Sunday, January 20, 2008

Beberapa perkara yang ingin dikongsi


ALHAMDULILLAH, beberapa hari yang lalu, saya sempat mengkhatamkan sebuah buku novel bertajuk ‘Pudarnya Pesona Cleopatra’ nukilan Habiburrahman el-Shirazy.

Selepas saya menyelak halaman terakhir novel tersebut, dalam hati terselinap beberapa perasaan dan anjakan yang berbaur. Sedih dan gembira. Suka dan semangat. Turut bermain-main adalah persoalan cinta. Dua hari menghabiskan buku ini, saya mendapat beberapa intipati yang saya rasa dapat berkongsi dengan pelayar blog saya, yang mungkin masih tidak berkesempatan menatap buku tersebut.

Penulis yang pernah memenangi PENA AWARD NOVEL TERPUJI NASIONAL (2005) ini berjaya menggarapkan konsep cinta, kasih-sayang dan nilai-nilai hidup dengan terkesan sekali. Sambil diadun dengan sifat hawa nafsu manusia yang senantiasa mahukan kepada kesempurnaan. Novel setebal 120 muka surat ini telah berjaya menambat hati sesiapa yang membacanya.

Yang saya mahu perkatakan di sini adalah apa nilai-nilai yang sangat baik ditekuni oleh setiap insan. Pertamanya adalah, tiada yang sempurna di muka bumi ini asalnya dia bernama manusia. Walau secantik mana wanita itu, walau sehebat mana lelaki tersebut. Bilamana disebut manusia, pasti akan ada kekurangan. Nilainya, kita hendaklah menerima seadanya tanpa mencela atau meragui ciptaan Tuhan tersebut.

Kedua, sesuatu yang kita dapat hari ini, sesekali tidak mungkin akan kita kecapi pada masa akan datang. Andainya kita bergembira hari ini, esok mungkin tidak. Sekiranya kita punya waktu berdamping dengan orang-orang yang kita sayangi hari ini, mungkinkah esok sudah tidak berpeluang. Justeru, nilainya, gunakanlah saat-saat manis tersebut dengan sebaiknya, sebelum ia pergi.

Saya berpandangan, novel ini sebagai suatu motivasi kepada sekelian manusia yang menganggap takdir buruk itu suatu pengakhiran. Tidak, anda silap sebenarnya. Sebeb itulah Allah ada menyebut:

’Berkemungkinan apa yang kamu benci itu adalah suatu yang baik bagimu, manakala apa yang kami cintai itu adalah buruk bagimu..’

Bagi yang belum membacanya, boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran. Terbitan Al-Hidayah Publisher. Harga: RM11.90 sahaja. Untuk buku-buku jenis lain, bolehlah melayari:
www.hidayah.com.my.

Selamat membaca.

No comments: