Friday, July 29, 2011

Kalaulah saya mahasiswa


oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya berkesempatan menyaksikan wacana 'Apa Selepas 9 Julai?' anjuran akhbar Sinar Harian baru-baru ini. Ia membariskan Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad dan Profesor UKM, Dr Shamsul Amri.

Saya kira, saya tidak mahu mengulas isi daripada wacana itu kerana di dada akhbar sudah banyak dipaparkan dan dianalisakan. Tetapi disebalik itu ada beberapa perkara perlu difikirkan oleh anak-anak muda dan mahasiswa di dalam melibatkan diri dengan isu-isu negara pada hari ini.

Medan perdebatan

Secara peribadi, wacana seperti inilah yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia, khususnya anak-anak muda yang sudah bijak berfikir dan mempunyai banyak maklumat. Hari ini, apa yang dipaparkan oleh media massa seperti di televisyen tidak lagi diterima terus, sebelum ia disemak-imbang melalui media alternatif internet.

Mengikut kajian pakar ICT, hampir 70 peratus daripada keseluruhan pengguna internet menggunakan facebook, dan jumlah keseluruhan pengguna internet adalah sebanyak 12 juta mengikut kajian terkini.

Medan perdebatan secara terbuka dan ilmiah sangat baik. Islam sendiri mengajar umatnya agar berdakwah melalui medan debat dan ilmiah. Hari ini, mengapa Islam tidak berjaya lagi diterima oleh masyarakat bukan kerana silapnya agama Islam itu, namun silap siapa yang menyampainya, walaupun kita mengetahui bahawa Islam adalah agama yang tertinggi.

Medan perantara

Namun, saya sedikit terkilan kerana medan perantara politik di tanah air kita pada hari ini tidak diambil peranannya oleh mahasiswa. Adalah sangat baik, gerakan mahasiswa sewajarnya menjadi perantara pertemuan di antara tokoh-tokoh politik tanah air untuk memperdebatkan isu-isu negara. Jika dahulu di Universiti Malaya kita punyai program Debat Ekonomi.

Debat Ekonomi menemukan pemimpin-pemimpin politik dan negara, membincangkan isu-isu, dasar-dasar serta polisi negara dan mahasiswa diberi peluang melibatkan diri bersama mereka. Seingat saya Dato Seri Anwar Ibrahim, Dato Seri Abdul Hadi, Lim Kit Siang, dan banyak pemimpin negara pada waktu itu dijemput ke dalam kampus.

Tiada istilah mahasiswa melibatkan diri dalam politik kerana mereka melihat isu dengan lebih besar bahawa itu merupakan medan intelektual dan kebebasan akademik. Iaitu kebebasan mahasiswa menerima ilmu dan belajar daripada mana-mana tokoh yang mereka sukai dan yakini.

Agak pelik hari ini pemimpin politik semakin lama menjadi tidak matang, lebih-lebih lagi pentadbir universiti. Apa sahaja kegiatan mahasiswa ingin dikaitkan dengan politik. Bila dikaitkan dengan politik maka AUKU pasti dikenakan.

Landskap politik dan negara pada hari ini sudah berubah, dan kita merasainya terutama kepada anak-anak muda. Perbincangan sudah lebih luas, dunia tiada sempadan, tiada fakta dan maklumat sudah menjadi milik peribadi pada hari ini.

Jika diperhatikan sekarang, yang mengambil realiti itu pada hari ini adalah mereka yang terdiri daripada generasi baru, yakni anak muda. Iaitu mereka yang majoritinya akan mengundi pada pilihan raya umum ke -13 akan datang. Hakikat ini perlu diterima.

Peranan mahasiswa

Dari satu sudut, saya masih lagi menantikan peranan mahasiwa dalam mendepani massa yang sangat laju bergerak hari ini. Mereka diperlukan untuk bersama-sama membina dan mencorak dasar-dasar negara. Peranan mahasiswa pada hari ini masih lagi boleh menjadi suara ketiga di dalam masyarakat.

Apakah peluang yang ada? Banyak, bahkan terlalu banyak..

Saya berpandangan, mahasiswa adalah golongan yang terpelajar dan berada di dalam kawasan ilmu di universiti. Dalam universiti adalah tempat dimana mereka berbincang dan belajar teori-teori sesebuah dasar. Misalnya mahasiswa fakulti ekonomi, mereka mengkaji berkenaan polisi dan dasar ekonomi sesebuah negara.

Begitu juga mahasiswa yang berada di fakulti pendidikan, mereka mengkaji dan berteori berkenaan dasar pendidikan negara. Mereka pasti akan berbincang permasalahan pendidikan, isu dan kesan-kesan kepada masyarakat.

Oleh itu, peranan mahasiswa pada hari ini pastinya boleh menjadi entiti yang mengkaji dasar-dasar serta polisi kerajaan pada hari ini dan boleh bersedia mengemukakan satu alternatif dan dasar-dasar baru hasil daripada kajian dan perbincangan mereka. Mereka mesti meluaskan lagi jaringan intelektual mereka dengan mengadakan konsensus bersama para akademia dan profesor di universiti mereka.

Dan hasil daripada itu, mereka boleh mengemukakan kepada mana-mana parti politik mahupun kerajaan untuk diterima dan disokong. Inilah satu cara lagi mewujudkan suara ketiga bagi mahasiswa.

Apabila saya menulis seperti ini, saya seperti mahu pulang ke alam mahasiswa. Banyak lagi sebenarnya yang tidak saya buat ketika mahasiswa. Kalaulah saya mahasiswa!

Tuesday, July 19, 2011

Hakikat kehidupan

Hakikat hidup adalah sebuah keajaiban, namun ia hanya ajaib bagi orang-orang yang selalu berfikir..-Generasi Wahyu.

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Setiap manusia akan melalui kehidupannya yang berbeza-beza antara satu sama lain. Ada orang yang hidupnya bermula dengan kesenangan dan berakhir dengan kesusahan. Ada juga manusia pada awalnya hidupnya penuh keperitan dan kesusahan, namun pada akhirnya dia menemui kesenangan.

Ada sesetengah orang, mereka diuji dengan kesakitan. Ia berlaku pada dirinya, atau pada anggota keluarganya, atau kepada sahabat serta orang-orang yang disayangi. Di sana, ada juga orang yang memiliki kesenangan dan kekayaan, memiliki harta yang banyak dan wang tidak menjadi masalah kepadanya.

Mungkin di kalangan kita ada yang pernah kehilangan orang tersayang, sama ada ibu, ayahnya, atau anaknya. Ada juga di antara kita pernah melalui saat-saat keperitan di dalam hidupnya, kehilangan rumah, terlibat dengan kemalangan dan sebagainya.

Hakikat kehidupan

Apa yang penting, setiap dari kita pernah melaluinya atau bakal melaluinya namun tidak diketahui bila masa dan ketikanya atau kepada siapa akan berlaku sama ada dirinya sendiri atau orang yang disayanginya. Inilah hakikat kehidupan. Hanya orang yang pernah melaluinya akan memahami maksudnya. Sesiapa yang tidak pernah merasainya tidak akan memahami maksud disebalik peristiwa itu.

Seorang yang lahir yang keluarganya sudah memiliki rumah yang besar dan kaya, tidak pernah melalui pengalaman menjaja atau menjual nasi lemak di tepi jalan. Malah dia mungkin tidak mengetahui mengapa sebabnya ada orang berniaga di tepi jalan itu. Padanya, makanan sudah terhidang di atas meja, atau kalaupun dia hendak makan, dia akan membelinya di tepi jalan.

Tetapi, pernahkah dia terfikir bahawa seorang makcik tua yang menjual nasi lemak itu, mungkin dia terpaksa menanggung nafkah anak-anaknya, membeli keperluan rumah, membayar sewa rumahnya, dan membayar yuran dan keperluan anaknya yang bersekolah. Lebih lagi, mak cik itu mungkin adalah seorang janda yang sudah kehilangan suaminya tempat bergantung, lalu terpaksa membanting tulang berniaga nasi lemak di tepi jalan demi menyara kehidupannya dan keluarganya.

Seorang yang anggota keluarganya yang tidak pernah mengalami peristiwa-peristiwa hitam, tidak akan mengetahui dan mungkin tidak terfikir perkara seumpama itu akan berlaku. Seorang yang sihat tubuh badannya, akan sibuk bekerja, berniaga, menghabiskan masa ke tempat yang disukainya, dan kadangkala tidak pernah terfikir akan apakah musibah yang bakal berlaku kepadanya.

Di satu sudut, ada orang yang pernah ditimpa penyakit, misalnya sakit buah pinggang yang memerlukan dia melakukan dialisis setiap minggu, yang pastinya terpaksa menghabiskan wang yang begitu banyak untuk menampung kos rawatannya. Jika dia tidak bekerja, atau kerjanya hanya cukup makan sahaja,dia tidak dapat menampung kos rawatan sakitnya itu.

Seorang yang pernah lumpuh, yang tidak boleh langsung bergerak akan memikirkan, seandainya diberikan semula kesihatan, maka dia tidak akan melakukan perkara yang akan membawanya kepada sakitnya itu. Dia akan menjaga makan dan minumnya. Semua ini, tidak difikirkan oleh seorang yang sihat, kerana dia akan sibuk bekerja dan bekerja untuk mendapatkan su
mber kewangan untuk memperbaiki hidupnya.

Keajaiban

Kehidupan adalah satu keajaiban. Kadangkala, bagi sesiapa yang pernah melalui pengalaman seperti itu, mereka pernah mengeluh, mengapa ditimpakan musibah seumpama itu. Mengapa ujian ditimpakan kepada dirinya, atau keluarganya atau orang yang disayanginya. Perkataan ini, walau tidak keluar dari mulut, namun dari dalam hati pasti ia pernah terdetik.

Kita tidak boleh lari, kerana sifat manusia memang sebegitu. Kita biasa akan mengeluh jika ditimpa kesusahan, dan gembira apabila diberi nikmat. Itu sifat fitrah manusia. Namun, pernahkah kita terfikir, di saat kita mula-mula menerima musibah dan ujian tersebut, dan di mana kita berada pada hari ini sebenarnya kita telah melangkah jauh daripada apa yang kita harapkan.

Seorang yang sudah 5 tahun lumpuh, pasti akan terkenang sewaktu mula-mula dia menghidap kesakitan itu. Tetapi apabila dia merenung dirinya pada hari ini, pastinya dia tidak menyangka bahawa Allah masih lagi memberikan kepadanya nafas dan nyawa untuk dia hidup, meskipun pergerakan hidupnya terbatas.

Seorang yang ditimpa kemiskinan, setiap hari memohon kepada Allah agar diberikan kesenangan, rezeki yang mencukupi. Sebenarnya jika dia melihat dirinya pada hari ini, sesungguhnya dia sudah mendapat lebih daripada apa yang dia harapkan. Dia masih lagi hidup, masih lagi dikurniakan rezeki dan makannya cukup, dia boleh menampung rezeki keluarganya walaupun tidak menjadi seorang yang kaya-raya.

Sebab itulah, Dr HAMKA pernah berkata: "Lihatlah, bagaimana Allah telah mengagih-agihkan rezeki pada setiap hamba-Nya."

Kita sering menyangka bahawa seorang yang kaya, memiliki kediaman yang besar adalah seorang yang senang dan bahagia, manakala seorang yang susah dan miskin, tinggal di pondok buruk, pastinya hidup mereka dihimpit kerisauan, dan kesusahan. Sebenarnya di dalam kehidupan bukan begitu.

Ada orang yang setiap hari makan hidangan yang lazat-lazat, lauk pauknya sangat baik, makan di tempat yang mewah, restoran yang mahal. Namun, hatinya tidak bahagia, bahkan sering merisaukan hartanya yang ditinggalkan, risaukan keluarganya yang ditinggalkan dan juga risaukan perniagaannya yang tidak bertambah-tambah, sedangkan harta sudah mengelilinginya.

Ada orang yang hanya tinggal di pondok buruk, makannya satu dua lauk sahaja dan mungkin sekali atau dua kali sehari, namun hidupnya bahagia. Walau anak-anaknya ramai, tetapi tidak pernah mereka menyusahkannya bahkan menerima seadanya kehidupan yang sebegitu.

Syukur

Oleh sebab itu, kadangkala bagi manusia, syukur itu lebih susah daripada sabar. Sebahagian orang boleh menerima ujian yang berlaku ke atas dirinya, namun amat sedikit orang yang boleh bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah ke atasnya. Syukur itu kata Dr HAMKA: "Mensyukuri apa yang dimiliki, bukan mensyukuri apa yang baru diperolehinya." Ramai orang yang bersyukur apabila mendapat sesuatu yang baru, tetapi tidak ramai orang bersyukur dengan apa yang sudah dimiliki. Kata Dr HAMKA lagi: "Yang ada ini sudah menjadi harapan kita, namun tidak salah mengharapkan perkara yang lain.."

Kadangkala, Allah tidak memberikan apa yang kita harap-harapkan. Kita harapkan agar diberi kekayaan, tetapi kita tidak menjadi kaya. Kita berdoa diberi kesihatan, tetapi Allah timpakan kesakitan kepada kita. Kita selalu banyak mengharap sesuatu yang baru, namun kita tidak selalu sedar bahawa apa yang dimiliki sekarang ini sudah lebih dari apa yang kita harapkan. Kita masih dikurniakan kehidupan dan sebagainya.

Sebab itu, agama hanya menganjurkan kepada kita agar memohon apa yang terbaik dari sisi Allah. Kerana, apa yang terbaik dari sisi Allah, itulah sebaik-baik kurnia seperti mana doa yang selalu kita baca selepas solat: "Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami apa yang baik dari sisi-Mu di dunia, dan juga di Hari Akhirat, dan jauhkanlah kami dari azab neraka.."

Apa yang terbaik di sisi Allah tidak sama seperti apa yang terbaik dari sisi manusia. Manusia menganggap kesihatan itu baik bagi mereka, namun bagi Allah mungkin ia adalah suatu buruk. Mungkin dengan kesihatan itu akan menyebabkan hamba-Nya lebih lalai dari mengingati-Nya, justeru, Allah berinya kesakitan agar hamba-Nya sentiasa mengingati Allah. Begitu juga dengan kekayaan.

Sesungguhnya, kehidupan itu penuh dengan keajaiban. Namun ia ajaib bagi orang yang selalu memikirkannya, yang selalu belajar dari kehidupan. Kehidupan adalah guru yang paling baik bagi kita. Harungilah kehidupan dengan semangat dan kesediaan disamping menghubungkan diri dengan Allah, nescaya kita akan melihat keajaiban-keajaiban yang dikurniakan Allah kepada hamba-Nya yang beriman.

11.54 a.m (19 Julai 2011)
Hospital Tawakkal,
Jalan Pahang.

Sunday, July 10, 2011

BERSIH 2.0: Secoret helaian sejarah

SEJARAH - Dari kiri: Naim, Abang Khairul (wartawan Harakah), Saya dan Abang Fauzi Mujahid. Kami berada di tepi KLCC. Ketika ini Dr Hatta sedang berucap, dan selang beberapa minit, kami disembur air asid oleh Water Canon.

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya sudah mengatakan bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai baru-baru ini akan menjadi sejarah kepada negara Malaysia. Ia betul-betul sebuah sejarah, dan ia perlu dirakamkan untuk tatapan generasi yang akan datang.

Orang berkata, sejarah akan berulang. Saya bersetuju, tetapi dengan penambahan: "Ia akan berulang, tetapi kepada orang yang tidak belajar dari sejarah silam."

Di kala saya menulis ini, kaki saya masih sakit-sakit. Ya, maklumlah berjalan dan berlari dari dikejar polis, dari disembur air asid dan dilepaskan gas pemedih mata.

Sejarah bermula

Selang sehari sebelum ke perhimpunan ini, saya sudah berkira-kira risiko dan kebarangkalian yang berlaku. Saya bertemu beberapa rakan lama universiti iaitu Qayyum, Aiman, Naim dan beberapa lagi. Kami berbincang apa yang bakal terjadi.

Antara keputusan yang kami dapati, kemungkinan akta-akta yang 'luar biasa' akan dikenakan kepada perserta perhimpunan seperti Ordinan Darurat mahupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Nah! Ia satu perjuangan yang memeritkan. Seminggu ditahan tanpa pembelaan bagi Ordinan Darurat, dan beberapa minggu bagi ISA.

Namun, perjuangan tetap perjuangan. Teringat saya kepada kata-kata tokoh reformasi, Dato Seri Anwar Ibrahim: "Jika takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan!". Ia menambahkan keyakinan kami.

Ceramah mantapkan fikrah dan akidah

Malam sebelum ke perhimpunan esoknya, saya sempat ke Taman Melewar mendengar ceramah umum daripada pimpinan pemuda PAS dan Pakatan Rakyat.

Ustaz Nasruddin mengingatkan bahawa perjuangan penuh dengan liku-liku yang susah sambil beliau menceritakan pengalaman diburu polis apabila tersenarai dalam 91 individu yang dilarang masuk ke Kuala Lumpur. Namun dia berkata, ada cara tersendiri ke sana (Kuala Lumpur).

Saya teringat, seorang lagi sahabat saya Shazni Munir, bekas aktivis mahasiswa dahulunya juga tersenarai di antara 91 individu tersebut. Lantas terus menghubunginya untuk bertanyakan keadaan. Beliau menjawab: "Masih selamat dan berada di Kuala Lumpur." Saya tersenyum.

Sewaktu di kampus dahulu, seingat saya, dua kali beliau diburu polis. Satu ketika tatkala peristiwa Kudeta kerajaan Perak dan keduanya ketika kes Rosmah Puaka di UM. Apabila diburu, beliau akan menghubungi saya untuk sediakan apa yang patut.

Ke mana esok?

Saya masih lagi berkira dengan sahabat saya Qayyum dan abang Azlan yang saya temui selepas ceramah. Sambil menghirup bihun sup di gerai Sup Kedah, kami berbincang. Sama ada ke Masjid Jamek atau ke Masjid Negara, atau terus ke Stadium Merdeka.

Sebentar tadi Pemuda PAS mengarahkan semua ahlinya berkumpul di Masjid Jamek dan Masjid Negara. Selepas solat Zohor akan berkumpul dan berarak ke Stadium.

Akhirnya kami putuskan, terus ke masjid Jamek. LRT terus ke sana. Kami berpisah dan berjanji bertemu esok di sana.

Ke Masjid Jamek

Jam 10 pagi, saya berkereta bersama-sama adik saya dan beberapa mahasiswa KIAS yang turut serta menginap di rumah saya. Melalui jalan ke Setiawangsa melalui lebuh raya DUKE agak lengang pagi itu. Mungkin kesan daripada media dan polis yang menakut-nakutkan rakyat agar jangan ke KL hari ini.

Di pertengahan jalan saya sempat melihat papan tanda elektronik DUKE menuliskan: "Amaran Polis! Tindakan undang-undang akan dikenakan sesiapa yang didapati menghasut dan menyertai perhimpunan haram."

Rasa takut tidaklah sangat, tetapi lebih kepada hendak tergelak. Saya sebut kepada rakan-rakan dibelakang: "Zaman orang menakut-nakutkan orang dah berlalu.. Ni zaman orang rasional, orang mencari hujah dan maklumat.." Mereka turut tergelak dan bersetuju.

Setibanya di stesen LRT Damai, kami mengambil tiket ke stesen Masjid Jamek. Alhamdulillah, kaunter masih beroperasi dan stesen di Masjid Jamek juga tidak dihalang.


Di Masjid Jamek

Turun sahaja daripada tren di stesen Masjid Jamek, kami terus ke restorang Burger King bersebelahan stesen LRT. Puluhan trak serta anggota polis sudah siap menunggu. Namun tiada tanda-tanda perhimpunan mahu bermula.

Hampir di setiap sudut ada anggota polis. Ini belum dikira polis yang berpakaian biasa yang saya kira lebih banyak jumlahnya dari polis berpakaian rasmi. Maklumlah, nak timbulkan provokasi nanti.

Kami menunggu hingga ke jam 1 petang. Hasratnya untuk berjemaah di Masjid Jamek dan terus menyertai himpunan. Malangnya masjid di situ dikunci dan tidak dibenarkan solat. Saya bertanya kepada anggota polis yang berkawal, mereka menjawab: "Hari ni tiada solat di sini."

Kami berbincang. Keputusan diambil berjalan ke Masjid Negara dan menyertai solat dan berhimpun di sana. Kami menyusur melalui pejabat Majlis Peguam lalu tembus di Pasar Seni, dan masuk ke bangunan Pos Malaysia seterusnya ke stesen KTM Kuala Lumpur. Di situ kami berhenti solat zohor.

Selepas solat zohor saya mendapat panggilan dari sahabat di Masjid Negara bahawa orang ramai juga tidak dibenarkan bersolat di sana. Polis sudah mengadakan benteng menghalang orang ramai dari solat.

Kami berpatah balik. Hasratnya untuk ke Masjid Jamek dan menyertai di sana. Keadaannya kelihatan ramai peserta BERSIH 2.0, tetapi mereka berpecah-pecah.

Suasana Pudu Raya

Saya menelefon sahabat di Pudu Raya. Khabar mereka, polis sudah melepaskan gas pemedih mata dan air asid untuk meleraikan kumpulan yang diketuai oleh Dr Hatta Ramli dan beberapa pemimpin PAS dan PKR. Tangkapan juga sudah banyak berlaku.

Kami membuat keputusan, kita harus menyertai mereka di sana. Lalu kami berjalan. Di tengah jalan saya bertemu beberapa sahabat, Naim dan Hadi. Mereka juga ingin ke sana.

Ketika itu, saya mendapat panggilan bahawa kumpulan sudah bergerak dari Pudu Raya. Kami segera berjalan. Daripada bawah stesen LRT Pasar Seni kami menyusuri jalan ke Pudu Raya. Akhirnya kami bertemu kumpulan mereka.

Di sana, kumpulan dari Pudu Raya bertemu dan bergabung dengan kumpulan dari Stadium Merdeka yang sudah disembur air asid dan gas pemedih mata. Kami masuk ke dalam dan berjalan. Dr Hatta memberitahu, akan ke KLCC.

Laungan Takbir, Bersih dan Reformasi

Di sepanjang jalan, laungan takbir, bersih dan reformasi bergema. Tidak kira Cina, Melayu dan India bergabung dan berpadu tenaga bersemangat menuntut pilihan raya adil dan bebas. Dr Hatta mengetuainya

Tatkala melepasi Jalan Petaling, kami ditembak gas pemedih mata. Kumpulan berpecah dua, ada yang berpatah ke belakang. Seorang lelaki menghulurkan garam kepada saya lalu saya mengambil dan masuk ke mulut.

Kebetulan, saya lupa membawa air botol sekali. Terpaksalah menekup mulut dan mata dengan baju sehingga basah lencun. Selang beberapa minit, keadaan reda. Kami berjalan semula bergabung dengan kumpulan di hadapan.

Menyusuri Kuala Lumpur

Kami tidak menyangka bahawa perjalanan kami ke KLCC tidak disekat polis. Bersama kami kelihatan YB Zuraidah dari PKR dan rakan-rakannya. Kami berjalan sambil diperhatikan sahaja sebilangan polis di kiri-kanan jalan. Mungkin bilangan mereka sedikit dan tidak mampu menghalang.

Saya kira jumlah yang telah bergabung menghampiri 10,000 (Sepuluh ribu). Lautan manusia berjalan tanpa henti.

Saya berkata kepada Naim: "Kalaulah begini keadannya, berjalan dengan baik dan aman, dari awal lagi polis tak tembak, kan tak ada masalah.." Beliau mengangguk dan berkata: "Ini demo paling bersejarah dan seronok yang pernah ana ikuti.." Saya menepuk bahunya.

Di KLCC

Setibanya di KLCC, kami berhenti. Di sini, kami mendengar ucapan dari Dr Hatta, Che Gu Bard dan Ust Nasruddin Tantawi. Hebatnya mereka, boleh lepas sampai ke sini. Turut serta Dr Chua Jiew Meng, bekas menteri.

Hampir 15 minit ucapan diberikan oleh mereka. Namun tidak lama kemudian, FRU mula datang. Water Canon 'menyambut' kami dengan semburan. Semua bertempiaran. Di satu sudut cabang jalan puluhan polis sudah tiba, mengejar kami untuk membuat tangkapan.

Kami semua berpecah, ada yang lari ke dalam KLCC dan ada yang terus ke hadapan lari ke Jalan Ampang dan Ampang Park. FRU terus menyembur.

Masjid as-Syakirin

Selepas keadaan reda, kami bertemu semula di Masjid As-Syakirin. Keadaan kembali tenang. Saya kira perhimpunan sudah tamat apabila jam di tangan menunjukkan jam 4.30 petang. Kami bersolat asar di situ.

Saya bertemu kembali rakan-rakan yang terpisah. Tersenyum kami antara satu sama lain. Sangat seronok dan sebuah peristiwa yang sangat menarik.

Bersama-sama Aiman, Naim, Hadi, Rusydi, Shazni Munir, Shafie dan beberapa adik-adik junior, kami melepaskan lelah dan penat di tangga Masjid As-Syakirin.

Kenangan

Sungguh, ia sebuah kenangan yang indah buat saya dan sahabat-sahabat. Kami boleh berjalan di tengah-tengah ribuan manusia yang dahagakan demokrasi yang adil dan bersih, mereka yang ikhlas turun tanpa apa-apa habuan, serta mereka yang bertanggungjawab kepada nasib generasi akan datang.

Mereka datang di saat polis memberikan amaran yang menakutkan. Di kala setiap jalan raya disekat dan dihalang semahu mungkin. Dan ketika tangkapan demi tangkapan dilakukan sebelum perhimpunan.

Mereka yang datang juga bukan sekadar rakyat biasa. Ada yang penjawat awam, cikgu, pekerja kerajaan. Masakan jika mereka takut dan kecut, mereka akan hadir ke jalan raya?

Memang seperti yang saya katakan, ia sebuah sejarah. Saya akan rakamkan ia buat tatapan anak-cucu dan seterusnya. Ya, ia satu kemestian.

Pinggiran Batu Caves,
12.22 a.m (11 Julai 2011)


Friday, July 8, 2011

BERSIH 2.0 : Anak muda jangan jangan takut, jangan tertinggal sejarah negara

oleh: Mohd Aizat Mohd Salleh

Esok, 9 Julai 2011, akan diingati oleh semua rakyat Malaysia bahawa satu perhimpunan besar-besaran menuntut pilihan raya yang dijalankan di Malaysia dilaksanakan dengan adil dan telus. BERSIH 2.0 mengemukakan 8 tuntutan yang relevan untuk memperbaiki perjalanan pilihan raya di Malaysia.

Seruan digemakan kepada seluruh anak-anak muda yang berfikir dan risaukan akan masa depan negara mereka yang dipimpin oleh pemimpin yang korup, tidak adil dan menzalimi rakyat. Ini jelas.

Ketakutan

Ketakutan tidak perlu menjadi kerisauan buat anak muda. Jika anda pembaca dan pengkaji sejarah yang ikhlas dan kritis, anda akan mendapati bahawa bukanlah perhimpunan yang bakal mengacau-bilaukan negara kita.

Misalnya pada 5 Julai 2011 lalu, dilaporkan media bahawa polis menjumpai senjata berupa parang, molotov koktail dan mercun bersama-sama baju bersih berdekatan sebuah kompleks membeli-belah. Mereka mendakwa ada kaitan dengan perhimpunan BERSIH 2.0 dan mahu menimbulkan kekacauan.

Kita diimejkan oleh media bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 bakal menjadi rusuhan sebagaimana yang berlaku 13 Mei 1969 iaitu pembunuhan besar-besaran!

Saya kira, anak muda zaman ini telah sedar dan matang. Mereka membaca sejarah secara adil dan sedar. Jika anda merujuk buku-buku teks sekolah atau modul pengajian etnik universiti, anda akan disajikan dengan fakta yang tiris atau tidak adil.

Cubalah kita adil dalam meneliti sejarah. Apabila saya membaca buku '13 Mei: Dokumen-dokumen Deklasifikasi Tentang Rusuhan 1969 Malaysia' yang ditulis oleh Dr Kua Kia Soong, aktivis SUARAM, anda akan mendapati banyak fakta yang diselindungkan di dalam peristiwa berdarah itu. Bacalah dengan objektif!

Misalnya, kita akan mendapati keprofesionalan pasukan keselamatan dipersoalkan dalam menangani sentimen perkauman, yakni tindakan provokasi pihak-pihak berkepentingan dengan kerajaan (parti pemerintah) hanya dibiarkan, sedangkan mereka berusaha habis-habisan menentang kumpulan oposisi.

Ini dicatatkan dalam sejarah, namun tidak dinyatakan. Silalah merujuk kepada Jabatan Penyelidikan Maklumat Komanwel, Pejabat Rekod Awam atau Far Eastern Economic Review, serta fakta-fakta yang disimpan di London.

Perkara ini seakan diulangi apabila menghadapi himpunan BERSIH 2.0. Mungkin juga jika pihak-pihak tertentu akan cuba melakukan sabotaj kepada himpunan aman ini seterusnya menyalahkan BERSIH 2.0 yang menimbulkan huru-hara. Ini boleh berlaku jika tiada jaminan pasukan keselamatan.

Jika kita baca sejarah, ia memang berlaku. Namun, kita anak muda tidak boleh ditipu dua kali. Ilmuwan pernah berkata: "Orang yang tidak belajar sejarah, ia akan mengulangi semula sejarah itu."

Sejarah Negara

Justeru, anak muda jangan takut untuk turun ke stadium pada 9 Julai. Kehadiran anak-anak muda bersama dengan rakyat adalah membawa harapan rakyat kepada masa depan negara.

Tidakkah anak-anak muda memikirkan suatu hari nanti bahawa perhimpunan ini akan dicatatkan di dalam buku-buku teks sejarah anak-anak kita bahawa terjadi satu perhimpunan rakyat yang menuntut agar pilihan raya dijalankan secara adil sebagaimana kita diajar dan diceritakan oleh guru sejarah dulu kita bahawa satu perhimpunan orang Melayu besar-besaran telah dianjurkan oleh UMNO untuk menentang Malayan Union.

De ketika itu, kita akan mengatakan kepada anak-anak kita: "Ayah adalah salah seorang yang berada di dalam perhimpunan ini." Mungkin pada ketika itu kerajaan Malaysia sudah berubah kepada yang lebih adil dan saksama, dan kita boleh mendabik dada bahawa kita salah seorang yang memperjuangkan ketelusan demokrasi. Ia menjadi sejarah kita dan negara.

Thursday, June 30, 2011

Unggun Bersih


Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara
Kita laungkan juga pesan merdeka
Demokrasi sebenderang mentari
Sehasrat hajat semurni harga diri

Lama resah kita - demokrasi luka
Lama duka kita - demokrasi lara
Demokrasi yang angkuh kita cemuhi
suara bebas yang utuh kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru
(di Boston dijirus teh ke laut biru)
Tak diperlu gempita sorak yang gebu
diperlu hanya unggun api yang syahdu

Kini menyalalah unggun sakti itu
kini merebaklah nyala unggun itu

A. Samad Said
24&25 Jun 2011

Tuesday, June 21, 2011

Memperbanyakkan lagu yang 'sedap'

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Ada orang berkata, hari ini industri nasyid tanah air kita semakin tidak kedengaran. Bukan tidak ada, namun agak kurang ditampilkan jika kita nak bandingkan dengan industri hiburan yang lain.

Yang mendapat tempat dan popular hari ini adalah hiburan realiti seperti Raja Lawak, Mentor dan seumpamanya. Kita bernasib baik program seperti Imam Muda, Akademi Al-Qur'an juga mendapat populariti di kalangan masyarakat.

Ketepikan rancangan televisyen itu, saya ingin berkata tentang nasyid.

Fenomena Nasyid

Industri nasyid kadangkala naik, kadangkala turun. Ya, mereka mesti mengikuti arus perubahan dan perkembangan seperti mana perkembangan industri hiburan itu sendiri.

Seingat saya dahulu, dalam tahun 80-an kumpulan nasyid seperti The Zikr dan Nada Murni menjadi fenomena baru dalam masyarakat. Ketika itu, kemahuan masyarakat untuk kembali kepada Islam, mereka mencari hiburan alternatif seperti itu.

Selang sepuluh tahun, datang kumpulan Raihan. Juga berjaya mewujudkan identiti dan fenomenanya. Mereka diterima masyarakat dengan nasyid yang kontemporari dalam masa yang sama masih mengekalkan keaslian irama nasyid (melalui percussion).

Kita juga tak lupa bagaimana kumpulan nasyid In-Team juga berjaya mewujudkan fenomena mengetengahkan irama nasyid yang agak moden, bertemakan kasih-sayang bersyariat. Lagu-lagu mereka diterima masyarakat terutama daripada golongan muda.

Drama Love Story in Harvard: Mungkin sebuah kisah yang sarat dengan cinta, namun di dalamnya penuh dengan mesej keilmuan, prinsip dan cita-cita. Bila lagi kita boleh hasilkan kisah cinta dalam masa yang sama memiliki unsur-unsur dakwah?

Kekeliruan identiti

Kebelakangan ini, banyak kumpulan nasyid juga yang lahir. Saya tidak boleh menyebutkan kerana terlalu banyak. Masing-masing membawa temanya sendiri.

Dari sudut irama dan pembawaan, nasyid sudah boleh diterima umum apabila muziknya selari dengan lagu-lagu biasa. Apa yang berbeza adalah pada liriknya yang berunsur ketuhanan dan syariat.

Ada kumpulan nasyid yang dahulunya mengekalkan muzik nasyid, namun sudah mengalami evolusi kepada pop-rock seperti kumpulan Mirwana. Sehinggakan evolusi mereka diakui sendiri anggota kumpulannya bahawa mereka tidak lagi beridentitikan kumpulan nasyid, bahkan adalah artis hiburan.

Itu satu perkembangan. Saya melihat dari sudut yang positif. Sesetengah orang mengatakan bahawa kumpulan seperti ini sudah lari dari pembawaan asal. Bagi saya proses mereka berdiri di tengah-tengah artis-artis hiburan terkemuka tanah air, namun mengekalkan lirik berunsur 'ajakan bertuhan' perlu disokong. Sekurang-kurangnya mereka membawa 'mesejnya' di tengah-tengah kecelaruan hiburan itu.

Ada lagi kumpulan yang menjejakinya. Misalnya kumpulan nasyid Firdaus juga mengalami evolusi berani mengubah irama nasyid kepada pop-balada. Begitu juga dari sudut imej, mereka tidak lagi berkopiah seperti dahulu, malah mengikut trend remaja dan anak muda. Apa yang masih kekal adalah liriknya yang berunsur ajakan kepada agama.

Ke mana sebenarnya?

Jika kita melihat dari sudut negatif, maka banyak yang boleh diperkatakan. 'Tiada identiti' dan 'Perjuangan sudah lari' mungkin adalah lontaran yang popular.

Saya agak pelik jika diajukan lontaran ini. Kita boleh menerima artis Maher Zain yang terbuka sebegitu, namun tidak dapat menerima artis nasyid negara kita yang cuba berubah.

Pada pandangan saya, mengubah perlaksanaan mesej dan perjuangan sangat diperlukan pada hari ini. Sedangkan hukum syariat itu berubah mengikut masa dan tempat, apatah lagi perkara-perkara dakwah seperti nasyid itu.

Bagi saya apa yang penting dalam nasyid mahupun industri hiburan adalah kelunakan lagu atau iramanya. Tidak kira nasyid mahupun lagu yang berunsur pop, rock dan balada sendiri.

Agama fitrah

Cuba kita renungi kembali agama Islam sendiri. Ia adalah agama fitrah, yakni agama yang tepat dan sesuai bagi fitrah manusia. Manusia suka berhibur, maka Islam menepati fitrah manusia yang suka berhibur. Manusia juga suka perkara yang baik, lunak dan sedap, maka Islam juga mengikuti kehendak fitrah manusia itu.

Mengapa ada sesetengah kumpulan nasyid yang walaupun mereka mengikuti trend perubahan semasa, namun kurang diterima di tengah-tengah masyarakat, dan ada pula kumpulan nasyid yang imejnya bersahaja namun mendapat tempat.

Semuanya kembali kepada sedap atau tidak lagu yang dibawanya. Mustahil masyarakat akan meminati kumpulan nasyid mahupun artis yang tidak sedap lagunya?

Ada kumpulan nasyid baru seperti Fursan yang mencipta lagu Keinsafan Diri, begitu mendapat tempat di dalam masyarakat sehingga menduduki carta nombor satu radio tempatan. Saya sudah mendengar lagunya, Subhanallah begitu indah lagu dan liriknya.

Begitu juga kumpulan Aidil, anak didik Hafiz Hamidun (bekas kumpulan UNIC) berjaya menghasilkan lagu 'Cuba' juga berjaya mendapat tempat dalam hiburan kini. Lagu ini akhirnya diambil menjadi lagu tema Drama Keranamu Laila. Lagunya juga memukau dari sudut irama dan liriknya.

Jika hendak dibawa contoh artis yang masih mengekalkan imejnya, lihat sahaja Opick, artis nasyid ketuhanan dari Indonesia. Walaupun berserban, lagu-lagunya yang mengajak kembali kepada Tuhan begitu menyentuh hati dan keinsafan.

Bukankah fitrah manusia itu inginkan hiburan yang dapat menyentuh hati mereka?

Apa yang beza di sini adalah lirik dan mesejnya. Ini yang tidak ada pada artis tempatan selain artis nasyid. Justeru, artis nasyid perlu giat menghasilkan lagu-lagu yang mesti berjaya menyentuh hati masyarakat diiringi mesej dan lirik yang baik dan mendalam.

Barulah ia diterima dan dalam masa yang sama, mesej dakwah kita sampai.

Hospital Tawakkal
10.01 a.m (21 Jun 2011).