyelenggaraan bas, saya kira punya keuntungan lagi.

Apa salahnya memberi lebih sedikit kepada pemandu yang membawa 30 nyawa di belakangnya. Supaya ia tidak menjadi beban dan mereka berasa tidak mencukupi.

Ithar di jalan raya

Rupanya Islam sudah ajar dalam bermuamalah sesama masyarakat. Konsep ithar iaitu melebihkan kepentingan orang lain berbanding diri sendiri. Apalah kiranya jika masyarakat kita bersifat demikian dalam memandu.

Saya kira tidak rugi, kerana jika kesemua orang berbuat demikian, maka semua orang akan mendapat manfaat. Masing-masing melebihkan, dan mendahulukan orang lain, kan semua dapat merasa.

Tetapi semua orang kena berbuat sebegitu. Tidak boleh hanya seorang, atau segelintir sahaja. Jika tidak sampai bila-bila akan ada kemalangan dan manusia yang tidak menghiraukan nyawa orang lain.

Kuala Terengganu
10.32 a.m

Sunday, December 12, 2010

Perihal Aziz Bari dan UMNO yang takutkan PAS berubah


oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Semua orang tahu bahawa Prof. Dr Aziz Bari merupakan seorang yang pakar di dalam perlembagaan negara Malaysia.

Beliau berpengalaman mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama hampir 21 tahun berkenaan perlembagaan.

Banyak penganalisis dan ahli akademik yang saya temui antaranya Prof Emeritus Khoo Kay Kim menyatakan bahawa perlembagaan merupakan asas kepada pembentukan undang-undang dan hala tuju Malaysia.

Saya berkesempatan menyertai hampir seratus anak muda di dalam program Diskusi buku 'Menuju PAS Baru' karya YB Dr Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini di Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur.

Antara tokoh yang hadir adalah Dr Mujahid selaku penulis sendiri, Prof. Madya Ghazali Mayudin (UKM), Prof. Dr Aziz Bari (UIAM) dan Ustaz Zaharuddin (ulama pelapis PAS).

Bernas

Saya sudah menjangka bahawa program pada malam itu akan menjadi 'panas' apabila topik perbincangannya mengenai mengapa dan bagaimana PAS boleh berubah.

Prof Ghazali menyatakan dengan keadaan PAS seumpama hari ini, parti itu tidak boleh menggantikan UMNO. Asasnya mudah, PAS masih belum bersedia kearah itu.

Walaupun begitu, Dr Mujahid optimis PAS mampu menggantikan UMNO dengan syarat, PAS perlu berubah menjadi parti yang boleh diterima rakyat. Beliau berhujah bahawa PAS kini melalui zaman transformasi lekuk ketiga setelah era kepimpinan Ulama'.

Dari kiri : Ustaz Dzulkhairi, Dr Mujahid, Prof Ghazali Mayudin, Ustaz Zaharudin dan Prof Dr Aziz Bari dalam program Diskusi buku 'Menuju PAS Baru' baru-baru ini.

Saya bersetuju bahawa kepimpinan ulama adalah hanya satu tema di dalam PAS kerana disana terdapatnya sistem syuro yang menentukan hala dan tindakan PAS.

Namun, apa yang lebih menarik adalah pandangan kritikal oleh Prof Dr Aziz Bari memandang PAS sebagai sebuah parti politik.

Kritikan kepada PAS

Awal-awal lagi Dr Aziz Bari sudah menyebut bahawa di Malaysia, manual untuk mengurus dan mengendalikan pentadbiran dan pemerintahan adalah 'Perlembagaan Malaysia'.

Justeru itu, sebagai orang luar yang memerhati dan juga seorang pakar perlembagaan, beliau menyatakan kerisauan apabila PAS gagal mencermati dan memahami perlembagaan Malaysia yang menjadi manual memerintah Malaysia.

Banyak isu yang kurang berjaya dihadapi oleh PAS lantaran kurangnya kefahaman terhadap sistem perlembagaan. Kadang kala beliau sendiri yang menjadi 'jurucakap' kepada PAS apabila satu ketika PAS kehilangan arah bercakap soal perlembagaan.

Pandangan beliau adalah pandangan yang realiti dan praktikal kepada PAS sebagai parti politik. Seharusnya PAS perlu mengambil penting lebih-lebih lagi untuk menggantikan UMNO kelak.

Siapa lebih realistik?

Oleh hal yang demikian, apabila berpolitik, kita akan bercakap soal perkara yang realistik dan bukan sekadar teori.

Saya membawa satu contoh, pada pilihan raya umum tahun 1999, pakatan pembangkang berjaya meningkatkan sokongan melalui isu pemecatan Dato Seri Anwar. Waktu itu, rakyat beralih arah kerana bencikan kezaliman UMNO dan BN.

Namun, pada pilihan raya umum 2004, sokongan kepada pembangkang agak pudar, BN berjaya menyapu kembali kerusi yang terlepasnya dahulu. Apabila dianalisis antara satu faktor hilangnya sokongan adalah gagasan 'Negara Islam' oleh PAS yang juga menyebabkan DAP keluar Barisan Alternatif.

Walaupun begitu, tanggal 2008, perubahan kembali berlaku apabila Pakatan Rakyat mendapat sokongan kembali rakyat dibawah tema manifesto 'Negara Kebajikan'.

Negara Islam adalah satu sistem pentadbiran yang bersifat teori, manakala Negara Kebajikan bersifat realistik dan praktikal kepada rakyat. Sebab itu ia diterima.

Sebab itu, soal memerintah ia bersangkut rapat dengan perlembagaan, dan perlembagaan adalah satu realiti yang perlu dihadapi oleh PAS untuk memerintah.

Sifir mudahnya, parti mana yang paling realiti dan praktikal boleh menyelesaikan masalah pasti diterima rakyat.

PAS dan perubahan

Hanya UMNO yang takutkan PAS berubah! Ini kerana, apabila PAS berubah, ia menarik sokongan bukan Islam yang menghasilkan Dewan Himpunan Penyokong PAS. UMNO cukup bimbang PAS diterima pelbagai kaum.

UMNO juga bimbang kebangkitan kelompok muda di dalam PAS yang bersifat kritikal dan mampu menjadi pengganti dan memerintah kelak. Di samping kehadiran kelompok ala 'profesional ulama' yang kompeten.

Begitu juga pandangan Dr Mujahid yang melontarkan bahawa PAS perlu berubah menjadi lebih nasional (diterima pelbagai kaum) serta terbuka tetapi berprinsip.

Dr Mujahid mengkritik bukan kerana kepentingan, bahkan mahu melihat PAS menjadi lebih baik, dan beliau sudah menunjukkan hasilnya. Kritikannya berasas dan terbukti.

Sebab itu, hanya UMNO sahaja yang takut PAS berubah. Hanya UMNO yang tidak boleh menerima realiti PAS perlu berubah untuk memerintah Malaysia. Dan hanya UMNO sahaja yang bimbangkan 'kuasa' mereka terhakis apabila PAS berubah.

Sekali lagi saya menyokong lontaran Prof Ghazali Mayudin, "Selepas ini perlu dibuat buku mengenai PAS Baru pula, tak perlu menuju..menuju dah, lengkap dengan sistem dan organisasinya macamana nak memerintah.."

Saya bersetuju dan tersenyum.

Wallahua'lam.

Thursday, December 9, 2010

Disebalik demo air rakyat Selangor

Sebahagian peserta demonstrasi yang ditahan beramai-ramai

oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Sebaik sahaja Dr Badrul Amin, pengerusi jawatankuasa bertindak Kembalikan Hak Air Rakyat Selangor memberikan arahan berarak, saya dan beberapa rakan memulakan langkah.

Walaupun pada awalnya Dr Badrul Amin berkata polis membenarkan himpunan dan perarakan ini, ia tidak semudah itu telahan saya.

Baru sahaja kami melepasi bulatan berhadapan Masjid Negara, ratusan pegawai polis dan FRU sudah menunggu dengan rantaian manusia siap untuk menghalang perarakan kami sampai ke Istana Negara. Saya berkata kepada Qayyum, "Polis sudah menunggu.." Dia tersenyum.

Paling hadapan adalah skuad Unit Amal yang begitu setia menjadi tembok peserta demonstrasi, menyediakan tubuh badan mereka bakal diterjah air asid dan kepulan asap gas pemedih mata.

Seorang pegawai Unit Amal menjerit : "Yang belakang tolak kami kehadapan, jangan bimbang kami, kita rempuh sekatan polis.." Penuh semangat.

Saya berasak-asak berada di kelompok anak muda dan mahasiswa sambil laungan Hidup Rakyat, Hapus Syabas, Kembalikan Hak Rakyat bergema.

Saya berbaju merah hati bertutup mulut kain putih. Satu-satunya gambar saya yang saya temui di internet. Ketika ini memerhatikan gelagat polis dan anak muda.

Teruja dengan anak-anak muda

Barisan paling hadapan juga adalah kelompok anak muda yang rata-rata datang dari kolej swasta. Paling banyak UNISEL dan kolej komuniti sekitar Selangor selain daripada ahli-ahli GAMIS.

Selepas beberapa bom asap pemedih mata ditembak, serta semburan demi semburan, saya lihat anak-anak muda ini sedikit pun tidak berganjak, malah mereka semakin kehadapan.

Keberanian mereka, membuatkan saya menyertai mereka. Yang akhirnya menimbulkan kebimbangan dan kemarahan polis. Pihak polis terus mengeluarkan arahan menangkap kesemua peserta demonstrasi yang masih berkeliaran.

Dibelasah dan ditahan

Tatkala kelam-kabut melepaskan diri dari kejaran polis, di sebelah hujung tangga kawasan masjid saya terlihat seorang lelaki teruk dipukul seorang anggota polis. Di samping wanita juga turut dikejar.

Hati saya membuak, sejurus itu melepaskan satu tendangan kepada polis yang menyebabkan dia tersungkur dan dikerumuni orang ramai.

Tiba-tiba seorang anggota polis menerjah kepada saya. Tangan saya dikilas ke belakang, saya dipijak dan dipukul dan diperintah meniarap. Saya kira saya akan ditangkap kali ini.

Bila lagi polis boleh menjadi pengawal perhimpunan yang baik seumpama demonstrasi-demonstrasi yang berlaku di negara-negara Eropah.

"Supp!" Satu semburan mengenai muka saya. Polis menyembur semburan cili ke muka saya menyebabkan saya terus lemah dan penglihatan gelap. Pedih dan panas rasanya. Kemudiannya saya terus dibawa menaiki trak.

Ke Kem PGA Cheras

Bersama-sama saya lebih kurang 30 orang lagi peserta himpunan yang ditahan. Kami dibawa ke Kem PGA di Hulu Langat. Di sana kami diambil laporan dan soal-siasat.

Rupanya lebih kurang 50 orang kesemuanya ditahan dalam dua trak. Masing-masing ada mahasiswa, pegawai unit amal dan aktivis masyarakat.

Sementara menunggu diambil laporan, saya bersembang dengan seorang lelaki India, Jason namanya. Datang daripada TTDI untuk demonstrasi.

Usrah dengan Jason

Kata Jason, ini adalah kali kelima dia ditahan. Lain himpunan yang disertainya adalah Bersih, Mansuh ISA, turun harga minyak. Kesemua dia ditahan.

Umurnya mencecah 40-an, namun dia belum berkahwin. Saya bertanya mengapa tidak berkahwin, dia menjawab belum menemui wanita yang boleh faham perjuangan sepertinya. dia bimbang berkahwin dengan wanita yang tidak faham akan mengganggu perjuangannya.

Saya tersenyum dan berseloroh dengannya. Memang susah mencari isteri yang boleh faham perjuangan. "Semoga anda bertemu wanita yang anda cari" kata saya.

Paling saya ingati, dia menasihati saya agar tidak 'puas' dengan penahanan ini. Perjuangan kita adalah bukan untuk kita tetapi anak-anak dan generasi hadapan. Katanya, biar masuk penjara kerana perjuang hak rakyat, jangan masuk penjara kerana kes moral.

Saya mengangguk. Hari itu, saya mendapat 'pengisian' aqidah perjuangan daripada seorang pejuang berbangsa India dan bukan Islam. 'Usrah' seketika itu memberi banyak manfaat walaupun sekejap.

Dilepaskan

Sekitar jam 6 petang kesemua dibebaskan. Kami bertakbir dan bersalam-salaman dengan anggota polis. Diantara kami menyatakan janji akan bertemu semula dalam demonstrasi-demonstrasi akan datang.

Melepasi pintu pagar Kem PGA itu, kami disambut rakan-rakan. Saya berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang setia menunggu. Ridzuan, Qayyum dan Syahriul. Juga kepada pimpinan mahasiswa yang bersemangat Izzudin dan Taufik.

Saya balik dengan selipar 'baru' dan kehilangan jam tangan. Ia sebenarnya menambahkan lagi semangat saya. Ada benarnya kata seorang tokoh 'Andai takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan!'

Thursday, December 2, 2010

PAS dan keperluan pimpinan muda

oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh

PRU-13 semakin dekat. Isyarat awalnya sudah lama berbunyi melalui parti-parti kerajaan terutama UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN).

Menurut pengalaman pemimpin parti yang sudah lama melalui pilihan raya, kebiasaan sesebuah parti mengambil sekurang-kurangnya tempoh sepuluh (10) bulan untuk mempersiapkan jentera, kepimpinan dan menyelesaikan permasalahan dalaman parti sebelum menjadi benar-benar bersedia menghadapi pilihan raya.

Jika bagi parti pembangkang (PAS-PKR-DAP) yang mempunyai jentera parti yang terhad, mungkin mengambil tempoh yang lebih lama sehingga lapan belas (18) bulan.

Paling jelas adalah pengumuman Presiden UMNO, Dato Sri Najib Tun Razak yang mahu menumpukan kepada pemulihan dalaman UMNO dalam tempoh terdekat serta resolusi Perhimpunan Agung UMNO yang mahu turun secara aktif kepada cawangan-cawangan.

PAS dan pimpinan muda

PAS perlu cepat dan pantas membariskan serta mengenengahkan pemimpin-pemimpin mudanya terutamanya di dalam kepimpinan parti dan calon pilihan raya.

Jika meneliti sirah peperangan Nabi s.a.w, Baginda membenarkan bagi tentera muslimin yang memiliki uban di rambut dan janggut untuk memakai inai. Ini supaya tentera yang melihat gerombolan tentera muslimin semuanya muda-muda dan gagah belaka. Peperangan adalah tipu daya.

Ini isyarat dari Nabi s.a.w agar panglima serta pemimpin muda sangat penting diletakkan sebagai barisan paling hadapan. Jika dalam konteks pilihan raya adalah calon-calonnya.

PAS tidak ketandusan pemimpin muda, malah banyak. Tetapi lambat serta kurang diketengahkan.

Lupakan sama ada ia dari aliran (sekolah) profesional mahupun ulama, yang penting ia mesti dikehadapankan dahulu.

PAS mempunyai pemimpin muda yang lama dan berpengalaman seperti Salahuddin Ayub (Naib Presiden serta MP Kubang Kerian), Dato Seri Nizar Jamaluddin (AJK PAS dan MP Bukit Gantang) disamping barisan Dewan Pemudanya.

Dato Husam Musa yang juga berpengalaman memasuki parlimen dan sekarang menerajui Kelantan juga wajar diketengahkan. Selain itu, ahli akademik yang dimiliki PAS juga mesti diketengahkan seumpama Dr Zuhdi Marzuki pensyarah fakulti Sains daripada Universiti Malaya.

PAS juga memiliki calon profesional yang ramai seumpama Dr Zulkefli Ahmad (MP Kuala Selangor) serta Dr Lo'Lo' Ghazali (MP Titiwangsa). Disamping pemimpin multi-racial seperti Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mereka ini perlu diangkat di dalam kepimpinan terlebih dahulu yakni melalui muktamar kepimpinan parti, seterusnya menjadi calon-calon berwibawa PAS di dalam pilihan raya.

Isu dan faktor calon muda

Ini kerana rata-rata pengundi yang bakal mengundi pada PRU 13 akan datang adalah daripada kelompok anak-muda.

Anak muda adalah generasi yang agresif, efektif dan aktif. Bila-bila masa boleh berubah dan cepat membuat perubahan berasaskan isu dan kefahaman mereka.

Isu anak muda banyak hari ini. Misalnya peluang pekerjaan, isu PTPTN bagi mahasiswa, sosial dan sebagainnya.

Penulis pernah mengikuti projek kajian persepsi pengundi yang dilakukan oleh firma Ilham Centre Sdn Bhd di negeri Melaka suatu ketika dahulu. Hasilnya adalah, hampir 90 peratus pengundi muda mengundi berdasarkan faktor calon.

Jika calon muda, berwibawa, berkeyakinan dan isu yang tepat kepada mereka dan diperjuangkan oleh golongan sebaya (muda) seperti mereka, calon itulah yang bakal diundi.

Ini adalah realiti yang perlu diperhatikan PAS segera. Golongan senior di dalam PAS (orang lama) juga sangat penting dari aspek pengalamannya, namun kelompok muda ini perlu diberikan tugas yang lebih mencabar menggalas calon pilihan raya.

Tuesday, November 23, 2010

"Maaf, aku tidak dapat menyintaimu.."


oleh Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Mereka bertemu setelah memeterai 'janji' untuk hidup bersama sebagai suami dan isteri yang sah.

"Moga Sakinah boleh menjadi pelengkap hidup saya nanti" kata Farid kepada bakal isterinya, Siti Nur Sakinah.

"Insya Allah abang, saya akan berusaha menjadi isteri yang taat dan solehah" balas Sakinah. Pertemuan di rumah bertemankan anak saudaranya, begitu hening dan damai.

"Jangan banyak berjanji, takut tak tertunai. Cukup beritahu abang yang Sakinah akan buat yang terbaik dalam hidup. Itu sahaja" Farid seperti mengingatkan.

Bertemu dalam satu 'gelanggang' perjuangan yang sama sangat mengujakan. Masing-masing dengan aspirasi dan teori dakwah serta impian kasih-sayang yang tinggi melayang.

Walaupun Farid seorang yang dihormati di kalangan sahabat-sahabatnya. Dia pernah memimpin ketika di kampus dahulu. Namun, dia tidak 'meninggi diri' tatkala berkata soal kehidupan realiti.

"Abang pilih Sakinah kerana perjuangan, kerana kehidupan abang penuh perjuangan. Sebab itu abang tak mengharap apa-apa pada Sakinah" kata Farid kepada isterinya suatu hari.

"Maksud abang? Abang tak cintakan Sakinah?" soal Sakinah. Begitu naluri wanita.

"Bukan begitu sayang. Abang sayang Sakinah. Abang harap Sakinah boleh menyayangi kehidupan abang sepertimana abang menyayangimu" balas Farid. Syahdu seketika.

Selepas empat tahun, setelah kelahiran anak ketiga mereka, Farid semakin sibuk menguruskan kehidupan, keluarga dan dakwahnya. Seperti biasa, kerja dakwah sangat banyak berbanding keluarga.

Farid masih lagi utuh menjadi manusia, daie dan pejuang yang istiqamah.

Kehidupan mereka sedikit sebanyak berubah. Sakinah sudah mula merungut akibat kepulangan Farid yang selalu sahaja lewat, tengah malam.

"Abang, kalau boleh janganlah pulang lewat sangat. Tak kasihan pada anak-anak? Sakinah?" tegur Sakinah.

"Maaf sayang. Abang ada urusan mesyuarat bersama sahabat-sahabat dalam parti tadi. Kebetulan selepas itu ziarah sahabat yang baru sahaja kehilangan anaknya dalam kemalangan" jawab Farid perlahan. Dia menarik nafas sedikit kerana kepenatan baru pulang.

Jam di dinding berlalu menunjukkan 1.30 pagi.

"Urusan, urusan juga, tapi jangan sampai tinggal keluarga.." jawab Sakinah semula.

"Abang bukan tinggal terus sayang, hm..tak apelah usah dipanjangkan ya, Insya Allah abang cuba buat yang terbaik" kata Farid.

Suatu hari, anak ketiga mereka jatuh sakit. Demam panas.

Setelah dua minggu di hospital, keadaan semakin kritikal. Demam panasnya memberi kesan kepada jantung dan paru-paru. Peluang sembuh hanya 20 peratus.

Tanpa diduga, Allah lebih menyayangi anaknya.

"Abang, kita dah hilang seorang anak kita.." ujar Sakinah sedih.

"Allah uji kita. Moga diganti dengan yang lebih baik. Kita redha dengan takdir ini sayang" balas Farid menenangkan isterinya.

"Saya tidak mahu kehilangan abang pula" kata Sakinah lagi.

Selepas kehilangan anaknya yang ketiga. Farid pasrah. Perjuangannya dan kehidupannya. Semua itu menyesakkan dadanya. Benarlah kadang-kala keluarga menjadi sebahagian dari halangan perjuangan.

Namun ia juga adalah tanggungjawab yang diamanahkan Allah.

"Sakinah.. Abang mohon maaf seandai tidak menjadi suamimu yang baik" Farid berkata suatu ketika.

Dia menyambung, " Sesungguhnya, abang memang menyayangimu.."

"Terima kasih abang. Sakinah juga sayangkan abang.." jawabnya.

"Tetapi, abang tidak dapat menyintaimu" balasnya.

Sakinah terdiam.

"Jika memilih antara perjuangan, abang tidak dapat menyintaimu seperti mana orang lain bercinta" tambahnya lagi.

"Maaf takrifan cintaku begitu. Abang sayang padamu, tetapi abang tidak dapat menyintaimu.."

"Abang..." sayup suara Sakinah.

Farid semakin jauh..

(Tulisan ini adalah kisah yang mungkin berlaku, atau tidak mungkin berlaku. Sekadar catatan penulis)

Saturday, November 20, 2010

Alahai artis-artis kita..


oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya kadang-kadang pelik kerana rakyat Malaysia sangat mengagungkan dunia hiburan dan kesenian. Artis-artis juga diibaratkan sebagai ikon remaja dan trend hari ini.

Di surat khabar arus perdana misalnya, paparan berkenaan artis dan hiburan begitu banyak.

Namun, hari ini, jika kita menyorot dengan teliti dan insaf, ramai artis di Malaysia tidak layak menjadi ikon masyarakat. Walau bagaimana pun, apa yang boleh dibuat kerana artis sangat sinonim dengan media.

Sesekali rasa ingin 'termuntah' apabila seluruh kehidupan seorang artis itu diceritakan dan dipaparkan secara terperinci di dada akhbar.

Hatta, jika tak keterlaluan dikatakan bahawa jenis 'seluar dalam' pun hendak dikisahkan di media.

Terfikir juga apabila media massa membuat liputan secara besar-besaran kisah artis yang berkahwin. Acaranya begitu gilang-gemilang, lebih mudah disebut sebagai wedding of the year. Namun, dua minggu selepas itu, bercerai.

Tidak sedikit serasa saya kes-kes moral buruk yang telah berlaku kepada artis. Antaranya boleh disebutkan adalah terlibat dengan dadah, khalwat dan penceraian.

Pada 12 Jun 2010, pelawak dan pelakon terkenal sitkom senario, Saiful Apek atau nama sebenar Saifulizam Yusoff ditahan kerana memiliki 40 gram ganja. Dia ditahan dirumahnya pada jam 10 malam. Kes beliau disiasat dibawah Seksyen 39A (1), Seksyen 6, dan 15(1), Akta Dadah Merbahaya.

Yassin Yahya, juga anggota kumpulan Senario juga pernah ditahan di pusat hiburan Sunway Pyramid kerana didapati positif dadah. Beliau direman selama 3 hari dan didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta dadah Merbahaya.

Selain dari itu, pelakon drama terkenal Benjy atau nama sebenarnya Khyrill Benjamin Ibrahim ditahan pada 11 Mac 2010 di tempat letak kereta di rumahnya. Beliau ditahan kerana disyaki terlibat dengan dadah. Sehingga hari ini kesnya masih dibicarakan.

Seorang artis perempuan yang terkenal membintangi filem Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM), Zarina Ann Julie telah ditahan di LCCT dan mengaku telah mengambil dadah jenis 'ketamin'.

Penyanyi Jamal Abdillah, yang terkenal dengan lagu 'Siapa bilang gadis Melayu tak menawan' telah ditahan di sebuah rumah rehat di Teluk Intan oleh pihak polis apabila disyaki memiliki dadah jenis 'syabu'. Beliau didakwa dibawah Akta dadah Merbahaya.

Tidak kurang juga yang terlibat dengan masalah moral dan akhlak serta rumah tangga.

Ako Mustapha, seorang dramatis serta pelakon telefilem cerekarama TV3, ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa Hulu Kelang.

Artis 'Gerak Khas', Norman Hakim yang menjadi model kehebatan polis kepada masyarakat gagal menjadi model sebenar apabila ditangkap berkhalwat di Ukay Perdana dengan pasangannya juga seorang pelakon Memey Suhaiza. Lebih memalukan apabila beliau sudah berumah tangga dengan Abby Abadi yang juga seorang pelakon terkenal.

Pengacara program 'Bang bang Boom' Ahmad Azahari Mohd Ali ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor pada 7 Oktober 2010 kerana disyaki berkhalwat dan berdua-duaan dengan wanita yang juga masih isteri orang.

Kisah bercerai-berai dalam rumah tangga juga dilakonkan oleh artis-artis kita di luar selepas melakonkan watak itu di dalam filem mahupun drama yang dibintanginya.

Pelakon jelita sitkom 'Puteri', Nora Danish bercerai dengan suaminya Rizal Asyram atas alasan sudah tidak serasi dan membawa haluan masing-masing. Lebih memalukan apabila lafaz cerai mereka dilakukan melalui panggilan telefon.

Pada 26 April 2006, pelakon terkenal Yusri KRU bersama isterinya Erra Fazira sah melafazkan cerai di mahkamah. Kedua-dua pelakon ini juga tatkala majlis perkahwinan mereka telah disiarkan secara meluas dan gemilang oleh media.

Ac Mizal telah menyaman isterinya Shafnie Zainuddin selepas menceraikannya serta masih lagi di dalam perebutan di dalam tanggungjawab memberi nafkah dan hak penjagaan anak.

Apa lagi sebenarnya yang kita mahukan daripada artis-artis ini untuk menjadi role-model kepada masyarakat? Seperkara lagi, media begitu pantas memainkan peranan. Kadang-kadang imej buruk artis-artis ini cepat dipadamkan oleh mereka.

Hiburan serta artis alternatif perlu berusaha lebih kuat dan gigih untuk menaikkan imej mereka di mata masyarakat agar dapat menenggelamkan artis-artis yang tidak bermoral ini.