Tuesday, January 22, 2008

Di sisi Imam Hasan Al-Banna


Prolog:
Nama yang cukup popular dalam gerakan Islam dunia khususnya di lembah arena dakwah. As-Syahid Imam Hasan al-Banna dilahirkan sebagai anak sulung yang di kelilingi ahli keluarga yang biasa. Namun beberapa adik-beradiknya termasuk beliau adalah seorang yang berpendidikan. Kelahirannya bertepatan dengan kematian pemimpin Muslim Mesir iaitu Mustafa Kamal. Takdir Allah yang menentukan beliau bakal mengambil alih tanggungjawab tersebut. Di ’utus’ dalam suasana kejatuhan khilafah islamiyah yang sangat teruk. Bermula keruntuhan Daulah Othmaniah. Mesir berada dalam kemelut misalnya ulama’-ulama’ Mesir ’dihilangkan’ oleh kerajaan.

Jejak-jejak mula:
Memulakan tugasannya sebagai seorang guru di Ismailiah (1927), maka bermulalah amanah yang dipikulnya. Sifatnya yang ’kena’ dengan seorang pendidik, tatkala itu beliau mula mengkaji corak kemasyarakatan di situ. Uniknya, gerakan didikan beliau berpangkal di kedai-kedai kopi dan warung-warung makan, bukan di masjid. Usaha ini berhasil apabila menemukan 6 orang penting yang berbaiah untuk memperjuangkan Islam. Akhirnya tertubuhnya ’Ikhwan Muslimin’.

Zaman gemilang:
Ikhwan Muslimin bergerak berlandaskan rancangan-rancangan yang mencakupi setiap sudut pembaharuan masyarakat. Ia adalah gerakan agama dengan mempertahankan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Ia mewakili hampir keseluruhan masyarakat. Penuntut-penuntut universiti, buruh-buruh, saudagar, guru-guru dan pelbagai lapisan lagi. Ia juga mengepalai gerakan anti-penjajah menentang British pada 1945 dalam Perang Dunia Kedua. Sehinggalah keanggotannya yang benar-benar aktif (murabitun) mencecah setengah juta.

Karya dan idea:
Apabila ditanya kepada As-Syahid: ”Mengapakah awak tidak mengarang buku?” Imam Hasan Al-Banna menjawab: ”Saya ’menulis’ manusia” bermaksud, beliau melatih manusia dari segi akhlak dan ilmu untuk perjuangan Islam. Namun ada beberapa karya yang pernah dinukilkan antaranya, Catatan Dakwah dan Pendakwah, Rasaail al-Imamu Syahid dan yang paling popular sehingga kini adalah ’Al-Ma’thurat’ yang menjadi amalan para pendakwah.

Belasungkawa:
As-Syahid menjalani seluruh kehidupannya untuk perjuangan Islam dan kebajikan ummat Islam. Di samping khusuk beribadah dan mengkaji Al-Qur’an. Tokoh ini syahid ditembak pada 12 Februari 1949 di Kaherah. Disebutkan tatkala selepas ditembak, beliau tidak diberikan rawatan kecemasan oleh kerajaan Mesir. Sehinggalah syahid menemui beliau. Dalam umurnya yang singkat (43 tahun), beliau meninggalkan jejak-jejak untuk diikuti seluruh pendakwah dan gerakan Islam.

Syeikh Muhammad al-Ghazali berkata:

”Peluru telah menembusi jasad Hasan al-Banna yang kurus dan lemah kerana banyak bersolah dan berzikir kepada Allah. Jasadnya itu juga penuh dengan debu lantaran pengembaraannya di jalan Allah. Dahinya melambangkan kebiasaannya dalam memberi pengorbanan-pengorbanan yang besar..”

Al-Fatihah.

No comments: