oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh
Semua orang pastinya pernah mengharap. Mengharap apa jua yang diingini di dalam kehidupannya. Pengharapan itu datang daripada keinginan, kehendak serta sebuah impian lalu dengannya seorang itu akan berusaha malah berkorban serta membuat pilihan di dalam hidupnya.
Ada yang pernah mengharap di dalam sebuah perniagaan adalah dengan memiliki keuntungan daripada hasil perniagaannya. Jualan barang-barangnya dibeli pelanggan dan laris. Peniaga sentiasa mempunyai impian dan harapan bahawa dia akan berjaya membawa perniagaannya ke puncak keuntungan dan kejayaan.
Pernahkah kita jika dari kalangan ibu bapa mengharapkan sesuatu kepada anak-anak? Ya, pasti pernah, bahkan selalu mengharapkan. Ibu bapa sudah pastinya mengharapkan anak-anaknya berjaya di dalam hidup. Paling kurang, anak-anaknya menjadi lebih baik daripadanya. Jikalau pekerjaan, biarlah bukan petani yang berpanas-hujan membanting tulang mencari sesuap rezeki seperti yang mereka laluinya di dalam hidup.
Terkadang juga kita mengharapkan anak-anak itu menjadi manusia yang dihormati. Misalnya di dalam pekerjaan, dia menjadi seorang doktor yang boleh berjasa kepada orang lain, bahkan kerjaya itu sangat disanjung oleh masyarakat. Ada juga yang berharapkan anaknya menjadi seorang yang stabil kedudukan kewangannya yakni sebagai ahli perniagaan, agar nanti dapat memberi keselesaan apabila mereka menjejak hari tua.
Itu juga adalah harapan. Ramai orang berharapkan sedemikan. Tetapi ramai juga orang di zaman ini yang memiliki kedudukan, kerjaya dan kewangan yang kukuh, namun disana tidak mampu menjaga ibu bapanya yang sudah tua, uzur mahupun sakit. Mereka menganggap ia mengganggu kerjaya mereka, lantas dihantar sahaja ke rumah orang-orang tua.
Lalu, apakah yang kita harapkan di dalam kehidupan ini, sebenarnya?
Hakikat sebuah harapan
Dalam setiap sesuatu, ia punyai hakikatnya. Hakikat yang perlu difahami agar manusia tidak kecewa dengan apa yang diimpikan. Dan pemahaman setiap hakikat ini sangat perlu dilandaskan dengan panduan syariat yang ditetapkan Allah agar sifat redha muncul dan terdetik di dalam hati dan sanubari kita.
Semua orang di dalam pengharapannya mahukan akhir sebuah harapan dengan sesuatu yang indah dan baik. Jika seorang ibu mahukan anak-anaknya menjadi manusia yang baik dan berguna. Bagi peniaga mahukan barang jualannya habis dijual dan memperolehi keuntungan. Begitu juga bagi seorang pemimpin negara mengimpikan negara dan rakyat yang ditadbirnya maju dan sejahtera.
Namun, tidak semua pengharapan berakhir dengan sesuatu yang manis. Malah hari ini banyak harapan yang hancur dengan kekecewaan apabila yang diingini berlaku sebaliknya. Dan orang kata 'harapan hanya tinggal harapan..'
Hakikatnya, sebuah harapan memerlukan seseorang itu berlegar dengan ketentuan Allah yang tidak pasti. Mengapa begitu? Ini kerana setiap sesuatu yang berlaku kepada diri manusia sama ada baik mahupun buruk adalah kurniaan yang terbaik dari sisi Allah s.w.t buat hamba-Nya. Manusia kadangkala menilai sesuatu yang baik mengikut neraca penilaian manusia, sedangkan Allah s.w.t menilai sesuatu yang baik mengikut neraca diri-Nya dan apa yang baik buat manusia.
Apa yang manusia harapkan akhir yang baik itu tidak semestinya ia baik kepada dirinya walaupun dari pandangan mata manusia dan dunia ia baik. Sebaliknya dari sisi Allah sesuatu yang baik itu mungkin buruk bagi-Nya. Cuba kita menekuni maksud firman Allah s.w.t ini:
"..Dan boleh jadi apa yang kamu benci (keburukan) sesuatu perkara itu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi apa yang kamu suka (kebaikan) sesuatu perkara itu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Maha Mengetahui (segala-galanya), sedangkan kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah, 216. Rujukan: Tafsir Pimpinan Ar-Rahman).
Kita mengharapkan dalam kehidupan kita agar diberi kesihatan, dan berharap ia (sihat) itu kekal selama-lamanya, namun Allah beri kita kesakitan hinggakan kadangkala menghilangkan keseluruhan nikmat dunia yang telah kita kecapi selama hidup kita sebelumnya itu. Kita bertanya dan terdetik, mengapa Allah timpakan kesakitan ini? Sedangkan kita tidak sedikit pun mengharapkannya..
Bersederhana di dalam mengharap
Hakikat sebuah pengharapan mengajar kita agar bersederhana di dalam mengharap atau berharap sekadarnya. Agar manusia tidak terlalu kecewa dalam mengharap, letaklah harapan itu dengan tawakkal kerana ia menjadi pengikat kepada hasil yang kita harapkan dan membawa manusia kembali kepada fitrah yakni Allah s.w.t tatkala hasilnya tidak seperti yang diimpikan.
Kesederhanaan itu juga membawa kita boleh menerima harapan-harapan lain yang tidak kita harapkan sangat sebelum ini. Apabila kita berhadapan dengan takdir yang tidak menyebelahi kita, ketahuilah sebenarnya Allah sedang membawa kita kepada takdir yang lebih baik di dalam hidup kita.
Kesederhanaan di dalam berharap juga membawa kita akhirnya kepada hakikat sebuah pengharapan itu. Iaitu mengharapkan apa yang terbaik dari pandangan Allah, bukannya dari manusia. Dan kita akan selalu berdoa: "Wahai Tuhan kami, berikanlah apa yang terbaik (dari sisi-Mu) di dunia dan juga di Akhirat, dan jauhilah kami dari api neraka.."
Walaupun begitu, kita selaku manusia biasa yang penuh kekurangan, pastinya sukar dan perit untuk menerima kenyataan sebegini, namun sifat redha dan menerima takdir sebagai satu ketentuan bakal meredakan keperitan dan boleh membawa kepada ketenangan di dalam hidup.
Saya membawakan kisah seorang ibu yang memiliki harapan sebelum menoktahkan bicara di dalam tulisan ini. Ada seorang ibu yang memiliki dua orang anak, kedua-duanya berjaya dididiknya, diberi makan dan minum serta persekolahan sebagaimana keluarga yang lain. Anaknya yang sulung berjaya sehingga masuk ke universiti dan bergelar ahli perniagaan yang berjaya. Sedangkan anaknya yang kedua tidak sepandai abangnya lalu hanya bekerja sendiri di kampungnya selain menjaga ibunya. Anaknya yang kedua tidak menjadi seperti mana yang diharapkan ibunya menjejaki abang sulungnya.
Suatu hari ibunya jatuh sakit dan lumpuh seluruh badan, tidak mampu bangun dan bergerak. Seluruh makan, pakaian hinggalah kepada membuang air diuruskan oleh anaknya yang kedua yang tinggal di sisinya. Anaknya yang sulung sesekali balik ke kampung kerana sibuk dengan menguruskan perniagaannya. Balik pun hanya seketika sahaja.
Sehinggalah beberapa tahun berlalu dan akhir nafas ibunya, anaknya yang kedua setia di sisi menjaga ibunya. Anak yang tidak diharapkan sangat oleh ibunya untuk berjaya seperti abangnya itu, telah menjadi harapannya pada saat-saat hidupnya yang begitu sukar.
Bersederhanalah dalam mengharap, itulah hakikat sebuah pengharapan. Kadangkala orang yang kita tidak harapkan dalam harapan kita, menjadi orang yang paling boleh diharapkan di saat orang yang menjadi harapan kita meninggalkan kita. Kadangkala juga apa yang kita harapkan tidak menjadi kenyataan, maka terimalah ia sebagai satu ketetapan Allah dengan penuh redha..
Pusat Sumber Transplan Nasional
Hospital Kuala Lumpur (HKL)
05/09/2011 @ 7 Syawal 1432
11.36 a.m (Isnin)
No comments:
Post a Comment