Sunday, August 21, 2011

Al-Fatihah Azizi Hj Abdullah, seorang lagi penulis telah pergi

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh


Saya tidaklah mengenali beliau secara peribadi, namun saya mengenalinya melalui karya dan tulisan yang saya baca. Ketika sekolah menengah, saya adalah peminat novel. Hampir keseluruhan novel-novel yang berkait tentang cinta dan kehidupan saya beli.

Minat itu saya kongsi dengan abang saya. Antara koleksi novel yang diminati antaranya adalah yang ditulis oleh Azizi Haji Abdullah. Bagi saya, karyanya berbeza dan nilainya begitu mendalam, lain daripada penulis-penulis biasa.

Dua novelnya yang saya miliki yang menjatuhkan hati saya kepada tulisannya berjudul 'Ayahanda' dan 'Melukut Kota'.

Novel Ayahanda mengisahkan jerih-payah seorang ayah yang sudah tua di kampung, dikelilingi anak-anaknya, namun seorang pun tidak memahami derita dan perasaan tua si ayah. Sehinggalah berlaku beberapa tragedi yang begitu menyayat hati.

Tidak ramai yang tahu, Azizi Hj Abdullah juga sebenarnya adalah tersenarai di kalangan calon untuk dianugerahkan anugerah Sasterawan Negara.

Moga tulisan-tulisannya menjadi amalan jariah selagi mana orang membacanya. Al-Fatihah.

21/08/2011, 11.59 p.m
Kampung Melayu Wira Damai,
Gombak.

Saturday, August 20, 2011

Cabaran menulis reformasi pemikiran

-Gambar Hiasan-

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

1. Di dalam tempoh dua bulan akan datang ini, saya sedang menulis dan menekuni satu penyelidikan berkenaan pemikiran masyarakat, dan secara khususnya masyarakat Malaysia.

2. Lebih khusus lagi, ia berkenaan bagaimana membetulkan serta mengubah pemikiran masyarakat Islam hari ini dengan bersandarkan kaedah serta objektif Islam yang sebenar.

3. Dan penulisan ini berasaskan teori pemikiran Dr Yusuf Al-Qaradhawi seorang ulama global yang terkemuka. Ia juga hasil bacaan saya terhadap beberapa buah buku dan kertas kerja beliau, dan saya menemui sesuatu yang mengagumkan untuk dipersembahkan kepada masyarakat.

4. Apakah kekaguman itu? Ia adalah bagaimana tatacara dan kaedah umat Islam harus berfikir pada hari ini untuk menjadikan umat Islam terus maju dan umat ini tidak dipandang prejudis, sangkaan buruk dan diberikan persepsi salah.

5. Ramai daripada masyarakat Islam selalunya salah dalam bertindak. Ia terhasil daripada cara berfikirnya yang tidak tersusun. Ini juga mengakibatkan tindakannya kurang tepat. Tidak salah semuanya, tapi kebanyakannya kurang tepat.

6. Ia juga berpunca daripada tidak memahami susunan dalam tindakan, mana yang perlu didahulukan, dan mana yang perlu dikemudiankan. Mana yang sangat penting, dan mana yang penting, seterusnya mana yang kurang penting.

7. Dari sudut ibadah, ramai yang berlumba-lumba melakukan perkara-perkara sunat, sedangkan ia belum lagi menghabiskan amalan fardhu dan wajibnya yang mungkin lebih banyak daripada amalan sunatnya.

8. Ada sesetengah orang yang berlumba-lumba ingin menghabiskan wangnya untuk menunaikan umrah, malah hampir berkali-kali. Namun dalam masa yang sama di sana terdapat banyak sekolah-sekolah agama yang memerlukan sumbangan untuk membiayai prasarana dan pembangunan sekolah. Disamping ramainya orang-orang fakir bersepah di sana-sini memohon bantuan.

9. Ada sesetengah yang 'alim' yang selalu bangun tahajjud (qiamullail) sehingga tidurnya sedikit, namun apabila ke tempat kerja, dia hadir dengan tubuh badan yang lemah dan mengantuk dengan alasan malamnya bangun bertahajjud.

10. Akhirnya, mereka mendakwa kesemua ini (amalan-amalan yang selama ini mereka tidak tepat melakukan) adalah suruhan dan anjuran Islam. Sedangkan mereka sebenarnya yang silap meletakkan keutamaan di dalam melaksanakannya. Memang ia anjuran Islam, tetapi yang melaksanakannya tidak cerdik dalam bertindak.

11. Ini adalah sedikit alasan-alasan yang mendatangkan ilham saya menulis buku ini. Buku tentang memperbetulkan sikap dan tindakan umat Islam. Dan ia berasaskan kaedah fiqh dan semangat maqasid syariah.

12. Tidak wajar keputusan-keputusan di dalam urusan harian kita tidak disandarkan kepada asas kaedah hukum dan syariat Islam. Sebilangan orang takut untuk berhukum dengan kaedah yang ditetapkan Islam (usul fiqh) kerana takut tidak berautoriti.

13. Sedangkan, hukum Islam tidak boleh dijadikan milik eksklusif para ulama sahaja untuk digunakannya dalam urusan ijitihad. Ini kerana masyarakat awam sendiri sentiasa berada dalam dilema berijtihad dalam urusan dan lapangan hidup mereka.

14. Apalah kiranya hukum ini dimasyarakatkan, agar masyarakat awam juga boleh menggunakannya di dalam urusan hariannya. Sekurang-kurangnya, dia membuat keputusan bersandarkan asas dan semangat Islam, tidak dengan akal dan hawa nafsu semata-mata.

15. Misalnya, antara kaedah di dalam fiqh adalah memilih keutamaan dalam urusan hidup yang berlingkar dari sudut: Daruriyyat, Hajiyyat dan Tahsiniyyat. Jika masyarakat boleh memahami kaedah ini, maka dia boleh membuat keputusan dengan betul dan tepat menurut pandangan Islam.

16. Namun saya rasa cabarannya cukup besar, terutamanya dari sudut penerimaannya di dalam masyarakat. Tetapi saya ada harapan potensinya cukup besar kerana rata-rata masyarakat dan generasi baru yang bakal menyusul ini berfikiran terbuka.

Saturday, August 13, 2011

Bagaimanakah Nanti.


Bagaimanakah nanti

Apakah yang engkau rasa
Seandainya engkau mengetahui
Saat nafasmu akan terhenti

Tentu engkau terfikir
Bagaimanakah nanti
Ibu, ayah atau kekasih yang akan ditinggalkan
Sahabat handai yang menangis di sisimu
Harta yang mungkin bertukar milik

Tentu engkau terfikir
Sudah cukupkah amal kebaikanku?
Sudah terampunkah dosa khilafku?
Sudah tertebuskah silapku dengan taubat?
Sudah bersediakah menanti saat akhirku?

Bagaimanakah nanti
Orang yang disayangi sepeninggalanku nanti
Sahabat handaiku bila ketiadaanku
Nasibku di sana selepas terhenti nafasku

Tuhanku, terimalah taubat
Dalam keheningan tahajjudku
Di Ramadhan terakhir ini..

Faisal Iman
14 Ramadhan 1423 / 14 Oktober 2011
7.27 p.m (Sabtu)

Friday, August 12, 2011

Catatan: 'Win-win' pahala di bulan Ramadhan

Budak-budak REAL sedang menunggu berbuka puasa

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

"Nak berbuka di mana?" Sahabat saya, Rusydi bertanya. Saya menjangkakan soalan yang akan ditanyanya.

"Mana-mana pun boleh, tak ada hal punya." Saya menjawab, sambil meneruskan langkah.

Jika berjalan ke mana-mana, saya kerap kali mengajak Rusydi bersama. Dan apabila berlaku sesuatu, saya selalu berbincang dan meminta pandangannya. Biasanya dia selalu bersetuju sahaja.

Dan hari itu, saya bercadang berbuka dengannya. Hari ini masuk hari kesepuluh Ramadhan. Sudah lama rasanya saya tak berjumpa dengannya setelah habis belajar dahulu. Sekarang dia menyambung pengajiannya ke peringkat Master.

"Dekat Malaysia ni, soal makan jangan risau, mana-mana tempat boleh dapat makanan. Lebih-lebih lagi bulan puasa ini." Saya menambah lagi.

"Yelah. Aku pun kadang-kadang pelik. Bila tiba bulan puasa, banyak restoran dan hotel berlumba-lumba buat bufet hidangan berbuka puasa." Rusydi menyambung bicara saya.

"Macam dah jadi trend nampaknya. Aku pun rasa bulan puasa ni bukan setakat pesta ibadah, tapi pesta makanan juga." Katanya lagi.

"Bulan Ramadhan nilah peluang bisnes. Kalau buka gerai di bazar Ramadhan mesti laku, apa lagi kalau jual air.." Saya cuba mengetegahkan isu lebih lanjut.

Dia mengiyakan. Memang. Bulan Ramadhan inilah banyaknya peluang bagi orang yang nak 'buat duit'. Seorang jiran saya hanya berniaga air buah, keuntungannya setiap hari mencecah ratusan ringgit. Memang berbaloi.

Budaya

Sebenarnya, secara tidak langsung, kita orang Melayu - Islam sebenarnya sedang mewujudkan satu budaya yang kita tak sedar. Iaitu budaya menjadikan bulan puasa sebagai bulan 'membalas dendam' kerana kelaparan.

Dek kerana budaya 'membalas dendam' itulah, banyak restoran, hotel malah peniaga bazar Ramadhan menyediakan pakej yang sesuai untuk 'membalas dendam' itu.

Maka tidak terkejutlah jika kita dengar ada sebuah hotel itu menyediakan sebanyak hampir 100 hidangan berbuka puasa setiap hari dengan pelbagai jenis dan kaedah masakan bermula daripada pencuci mulutnya, pergi kepada makanan berat seperti nasi dan sebagainya, seterusnya menu airnya yang berwarna-warni sebagai minuman penghilang dahaga.

Saya tiba di pinggir sebuah restoran di Jalan Masjid India, bercadang untuk berbuka di situ.

"Aku pun masih tak faham orang kita ni, kalau nak sambut Ramadhan tu, punyalah panggil ustaz berceramah sana-sini terangkan fadilat puasa, tapi bila tiba tengah Ramadhan, bila berhadapan macam-macam makanan, semua itu hilang.." Saya memulakan bicara semula.

"Sedangkan, Nabi s.a.w kan ada menyebut, adalah terlebih baik itu adalah memberi orang makan berbuka puasa, bukan berbuka puasa dengan makanan yang terlebih-lebih.." Saya menyambung.

'Win-win' pahala

Perbualan kami terhenti. Saya terfikir sejenak. Memang benar, dalam bulan puasa, banyak rezeki boleh diperolehi. Orang-orang yang berniaga mungkin mahu mendapatkan pendapatan yang lebih sedikit.

Tapi, saya rasa lebih baik kita mewujudkan budaya saling memberi pahala. Antara peniaga bazar Ramadhan dengan pembeli. Agar pembeli tidak mendapat dosa, dan si penjual juga tidak berdosa. Kedua-duanya berpahala.

Tidak dinafikan, kita perlunya peniaga bazar Ramadhan ini. Ya, untuk memudahkan untuk dapatkan juadah berbuka lebih-lebih lagi bagi mereka yang sibuk.

Apa yang penting janganlah niat berniaga itu langsung tidak diselarikan dengan semangat Ramadhan. Misalnya apabila berniaga, dengan menutup aurat serta tidak meninggalkan solat. Saya mendengar ada bazar Ramadhan yang sudah dibuka sejak jam 12 tengahari? Sudahnya di mana solat Zohor dan Asar? Bagaimana pula dengan ibadah tarawih apabila sudah keletihan berniaga di siang hari?

Begitu juga dengan kita, pembeli. Bukankah lebih baik, kita menyederhanakan di dalam juadah. Tetapi memperbanyakkan beli juadah untuk diagih-agihkan kepada orang yang lebih memerlukan. Paling kurang dalam 4 jenis kuih yang dibeli, satu daripadanya dihantarkan ke jiran sebelah rumah.

Bukankah ia mewujudkan 'win-win pahala'. Si penjual mendapat pahala, begitu juga dengan si pembeli. Duit yang digunakan untuk membeli dan menjual menjadi berkat. Malah pahalanya berganda-ganda di bulan Ramadhan.

"Ah, susah macam tu. Bukan semua boleh buat.." Rusydi mencelah selepas saya menerangkan apa yang saya fikirkan.

"Memanglah, tapi sekurang-kurangnya kita kena mulakan. Terutama daripada pembeli macam kita ni. Orang berniaga kan bergantung pada permintaan pelanggannya." Cadang saya.

"Hmm..nak buang budaya tak elok memang susah. Untunglah kalau kita dapat mengubah sedikit sahaja budaya yang tidak elok kepada yang lebih elok, daripada kita mewujudkan budaya yang baru yang lagi orang susah terima." Saya menambah lagi.

Makanan sudah sampai. Lagi 5 minit waktu berbuka. Kami melayan fikiran sendiri.

Taman Greenwood
11/08/2011 (Khamis), 7.29 p.m

Sunday, August 7, 2011

Serbuan JAIS: Perspektif Dakwah dan Undang-undang

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya merujuk kepada isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada 3 Ogos 2011 (Rabu) baru-baru ini. Menurut berita yang dikeluarkan akhbar tempatan, serbuan tersebut dilakukan apabila JAIS menerima laporan bahawa terdapat usaha untuk menyebarkan fahaman lain kepada penganut agama Islam.

Apabila berhadapan isu agama dan sensitif, sewajarnya kita perlu mengambil kenyataan daripada sumber-sumber yang tepat agar tidak disalah-tafsir atau salah memberi pandangan. Ia bukan sekadar menggambarkan keburukan kepada agama Islam, bahkan memberi nilai yang negatif kepada undang-undang yang menjadi rujukan kita.

Isu

YB Dr Hassan Ali, exco agama kepada kerajaan Selangor yang juga mewakili JAIS membuat kenyataan rasminya mendakwa bahawa terdapat seramai 12 orang Islam menghadiri majlis tersebut. Dan katanya lagi, terdapat perkataan 'Qur'an' dan 'Pray' diselitkan di dalam ucapan di dalam majlis tersebut. Tiada tangkapan dibuat, dan hanya pemeriksaan selepas rundingan dengan pihak penganjur. (Rujuk: http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/depth/4741-serbuan-jais-kenyataan-penuh-datuk-dr-hassan-ali)

Namun, bagi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), melalui pengerusinya Biskop Datuk Ng Moon Hing berkata program tersebut adalah sebuah majlis makan malam amal tahunan anjuran Harapan Komuniti bagi mengenang usaha pihaknya mengadakan porgram-program komuniti dan kebajikan. (Rujuk disini: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/cfm-kesal-tindakan-jais-dan-polis-mahu-sultan-campur-tangan/)

Dan bagi presiden MAC (Majlis Aids Malaysia) pula menyatakan, Harapan Komuniti adalah rakan pertubuhannya dan mengadakan program bantuan pendidikan kepada anak-anak yang kurang bernasib baik di negeri Johor dan Kuala Lumpur di samping memperjuangkan merekan yang menghidap HIV di dalam masyarakat. (Rujuk disini: http://www.malaysiakini.com/news/172122)

Saya bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Timbalan Persuruhjaya 1 PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad yang menyatakan bahawa perlu menunggu laporan penuh daripada kerajaan Negeri Selangor sebelum membuat apa-apa spekulasi, kenyataan dan menuding jari (finger point) kepada mana-mana pihak. (Sinar Harian: 6 Ogos 2011, m/s: 1&4) Ia sangat selaras dengan pendirian Islam.

Hatta pemimpin politik Islam sekalipun, kenyataannya haruslah tidak menggambarkan keburukan kepada Islam, lebih-lebih lagi memecah-belahkan masyarakat dan kesepaduan kaum serta agama di Malaysia ini.

Antara Dakwah dan Undang-undang

Dua elemen penting yang perlu diberi perhatian di dalam isu serbuan JAIS pada Rabu lalu adalah menilainya dari dua persepktif yang utama yakni perlaksanaan undang-undang dan aspek dakwah yang menjadi gambaran (view) agama Islam. Kedua-duanya sama penting dan memerlukan kebijaksanaan menguruskannya.

Sesungguhnya, undang-undang wajib ditegakkan. Namun ia sesekali tidak meninggalkan objektif utama penubuhan undang-undang itu yakni memberi kesejahteraan dan keselamatan kepada seluruh manusia. Di dalam Perlembagaan Persekutan membenarkan setiap rakyat di dalam aspek kebebasan agama (Rujuk: Perkara 11(1),(2),(3),(4) dan (5)). Namun ia tertakluk kepada undang-undang negeri masing-masing.

Di dalam enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Bahagian III secara umumnya menjelaskan bahawa undang-undang syariah negeri berkuasa menghalang mana-mana pihak yang mempunyai usaha untuk melakukan penghinaan dan mempersendakan agama Islam.

Dari sudut undang-undang - Perlembagaan mahupun Syariah - kita melihat dan mengiktiraf bahawa agama Islam harus diletakkan penghormatan yang tinggi. Namun, dalam masa yang sama ia perlu ditegakkan dengan tidak sesekali mengenepikan - bagi undang-undang Syariah - apa yang disebut Maqasid Syariah - yakni objektif penubuhan undang-undang Islam itu iaitu memberi kemaslahatan kepada semua manusia.

Oleh kerana syariat Islam itu diturunkan kepada seluruh manusia - rahmatan lil 'alamin - maka undang-undang syariat sepatutnya selaras dengan semangat objektif syariah tersebut yakni memberi keselesaan, kesejahteraan, keharmonian dan kebaikan kepada semua manusia - orang Islam dan termasuk bukan Islam. Ini prinsip jelas dalam Islam.

Begitu juga di dalam perlembagaan. Saya bersetuju dengan pandangan Prof Dr Aziz Bari bahawa perlaksanaan undang-undang di dalam Perlembagaan Persekutuan harus disertakan dengan semangatnya iaitu menilai objektif ditubuhkan perlembagaan itu - adalah untuk memberi kebebasan, hak dan keharmonian keseluruhan agama dan kaum.

Dari sini kebijakan menanganinya berlegar kepada persoalan dakwah - yakni mengambil tindakan dan memberi pandangan yang selaras dengan kehendak Islam dengan tidak mengenepikan persoalan hak serta adab bagi agama lain, serta persoalan penguatkuasaan undang-undang - iaitu dengan mengambil tindakan yang tepat dan tidak mengenepikan semangat maqasid syariah itu.

Wednesday, August 3, 2011

Hakikat Ramadhan dan Puasa

Ramai yang berpuasa, namun ramai tidak mengerti hakikat berpuasa..
-Secawan Kopi-

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Apabila tibanya bulan Ramadhan, ramai yang akan mencari-cari apakah fadilat (kelebihan) ibadah di dalam bulan ini. Di setiap tazkirah, para ustaz akan membicarakan mengenai keutamaan dan ganjaran-ganjaran yang bakal dinikmati orang yang berpuasa.

Namun, ramai juga yang tidak menyedari tentang hakikat sebenar berpuasa. Ini kerana hakikat puasa hanya datang daripada Allah. Kerana hakikat yang penuh rahsia itulah Nabi s.a.w pernah bersabda dalam Hadis Qudsi, firman Allah: "Sesungguhya puasa itu adalah untuk-Ku, maka Akulah yang memberi ganjarannya (yakni menentukan pahalanya)." (Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a).

Tiada siapa di dunia ini boleh menentukan ganjaran sebesar mana yang didapati seseorang di dalam puasanya. Malah seorang mufti yang 'alim juga tidak boleh menentukan diterima mahupun ditolak puasa seseorang itu secara zahirnya.

Rahsia puasa

Kelebihan dan keutamaan puasa itu bukanlah datang hanya daripada kita mengagumi apa yang Allah s.w.t sediakan pada bulan Ramadhan dengan limpahan kurniaan-Nya yang terlalu banyak. Ganjaran ibadah yang berlipat kali ganda itu bagi orang yang benar-benar ikhlas berpuasa hanyalah satu motivasi yang kecil berbanding cita-citanya hanya mengharap keredhaan Allah ketika berpuasa. Keredhaan inilah sebagai syarat utama diterimanya puasa.

Keredhaan Allah inilah kunci kepada terbukanya rahsia-rahsia kesempurnaan di dalam berpuasa. Walau banyak mana ganjaran yang ditawarkan di dalam bulan ini, Allah tetap merahsiakan sama ada puasa seseorang itu diterima atau banyak mana ganjaran yang akan diberikan kepadanya.

Walaupun begitu, Allah menyediakan tanda-tanda kepada orang yang benar-benar yakin dengan rahsia Allah itu. Di dalam hadis yang mahsyur, Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang mengerjakan puasa Ramadhan dengan keimanan dan ihtisab (merasakan balasan dan ganjaran yang bakal dikenakan kepadanya), diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.).

Hakikat puasa

Istimewanya sebatang pokok adalah denganh buahnya. Begitu juga di dalam ibadah, selepas melaksanakannya dengan sempurna rukun dan syaratnya, buah kepada ibadah adalah kesannya kepada peribadi dan rohani seseorang. Itu tanda dan bukti bahawa Allah meredhainya dan dengan keredhaan-Nya, Dia menjadikan seseorang itu sebagai hamba Allah yang patuh serta taat hasil daripada kewajipan berpuasa. Sebaliknya, orang yang kekal di dalam peribadinya terdahulu dengan tiada perubahan ke arah yang lebih baik, maka puasa tidak memberi kesan kepadanya atau keredhaan Allah masih belum dicapainya.

Ada beberapa petanda menunjukkan tercapainya redha Allah kepada orang berpuasa:

1. Gembira menantikan kedatangan Ramadhan, dan sayu dengan pemergiannya

Inilah tanda awal bagi perindu kepada redha Allah. Bulan Ramadhan yang di dalamnya penuh dengan rahmat (kasih-sayang) dan keampunan daripada Allah begitu dinanti-nantikan. Mereka menantikan waktu yang mana kemuncak kepada kasih-sayang dan melimpahnya redha Allah, lalu diambil dengan sebaiknya waktu-waktu itu dengan dipenuhi perkara-perkara yang akan membuahkan redha Allah.

Dan tatkala ia meniti hari-hari terakhir Ramadhan, maka di saat orang lain bergembira untuk menyambut Aidilfitri, dia menangis kesedihan kerana bulan yang sarat dengan keredhaan Allah bakal meninggalkannya. Dia merasakan bahawa kalau-kalau puasanya tidak diterima lantaran kurangnya ibadah dan semakin hampir dengan penghujungnya. Dia bimbang jika tergolong daripada kelompok manusia yang banyak yang disabdakan Nabi s.a.w: "Berapa banyak orang yang berpuasa, namun tidak ada baginya puasa itu melainkan hanya lapar dan dahaga." (Riwayat An-Nasa'ie daripada Abu Hurairah r.a).

Apabila timbul kesayuan dan kehibaan di dalam hatinya kerana akan meninggalkan Ramadhan, maka ia sebagai satu petanda keredhaan Allah mula mendekati dirinya.

2. Tidak terasa lapar berpuasa kerana mengutamakan hal ibadah

Sesungguhnya kewajipan berpuasa bukan sekadar menahan manusia daripada kenyang, malah matlamatnya lebih besar dan agung daripada itu iaitu menahan hawa nafsu. Berpuasa hanya salah satu daripada kaedah yang ditentukan Allah dalam mengawal hawa nafsu selain ibadah-ibadah lain. Apakah yang menjadi simbol agungnya bulan puasa itu?

Jawapannya adalah pada ibadah yang dilakukannya. Ibadah sunat yang dilakukan pada bulan biasa tidak sama dengan ibadah pada bulan Ramadhan. Begitu juga keadaan ibadah orang yang berpuasa tidak sama dengan ibadah seseorang yang dalam keadaan tidak puasa. Apabila berpuasa, kehendak dan kepentingan untuk makan tiada lagi, malah kita dielakkan daripada memikirkan punca-punca kepada makanan itu yang menjadi keutamaan manusia pada hari ini.

Orang yang benar-benar berpuasa, laparnya itu bukan kerana dia menahan makannya, sebaliknya sebagai penahan daripada dia terjebak dan terjerumus ke lembah yang membawanya lalai dan jauh daripada ibadah dan suruhan Tuhannya. Apabila dia menjadikan makan dan minum itu bukan sebagai kepentingan utamanya lagi, maka keredhaan Allah mula sampai kepadanya.

3. Tiada berkira di dalam ibadah

Ibadah baginya bukan lagi kerana ganjaran yang berlipat kali ganda, bahkan sudah menjadi kemanisan di dalam dirinya. Dia tidak mengira banyak mana ibadah yang sudah dilakukannya, tetapi mengira kalau-kalau ibadahnya tidak diterima atau ibadahnya tidak sampai kepada maksud sebenar redha Allah itu. Dia mengira dengan penuh khusyuk dan tawadhuk betapa keikhlasan dan keredhaan Allah sebagai punca utama ibadahnya diterima.

Dengan jalan itu secara automatik, perlaksanaan ibadahnya menjadi berlipat kali ganda berbanding orang yang lain. Ibadahnya tanpa dipaksa dan diberi nasihat, kerana ia sudah menjadi darah daging untuknya mencapai keredhaan Allah.

4. Rasa rugi dan bersalah jika tertinggal ibadah

Seseorang yang benar-benar dengan ibadah puasanya akan timbul rasa bersalah di dalam hatinya setiap detik dan saat yang berlalu tidak disertai dengan ibadah dan perkara yang bermanfaat. Ini juga petanda kepada keredhaan Allah mula mendekati jiwanya. Lena tidurnya tidak panjang, bahkan memikirkan tidak sempat beribadah dengan ruang waktu yang terbatas lalu dikorbankan masa tidurnya dan rehatnya untuk diisi dengan ibadah yang bermanfaat.

Ibadah bukan sekadar menunaikan solat sunat dan berzikir semata-mata, bahkan tugas-tugas yang memberi manfaat kepada orang lain juga dinilai sebagai ibadah selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat dan bertujuan mencari redha Allah. Nabi s.a.w pernah bersabda: "Amalan yang paling utama dilaksanakan adalah kamu menyuntik ketenangan (kebahagiaan) dalam diri seseorang."

Begitu juga rasa bersalahnya apabila berhadapan dengan hidangan yang lazat-lazat tatkala berbuka puasa. Dia merenung bahawa di sana terdapat masih ramai lagi yang tidak dapat menikmati makanan seumpama itu. Dengan perasaan itu, timbul dihatinya sifat tidak membazir dan mengurangkan juadah buka puasanya dengan hanya makanan yang boleh memberi kekenyangan kepadanya bagi mengalas seharian berpuasa. Malah dibelinya lebih makanan buat orang-orang lain yang tidak berkemampuan.

Setiap masa, ada sahaja ibadah yang dilakukannya dan kebaikan yang diusahakan kepada orang lain seperti bersedeqah, memberi makan orang berpuasa dan membantu orang lain di dalam kesusahan. Jika dia tertinggal perbuatan itu di dalam sehari, maka rasa bersalah timbul di dalam hatinya.

5. Ibadahnya tidak terhenti dan berpanjangan selama-lamanya

Kemuncak kepada kemanisan ibadah, orang yang benar-benar berpuasa akan kekal istiqamah di landasan ibadahnya meskipun bulan Ramadhan yang dicintainya sudah berlalu pergi. Seumpama kekasih yang merindui kekasihnya, dia berharap agar bertemu kembali jika diberikan kesempatan dan rezeki oleh Allah s.w.t kelak. Oleh kerana tidak pasti akan bertemu lagi, maka dia berusaha mencapai tahap ibadahnya seperti bulan Ramadhan.

Dia merasakan bahawa, jika ibadahnya terhenti hanya pada bulan Ramadhan, maka tiada gunanya segala amalan yang dilakukannya kerana hanya berharapkan kebaikan pada bulan Ramadhan semata-mata sedangkan ibadah yang sebenar adalah pada kecintaannya kepada redha Allah yang akan kekal selamanya sekalipun beliau sudah meninggalkan Ramadhan dan ditakdirkan tidak bertemu lagi.

Inilah antara sifat orang yang benar-benar berpuasa dengan keimanan. Mungkin disebalik itu, masih banyak lagi rahsia yang perlu difikirkan agar tercapainya martabat redha Allah. Ramadhan sebagai bulan yang melahirkan Rabbaniyyun bukannya Ramadhaniyyun sebagaimana yang diungkapkan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, iaitu melahirkan manusia yang berjiwa Rabbani (sifat-sifat soleh) bukan manusia yang berjiwa Ramadhan yang tidak kekal hanya pada bulan Ramadhan sahaja.

Wallahu a'lam

Hospital Tawakkal
Jalan Pahang
03/07/2011 (Rabu)