Wednesday, October 29, 2008

Bajet 2009 Tidak Diyakini, Mahasiswa cadang 'Bajet Mahasiswa'


Pada 23 Oktober 2008, Pakatan Rakyat telah mengumumkan ‘Bajet alternatif’ kepada bajet yang diumumkan kerajaan Barisan Nasional yang dibentangkan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi pada 29 Ogos 2008 yang lalu. Bertemakan ”menangani kemelut ekonomi dan memulihkan keyakinan”, Pakatan Rakyat dilihat menggagaskan idea murni berupa teguran atau tambahan membaik-pulih dan memurnikan belanjawan kerajaan.

Kerajaan Barisan Nasional melalui ’Bajet Prihatin’, mengetengahkan isu keperluan rakyat seperti penubuhan tabung khas 25 juta kepada keluarga yang ditimpa musibah di samping pendapatan bantuan tambahan buat rakyat Sabah dan Sarawak. Sebelum ini pula, pada 2008 kerajaan telah mengumumkan ’Bajet Pemurah’ kepada rakyat Malaysia.

Intipati Bajet Pendidikan : Antara BN dan PR
Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam bajet prihatinnya meletakkan strategi kedua : membangunkan modal insan berkualiti sebagai sasaran kepada golongan pelajar. Dalam isi bajet tersebut, sebanyak 23 peratus dikhususkan untuk membangunkan pendidikan dan latihan

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pula, mensarankan 11.86 bilion buat pembangunan pendidikan dan menumpukan kepada aspek membangunkan prasarana sekolah-sekolah seperti menaik taraf kemudahan, kelengkapan kemudahan elektrik dan sebagainya.

Semua ini hanya dilihat menjurus kepada kemajuan infrastruktur pendidikan kearah yang lebih maju dan moden.

Soalnya disini adalah, bagaimana dengan bajet bagi pendidikan tinggi? Khususnya kepada mahasiswa-mahasiswi di kampus-kampus yang juga adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia. Lama sebelum ini, kerajaan ada juga membentangkan dalam RMK-9 berkenaan meningkatkan modal insan melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang menyaksikan peruntukan sebanyak 2.6 bilion untuk melonjakkan pendidikan luar bandar. Juga menumpukan kepada aspek memajukan infrastruktur kemudahan.

Bajet yang Tidak Diyakini
Saya berpandangan kedua-dua bajet tersebut sama ada dari kerajaan BN mahupun PR, masih tidak dapat meyakinkan mahasiswa berkenaan masa depan pendidikan pengajian tinggi serta melahirkan modal insan mahasiswa kelas pertama yang intelek dan kritikal serta mampu memimpin. Apa manfaat yang mahasiswa dapat melalui pembangunan dan permodenan infrastruktur? sedangkan dalam masa yang sama masih berlambak isu-isu mahasiswa yang tidak perlu saya listkan disini belum dapat ditangani dengan jelas oleh kerajaan BN mshupun PR.

Sewaktu pilihanraya kecil Permatang Pauh lalu, yang menyaksikan ia adalah pilihan raya penentu masa depan Malaysia, wakil mahasiswa seluruh negara turun bertemu kedua-dua calon bagi mengutarakan pembaik pulihan serta gagasan pembaharuan dalam pengajian tinggi dan pendidikan negara yang menjadi aspirasai mahasiswa. Namun, sehingga hari ini dimana suara-suara dari kami itu yang dibawa oleh mereka?

Saranan dan ’Bajet Mahasiswa’
Jika sekiranya kedua-dua pihak tidak mampu untuk mencadangkan bajet khusus kepada pembangunan mahasiswa, di sini kita mengemukakan ’Bajet Mahasiswa’ sebagai aternatif kepada kedua-dua bajet tersebut;

Pendidikan Bebas dan Kebajikan:
Mahasiswa mencadangkan kepada kerajaan dan PR agar menilai semula sistem pendidikan di Malaysia yang dilihat tidak mampu melahirkan mahasiswa yang seimbang. Sistem yang berorientasikan peperiksaan haruslah dimansuhkan dan digantikan dengan sistem yang membebaskan pelajar dalam akademik. Mahasiswa mengambil penting saranan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah agar sistem pendidikan yang terlalu taksub kepada prestasi pencapaian akademik semata. Mahasiswa juga mahukan sistem yang fleksibel dalam memberikan ruang kepada mahasiswa membangunkan potensi modal insan yang ada pada mereka.


Justeru itu, peraturan dan akta yang mengongkong pencapaian dan prestasi akademik dan karisma kepimpinan perlu dihapuskan terutama Akta Universiti dan Kolej Universiti. Para ahli akademik juga diberi kebebasan mengkaji dan mengutarakan pendapat tanpa disekat. Selain itu, mahasiswa juga mahukan agar sekurang-kurangnya 50% peratus daripada bajet pendidikan disalurkan kepada kebajikan dengan menjadikan pendidikan dinikmati secara percuma.

Mahasiswa mengharapkan adanya tindakan susulan berikutan bajet 2009 yang dikemukakan kedua-dua pihak masih belum dapat meyakinkan masyarakat mahasiswa berhubung hak-hak yang perlu dibela terhadap mahasiswa.

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh
Aktivis mahasiswa

Tuesday, October 28, 2008

Selamat Tinggal

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh
PROLOG
Tiga hari lagi Syawal akan berlabuh pergi, meninggalkan buat seluruh umat Islam di serata dunia. Ramadhan, sudah sebulan yang lalu menyepi. Menyepi tapi akan kembali. Yang tinggal, hanyalah sisa dan baki rembesan didikan roh Ramadhan yang disulami kesyukuran fitrah Aidilfitri.

Ramadhan memberi peluang buat kita selama tiga puluh hari menyucikan hati dan jiwa, mengejar-ngejar ibadah dan mencari lintasan lailatul qadar. Hanya yang benar-benar mengambil kesempatan dan menghargai nilainya telah merasainya. Tarbiyah Ramadhan melahirkan insan yang rohaninya sangat cintakan ketenangan dan kedamaian. Ini terpancar dalam sikap dan tindak-tanduknya.

Teruskanlah Budaya Ramadhan
Ramadhan dan Aidilfitri di Malaysia begitu memberi sejuta ketenangan. Kerana setiap bulan itu penuh dengan ceritanya. Pesta ’makan-makan’ menjelang malam bagi saya sesuai diungkapkan apabila menjengah berbuka puasa. Bayangkanlah, ditangan seorang itu sebungkus cendol dengan nasi ayam, ditambah lagi roti john untuk disantap selepas solat maghrib. Ini belum lagi masuk waktu isyak dan moreh bubur lambuk atau kuih-muih lepas tarawih. Hmm.. semua ni yang saya kata pesta makan-makan tu.


Apa-pun ia pesta ibadah jua. Saya masih bersyukur, di Malaysia mengamalkan ibadah solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Saya tidaklah ingin membeza-bezakan soal hukum dan sunnah kerana ini jelas. Bagi saya, di kesempatan bulan yang mulia yang di bulan lain tidak adanya solat tarawih ini, apalah kiranya melebihkan solat hingga ke 20 rakaat. Lebih ibadah, lebihlah pahalanya.

Syawal Memohon Keampunan
Menelusuri akhir-akhir Ramadhan, menjelang Syawal, uruf dan adat di Malaysia membudayakan pulang ke kampung. Dengan tujuan bertemu sanak-saudara serta orang tua bagi yang lama tidak pulang. Bagi saya ini sangat baik dan uruf ini sangat elok diteruskan. Aidilfitri bulan bermaafan dan kesyukuran. Aidlifitri penyerinya adalah makanan serta berkunjung-kunjungan. Cubalah bayangkan hari raya tanpa makanan seperti lemang, ketupat, kuih raya dan sebagainya? Saya rasa nak bersembang pun tak ada idea. Pun begitu, tidak ada masalahnya, asalkan tidak membazir-bazir.



Bagi perantau, khususnya rakan-rakan yang mencari ilmu di seberang laut, juga menyambutnya. Biasalah agak terkilan tanpa orang tersayang di sisi. Namun pengorbanan ilmu itu lebih utama. Jangan di tangiskan kerana doa mereka senantiasa di sisi.

EPILOG
Segala-galanya bakal berlalu. Yang pentingnya, apa yang kita lalui bakal memberikan seribu makna dalam diri. Ramadhan dan Syawal. Kita akan bertemu lagi, tetapi tidak pasti. Yang pergi, akan tetap pergi pabila tiba masanya. Yang tinggal akan terus berjuang meneruskan kehidupan. Mengharapkan redha Allah dalam setiap langkah. Semoga ditemukan lagi.

Salam Aidilfitri.

Saturday, October 25, 2008

Otak Bijak, Jiwa Daie

catatan ringkas oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

“Kita perlu ubah imej, supaya mad’u mudah masuk dengan kita..!” Seorang rakan saya berhujah mempertahankan pendiriannya.

“Saya nak ubah kepada tudung bidang enam puluh ustaz, baru kena dengan suasana..” Rakan saya siswi suatu hari berkata seperti itu.

Saya jawab : “Terpulang pada anda..”

Tidak mahu menghukum, kerana saya bukan penghukum walaupun saya mengaji di Jabatan Fiqh Usul. Saya boleh sahaja bagi ‘fatwa’ berdasarkan apa yang saya pelajari, namun bukan itu yang utama. Sehingga hari ini, kefahaman dakwah di kalangan kita masih belum lagi dijiwai.

Ungkapan ’Daie’ itu sangat besar maknanya. Orang-orang yang berpengalaman, yang berkecimpung serta turun ke lapangan sebenar dakwah di ’grass road’ ialah orang yang paling layak bercakap soal dakwah. Kerana mereka merasai dan menyentuhnya!


”Awak nak ubah imej, ubahlah. Yang penting macamana awak bijak approach mad’u.” Bagi saya imej bukan alasan berdakwah. Benar, orang menilai seseorang dengan imej. Imej itu sekilas pandangan, tapi lebih utama pergaulan kita.

“Saya nak tanya dulu sebelum enti ubah tudung. Selama enti bertudung sebelum ini, apa masalah pandangan mad’u? Betulkah mereka takut? Atau itu hanya perasaan enti je?”

“..dan saya nak enti beri keyakinan pada saya, jika benarlah dengan perubahan enti ini berjaya melebarkan dakwah enti berbanding enti sebelum berubah, go onlah..” Saya menoktahkan pandangan.

Jadilah macam Imam Hassan al-Banna. Mengutamakan yang utama. Suatu hari orang bertanya, berapa rakaat yang lebih afdal solat tarawih?. Ada kata 8 rakaat, ikut cara Rasulullah. Sebahagian lain pula mengatakan 20 rakaat, banyak ibadahnya. Apa jawab al-Imam?

“Buat 20 pun boleh, buat 8 pun boleh. Asalkan buat, daripada tak buat langsung..” Jawapan meng’aula’kan elak perpecahan berbanding berkonflik amalan sunat sahaja.

Itulah Daie.

Otak kena bijak, namun jiwanya mendidik.

Sunday, October 19, 2008

Muwasafat Tarbiyah : Muhasabah yang Perlu Dicermati

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Akhir-akhir ini, gerakan Islam khususnya semakin ketandusan keahlian yang diyakini mampu untuk meneruskan kesinambungan gerakan agar terus bernafas. Kualiti dan kuantiti ahli sudah kurang dibicarakan dan dilumati dalam mengkaderkan pelapis. Pasca pilihan raya umum baru-baru ini, sedikit sebanyak meng’arah’kan hala tuju gerakan Islam menjadi lebih ’kepolitikan’ berbanding persoalan-persoalan tarbiyah atau didikan yang dahulunya sering digemakan. Ini juga tanpa disedari turut berlaku dalam gerakan mahasiswa Islam (GMI) di kampus.

Hari ini, gerakan akan berbangga dapat melahirkan ahli yang ramai yang mampu menampung kekosongan gerak kerja Islam. Kuantiti yang berbilang ini kadang-kala membuaikan rasa selesa bagi gerakan. Demonstrasi, kuliah-kuliah ilmu, setakat ini masih lagi dapat didominasi dan dimobilasi bagi ’menggerun’kan pihak musuh dengan kehadiran ahli-ahli ini. Namun, adakah kuantiti ini selari dengan kualiti yang diperlukan dalam sesebuah gerakan?

Persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh ahli gerakan: Sejauh mana pemahaman ahli dalam jihad-jihad yang mereka sertai selama ini? Yang sanggup berhadapan dengan risiko-risiko lebih besar lagi? Yang bukan sekadar menjadi front liner dihadapan, bahkan bersedia dilenyek kereta kebal tentera seandainya memerlukan ahli gerakan berbuat sedemikian?

Lalu, beberapa perkara yang disebut muwasafat tarbiyah harus diteliti semula. Gerakan perlu meletakkan standard kader ahli dengan sekurang-kurangnya memenuhi beberapa kriteria-kriteria berikut:

Aqidah yang sejahtera (aqidatun salim) : Kefahaman aqidah islamiyyah yang jelas hendaklah dipasakkan dengan utuh dan jitu seumpama akar pokok yang menjalar jauh ke dalam tanah. Bukan sekadar meneliti tauhid-tauhidnya sahaja, bahkan aqidah perjuangan dipraktikalitikan dalam tindakan mereka.
Ibadah yang sahih (ibadah soheh) : Dalam pada itu, kehidupan mereka terangkum dalam ibadah yang natural dan bersih daripada sebarang unsur bid’ah. Melaksanakan ibadah berpandukan ilmu yang dipelajari. Seluruh ibadah dilaksanakan tanpa memilih-milih sama ada yang sunat mahupun wajib.
Akhlak yang mantap : Seorang ahli gerakan adalah seorang daie yang menjadi contoh terbaik orang disekeliling. Mana mungkin seorang ahli gerakan mengucapkan kata-kata nista dan umpat tanpa sebarang sebab. Mereka juga menjaga adab-adab dalam berjemaah disamping melestarikan ukhwah islamiyyah.

Mampu bekerja : Yang dimaksudkan ini adalah bijak dan berkapasiti pengorbanan yang tinggi dalam menyelesaikan amanah dan tanggungjawab.

Berpengetahuan luas (ilmun wasi’) : Pra-syarat inilah yang semakin dilupakan oleh sekelian ahli gerakan. Dek mengejar tanggungjawab dan amanah yang diberikan sehingga terlupa mengisi ilmu di dada. Silibus-silibus pengkaderan haruslah disemak dan dianalisis semula agar ia benar-benar ilmiah dan semasa. Majalah, surat khabar serta internet perlu diakses dan sensitif agar tidak kosong dadanya daripada ilmu pengetahuan semasa.

Tubuh yang cergas : Ini tidak dapat dinafikan lagi. Kesihatan tubuh perlu dijaga. Kebanyakan ahli gerakan kadangkala mempunyai tabiat makan yang tidak menentu. Walaubagaimanapun, perancangan makan juga perlu disusun untuk melahirkan ahli yang sihat tubuh badannya.

Menguasai diri (mujahadutnnafs) : Ahli gerakan tidak boleh mendabik dada merasakan mereka sudah banyak melakukan kebaikan dek gerak kerja mereka. Kita sedia maklum, ahli gerakan perlu turun ke medan-medan dakwah bersama-sama dengan masyarakat yang pelbagai. Justeru itu, kekuatan jiwa daripada pengaruh yang menggugat harus dipertingkatkan. Di samping amalan-amalan rohani serta solat fardhu yang menjadi pertolongan.

Teratur urusannya (munazzamah) : Kebatilan yang terancang pasti jua akan menang seandainya kebenaran itu tidak tersusun dan berstrategi. Setiap ahli gerakan perlu berusaha mewujudkan planner harian untuk menyusun gerak kerja harian serta tidak mudah lupa dalam menjalankan amanah.

Sangat menghargai masa : Sudah menjadi kelaziman, ahli gerakan sewajarnya menjadikan masa sebagai aspek terpenting dalam hidup. Setiap yang berlalu tidak harus dipersiakan begitu sahaja. Sentiasa merasakan resah seandainya setiap saat yang bergerak tidak melakukan kerja-kerja Islam.

Bermanfaat kepada orang lain : Aspek inilah yang mahu dilahirkan daripada setiap gerakan Islam. Kehadiran ahli gerakan di mana-mana sahaja sentiasa dirasai dan ketiadaannya sentiasa ditunggu-tunggu. Bukan kerana glamournya, tetapi kerana rembesan tarbiyah dirinya cukup menjadikan orang sekelilingnya merasa tenang bersamanya.

Kita sedar akan realiti. Gerakan tidak mampu melahirkan ahli sesempurna itu. Namun, suatu sistem atau strategi harus dikemaskini kembali supaya matlamat adalah mengarah kepada kualiti ahli yang disebutkan di atas. Barulah gerakan Islam mampu ’menggegarkan’ musuh-musuh yang selama ini memandang enteng dan sebelah mata.