Tuesday, September 27, 2011

Ziarah merungkai kesusahan, menitip ketenangan (2)

Gambar Hiasan

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya kadang-kadang tidak mengerti pada sebuah kehidupan. Saya selalu dihadiri oleh peristiwa-peristiwa dan orang-orang yang mengalami kesusahan dan penderitaan dalam hidup. Kadang kala kita tidak ingini ia hadir, namun ianya datang dan pergi, kerana mungkin ia sebuah peringatan dari Allah s.w.t pada hamba-hamba-Nya.

Dua minggu selepas ayah sahabat saya Shafie sakit strok, hari ini saya menziarahi adik kepada seorang lagi sahabat saya, Zulfitri Amin yang dimasukkan ke wad ICU kerana kemalangan motorsikal pada hari Sabtu lepas. Kata Amin, keadaannya agak teruk.

Pada jam 8 malam saya bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, setelah mengetahui adiknya dipindahkan dari Hospital Sabak Bernam ke sini. Katanya tiada kemudahan untuk melakukan pembedahan kecederaan adiknya itu.

Pendarahan

Saya diberitahu bahawa terdapat pendarahan yang berlaku di bahagian depan otaknya akibat pelanggaran dengan kereta itu. Namun, Alhamdulillah ia berjaya dibuang dengan segera oleh doktor menyebabkan impilkasi terhadap otak terselamat. Sewaktu saya tiba, Amin memberitahu adiknya sudahpun dipindahkan ke wad biasa.

Di sisi Amin, ayah dan adik keduanya, setia menemani adiknya yang baru di tingkatan 2 sekolah kebangsaan di Sabak Bernam. Ketika saya dan Qayyum melawatnya, adiknya masih belum membuka mata, mungkin kerana badannya masih lemah dan tidak bermaya.

Selepas bersalaman, kami berbual-bual dengan ayahnya. Kebetulan Amin akan mengikuti istiadat konvokesyen pada minggu ini. Saya bertanya kepadanya sama ada dia akan menghadiri konvo. Jawabnya: "Tengoklah, kalau tak ada apa-apa Insya Allah hadir." Dia berkata sambil tersenyum kelat. Saya memahami perasaannya ketika itu.

Ujian

Sekali lagi saya sempat berpesan kepadanya bahawa ujian pasti akan hadir kepada setiap insan, cuma kita tidak mengetahui bilakah ujian tersebut akan menimpa kita, cepat mahupun lambat, atau mengenai kita sendiri atau orang yang kita sayangi. Segalanya bergantung kepada Allah yang menentukan dan mengetahui apa yang terbaik buat kita insan biasa.

Saya mengenali Amin sebagai orang yang kuat semangat dan tabah. Tiada riak kesedihan di wajahnya, dan mampu tersenyum kepada kami melindungkan perasaan rawannya. Di hadapan katil adiknya, seorang pesakit berbangsa Cina terlantar. Kata Amin, sudah hampir setahun dia terlantar kerana masalah sakit dan organ yang tidak berfungsi dengan baik.

Ketika kami datang, sudah ramai ahli keluarganya yang hadir. Kata doktor hanya 'menunggu masa', jikalau diberi rawatan sekalipun, ia akan menambah kesakitan dan kesengsaraan pesakit itu. Wajah ahli keluarga yang hadir kelihatan sedih apabila diberitahu oleh doktor situasi dan kondisi ayah mereka. Mereka juga diberi ujian oleh Allah di dalam hidup.

Redha

Begitulah kehidupan, selagi dinamakan manusia, ia akan diberi ujian. Sama ada kita berjaya menempuhinya atau tertewas. Sukar bagi orang yang dirundung malang dan ujian untuk mencapai tahap redha kepada Allah. Namun, andai kita selalu memandang orang yang lebih susah dari kesengsaraan yang kita hadapi, maka perasaan redha itu akan hadir sedikit demi sedikit, malah menimbulkan kerendahan hati kepada Allah.

Benarlah, mengingati mati itu akan menghidupkan hati. Ia mengingatkan kita bahawa kehidupan ini hanya sementara, tidak selamanya. Hari ini seseorang telah pergi meninggalkan kita, esok tidak pasti siapa yang akan menyusuli. Sesungguhnya banyak perkara yang perlu kita pelajari dari sebuah kehidupan.

Hospital Tengku Ampuan Rahimah
Bandar Klang
26 September 2011 (Isnin)
11.45 malam.

Wednesday, September 21, 2011

Siapakah yang boleh menafikan peluang kedua setiap insan?


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Soalan 1:

Assalamualaikum, aku orang yang bersembahyang 5 waktu (selalu juga ke masjid) dan waallahualam aku merasakan aku tidak ada melakukan dosa2 yang lain yang sebesar yang selalu aku lakukan, iaitu berzina dengan kekasihku (bukan dgn ramai wanita). Aku telah cuba mengelakkan diri berjumpa dgn nya pada hujung minggu sahaja kerana aku tahu diriku yang liar, dan pada hari minggu itu lah kami akan terjerumus dalam dosa zina bila berdua2an. Ini adalah kerana rasa cinta ke kepada si dia.

aku tahu semua itu dosa, aku membaca motivasi islam tetang nikmat penundukan nafsu dll. tetapi apabila aku berhadapan dengan kekasih aku itu, kekuatan ku untuk mengawal nafsu terus luntur dan seterus nya kami berzina, kadang2 berjimak di dalam kereta atau rumah nya jika tiada org.

selepas itu, pada pagi keesokkan nya aku akan menyesal teramat sangat dan merasakan kebodohan ku kerana tidak dapat membunuh nafsu ku yang gila itu. aku ingin mengetahui bagaimana kah aku dapat menghalang dari perkara ini berlaku lagi. berzina lepas itu bertaubat lagi, berkali2 begini aku pun rasa bersalah sangat, tak tahulah Allah Taala menerima taubat ku dan mengasihani aku , amat hina diriku ini dihadapanNya. Aku tak mahu lagi meredai kemungkaran yang Dia berikan kepada ku, aku mahu menhancurkan segala ini supaya aku dapat benar2 menjadi seorg yang beriman.

Sesiapa yang membaca ini harap membalas comment, aku tak pakai email betul cuma reply saja kat sini. Ustaz, Ustazah yang dirahmati Allah , harap dapat memberi nasihat yang sebenarnya untuk aku yang dalam kebingungan tentang ini. InsyaAllah! Semoga Allah merahmati dan menerima taubat kita semua. Amin!


Soalan 2:

Suatu persoalan saya pada ustaz merujuk pada laman web ustaz yang mana 'Sah berkahwin walaupun sedang mengandung anak zina dengan syarat pasangan atau pelaku tersebut bertaubat'. Boleh percaya ke taubat mereka ini?

Bukannya apa, kalau ustaz sudah meletakkan hukumnya macam itu, nanti bimbang orang-orang yang buat zina senang-senang sahaja akan buat zina lagi. Taubat entah betul entah tidak. Manusia zaman sekarang bukan boleh percaya.

Kiriman: zaujahsoleheh@yahoo.com


Ulasan:

Setiap manusia akan melalui kesilapan demi kesilapan di dalam kehidupannya. Oleh kerana manusia dijadikan oleh Allah s.w.t dengan penuh sifat kekurangan, maka kesalahan dan dosa sering mengelilingi dan menghambat dirinya. Dari sekecil-kecil manusia, hinggalah kepada sebesar-besar manusia, dari seorang manusia biasa hinggalah kepada seorang agamawan, kesemuanya pasti pernah melakukan kesilapan walaupun sekecil-kecil perkara. Tiada siapa yang boleh mendakwa dia akan terlepas dari sebarang kesilapan.

Kesilapan akan berlaku, seiring bergantinya hari demi hari dan waktu. Setiap manusia punyai ujiannya tersendiri yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t. Hakikatnya, ujian tersebut bergantung kepada sejauh mana kekuatan dirinya dalam menghadapi. Seorang ahli perniagaan akan diuji dengan harta kekayaan yang mengelilingi hidupnya. Seorang ahli agamawan pula akan diuji dengan sifat riya' terhadap ilmunya. Begitu juga seorang ayah atau suami, akan diuji dengan isteri serta anak-anak di sekelilingnya. Ada juga yang diuji dengan ujian kemaksiatan yang sentiasa mengejar dan menghambat dirinya sepanjang waktu.

Di dalam berhadapan dengan ujian-ujian tersebut, ada yang tertewas, disamping ada juga yang tabah dan cekal dalam menghadapinya lalu berjaya mengharunginya. Yang tertewas sesetengahnya dengan naluri insani yang dibekalkan Allah s.w.t, dia kembali ke pangkal jalan, menyesal dan berusaha untuk memperbaikinya. Ada juga sesetengah daripada itu yang tidak menyedari lalu melakukannya kembali. Semuanya bergantung kepada kekuatan diri masing-masing.

Menilai insan

Dalam menilai setiap insan, seseorang hanya diberikan panduan secara zahir semata-mata. Tiada manusia yang diberikan hak untuk mengatakan bahawa "Engkau berdosa" dan "Engkau tidak berdosa". Mungkin seseorang itu boleh menilai dan menghukum dengan asas pandangan mata kasarnya sahaja, sedangkan hakikat yang sebenar hanya diri orang itu sendiri serta Allah s.w.t Yang Menciptakan dia sahaja yang Mengetahui. Islam sendiri telah mengehadkan perbuatan hukum menghukum ini di dalam kaedah fiqh: "Kita hanya berhukum dengan perkara yang zahir sahaja, sesungguhnya Allah sahajalah yang menilai rahsia-rahsianya (yakni apa yang tidak nampak)." Siapakah kita yang mampu untuk membaca isi hati manusia lain? Dan siapakah yang mampu mengetahui apa yang terkandung di dalam hati setiap insan?

Oleh kerana semua manusia tidak terlepas daripada kesilapan, maka setiap manusia juga memiliki ruang yang terbuka luas untuk bertaubat dan mendapat keampunan daripada Allah s.w.t. Setiap dari manusia mempunyai 'peluang kedua' untuk mendapat tempat kembali di sisi Allah. Jika kita menilai bahawa dosa dan kesilapan seseorang itu sangat besar dan menggunung tinggi yang tidak mampu diampun sekalipun, hakikatnya yang memberi keampunan datangnya dari Allah dan sesungguhnya rahmat dan keampunan Allah itu sangat luas dan besar bagi setiap manusia.

Taubat

Sesiapa sahaja pun boleh bertaubat, malah taubat itu boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sekalipun. Asalkan ia ingin kembali ke pangkal jalan. Malah pada setiap masa, Allah membuka ruang seluas-luasnya bagi manusia yang pernah melakukan kesilapan untuk menghampiri keampunan Allah, dan Allah bersedia menghulurkan keampunan-Nya. Insan yang melakukan kesilapan di siang hari diberi ruang bertaubat di malam hari, sedangkan mereka yang berdosa di malam hari, diberi ruang untuk bertaubat di waktu siangnya. Di dalam sebuah hadis Qudsi, telah menceritakan bagaimana Allah s.w.t pada setiap hari di satu pertiga akhir malam, akan turun ke langit bumi lalu menyeru diantaranya: "Barangsiapa yang memohon ampun kepada-Ku, nescaya aku akan mengampunkannya." (Riwayat At-Tirmizi).

Allah sentiasa memandang kepada manusia yang tidak berputus asa dan mengharap keampunan-Nya. Apabila setiap hamba yang bersalah itu, timbul penyesalan atas perbuatannya maka itu merupakan petanda awal bagi sebuah taubat. Maka teruskanlah dengan penyesalan dan memohon ampun kepada Allah tanpa perlu berlengah. Firman Allah s.w.t (maksudnya): "Katakanlah: Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (berbuat dosa dan kesilapan), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; Sesungguhnya Dia jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Az-Zumar, 53).

Sejahat mana pun kesilapan yang kita lakukan, yakinlah bahawa Allah itu Maha Pengampun. Kita sentiasa memiliki ruang untuk diberi keampunan. Sesiapa yang mengenali sifat Allah, maka dia akan mengetahui bahawa Allah itu belas dan ihsan sifatnya terhadap manusia. Berbeza dengan sifat manusia yang kadangkala selalu menilai akan besar dan kecilnya kesilapan orang untuk diberi kemaafan, sedangkan ia tidak menyedari bahawa dia sendiri tidak terlepas dari kesilapan dan kemaafan orang lain.

Justeru, siapakah kita dalam menilai baik dan buruk insan lain? Sesungguhnya tidak ada ruang bagi kita untuk menafikan hak setiap insan lain bertaubat. Malah dalam satu-satu ketika, dengan taubat yang dilaksanakannya, ia kembali bersih dan suci daripada dosanya yang lalu dan berubah menjadi insan yang soleh, mungkin lebih soleh daripada kita. Rasulullah s.a.w mengajar kita: “Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (keldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).

Jangan ulangi

Namun, keampunan Allah s.w.t yang terbuka luas itu bukanlah tiket sewenang-wenangnya bagi setiap insan untuk terus melakukan kesilapan. Kerana hakikat yang perlu diingati dalam sebuah taubat itu adalah dengan tidak mengulangi kesilapan dan kesalahan yang telah lalu dilakukan. Sentiasalah berazam untuk meninggalkan kesalahan dan dosa itu dan berusaha menghindarkan diri dari terjebak dengan perlakuan tersebut. Menutup pintu-pintu dan jalan-jalan yang boleh membawa kepada berulangnya kesilapan lalu.

Kesilapan lalu bukan untuk diratapi, tetapi untuk diperbaiki. Mana yang baik perlu diulangi dan ditambahkan lagi kebaikan, sedangkan perkara yang buruk itu dijadikan pengajaran agar ia tidak dilakukan di kemudian hari. Sesungguhnya jika kita mengetahui bahawa kematian yang pasti kita lalui tidak menentu masa hadirnya, nescaya kita akan selalu mengingati bahawa dosa yang kita lakukan masih terlalu banyak untuk dimohon taubat kepada Allah.


Sunday, September 18, 2011

Ziarah merungkai kesusahan, menitip ketenangan..

Sebelum berangkat pulang, kami bergambar. Di belakang dua relung sawah padi milik ayah Shafie yang belum sempat diusahakan. Shafie masih boleh tersenyum walaupun hatinya terendam luka.


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Ketika kecil-kecil dahulu, saya hanya mampu melihat sahaja jika saya mengunjungi orang sakit di hospital, tanpa mengerti apa-apa, lebih lagi menilai di sebalik kesakitan itu. Ramai orang berkata, kesusahan dan kepayahan pasti akan hadir dalam diri dan kehidupan setiap insan, namun bilakah ia akan datang, ia menjadi rahsia Tuhan Yang Maha Mengetahui pada masanya, cepat mahupun lambat.

Seminggu lepas, selepas mendapat panggilan dari seorang sahabat, saya mengambil keputusan untuk ke Kedah. Menziarahi sahabat baik, Shafie yang ayahnya baru sahaja ditimpa sakit angin ahmar (strok) ketika akhir bulan Ramadhan baru-baru ini.

Perjalanan

Bertolak pada tengah malam sekitar 12.30 malam bukanlah satu masa yang sesuai, ditambah lagi dengan pada sebelah siangnya banyak memenuhi jemputan rumah terbuka Aidilfitri, sudah pasti perjalanan malam itu suatu yang memenatkan. Sekitar 1 pagi, saya dan 4 sahabat yang turut serta sudah meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Jitra.

Saya mengenali Shafie agak lama, hampir 6 tahun lebih dan kami sangat rapat di kampus ketika di dalam Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Beliau ketika itu adalah pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional. Kami semakin rapat apabila pernah sama-sama ditahan ketika menganjurkan Demonstrasi menuntut Autonomi Kampus di Sogo, beberapa bulan sebelum menjelang Pilihan Raya Kampus.

Seorang yang cekal

Saya tidak pernah melihatnya - sepanjang bersama dalam gerakan kampus - dalam keadaan yang 'susah hati' walaupun berada dalam situasi-situasi yang sukar. Semangatnya sangat tinggi dalam setiap kerja yang dilakukan, dan melaksanakan sesempurna mungkin seandainya menerima amanah dan tugasan.

Paling saya ingati, sewaktu saya dikejar polis kerana terlibat di dalam demonstrasi Anti-PPSMI, beliau yang banyak menemani saya dan menitipkan kata-kata nasihat yang sukar saya lupakan sehingga hari ini. Katanya: "Jadi seperti Dr Abdullah Azzam di dalam kata-katanya: Aku tidak akan meninggalkan bumi jihad ini melainkan tiga keadaan; sama ada aku dibunuh di Peshawar, atau aku dibunuh di Afhganistan ataupun aku dihalau keluar dari Pakistan dengan paksaan."

Kami tiba di bandar Darulaman sekitar jam 5.50 pagi. Sebaik tiba, terdengar laungan azan Subuh dan terus melaksanakan solat di Masjid Al-Muttaqin. Selepas berehat seketika, kami bersarapan di medan selera berhampiran masjid dan terus memecut kereta ke bandar Jitra untuk mencari rumah Shafie.

Hampir jam 9 pagi baru kami tiba di rumahnya. Agak 'pening' mencari jalan masuk kerana sekeliling kampung ini dipenuhi dengan petak-petak sawah padi yang menjadi pekerjaan dan sumber rezeki tetap penduduk di sini. Keluarga Shafie sendiri memiliki dua 'relung' sawah padi untuk diusahakan. Kebiasaannya, kata Shafie, untuk mendapatkan hasil padi mengambil masa selama enam bulan.

Ujian 'bertimpa-timpa'

Setibanya kami terus menemui ibu dan ayahnya. Benar, ayah beliau agak tenat. Keadaannya sangat lemah. Kata Shafie hampir beberapa bulan ayahnya tidak makan kerana tidak berselera. Dia sendiri terpaksa memujuk dan 'memaksa' ayahnya makan untuk menjaga kesihatan. Shafie juga memberitahu bahawa selepas beberapa hari ayahnya diserang strok yang melemahkan separuh anggota badan, ayahnya sekali lagi diserang dan kali itu dia terjatuh menyebabkan tangan kanannya patah.

Selepas kejadian itu, ayahnya sukar bangun, ingatannya juga terjejas. Sakitnya yang lalu seperti asma dan batuk menyebabkan kesihatannya semakin merosot. Hati saya tersentuh dan sayu melihat keadaan ayahnya. Kata Shafie, hampir berminggu-minggu dia tidak tidur menjaga ayahnya pada waktu malam kerana asmanya akan menyerang menyebabkan batuk-batuk dan sukar bernafas.


Saya hanya mampu mengucapkan sabar kepadanya, walaupun saya tahu perkataan tersebut tidak mampu mengubat hati dan perasaan beliau. Saya berkata dari hati kerana saya sendiri pernah melalui peristiwa dan keadaan yang sama seperti beliau, dan saya mengerti kepahitan yang ditanggungnya. Saya teringat nasihat Dr Asri Zainul Abidin, katanya: "Hanya orang yang pernah melalui (sesuatu peristiwa) akan mengerti maksudnya.."

Dua jam di rumahnya hanya seperti beberapa saat. Banyak perkara saya ingin pesan kepada beliau namun masa membataskan niat saya. Dari riak mukanya, saya dapat melihat garis luka seorang anak yang 'kehilangan' ayahnya walau saya mengenali beliau sebagai seorang yang cekal dan tabah sebelum ini.

Mengenali hakikat kehidupan

Selepas bersalaman, saya dan sahabat-sahabat memohon mengundur diri pulang ke Kuala Lumpur. Kami terpaksa bergegas kerana ingin mengejar kenduri kahwin sahabat di Gombak. Sekali lagi sempat berpesan kepada Shafie: "Semoga tabah akhi.. Ujian dalam hidup pasti akan hadir, cuma kita tidak mengetahui bila masa ia akan tiba. Ingat akhi, setiap duka pasti akan berakhir.." Kata-kata yang saya kira mungkin tidak boleh memberi kesan pada jiwanya yang sedang bersedih, namun saya cuba lontarkan kerana ia datang dari seraut pengalaman saya melalui sepertinya.

Jawabnya: "Terima kasih Aizat. Aku redha dengan apa yang aku lalui sekarang ini. Doakan ayah aku pulih. Terima kasih sebab hangpa sanggup mai dari jauh..susahkan hangpa sahaja.. Jumpa lagi." Saya memeluknya.

Sesungguhnya tidak ada apa yang saya boleh ungkapkan dalam menilai dan mentafsirkan maksud sebuah kehidupan yang di dalamnya penuh dengan makna, peristiwa dan pelajaran. Ia ibarat sebuah perjalanan yang seringkali berganti-ganti menunggu waktu. Setiap perkara yang hadir akan berlalu, lalu ia diganti dengan perkara yang lain. Di dalam perjalanan, kadangkala naluri insani sering tersungkur dan rebah, namun di sana ada yang masih cekal mengharunginya. Apa yang pasti setiap yang berlalu ada hikmah yang perlu dikutip, dan dengan hikmah itu akan membibitkan kematangan bagi setiap insan yang melaluinya.

Kami tinggalkan Jitra dengan satu perasaan yang agak sayu. Saya teringat pesan Agama, dalam membandingkan insan di dunia, kerapkanlah banding dengan insan yang lebih bawah atau kurang daripada kita, kerana ia akan menimbulkan perasaan insaf dan rendah hati. Di dalam harta, bandingkanlah dengan orang yang lebih miskin dari kita, kelak kita akan redha dan bersyukur dengan apa yang sudah ada. Di dalam kesakitan dan kesusahan, bandingkan jugalah dengan orang yang lebih tenat dan susah dari kita, kelak hati akan tenang dan merasa redha dengan apa yang menimpa kita.

Saya suka belajar. Belajar dengan semua perkara dan belajar dengan semua orang. Dan juga belajar dengan erti kehidupan, seterusnya saya mencoret buat tatapan dan pelajaran semua orang. Apa yang saya terima dari semua orang, saya akan pulangkan kembali kepada semua orang, agar manusia bisa menerima manfaatnya.

Hentian Rehat dan Rawat (R&R)
Sungai Perak,
17 September 2011 (3.30 pagi)

Wednesday, September 14, 2011

Hari Malaysia: Sejarah, Merdeka dan harapan Generasi Muda


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Sejarah jika merujuk kepada portal wikipedia bermaksud: “Ilmu yang diperolehi melalui kaedah penyiasatan. Juga membawa erti penemuan, pengumpulan, pengurusan, dan persembahan maklumat terhadap peristiwa silam atau lampau. Ia juga bermaksud tempoh masa yang lalu selepas catatan penulisan telah dicipta.” (Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah).

Merdeka pula didalam Bahasa Inggeris diertikan sebagai: Independent (bebas) atau freedom (kebebasan). Di dalam aspek pemerintahan, kemerdekaan dimaksudkan sebagai, ‘Pemerintahan sendiri oleh penduduk sebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan.’ (Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Kemerdekaan).

Manakala Dr Abdullah Nasih ‘Ulwan, tokoh gerakan Islam timur tengah pula mentakrifkan generasi muda sebagai: ‘Satu kelompok atau generasi yang memiliki semangat yang tinggi, bersifat perubah, tidak mempunyai kepentingan kerana asas tertegaknya jiwa mereka adalah daripada sifat hatinya yang tulen dan kemahuan yang membara yang dipengaruhi oleh asas Aqidah yang benar (Islam).’ (Sumber: Abdullah Nasih Ulwan, Hingga Dimengerti Generasi Muda).

Persepsi ‘Kaum Tua’

Banyak generasi lama, atau ‘Kaum Tua’ sering prejudis kepada generasi muda di dalam aspek sejarah dan kemerdekaan. Kata mereka generasi muda hari ini – yang lahir pasca kemerdekaan – adalah satu golongan yang ‘nipis’ semangat merdekanya. Tidak kurang yang berkata mereka – generasi muda – tidak pandai menghargai kemerdekaan - kerana memperlihatkan tingkah berbeza – selain tidak tahu bersyukur dan tidak mengenang jasa-jasa pejuang kemerdekaan dahulu.

Generasi muda, jika diteliti yang umurnya 35 tahun kebawah, sememangnya kelompok yang tidak melalui secara langsung sejarah dan keperitan perjuangan merdeka. Lahir sekitar 1970-an di waktu negara sudah pun merdeka dan bibit-bibit kemajuan negara sedang rancak tumbuh. Ya! Kita – generasi muda - mengakuinya. Kita tidak pernah merasai ‘air sabun’ dari tentera Jepun, mahupun makan tengahari ubi kayu, apatah lagi suasana darurat ketika penjajahan British.

Namun, apakah itu menjadi satu-satunya ‘tanda aras’ kepada kita – generasi muda – dinafikan keberadaan di dalam sejarah mahupun erti sebuah kemerdekaan di tanah air kita, seterusnya diberikan persepsi sedemikan rupa?

Sejarah dan merdeka: Kacamata generasi muda

Dengan bersumberkan maklumat wikipedia internet, kajian-kajian ilmiah, buku-buku ilmiah serta sumber penceritaan yang tidak terhad dan bebas, inilah yang menjadi asas generasi muda menilai sejarah. Lebih-lebih lagi dengan menggunakan medium media internet yang fakta dan maklumat yang tidak terbatas, generasi muda bebas dan mudah mendapatkan sumber-sumber sejarah tanpa sekatan dan pelbagai versi.

Dari situ, kita – generasi muda – yang sifatnya kritikal dalam menyeduk maklumat, pasti meletakkan asas persoalan, mengapa sejarah itu terjadi? Bagaimana ia boleh berlaku? Siapakah tokoh pejuang yang menyertai peristiwa itu? Bila dan di mana ia terjadi? Dan dengan jawapan-jawapan yang terhasil, generasi muda akan mengambil semangat perjuangan itu untuk dinilai apakah ia berlaku pada zaman ini – zaman di mana mereka berada – di tanah air tercinta.

Misalnya, kita mengambil sejarah perjuangan kemerdekaan. Kita mendapati banyak gerakan dan tokoh yang terlibat membebaskan tanah air daripada penjajahan seperti PKMM, PKM, UMNO, API, AWAS dan sebagainya. Asasnya apa? Membebaskan tanah air dari dijajah. Lalu semua tokoh yang terlibat wajarlah diberi pengiktirafan pejuang kemerdekaan.

Contohnya lagi adalah kewujudan FELDA, yang diasaskan pada 1 Julai 1956. Tun Abdul Razak sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar telah membawa membawa semangat penubuhannya adalah untuk menangani penempatan semula penduduk luar bandar yang miskin ke kawasan-kawasan yang baru dibangun agar meningkatkan taraf ekonomi mereka. Disamping itu, penubuhan Dasar Ekonomi Baru (DEB) ketikanya menjadi Perdana Menteri yang bermatlamatkan membasmi jurang kemiskinan, menyusun semula masyarakat serta memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi berasaskan kaum.

Masa hadapan

Meneliti dan menelusuri sejarah dan perkembangan contoh yang disebutkan, bagi generasi muda – yang lahir pasca peristiwa-peristiwa penting negara tersebut – akan melihat sejauh mana semangat, perjuangan dan dasar tersebut pada hari ini – di zaman yang mereka berpijak – terlaksana dan terus cemerlang memperbaiki dan memajukan negara dan rakyatnya.

Pada hakikat, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Sejarah telah dikaburkan apabila tokoh-tokoh yang sewajar diiktiraf di dalam arena perjuangan, digelapkan dan disembunyikan. Peristiwa penting yang menjadi landasan terbinanya negara ini ada yang disorok ada pula yang didedahkan – mengikut kepentingan politik masing-masing.

Generasi muda bertanya, apakah semangat-semangat perjuangan dan dasar-dasar yang diwujudkan oleh ‘pejuang-pejuang merdeka’ atau mereka yang mengangkat mereka pejuang merdeka, sehingga hari ini telah diletakkan pada kedudukannya? Dasar Ekonomi Baru (DEB) misalnya, tujuan asalnya adalah untuk mengangkat ekonomi dan membasmi kemiskinan orang-orang Melayu, namun yang terjadi adalah yang kaya adalah golongan yang sama, yang miskin tetap orang Melayu.

Harapan generasi muda

Lalu dengan takrifan apa maksud merdeka itu sebenarnya – bagi generasi muda – dalam menilai semua perkara-perkara ini? Andainya ia dieertikan sebagai jiwa dan fizikal yang merdeka, maka andaian tersebut masih lagi belum realiti di dalam keadaan dan situasi dalam negara kita hari ini. Merdeka sebenar bagi generasi muda – yang tidak melalui zaman penjajahan – adalah mereka bebas berada di tanah air mereka dalam erti kata dasar-dasar dan perjuangan – yang diperjuangkan dahulu – kekal semangatnya sehingga kini, walaupun pemimpin, parti dan kerajaannya berubah.

Pemimpin datang dan pergi – dan ia tidak menjadi ukuran – bagi generasi muda. Apa yang penting, dasar yang baik – dengan mengambil kepentingan seluruh suara rakyat, bukan kepentingan parti dan golongan atasan semata-mata – dan dengan dasar itu, ia mewujudkan hubungan antara kaum yang murni dan selesa – walau tanpa slogan yang begitu idealistik. Soalnya ialah generasi muda melihat dan merasai, tidak sekadar mendengar teori yang sering berubah-ubah menjelang pilihan raya.

Tuesday, September 13, 2011

Ulasan pembaca (2)


Ulasan ini dipetik daripada laman Malaysian, Books and Food, milik Fariza Zahrin.

Terima kasih atas kritikan.


"Kalau mu samseng, Aku (Tuhanmu) lebih samseng, kalau mu jahat, Aku (Tuhanmu) lebih jahat, dan kalau mu sombong, Aku (Tuhanmu) lebih sombong."

-Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat-

Pemikiran

Buku dimulai dengan perkaitan PAS sebagai sebuah gerakan Islam terus pembaca dibawa mengenali peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz kemudian barulah penulis membahaskan mengenai pemikiran Tuan Guru.

Secara keseluruhan penulis hanya mengutarakan pemikiran Tuan Guru mengenai isu semasa sahaja iaitu lebih kepada mengulas petikan kata-kata Tuan Guru yang disiarkan oleh media massa. Sekiranya anda adalah seorang pemerhati politik Malaysia, anda pasti akan terbiasa dengan petikan-petikan yang dimuatkan penulis di dalam buku ini.

Kredit diberikan kepada penulis kerana mengulas petikan kata-kata tersebut dalam bentuk pemikiran. Namun begitu, saya mengharapkan perbahasan mengenai pemikiran Tuan Guru ini adalah lebih kritis. Di dalam buku ini semuanya baik-baik belaka. Saya suka kiranya terdapat sedikit kritikan di dalam buku ini namun mungkin penulis mempunyai persepsi yang berbeza dengan saya.


Tidak Perlu

Secara jujurnya saya merasakan bab pertama buku ini tidak wajar dimasukkan bersama. Keseluruhannya seolah tidak berkait dengan pemikiran Tuan Guru. Malah saya berasa seolah-olah penulis sengaja menambah bahagian pertama untuk meningkatkan bilangan muka surat buku ini.

Setinggi-tinggi maaf buat penulis atas komen saya di atas. Sekiranya buku ini fokus kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz sahaja tanpa memasukkan bab 1 yang penuh dengan fakta yang pada pendapat saya tidak perlu sudah pasti saya akan berikan lebih bintang buat penulis. Semasa membaca bab satu saya seolah-olah terkapai-kapai mencari di mana Tuan Guru. Dimana?


Suka

Buku ini akan memberi peluang yang lebih luas bagi mereka yang tidak pernah mengenali Menteri Besar Kelantan ini supaya mengenali beliau. Bukan setakat mengenali beliau tetapi boleh dikatakan mampu memberi persepsi baru terhadap negeri Kelantan. Banyak isu berkaitan negeri Kelantan yang diketengahkan seperti pengharaman arak, iklan perempuan bertudung, kes rotalti minyak dan sebagainya.

Apabila saya meneliti kembali isu-isu yang diketengahkan, isu berkaitan pengharaman arak dan iklan perempuan bertudung adalah antara isu yang saya suka. Pengalaman saya menjejakkan kaki buat pertama kali di Kelantan setelah sekian lama mendapat maklumat palsu mengenai kedaifan negeri Kelantan, saya kagum. Bayangkan papan tanda iklan menggunakan perempuan bertudung dan bertulisan jawi? Nyata, seolah saya berada di zon yang berlainan. Tidak pernah saya melihat papan tanda yang di Kelantan di negeri lain. Tidak pernah. Sudahlah bahasanya pun berlainan, suasana pun sedikit berlainan.


Pantun

"Manis sungguh dokong tuan,
Malam resah pelita mati,
Payah apa sokong bulan,
Mungkin susah tapi tak mati."
Saya suka pantun yang diselitkan di dalam buku ini. Halus dan bijak.

Mungkin kerana saya merasa tidak cukup atau tidak puas membaca isi pemikiran Tuan Guru, saya memandang pantun ini sekadar perasa tambahan yang sekadar untuk menjadikan buku ini lebih menarik. Sampingan.

Namun, sekiranya penulis mengulas pantun yang diselitkan ini didalam bentuk pemikiran, ianya pasti memberikan sebab yang lebih baik untuk memasukkan pantun-pantun tersebut. Entahlah.

Keseluruhan

Teknik penulisan buku ini ada sedikit menyerupai teknik penulisan Ust Riduan Mohamad Nor (pendapat peribadi). Kulit buku ini cantik. Editor perlu menyemak semula beberapa salah ejaan di dalam buku ini. Maaf, jarang buku terbitan PTS mempunyai salah ejaan.

Saya hanya memberikan buku ini 3 bintang sahaja, jika bab 1 buku ini tiada, mungkin lebih banyak bintang buat Aizat. 3 pun sudah cukup kan Aizat?


Nota Kaki

Penulis merupakan junior saya di dalam Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan GAMIS. Penulis telah menghafal 30 juzuk al-Quran, graduan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan seorang aktivis Mahasiswa Islam yang aktif. Beliau aktif menulis di blog beliau 'Secawan kopi Secangkir Idea'. Tahniah Aizat, kerana telah berjaya menjadi seorang penulis buku.

Sumber: http://farizahrin.blogspot.com/2011/06/pemikiran-tuan-guru.html

Sunday, September 11, 2011

Analisis: Pandangan umum terhadap Konsep Asas Negara Berkebajikan PAS


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Pandangan ini bukanlah mengkritik atau memperbetulkan mengenai konsep asas Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS di dalam bukunya 'Konsep Asas Negara Berkebajikan' tulisan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Bin Awang, namun satu komentar berkenaan pandangan awam yang lahir daripada pengamatan rakyat biasa.

Dokumen setebal 86 halaman dengan dibahagikan kepada 7 bahagian tersebut mengambil semangat ucapan Presiden PAS iaitu: "PAS menerima hakikat masyarakat majmuk dan menjadikannya peluang keemasan bagi memperkenalkan Negara Berkebajikan yang berkonsepkan Adil Untuk Semua, dengan Kepimpinan Islam yang menekankan perpaduan kaum berasaskan persaudaraan kemanusiaan yang diwajibkan oleh Islam.." (Rujukan: Buku Konsep Asas Negara Berkebajikan)

Asas Transformasi Negara Islam kepada Negara Berkebajikan

Asas yang menjadi perkara penting kepada PAS adalah menerang, memperjelas dan memahamkan masyarakat dan rakyat berkenaan bagaimana dasar Negara Islam yang diperjuangkan sejak puluhan tahun dahulu berubah menjadi konsep Negara Berkebajikan. Perlu diingatkan bahawa apabila PAS mempromosikan dasar tersebut, maka ia dinilai bukan sekadar daripada parti lawannya sahaja (UMNO-BN), bahkan seluruh rakyat Malaysia. Dan rata-rata yang menelitinya adalah generasi baru yang kritikal dan berfikiran luas serta terbuka.

Asas perubahan ini perlu dirujuk kembali kepada konsep fleksibeliti (keboleh-ubahan dan kelenturan) hukum serta syariat Islam terhadap perkara-perkara semasa. Dr Yusuf Al-Qaradhawi di dalam bukunya bertajuk: 'Keunggulan Hukum Islam Menangani Cabaran Zaman' membawa kaedah fiqh: "Berubahnya sesuatu hukum (syariat Islam) kerana berubahnya masa, tempat dan keadaan (semasa)."

Itu dalam persoalan hukum fiqh - yang memerlukan perubahan-perubahan hukum - apabila timbulnya pelbagai masalah-masalah baru semasa yang kompleks dan rumit. Malah lebih-lebih lagi dalam persoalan politik yang sangat memerlukan para pemimpin parti dan gerakan Islam mengemukakan sesuatu yang baru, segar dan boleh diterima masyarakat agar perjuangan dan dasar parti itu diterima baik dan murni oleh lapisan masyarakat.

Justeru, tidak syak transformasi yang dilakukan PAS menepati kehendak Islam agar Islam itu diterima masyarakat dengan kefahaman dan kejelasan, bukan atas dasar sokongan politik semata-mata. Selain itu, perubahan itu (Negara Islam kepada Negara Berkebajikan) perlu diperjelaskan lagi bahawa ia bukanlah satu transformasi yang mengubah dasar dan kehendak Negara Islam, bahkan sebenarnya ia adalah proses merealisasikan Negara Islam tersebut.

Negara Berkebajikan adalah terjemahan Negara Islam

Apabila meneliti konsep-konsep asas bagi sebuah Negara Islam, maka ia boleh disimpulkan secara berikut: "Negara yang didiami oleh umat Islam (seluruh atau sebahagiannya), dan dilaksanakan dalamnya hukum-hakam (syariat) Islam." (Ibnu Qayyim di dalam bukunya Ahkam Ahli Az-Zimmah).

Terjemahan kepada perlaksanaan hukum-hakam Islam itu tidaklah semata-mata kepada perlaksanaan hukuman Hudud - memotong tangan bagi pencuri dan sebagainya - bahkan ia lebih luas daripada itu. Apabila meneliti objektif - atau popular disebut maqasid syariah - di dalam perlaksanaan hukum Islam, maka kita mendapati bahawa tujuan perlaksanaan hukum Islam pasti akan menghasilkan - kepada seluruh manusia: 1) Mengambil segala kebaikan (Jalb al-Masalih), 2) Menolak segala keburukan (Dar al-Mafasid), 3) Menegakkan persamaan/hak asasi (al-Musawaat). (Rujukan: Ibnu 'Asyar dalam bukunya Maqasid As-Syariah al-Islamiyyah).

Di samping itu, manfaat hukum Islam itu akan dirasai bersama kepada seluruh manusia - termasuk Islam dan bukan Islam serta hidupan lain - kerana Islam itu adalah rahmatan lil 'aalamin - rahmat kepada seluruh alam.

Daripada inilah lahirnya konsep kebajikan. Takrif kebajikan tersangat luas merangkumi semua perkara. Kata Dr Yusuf Al-Qaradhawi: "Kebajikan itu termasuk apa sahaja yang menyerukan kepada kebaikan seperti kebajikan (perbuatan baik), kasih-sayang, sedekah, melapangkan kesulitan, menolong orang yang teraniaya, dan sebagainya." Dari konsep inilah kita dapat melihat bahawa di dalam Negara Islam itu tertegaknya Negara Kebajikan sebagaimana yang dibawa PAS.

Mengambil 3 asas di atas iaitu mengambil kebaikan, menolak keburukan dan menegakkan persamaan, kita dapat melihat banyak contoh di dalam merealisasikannya, dan inilah yang sewajarnya diperjelaskan oleh PAS dengan lebih proaktif dan berkesan.

1) Mengambil Kebaikan

Antara yang boleh diperjelaskan oleh PAS di dalam konsep mengambil kebaikan adalah dengan mengemukakan segala manifesto yang memberi kebaikan kepada seluruh rakyat. Antaranya adalah dengan membentangkan belanjawan alternatif di dalam aspek ekonomi serta mengemukakan alternatif-alternatif kepada permasalahan ekonomi, undang-undang, pendidikan dan sebagainya yang melanda negara dan masyarakat yang gagal dilakukan oleh UMNO-BN.

Di samping itu juga, dalam konsep ini, PAS juga boleh mengekalkan apa sahaja dasar serta tindakan yang baik daripada usaha kerajaan sekarang tanpa perlu membuat perubahan secara drastik yang akan memeningkan rakyat. PAS juga perlu mengambil peluang daripada sistem yang sudah sedia ada, misalnya bagaimana PAS boleh bergerak dengan lebih berkesan di dalam kerangka perlembagaan.

2) Menolak Keburukan

Menolak keburukan beerti menolak segala dasar yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat. Misalnya dasar ekonomi yang memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada syarikat-syarikat besar, serta memiskinkan lagi rakyat yang sudah sedia miskin. Menolak juga segala unsur-unsur yang membawa kepada penyelewengan seperti rasuah dan salah guna kuasa di samping akta-akat serta undang-undang yang bersifat 'mendera' rakyat.

3) Menegakkan persamaan/keadilan/hak asasi

Asas ketiga inilah yang menjadi kayu ukur yang sebenar kepada sebuah Negara Berkebajikan. Penegakkan keadilan adalah merentasi parti politik, bangsa dan agama. Dalam hal ini, kerajaan UMNO-BN sedia ada telah gagal menjadi sebuah kerajaan yang adil dan berhemah. Dalam banyak perkara lebih mementingkan keuntungan golongan atasan berbanding rintihan dan kepayahan rakyat bawahan.

Begitu juga dalam aspek sistem perundangan. Berapa banyak rakyat yang telah dinafikan hak mereka untuk mendapat keadilan undang-undang. PAS juga perlu bersedia mengemukakan alternatif kepada sistem perundangan terutamanya di dalam kehakiman dan perlaksanaannya agar institusi ini kembali bersih dan berkredibiliti.


Model Negara Berkebajikan

Walaupun di dalam buku Konsep Asas Negara Berkebajikan ada mengemukakan contoh terbaik Negara Berkebajikan perlu diambil daripada Negara Madinah serta zaman khulafa' ar-Rasyidin (Khalifah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a) (Rujuk buku tersebut di m/s: 56&64), namun PAS perlu mengemukakan model yang realistik dan tepat dengan keadaan serta sistem negara di Malaysia. Atas sebab inilah PAS telah memulakan langkah yang baik di dalam Muktamar ke-57 dahulu dengan memilih kepimpinan yang sesuai dengan zaman dan manifesto itu (Negara Berkebajikan).

Buku Konsep Asas Negara Berkebajikan wajar diteliti, dikaji dan diperbahaskan agar isi dan aspek yang dibentangkan tepat dengan keadaan masyarakat kini. Antara lainnya, PAS perlu mengambil pandangan umum daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya generasi muda, pakar perlembagaan, pakar ekonomi, disamping pemimpin politik yang berpengalaman di dalam negara ini, agar persembahan dasar perjuangan PAS diterima semua lapisan masyarakat.

Tulisan ini tersiar di laman portal MerdekaReview.com.

Wednesday, September 7, 2011

Ulasan pembaca (1)

Berikut adalah ulasan daripada pembaca buku Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terbitan PTS Publication. Terima kasih atas sokongan.

Pandangan yang ditulis:

Tatkala melewati beberapa rak buku di toko buku milik seorang cini ini, mata saya tertangkap wajah redup dan tenang Tok Guru Nik Aziz yang menjadi cover sebuah buku.
Putih dan bersih.

Saya baca tajuknya.
Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Belek pula kandungan dalamnya secara kasar. Lihat rujukannya, terus tersenyum.

"Rujukan utama: Al-Quran dan Sunnah"




Penulis: Mohd Aizat Mohd Salleh Al-Hafiz
Penerbit: PTS Millenia
Tahun Terbitan : 2011
Bil muka surat: 149
Sumber: Duit poket yang tak berapa tebal

Bagi mereka yang mengenal TG hanya melalui isu semasa yang dimainkan media pro kerajaan, pasti timbul 1001 prejudis terhadap kelibat beliau dalam arena politik, dan secara langsung terhadap PAS.

Walhal, beratus kuliah mingguan beliau tidak pula kita ikuti. Gaya bahasa, buah fikiran dan atur katanya.

Tidak adil jika menilai peribadi TG tanpa membuat penilitian dan kajian tentang latar belakang dan sejarah beliau dengan lebih terperinci. Tak kenal maka ta'aruf kan.

Nah, buku ini antara jawapannya. Pembaca disajikan dengan latar belakang keluarga, pendidikan dan sejarah penglibatan dalam politik.

Apa yang dimaksudkan sebagai Kelantan model negeri Islam juga dapat saya fahami dengan lebih baik melalui penerangan tentang perubahan-perubahan yang dilaksanakan oleh TG.

Penggal kedua buku ini pula membincangkan tentang isu semasa yang mendapat sentuhan TG. Antaranya isu non-muslim membaca ayat Quran, non-muslim dan masjid, kalimah Allah dan banyak lagi. Justeru menjawab tohmahan dan serangan yang dilemparkan kumpulan tertentu.

Highly recommended.

Menjernihkan keruh yang kadang meresap masuk dalam fikiran kita.
Sungguh, TG Nik Aziz tokoh Islam yang bukan calang-calang dalam era kebangkitan Islam masa kini.

Wallahu ta'ala a'lam.
Peace!

p/s- saya lebih thiqoh dengan pandangan TG berbanding individu-individu lain dalam isu perpaduan, melihat kepada ketinggian ilmu dan pengalaman beliau dengan bacaan politik yang bukan sebarangan.


Sumber ini dipetik daripada blog: http://mhazu.blogspot.com,
Ulasannya di sini: http://mhazu.blogspot.com/2011/08/pemikiran-tuan-guru-nik-abdul-aziz-nik.html

Monday, September 5, 2011

Hakikat sebuah pengharapan


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Semua orang pastinya pernah mengharap. Mengharap apa jua yang diingini di dalam kehidupannya. Pengharapan itu datang daripada keinginan, kehendak serta sebuah impian lalu dengannya seorang itu akan berusaha malah berkorban serta membuat pilihan di dalam hidupnya.

Ada yang pernah mengharap di dalam sebuah perniagaan adalah dengan memiliki keuntungan daripada hasil perniagaannya. Jualan barang-barangnya dibeli pelanggan dan laris. Peniaga sentiasa mempunyai impian dan harapan bahawa dia akan berjaya membawa perniagaannya ke puncak keuntungan dan kejayaan.

Pernahkah kita jika dari kalangan ibu bapa mengharapkan sesuatu kepada anak-anak? Ya, pasti pernah, bahkan selalu mengharapkan. Ibu bapa sudah pastinya mengharapkan anak-anaknya berjaya di dalam hidup. Paling kurang, anak-anaknya menjadi lebih baik daripadanya. Jikalau pekerjaan, biarlah bukan petani yang berpanas-hujan membanting tulang mencari sesuap rezeki seperti yang mereka laluinya di dalam hidup.

Terkadang juga kita mengharapkan anak-anak itu menjadi manusia yang dihormati. Misalnya di dalam pekerjaan, dia menjadi seorang doktor yang boleh berjasa kepada orang lain, bahkan kerjaya itu sangat disanjung oleh masyarakat. Ada juga yang berharapkan anaknya menjadi seorang yang stabil kedudukan kewangannya yakni sebagai ahli perniagaan, agar nanti dapat memberi keselesaan apabila mereka menjejak hari tua.

Itu juga adalah harapan. Ramai orang berharapkan sedemikan. Tetapi ramai juga orang di zaman ini yang memiliki kedudukan, kerjaya dan kewangan yang kukuh, namun disana tidak mampu menjaga ibu bapanya yang sudah tua, uzur mahupun sakit. Mereka menganggap ia mengganggu kerjaya mereka, lantas dihantar sahaja ke rumah orang-orang tua.

Lalu, apakah yang kita harapkan di dalam kehidupan ini, sebenarnya?

Hakikat sebuah harapan

Dalam setiap sesuatu, ia punyai hakikatnya. Hakikat yang perlu difahami agar manusia tidak kecewa dengan apa yang diimpikan. Dan pemahaman setiap hakikat ini sangat perlu dilandaskan dengan panduan syariat yang ditetapkan Allah agar sifat redha muncul dan terdetik di dalam hati dan sanubari kita.

Semua orang di dalam pengharapannya mahukan akhir sebuah harapan dengan sesuatu yang indah dan baik. Jika seorang ibu mahukan anak-anaknya menjadi manusia yang baik dan berguna. Bagi peniaga mahukan barang jualannya habis dijual dan memperolehi keuntungan. Begitu juga bagi seorang pemimpin negara mengimpikan negara dan rakyat yang ditadbirnya maju dan sejahtera.

Namun, tidak semua pengharapan berakhir dengan sesuatu yang manis. Malah hari ini banyak harapan yang hancur dengan kekecewaan apabila yang diingini berlaku sebaliknya. Dan orang kata 'harapan hanya tinggal harapan..'

Hakikatnya, sebuah harapan memerlukan seseorang itu berlegar dengan ketentuan Allah yang tidak pasti. Mengapa begitu? Ini kerana setiap sesuatu yang berlaku kepada diri manusia sama ada baik mahupun buruk adalah kurniaan yang terbaik dari sisi Allah s.w.t buat hamba-Nya. Manusia kadangkala menilai sesuatu yang baik mengikut neraca penilaian manusia, sedangkan Allah s.w.t menilai sesuatu yang baik mengikut neraca diri-Nya dan apa yang baik buat manusia.

Apa yang manusia harapkan akhir yang baik itu tidak semestinya ia baik kepada dirinya walaupun dari pandangan mata manusia dan dunia ia baik. Sebaliknya dari sisi Allah sesuatu yang baik itu mungkin buruk bagi-Nya. Cuba kita menekuni maksud firman Allah s.w.t ini:

"..Dan boleh jadi apa yang kamu benci (keburukan) sesuatu perkara itu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi apa yang kamu suka (kebaikan) sesuatu perkara itu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Maha Mengetahui (segala-galanya), sedangkan kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah, 216. Rujukan: Tafsir Pimpinan Ar-Rahman).

Kita mengharapkan dalam kehidupan kita agar diberi kesihatan, dan berharap ia (sihat) itu kekal selama-lamanya, namun Allah beri kita kesakitan hinggakan kadangkala menghilangkan keseluruhan nikmat dunia yang telah kita kecapi selama hidup kita sebelumnya itu. Kita bertanya dan terdetik, mengapa Allah timpakan kesakitan ini? Sedangkan kita tidak sedikit pun mengharapkannya..

Bersederhana di dalam mengharap

Hakikat sebuah pengharapan mengajar kita agar bersederhana di dalam mengharap atau berharap sekadarnya. Agar manusia tidak terlalu kecewa dalam mengharap, letaklah harapan itu dengan tawakkal kerana ia menjadi pengikat kepada hasil yang kita harapkan dan membawa manusia kembali kepada fitrah yakni Allah s.w.t tatkala hasilnya tidak seperti yang diimpikan.

Kesederhanaan itu juga membawa kita boleh menerima harapan-harapan lain yang tidak kita harapkan sangat sebelum ini. Apabila kita berhadapan dengan takdir yang tidak menyebelahi kita, ketahuilah sebenarnya Allah sedang membawa kita kepada takdir yang lebih baik di dalam hidup kita.

Kesederhanaan di dalam berharap juga membawa kita akhirnya kepada hakikat sebuah pengharapan itu. Iaitu mengharapkan apa yang terbaik dari pandangan Allah, bukannya dari manusia. Dan kita akan selalu berdoa: "Wahai Tuhan kami, berikanlah apa yang terbaik (dari sisi-Mu) di dunia dan juga di Akhirat, dan jauhilah kami dari api neraka.."

Walaupun begitu, kita selaku manusia biasa yang penuh kekurangan, pastinya sukar dan perit untuk menerima kenyataan sebegini, namun sifat redha dan menerima takdir sebagai satu ketentuan bakal meredakan keperitan dan boleh membawa kepada ketenangan di dalam hidup.

Saya membawakan kisah seorang ibu yang memiliki harapan sebelum menoktahkan bicara di dalam tulisan ini. Ada seorang ibu yang memiliki dua orang anak, kedua-duanya berjaya dididiknya, diberi makan dan minum serta persekolahan sebagaimana keluarga yang lain. Anaknya yang sulung berjaya sehingga masuk ke universiti dan bergelar ahli perniagaan yang berjaya. Sedangkan anaknya yang kedua tidak sepandai abangnya lalu hanya bekerja sendiri di kampungnya selain menjaga ibunya. Anaknya yang kedua tidak menjadi seperti mana yang diharapkan ibunya menjejaki abang sulungnya.

Suatu hari ibunya jatuh sakit dan lumpuh seluruh badan, tidak mampu bangun dan bergerak. Seluruh makan, pakaian hinggalah kepada membuang air diuruskan oleh anaknya yang kedua yang tinggal di sisinya. Anaknya yang sulung sesekali balik ke kampung kerana sibuk dengan menguruskan perniagaannya. Balik pun hanya seketika sahaja.

Sehinggalah beberapa tahun berlalu dan akhir nafas ibunya, anaknya yang kedua setia di sisi menjaga ibunya. Anak yang tidak diharapkan sangat oleh ibunya untuk berjaya seperti abangnya itu, telah menjadi harapannya pada saat-saat hidupnya yang begitu sukar.

Bersederhanalah dalam mengharap, itulah hakikat sebuah pengharapan. Kadangkala orang yang kita tidak harapkan dalam harapan kita, menjadi orang yang paling boleh diharapkan di saat orang yang menjadi harapan kita meninggalkan kita. Kadangkala juga apa yang kita harapkan tidak menjadi kenyataan, maka terimalah ia sebagai satu ketetapan Allah dengan penuh redha..

Pusat Sumber Transplan Nasional
Hospital Kuala Lumpur (HKL)
05/09/2011 @ 7 Syawal 1432
11.36 a.m (Isnin)

Friday, September 2, 2011

Iktiraf semua pejuang kemerdekaan


oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Memang benar orang berkata, politik tidak mengenal masa. "Siapa yang dan (sempat) dulu..", kata YB Pasir Puteh, Ustaz Muhammad Hussin apabila mentakrifkan maksud politik. Ada benar juga anologi beliau itu.

Isu kenyataan Muhammad Sabu berkenaan beliau mengiktiraf pasukan Komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai di antara pejuang kemerdekaan, mendapat liputan hangat di dada akhbar, walaupun ketika itu rakyat sibuk dengan persiapan Aidilfitri dan mungkin juga sambutan Merdeka.

Sejarah

Saya berpandangan, beliau (Muhammad Sabu) adalah pembaca dan penilai yang kritis terhadap sejarah. Beliau tidak hanya berpandukan sejarah yang disediakan oleh jawatankuasa penggubal sejarah kerajaan Malaysia yang terangkum di dalam buku teks sekolah dan modul-modul di universiti tempatan semata-mata.

Sebaliknya, jika kita seorang yang membaca buku sejarah, dan kritis dalam menilainya, sedikit sebanyak kita akan menyokong pandangan yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden PAS itu, walaupun tidak semua.

Saya bukanlah pakar dalam sejarah Malaysia, namun saya ada membaca buku-buku sejarah. Saya juga antara yang meminati karya sejarah yang ditulis secara autobiografi secara peristiwa mahupun tokoh-tokoh.

Buku teks sejarah dan modul Hubungan Etnik di universiti yang menceritakan sejarah Malaysia tidak cukup memberi pemahaman sejarah, bahkan 'kering' dalam membuat pengkisahan. Selain memiliki unsur doktrinisasi sebelah pihak dan melabel pihak yang lain.

Justeru itu, sumber sejarah alternatif perlu dicari untuk melengkapkan fakta sejarah tersebut. Di universiti, khususnya di Jabatan Sejarah atau Fakulti Sejarah memiliki ratusan kajian ilmiah dan kritikal berkenaan sejarah di Malaysia. Malah, kajian tersebut sekarang sudahpun di bukukan dan dipasarkan di kedai-kedai buku dan mudah dicari.

Misalnya buku berjudul Gerakan dan Tokoh Kiri: Kamarulzaman Teh dalam Kancah Perjuangan Kemerdekaan karya Mohamed Salleh Lamry. Kajian ini adalah tesis Ph.D beliau mengenai seorang tokoh kemerdekaan di negeri Pahang, yang berkhidmat di dalam Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM (Parti Komunis Malaya).

Kesimpulan kajian beliau, menyatakan bahawa Kamarulzaman Teh adalah pejuang kemerdekaan. Asasnya, beliau bersama dalam penentangan terhadap campurtangan British, meskipun beliau berada di dalam aliran kiri dan progresif serta berlainan ideologi yang dianutinya.

Begitu juga di dalam kajian oleh seorang tokoh sejarah Dr Ramlah Adam bertajuk: Dr Burhanuddin Al-Helmy: Suatu Kemelut Politik, membicarakan salah seorang lagi tokoh kemerdekaan yang 'digelapkan', namun tidak mampu disembunyikan di dalam kajian universiti.

Beliau adalah penentang pendudukan British yang radikal apabila memimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) selepas pendudukan Jepun berakhir 1945. PKMM turut sama bekerjasama dengan PKM membebaskan penjajahan British. Sungguhpun pada awalnya beliau dilihat sebagai nasionalis Melayu apabila menyertai gerakan Melayu Raya bersama Indonesia.

Satu sumber yang lebih menarik, di dalam wawancara bertajuk: Islam, Melayu dan Komunis, yang diterbitkan oleh SIRD, memaparkan bagaimana tiga tokoh Parti Komunis Malaya (PKM) Melayu: Abdullah C.D, Rashid Maidin dan Abu Samah di dalam penglibatan mereka melalui gerakan tersebut.

Antara ungkapan menarik Abdullah C.D berkenaan hasrat kemerdekaan: "Apa yang saya nampak dalam perjuangan orang Melayu selepas Perang Dunia Kedua (1945-48), orang Melayu yang progresif (kiri) yang mahukan kemerdekaan pada umumnya tidak anti-komunis (seperti PKMM, KMM, API dsb). Sedangkan mereka (gerakan) yang lebih rapat dengan penjajah, yang diwakili UMNO, (mereka) yang kuat anti-komunis." (m/s 15).

Bagi Rashid Maidin pula, antara tokoh kemerdekaan PKM yang terlibat di dalam Rundingan Baling Disember 1955 diantara PKM-British bagi menamatkan perang gerila, berkata: "PKM mahu menamatkan perang (dengan British) untuk menuntut kemerdekaan. Soal menyerah diri (kepada British) tidak timbul kerana kami bukan pengganas, tapi pejuang kemerdekaan. Yang kami lawan bukan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, tapi pemerintah penjajah British. PKM juga meyokong rombongan Tunku ke London berunding dengan British untuk kemerdekaan.." (m/s 55).

Mengiktiraf tokoh kemerdekaan

Apa yang boleh disimpulkan dengan sedikit sumber sejarah itu ialah, bagaimana kita mengiktiraf seseorang tokoh kemerdekaan, iaitu dengan asas dan dasar perjuangan gerakan yang diikutinya. Persoalan sama ada berhaluan kanan (konservatif) atau kiri (progresif/radikal), itu merupakan medium dan wadah yang dipilih. Kedua-dua wadah ini mempunyai peranannya tersendiri dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Jika tokoh-tokoh UMNO seperti Tunku Abdul Rahman yang mengadakan rundingan dengan British di London disanjung dan diangkat sebagai pejuang kemerdekaan yang berusaha membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British, mengapa tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Kamarulzaman Teh, Rashid Maidin, Abdullah C.D, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan lain-lain dikira pengkhianat dan pengganas?

Mengapa tidak diiktiraf sama peranan mereka setanding dengan Tunku Abdul Rahman dan lain-lainnya? Sedangkan pengorbanan mereka sebagai salah satu penyumbang kepada kemerdekaan tidaklah kecil. Mereka ini banyak yang dipenjarakan oleh British kesan perjuangan mereka.

Oleh kerana sejarah tidak boleh dibohong dan disembunyikan, maka pemimpin politik harus jujur dalam mengemukakannya, walaupun kita mengetahui pemimpin politik mustahil akan berbuat demikian. Tapi perlu diingat bahawa zaman ini, fakta sejarah tidak mampu untuk disembunyikan lagi. Orang sudah cerdik dan pandai dalam menilai.

Salam Kemerdekaan.

Sri Gombak,
2/9/2011 (11.43 a.m).