Wednesday, August 3, 2011

Hakikat Ramadhan dan Puasa

Ramai yang berpuasa, namun ramai tidak mengerti hakikat berpuasa..
-Secawan Kopi-

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Apabila tibanya bulan Ramadhan, ramai yang akan mencari-cari apakah fadilat (kelebihan) ibadah di dalam bulan ini. Di setiap tazkirah, para ustaz akan membicarakan mengenai keutamaan dan ganjaran-ganjaran yang bakal dinikmati orang yang berpuasa.

Namun, ramai juga yang tidak menyedari tentang hakikat sebenar berpuasa. Ini kerana hakikat puasa hanya datang daripada Allah. Kerana hakikat yang penuh rahsia itulah Nabi s.a.w pernah bersabda dalam Hadis Qudsi, firman Allah: "Sesungguhya puasa itu adalah untuk-Ku, maka Akulah yang memberi ganjarannya (yakni menentukan pahalanya)." (Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a).

Tiada siapa di dunia ini boleh menentukan ganjaran sebesar mana yang didapati seseorang di dalam puasanya. Malah seorang mufti yang 'alim juga tidak boleh menentukan diterima mahupun ditolak puasa seseorang itu secara zahirnya.

Rahsia puasa

Kelebihan dan keutamaan puasa itu bukanlah datang hanya daripada kita mengagumi apa yang Allah s.w.t sediakan pada bulan Ramadhan dengan limpahan kurniaan-Nya yang terlalu banyak. Ganjaran ibadah yang berlipat kali ganda itu bagi orang yang benar-benar ikhlas berpuasa hanyalah satu motivasi yang kecil berbanding cita-citanya hanya mengharap keredhaan Allah ketika berpuasa. Keredhaan inilah sebagai syarat utama diterimanya puasa.

Keredhaan Allah inilah kunci kepada terbukanya rahsia-rahsia kesempurnaan di dalam berpuasa. Walau banyak mana ganjaran yang ditawarkan di dalam bulan ini, Allah tetap merahsiakan sama ada puasa seseorang itu diterima atau banyak mana ganjaran yang akan diberikan kepadanya.

Walaupun begitu, Allah menyediakan tanda-tanda kepada orang yang benar-benar yakin dengan rahsia Allah itu. Di dalam hadis yang mahsyur, Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang mengerjakan puasa Ramadhan dengan keimanan dan ihtisab (merasakan balasan dan ganjaran yang bakal dikenakan kepadanya), diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.).

Hakikat puasa

Istimewanya sebatang pokok adalah denganh buahnya. Begitu juga di dalam ibadah, selepas melaksanakannya dengan sempurna rukun dan syaratnya, buah kepada ibadah adalah kesannya kepada peribadi dan rohani seseorang. Itu tanda dan bukti bahawa Allah meredhainya dan dengan keredhaan-Nya, Dia menjadikan seseorang itu sebagai hamba Allah yang patuh serta taat hasil daripada kewajipan berpuasa. Sebaliknya, orang yang kekal di dalam peribadinya terdahulu dengan tiada perubahan ke arah yang lebih baik, maka puasa tidak memberi kesan kepadanya atau keredhaan Allah masih belum dicapainya.

Ada beberapa petanda menunjukkan tercapainya redha Allah kepada orang berpuasa:

1. Gembira menantikan kedatangan Ramadhan, dan sayu dengan pemergiannya

Inilah tanda awal bagi perindu kepada redha Allah. Bulan Ramadhan yang di dalamnya penuh dengan rahmat (kasih-sayang) dan keampunan daripada Allah begitu dinanti-nantikan. Mereka menantikan waktu yang mana kemuncak kepada kasih-sayang dan melimpahnya redha Allah, lalu diambil dengan sebaiknya waktu-waktu itu dengan dipenuhi perkara-perkara yang akan membuahkan redha Allah.

Dan tatkala ia meniti hari-hari terakhir Ramadhan, maka di saat orang lain bergembira untuk menyambut Aidilfitri, dia menangis kesedihan kerana bulan yang sarat dengan keredhaan Allah bakal meninggalkannya. Dia merasakan bahawa kalau-kalau puasanya tidak diterima lantaran kurangnya ibadah dan semakin hampir dengan penghujungnya. Dia bimbang jika tergolong daripada kelompok manusia yang banyak yang disabdakan Nabi s.a.w: "Berapa banyak orang yang berpuasa, namun tidak ada baginya puasa itu melainkan hanya lapar dan dahaga." (Riwayat An-Nasa'ie daripada Abu Hurairah r.a).

Apabila timbul kesayuan dan kehibaan di dalam hatinya kerana akan meninggalkan Ramadhan, maka ia sebagai satu petanda keredhaan Allah mula mendekati dirinya.

2. Tidak terasa lapar berpuasa kerana mengutamakan hal ibadah

Sesungguhnya kewajipan berpuasa bukan sekadar menahan manusia daripada kenyang, malah matlamatnya lebih besar dan agung daripada itu iaitu menahan hawa nafsu. Berpuasa hanya salah satu daripada kaedah yang ditentukan Allah dalam mengawal hawa nafsu selain ibadah-ibadah lain. Apakah yang menjadi simbol agungnya bulan puasa itu?

Jawapannya adalah pada ibadah yang dilakukannya. Ibadah sunat yang dilakukan pada bulan biasa tidak sama dengan ibadah pada bulan Ramadhan. Begitu juga keadaan ibadah orang yang berpuasa tidak sama dengan ibadah seseorang yang dalam keadaan tidak puasa. Apabila berpuasa, kehendak dan kepentingan untuk makan tiada lagi, malah kita dielakkan daripada memikirkan punca-punca kepada makanan itu yang menjadi keutamaan manusia pada hari ini.

Orang yang benar-benar berpuasa, laparnya itu bukan kerana dia menahan makannya, sebaliknya sebagai penahan daripada dia terjebak dan terjerumus ke lembah yang membawanya lalai dan jauh daripada ibadah dan suruhan Tuhannya. Apabila dia menjadikan makan dan minum itu bukan sebagai kepentingan utamanya lagi, maka keredhaan Allah mula sampai kepadanya.

3. Tiada berkira di dalam ibadah

Ibadah baginya bukan lagi kerana ganjaran yang berlipat kali ganda, bahkan sudah menjadi kemanisan di dalam dirinya. Dia tidak mengira banyak mana ibadah yang sudah dilakukannya, tetapi mengira kalau-kalau ibadahnya tidak diterima atau ibadahnya tidak sampai kepada maksud sebenar redha Allah itu. Dia mengira dengan penuh khusyuk dan tawadhuk betapa keikhlasan dan keredhaan Allah sebagai punca utama ibadahnya diterima.

Dengan jalan itu secara automatik, perlaksanaan ibadahnya menjadi berlipat kali ganda berbanding orang yang lain. Ibadahnya tanpa dipaksa dan diberi nasihat, kerana ia sudah menjadi darah daging untuknya mencapai keredhaan Allah.

4. Rasa rugi dan bersalah jika tertinggal ibadah

Seseorang yang benar-benar dengan ibadah puasanya akan timbul rasa bersalah di dalam hatinya setiap detik dan saat yang berlalu tidak disertai dengan ibadah dan perkara yang bermanfaat. Ini juga petanda kepada keredhaan Allah mula mendekati jiwanya. Lena tidurnya tidak panjang, bahkan memikirkan tidak sempat beribadah dengan ruang waktu yang terbatas lalu dikorbankan masa tidurnya dan rehatnya untuk diisi dengan ibadah yang bermanfaat.

Ibadah bukan sekadar menunaikan solat sunat dan berzikir semata-mata, bahkan tugas-tugas yang memberi manfaat kepada orang lain juga dinilai sebagai ibadah selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat dan bertujuan mencari redha Allah. Nabi s.a.w pernah bersabda: "Amalan yang paling utama dilaksanakan adalah kamu menyuntik ketenangan (kebahagiaan) dalam diri seseorang."

Begitu juga rasa bersalahnya apabila berhadapan dengan hidangan yang lazat-lazat tatkala berbuka puasa. Dia merenung bahawa di sana terdapat masih ramai lagi yang tidak dapat menikmati makanan seumpama itu. Dengan perasaan itu, timbul dihatinya sifat tidak membazir dan mengurangkan juadah buka puasanya dengan hanya makanan yang boleh memberi kekenyangan kepadanya bagi mengalas seharian berpuasa. Malah dibelinya lebih makanan buat orang-orang lain yang tidak berkemampuan.

Setiap masa, ada sahaja ibadah yang dilakukannya dan kebaikan yang diusahakan kepada orang lain seperti bersedeqah, memberi makan orang berpuasa dan membantu orang lain di dalam kesusahan. Jika dia tertinggal perbuatan itu di dalam sehari, maka rasa bersalah timbul di dalam hatinya.

5. Ibadahnya tidak terhenti dan berpanjangan selama-lamanya

Kemuncak kepada kemanisan ibadah, orang yang benar-benar berpuasa akan kekal istiqamah di landasan ibadahnya meskipun bulan Ramadhan yang dicintainya sudah berlalu pergi. Seumpama kekasih yang merindui kekasihnya, dia berharap agar bertemu kembali jika diberikan kesempatan dan rezeki oleh Allah s.w.t kelak. Oleh kerana tidak pasti akan bertemu lagi, maka dia berusaha mencapai tahap ibadahnya seperti bulan Ramadhan.

Dia merasakan bahawa, jika ibadahnya terhenti hanya pada bulan Ramadhan, maka tiada gunanya segala amalan yang dilakukannya kerana hanya berharapkan kebaikan pada bulan Ramadhan semata-mata sedangkan ibadah yang sebenar adalah pada kecintaannya kepada redha Allah yang akan kekal selamanya sekalipun beliau sudah meninggalkan Ramadhan dan ditakdirkan tidak bertemu lagi.

Inilah antara sifat orang yang benar-benar berpuasa dengan keimanan. Mungkin disebalik itu, masih banyak lagi rahsia yang perlu difikirkan agar tercapainya martabat redha Allah. Ramadhan sebagai bulan yang melahirkan Rabbaniyyun bukannya Ramadhaniyyun sebagaimana yang diungkapkan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, iaitu melahirkan manusia yang berjiwa Rabbani (sifat-sifat soleh) bukan manusia yang berjiwa Ramadhan yang tidak kekal hanya pada bulan Ramadhan sahaja.

Wallahu a'lam

Hospital Tawakkal
Jalan Pahang
03/07/2011 (Rabu)

2 comments:

Lavender said...

Hospital Tawakkal
Jalan Pahang
03/07/2011 (Rabu)*

Tarikh sesuatu yang mustahak : Mungkin ada yg tersalah taip disini*.

Aizat Salleh said...

Salam

Terima kasih kerana ada orang yg begitu teliti.

Ya, sebenarnya bulan 8.
Syukran.