Gambar Hiasan
oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh
Saya kadang-kadang tidak mengerti pada sebuah kehidupan. Saya selalu dihadiri oleh peristiwa-peristiwa dan orang-orang yang mengalami kesusahan dan penderitaan dalam hidup. Kadang kala kita tidak ingini ia hadir, namun ianya datang dan pergi, kerana mungkin ia sebuah peringatan dari Allah s.w.t pada hamba-hamba-Nya.
Dua minggu selepas ayah sahabat saya Shafie sakit strok, hari ini saya menziarahi adik kepada seorang lagi sahabat saya, Zulfitri Amin yang dimasukkan ke wad ICU kerana kemalangan motorsikal pada hari Sabtu lepas. Kata Amin, keadaannya agak teruk.
Pada jam 8 malam saya bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, setelah mengetahui adiknya dipindahkan dari Hospital Sabak Bernam ke sini. Katanya tiada kemudahan untuk melakukan pembedahan kecederaan adiknya itu.
Pendarahan
Saya diberitahu bahawa terdapat pendarahan yang berlaku di bahagian depan otaknya akibat pelanggaran dengan kereta itu. Namun, Alhamdulillah ia berjaya dibuang dengan segera oleh doktor menyebabkan impilkasi terhadap otak terselamat. Sewaktu saya tiba, Amin memberitahu adiknya sudahpun dipindahkan ke wad biasa.
Di sisi Amin, ayah dan adik keduanya, setia menemani adiknya yang baru di tingkatan 2 sekolah kebangsaan di Sabak Bernam. Ketika saya dan Qayyum melawatnya, adiknya masih belum membuka mata, mungkin kerana badannya masih lemah dan tidak bermaya.
Selepas bersalaman, kami berbual-bual dengan ayahnya. Kebetulan Amin akan mengikuti istiadat konvokesyen pada minggu ini. Saya bertanya kepadanya sama ada dia akan menghadiri konvo. Jawabnya: "Tengoklah, kalau tak ada apa-apa Insya Allah hadir." Dia berkata sambil tersenyum kelat. Saya memahami perasaannya ketika itu.
Ujian
Sekali lagi saya sempat berpesan kepadanya bahawa ujian pasti akan hadir kepada setiap insan, cuma kita tidak mengetahui bilakah ujian tersebut akan menimpa kita, cepat mahupun lambat, atau mengenai kita sendiri atau orang yang kita sayangi. Segalanya bergantung kepada Allah yang menentukan dan mengetahui apa yang terbaik buat kita insan biasa.
Saya mengenali Amin sebagai orang yang kuat semangat dan tabah. Tiada riak kesedihan di wajahnya, dan mampu tersenyum kepada kami melindungkan perasaan rawannya. Di hadapan katil adiknya, seorang pesakit berbangsa Cina terlantar. Kata Amin, sudah hampir setahun dia terlantar kerana masalah sakit dan organ yang tidak berfungsi dengan baik.
Ketika kami datang, sudah ramai ahli keluarganya yang hadir. Kata doktor hanya 'menunggu masa', jikalau diberi rawatan sekalipun, ia akan menambah kesakitan dan kesengsaraan pesakit itu. Wajah ahli keluarga yang hadir kelihatan sedih apabila diberitahu oleh doktor situasi dan kondisi ayah mereka. Mereka juga diberi ujian oleh Allah di dalam hidup.
Redha
Begitulah kehidupan, selagi dinamakan manusia, ia akan diberi ujian. Sama ada kita berjaya menempuhinya atau tertewas. Sukar bagi orang yang dirundung malang dan ujian untuk mencapai tahap redha kepada Allah. Namun, andai kita selalu memandang orang yang lebih susah dari kesengsaraan yang kita hadapi, maka perasaan redha itu akan hadir sedikit demi sedikit, malah menimbulkan kerendahan hati kepada Allah.
Benarlah, mengingati mati itu akan menghidupkan hati. Ia mengingatkan kita bahawa kehidupan ini hanya sementara, tidak selamanya. Hari ini seseorang telah pergi meninggalkan kita, esok tidak pasti siapa yang akan menyusuli. Sesungguhnya banyak perkara yang perlu kita pelajari dari sebuah kehidupan.
Hospital Tengku Ampuan Rahimah
Bandar Klang
26 September 2011 (Isnin)
11.45 malam.
3 comments:
sehingga sekarang ana masih cuba memahami bila masing2 berpendirian " Bila Senang kita SAMA-SAMA,Bila Susah lebih baik SORANG-SORANG!",
usah bicaralah soal ukhwah jika nombor telefon sahabat pun sudah lupa dan berita pun tak boleh nak disampaikan. Wallahua'lam,
-tak semua orang macam boleh jadi Doremon-
Aizat-Lavender
Saya memahami maksud Lavender. Tetapi usah anggap semua orang berfikiran seperti kita..
Wallahu'alam
Mohd Aizat
betullah kata2 Allah yg mafhumnya , 'Aku tidak memberatkan sseorg dgn ssuatu melainkn Aku tahu dia mmpu menanggungnya..'
moga tarbiyyah yg telah Allah lemparkn kpdnya trut mmberi bekas kpd hti kita utk sntiasa brmuhasabah..amin
ahsanta ust aizat, mga trus thabat dlm prjuangan.. (^_^)
Post a Comment