Monday, March 3, 2008

Menilai Pemimpin Yang Dinanti-nanti..


Dalam kaedah sistem pemerintahan negara kita Malaysia, sistem demokrasi berparlimen telah diguna pakai sejak 50 tahun kemerdekaan negara. Dan ia terus dijadikan sistem wajib dalam menentukan pemerintahan iaitu kerajaan. Pemimpin negara adalah dipilih dari kalangan rakyat. Melalui beberapa sistem antaranya proses cadangan calon-calon wakil rakyat melalui beberapa kawasan yang mewakili rakyat sesuatu tempat tersebut dan seterusnya proses pengundian. Dengan kata lain, pemimpin yang lahir adalah pemimpin yang datang daripada rakyat dan kembali semula kepada rakyat untuk menabur bakti.

Justeru, individu yang akan memimpin perlulah dipilih oleh rakyat dengan penuh teliti menerusi beberapa kriteria dan sifat tertentu. Dan dengan sifat-sifat inilah kelak rakyat akan menilai dan berfikir sebelum memilih siapa yang akan memimpinnya.

Kriteria utama bagi seorang pemimpin rakyat, pemimpin itu mestilah memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dalam segenap aspek. Ilmu yang paling utama di sini adalah ilmu Agama yang pastinya ilmu ini perlu digunakannya untuk menunjuk jalan kepada rakyat yang dipimpinnya. Selain ilmu agama, ilmu-ilmu pelbagai bidang seperti ekonomi, pengurusan dan pentadbiran, perubatan, politik, dan lain-lain turut tidak terkecuali. Kerana itu, apabila pemimpin itu memiliki ilmu, ia sudah pasti menjadi pemimpin yang bijaksana.

Kebijaksanaan sangat penting bagi seorang pemimpin. Dengannya, sesuatu keputusan akan diambil dengan teliti dan tepat. Apa sahaja keputusan, ia akan memberi kesan yang sangat besar kepada dirinya serta rakyat yang dipimpinnya. Elok keptusan yang diputuskan, maka eloklah rakyat yang mengikutinya. Namun, apabila ia silap, maka akan songsanglah rakyat. Dari sudut lain, kebijaksanaan dalam kepimpinan membenarkan seorang pimpinan itu mengatur rancangan serta strategi dalam kepimpinannya. Di situ juga dapat menidakkan dan menepis dan mengelak segala kejahatan orang-orang yang dengki kepadanya dan kepada rakyat yang dipimpinnya.

Apabila pemimpin yang baik datang daripada rakyat, dan akan kembali semula kepada rakyat. Semestinya pemimpin itu mempunyai sifat seorang rakyat atau ‘merakyat’. Suatu ketika dahulu, dia mungkin seorang petani yang lahir daripada celah-celah ribut ombak dan suapan ikan kering. Maka segala jerih-payah dan masalah hidup seorang petani pasti dihadaminya. Begitu juga, pemimpin yang muncul daripada masyarakat penjaja. Sudah pasti, jual beli, murah mahal dan tawar-menawar barang mentah tersimpan di kepalanya. Dia tidak berasa kekok untuk duduk bersama orang-orang miskin. Dengan rendah diri dan mesra ia bersama rakyatnya malah ia lebih suka kerana dia sendiri datang dari situ. Oleh itu, apabila dia sudah memimpin kelak, maka masalah-masalah yang membelenggu masyarakatnya itu, akan ditangani dan dipimpinnya demi kesenangan orang bawahannya.

Pemimpin yang baik juga adalah seorang yang bersih dan amanah (beriman). Dengan kata lain, ia tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama seperti menipu, rasuah, menindas golongan lemah, terlibat dengan skandal seks dan sebagainya. Apabila ia melaksanakan perbuatan-perbuatan tersebut, pemimpin tersebut telah menjatuhkan maruahnya dan ia akan sukar mendapat kepercayaan daripada rakyatnya. Pemimpin yang sedar akan tanggungjawabnya yang besar hasil daripada kepercayaan rakyat kepadanya untuk memimpin mereka, sekali-kali tidak akan menyeleweng dan mengkhianati daripada amanah yang telah ditugaskan kepadanya.

Seterusnya, kekuatan fizikal dan mental juga dititik beratkan. Kekuatan fizikal adalah seperti sihat tubuh badan dan mampu melaksanakan tugas-tugasnya dalam kondisi yang luar daripada kebiasaannya. Sewajibnya, seorang pimpinan, memang akan melebihkan perhatian dan pengorbanannya kepada orang bawahannya melebihi kepentingan dirinya hatta keluarganya sekalipun. Dia turut merasa sakit tatkala rakyatnya menderita. Dia juga akan bersedih apabila seorang daripada rakyatnya mendapat kecelakaan. Dan begitulah jua sebaliknya. Manakala kekuatan mental adalah pertahanan jiwa dan fikirannya dalam menghadapi perjuangannya dan kerenah-kerenah anak buahnya serta masalah-masalah yang bakal melanda kelak. Jika tiadanya ketahanan ini, maka pimpinan akan mudah goyah dan akhirnya akan jatuh.

Di samping siat-sifat lain yang perlu ada, antaranya sifat sabar, progresif, mempunyai visi dan misi, kritikal, kreatif, zuhud, pemurah, rasional, benar, dan banyak lagi sifat yang perlu ada. Sehinggakan semua sifat baik perlu ada dala dirinya. Apabila pemimpin yang ingin memimpin orang lain, dia perlu memimpin dirinya terlebih dahulu. Berjaya dia memimpin diri, kelak akan berjayalah orang yang dipimpinnya.

No comments: