Wednesday, January 30, 2008

Dato' Ishak Baharom pulang ke rahmatullah


Dato' Haji Ishak Bin Haji Baharom, bekas Mufti Selangor, telah kembali ke rahmatullah pada pukul 12 tengahari tadi di rumahnya.

Beliau yang lebih mudah dikenali sebagai Ustaz Ishak Baharom, merupakan mufti Selangor sejak tahun 1985 hingga 1997. Seorang ulama' yang disegani dan berilmu tinggi serta dihormati sekelian masyarakat. Gigih mempertahankan Islam terutama aqidah anak-anak Melayu Islam kita.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama-sama para Rasul, sahabat Nabi dan para auliya' Allah s.w.t.

Pemergian Dato' Ishak Baharom mengingatkan kita bahawa Hari Qiyamat semakin menjelang, kerana 'Tidak akan datang qiyamat sehinggalah para ulama dimatikan...'

Al-Fatihah.

Tuesday, January 29, 2008

"Cakap saja tak jadi"


Hari Jumaat lepas, sebelum solat fardhu Jumaat, saya sempat bersembang-sembang dengan seorang rakan saya di tepi Masjid Ar-Rahman, Kuala Lumpur. Perbincangan menyentuh soal-soal isu-isu yang berlaku dalam negara seperti kenaikan harga barangan, jangkaan pilihan raya umum Malaysia dan banyak lagi. Semalam, selepas kelas, saya minum di sebuah cafe di sekitar universiti juga betemu dengan rakan lama. Turut bercerita kisah-kisah yang berlaku di Malaysia, akhir-akhir ini. Dan baru tadi, sewaktu menjamah makanan tengahari, saya juga berbual-bual dengan kawan yang juga mahasiswa daripada Sabah tentang isu PTPTN dan keuntungan yang dikautnya.

Semua yang saya jumpai menyatakan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku sekarang. Misalnya dalam isu kenaikan harga tol yang dijangka meningkat antara 7% hingga 50% dari kadar sebelumnya. Begitu juga dengan harga petrol kerana kesan kenaikan harga minyak dan gas di pasaran global. Tekanan-tekanan harga barangan seperti tepung dan minyak, semua ini mengundang tidak puas hati rakyat kepada kerajaan. Ketiga-tiga rakan saya itu malah kebanyakan yang saya jumpai menyatakan sedemikian. Kerajaan tidak adil, tak menjaga kebajikan, zalim dan sebagainya.

Dan saya mengiyakannya.

Namun, selepas itu saya berfikir semula. Memang benar dan saya memang kurang setuju dengan beberapa ketidakprihatinan kerajaan dalam soal-soal tertentu.

Masalahnya, saya pelik dengan mereka-mereka ini. Kita memang suka bersembang, berbual dan menyatakan ketidak puasan hati kita. Kita bertemu dengan kawan-kawan, menyatakan kepincangan-kepincangan tersebut. Tetapi, apa usaha kita untuk tidak membiarkan semua itu berlaku?

Takkanlah dengan kita hanya berdegar-degar menyatakan tidak setuju, bantah, benci dengan penindasan. Tapi, tak ada kerja-kerja dari kita untuk meruntuhkan kezaliman tersebut. Maksud saya, janganlah kita hanya cakap saja tidak puas hati, tapi dalam masa yang sama, perlulah bersungguh-sungguh untuk menentang penindasan tersebut. Dengan kata lain, tolong dan bantu perkumpulan-perkumpulan yang mahukan keadilan itu tertegak semula. Yang mahukan hak rakyat dikembalikan. Sokong mereka, penuhkan majlis-majlis dan perhimpunan anjuran mereka dengan kehadiran kita. Di samping sumbangan wang dan tenaga. Ini barulah benar-benar menentang kezaliman.

Bukan sembang je kemas...

Saturday, January 26, 2008

Mengenang yang telah pergi.


Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya.

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah,"Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian,Al Qur'an dan sunnahku.

Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku." Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.

Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.Tanda-tanda itu semakin kuat,tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?" "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu denganpandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. "Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah,

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian panggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku
nasib umatku kelak?" "Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu."Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku" Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya?

Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi.

(Al-Fatihah buat Baginda Rasulullah s.a.w yang telah pergi.)

Friday, January 25, 2008

Cahaya dari Kota Makkah!


Pagi tadi saya sempat membelek akhbar Harian Metro. Tajuk-tajuk yang dipaparkan, ada beberapa yang agak kontroversi dan kisah-kisah masyarakat juga pergelutan politik negara-negara. Tatkala menyelak ruangan ’Rap’, ada berita yang menarik perhatian saya.

’Hidayah dari Makkah’

Oh..rupa-rupanya berita mengenai seorang artis popular yang sudah bertudung. Ini rentetan daripada kepulangannya dari kota suci Makkah baru-baru ini. Artis tersebut bernama Sheila Rusly. Glamour dengan rancangan ’Apa-apa aje’ tayangan TV3.

Apabila saya membaca kisahnya di Makkah, agak sayu juga di hati. Dia menyatakan bahawa, dia berasa sangat kerdil dan rendah diri tatkala berada di Makkah. Hinggalah dia menangis kesayuan apabila bertolak meninggalkan Makkah. Atas niat baik itulah ’menyedarkannya’ untuk membuat keputusan agar bertudung apabila pulang ke Malaysia.

’Hijrah’ inilah yang sangat-sangat dituntut oleh Islam. Daripada yang buruk kepada yang baik. Daripada leka dan lalai kepada ingat-mengingati. Saya mengharapkan agar Sheila Rusly menjadi ikon kepada artis-artis lain untuk terus menjejakinya. Di samping itu, saya mengingatkan kepada Sheila Rusly agar terus istiqamah dan menjaga adab-adab apabila sudah bergelar artis bertudung. Saya secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Sheila Rusly.

Mungkin ada yang berbisik-bisik : ’Bertudung, tetapi tak sempurna. Baik tak payah bertudung!’

Saya menjawab: ’Bertudung pun dah baik, daripada tak bertudung langsung..’

Zaman ini, zaman para artis berubah. Berubah dengan jujur kepada yang lebih ’selamat’. Kepada yang sudah ber’hijrah’ seperti Datuk Siti Nurhaliza, Wardina dan rakan-rakan seangkatan, teruskan usaha-usaha anda.

Moga Allah merahmati kalian.

Thursday, January 24, 2008

Melihat Manusia dari Pandangan Semut


Suatu hari semut merah bertemu dengan anai-anai. Berbincang-bincang mengenai beberapa perkara. Semut mengutarakan soalan dan berlaku beberapa dialog anatara mereka.

Semut :
Antara kaum engkau dengan aku, mana lebih hebat?

Anai : Tentulah kaum ku. Kerana kaum aku bisa merosakkan sebuah rumah dengan sekelip mata, haha..!

Semut : Ah..tidak..! kaum ku lebih ditakuti manusia, kerana kaum ku punyai bisa.

Anai : Bukan..bukan. kaum ku lebih hebat. Apa yang kaum mu boleh lakukan? Hanya menyengat manusia. Lalu dilenyek hingga lumat. Sedangkan kaum ku, apabila ramai, manusia akan berpindah.

Semut :
Itu tidak benar...kaum ku bisa membuat manusia mati dengan sengatan bisa kami.

Dan dialog tersebut berlaku dan terus berlaku...

Saya tertarik dengan bicara sang semut bersama sang anai-anai. Penuh idea dan tafsiran. Tafsiran dari banyak sudut dan view. Mungkin semut memang hebat daripada anai-anai dan mungkin sebaliknya. Justeru, bukan saya nak menilai siapa yang hebat atau tidak.

Yang saya ingin bawa di sini. Apakah view manusia mengenai dua jenis makhluk Allah ini? Apa tanggapan manusia terhadap semut mahupun anai-anai?

Bagi saya, tidak perlu pergi jauh. View jelas dari kaca mata seorang manusia adalah, semut atau anai-anai adalah sejenis serangga yang tidak berguna dan menyusahkan. Suka menghurung dan merosakkan. Pastinya ia perlu dihapuskan.

Nah! Mudahnya manusia. Sang semut dan sang anai-anai leka membahaskan kehebatan mereka, sedangkan bagi manusia, meraka tak lebih dari seekor serangga perosak yang perlu dilenyapkan. Moralnya di sini adalah, manusia memang satu makhluk yang sombong dan tidak mahu berfikir. Sedangkan tanggapan makhluk lain begitu mulia kepada manusia. Lantas, manusia tidak menjalankan amanah sebagai khalifatullah untuk kemakmuran alam.

Tirulah macam semut dan anai-anai..!

Tuesday, January 22, 2008

Di sisi Imam Hasan Al-Banna


Prolog:
Nama yang cukup popular dalam gerakan Islam dunia khususnya di lembah arena dakwah. As-Syahid Imam Hasan al-Banna dilahirkan sebagai anak sulung yang di kelilingi ahli keluarga yang biasa. Namun beberapa adik-beradiknya termasuk beliau adalah seorang yang berpendidikan. Kelahirannya bertepatan dengan kematian pemimpin Muslim Mesir iaitu Mustafa Kamal. Takdir Allah yang menentukan beliau bakal mengambil alih tanggungjawab tersebut. Di ’utus’ dalam suasana kejatuhan khilafah islamiyah yang sangat teruk. Bermula keruntuhan Daulah Othmaniah. Mesir berada dalam kemelut misalnya ulama’-ulama’ Mesir ’dihilangkan’ oleh kerajaan.

Jejak-jejak mula:
Memulakan tugasannya sebagai seorang guru di Ismailiah (1927), maka bermulalah amanah yang dipikulnya. Sifatnya yang ’kena’ dengan seorang pendidik, tatkala itu beliau mula mengkaji corak kemasyarakatan di situ. Uniknya, gerakan didikan beliau berpangkal di kedai-kedai kopi dan warung-warung makan, bukan di masjid. Usaha ini berhasil apabila menemukan 6 orang penting yang berbaiah untuk memperjuangkan Islam. Akhirnya tertubuhnya ’Ikhwan Muslimin’.

Zaman gemilang:
Ikhwan Muslimin bergerak berlandaskan rancangan-rancangan yang mencakupi setiap sudut pembaharuan masyarakat. Ia adalah gerakan agama dengan mempertahankan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Ia mewakili hampir keseluruhan masyarakat. Penuntut-penuntut universiti, buruh-buruh, saudagar, guru-guru dan pelbagai lapisan lagi. Ia juga mengepalai gerakan anti-penjajah menentang British pada 1945 dalam Perang Dunia Kedua. Sehinggalah keanggotannya yang benar-benar aktif (murabitun) mencecah setengah juta.

Karya dan idea:
Apabila ditanya kepada As-Syahid: ”Mengapakah awak tidak mengarang buku?” Imam Hasan Al-Banna menjawab: ”Saya ’menulis’ manusia” bermaksud, beliau melatih manusia dari segi akhlak dan ilmu untuk perjuangan Islam. Namun ada beberapa karya yang pernah dinukilkan antaranya, Catatan Dakwah dan Pendakwah, Rasaail al-Imamu Syahid dan yang paling popular sehingga kini adalah ’Al-Ma’thurat’ yang menjadi amalan para pendakwah.

Belasungkawa:
As-Syahid menjalani seluruh kehidupannya untuk perjuangan Islam dan kebajikan ummat Islam. Di samping khusuk beribadah dan mengkaji Al-Qur’an. Tokoh ini syahid ditembak pada 12 Februari 1949 di Kaherah. Disebutkan tatkala selepas ditembak, beliau tidak diberikan rawatan kecemasan oleh kerajaan Mesir. Sehinggalah syahid menemui beliau. Dalam umurnya yang singkat (43 tahun), beliau meninggalkan jejak-jejak untuk diikuti seluruh pendakwah dan gerakan Islam.

Syeikh Muhammad al-Ghazali berkata:

”Peluru telah menembusi jasad Hasan al-Banna yang kurus dan lemah kerana banyak bersolah dan berzikir kepada Allah. Jasadnya itu juga penuh dengan debu lantaran pengembaraannya di jalan Allah. Dahinya melambangkan kebiasaannya dalam memberi pengorbanan-pengorbanan yang besar..”

Al-Fatihah.

Monday, January 21, 2008

Redha Manusia lebih penting dari Redha Allah??


“Habislah kau, tak siap kerja tu, nanti bos marah, padan muka..!”

”Kerja ni kena sharp, tak boleh tangguh, kena on time, malam ni nak bentang pada ketua dah..”

”Tinggallah yang lain-lain dulu, kerja ni kena bereskan cepat. Bising dia nanti.. ”


Ungkapan-ungkapan ini amat selalu didengari lewat telinga-telinga kita dan semestinya ia menusuk ke dalam kalbu. Pabila ia disebut, maka akan seperti cacing kepanasanlah kita ke hulu dan ke hilir untuk memenuhi tuntutan tersebut. Perkara-perkara lain ditinggalkan. Kerja didahulukan. Yang rasa kurang penting, (walaupun penting sebenarnya) langsung tidak ditoleh. Yang pastinya kerja itu mesti dibereskan!

Zaman-zaman sebegini, ia memang sering berlaku. Lebih-lebih bagi individu-individu yang bekerja syarikat-syarikat besar di kawasan bandar dan khususnya juga kepada organisasi-organisasi persatuan yang bergerak. Bagi saya, ia suatu yang baik, kerana memberi momentum atau desakan kepada pekerja untuk lebih laju bekerja.

Tapi, ada sesuatu yang patut diperhatikan di sini dan kurang sesuai berlaku.

Saya banyak melihat orang-orang yang bekerja sedemikian. Kadangkala ada yang sedikit tertekan. Kebanyakan rakan-rakan saya yang bekerja dalam situasi ini. Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi memenuhi tuntutan tersebut. Tetapi, kalau boleh situasi itu juga di praktikkan jua di dalam setiap ibadah kita. Misalnya solat.

Kita mahu majikan kita melihat kita hebat bekerja dengan mengikut masa yang ditetapkan, dengan harapan boleh memperolehi pujian atau sekurang-kurangnya ’naik pangkat’. Tapi dengan Allah? Solat yang Allah perintahkan, kenapa tak sharp atau on-time sebagaimana kerja kita tu?

Saya nak membawa contoh (tapi bukan nak mengaibkan), seorang kawan saya, kuliah start 8 pagi, solat subuh pukul 6 pagi, tak buat, tak bangun pun. Tapi, bila jam tepat 7.50 pagi, terkocoh-kocoh bangun dan terus mandi untuk ke kuliah. Tak pelik ke? Kuliah yang tak wajib (di sisi syarak sebab tak distatekan dalam al-Qur’an, ia tuntutan sahaja) boleh pergi, tapi solat yang terang-terang dalam Al-Quran disebut kewajipannya...diketepikan sahaja.

Sebab itulah kita sekarang jauh dari Tuhan, jauh dari Agama dan tinggalkan kewajipan-Nya. Dan Allah pun banyak menunjukkan bala dan azabnya. Sampai suatu masa nanti, apabila Allah terbitkan matahari dari Barat, maka tiadalah gunanya taubat kita.

Fikir-fikirlah..

Sunday, January 20, 2008

Beberapa perkara yang ingin dikongsi


ALHAMDULILLAH, beberapa hari yang lalu, saya sempat mengkhatamkan sebuah buku novel bertajuk ‘Pudarnya Pesona Cleopatra’ nukilan Habiburrahman el-Shirazy.

Selepas saya menyelak halaman terakhir novel tersebut, dalam hati terselinap beberapa perasaan dan anjakan yang berbaur. Sedih dan gembira. Suka dan semangat. Turut bermain-main adalah persoalan cinta. Dua hari menghabiskan buku ini, saya mendapat beberapa intipati yang saya rasa dapat berkongsi dengan pelayar blog saya, yang mungkin masih tidak berkesempatan menatap buku tersebut.

Penulis yang pernah memenangi PENA AWARD NOVEL TERPUJI NASIONAL (2005) ini berjaya menggarapkan konsep cinta, kasih-sayang dan nilai-nilai hidup dengan terkesan sekali. Sambil diadun dengan sifat hawa nafsu manusia yang senantiasa mahukan kepada kesempurnaan. Novel setebal 120 muka surat ini telah berjaya menambat hati sesiapa yang membacanya.

Yang saya mahu perkatakan di sini adalah apa nilai-nilai yang sangat baik ditekuni oleh setiap insan. Pertamanya adalah, tiada yang sempurna di muka bumi ini asalnya dia bernama manusia. Walau secantik mana wanita itu, walau sehebat mana lelaki tersebut. Bilamana disebut manusia, pasti akan ada kekurangan. Nilainya, kita hendaklah menerima seadanya tanpa mencela atau meragui ciptaan Tuhan tersebut.

Kedua, sesuatu yang kita dapat hari ini, sesekali tidak mungkin akan kita kecapi pada masa akan datang. Andainya kita bergembira hari ini, esok mungkin tidak. Sekiranya kita punya waktu berdamping dengan orang-orang yang kita sayangi hari ini, mungkinkah esok sudah tidak berpeluang. Justeru, nilainya, gunakanlah saat-saat manis tersebut dengan sebaiknya, sebelum ia pergi.

Saya berpandangan, novel ini sebagai suatu motivasi kepada sekelian manusia yang menganggap takdir buruk itu suatu pengakhiran. Tidak, anda silap sebenarnya. Sebeb itulah Allah ada menyebut:

’Berkemungkinan apa yang kamu benci itu adalah suatu yang baik bagimu, manakala apa yang kami cintai itu adalah buruk bagimu..’

Bagi yang belum membacanya, boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran. Terbitan Al-Hidayah Publisher. Harga: RM11.90 sahaja. Untuk buku-buku jenis lain, bolehlah melayari:
www.hidayah.com.my.

Selamat membaca.

Friday, January 18, 2008

Di Pantai Itu.

Di tepi pantai itu
Aku melihat
Pasirnya
Ombaknya
Bebuihnya
Serta
Ikan-ikan yang riang bermain
Di gigi air

Apabila aku memikirkan pasirnya
Teringatku pada ombak

Tatkala aku melihat bebuihnya
Terlayangku pada ombak jua

Pasir ibarat agama
Bebuih umpama ummat

Pasir dihempas ombak
Buih ditelan ombak
Semuanya lenyap

Agama dan ummat
Mudahnya dihilangkan

Walau banyaknya tidak terkira
Tetapi lemahnya di mana sahaja

Sampai bilakah hanya mahu mengharapkan
kawanan ikan yang sedikit
Mampunya belum tahu
Sedang seluruh tubuh disaluti air

Ombak itulah laknatullah!

Faisal Iman,
5 Januari 2008, 26 Zulhijjah 1428, 3.39 petang, Kuala Lumpur

Wednesday, January 16, 2008

TARBIYAH SEKETUL CEKODOK


Tatkala saya menghadapi hidangan sarapan pagi, saya teringatkan peristiwa ketika bersarapan bersama keluarga. Menu untuk pagi itu hanyalah beberapa ketul cucur ikan bilis, tetapi mempunyai makna yang sangat besar untuk ditafsirkan. Selesai bersarapan, tinggallah seketul cucur yang masih berbaki, namun saya katakan kepada ibu bahawa saya sudah kenyang. Lantas ibu mencapai baki cucur itu sambil mula bercerita,

“Cekodok ini...,” bahasa ibu, “Nak hasilkannya, bukan ibu seorang sahaja, cuba bayangkan, sebelum nak jadi cekodok, mesti ada tepung gandum dulu. Tepung gandum tu, bukan senang-senang je nak jadi, asalnya daripada biji gandum yang ditanam. Cuba bayangkan nak tanamnya berapa lama...? siapa yang tanam? Lepas itu dituai hasilnya, bukan seorang, malah beratus-ratus pekerja diperlukan.”

Sambung ibu lagi, “Kemudian perlu pekerja untuk menghasilkan tepung daripada biji gandum tu, setelah siap, perlu dibungkus dan barulah dijual kepada orang ramai.” Mata saya terkebil-kebil.

Ibu sambung lagi, “Telur pulak...kalau Man hendak, Man boleh beli sahaja di kedai Pak Wan di depan tu. Tapi telur sebiji ni, Allah tugaskan berapa ramai yang terlibat. Sebelum jadi telur, mesti bela ayam. Ayam bukan seekor, yang nak jaganya pun bukan seorang, hendak beri makannya. Kemudian apabila sudah bertelur banyak, dikutip telur itu dan dihantar untuk digredkan berdasarkan saiz telur...” Saya renung lagi, tanpa disedari, cucur yang ibu makan tadi sudah tidak bersisa.

“Dah siap semua barulah dipasarkan.” Ayat terakhir itu meninggalkan saya terus keseorangan di meja makan.

Ah! Betapa kurangnya saya bersyukur. Itu baru ibu kisahkan mengenai ‘cekodok’, yang kadang-kadang sekali tengok pun, tak ada selera nak makan. Belum lagi ibu buka cerita buat nasi lemak ke, nasi ayam ke...

Lamunan saya melayang kepada sahabat-sahabat kita yang masih kurang bernasib baik seperti di Bosnia, Somalia dan negara-negara miskin yang lain. Kadangkala makanan mereka hanyalah helaian-helaian daun dan ranting kayu, atau apa-apa yang boleh dijadikan makanan. Kalaulah diberikan seketul ‘cekodok’ tadi kepada mereka, Alahai, mesti berebut-rebut mahukannya!

Begitulah manusia, kalau dah nikmat melimpah-ruah dihadapan mata, yang tidak berkenan, tidak akan dilayan. Terlalu mengikut kehendak nafsu dan terlalu memilih. Saya teringat kata-kata seorang sahabat saya, waktu itu saya dalam tingkatan empat, “Malaysia ini negara makanan. Sebut sahaja makanan apa, semuanya ada.” Sampai macam itu sekali nilainya. Lebih-lebih lagi di bulan puasa, hari-hari tukar menu, sampaikan nak solat Maghrib selepas berbuka pun dah tak larat. Lepas tu nak tarawih apatah lagi.

Namun, Ramadhan sudah lama berlalu, yang tinggal hanyalah tapak-tapak didikan bulan itu yang masih berbekas di hati bagi orang yang mengambil kesempatannya. Tidak tahulah sejauh mana tarbiyyah Ramadhan yang lepas mencorak diri, itu masing-masing boleh ukurnya sendiri.

Jauh sungguh saya menerawang. Pinggan yang kotor saya bawa ke dapur. Terasa jauh benar diri daripada Yang Mencipta dan terlalu kerdil rasanya. Sambil mencuci pinggan, dalam hati berkata; ‘Nilailah sesuatu itu dengan teliti dan tepat, bukan pada lahiriah sahaja, tapi dalamannya itu yang paling penting’

Nampaknya hari ini, saya telah ditarbiyyah oleh seketul ‘cekodok’!

KENAPA PAYAH NAK FAHAM ILMU?


SAIDINA Umar al-Khattab r.a pernah berkata:

"Apabila engkau melihat orang yang berilmu mencintai dunia, maka curigailah ia mengenai agamanya, kerana orang yang mencintai sesuatu ia akan menyibukkan diri dengan apa yang dicintainya itu.."
Ilmu itu, adalah cahaya daripada Allah s.wt. Tidak akan diberi Allah kepada hamba-Nya melainkan mereka yang benar-benar dicintai-Nya. Ilmu itu suatu yang suci dan kudus. Penuh dengan rahsia dan falsafah. Ia ibarat makhluk yang bernyawa, perlukan syarat-syarat yang terperinci untuk memilikinya. Bukan sebarang manusia boleh menautnya. Kerna itulah Rasulullah s.a.w ada memberi peringatan buat penuntut ilmu bahawa:
"Orang yang paling pedih siksaannya pada hari qiyamat nanti adalah seorang 'alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya.."
Saya banyak bertanya dan berbincang rakan-rakan mengenai kualiti ilmu yang dimiliki pelajar-pelajar kita kini. Khususnya pelajar universiti. Banyak menjawab, tidak cukup berhempas-pulas tiga empat tahun di universiti, ilmu yang didapati hanya cukup-cukup makan. Maksudnya ibarat 'tong besar, isi tak ada'. Benar. Ada kebenarannya. Belajar di universiti tidak sama dengan belajar di mana-mana pusat pengajian yang lain.
Saya teringat kata-kata Dr Lukman, pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya. Beliau sendiri tidak menyetujui dengan sistem pembelajaran di universiti ini. Belajar mengikut semester dan jam kredit. Tajuk-tajuknya dipilih-pilih, mengikut minggu-minggu yang ditetapkan. Mana mungkin dengan hanya 3 jam seminggu dapat mengkhatamkan tajuk sebuah kitab secara sempurna. Bagi saya memang tidak boleh. Ini belum lagi jika kuliah ditunda akibat cuti dan sebagainya. Tidak dinafikan sekali-kali di universiti punyai bidang ilmu yang luas dan mantap, dengan melihat pro-forma kursus sahaja, kita boleh menilai sejauh mana advancenya perbahasan-perbahasan tajuk kursus ditambah lagi senarai kitab-kitab rujukan yang termasyhur. Yang saya 'tidak tenang' di sini adalah berkenaan dengan konsep pembelajaran itu sendiri.

Saya katakan, di universiti, kita berkiblatkan sistem peperiksaan. Belajar kerana nak lulus exam, nak dapat 4 flat, nak dapat anugerah dekan, nak macam-macam lagi..ada juga yang nakkan pinjaman biasiswa JPA dan sebagainya. Apa ni? menuntut ilmu ke apa?

Sebab itulah saya menginsafi dengan membawa kata-kata Saidina Umar serta sabda nabi di atas buat renungan dan fikir-fikir. Saya tujukan khas buat mahasiswa/i di universiti. Lebih khusus lagi kepada pelajar di jurusan pengajian Islam. Saya berani berkata bahawa taraf ilmu penuntut ilmu di pondok-pondok (walaupun tak ada sistem yang advance kononnya macam di universiti) adalah jauh beribu batu dari penuntut ilmu di universiti. Jauh lagi nak dibezakan dengan semangat mereka dahagakan ilmu, maka 'langit dan bumi' lah jawabnya.

Ingat-ingatlah hujung kita. Suatu hari nanti kita akan bergelar graduate. Pelajar pengajian islam pastinya akan dipanggil 'ustaz' mahupun 'ustazah'. Nak tak nak, itulah hakikatnya. Tapi ilmu di dada..??

Dah cukup?







TAFSIR AL-FURQAN - Muqaddimah (Siri 1)


TAFSIR Al-FURQAN, oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mengimbas kembali pertemuan saya dan rakan-rakan dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di JKR 10 Kota Bharu beberapa waktu yang lalu, beliau telah memulakan ucapannya dengan membacakan sebuah sabda s.a.w yang bermaksud:



"Hendaklah setiap kamu yang hadir, menyampaikan sesuatu dariku kepada mereka yang tidak hadir"



Hadith itu adalah merupakan wasiat Nabi s.a.w pada haji wida' iaitu haji terakhirnya.



Bertolak dari sabda Junjungan yang dibacakan oleh Tuan Guru itu, adalah jelas apa yang dimaksudkan bahawa setiap orang mukmin itu berperanan sebagai daie. Mereka mempunyai tanggungjawab menyebarluaskan ilmu Allah s.w.t kepada khalayak ummah berdasar keupayaan ilmu masing-masing.



Dalam pertemuan itu, Tuan Guru turut mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh beberapa pihak, yang berusaha menyusun dan menulis kembali kuliah-kuliah Tuan Guru dalam pelbagai bidang ilmu. Usaha tersebut disifatkan oleh beliau sebagai menepati kehendak sabda Junjungan yang dibacakannya itu.



Saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat meneliti sebahagian dari rakaman kuliah mingguan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, khususnya kuliah tafsir Al-Qur'an. Saya berusaha mendapatkan beberapa kuliah tafsir Al-Qur'an yang telah dirakamkan dalam bentuk kaset. Dari pengamatan yang telah saya lakukan didapati ia merupakan mutiara-mutiara ilmu yang masih tersimpan. Alangkah baiknya jika mutiara itu digilap dan dipersembahkan untuk tatapan umum.



Penelitian saya diperingkat awal ialah terhadap kuliah tafsir surah Al-Furqan, yang mengandungi huraian secara ,eluas berasaskan 77 ayat di dalamnya, mengandungi penjelasan tentang ke Esaan Allah s.wt, kenabian Muhammad s.a.w serta peristiwa-peristiwa yang terjadi pada hari Qiamat dan mengemukakan pula kebatilan, kemusyrikan golongan kuffar.



Surah yang mengandungi penjelasan tentang kejadian 'alamiyah seperti penggantian malam dan siang, bertiupnya angin, turunnya hujan dan lain-lain diterangkan oleh firman Allah s.w.t dalam surah ini sebagai bukti dari ke Esaan dan kekuasaan-Nya. Dijelaskan juga tentang nasib buruk umat terdahulu yang ingkar dan menentang.



Di bahagian akhir dalam surah ini, Allah s.w.t menerangkan sifat-sifat terpuji hamba-hamba-Nya yang beriman yang digelar ibadurrahman.



Inilah sekadar yang terupaya sebagai usaha saya untuk turut menyediakan diri menjadi khadam kepada penyebaran ilmu Allah itu. Dalam tafsir ini saya namakan "Pemisah antara Iman dan Kufur" sesuai dengan nama surah Al-Furqan yang bererti 'pemisah'. Insya Allah semoga penulisan ini memberi manfaat kepada seluruh pelawat-pelawat dan pembaca sekalian. Nantikan siri seterusnya.


(bersambung...)

Monday, January 14, 2008

Kenapa Sibuk???


RATA-RATA jika ditanya pelajar di sekolah mahupun Universiti berkenaan dengan pengurusan masa, majoriti pasti menjawab gagal dalam aspek tersebut. Paling ketara, apabila student itu jatuh pointer nya dalam exam yang diduduki, akan menjawab : "Tak dapat bahagi masa dengan baik.." Itulah jawapan yang sudah lumat didengari.

Apa-apa pun saya tidaklah pelik dan janggal apabila mendengar cerita-cerita ini. Kisah ini ada benarnya. Rakan-rakan saya sendiri ada yang mengalaminya. Tetapi yang saya lagi pelik,adalah situasi ini berlaku tiap-tiap semester pengajian. Apa sudah jadi? Mengapa jadi sedemikian?

Saya melihat banyak student bukan tidak pandai membahagi masa. Tetapi tidak tahu panduan untuk membahagikan masa. Mereka pandai dan tahu. Sebab itulah, mereka ada jadual dan sebagainya, tetapi tidak digunakan.

Di sini bukanlah saya mahu mengajar anda sekalian. Tetapi sekadar sedikit tips bagi memudahkan kita menuntut ilmu. Bukankah perancangan masa yang disusun dengan rapi merupakan tuntutan Islam. Malah kita berasa malu andai penganut agama lain mempraktikalkan tuntutan agama kita.

Maka sedikit sebanyak mungkin bermanfaat untuk anda:

1) Mulakan hari anda dengan DTA (Duduk, Tulis & Atur)
2) Buat DTA mengikut kesesuaian masa dan kerja.
3) Rancang mengikut keutamaan kerja (prioriti)
4) Kategorikan tugasan anda (penting, tak penting dan sebagainya)
5) Buat pengagihan tugas
6) Tentukan jangkamasa bagi setiap tugasan (dateline)
7) DTP pelengkap kepada DTA (Duduk, Tulis & Perinci)
8) DTP adalah sumber idea anda dan amalkan ia.

Akhirnya saya ingin bercerita suatu kisah. Begini ceritanya:

Pada suatu malam, telefon di rumah seorang kakitangan perpusakaan berdering. "Pukul berapa perpustakaan dibuka?" tanya seorang pemuda. "Pukul 9 pagi, encik. Apa hal yang begitu penting sehingga encik menelefon saya tengah malam buta ini?" tanya kakitangan perpustakaan tadi.

"Tidak boleh buka awal lagi?" pemuda itu bertanya lagi dengan nada kecewa. "Tidak, tidak dibuka sebelum pukul 9 pagi," kakitangan perpustakaan itu menjawab dengan nada yang agak tinggi. "Penting sangatkah hingga encik tidak dapat tunggu pukul 9 pagi untuk masuk?"

Lantas pemuda itu menjawab, "Siapa kata saya hendak masuk? Saya hendak keluar!"

....

Sunday, January 13, 2008

ANTARA DOKTOR DAN TELEVISYEN



BARU-BARU ini, tanah air kita Malaysia digempari lagi dengan peristiwa kehilangan kanak-kanak. Kali ini Sharlinie Binti Mohd. Nashar pula menjadi mangsa. Anak malang tersebut dilaporkan hilang sejak hari Rabu yang lalu. Sehingga hari ini, tidak kelihatan tanda-tanda dia dijumpai. Semalam, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi merayu agar penculik tersebut memulangkan kanak-kanak malang berusia 5 tahun itu ke pangkuan keluarganya. Sebelum daripada ini, Nurin Jazlin Jazimin juga mengalami nasib yang sama, namun berakhir dengan kematian yang tragis. Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri Tenggaroh, Datuk S.Krishnasamy mati ditembak.

Jika disoroti sejarah peristiwa jenayah yang berlaku dalam masyarakat kita, penuh dengan kisah-kisah yang sangat memilukan. Saya tidaklah mahu menyenaraikan kes-kes dan peristiwa yang terjadi pada masyarakat kita, cukuplah apa yang kita dengari dan lihat. Lantaran itu, pelbagai usaha yang dilakukan. Bermula dengan pihak kerajaan, mahukan masyarakat lebih berhati-hati, ada juga yang mahu mengambil tindakan tegas dan sebagainya. Bagi pihak polis, mahukan CCTV dipasang lebih banyak agar jenayah dapat diatasi. NGO-NGO pula sibuk dengan desakan-desakan kepada pihak kerajaan agar mengubah itu dan ini. Akhirnya masyarakat yang menjadi mangsanya.
Sedar atau tidak, kita sebenarnya ibarat ‘gajah sibuk bertarung, pelanduk mati di tengah-tengah’. Begitulah gambaran yang boleh dianalogikan. Pihak-pihak yang ada kuasa sibuk dengan idea-idea baru kononnya mahukan perubahan yang lebih baik kepada ketamadunan bangsa dan negara, sedangkan basic work nya ditinggalkan.

Cukuplah kita halwa kan telinga kita dengan siri-siri kes pembunuhan, kecurian dan rompakan. Cukuplah kita diresahkan dengan berita-berita menyayat hati kehilangan kanak-kanak. Hari ini mungkin anak si dia, esok mungkin anak kawan kita, lusa barangkali adik kepada jiran kita, tetapi mungkinkah tidak akan berlaku kepada anak kita?? Jika begini, barulah kita nak sedar? Ataupun apabila orang tersayang hilang, baru kita tersentak?

Sesungguhnya, seperti ungkapan di perenggan yang ketiga tadi, sebenarnya kita punyai jalan penyelasaiannya. Kita ada rujukan. Kita ada kaedah. Cuma, ego dan bongkak kita yang menafikannya. Ataupun mungkin kerna kejahilan kita barangkali. Tapi sampai bila kita mahu ego dan bongkak? Sampai bila kita akan terus-terusan jahil?
‘Perlembagaannya’, kaedahnya ada, penyelesaiannya juga ada. Itulah Al-Qur’an Al-Karim dan As-Sunnah As-Syariff. Dua rujukan besar dan lengkap buat manusia keseluruhannya. Tidak perlukan kata-kata yang advance, cukuplah ayat-ayatnya yang menyentuh perihal kehidupan manusia. Sesungguhnya, kita diciptakan Allah, maka Allah tahu kehendak, masalah dan jalan keluar untuk manusia yang diciptakannya.

Akhirnya, saya bawa satu contoh yang mudah. Seorang doktor membeli sebuah televisyen jenama SONY yang berharga RM1,200. Agak mahal. Suatu hari entah macam mana televisyennya rosak. Tak boleh ‘hidup’. Lalu dia menghantar televisyen tersebut ke kliniknya, kerana di sana ramai doktor-doktor pakar yang dapat menyelesaikan masalah televisyennya. Dengar macam ‘bodoh’ bukan? Tetapi itulah hakikat yang berlaku pada kita kini. Begitulah, manusia. Apabila ditimpa sesuatu masalah kembalilah kepada siapa yang menciptakan kita. Semestinya Allah s.w.t tempat rujukan. Justeru, Dia memudahkannya dengan mencipta satu buku panduan yang lengkap iaitu ‘Al-Quran’. Apa yang kita mahu lagi??

Kembalilah kepada Al-Quran...

Thursday, January 10, 2008

BISA KEALPAAN

Percikan adiwarna kesungguhan,
Merantai jiwa kemegahan,
Keazaman merobek kedegilan,
Menuju mercu kegemilangan.

Bingkisan air mata keinsafan,
Bisa mencoretkan sebuah kejayaan,
Mengukir kembali sinar kecemerlangan,
Mewarnai kembali dunia serba kegelapan.

Pengorbanan secebis keselesaan,
Bisa menyajikan hidup serba kemewahan,
Mengukir kembali senyuman kepuasan,
Mewarnai kembali dunia kesederhanaan.

Namun,
Harus dipahat dan dipatri,
Dipandang enteng jangan sekali,
Walau sekelumit KEALPAAN mendatang,
Pasti sebuah tugu kemegahan,
Berada di lembah kehancuran.

Akibatnya…
Sia-sialah percikan adiwarna kesungguhan
Sia-sialah bingkisan air mata keinsafan,
Sia-sialah pengorbanan secebis keselesaan,
Hanya kerana BISA KEALPAAN!!!

Nukilan : ismiefa_ris 87 (ikhlas buat sahabat)

Wednesday, January 9, 2008

Manisnya Institusi Keluarga


KITA BARU sahaja merayakan sambutan perayaan agung dalam agama Islam iaitu Hari Raya Aidil Adha. Seluruh dunia meraikannya. Lebih-lebih lagi para hujjaj pasti lagi terharu dipilih menjadi tetamu Allah s.w.t di pada tahun ini. Bagi yang masih belum berkesempatan, tanamkan niat untuk ke sana.

Sebenarnya, bukan itu yang ingin saya ketengahkan. Tetapi sebuah pengamatan saya sepanjang saya pulang bercuti di kampung saya, Aidil Adha baru-baru ini.

Di kampung, saya bertemu ramai sanak saudara. Bermula datuk dan nenek saya, sepupu, emak dan ayah saudara, anak saudara, biras, menantu, ibu dan ayah mertua, abang dan kakak ipar, sepupu ayah dan emak, juga sepupu datuk dan nenek saya, kemudian pergi kepada sepupu kepada sepupu saya (nak panggil apa ya?), anak sepupu saya, dan macam-macam lagi. Kadang-kadang ada yang saya kurang kenal, sehinggalah nenek saya memperkenalkan satu persatu kepada saya orang-orang yang ada ’kena-mengena’ dengan keluarga saya.

Rupa-rupanya baru saya sedar. Besar rupanya keluarga saya. Bukan setakat emak, ayah, datuk dan nenek serta adik-beradik saya sahaja, bahkan ia sebenarnya seperti yang saya sebutkan tadi. Sedangkan mungkin sekali kita tidak sedari, rakan karib kita yang selalu ke sekolah bersama-sama adalah darah daging kita sendiri, mana tahu?

Inilah yang dinamakan ’Institusi Keluarga’. Mengapa disebut ’institusi’? Antara sebab disebut sedemikian kerana sebuah keluarga boleh dianggap seperti sebuah negara yang punyai organisasi dan pentadbiran. Ia mestilah diuruskan dengan teratur dan baik. Amanah dan bertanggungjawab. Seperti negara yang memiliki Perdana Menteri, sebuah keluarga diketuai oleh bapa atau ayah yang mengatur urus rumah tangga dan keluarga. Begitu juga rakyat jelata, maka sebuah keluarga itu, anak-anak adalah rakyatnya. Patuh kepada ’raja’nya disamping menegur ketuanya andai berlaku sebarang kesilapan. Dan ketua mestilah bertanggungjawab mendidik rakyatnya menjadi generasi yang berguna pada masa hadapan kelak bagi menggantikannya.

Indahnya Islam yang mewujudkan institusi ini. Bukan seperti di negara Barat. Mereka menentang institusi kekeluargaan, dengan alasan hak asasi manusia dan kebebasan. Isteri bebas melakukan apa sahaja. Begitu juga anak, merdeka dengan dunia mereka tanpa kongkongan. Sebab itulah aktiviti ’seks bebas’ melata di bumi mereka. Wanita-wanita bebas tidur bersama sesiapa sahaja lelaki yang diingininya. Hinggalah tidak diketahui siapa bapa dan ibu kepada anak yang dilahirkannya. Siapa ayah dan ibu bagi anak ini. Benarkah dia anak kepada si ibu ini adalah bukan isu utama.

Jika beginilah, mudah saya analogikan bahawa manusia dan haiwan adalah sama. Bezanya cuma bentuk tubuh badan dan rupa paras. Bahkan boleh saya katakan mereka ini (manusia yang bersifat sebegini) lebih bodoh dari haiwan. Bodoh kerana tidak menggunakan akal. Jika haiwan, memang diketahui tidak punyai akal. Apatah lagi nak berfikir, jauh sekali.

Usah diharapkan kemodenan infrastruktur menyaingi negara-negara maju. Tidak perlu dinilaikan pembangunan yang bertambah-tambah. Tak payah dibanggakan ekonomi yang stabil bagi sesebuah negara, jika institusi keluarga yang tidaklah sebesar mana, gagal dipimpin ketuanya. Biarlah ketuanya seorang perdana menteri sekalipun!

Tuesday, January 8, 2008

AHLAN WASAHLAN

Assalamualaikum Wrt Wbth.
TERIMA KASIH saya ucapkan kerana sudi meluangkan masa menjenguk dan mengintai blog saya yang tidak seberapa ini. Tujuan utama blog ini dilahirkan adalah untuk berkongsi nilai-nilai dan idea kepada anda semua. Sebarang teguran dan pandangan bolehlah disalurkan kepada email saya : aisal_daruliman@yahoo.com.
Semoga ada manfaatnya. Selamat melayari..
Wassalam.

TAHUN BARU : AZAM UKHRAWI

TAHUN BARU telah menjengah. Sedar atau tidak, semakin bertambah umur kita. Dari umur 20 kepada 21 tahun. Yang 19 tahun sudah beranjak 20. Namun yang pastinya umur tidak akan berkurang, dengan bahasa mudah, untuk menjadi ‘lebih muda’, tidak sesekali. Lalu, apa yang kita fikirkan tatkala tahun-tahun ini berlalu? Pastinya azam mesti diperbaharui. Saban tahun inilah yang kita fikirkan.

Bagi yang bergelar pelajar, pastinya azam untuk mencapai pointer yang lebih baik. Bagi seorang cikgu, mahukan anak-anak muridnya cemerlang berbanding sebelumnya. Bagi pekerja kerajaan misalnya, kualiti kerja mesti ditingkatkan bagi menaik taraf kedudukan. Begitu juga pemimpin-pemimpin negara, visi dan misi mencapai kemajuan dan kemodenan negara pasti dikehendaki.

Azam-azam dan matlamat ini sangat baik dan wajar dirancang. Lebih-lebih lagi dalam suasana dunia menempuh era globalisasi kini. Tetapi agak terkilan sedikit kerana azam-azam tersebut seakan tidak sempurna. Tidak sempurna lantaran unsur-unsurnya begitu ke’duniawi’an. Mengapa saya berkata begitu rupa? Kerana saya melihat dan mentafsir, ramai diantara kita yang hebat dan berstrategi dalam merancang kehidupan mereka dari segi keluarga, kewangan dan sebagainya. Namun, dalam soal-soal ibadah kemana perginya??

Tidakkah ada di antara kita, (seorang pun dah cukuplah), yang menyatakan azamnya mahu menambah (top up) ibadahnya sempena tahun baru ini. Dia merasakan bahawa kurangnya ibadah fardhunya. Lalu pada tahun ini dia merancang untuk melebihkan solat-solat sunat sebagai bekalan menampung solat fardhu. Atau ada yang merancang pada tahun baru ini untuk bersedeqah RM2 cuma, seminggu sekali di masjid-masjid dengan konsisten tanpa tinggal. Ungkapan-ungkapan ini ada sebenarnya, tetapi tidak banyak di highlightkan kerana tak berapa penting sangat atau tak advance pun!

Sebab itulah saya teringat kata-kata seorang sahabat saya. Beliau adalah seorang pemimpin tertinggi mahasiswa Islam. Suatu hari saya ternampak beliau membasuh periuk apabila selesai kami menutup gerai sempena Festival Konvokesyen Universiti. Lalu saya bertanya beliau, mengapa susah-susah membasuh periuk sedangkan tugas ini milik kami selaku AJK gerai? Sepatutnya pergilah bertemu dengan mahasiswa dan tugasan lain yang lebih besar. Apa dijawabnya membuatkan saya begitu terharu dan kerdil rasanya. Jawabnya: “Saya laksanakan banyak perkara, berkuliah, memberi tazkirah dan banyak lagi, tetapi saya tidak tahu, mana satu amalan saya yang diterima Allah. Mana tahu dalam banyak-banyak itu, Allah hanya menerima amalan saya yang membasuh periuk ini. Itu pun sudah cukup..”

Sayugiya itu, betulkan semula azam anda. Bagi yang belum berazam lagi, pastikan azam anda lurus dan tulus, dunia dan akhirat serta seimbang. Berazam samalah seperti kita bekerja. Jangan dilupakan dunia kerana mengejar akhirat dan jangan sesekali melupakan akhirat dalam setiap urusan dunia. Kerana akhirat itulah sebenarnya dunia bagi kita.