Friday, September 2, 2011

Iktiraf semua pejuang kemerdekaan


oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Memang benar orang berkata, politik tidak mengenal masa. "Siapa yang dan (sempat) dulu..", kata YB Pasir Puteh, Ustaz Muhammad Hussin apabila mentakrifkan maksud politik. Ada benar juga anologi beliau itu.

Isu kenyataan Muhammad Sabu berkenaan beliau mengiktiraf pasukan Komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai di antara pejuang kemerdekaan, mendapat liputan hangat di dada akhbar, walaupun ketika itu rakyat sibuk dengan persiapan Aidilfitri dan mungkin juga sambutan Merdeka.

Sejarah

Saya berpandangan, beliau (Muhammad Sabu) adalah pembaca dan penilai yang kritis terhadap sejarah. Beliau tidak hanya berpandukan sejarah yang disediakan oleh jawatankuasa penggubal sejarah kerajaan Malaysia yang terangkum di dalam buku teks sekolah dan modul-modul di universiti tempatan semata-mata.

Sebaliknya, jika kita seorang yang membaca buku sejarah, dan kritis dalam menilainya, sedikit sebanyak kita akan menyokong pandangan yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden PAS itu, walaupun tidak semua.

Saya bukanlah pakar dalam sejarah Malaysia, namun saya ada membaca buku-buku sejarah. Saya juga antara yang meminati karya sejarah yang ditulis secara autobiografi secara peristiwa mahupun tokoh-tokoh.

Buku teks sejarah dan modul Hubungan Etnik di universiti yang menceritakan sejarah Malaysia tidak cukup memberi pemahaman sejarah, bahkan 'kering' dalam membuat pengkisahan. Selain memiliki unsur doktrinisasi sebelah pihak dan melabel pihak yang lain.

Justeru itu, sumber sejarah alternatif perlu dicari untuk melengkapkan fakta sejarah tersebut. Di universiti, khususnya di Jabatan Sejarah atau Fakulti Sejarah memiliki ratusan kajian ilmiah dan kritikal berkenaan sejarah di Malaysia. Malah, kajian tersebut sekarang sudahpun di bukukan dan dipasarkan di kedai-kedai buku dan mudah dicari.

Misalnya buku berjudul Gerakan dan Tokoh Kiri: Kamarulzaman Teh dalam Kancah Perjuangan Kemerdekaan karya Mohamed Salleh Lamry. Kajian ini adalah tesis Ph.D beliau mengenai seorang tokoh kemerdekaan di negeri Pahang, yang berkhidmat di dalam Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM (Parti Komunis Malaya).

Kesimpulan kajian beliau, menyatakan bahawa Kamarulzaman Teh adalah pejuang kemerdekaan. Asasnya, beliau bersama dalam penentangan terhadap campurtangan British, meskipun beliau berada di dalam aliran kiri dan progresif serta berlainan ideologi yang dianutinya.

Begitu juga di dalam kajian oleh seorang tokoh sejarah Dr Ramlah Adam bertajuk: Dr Burhanuddin Al-Helmy: Suatu Kemelut Politik, membicarakan salah seorang lagi tokoh kemerdekaan yang 'digelapkan', namun tidak mampu disembunyikan di dalam kajian universiti.

Beliau adalah penentang pendudukan British yang radikal apabila memimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) selepas pendudukan Jepun berakhir 1945. PKMM turut sama bekerjasama dengan PKM membebaskan penjajahan British. Sungguhpun pada awalnya beliau dilihat sebagai nasionalis Melayu apabila menyertai gerakan Melayu Raya bersama Indonesia.

Satu sumber yang lebih menarik, di dalam wawancara bertajuk: Islam, Melayu dan Komunis, yang diterbitkan oleh SIRD, memaparkan bagaimana tiga tokoh Parti Komunis Malaya (PKM) Melayu: Abdullah C.D, Rashid Maidin dan Abu Samah di dalam penglibatan mereka melalui gerakan tersebut.

Antara ungkapan menarik Abdullah C.D berkenaan hasrat kemerdekaan: "Apa yang saya nampak dalam perjuangan orang Melayu selepas Perang Dunia Kedua (1945-48), orang Melayu yang progresif (kiri) yang mahukan kemerdekaan pada umumnya tidak anti-komunis (seperti PKMM, KMM, API dsb). Sedangkan mereka (gerakan) yang lebih rapat dengan penjajah, yang diwakili UMNO, (mereka) yang kuat anti-komunis." (m/s 15).

Bagi Rashid Maidin pula, antara tokoh kemerdekaan PKM yang terlibat di dalam Rundingan Baling Disember 1955 diantara PKM-British bagi menamatkan perang gerila, berkata: "PKM mahu menamatkan perang (dengan British) untuk menuntut kemerdekaan. Soal menyerah diri (kepada British) tidak timbul kerana kami bukan pengganas, tapi pejuang kemerdekaan. Yang kami lawan bukan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, tapi pemerintah penjajah British. PKM juga meyokong rombongan Tunku ke London berunding dengan British untuk kemerdekaan.." (m/s 55).

Mengiktiraf tokoh kemerdekaan

Apa yang boleh disimpulkan dengan sedikit sumber sejarah itu ialah, bagaimana kita mengiktiraf seseorang tokoh kemerdekaan, iaitu dengan asas dan dasar perjuangan gerakan yang diikutinya. Persoalan sama ada berhaluan kanan (konservatif) atau kiri (progresif/radikal), itu merupakan medium dan wadah yang dipilih. Kedua-dua wadah ini mempunyai peranannya tersendiri dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Jika tokoh-tokoh UMNO seperti Tunku Abdul Rahman yang mengadakan rundingan dengan British di London disanjung dan diangkat sebagai pejuang kemerdekaan yang berusaha membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British, mengapa tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Kamarulzaman Teh, Rashid Maidin, Abdullah C.D, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan lain-lain dikira pengkhianat dan pengganas?

Mengapa tidak diiktiraf sama peranan mereka setanding dengan Tunku Abdul Rahman dan lain-lainnya? Sedangkan pengorbanan mereka sebagai salah satu penyumbang kepada kemerdekaan tidaklah kecil. Mereka ini banyak yang dipenjarakan oleh British kesan perjuangan mereka.

Oleh kerana sejarah tidak boleh dibohong dan disembunyikan, maka pemimpin politik harus jujur dalam mengemukakannya, walaupun kita mengetahui pemimpin politik mustahil akan berbuat demikian. Tapi perlu diingat bahawa zaman ini, fakta sejarah tidak mampu untuk disembunyikan lagi. Orang sudah cerdik dan pandai dalam menilai.

Salam Kemerdekaan.

Sri Gombak,
2/9/2011 (11.43 a.m).

No comments: