Monday, April 4, 2011

Islam semakin hina dengan Video Seks

oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

Tulen atau tidak video itu, siapa jurukameranya, atau rakyat perlu sedar pemimpin politik perlu dibersihkan, itu bukan persoalannya.

Namun yang pasti, kedudukan Islam di Malaysia semakin hari semakin teruk, dan maruahnya ibarat dibawah kaki.

Tayangan video seks

Tidak pernah dijangka dalam sejarah umat Islam di negara ini satu tayangan video porno dan lucah diadakan secara terbuka dan tiada malu. Lebih buruk, penganjurnya seolah merasakan perbuatannya itu adalah perjuangan yang benar.

Apakah video lucah itu sudah menjadi perkara biasa kepada umat Islam di negara ini?

Apakah negara kita semakin menuju kepada kehancuran tamadun serta masyarakat kembali balik ke zaman jahiliyyah yang mana tabiat dan budaya buruk dianggap mulia?

Secara tidak sedar, Islam di Malaysia sedang berhadapan dengan beberapa ancaman dan kecelaruan daripada peristiwa video seks ini.

Pertamanya, kerosakan sistem masyarakat dan kepercayaan. Yakni, masyarakat melihat perbuatan menayangkan video lucah sudah dianggap biasa. Lebih membimbangkan, akan datang membawa kepada kerancakan perbuatan ini apabila polis membiarkan penayang video ini bebas.

Begitu jua media yang menjadikan isu kotor ini sebagai bahan berbentuk positif. Iaitu melunaskan tanggungjawab politik menjatuhkan pemimpin pembangkang dan memburuk-burukkannya.

Dalam masa yang sama, kenyataan mufti-mufti, ahli agama yang berpengaruh tidak disiarkan malah 'disorokkan', seterusnya membawa kesan menampakkan golongan agamawan menyetujui tindakan ini. Begitu juga golongan intelek.

Undang-undang Islam

Keduanya dari aspek undang-undang. Kita melihat undang-undang Islam langsung tidak diguna-pakai sedangkan ia melibatkan kesalahan jenayah Islam iaitu zina (persetubuhan haram) dan qazaf (menuduh orang lain berzina).

Di dalam Islam, tiada isitilah bahawa media adalah hakim yang memutuskan siapa yang bersalah. Namun hari ini, media massa (aliran massa mahupun alternatif) seoalah-olah menjadi hakim yang menentukan siapa yang bersalah.

Di manakah fungsi dan kredibiliti mahkamah syariah? Di mana hakimnya (mahkamah) yang beragama Islam sewajibnya menjadi penentu kepada kesalahan jenayah Islam.

Jentera pelaksana undang-undang syariat Islam Malaysia seperti JAIS, JAWI dan sebagainya, mengapa tidak diheret sahaja perkara ini ke mahkamah syariah, agar proses perjalanan kehakiman menurut Islam?

Kesan

Kesan daripada ini, boleh kita andaikan bahawa istilah agama Islam dilindungi oleh perlembagaan dan undang-undang negara kita tidak boleh dipakai. Erti Islam sebagai agama rasmi bukan dari aspek undang-undang, namun hanya tempelan.

Kalaupun digunakan, tapi boleh dikritik dan ditekan seterusnya digugurkan. Lihatlah bagaimana isu seorang model di Pahang yang disabitkan sebat kerana meminum arak oleh Mahkamah syariah Pahang dahulu, akhirnya setelah ditekan oleh golongan berpengaruh, hukuman digugurkan.

Banyak dosa orang politik kita...

Sunday, March 13, 2011

Kisah Al-Nadr bin Al-Harith, Seniman dan Bob Lokman

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Setelah Baginda Nabi s.a.w mendapat perintah agar dakwah yang dijalankan selama di Mekah secara rahsia agar disebarkan, maka Baginda telah menyeru seluruh penduduk Mekah ke Bukit Safa.

Dalam riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w menyebut nama satu persatu pemimpin Mekah serta kaum-kaum yang terdapat di Mekah tatkala memulakan pidatonya. Bermula daripada itu, maka penentangan secara terbuka berlaku.

Paling menarik, menurut Sirah Ar-Rahiq Al-Makhtum, penentangan terhadap Baginda turut berlaku daripada kalangan mereka yang digelar seniman.

Seniman-seniman musyrik Quraisy adalah tergolong mereka yang mahir mencipta syair-syair melalui bahasa yang puitis dan indah. Mereka juga boleh dianggap idola kepada penduduk Mekah dan apabila didendangkan syair itu, maka terpegun dan terpengaruh sekelian kaum.

Antara seniman itu adalah 'Antarah bin Syadad, Al-Nadr bin Al-Harith, manakala isteri Abu Lahab, Ummu Jamil Arwa binti Harb juga adalah seniman yang pandai bersyair.

Mereka menggunakan kepakaran mereka menggubah syair untuk menyaingi Al-Quran yang dibawa Baginda s.a.w.

Menurut Ibnu 'Abbas, pantang sahaja mereka ini mendengar di mana Rasulullah s.a.w berdakwah, maka mereka ini akan berusaha 'membersihkan' semula fikrah orang yang telah didakwah Baginda.

Al-Nadr bin Al-Harith telah membeli beberapa penyanyi wanita untuk dihantar kepada lelaki yang telah cenderung mengikut dakwah Rasulullah s.a.w. Lelaki itu dijamu makan dan didendangkan lagu-lagu hingga hilang segala apa yang telah didakwah Baginda s.a.w.

Perkara ini sehingga Allah menurunkan ayat Al-Quran kepadanya yang berbunyi: "Dan ada diantara manusia, orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada perkara-perkara hiburan yang melalaikan, yang berakibat menyesatkan dari agama Allah" (Surah Luqman, ayat 6).

Rupanya sudah ada di zaman Nabi Muhammad s.a.w budaya hedonisme yang bertujuan melarikan manusia daripada ajaran Islam.

Begitupun, dikalangan seniman ada yang mengikuti perjuangan Baginda s.a.w, yakni memeluk agama Islam setelah didakwah oleh Nabi s.a.w.

Misalnya, Suwayd bin Samit, beliau adalah penyair yang sangat handal berasal daripada Yathrib. Sehinggakan beliau digelar 'Al-Kamil' kerana kehebatan syairnya.

Ketika mana Tahun kesepuluh Kenabian, hampir kepada musim Haji, Baginda s.a.w seperti biasa meneruskan agenda berdakwah kepada kabilah, pedagang, serta individu yang datang menunaikan haji dan berniaga di Mekah.

Rasulullah s.a.w bertemu dengan Suwayd bin Samit itu, lalu mengajaknya kepada Islam. Suwayd berkata: "Boleh jadi apa yang ada padamu itu sama seperti yang ada padaku."

Rasulullah s.a.w bertanya: "Apa yang ada padamu?" Suwayd menjawab: "Hikmah Luqman." (yakni Syair).

Lalu Rasulullah s.a.w berkata: "Bentangkanlah ia padaku." Lalu Suwayd membentangkan syairnya kepada Rasulullah s.a.w. Baginda berkata: "Kata-kata ini sungguh indah, tetapi yang ada padaku lebih baik lagi, iaitu Al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.a.w sebagai petunjuk dan cahaya."

Kemudian Baginda s.a.w membacakan Al-Quran kepadanya dan mengajaknya memeluk Islam. Lantas, dia terus memeluk Islam dan berkata: "Sesungguhnya ini benar-benar kata-kata yang indah.."

Ternyata, kepakara seniman tidak dapat menandingi kehebatan bahasa Al-Quran yang begitu indah dan hebat.

Tidak dapat dibayangkan bahawa seandainya seniman yang ada hari ini menghayati bait-bait kata-kata dan ayat Al-Quran, maka ramai yang boleh mengikuti jejak langkah Suwayd bin Samit. Hatta mengikuti Bob Lokman sendiri!

Thursday, February 3, 2011

'Bukan pengkagum Anwar'


oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya bukan pengkagum Anwar Ibrahim. Namun ada beberapa faktor yang mendorong saya kadang-kala memujinya. Terutama dari aspek pidato serta retoriknya.

Tetapi, saya menghormati karismanya. Terutamanya apabila membaca gerakan mahasiswa yang dipimpinnya sewaktu dia bergelar pelajar. Beliau berjaya memimpin mahasiswa sewaktu di dalam PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya).

Beliau juga boleh dianggap berjaya tatkala memimpin rakyat melaksana Gelombang Reformasi pada tahun 1998. Ketika itu saya berada di darjah enam, namun mengikuti sekali-sekala demonstrasi di Masjid Negara dan Kampung Baru bersama ayah saya.

Sehingga kini saya masih menyimpan VCD gerakan tahun 1998 itu. Malah, selepas dipenjarakan, saya banyak memiliki buku-buku serta poster bertemakan bebaskan Anwar Ibrahim. Saya mengikuti sedikit sebanyak perbicaraannya, walau tidak berapa arif berkenaan undang-undang dan mahkamah.

Bersama Dato Seri Anwar Ibrahim dalam satu program di rumahnya. Penulis terkejut tatkala ingin pulang, Dato Seri Anwar mengajak ke restoran mamak untuk minum, katanya: "Awat orang muda balik awai sangat? Jom pi minum dulu bincang-bincang.."

Apabila dibebaskan selepas enam tahun di penjara, beliau mengaktifkan parti keadilan. Pilihan raya tahun 2008, adalah pilihan raya pertama selepas beliau dibebaskan. Sekali lagi beliau berjaya memimpin gelombang perubahan yang akhirnya sebanyak 5 negeri diperolehi Pakatan Rakyat (PR).

'One Man Show'

Seperkara yang agak menjadi kebimbangan bagi saya khususnya kepada Pakatan Rakyat adalah istilah 'one man show'. Anwar Ibrahim adalah one man show di dalam PKR. Memang benar, sejak kehadirannya, terbukti beliau berhasil mencipta dirinya sebagai ikon perpaduan bagi rakyat Malaysia.

Bahayanya adalah, apabila pemimpin sebegini dirosakkan imejnya, maka agenda dan perjuangannya turut akan tercemar. Oleh sebab itu, BN beria-ia dan begitu konsisten menjatuhkan maruah beliau dalam isu liwat. Ditambah lagi dengan mencalarkan kredibiliti beliau gagal memimpin PKR.

PM in waiting

Jika melihat gelombang rakyat hari ini, saya yakin PR boleh menuju ke Putrajaya. Namun dengan beberapa tindakan yang lebih agresif terutama dalam aspek imej.

Anwar Ibrahim, disebut-sebut sebagai 'PM in waiting' memang sudah diterima umum. Sebab itu BN banyak menyerangnya. Saya kira beberapa perkara perlu beliau tukar untuk meletakkan beliau ikon rakyat dan pemimpin nombor satu negara.

Saya melihat dari kaca mata rakyat. Misalnya di dalam pilihan raya kecil DUN Tenang baru-baru ini, hasil analisis kegagalan PR, salah satunya adalah pemimpin utama PR tidak turun padang, seperti Anwar Ibrahim, TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi.

Maksud turun padang adalah bukan sekadar berceramah, membangkitkan isu-isu politik dan negara, tetapi turun berdamping dengan rakyat dalam program dan aktiviti.

Inklusif, jangan ekslusif

Anwar Ibrahim memang diyakini perjuangannya. Beliau banyak membangkitkan isu rakyat, misalnya kemiskinan, harga barang yang naik, harga minyak naik dan sebagainya. Namun tindakannya masih lagi ekslusif.

Sebagai contoh, Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak, walaupun beliau dilihat menaikkan harga barang, dikaitkan imej rasuah dan kegagalan urus tadbir negara, tetapi apabila berlaku masalah banjir di Johor, beliau sendiri turun melihat rakyatnya.

Beliau sendiri juga menghulurkan bantuan. Walaupun itu tugas asasi pemimpin kerajaan, namun tindakannya itu berjaya menarik hari rakyat. Beliau 'dekat' dari sudut tindakannya kepada rakyat, walaupun beliau jugalah yang menaikkan harga minyak.

Sebab itu rakyat masih boleh menerima beliau dan BN. Agak sukar juga jika mahu samakan atau pun membuat revolusi seperti mana di Mesir, walaupun isunya sama sahaja.

Apa boleh dibuat, kerana rakyat persepsinya begitu.

Oleh hal yang demikian, saya kira pemimpin PR perlu berubah ke arah itu. Saya tidak nampak di mana pemimpin penting PR turun di Johor menolong mangsa banjir itu. Biarlah negeri UMNO 'totok' pun, tetapi dekatilah rakyat.

Saya masih teringat tatkala hari-hari pertama Dato Seri Najib Tun Razak menjadi PM. Tempat yang dilawatinya adalah di Chow Kit dan Bangsar. Seterusnya beliau ke restoran dan warung-warung mendekati penjaja di sana. Ketika itu beliau bersifat inklusif benar.

PR perlu bercakap soal keperitan rakyat, malah dalam masa yang sama mesti turut serta memahami dan melalui keperitan itu.

Saya kurang bersetuju hari ini PKR buat roadshow memperbaiki imej partinya. Biarkan sahaja orang-orang yang tidak berpuas hati itu, lambat laun senyaplah. Lebih baik masa dihabiskan dengan turun di tempat-tempat rakyat miskin, dan memberikan bantuan.

Terutama Anwar Ibrahim, beliau perlu memulakan dahulu. Bersihkan imejnya dan parti dengan tindakan seumpama itu. Politik nilai lebih penting dan berkesan daripada politik retorik. Jika ini boleh berlaku, PM in waiting akan menjadi realiti kelak buat beliau.

Sekali lagi, saya bukan pengkagum Anwar Ibrahim, tetapi hanya menghormati karismanya.

Tuesday, February 1, 2011

Buku Transformasi Fikah Semasa - Baik untuk mereka yang ingin buat perubahan!

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya baru menamatkan pembacaan buku bertajuk 'Transformasi Fikah Semasa: Evolusi Hukum Islam', tulisan Profesor Dato' Dr Mahmood Zuhdi. Beliau adalah Timbalan Dekan di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC UIAM).

Saya mengenali beliau sejak di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Ketika itu beliau pensyarah kanan di Jabatan Fiqh Usul. Walaupun usianya agak lanjut, namun pemikirannya begitu kehadapan. Beliau adalah pengasas Fiqh Malaysia, iaitu satu idea kefahaman hukum fiqh dalam konteks negara Malaysia. Tetapi agak malang juga kerana ideanya agak kurang diterima dalam masyarakat kita.

Buku ini sangat baik dibaca bagi pengamal fiqh serta mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan agama. Lagi penting, saya mengesyorkan ia dibaca dan dijadikan bahan perbincangan kepada penggerak harakah islamiyah sama ada di kampus mahu pun di Malaysia.

Perubahan

Temanya hanya satu - perubahan! Ia perlu dilakukan kepada hukum fiqh pada hari ini, malah boleh dikira sebagai satu kewajipan. Keperluannya adalah kerana hukum fiqh kebiasaannya menjadi penilaian kepada persepsi dan pandang sisi terhadap agama Islam.

Orang di luar Islam atau yang tidak memahami Islam, akan melihat mengapa Islam melarang itu dan ini, menyekat itu dan ini, tidak sesuai dan 'kena' dengan budaya Melayu pada hari ini dan bermacam lagi persoalan.

Malangnya, ia gagal dijawab oleh ulama pada hari ini. Bahkan, ahli-ahli gerakan juga terlepas pandang perkara ini.

Prof Dr Mahmood Zuhdi awal-awal sudah menegaskan: "Sekiranya Islam hanyalah agama ritual semata-mata, segala perubahan ini sudah tentu tidak mencetuskan cabaran besar terhadap corak amalannya. ini kerana ritual agama biasanya tidak tertakluk kepada perubahan. Tetapi Islam bukanlah agama ritual, sebaliknya satu dasar hidup. Oleh kerana kehidupan sentiasa berkembang, maka cabaran yang terpaksa dihadapi adalah pengembangan tafsiran terhadap amalan dan hukum agar disesuaikan dengan keperluan semasa."

Beliau juga membawa pandangan yang menyokongnya daripada Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi. Beliau berkata: "Setiap zaman ada persoalannya tersendiri. Ada kejadian sendiri dan ada keperluan sendiri. Bumi ini berputar, cakerawala beredar, alam bergerak dan jarum jam tidak pernah berhenti.."

Hujah mereka ini memperlihatkan bahawa hukum Islam mesti bergerak selari bersama-sama dengan perubahan alam, kehidupan dan budaya sesebuah masyarakat. Bahkan di dalam konteks gerakan Islam, ia lebih-lebih lagi. Ini kerana gerakan Islam berhadapan dengan perubahan politik yang sangat pantas dan memerlukan jawapan yang segera bagi menyelamatkan agama.

Beliau membawa satu contoh yang sangat baik. Katanya: "Sebagai contoh, dahulu kebanyakan para fuqaha berpendapat wanita bersembahyang di rumah dan tidak patut ke masjid. Bagaimanapun, pendapat ini hanya sesuai pada zaman wanita terkurung di rumah. Sebaliknya, suasana seperti sekarang di mana wanita telah keluar ke mana-mana; pusat peranginan, universiti, pasar dan melakukan pelbagai kerjaya, maka tidak sepatutnya mereka dihalang daripada pergi ke masjid untuk bersembahyang.."

Begitu juga apa yang berlaku sekarang, bagaimana ulama dahulu tidak pernah berfikir akan kemajuan seumpama hari ini. Misalnya penggunaan insurans, pinjaman, membayar zakat melalui mesin ATM mahupun potongan gaji, serta dalam bab permusafiran yang dahulunya memakan masa berhari-hari namun pada hari ini kita boleh ke Arab Saudi dengan hanya beberapa jam.

Atau di dalam persoalan penggunaan kalimah Allah, hukum bagaimana orang bukan Islam masuk ke dalam masjid, bolehkah orang bukan Islam membaca ayat suci al-Quran, hukum wanita terlibat di dalam pilihan raya dan isu-isu politik yang menyentuh hukum-hakam Islam yang perlu disegerakan jawapannya agar umat Islam tidak terkeliru.

Jika tidak berlaku perubahan kepada hukum fiqh dan Islam pada waktu ini, maka bagaimanakah kita boleh menjawab akan persoalan-persoalan seumpama di atas?

Keperluan ijtihad

Buku ini juga menegaskan bahawa tidak dapat tidak, untuk menghadapi kesemua itu mesti melalui ijtihad. Ijtihad sebagaimana yang digambarkan Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi tidaklah terlalu spesifik syaratnya hinggakan menyukarkan para ulama dan ahli gerakan hari ini melakukannya.

Bahkan, Rasyid Redha di dalam tulisannya Tafsir al-Manaar, beliau berpendapat: "Untuk menghasilkan ijtihad yang mereka sebutkan itu bukanlah susah. Ia tidak memerlukan kerja yang lebih berat daripada apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang berusaha mendapat Ijazah tinggi dalam bidang ilmu semasa seperti undang-undang, perubatan dan falsafah."

Dalam suasana kemodenan dan maklumat yang tidak terbatas pada hari ini, segala fakta, ilmu, maklumat yang diperlukan sangat mudah diperolehi tanpa perlu terjun ke dalam bidang itu.

Al-Hajawi menyatakan: "Sumber ijtihad bagi zaman kita ini lebih mudah diperolehi daripada zaman lampau. Dengan adanya percetakan, ilmu dapat diwariskan dengan mudah dari generasi ke generasi. Sedangkan orang-orang terdahulu begitu sukar untuk menerbitkan hasil penulisan mereka. mereka memerlukan masa yang lama dan perbelanjaan yang besar."

Prof Dr Mahmood Zuhdi memberikan syarat asas dalam berijtihad iaitu unsur tetap yang universal yang disebut sebagai idealisme Islam yakni memahami Al-Quran dan Sunnah. Ia sebagai paksi utama dalam mencapai rujukan.

Yang keduanya adalah memahami dengan baik realiti masyarakat yang memainkan peranan sebagai pemboleh-ubah (yang menjadi faktor berubahnya hukum itu), misalnya seperti adat dan budaya.

Manakala yang ketiga adalah meneliti kefahaman ulama terdahulu dalam menafsirkan hukum berkenaan. Ia sebagai rujukan sumber sejarah (mengapa ulama itu berpendapat sedemikian, apa sebabnya dan sejarah di kala itu). Ia penting sebagai proses penilaian dan penafsiran semula.

Cabaran

Dengan tidak menolak pandangan dan ijtihad ulama terdahulu, begitu juga tidak membelakangkan kitab klasik ulama dahulu, sikap bertaqlid (mengikut membuta-tuli) harus ditinggalkan. Ia bukan bermaksud membuang, bahkan menjadikan ia kontemporari (sesuai di zaman ini). Bahkan ijtihad yang dibuat ulama pada hari ini, akan ditafsirkan semula oleh ulama akan datang apabila diperlukan untuk kesesuaian zaman itu.

Prof Dr Mahmood Zuhdi berpandangan, cabaran yang paling besar dalam melakukan perubahan adalah reformasi mental. Mengalihkan mentaliti yang lama kepada yang baru.

Beliau menyatakan: "Dalam sejarah hukum Islam, banyak reformer atau muslih yang menjadi korban kepada langkah atau gerakan reformasi yang mereka anjurkan. Sebab yang paling utama adalah tabiat manusia yang liat berubah. Di samping itu, perubahan juga biasanya mengancam kedudukan pihak-pihak tertentu, dan kerana itu ia ditentang sama ada dipercayai tidak benar atau sebaliknya."

Cabaran paling besar pada hari ini adalah bagaimana kita mahu mengubah pemikiran manusia, yang dengan perubahan itu, dunia akan berubah. Begitu juga di dalam gerakan Islam. Kadang-kala usaha untuk melaksanakan perubahan dan reformasi di dalam gerakan agar menepati kehendak semasa akan dilabel sebagai kelompok liberal, tidak wala' dan sebagainya.

Justeru itu, beliau membuat satu kesimpulan bahawa: "Cara yang paling baik ialah bukan menyogok masyarakat dengan fatwa-fatwa baru yang kontroversi, tetapi mendidik masyarakat secara sederhana ke arah perubahan paradigma tentang konsep hukum dan fikah itu sendiri. Mudahnya, islah perlu bermula dengan menyedarkan masyarakat tentang falsafah perhukuman yang betul dan bukan mengejutkan mereka dengan kesimpulan-kesimpulan hukum yang kontroversi."

Saya kira, buku ini banyak menjawab persoalan perubahan yang ingin dilakukan pada hari ini. Bagaimana cara, kaedah, pendekatan, syarat dan cabarannya dijelaskan oleh tokoh fiqh ini. Bagi saya, beliau boleh dikira mujtahid zaman ini, iaitu seorang ulama yang cuba melakukan perubahan kepada hukum Islam, agar Islam boleh dipandang sebagai agama yang kontemporari dan tidak ketinggalan zaman.

Selamat membeli dan membaca!

Thursday, January 27, 2011

Di tangan Cikgu Mala ada Islam

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Pada 30 Januari 2011, DUN Tenang akan menyaksikan perubahan rakyat Johor. Negeri itu bukan lagi menjadi kubu kuat UMNO-BN seperti mana sebelum tahun 2008, pasca-perubahan rakyat Malaysia.

Cikgu Mala yang mendapat jolokan 'tangan ajaib' begitu tuah. Dek kerana peribadinya yang bersih, MCA tidak dapat menyerangnya. Orang kata: 'Tak dapat paha, betis pun jadi'. Tak dapat serang peribadi, tangan pun jadilah!

Di tangan cikgu Mala ada Islam

Saya bersetuju dengan pandangan daripada Shannon Teoh, kolumnis themalaysianinsider.com, beliau mengulas berkenaan tangan cikgu Mala:

"I'm not expert on Islam but I'm sure that the latter is taking it a bit too far, or not even part of Islam. Maybe we should refer to PKR president Datuk Seri Wan Azizah whose gloved hand I've shaken on several occasions."

Bahkan sebenarnya, Cikgu Mala boleh dijadikan model pemimpin parti politik Islam yang berpegang dengan prinsip Islamnya (tidak bersalam). Dan bagi sebuah negara yang mengamalkan toleransi agama dan demokrasi, seharusnya setiap orang tidak boleh dilarang mengamalkan agamanya (prinsip).

Situasi itu menimbulkan kekaguman beliau yang akhirnya melihat pengamal Islam seumpama Cikgu Mala adalah manusia yang berpegang dengan agamanya. Katanya:

"That's how you preach and teach about you religion, by giving fiery serm
ons and being a pious person in daily life. I salute Cikgu Mala and Nizar for their commitment to Islam!"

Sudahnya, yang mendapat hidayah orang lain. UMNO-MCA masih begitu.


MCA-BN yang tidak faham Islam

Agak kelakar apabila PERKASA yang keras pandangan Melayunya itu boleh menyokong Tuan Guru Nik Abdul Aziz apabila Presiden MCA menyentuh soal agama Islam.

Dr Chua Soi Lek, lepasan Perubatan Universiti Malaya yang sudah terpalit isu video lucahnya itu sepertinya ingin mengajar Islam kepada orang Islam.

Bermula daripada mengkritik keputusan PAS mencalonkan wanita, sehinggalah tindakan Cikgu Mala tidak bersalam dengan bukan mahramnya. Kelihatannya 'cetek' sangat pemahaman Dr Chua terhadap Islam. Dan rasanya memang begitu pun apabila bersahabat dengan UMNO.

Sedangkan, Dr Yusof Al-Qaradhawi, ulama terkenal dan terkemuka sudah lama memberikan pandangan berkenaan status wanita dalam sosial dan masyarakat. Katanya:

Jika tidak tahu apa manifesto yang diperjuangkan Cikgu Mala, cukuplah mengundi beliau kerana 'wajahnya'..-penulis.

"Ibu (wanita) adalah sebuah madrasah (sekolah). Jika anda mempersiapkannya dengan baik, maka anda telah mempersiapkan satu bangsa (negara) yang baik.." (Fatwa Mu'asarah)

Bagi masyarakat Islam yang faham. Soal wanita dipinggirkan peranannya adalah persoalan terkebelakang. Sedangkan zaman Nabi s.a.w sudah berlaku wanita terlibat di dalam membuat keputusan.

Maka, seandainya pun Dr Chua ini seorang 'Islam', maka Islamnya kita boleh anggap mundur. Dan dia tidak berpegang dengan Islam yang realistik.

Di sini PAS saya kira lebih kehadapan. Sedangkan Dr Chua masih berfikiran 'kolot' dalam menafsirkan penglibatan wanita di dalam sosial.

Sebab itu, sampai sekarang, MCA masih tidak faham-faham berkenaan Hudud (Syariat Islam). Bahkan menjadi penentang nombor satu kepada hukum Islam itu.

Peliknya tiada pula mana-mana pihak mengecam beliau sepertimana mengecam DAP dalam isu-isu yang melibatkan agama dan Melayu.

Dari satu sudut, jika umat Islam sedar, tindakan Dr Chua itu boleh dianggap satu 'penentangan terbuka' terhadap hukum-hukum dan ajaran Islam. Memang kita disuruh berdakwah dengan cara baik selagi termampu, namun itu kepada golongan yang dilabel sebagai 'sesat' (ad-dholin).

Namun bagi golongan 'dimurkai' (al-maghdub) atau penentang Agama ini, tindakan lebih keras perlu diberikan agar pengajaran dapat diambil serta tidak mengulanginya di masa hadapan.

Pengajaran kepadanya perlu dibuat seperti mana pihak-pihak cuba menggugat Islam dalam isu murtad dan sebagainya.


Saturday, January 22, 2011

SPR serupa macam HEP di kampus

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Ketika kepanasan bahang pilihan raya kecil DUN Tenang, rakan-rakan mahasiswa kita di kampus kini sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihan raya kampus (PRK) yang bakal menjelang akhir bulan Januari atau awal Februari ini.

Dalam pilihan raya umum, Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebagai badan yang menguruskan pilihan raya. Mereka bolehlah dianggap sebagai badan bebas yang melancarkan serta mentadbir urusan pilihan raya.

Jika dalam pilihan raya kampus, maka yang menguruskan pilihan raya itu adalah Jawatankuasa Pemilihan MPP yang biasanya yang menjadi ketua adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP). Peranannya sama, iaitu menguruskan pilihan raya kampus agar berjalan lancar.

Peranan

Kedua-dua badan atau jawatankuasa ini jika diperhatikan, sama tugasnya. Malah kadang-kadang turut sama 'perangainya'. Kedua-dua badan ini juga dipertikaikan kewibawaannya. Jika di luar, rakyat mempertikaikan, manakala di kampus adalah mahasiswa.

SPR dilihat seringkali menjadi alat kepada parti pemerintah (UMNO-BN), sedangkan sepatutnya badan bebas yang menguruskan pilihan raya sewajarnya tidak memihak mana-mana parti.

Misalnya, dalam ketetapan terbaru yang dinyatakan SPR ketika taklimat kepada parti bertanding di DUN Tenang bertarikh 21 Januari 2011, bahawa hanya parti yang bertanding sahaja yang dibenarkan meletakkan gambar dan lambang mereka.

Selain itu, tindakan SPR memindahkan pengundi berdaftar yang majoritinya berbangsa Cina ke pusat pengundian yang baru pada 17 Januari 2011 turut memperlihatkan tindakan menyelamatkan BN yang kehilangan sokongan pengundi Cina.

Ia serupalah apa yang berlaku di kampus. Dan peranan itu diambil oleh Jawatankuasa Pemilihan MPP untuk menyelamatkan calon-calon Aspirasi yang tidak disokong mahasiswa.

Misalnya di dalam pilihan raya kampus tahun lalu (2010) di Universiti Malaya, mereka memperkenalkan sistem pengundian yang baru iaitu e-voting. Dengan alasan ia lebih memudahkan pengiraan sedangkan tidak melalui perbincangan dengan mahasiswa.

Selain daripada itu, calon-calon Pro-Mahasiswa disekat daripada berkempen di kolej-kolej kediaman, dengan alasan bahawa kawasan berkempen di kolej hendaklah mendapat kebenaran pihak kolej yang mana keseluruhan pentadbir kolej adalah 'orang-orang' mereka.

Semua peraturan itu dicipta bagi memudahkan kemenangan mereka. Serupa saja apa yang dilakukan SPR kepada Pakatan Rakyat, dan HEP kepada mahasiswa di kampus.

PRK sendiri

Oleh kerana itu sejak dahulu lagi, mahasiswa menuntut agar pilihan raya kampus di universiti dikendalikan sendiri oleh mahasiswa. Bukan tidak percaya kepada pentadbiran mahupun HEP, bahkan rekod-rekod buruk mereka telah menghakis keyakinan mahasiswa kepada mereka.

Begitu juga yang berlaku kepada rakyat. Mana mungkin organisasi seumpama MAFREL dan badan antarabangsa perlu turun memantau pilihan raya jikalau pilihan raya itu telus dan adil.

Saya teruja dengan pendirian Pro-mahasiswa UPM yang mendesak pentadbiran agar pengurusan pilihan raya kampus dikembalikan kepada mahasiswa. Biarlah mahasiswa yang menentukan masa hadapan politik kampus mereka.

Peringatan

Parti pemerintah pada hari ini harusnya perlu bersyukur dengan sikap dan pendirian parti dan rakyat di Malaysia. Kita masih lagi 'sopan' dan 'lembut' dalam menangani soal-soal demokrasi dan penipuan parti pemerintah.

Justeru, pengiktibaran perlu diambil daripada apa yang berlaku kepada pemerintah Ben Ali di Tunisia. Rakyat bangkit melalui revolusi, bukan lagi demokrasi. Namun apa yang lebih membanggakan, ia dicetuskan oleh seorang mahasiswa atau anak muda yang membakar dirinya kerana kenaikan memeritkan harga barang.

Mungkin pilihan raya kampus akan datang ini medan menukarkan demokrasi kepada revolusi, andai jalan demokrasi disekat lagi? Ayuh bangkit anak muda dan mahasiswa!