Friday, September 26, 2008

Seuntai Kata Untuk dirasa

Hari ini, Jumaat. Bersamaan 26 Ramadhan.

Kampus sepi. Ramai student sudah pulang ke kampung halaman barangkali untuk menyambut lebaran yang bakal menjelma tidak lama lagi. Di corong-corong radio dan televisyen, lagu-lagu raya mula kedengaran. Pasar di Chow kit sejak awal Ramadhan lagi sudah rancak menjual barang sambutan Raya.

Bila teman-teman sudah tiada di sisi, tiba-tiba teringatkan mereka. Saya mungkin orang paling lewat pulang ke kampung. Shafie dan Munir, pagi-pagi lagi sudah bertolak ke utara dan selatan. Hmm.. Di mana la mereka sekarang ni. Moga-moga dapat sampai dengan selamat hendaknya.

Petang semalam, sempat bersama teman-teman satu perjuangan dalam majlis berbuka puasa. Rasa seakan mahu berpisah selama-lamanya. Tersentuh mendengar kata-kata sahabat baik, Fahmi: ”Berjuanglah dengan kefahaman, bukan semata-mata semangat”.

Selepas Raya ini, Pilihan Raya Kampus menanti dihadapan. Di samping itu juga assingment dan presentation yang berlambak masih belum disempurnakan dan menagih untuk disiapkan. Ya Tuhan! Semakin besar ranjau perjuangan yang bakal hadir ini. Berjuang dalam politik kampus ini memerlukan ketahanan yang tebal. Sudah lama sinar Islam dan keadilan itu malap dek kerakusan dan ketamakan manusia yang gilakan pangkat dan kuasa.

Saya sebenarnya sangat terhutang budi kepada Abg Zali yang banyak membantu dan tunjuk ajar dalam berjuang. Seiras Abg Alan suatu masa dahulu yang banyak memberi inspirasi. Dibantu Naim dan Aiman yang sangat laju bekerja. Sekali-sekali rembesan ruh tarbiyah kembali dirasai bila mana duduk bersama-sama orang yang memiliki semangat ’murobbi’ seperti Zulamirul dan Hafiz Ilyas. Paling dirasai, nasihat dan teguran membina daripada sahabat YDP PMIUM ustaz Haafizuddin, yang manisnya senantiasa terpalit pada fikiran saya.

Oh..termenung panjang saya rupanya. Hari ini sebelum solat Jumaat seperti biasa, saya dan Pak Tam akan mengagih-agihkan risalah Rusydan, edisi Jumaat. Kalau bulan tidak puasa, ada sekali ’air sukarelawan’, air free. Teringat saya. Terima kasih banyak pada Rusydi yang sudi meminjamkan kereta untuk mengangkut air.

Tak sedar bahawa Ramadhan hanya berbaki empat hari sahaja lagi. Tapi, rasa di hati macam ibadah masih belum banyak dibuat, begitu jua dengan amalan lain. Apa pun masih ada waktu lagi. Rasa saya, sampai sini sahaja coretan saya. Bukan tiada idea, tapi mahu berangkat dah. Saya mahu pulang.

Sawah padi, pokok kelapa. Semua sedang bermain di minda. Memanggil pulang ke desa.

Wahai Allah! Ampunilah kami, dosa-dosa kami dan kedua ibu-bapa kami. Sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.

Ampun dan maaf saya pinta buat teman-teman, rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang mengenali saya. Halalkan makan dan minum saya.

Salam Lebaran.
Salam Perubahan.

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh.

Tuesday, September 23, 2008

Universiti Apex : Membawa Malaysia di Persada Dunia

Salam Ramadhan Kareem dan Selamat Bermunajat kepada seluruh rakan-rakan saya yang beragama Islam di saki-baki terakhir bulan mulia ini. Salam Harapan dan Perubahan menuju kecemerlangan!

Universiti Apex masih saya minat untuk diperbualkan biarpun isunya sudah agak ‘sejuk’ berlalu. Mana tidaknya, saya sebagai warga Universiti Malaya, sedikit tersentak apabila pengumuman oleh Dato Seri Khaled Nordin yang mengiktiraf USM sebagai yang layak menyandang gelaran itu. Saya bukan anti-USM, malah saya punyai ramai kenalan di sana. Apatah
lagi untuk saya menyanggah keputusan KPT, tidak sekali-kali.

Perlu diketahui rakan-rakan sekalian, apabila menyebut tentang Universiti Apex, kita sebenarnya sedang membicarakan perihal universiti terbaik dunia. Ia seangkatan Havard University atau mungkin Oxford University. Dalam perkara ini, saya hanya suka mengutarakan maklumat, dan biar rakan-rakan sendiri menilai potensi universiti-universiti ini dalam status Universiti Apex tersebut.

Baiklah. Untuk pengetahuan, agenda
Universiti Apex ini terangkum dalam Agenda Kritikal Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan misi ‘Pemangkin Transformasi Menyeluruh’ dalam pengajian tinggi. University Apex akan diberi kuasa autonomi menyeluruh dari segi meletakkan kedudukannya dalam kelas dunia. Di samping itu, Lembaga Pentadbiran Universiti adalah terdiri daripada professional diberi kuasa tadbir yang penuh dan ia berkuasa memilih pelajar berdasarkan merit akademik dan criteria lain yang dilaksanakan secara holistic termasuk melalui temuduga. Bagi saya, jika beginilah mandat yang diberi kerajaan, maka bukan calang-calang universiti yang boleh diiktiraf sebegini rupa.

Oleh yang demikian, standard yang perlu dicapai untuk mengungguli pengiktirafan Universiti Apex ini adalah memiliki 1) Pemimpin Terbaik, 2) Fakulti Terbaik, 3) Pelajar Terbaik dan 4) Kemudahan Terbaik. Dengan empat aspek inilah penilaian dilaksanakan. Diantara universiti-universiti tempatan, anda boleh menilai sendiri yang mana paling menepati aspek-aspek yang disebutkan di atas.


Paling menarik, setelah diumumkan sebagai university Apex, satu pasukan khas akan diwujudkan yang akan dianggotai ahli-ahli akademik tempatan dan antarabangsa, pemimpin university, tokoh-tokoh korporat dan wakil kerajaan untuk membangunkan mekanisme university tersebut. Dengan pelan pembangunan jangka panjang yang dihasilkan, university itu bakal mengalami revolusi pendidikan yang lebih maju kehadapan dan tersenarai dalam rangking seratus university terbaik dunia menjelang 2010. Ini belum lagi menyebut insentif atau bajet yang akan diperuntukkan kerajaan kerana agenda university Apex ini turut dimuatkan dalam Rancangan Malaysia Ke-Sembilan kerajaan Malaysia.


Apa pun, segulung tahniah saya ucapkan buat Universiti Sains Malaysia. Saya rasa, tak perlulah saya gambarkan bagaimana situasi USM sekarang untuk saya letakkan ia dalam Universiti Apex. Cukup aspek-aspek yang saya sebutkan di atas, anda sendirilah yang menilainya.


Walau bagaimanapun, Universiti Malaya atau universiti-universiti lain tidak perlu terlalu bimbang. Ini kerana KPT dalam kenyataannya mensasarkan satu atau dua buah university Apex akan diwujudkan dalam tempoh RMK-9 ini. Justeru itu, peluang kekosongan dan persaingan masih ada.


Sebagai warga Universiti Malaya tercinta, pastinya saya mahu pengiktirafan itu milik UM. Oleh itu, saya menyeru seluruh rakan-rakan dan teman-teman khususnya Universiti Malaya dan university lain umumnya, sama-sama memikirkan sumbangan yang boleh disalurkan untuk universiti masing-masing. Sumbangan idea, kepimpinan, kecemerlangan, akademik, perpaduan dan sebagainya perlu dirancakkan dan dibudayakan dalam kepimpinan pentadbiran serta mahasiswa universiti. Idea-idea lama dan unreality wajar digantikan dengan agenda-agenda baru yang segar dan lebih praktikal.


Zaman yang sepatutnya berlalu mesti dibiarkan berlalu. Berikan laluan kepada ‘perubahan-perubahan’ yang bakal melahirkan generasi baru yang seiring globalisasi dan arus perdana yang semakin pantas.


Saya yakin, masih ada harapan untuk berubah.


Salam Harapan,

Salam Perubahan.


Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Universiti Malaya Kuala Lumpur.

Bingkisan Coretan Kenangan

Alhamdulillah. Akhirnya sudah sampai ke penghujung sepuluh hari-hari terakhir Ramadhan al-Kareem. Suasana semakin syahdu untuk kita beramal ibadah, mengutip ganjaran dan memohon keampunan Allah s.w.t.


Sekadar berkongsi buat teman-teman yang setia mengunjungi blog. Minggu lepas, saya dengan beberapa sahabat dalam perjalanan ke Hulu Langat, menyertai program motivasi kecemerlangan diri. Kami bertolak menaiki motorsikal dari UM jam 7.40 malam seusai berbuka. Hingga singgah di Cheras, menunaikan kewajipan solat maghrib.


Kami berhenti di sebuah stesen minyak Petronas yang memiliki surau, ia bersebelahan dengan Restoran Cerama. Namun, suraunya sangat kecil untuk menampung jemaah yang hadir, ditambah lagi pengunjung yang berbuka di restoran sebelahnya itu.


Saya berbisik kepada Ezat Afiq. Macamana ni? Takkan nak tunggu lama hingga jemaah dalam surau itu tamat, sedangkan waktu maghrib hampir luput. Lalu kami buat keputusan untuk solat di kawasan lapang di luar surau, di atas tanah. Mulanya berasa sangsi, adakah betul tindakan ini. ”Alah!..kat luar pun bersih juga, kita mula dulu” Fadzil menenangkan kami.


Iqamat dilaungkan, solat didirikankan. Sehinggalah salam terakhir, saya menoleh. Agak terkejut. Kerana beberapa saf dibelakang dipenuhi jemaah yang mengikuti kami. Rupa-rupanya orang-orang disekeliling kami menunggu-nunggu kami untuk mulakan solat di situ.


Betapa indahnya Islam itu. Mudah diamal di mana-mana. Hanya yang perlu untuk ’siapa yang memulakannya’. Kadangkala orang segan nak buat sesuatu kerana takut tak betul, maka kitalah sebenarnya membimbing mereka, sebagai rakan, guru dan sahabat. Apa pun, Ramadhan ini banyak pengajaran yang perlu diiktibari.


Salam Ramadhan

Salam Harapan dan Perubahan


Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Kuala Lumpur.

Friday, September 12, 2008

BAS : UM PERLU CONTOHI RAPIDKL

Isu sistem pengurusan dan perkhidmatan bas shuttle yang kurang cekap dan tidak terurus di kampus Universiti Malaya menjadi satu perkara yang masih belum dapat diselesaikan lagi. Sehingga hari ini, banyak rungutan saya terima berkenaan dengan masalah tersebut.

Bas lewat sampai.
Terpaksa berasak-asak untuk ke kelas.
Tunggu sehingga sejam, bas masih tidak muncul.


Rata-rata yang mengalami masalah ini adalah pelajar daripada tahun satu. Ini kerana peraturan baru menetapkan pelajar junior tidak dibenarkan membawa apa jua jenis kenderaan ke kampus. Saya agak, pihak pentadbiran Universiti Malaya boleh mencontohi sebuah syarikat bas terkemuka di Kuala Lumpur untuk menyelesaikan masalah pengurusan bas di UM.

Semalam, saya terbaca artikel berkenaan dengan syarikat bas Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL), iaitu antara sebuah syarikat pengangkutan awam yang cekap di Malaysia. Melalui Pengurus Besar Komunikasi RapidKL, Ebi Azly Abdullah, syarikatnya akan memperkenalkan perkhidmatan bas percubaan baru yang dikenali sebagai “Perkhidmatan Bas Fajar” mulai pada 15 September 2008.


Apa yang menariknya, perkhidmatan ini bermula seawal jam 5.10 pagi bagi memberi kemudahan kepada pengguna yang mahu memulakan perjalanan awal dan tidak mahu tersekat dengan kesesakan ke tempat kerja. Apa yang penting, perkhidmatan ini adalah pada peringkat ’percubaan’ untuk mengenal pasti permintaan pengguna. Seandainya sambutan menggalakkan, pihaknya akan mengekalkan perkhidmatan tersebut.

Pendapat saya UM wajar mencontohi syarikat RapidKL dalam menguruskan sistem shuttle bus di UM. Paling penting, buatlah sesi ’percubaan’ terlebih dahulu bagi menilai sejauh mana keberkesanan peraturan baru yang ingin dibuat.

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh
Duta Pro-Mahasiswa Universiti Malaya.