Thursday, February 7, 2008

Ingat-ingatlah...!


Sejak kebelakangan ini, saya agak kurang menjenguk blog saya. Hanya beberapa ketika berkesempatan, mengintai-intai shoutbox saya kalau-kalau ada beberapa komen yang perlu berjawab. Minggu ini agak sibuk kerana menguruskan beberapa perkara dan kena dengan cuti pertengahan semester universiti.

Melihat-lihat situasi yang berlaku kini dan memalingkan muka sehari dua kebelakang, banyak perkara besar berlaku. Dimulakan dengan pemergian allahyarham bekas mufti Selangor yang banyak berjasa, Ustaz Ishak Baharom, penuh dengan pengertian yang cukup mendalam buat kita renungi. Beliau, seorang yang sangat berprinsip dalam menegakkan hukum-hakam Allah s.w.t. Satu sikap yang tiada pada mufti-mufti lain. Saya masih ingat, tatkala beliau dengan tegas menyatakan bahawa haram bagi anak-anak gadis melayu beragama Islam untuk menyertai pertandingan Ratu Cantik. Bagi saya, keputusan beliau sangat tepat dan benar, walau tidak disenangi oleh golongan-golongan tertentu (semestinya golongan yang menolak hukum Allah)

Rentetan pemergian allahyarham, ia adalah suatu petanda dan peringatan yang sangat penting bagi seluruh ummat Islam di Malaysia khususnya, jika mereka menyedari. Sudah tiba masanya, ilmu agama kembali ke pangkuan Allah s.w.t, pencipta-Nya. Sudah tiba saatnya, dunia sampai kepada umur tuanya. Terangkatnya ilmu bererti saat musnahnya dunia yang fana ini makin hampir. Sedangkan Rasulullah pada zamannya sendiri menyatakan: ”Aku diutuskan dengan Hari Qiyamat seperti dua jari ini”. Rasulullah mengisyaratkan dua belah jarinya. Bermaksud begitu hampirnya Qiyamat pada zaman tersebut. Apatah lagi di zaman kita ini.

Yang pasti, manusia tetap manusia. Bagi yang beringat akan kedatangan itu, mereka pasti sudah bersedia. Bagi yang merenung barang sejenak akan tragedi-tragedi kemusnahan seperti Tsunami, ribut, banjir dan sebagainya, mereka sedar, itu buah petanda dari Maha Pencipta, sebagai warning atau tiupan wisel separuh masa pertama kedatangan Qiyamat. Itu bagi yang berfikir. Namun, bagi yang leka, akan terus leka. Bagi mereka, tidak lebih hanya sebuah fenomena alam yang terjadi hasil putaran semulajadi bumi. Mereka terus-terusan hanyut dengan lautan keseronokan dan keindahan dunia. Bagi mereka pintu taubat masih terbuka luas.

Ini adalah sekelumit bicara peringatan dan ketukan hati buat seluruh insan. Yang belum sedar, kembalilah. Yang sudah tersedar, teruskan amalmu. Kita tidak lama. Benar, tidak lama. Tidak sempat bertemu Qiyamat pun, kematian pasti menjengah. Yang pasti, jika bukan hari ini, mungkin esok. Jika tidak esok, mungkin malam ini. Atau mungkinkah, saat ini kata-kata terakhir kita...?

Hanya Allah Maha Mengetahui.

No comments: