Monday, December 21, 2009

Tuduhan fitnah universiti : Penjelasan pengerusi BANTAH


Ramai yang mempersoalkan tindakan saya menyertai sidang media bersama ahli Parlimen PAS pada 16 Disember 2009 (Rabu) lepas di Parlimen. Dan, berita tersebut disiarkan oleh beberapa media iaitu Harakahdaily, um-today dan mahasiswakini.

Tindakan saya mengundang pelbagai persepsi. Ada yang mengatakan saya cuba menfitnah Naib Canselor Datuk Ghauth. Dan beberapa individu juga menuduh saya yang memberikan maklumat dalaman kepada ahli parlimen Pas tersebut.

Saya akan nyatakan beberapa perkara agar dapat semua pihak jelas akan isu ini.

1. Isu yang berlaku adalah apabila dua MP PAS mempersoalkan maklumat yang diterimanya daripada kakitangan universiti, berkenaan dengan dua pegawai universiti, iaitu Dr David Ngo Chek Leng dan Dr David Asirvatham yang didakwa dipilih tidak melalui prosedur yang betul. Saya mendapat tahu isu tersebut melalui satu blog, saudara zainulfaqar yang juga aktivis media.

2. Keraguan timbul apabila maklumat yang saya baca berkenaan dengan Dr David Asirvatham, Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM), juga terlibat dengan perkara ini apabila kelayakan beliau adalah dalam bidang e-learning. Beliau telah diberikan mandat oleh universiti untuk membangunkan sistem e-voting untuk tujuan pilihan raya kampus akan datang.

3. Dalam kenyataan media tersebut, saya berdiri sebagai pengerusi Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (BANTAH), bukan sebagai ahli majlis perwakilan (MPM), dan kenyataan saya jelas kepada media bahawa dalam isu ini, saya tidak menfitnah NC, bahkan saya menyatakan keraguan saya apabila Dr David dipilih sebagai ketua menjalankan sistem e-voting sedangkan dia bukan pakar dalam bidang itu.

4. Saya juga menyatakan keraguan saya berasaskan pertemuan-pertemuan saya dengan beliau dan NC sendiri ketika membincangkan kewajaran dilaksanakan sistem ini dalam pilihan raya kampus akan datang. Dan prinsip saya jelas, saya membantah sistem ini kerana diragui ketelusannya!

5. Namun, jawapan yang saya dapat dari NC, beliau yakin dengan individu ini (Dr David Asirvatham) kerana beliau kenal lama dengan dia, dan dia (Dr David) pernah bekerja bersama-sama dengannya di MMU hampir 12 tahun. Dan selama 12 tahun itu, sistem e-voting yang dijalankan di MMU adalah dibangunkan oleh Dr David. Saya semakin ragu dengan perkara ini seolah-olah ada perancangan yang rapi oleh pihak-pihak tertentu (saya tidak sebut NC) untuk membawa sistem ini di dalam UM yang saya begitu yakin ketidak telusannya.

6. Namun, media tidak menyiarkan kenyataan saya.

7. Berkenaan dengan saya cuba menfitnah atau cuba menjatuhkan kredibiliti NC, itu tidak benar! Apakah menjadi satu kesalahan apabila satu maklumat yang dikeluarkan oleh ahli parlimen, berkenaan dengan satu perkara yang dianggap penyelewengan, untuk dijelaskan kepada rakyat?

8. Bagi saya, saya menjaga integriti serta prinsip saya sebagai mahasiswa yang bukan memihak kepada mana-mana parti politik. Saya disitu, menyatakan, jika satu perkara yang ragu, adalah lebih baik ditubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat perkara ini. Dan bagi menjaga integriti universiti, pihak yang disiasat perlu melepaskan jawatan sementara waktu sehingga kes itu selesai. Itu prinsip asas dalam ketelusan dan integriti. Sama juga sepertimana yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin negara yang dituduh rasuah atau isu PMBK di Kelantan.

9. Bagi saya, jika MP BN pun yang mengeluarkan kenyataan dan maklumat tersebut, saya juga akan menyatakan pendirian yang sama. Apakah tidak boleh seorang pegawai universiti digantung jawatan sementara apabila dituduh atas satu-satu kesalahan, sepertimana yang dilakukan oleh universiti menggantung pelajar yang dihadapkan di tribunal universiti, walhal ia masih lagi belum dibuktikan kesalahannya?

10. Yang saya bantah, bukan universiti, tetapi e-voting. Dan juga kredibiliti yang mengendalikan sistemnya. Itu jelas! Media dan sesetengah pihak seolah-olah menggambarkan bahawa saya cuba menggugat NC dengan menfitnahnya.

11. Walaupun begitu, perlu diingat. Selaku pengerusi gabungan mahasiswa yang membantah e-voting. Saya tidak berganjak untuk terus mendesak mana-mana pihak yang cuba meneruskan sistem ini, walaupun yang akan saya hadapi adalah NC sendiri. Itu pendirian saya dan gabungan saya.

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh,
Pengerusi,
Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting
(BANTAH).

No comments: