Thursday, January 27, 2011

Di tangan Cikgu Mala ada Islam

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Pada 30 Januari 2011, DUN Tenang akan menyaksikan perubahan rakyat Johor. Negeri itu bukan lagi menjadi kubu kuat UMNO-BN seperti mana sebelum tahun 2008, pasca-perubahan rakyat Malaysia.

Cikgu Mala yang mendapat jolokan 'tangan ajaib' begitu tuah. Dek kerana peribadinya yang bersih, MCA tidak dapat menyerangnya. Orang kata: 'Tak dapat paha, betis pun jadi'. Tak dapat serang peribadi, tangan pun jadilah!

Di tangan cikgu Mala ada Islam

Saya bersetuju dengan pandangan daripada Shannon Teoh, kolumnis themalaysianinsider.com, beliau mengulas berkenaan tangan cikgu Mala:

"I'm not expert on Islam but I'm sure that the latter is taking it a bit too far, or not even part of Islam. Maybe we should refer to PKR president Datuk Seri Wan Azizah whose gloved hand I've shaken on several occasions."

Bahkan sebenarnya, Cikgu Mala boleh dijadikan model pemimpin parti politik Islam yang berpegang dengan prinsip Islamnya (tidak bersalam). Dan bagi sebuah negara yang mengamalkan toleransi agama dan demokrasi, seharusnya setiap orang tidak boleh dilarang mengamalkan agamanya (prinsip).

Situasi itu menimbulkan kekaguman beliau yang akhirnya melihat pengamal Islam seumpama Cikgu Mala adalah manusia yang berpegang dengan agamanya. Katanya:

"That's how you preach and teach about you religion, by giving fiery serm
ons and being a pious person in daily life. I salute Cikgu Mala and Nizar for their commitment to Islam!"

Sudahnya, yang mendapat hidayah orang lain. UMNO-MCA masih begitu.


MCA-BN yang tidak faham Islam

Agak kelakar apabila PERKASA yang keras pandangan Melayunya itu boleh menyokong Tuan Guru Nik Abdul Aziz apabila Presiden MCA menyentuh soal agama Islam.

Dr Chua Soi Lek, lepasan Perubatan Universiti Malaya yang sudah terpalit isu video lucahnya itu sepertinya ingin mengajar Islam kepada orang Islam.

Bermula daripada mengkritik keputusan PAS mencalonkan wanita, sehinggalah tindakan Cikgu Mala tidak bersalam dengan bukan mahramnya. Kelihatannya 'cetek' sangat pemahaman Dr Chua terhadap Islam. Dan rasanya memang begitu pun apabila bersahabat dengan UMNO.

Sedangkan, Dr Yusof Al-Qaradhawi, ulama terkenal dan terkemuka sudah lama memberikan pandangan berkenaan status wanita dalam sosial dan masyarakat. Katanya:

Jika tidak tahu apa manifesto yang diperjuangkan Cikgu Mala, cukuplah mengundi beliau kerana 'wajahnya'..-penulis.

"Ibu (wanita) adalah sebuah madrasah (sekolah). Jika anda mempersiapkannya dengan baik, maka anda telah mempersiapkan satu bangsa (negara) yang baik.." (Fatwa Mu'asarah)

Bagi masyarakat Islam yang faham. Soal wanita dipinggirkan peranannya adalah persoalan terkebelakang. Sedangkan zaman Nabi s.a.w sudah berlaku wanita terlibat di dalam membuat keputusan.

Maka, seandainya pun Dr Chua ini seorang 'Islam', maka Islamnya kita boleh anggap mundur. Dan dia tidak berpegang dengan Islam yang realistik.

Di sini PAS saya kira lebih kehadapan. Sedangkan Dr Chua masih berfikiran 'kolot' dalam menafsirkan penglibatan wanita di dalam sosial.

Sebab itu, sampai sekarang, MCA masih tidak faham-faham berkenaan Hudud (Syariat Islam). Bahkan menjadi penentang nombor satu kepada hukum Islam itu.

Peliknya tiada pula mana-mana pihak mengecam beliau sepertimana mengecam DAP dalam isu-isu yang melibatkan agama dan Melayu.

Dari satu sudut, jika umat Islam sedar, tindakan Dr Chua itu boleh dianggap satu 'penentangan terbuka' terhadap hukum-hukum dan ajaran Islam. Memang kita disuruh berdakwah dengan cara baik selagi termampu, namun itu kepada golongan yang dilabel sebagai 'sesat' (ad-dholin).

Namun bagi golongan 'dimurkai' (al-maghdub) atau penentang Agama ini, tindakan lebih keras perlu diberikan agar pengajaran dapat diambil serta tidak mengulanginya di masa hadapan.

Pengajaran kepadanya perlu dibuat seperti mana pihak-pihak cuba menggugat Islam dalam isu murtad dan sebagainya.


Saturday, January 22, 2011

SPR serupa macam HEP di kampus

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Ketika kepanasan bahang pilihan raya kecil DUN Tenang, rakan-rakan mahasiswa kita di kampus kini sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihan raya kampus (PRK) yang bakal menjelang akhir bulan Januari atau awal Februari ini.

Dalam pilihan raya umum, Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebagai badan yang menguruskan pilihan raya. Mereka bolehlah dianggap sebagai badan bebas yang melancarkan serta mentadbir urusan pilihan raya.

Jika dalam pilihan raya kampus, maka yang menguruskan pilihan raya itu adalah Jawatankuasa Pemilihan MPP yang biasanya yang menjadi ketua adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP). Peranannya sama, iaitu menguruskan pilihan raya kampus agar berjalan lancar.

Peranan

Kedua-dua badan atau jawatankuasa ini jika diperhatikan, sama tugasnya. Malah kadang-kadang turut sama 'perangainya'. Kedua-dua badan ini juga dipertikaikan kewibawaannya. Jika di luar, rakyat mempertikaikan, manakala di kampus adalah mahasiswa.

SPR dilihat seringkali menjadi alat kepada parti pemerintah (UMNO-BN), sedangkan sepatutnya badan bebas yang menguruskan pilihan raya sewajarnya tidak memihak mana-mana parti.

Misalnya, dalam ketetapan terbaru yang dinyatakan SPR ketika taklimat kepada parti bertanding di DUN Tenang bertarikh 21 Januari 2011, bahawa hanya parti yang bertanding sahaja yang dibenarkan meletakkan gambar dan lambang mereka.

Selain itu, tindakan SPR memindahkan pengundi berdaftar yang majoritinya berbangsa Cina ke pusat pengundian yang baru pada 17 Januari 2011 turut memperlihatkan tindakan menyelamatkan BN yang kehilangan sokongan pengundi Cina.

Ia serupalah apa yang berlaku di kampus. Dan peranan itu diambil oleh Jawatankuasa Pemilihan MPP untuk menyelamatkan calon-calon Aspirasi yang tidak disokong mahasiswa.

Misalnya di dalam pilihan raya kampus tahun lalu (2010) di Universiti Malaya, mereka memperkenalkan sistem pengundian yang baru iaitu e-voting. Dengan alasan ia lebih memudahkan pengiraan sedangkan tidak melalui perbincangan dengan mahasiswa.

Selain daripada itu, calon-calon Pro-Mahasiswa disekat daripada berkempen di kolej-kolej kediaman, dengan alasan bahawa kawasan berkempen di kolej hendaklah mendapat kebenaran pihak kolej yang mana keseluruhan pentadbir kolej adalah 'orang-orang' mereka.

Semua peraturan itu dicipta bagi memudahkan kemenangan mereka. Serupa saja apa yang dilakukan SPR kepada Pakatan Rakyat, dan HEP kepada mahasiswa di kampus.

PRK sendiri

Oleh kerana itu sejak dahulu lagi, mahasiswa menuntut agar pilihan raya kampus di universiti dikendalikan sendiri oleh mahasiswa. Bukan tidak percaya kepada pentadbiran mahupun HEP, bahkan rekod-rekod buruk mereka telah menghakis keyakinan mahasiswa kepada mereka.

Begitu juga yang berlaku kepada rakyat. Mana mungkin organisasi seumpama MAFREL dan badan antarabangsa perlu turun memantau pilihan raya jikalau pilihan raya itu telus dan adil.

Saya teruja dengan pendirian Pro-mahasiswa UPM yang mendesak pentadbiran agar pengurusan pilihan raya kampus dikembalikan kepada mahasiswa. Biarlah mahasiswa yang menentukan masa hadapan politik kampus mereka.

Peringatan

Parti pemerintah pada hari ini harusnya perlu bersyukur dengan sikap dan pendirian parti dan rakyat di Malaysia. Kita masih lagi 'sopan' dan 'lembut' dalam menangani soal-soal demokrasi dan penipuan parti pemerintah.

Justeru, pengiktibaran perlu diambil daripada apa yang berlaku kepada pemerintah Ben Ali di Tunisia. Rakyat bangkit melalui revolusi, bukan lagi demokrasi. Namun apa yang lebih membanggakan, ia dicetuskan oleh seorang mahasiswa atau anak muda yang membakar dirinya kerana kenaikan memeritkan harga barang.

Mungkin pilihan raya kampus akan datang ini medan menukarkan demokrasi kepada revolusi, andai jalan demokrasi disekat lagi? Ayuh bangkit anak muda dan mahasiswa!