Tuesday, December 29, 2009

Forum Terbuka E-Voting akan berjalan dalam Suasana Penuh Intelek


Beberapa hari lagi Forum yang ditunggu-tunggu oleh seluruh mahasiswa akan berlangsung. Forum yang akan dijangka memberi nafas baru buat seluruh aktivis dan pendokong mahasiswa dan merupakan kemuncak segala-galanya perjuangan Gerakan Bantah E-Voting (BANTAH) di dalam menggarap sebuah keadilan dan ketelusan di dalam Demokrasi Kampus pada masa kini dan selamanya.

Feedback yang diterima oleh pihak BANTAH mengenai kehadiran rakan-rakan mahasiswa daripada universiti-universiti lain di antarnya UIA, UKM, UiTM, USM, UPM, UTM dan universiti dan kolej universiti lain membuatkan semangat kepada Gerakan BANTAH mula diberikan pengiktirafan walaupun pihak BANTAH juga dibantah oleh golongan yang pro-E-Voting.


Tidak mengapa..Kerana semua boleh mengeluarkan pendapat dan pandangan samada menyokong atau membantah pelaksanaan E-Voting di peringkat pilihanraya kampus universiti. Tetapi, saya selaku Jurucakap BANTAH ingin mengatakan kepada seluruh mahasiswa di luar sana bahawa tidak perlu berkobar-kobar menyatakan pandangan dan pendirian anda di hadapan mahasiswa sendiri, ayuh!!!..Hadir bersama-sama di dalam Forum Terbuka BANTAH ini dan nyatakan pendirian anda selaku mahasiswa yang bebas dalam ertikata memberikan pandangan dan mahasiswa akan menilai pandangan anda itu. Saya menyeru mereka (mahasiswa) di luar sana untuk hadir bersama bagi memberikan pandangan serta daya intelek anda!!!


Bagi saya di peringkat BANTAH, saya akan memberikan jaminan kepada semua mahasiswa yang hadir bahawa Forum Terbuka E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus ini akan berjalan dalam suasana penuh intelek dan bemakna. Kelulusan yang BANTAH dapat memungkinkan bahawa idealisma dan kebebasan mahasiswa masih lagi 'berbunga' di universiti kita ini. Amaran juga ingin saya berikan kepada mana-mana pihak yang ingin atau bersita-cita untuk melakukan provokasi terancam terhadapa Forum Terbuka ini. Kami akan mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadapa mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menganggu gugat kelancaran program intelek ini.


Saya tekankan di sini bahawa, Forum ini dihadiri oleh Ahli Akademik dan pimpinan baik di peringkat masyarakat dan mahasiswa, tidak ada satu pun kesalahan di dalam penganjuran Forum Terbuka ini kerana kita duduk di dalam suatu acara yang aman dan penuh keintelektualan. Perbahasan yang akan kita dengar dan nilai berdasarkan kepada Prinsip asas iaitu Demokrasi!!!


Kami juga di peringkat BANTAH akan melakukan deklarasi kami selaku platform mahasiswa yang keliru, sangsi dan was-was dengan pelaksanaan E-Voting ini dan deklarasi yang akan dibuat memungkinkan pihak kami untuk sekali lagi berjumpa dan merayu kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Khalid Nordin bagi menilai kembali pelaksanaan sistem E-Voting ini. Maka, usaha telah kami lakukan dan anda iaitu mahasiswa di luar sana yang akan melengkapkan lagi usaha kami ini sebagai suatu manifestasi yang lengkap dan sempuran untuk kita melakukan perubahan dan pembaikan di dalam pilihanraya kampus pada sesi kali ini.


Sekali lagi, saya menyeru dan terpanggil untuk menjemput semua aktivis dan pendokong mahasiswa untuk bersama-sama di dalam Forum yang penuh bermakna ini dan jangan sia-siakan keterbukaan ini untuk menyampaikan pandangan dan pendapat kita selaku mahasiswa yang akan mencorak perubahan negara pada masa akan datang.


Mohd Ridzuan Bin Othman

Jurucakap Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting

(BANTAH)

Saturday, December 26, 2009

'Amilin dan kompetensi

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Prakata

Sehingga hari ini, jika boleh dibilang, ia terlalu sedikit dan masih jauh untuk menemui seorang petugas Islam (amilin) yang betul-betul kompeten dan memiliki keperibadian daie yang lengkap dan sempurna.

Dengan perjuangan yang panjang, dan cabaran yang bersimpang-siur, gerakan Islam khususnya memerlukan petugas-petugas yang bisa menjawab keperluan dan menghilangkan kehausan ummat terhadap kecerahan Islam.

Kedahagaan ummat kepada daie

Rasulullah s.a.w bersabda: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang kuat daya hidupnya di tengah-tengah manusia”

Seorang amilin haraki, adalah Muslim yang dapat mengembangkan nilai-nilai perjuangan Islam di tengah masyarakat dan dia adalah pembawa risalah Islamiyyah dalam kehidupan ini. Sedapat tidak para Nabi dan Rasul dijadikan role model untuk dirinya.

Mereka ini semuanya manusia-manusia yang hidup aktif di tengah-tengah masyarakat, bergaul dengan mereka, makan dan minum bersama mereka, berpenat-peluh dalam kerja-kerja masyarakat, lalu bermuamalah dengan mereka melalui gambaran Al-Quran dan sabda Nabi s.a.w.

Murobbi yang dirujuki dan dirindui

Disamping itu, seorang amilin haraki didalam masyarakat adalah sebagai penasihat (nasih) yang dirujuki dan sentiasa memberi pandangan yang membina.

Kata-kata dan tindakannya selalu positif dan membangkitkan iltizam dan semangat kerana berpaksikan agama itu sebagai “Ad-diin an- nasihah” (agama sebagai nasihat).-Hadis Nabi s.a.w


Tugas yang paling besar dan berat

Tidak perlu pergi jauh dan berbincang perkara-perkara yang panjang dan kompleks, hanya merenungi hadis diatas,kita melihat kerja utama bagi seorang amilin haraki adalah sebagai juru nasihat kepada ummah.

Nasihat itu agama, kerana di dalamnya terkandung semua keperluan dan kedahagaan manusia. Manakala, agama itu adalah nasihat kerana dengan cara itulah bagi kita untuk mencapai keperluan-keperluan tersebut. Justeru, tugas juru nasihat adalah tugas yang besar dan berat. Ibarat menanggung sebuah agama.

Namun, keberatan itu hanya dinilai sebagai cabaran dan mehnah. Perjalanan yang harus dilalui. Biarpun panjang dan tidak berkesudahan. Sehingga kadang-kadang mereka kehilangan perkara-perkara yang mereka miliki. Keluarga, harta, kasih-sayang malah jiwa, semata demi membayar harga sebuah perjuangan.

Persiapan amilin munazzamah (pekerja yang strategik)

Al-Ustaz Imam Hassan Al-Banna, menggariskan hanya dua perkara penting dalam mendepani sebuah gerakan dalam menyelesaikan persoalan ummah. Para amilin yang iltizam, haruslah menjauhkan diri-diri mereka daripada terjebak dengan dua perkara ini.

Rosaknya hubungan dengan Allah

Benteng dan motivasi paling ampuh bagi seorang amilin adalah kuatnya pergantungan dirinya dengan Allah. Ini bermakna, seorang petugas Islam akan meletakkan sepenuh pengharapan akhir dalam segenap strategi dan gerak kerjanya kepada Allah.

Begitu juga dalam perjuangan, mereka tidak meletakkan nilaian kemenangan itu penentunya, bahkan dalam usaha yang bersungguh-sungguh. Ini kelebihan para amilin berbanding musuh-musuh mereka.

Banyaknya bertelingkah

Perpecahan yang berlaku hari ini ibarat menjauhkan lagi jemaah-jemaah Islam antara satu sama lain. Sedangkan antara mereka bertanggungjawab menjadi penampung antara satu sama lain. Bahkan lebih dari itu dalam matlamat juang.

Di sini, konsep ukhuwwah yang utama adalah salamatu as-sadri (berlapang dada) serta ithaar (mendahulukan orang lain) dalam ikatan sesama jemaah. Ia pastinya akan mengurangkan bibit perpecahan apabila masing-masing menerima pandangan antara jemaah.

Akhir

Dan barangkali, sudah tiba masanya para amilin mengorak langkah baru dalam mendepani dakwah yang bersifat global dan kompleks. Persediaan memahami waqi (keadaan) adalah sangat penting. Lebih-lebih lagi dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan.

Monday, December 21, 2009

Tuduhan fitnah universiti : Penjelasan pengerusi BANTAH


Ramai yang mempersoalkan tindakan saya menyertai sidang media bersama ahli Parlimen PAS pada 16 Disember 2009 (Rabu) lepas di Parlimen. Dan, berita tersebut disiarkan oleh beberapa media iaitu Harakahdaily, um-today dan mahasiswakini.

Tindakan saya mengundang pelbagai persepsi. Ada yang mengatakan saya cuba menfitnah Naib Canselor Datuk Ghauth. Dan beberapa individu juga menuduh saya yang memberikan maklumat dalaman kepada ahli parlimen Pas tersebut.

Saya akan nyatakan beberapa perkara agar dapat semua pihak jelas akan isu ini.

1. Isu yang berlaku adalah apabila dua MP PAS mempersoalkan maklumat yang diterimanya daripada kakitangan universiti, berkenaan dengan dua pegawai universiti, iaitu Dr David Ngo Chek Leng dan Dr David Asirvatham yang didakwa dipilih tidak melalui prosedur yang betul. Saya mendapat tahu isu tersebut melalui satu blog, saudara zainulfaqar yang juga aktivis media.

2. Keraguan timbul apabila maklumat yang saya baca berkenaan dengan Dr David Asirvatham, Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM), juga terlibat dengan perkara ini apabila kelayakan beliau adalah dalam bidang e-learning. Beliau telah diberikan mandat oleh universiti untuk membangunkan sistem e-voting untuk tujuan pilihan raya kampus akan datang.

3. Dalam kenyataan media tersebut, saya berdiri sebagai pengerusi Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (BANTAH), bukan sebagai ahli majlis perwakilan (MPM), dan kenyataan saya jelas kepada media bahawa dalam isu ini, saya tidak menfitnah NC, bahkan saya menyatakan keraguan saya apabila Dr David dipilih sebagai ketua menjalankan sistem e-voting sedangkan dia bukan pakar dalam bidang itu.

4. Saya juga menyatakan keraguan saya berasaskan pertemuan-pertemuan saya dengan beliau dan NC sendiri ketika membincangkan kewajaran dilaksanakan sistem ini dalam pilihan raya kampus akan datang. Dan prinsip saya jelas, saya membantah sistem ini kerana diragui ketelusannya!

5. Namun, jawapan yang saya dapat dari NC, beliau yakin dengan individu ini (Dr David Asirvatham) kerana beliau kenal lama dengan dia, dan dia (Dr David) pernah bekerja bersama-sama dengannya di MMU hampir 12 tahun. Dan selama 12 tahun itu, sistem e-voting yang dijalankan di MMU adalah dibangunkan oleh Dr David. Saya semakin ragu dengan perkara ini seolah-olah ada perancangan yang rapi oleh pihak-pihak tertentu (saya tidak sebut NC) untuk membawa sistem ini di dalam UM yang saya begitu yakin ketidak telusannya.

6. Namun, media tidak menyiarkan kenyataan saya.

7. Berkenaan dengan saya cuba menfitnah atau cuba menjatuhkan kredibiliti NC, itu tidak benar! Apakah menjadi satu kesalahan apabila satu maklumat yang dikeluarkan oleh ahli parlimen, berkenaan dengan satu perkara yang dianggap penyelewengan, untuk dijelaskan kepada rakyat?

8. Bagi saya, saya menjaga integriti serta prinsip saya sebagai mahasiswa yang bukan memihak kepada mana-mana parti politik. Saya disitu, menyatakan, jika satu perkara yang ragu, adalah lebih baik ditubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat perkara ini. Dan bagi menjaga integriti universiti, pihak yang disiasat perlu melepaskan jawatan sementara waktu sehingga kes itu selesai. Itu prinsip asas dalam ketelusan dan integriti. Sama juga sepertimana yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin negara yang dituduh rasuah atau isu PMBK di Kelantan.

9. Bagi saya, jika MP BN pun yang mengeluarkan kenyataan dan maklumat tersebut, saya juga akan menyatakan pendirian yang sama. Apakah tidak boleh seorang pegawai universiti digantung jawatan sementara apabila dituduh atas satu-satu kesalahan, sepertimana yang dilakukan oleh universiti menggantung pelajar yang dihadapkan di tribunal universiti, walhal ia masih lagi belum dibuktikan kesalahannya?

10. Yang saya bantah, bukan universiti, tetapi e-voting. Dan juga kredibiliti yang mengendalikan sistemnya. Itu jelas! Media dan sesetengah pihak seolah-olah menggambarkan bahawa saya cuba menggugat NC dengan menfitnahnya.

11. Walaupun begitu, perlu diingat. Selaku pengerusi gabungan mahasiswa yang membantah e-voting. Saya tidak berganjak untuk terus mendesak mana-mana pihak yang cuba meneruskan sistem ini, walaupun yang akan saya hadapi adalah NC sendiri. Itu pendirian saya dan gabungan saya.

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh,
Pengerusi,
Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting
(BANTAH).

Thursday, December 17, 2009

Selamatkan UM segera!

Hari ini, dua ahli parlimen PAS, daripada Padang Terap dan Pasir Putih mempersoalkan kredibiliti Naib Canselor Universiti Malaya, Dr Ghauth Jasmon berkenaan perlantikan Dekan FSKTM dan pengarah PTM.

Asasnya adalah kelayakan terhadap jawatan tersebut. Dr Ngo Chek Leng (Dekan FSKTM) adalah kegagalan Bahasa Melayu di dalam SPM dan Dr David Asirvatham (pengarah PTM) adalah RM18,000 sebulan.

Selaku pengerusi gabungan BANTAH yang membantah perlaksanaan e-voting di UM, tujuh perkara yang menjadi persoalan dan pengamatan saya dalam isu ini:

1. Dr David (Pengarah Pusat Teknologi Maklumat) adalah merupakan individu yang bertanggungjawab penuh dalam merangka dan membangunkan sistem perisian e-voting untuk digunakan di dalam pilihan raya kampus.

2. Kita mempertikaikan mengapa tugas membangunkan sistem ini adalah kepada individu yang bukan merupakan core di dalam bidang perisian dan sistem. Sedangkan Dr David adalah dalam bidang e-learning?

3. Mengapa tidak ada attachment langsung antara pihak pentadbiran dengan Fakulti Sains Komputer Teknologi Maklumat (FSKTM) dalam membina sistem ini? Sedangkan banyak lagi pakar yang boleh dirujuk di fakulti ini?

4. Kita dimaklumkan bahawa pemilihan Dr David adalah berdasarkan pengalamannya selama 12 tahun berkhidmat di Multimedia University (MMU), dan seorang yang berpengalaman menggunakan dan mengendalikan sistem e-voting yang digunakan di MMU. Soalnya, seperti sudah ada perancangan rapi pihak-pihak tertentu dalam perlaksanaan sistem evoting ini di UM?

5. Kita meminta disiasat perjalanan dalam membangunkan sistem ini. Berdasarkan kenyataan Dr David bahawa tiada langsung kos untuk melaksanakan sistem baru ini. Amat mustahil tiada kos langsung yang digunakan untuk mencipta sistem dan perisian ini. Disamping itu juga dengan pertambahan pusat mengundi di fakulti-fakulti juga menguatkan tanggapan bahawa ia bukanlah satu kos yang kecil bagi melaksanakan sistem ini, malah lebih besar lagi berbanding sebelumnya.

6. Pihak universiti mesti mewujudkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat maklumat ini. Dan bagi menjaga integriti universiti dan nama Naib Canselor, Dr Ghauth haruslah melepaskan jawatannya secara profesional bagi sementara waktu sehinggalah kes siasatan selesai. Siasatan juga haruslah kepada Dr David Asirvatham selaku individu yang diberi mandat membangunkan sistem e-voting.

7. Memansuhkan segera sistem e-voting.

Dengan itu sahaja dapat menyelesaikan konflik integriti dan mengembalikan semula kebersihan dan ketelusan demokrasi kampus dan negara. Kita tidak mahu kes ini mencalarkan kedudukan UM di tangga 180 terbaik dunia!

Wednesday, December 16, 2009

MP Dakwa Kronisme di Universiti Malaya


KUALA LUMPUR, 16 Dis: Naib Canselor Universiti Malaya Prof. Datuk Dr. Gauth Jasmon pagi tadi didakwa mengamalkan kronisme dalam pengambilan staff universiti itu.

Menurut Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria, perlantikan Dr. David Ngo Check Leng dan Dr. David Asirvatham tidak melalui temuduga rasmi Universiti.

“Dr. Gauth perlu jelaskan asas-asas perlantikan dua staff terbabit…suatu perlantikan pelik,” jelasnya.

“Perlantikan itu ganjil (kerana) tiada temuduga, seolah-olah (seperti) tender tertutup.”

(Gambar: Nasir, Muhamad Husein dan beberapa pihak lain dalam sidang media hari ini)

Beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat turut melahirkan rasa ragu terhadap Dr. Gauth kerana kedua-dua staff terbabit merupakan rakan sekerja Naib Canselor itu di Universiti Multi Media (MMU) dahulu.

“Adakah kedua-dua (staff) ini adalah rakan sekerja lama Dr. Gauth di MMU dulu, maka mereka boleh dilantik sewenang-wenangnya di UM,” soalnya.

Dalam kenyataan bertulis, Nasir turut memertikai kelayakan minima David Ngo Chek Leng dianugerahkan Profesor serta dilantik sebagai Dekan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM).

“Beliau tidak memenuhi syarat minima (seperti) mendapat kredit bahasa Melayu dalam SPM, tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu yang diperlukan oleh seorang penjawat awam,” jelasnya.

Beliau turut memperikai Dr. David Asirvatham yang menjawat jawatan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM) dengan tawaran gaji begitu misteri, RM18,000 sebulan.

Dakwanya lagi, disiplin pengajian Dr. David Asirvatham dalam bidang e-Learning, sedang disiplin pengajian yang menjadi syarat kelayakan minima bagi Pengarah PTM adalah dalam bidang Sains Komputer.

Nasir turut mendesak Dr. Gauth dan dua staff terbabit digantung dari jawatan mereka masing-masin sebagaimana amalan biasa perjawatan awam demi memudahkan siasatan oleh pihak berwajib.

Beliau juga bercadang untuk memanjangkan dakwaan tersebut kepada Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Khaled Noor dalam masa terdekat.

Turut menyertai Nasir, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Hussein dan dua exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).-Harakahdaily

Monday, December 14, 2009

Soalan logik, jawapnya logik

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Satu hari, seorang rakan saya bertanyakan satu soalan pada saya.

"Ustaz, kenapa bila seorang wanita dah bernikah, dia kena lebih taat pada suami berbanding mak ayah?" Begitu pertanyaannya.

Sambungnya lagi, "Tapi suami pula kena lebih taat pada mak ayah daripada isteri?"

Rakan saya ini seorang doktor pelatih di Hospital Besar di Klang. Saya tak berapa tahu apa motif dia bertanya. Mungkin mahu dapatkan penjelasan.

Soalan yang memerlukan logik untuk dijelaskan.

Saya mulakan jawapan, "Setakat pengetahuan saya, tiada dalil jelas pun yang nyatakan suami selepas kahwin kena lebih taat kepada mak ayah."

"Konsep ketaatan itu untuk suami dan isteri terhadap mak ayah dia still macam biasa. Cuma yang membezakan selepas kahwin adalah tanggungjawab kedua suami isteri.

Saya tambah, "Bila suami diamanahkan sebagi ketua keluarga, cari rezeki untuk makan isteri dan anak-anak, maka isteri kena laksana tanggungjawab dengan ketaatan pada suami. Maknanya isteri dah ada dua ketaatan. Maka untuk melebihkan yang mana satu berdasarkan pertimbanganlah"

Sambung lagi, "Takkanlah sampai mak dan ayah sakit misalnya tak boleh pulang kampung jika suami tak benar.." "Pada suami pula, dengan ketaatan isteri itu dia kena pandai dan bijak buat keputusan pada isterinya."

"Bahkan, tak bertambah pun tanggungjawab suami pada mak ayah lepas kahwin, still tanggungjawabnya yang dahulu. Tinggal lagi macamana dia nak bahagikan dengan isterinya.. Ok?" Saya akhiri dengan pertanyaan.

Lama juga dia terdiam. lalu dia bertanya lagi. "Hmm..tapi kan, bukan ke ada kisah dulu, isteri tak dapat izin ziarah mak dia yang sakit sebab tak dapat izin daripada suaminya?"

"Dan, suami antara isteri dan mak, dia kena lebihkan mak dia? Kenapa?" Soalnya lagi sekali. Giliran saya pula terdiam.

"Hmm.. Kisah tu memang ada.." Saya mula.

"Tapi ia hadis dhaif. Ok, kalau nak ambil kira hadis tu, ia berlaku masa zaman nabi. Suami dia keluar lama bermusafir. Dan waktu itu, mana ada alat untuk komunikasi, sampailah suami dia balik." Jawab saya.

"Tapi itu dulu. Zaman sekarang dah tak ada masalah. Minta izin suami melalui telefon pun boleh. Takkanlah minta izin, suami tak benarkan?" Sekali lagi saya lemparkan soalan padanya.

"Yang suami kena melebihkan mak dia tu, bergantung kepada kondisi. Dalam hal-hal umpama hak anak kepada emak, itu mesti diutamakan. Tapi jika hal-hal hak isteri yang begitu mendesak, dengan pertimbangan kena dahulukan mana yang penting. Islam tu kan adil.." Panjang saya menjawab.

"Oh..macam tu ye.." Katanya sambil tersenyum.

Saya berfikir sejenak. Mengapa ada soalan sebegini?

Friday, December 11, 2009

Tahun 2009 dan jatuh bangun gerakan mahasiswa


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Sewajarnya, untuk membandingkan aktivisme gerakan mahasiswa dahulu, dengan gerakan mahasiswa hari ini adalah amat tidak releven. Seumpama meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya.

Mahasiswa dahulu diambil kira kehebatannya melalui gerakan-gerakan demonstrasi dan siri-siri desakan yang kebanyakannya menuju kepada pihak pemerintah. Sebagai contoh dalam tahun 1974, mahasiswa menggerakkan demonstrasi 5,000 rakyat di Kelab Sultan Selangor mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap masalah kemiskinan di Baling.

Lebih dari itu pada tahun yang sama di Universiti Malaya, mahasiswa yang diketuai presiden PMUM Kamaruzzaman Yaakub, membina sejarah apabila mengambil alih pentadbiran UM hanya kerana isu kenaikan harga makanan.

Nampak ketika itu, mahasiswa begitu konsisten bersifat radikal dan desakan dan ia diterima sebagai satu perjuangan di mata rakyat.

2009 dan gerakan mahasiswa

Tempoh setahun pasca Pilihan Raya Umum ke-12, membuka dimensi baru gerakan mahasiswa dalam membentuk landskap negara Malaysia. Terkesan dengan angin perubahan yang melanda rakyat, lalu memberi impak kepada kemenangan kumpulan pro mahasiswa di kampus Universiti Malaya setelah hampir enam tahun dikuasai kumpulan pro kerajaan.

Bermula kemenangan itu, mahasiswa mula membuka satu lapangan baru dalam mendepani isu-isu serta mencorak gerakan. Barisan Bertindak Mahasiswa Nasional (BBMN) telah diwajahkan kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN). Perjuangan bercorak negosiasi profesional membawa MPMN menjuarai isu-isu sosial nasional negara.

Permulaan gerakan, transformasi Malaysia

Kegagalan kerajaan Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak menangani kebajikan rakyat, kemelesetan ekonomi, serta hubungan kaum dan agama, membawa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) membentuk satu ‘Deklarasi Mahasiswa’ demi menyelamatkan generasi dan Malaysia.

Satu kongres telah diadakan di Shah Alam yang dihadiri front-front mahasiswa seluruh Malaysia bagi membincangkan domain-domain penting ke arah pembentukan negara Malaysia yang lebih baik. Antaranya aspek hubungan kaum, kedudukan agama, perlembagaan dan demokrasi, undang-undang, pendidikan, pembangunan ekonomi dan hak-hak asasi rakyat Malaysia.

Perjuangan rakyat antarabangsa

Pertengahan bulan Julai, mahasiswa sekali lagi turun di jalanan apabila membantah perlakuan kejam pembunuhan beramai-ramai di masjid wilayah Selatan Thailand. Hampir 1000 mahasiswa berarak bermula dari Masjid As-Syakirin ke kedutaan Thailand dan diakhiri dengan penyerahan memorandum bantahan.

Perjuangan mahasiswa membela rakyat

Mahasiswa sentiasa menjadi urat nadi kepada kesengsaraan rakyat yang ditindas dan dizalimi. Seringkali suara-suara rakyat digemakan mahasiswa melalui perjuangan pembelaan kelompok kecil dan marhaen.

Isu kudeta negeri Perak pada bulan Februari menjadi perhatian mahasiswa apabila GAMIS dan SMM bertindak memobilasi mahasiswa dalam perhimpunan rakyat Perak di Masjud Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak.

Dalam masa yang sama di Istana Negara, kumpulan-kumpulan mahasiswa yang prihatin dan simpati dengan perjuangan rakyat Perak telah menghantar satu memorandum bantahan kudeta kepada Yang Dipertuan Agung. Di dalam tuntutan tersebut, mahasiswa mendesak agar dibubarkan segera DUN Perak bagi memberi mandat kepada rakyat Perak memilih pemimpin.

Selain daripada itu, isu kekurangan bekalan air kepada masyarakat Labuan pada awal Disember, telah sekali lagi mendesak mahasiswa yang dianggotai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) dan MPMN bertemu dengan Perdana Menteri di Putrajaya bagi membincangkan penyelesaiannya. Pihak kerajaan akhirnya bersetuju menimbangkan tuntutan mahasiswa di dalam isu tersebut.

Membela hak mahasiswa

Disamping menjadi suara penghubung antara rakyat kepada pemerintah, gerakan mahasiswa turut tidak terlepas dalam memperjuangkan isu yang menimpa hak-hak mahasiswa.

Umpamanya di dalam isu kenaikan harga yuran yang terlampau tinggi dan membebankan di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), telah mendesak tertubuhnya gerakan mahasiswa sedar (GMS) yang menuntut agar pentadbiran KUIS mengkaji dan menurunkan yuran segera. Perjuangan ini mendapat perhatian Menteri Besar Selangor dan akhirnya membuat keputusan memberikan peruntukan kebajikan khas kepada mahasiswa.

Desakan demi desakan keatas undang-undang yang cuba menyekat aktivisme serta membunuh idealisme mahasiswa terus giat dilakukan. Apabila kerajaan bersetuju untuk menggunakan sistem E-Undi di dalam pilihan raya kampus (PRK) , mahasiswa seluruh universiti bangkit dan menubuhkan satu gerakan yang dinamakan Gabungan Mahasiswa Membantah E-Voting (BANTAH), dengan bermatlamat menyekat berlakunya pencabulan demokrasi kampus melalui sistem ini.

Dan pada bulan November, gerakan ini berjaya menyerahkan memorandum bantahan dan tuntutan mahasiswa kepada menteri dan timbalan menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), setelah satu himpunan bantahan E-Voting dilancarkan di UPM.

2009 dan gelombang baru mahasiswa

Tahun 2009 menyaksikan satu gelombang bentuk baru kepada gerakan mahasiswa telah terjadi. Seakan mahu mengembalikan kegemilangan gerakan mahasiswa era 80-an namun dalam dimensi baru yang lebih terkehadapan.

Status check and balance kepada kerajaan pemerintah, mahupun mana-mana pihak masih lagi menjadi prinsip utama gerakan mahasiswa yang tegar untuk digugah walau zaman demi zaman telah berlalu. Mahasiswa akan kekal menjadi kelompok watch dog, menyuarakan pandangan tanpa dikongkong, menjadi benteng pertama rakyat dan bersedia menggantikan kepimpinan seandainya ia memerlukan.

Apa yang pasti, sekatan dan tekanan kepada mahasiswa pasti akan berlangsung tanpa henti. Namun, ini sekali-kali bukan menjadi tunggul yang menghalang dari gerakan itu mati atau rebah sekalipun semua pemimpinnya dibunuh.

Benar seperti ungkapan seorang tokoh aktivis mahasiswa, “Kerajaan atau mana-mana pihak boleh memenjarakan mahasiswa, namun mereka tidak boleh menghalang kebangkitan mahasiswa!”.

Wednesday, December 9, 2009

Selesaikan Isu Air Rakyat Labuan Segera!


Putrajaya 08 Disember 07:58a.m │ Berikutan masalah bekalan air yang terus yang telah melanda Wilayah Persekutuan Labuan telah mendesak mahasiswa terutamanya dari Sabah dan Sarawak turun ke Putrajaya bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Penyerahan memorandum berkenaan diketuai oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) disamping beberapa front yang bernaung bersama dibawah koalasi mahasiswa berkenaan termasuk Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-M), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) serta Markas Siswa Siswi Islam Sabah Sarawak (MARSIS).

Majoriti mahasiswa di negeri berkenaan telah merungut kerana masalah ini telah lama berlarutan sehingga kini dan mengakibatkan ketidakselesaan berlaku di kalangan mahasiswa dalam menjalani sesi pengajian mereka.

Tambahan lagi, perkara ini telah menyebabkan masalah-masalah lain di kalangan masyarakat kampus telah timbul seperti kesukaran pelajar untuk menjaga kebersihan diri seperti membasuh pakaian dan mandi, keadaan bilik kuliah yang panas kerana penghawa dingin tidak dapat berfungsi dengan baik dan sebagainya.

“Usaha ini sebagai memperjuangkan kebajikan mahasiswa di sana (Sabah), dalam masa yang sama demi kebaikkan penduduk di Labuan,”ujar seorang wakil dari Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia Negeri Sabah.

Memorandum berjaya diserahkan kepada pegawai khas perdana menteri.-Mahasiswakini

Saturday, December 5, 2009

'Liberal Syariatik' dalam mendepani zaman (Siri 2)

Oleh hal yang demikian, bagi menangani kecelaruan itu, konsep Islam harus dibuka luaskan dan perlu terus diliberalkan. Namun dalam batas syariat, dan itulah yang dinamakan ‘Liberal Syariatik’. Pemikiran liberal Islam yang terpandu oleh panduan syariat, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, malah diluaskan lagi dengan kaedah-kaedah fiqh yang pelbagai. Bahkan di sana, begitu banyak konsep Islam yang terbuka yang tidak diambil oleh masyarakat Islam untuk diguna pakai dalam kehidupan seharian mereka.

Pemikiran ini bukanlah satu cara untuk menghalalkan apa yang dilaksanakan oleh puak Islam Liberal, bahkan ia sekaligus menjawab keseluruhan mereka yang menganggap Islam ini terlalu jumud dan konservatif serta tidak mengikuti zaman.

Maqasid Syar’iyyah

Islam sekali lagi mengajarkan konsep yang sangat luas di dalam konsep yang perlu digunakan dalam menentukan hukum Islam kepada masyarakat yang pelbagai dan moden ini. Menggunakan kaedah ‘maqasid syar’iyyah’ (tujuan atau objektif disyariatkan satu-satu hukum), ia membuka mata umat Islam dalam memahami Islam yang sebenarnya.

Sebagai contohnya, dalam kewajipan seorang wanita untuk bersama muhrim (suami) tatkala bermusafir yang disebut di dalam hadith nabi s.a.w : ‘Janganlah wanita bermusafir kecuali dengan muhrimnya’ (Hadith marfu’, daripada Ibnu Abbas di dalam al-Shahihain).

Apabila melihat kondisi ketika hadith ini disebutkan nabi s.a.w, Dr Yusuf Al-Qaradhawi menjawab: ‘Pada zaman tersebut kebiasaan berlaku permusafiran dalam jarak yang jauh adalah menggunakan binatang seumpama unta ataupun keldai. Dan ia melalui padang pasir dan lereng-lereng bukit yang hampir-hampir tiada pembangunan malah pekan mahupun kampung. Kalaupun wanita itu tidak ditimpa kemudaratan di sepanjang perjalanan, ia tetap mencemarkan nama baik wanita tersebut.

Tetapi, apabila keadaan telah berubah, seumpama hari ini permusafiran berlaku dengan kapal terbang yang membawa seratus penumpang dan lebih atau kereta api yang membawa ratusan orang bermusafir. Tidak ada ruang lagi di sana untuk merasa bimbang terhadap wanita yang bermusafir seorang diri, maka larangan syarak terangkat dengan perkara itu.’ (Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Perlaksanaan Syariat Islam, Sesuai pada Setiap Tempat dan Masa)

Objektif pensyariatannya adalah supaya wanita itu terpelihara daripada fitnah mahupun bahaya. Walhal, sekiranya perkara-perkara itu dapat ditangani dan selamat dalam perjalanan, tidak perlu lagi untuk muhrim bersamanya. Inilah dinamakan syariat menyesuaikan diri dengan zaman yang berubah.

Fiqh Malaysia

Apakah itu bukan lagi jawapannya kepada mereka yang bertuhankan logika di dalam syariat Islam? Bahkan Islam lebih luas dan adil daripada itu dalam hal-hal pembelaan dan hak kepada kaum wanita, malah, sebutkan sahaja apa yang menjadi pertikaiannya, hukum Islam menjawab persoalan itu.

Bahkan, saya begitu mengagumi seorang pemikir Islam tempatan, Dr Mahmood Zuhdi yang berjaya melahirkan satu gagasan pemahaman hukum Islam tempatan di Malaysia melalui idea ‘Fiqh Malaysia’. Dengan kata lain, hukum Islam adalah berasaskan budaya, adat dan cara hidup masyarakat di Malaysia, sesuai dengan keadaan di Malaysia.

Malah jika boleh lebih dari itu, setiap negeri-negeri di Malaysia, mewujudkan fiqh negerinya sendiri seperti Fiqh Selangor, Fiqh Kelantan dan sebagainya. Ini bukan hendak mencelarukan lagi pemahaman ini, tetapi bukankah ruang ijtihad (research), serta pengkaijan perlu dibuka lebih luas untuk melahirkan hukum-hukum baru yang tepat dengan tempat dan masa?

Thursday, December 3, 2009

'Liberal Syariatik' dalam mendepani zaman (Siri 1)

Oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Pendahuluan

Sudah tiba masanya umat Islam perlu memikirkan bagaimana untuk berhadapan dengan cabaran yang begitu hebat khususnya dalam aspek pemikiran serta pemahaman masyarakat terhadap Islam dan syariat Islam.

Umumnya, kita mengetahui bahawa syariat Islam adalah sesuai sepanjang zaman, malah mendahului dalam segenap aspek kehidupan dan ia tidak boleh disangkal lagi. Namun, perlu diingati di sini, ia tergantung kepada siapa yang membawanya dan bagaimana ia dilestarikan mengikut waqi dan uruf tempatan yang menuntut ia sentiasa berubah-ubah.

Hari ini, keperluan kepada perubahan ini, sudah sampai kepada tahap yang mendesak. Para pemikir Islam perlu kembali kepada zaman aktif melakukan ijtihad (research), berpandukan kelimuan yang dimiliki masing-masing.

Ulama terkemuka, Dr Yusuf Al-Qradhawi melahirkan kebimbangannya akan ketinggalan Islam dalam menangani isu dan hukum semasa. Beliau menyebut: “Yang demikian itu kerana masyarakat Islam khsususnya dan masyarakat bukan Islam pada umumnya sedang berada pada masa perkembangannya yang realistik dan dinamik, sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah masyarakat. Disamping apa yang telah ada dan sekarang muncul pula dan terus akan muncul yang baru dan hampir tidak terkejar oleh hukum fikah yang ada..” (Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Keunggulan Hukum Islam Menangani Cabaran Zaman)

Apakah kita masih lagi dibuai mimpi menunggu Islam itu akan berubah dengan sendirinya tanpa perlu ada manusia yang mengubahnya? Doktrin Islam rahmatan lil a’lamin (rahmat sepanjang zaman) juga perlu ditafsir dengan baik berpandukan sebuah hadis nabi s.a.w yang menyatakan bahawa akan ada seorang mujaddid (reformis) yang akan memperbaharui (modenisasi) agamanya (Islam) pada setiap seratus tahun.

Cabaran Cara Berfikir

Pemikiran seumpama Islam Liberal menjadi satu-satunya cabaran paling besar umat Islam kini. Dan ia tidak dapat dinafikan kewujudan dan penyebarannya lantaran proses kebebasan berfikir dan mengkaji di dunia ini adalah tidak terbatas.

Malah, Islam sendiri menggalakkan umatnya berfikir dan terus berfikir untuk mencari kebenaran dan ke’logik’an yang tersembunyi pada setiap perintah yang disediakan Allah s.w.t. Maka, peranan pemikiran logik dalam menterjemahkan syariat Allah mesti diadunkan bersama panduan syariat supaya ia tidak tersasar dan membuahkan pemikiran Islam Liberal.

Apa yang bercelaru dalam masyarakat kini, ia adalah pembenihan cara-cara berfikir sesebuah golongan yang lahir daripada kebebasan berfikir tersebut. Tokoh kapitalisme, Adam Smith misalnya, mengagungkan kebebasan ekonomi yang menjayakan siapa dan apa sahaja demi satu matlamat, yakni keuntungan.

Para sosialis pula, mereka mengangkat suara kebajikan lebih utama daripada segala-galanya dalam masyarakat. Manakala kelompok yang berfikiran liberal, hanya menerima logik dan realistik untuk dipercayai dan diikuti.

Menangani Pemikiran Liberal

Jika difikirkan semula, semua ini sudah tersedia di dalam Islam. Apakah Islam tidak memperjuangkan kebajikan dan ekonomi yang menguntungkan, sedangkan ada institusi pembangunan ekonomi Islam melalui pensyariatan zakat yang mengurangkan jurang kemiskinan dan membangunkan ekonomi tanpa penindasan?

Saturday, November 21, 2009

Berhentilah memenjara mahasiswa!

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Universiti adalah satu institusi yang sepatutnya menjadi medan berkumpulnya sekelian manusia yang mahukan satu perkara yang baru, belajar dan bebas berfikir, merencana, mengkritik dan mengeluarkan idea.

Seharusnya, universiti bukanlah tempat untuk menjalankan sistem semata, bahkan lebih dari sebagai pusat yang melahirkan sistem-sistem lain yang baru, hasil daripada proses kajian dan observasi.

Namun, amat malang seandainya di ruang yang seulung universiti ini, dihuni oleh golongan yang ‘bukan ahlinya’.

Kemelesetan aktivisme mahasiswa

Lebih malang lagi, ada sesetengah sistem itu lagi menampakkan dan menggambarkan bahawa makin terkebelakangnya kredibiliti sebuah ‘gedung ilmu’ dan idea.

Misalannya, dalam aspek kegiatan pelajar seumpama berpersatuan, mengendalikan program, hatta forum-forum, ceramah dan siri-siri wacana keilmuan, mahasiswa teruk ‘disondol’ oleh akta dan statut yang menyekat.

Dalam kes yang berlaku di Universiti Malaya baru-baru ini, di mana seramai lapan mahasiswa aktivis persatuan telah didakwa dan dikenakan prosiding case kerana menjemput ahli politik di dalam program anjuran persatuan mereka. Atas alasan salah di sisi undang-undang universiti menjemput ‘orang luar’ selain daripada pegawai universiti sahaja.

Sangat kelakar mendengarnya!

Bukan itu sahaja, saya sendiri sudah lama tidak ‘beriman’ dengan sistem sebegini.

Cuba anda bayangkan, sebuah persatuan yang menaungi mahasiswa-mahasiswi, tetapi diletakkan penasihat dari pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP), yang kita pun tidak tahu mereka ini pernah masuk universiti atau tidak dahulu. Hatta mungkin SPM pun tidak lepas! Bagaimana mahu menasihat mahasiswa?

Bagaimana mahasiswa yang lahir?

Seorang tokoh gerakan pernah menyebut: “Andai mahu melihat bagaimana masa depan sesebuah negara, lihatlah kepada generasi mudanya.”

Nah! Inilah mahasiswa kita sekarang. Tidak kemana, dan tidak kemana-mana! Tinggal lagi, kita masih ada satu kelompok yang masih tegar lantang menuntut hak-hak mahasiswa yang ditindas, sekalipun ditengah-tengah akta yang mendekam.

Nasihat saya, berhentilah dari menyekat mahasiswa. Biarkanlah mahasiswa itu lahir daripada idea dan pandangan mereka sendiri. Mengapa perlu ditakuti mahasiswa sebegini? Adakah hanya kerana tidak sehaluan fikrah dengan pentadbiran, lalu ditutup peluang dan ruang yang ada di universiti?

Jika beginilah, usah sebut untuk menjadi universiti APEX bertaraf antarabangsa, sedangkan sistem kita tidak ke arah itu.

Saturday, November 14, 2009

E-Undi dari Pandangan Islam


Artikel dipetik dari blog Presiden GAMIS, saudara Mohd Idris b. Mohd Yussoff

Allah s.w.t mewajibkan setiap daripada kelompok manusia itu dipilihnya pemimpin yang boleh memandu masyarakatnya ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Pemimpin akan dipersoalkan serta dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukan terhadap rakyat di bawahnya. Ini ditegaskan dalam hadith Nabi s.a.w:

“Apabila keluar tiga orang diantara kamu, maka (hendaklah) dipilihnya dikalangan mereka seorang pemimpin (ketua).”

Dalam kewajipan itu, aspek pemilihan kepimpinan dan kriterianya sangat perlu diambil kira dengan penuh teliti. Para ulama menegaskan dalam konsep usul fiqh:

“Apa yang tidak sempurna sesuatu kewajipan itu, melainkan dengan melakukan sesuatu perkara itu, maka perkara itu turut menjadi wajib”

Justeru itu, pemimpin itu wajib dipilih, dan apa sahaja usaha ke arah memilih kepimpinan turut menjadi satu kewajipan. Dalam pada ini, jika di kampus dan universiti, medan Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah landasan yang terbaik memilih kepimpinan.

Pemimpin? – caranya apa?

Islam tidak menghalang apa jua yang baik, selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip dan peraturan yang ditetapkan. Oleh itu, medan pilihan raya adalah satu medan penting dan sesuai memilih dan menilai siapakah pemimpin yang baik untuk dipilih.

Konsep jarh wa ta’dil (kritik dan analisis) kepada batang tubuh pemimpin digalakkan dalam Islam. Supaya pemimpin ini boleh bekerja dengan baik dan amanah tatkala ia diberikan jawatan oleh rakyat yang memilihnya.

Rakyat ada hak untuk mengetahui siapakah yang bakal memimpinnya. Dan orang yang dipilih juga mempunyai hak untuk memilih sesiapa sahaja yang dirasakan mengikut pengamatan mereka adalah baik dan boleh bekerja untuk mereka. Dan hak ini diberi kebebasan oleh Islam malah juga dalam perlembagaan Malaysia.

Sistem E-Undi : Membunuh Hak Memilih Pemimpin

Apakah maknanya satu sistem yang dikendalikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan dan diragui integriti. Seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai satu badan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, mereka tidak boleh bertindak seperti menyokong satu pihak tertentu dan menyalahi pihak yang lain.

Begitu juga dengan hakim di mahkamah yang memutuskan sesuatu keputusan.

Apakah wajar satu sistem pilihan raya kampus atau lebih dikenali sebagai medium demokrasi kampus untuk para mahasiswa memilih kepimpinan ditentukan oleh hanya dua atau tiga orang yang memegang sistem tersebut?

Adakah adil seandainya orang lain yang menentukan pemimpin yang perlu kita ikuti? Adakah dinamakan demokrasi dan keadilan Islam sekiranya kita dipaksa untuk memilih satu-satu individu tertentu untuk menjadi orang yang akan memandu kehidupan kita kelak?

Jika begitu, bagaimanakah pula pemimpin yang lahir daripada sistem-sistem tersebut?

Keadilan, Ketelusan dan Kepimpinan

Soal pemimpin bukan persoalan main-main dan boleh disembangkan di kedai-kedai kopi. Betapa pentingnya kepimpinan ini boleh diambil pengajaran daripada peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w.

Sejurus Rasulullah s.a.w wafat, belum pun disemadikan jasadnya, para sahabat terus mengadakan pertemuan tergempar untuk membahaskan siapakah pemimpin yang bakal menggantikan Rasulullah sebagai khalifah kelak. Apakah para sahabat sudah tidak sempat-sempat memilih pemimpin sehinggakan tidak menghormati kematian Rasulullah?(Rujuk Kitab: Fiqh Sirah karangan Dr Said Ramadhan Al-Buthi)

Pandang ke hadapan, hadapan dan terus ke hadapan

Pandanglah kehadapan dan bagaimana generasi-generasi yang bakal lahir daripada penciptaan sistem-sistem yang tidak berlandaskan keadilan. Saya yakin ini bukan persepsi yang memutar kembali jam ke belakang, seolah tidak menerima kemajuan dan kemodenan kerana saya yakin Islam tidak sekali-kali menolak kemajuan dan malah sentiasa mendepaninya.

Malah penilaian ini juga bukan sahaja kepada yang melahirkan sistem ini, bahkan pengundi yang amanah dan sedar akan kepentingan memilih kepimpinan yang baik, turut bertanggungjawab mengubah sistem ini dengan kuasa yang ada di tangan mereka

Tuesday, November 10, 2009

Siapa yang boleh diharap menyelamatkan PAS?

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Hari ini saya terpaksa mengkritik lagi tindakan beberapa pemimpin PAS. Ini kerana saya sayangkan PAS.

Saya memohon maaf, seandainya saya menafsirkan tindakan PAS mengadakan Seminar Politik baru-baru ini sebagai tindakan yang tidak tepat. Dan sikap masih ada segelintir pemimpin PAS yang tidak dapat 'menerima hakikat' persepsi rakyat kepada mereka, seakan membawa PAS u-turn ke arah yang semakin jauh dari landasan politik Malaysia.

Saya masih optimis, PAS merupakan satu-satunya parti yang bakal menjadi 'goverment in waiting' kepada kerajaan BN yang ada sekarang ini. Saya masih optimis.

Ini kerana, saya yakin PAS adalah sebuah parti yang paling lama bertahan dan bergelumang dengan cabaran, memiliki keahlian yang terbesar, serta sistem tarbiyah yang menjadi tunjang kekuatan ahli-ahlinya. Itu tidak dinafikan.

Saya menjangkakan perlunya pemimpin yang boleh menggantikan 'bahtera PAS' jika PAS mahukan masa depan mereka lebih baik.

Kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi (TGHH)

Saya tidak mempertikaikan kewibawaan TGHH serta kewarakan beliau. Malah keilmuannya disanjung tinggi. Saya dan seluruh rakyat Malaysia sangat menyayanginya sebagai ulama yang telah banyak berbakti kepada masyarakat, mencorak negara dalam jatuh bangunnya perjuangan Islam.

Namun, saya semakin tidak jelas, bahawa TGHH mampu memimpin sebuah gerakan politik sebesar PAS dalam jangka masa sekarang, yang berhadapan dengan kemelut politik yang sangat kritikal dan permasalahan dalaman PAS.

Hakikatnya, dalam banyak keputusan-keputusan TGHH akhir-akhir ini dilihat tidak tepat dan kurang tegas dalam menyelesaikan masalah dan beliau sebagai seorang pemimpin politik!

Apakah dengan isu sebesar Kerajaan Perpaduan yang berlaku, hanya diakhiri dengan ungkapan "Kita tutup pintu perbincangan" Itu sahaja?

Kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz (TGNA)

Berbanding TGNA yang dilihat hari demi hari semakin licik dan pantas dalam berpolitik dan memimpin negerinya. Walau beliau dilihat seperti kurang sihat dan sering kali ke IJN.

Buktinya, bagaimana kerajaan negeri Kelantan pimpinan beliau, tegas membuat keputusan terhadap Wang Royalti yang dirampas kerajaan BN. Katanya: "Kita batalkan sahaja MOU Kelantan dengan Petronas". Noktah. Tegas, tajam dan tepat!

Dan saya pasti kerajaan BN kini tercungap-cungap dengan keputusan ini.

Game politik UMNO dan cabaran mendatang PAS

Apakah TGHH perlu bermain dengan game politik UMNO tanpa satu prinsip dan keputusan yang tegas dalam isu sekritikal Kerajaan Perpaduan?

Justeru, apakah juga munasabah ia diselesaikan dengan hanya mengadakan Seminar Politik selama lapan jam, lalu ketika itu pembentang yang cuba ingin menyelamatkan PAS teruk dihentam dan dikritik?

Di hadapan PAS kini bakal menghadapi satu situasi yang tidak terduga. Sama ada ahli-ahlinya sedar dan segera menyelamatkan PAS daripada tergelincir, atau terus sayang dan kekalkan segelintir pemimpin yang bertindak cuba mengkhianati prinsip PAS demi Melayu Islam.

Mohon semua ahli-ahli dan pemimpin berfikir semula dan buat pertimbangan yang tepat!

Sunday, November 8, 2009

Bantah Yuran KUIS Naik : Teruskan Pertahan Hak Mahasiswa!


Kenaikan lebih 50 peratus sejak 2007 didakwa bebankan ibu bapa

BANGI: Lebih 2,000 pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) yang menggelarkan diri mereka Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) mengadakan demonstrasi di pekarangan kolej itu semalam, bagi membantah kenaikan yuran pengajian yang dikenakan ke atas mereka.

Kumpulan pelajar terbabit berarak membawa poster, membantah tindakan Kuis menaikkan yurannya secara beperingkat bermula pada 2006 dan lebih 50 peratus pada 2007.

Pelajar terbabit turut menyerahkan memorandum kepada pengurusan Kuis menuntut supaya yuran mereka dikaji semula.

Presiden GMS, Ahmad Syafiq Akmal Ahmad Kamil, berkata selain memohon supaya yuran pengajian diturunkan, memorandum juga mengandungi cadangan supaya Kuis mewujudkan skim pinjaman dalaman.

Selain itu mereka turut meminta Kuis memohon Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meningkatkan kadar pinjaman mereka.

"Memorandum itu adalah bantahan pelajar yang tidak berpuas hati dengan yuran tinggi yang tidak setimpal dengan kemudahan ditawarkan kolej, selain membebankan pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin.

"Kami harap kolej mempertimbangkan menurunkan yuran bagi pengajian diploma sehingga 15 peratus manakala pengajian sarjana muda 10 peratus," katanya.

Ahmad Syafiq, berkata memorandum itu dibuat hasil kaji selidik perbandingan yuran antara institusi pengajian tinggi swasta dan maklum balas daripada pelajar Kuis.

Memorandum itu diserahkan Ahmad Syafiq kepada Pegawai Khas Rektor Kuis, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Ahmad Syafiq mendakwa bantahan diadakan selepas rundingan yang diadakan pengurusan kolej sejak 2006 menemui jalan buntu.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) Kuis, Nasrul Izad Mohd Isa, menegaskan MPM tidak terbabit dengan tuntutan dan penyerahan memorandum itu.

Timbalan Rektor Korporat dan Antarabangsa Kuis, Mohd Shah Abdullah, berkata yuran pengajian ditentukan selepas merujuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

"Struktur yuran kolej juga mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), selaku pemilik kolej.

"Bagaimanapun, kolej bersedia mempertimbangkan memorandum itu walaupun kesal dan kecewa dengan cara GMS berkumpul dan berdemonstrasi," katanya.

Thursday, November 5, 2009

Salafi : JAIS, PAS dicabar berdebat dengan Ustaz Asri

catatan oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Apakah yang boleh disebutkan lagi tatkala berita penangkapan Ustaz Asri, bekas Mufti Perlis di Damansara baru-baru ini, selain daripada ramai pihak mengutuk tindakan Jabatan Agama Islam Selangor itu.

PAS juga menentang keras tindakan JAIS itu, biarpun nampaknya tindakan itu mustahil tidak diketahui oleh pimpinan PAS yang duduk di dalam Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Peristiwa ini dilihat sebagai kemuncak kepada 'kegeraman' terhadap dakwah yang dibawa oleh Ustaz Asri terhadap fahaman Wahabi atau Salafi yang dikatakan bertentangan dengan masyarakat Malaysia hari ini.

Meneruskan Tradisi Zalim Dahulu

Tindakan JAIS di bawah kerajaan PR Selangor tidak ubah sama seperti tindakan zalim kerajaan BN sewaktu mereka memerintah dahulu. Ada satu ketika ramai ustaz-ustaz ditahan ketika berkuliah di surau, atas alasan tiada tauliah dan membangkang kerajaan.

Antara ustaz yang saya ingat dilucutkan tauliahnya, ialah Ustaz Ismail Kamus, Ustaz Ahmad Awang dan rakan-rakan mereka.

Lucu mendengar ulasan mereka: "Dahulu, kamilah yang meluluskan tauliah ustaz-ustaz JAIS ini, tapi sekarang mereka yang lucutkan dari kami. Kalau kami ini ditarik tauliah kerana tidak diiktiraf, maka mereka ini apatah lagi, sebab mereka menuntut dari kami, anak murid kami.."

Saya yakin, walau seribu orang seperti ustaz Asri dan ditangkap keseluruhannya, akan lahir beribu-ribu yang lain, kerana tangkapan tidak akan menyelesaikan masalah penyebaran ilmu seumpama yang dibawa Ustaz Asri, kerana masyarakat sekarang benar-benar dahaga ilmu. Mengapa ingin ditahan orang yang ingin belajar?

Fahaman Salafi dan Sikap Kita

Apa yang dibawa Ustaz Asri, bagi saya langsung tidak salah. Tidak ada yang lebih mulia melainkan umat Islam sekarang kembali kepada Al-Quran dan Sunnah yang sebenar dan dihayati sepenuhnya. Mengamalkan kembali sunnah-sunnah yang sudah lama ditinggalkan serta mengamalkan cara Islam dengan bersih dan suci. Inilah yang dibawa Ustaz Asri.

Apa yang silap disini hanyalah metod pembawaannya yang agak 'keras' dan kurang meraikan masyarakat. Dan ini bagi saya boleh diubah. Tetapi bukan diubah dengan menangkap beliau!

Islam Tertegak dengan Hujah

Sebab itu, Al-Quran awal-awal lagi dan meletakkan bahawa, setiap tindakan, kepercayaan dan pengamalan kita, mestilah didasari dengan kefahaman, dan kefahaman ini mesti datang daripada hujah dan dalil, tidak kiralah apa pun yang kita lakukan.


Jika PKR berani berdebat isu minyak negara dengan menteri dan jika PAS boleh mencabar Sister In Islam (SIS) untuk berdebat bagi menegakkan siapa yang benar, mengapa tidak cuba mengajak Ustaz Asri berdebat? Nilai dan tengok, apa hujah yang dikemukakan Salafi yang dibawa Ustaz Asri.

Bagi saya hujah mana yang kuat, masyarakat boleh nilai. Dan saya sebutkan sekali lagi, Islam itu tertegak dengan hujah. Masakan tidak menang fahaman Islam yang sebenar andai itu yang benar.

Ataupun kita takut seandainya diberi ruang berdebat, akan lagi ramai orang akan mengikuti Salafi dan meninggalkan Islam yang dibawa kita? Itu masalah dan sikap dari kita, bukan Salafi! Kitalah yang gagal untuk tarik masyarakat dengan apa Islam yang kita bawa, jangan salahkan mereka.