Thursday, May 29, 2008

Unsur Alternatif dalam Islam. Perlukah?

catatan: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Malam tadi, tatkala sedang makan malam bersama ayahanda saya di sebuah warung nasi ayam, beliau ada memberitahu mengenai berita pagi tadi. Katanya JAKIM membidas pengharaman Islam Hadhari oleh kerajaan Selangor. Saya agak tersentak, tetapi tidak terkejut. Cuma baru tahu.

Semenjak kerajaan negeri saya, Selangor ditadbir oleh ’kerajaan baru’, banyak perubahan telah dilakukan. Antaranya pengaharaman segala bentuk konsep ’Islam Hadhari’ yang mana sebelum ini telah diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri kita.

"Allah jadikan manusia sebagai 'pengganti-Nya' dengan tujuan memakmurkan dunia dengan menjalankan hukum-hakam berdasarkan 'kertas kerja' yang dibuat-Nya. Jangan cuba menambah-nambah, kelak dimurkai Allah.." (Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap ulama.)

Bila adanya Islam Hadhari, bermakna adanya Islam Badawi. Itu asasnya. Sebelum mencapai tahap bertamadun, pastinya melalui zaman jahiliyah atau bahasa mudah tidak bertamadun.

Bila dikatakan ia adalah pendekatan, maka Islam yang selain ’Islam Hadhari’ itu ada membawa keburukan atau kemudaratan dek cara atau wasilahnya silap, sebab itu ada dibuat pendekatan. Pendekatan maksudnya Islam yang dibawa dahulu perlukan alternatif lain. Maka ’pendekatan’ dilaksanakan.

Bila sebut pasal alternatif, saya teringat kata-kata bekas rockers terkenal tapi beralih ’planet’ ke alam nasyid. Katanya: ”Nasyid tidak sepatutnya menjadi hiburan alternatif, bahkan ia adalah hiburan sebenar, kerana ia datang dari Islam. Islam bukan agama alternatif..”

Oleh itu, bila ada alternatif selain Islam, maka Islam itu..?

Tuesday, May 27, 2008

Selamat Pengantin Baru Yusof & Nadhirah.

bergambar dengan pengantin setibanya kami..

catatan: Mohd Aizat bin mohd Saleh

Tanggal 25 Mei 2008 (Ahad), sahabat saya Yusof Bin Idris dan Nadhirah Bt Salim melangsungkan perkahwinan di Kg Wakaf Mempelam, Terengganu. Saya bersama beberapa sahabat sempat menghadiri kenduri tersebut. Yusof kelihatan begitu ceria dengan baju Melayu 'hijau' sepasang menyambut kami di sana.
(gambar bawah) saya bersama pengantin baru
semoga berbahagia..



suasana ketika kenduri

Sempat berbual-bual berkenaan hantaran, sanak-saudara dan kehidupan selepas ini. "Macam biasa je, tapi tanggungjawab bertambahlah..", katanya sambil tersenyum. Saya sempat berseloroh, "Jangan tak masuk kelas dahlah.." kami sama-sama tergelak.

Apa-pun, didoakan semoga mereka berbahagia hingga ke akhir hayat dan rumah tangga diredhai Allah s.w.t.

bersama adik kepada Nadhirah Bt Salim

Wednesday, May 21, 2008

Antara Gempa Bumi Sichuan dan Nakbah Palestin

peristiwa gempa bumi Sichuan yang meragut ribuan nyawa
adalah 'signal' dari Allah kepada kita

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Isnin lalu, dunia dikejutkan dengan peristiwa menyayat hati, iaitu gempa bumi dengan kekuatan 7.9 pada skala Ritcher yang berlaku di wilayah Sichuan, Jiangyou, China. Gempa bumi tersebut begitu mengorbankan hampir 50,000 nyawa manusia sekaligus menjadi antara peristiwa yang terburuk sejak 5 tahun kebelakangan ini. Hari demi hari usaha mencari mayat-mayat yang terkorban dijalankan. Seluruh rakyat China bertafakur mengenangkan sedikit daripada sejumlah ’peringatan’ Allah yang begitu agung itu.

Dua hari berikutnya, pada 15 Mei, umat Islam sedunia memperingati 60 tahun peristiwa Nakbah di Palestin. Peristiwa yang tidak mungkin dilupakan dari kamus memori umat Islam yang prihatin dan cintakan agamanya. Berbeda pula bagi zionis laknatullah, hari itu diraikan dengan penuh gembira. Apakah itu ’nakbah’?


Seperti yang diperkatakan, bagi seorang Muslim yang sensitif dan mengikuti isu Palestin sejak dahulu, pasti mengetahuinya. Nakbah bermaksud malapetaka, manakala istilah ’Nakbah Palestin’ membawa simbol penubuhan negara haram Israel di tanah air umat Islam Palestin yang berlaku secara rasmi pada tarikh 15 Mei 1948. bermula tarikh inilah detik-detik hitam buat penduduk asal Palestin. Negara suci yang dibuka khalifah Umar Al-Faruq suatu ketika dahulu, kini telah dikotorkan dengan jejak-jejak Yahudi.

Antara korban Nakbah dan Sichuan

tidak sama mangsa 'korban' Sichuan dengan 'korban' Nakbah

Tragedi Sichuan melalui gempa bumi begitu menyentuh hati. Beribu-ribu sanak-saudara hilang tempat bernaung. Ibu hilang anaknya. Suami kematian isterinya. Anak-anak menjadi ibarat anak ayam yang kematian ibunya. Hilang bergantung, hilang bernaung.

Tetapi tragedi Nakbah lagi menyayat jika dihayati. Tragdi ini hampir 6 dekad berlalu dan hingga kini masih berlaku. Sejak itu, sudah tidak terkira jumlahnya anak yang kehilangan ibu. Tidak tahu berapa ramainya penduduk yang kehilangan tempat berteduh. Dan berapa pula ibu-ibu atau wanita-wanita yang menjadi mangsa pembunuhan kejam tentera zionis laknatullah di bumi mereka sendiri.

Tragedi Sichuan memaksa seluruh dunia menghantar bantuan kemanusiaan berupa pakaian, makanan, khemah dan pelbagai lagi. Begitu juga bantuan perubatan bagi mangsa-mangsa yang cedera. Berbagai-bagai negara dan saluran serta NGO dan persatuan yang menyingsing tangan menjadi sukarelawan membantu.

Namun tragedi Nakbah tidak dipandang begitu. Nakbah mungkin bagi pandangan sisi adalah perbalahan yang berlaku dikalangan rakyat Palestin, bukan rakyat seluruh negara. Bagi sesetengah berpendapat tiada bersangkut-paut dengan kemanusiaan dan tidak jua perlu bantuan kemanusiaan disalurkan.

Disebalik Nakbah dan Sichuan

Bagi mereka-mereka yang berpegang dengan kata-kata junjungan besar kita s.a.w. yang menyatakan: ”Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mencintai saudara (seagamanya) lebih dia mencintai dirinya sendiri”, mereka ini sayu dengan penderitaan itu. Sebagaimana saudara seagamanya di Palestin diseksa dan dibunuh, maka dia turut merasainya walau di mana dia berada. Saudaranya di sana menangis, dia turut menangis di sini. Apa yang pasti, kezaliman dan kekejaman itu dicipta sendiri oleh musuh-musuh Islam yang iri hati kepada Islam.

selagi mana Palestin tidak dibebaskan, tanggungjawab kita masih belum tamat..


Maka, kita tidak boleh tidak perlu memandang dua peristiwa besar yang melanda dunia itu dengan pandangan yang sangat berbeza. Dengan simpati dan empati. Simpati pada mangsa-mangsa gempa bumi, manakala empati pada tragedi Nakbah di Palestin. Apa bezanya simpati dan empati? Simpati adalah kasihan dan sedih terhadap kedukaan yang berlaku. Tapi empati pula adalah sifat yang lebih dalam. Kasihan dan belas serta merasakan bahawa kita sendiri adalah termasuk orang yang menjadi mangsa peristiwa tersebut. Barulah melahirkan rasa tanggungjawab untuk berkorban bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan saudara kita yang ditimpa bencana itu.

Apa yang pasti, Nakbah akan terus-menerus berlaku dan tida titik penghujungnya, andai saudara seagamanya memandang sebelah mata peristiwa yang berlaku. Apalah salah dan ruginya andai negara-negara Islam sedunia menghantar bantuan makanan, tempat tinggal dan kebajikan sebagaimana yang diterima penduduk China, jika tidak pun mahu menghantar bantuan ketenteraan. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban saudara seagama yang ’ikatan’ aqidah itu melangkaui ikatan kekeluargaan. Paling kurang pun bagi kita yang tidak mampu ini, utuskanlah sekalung doa buat pejuang-pejuang ’kita’ di sana agar mereka tabah dan kuat untuk berjuang membebaskan tanah air ’kita’ itu.

Jangan biarkan tapak jejak Rasul mulia yang terhampar sewaktu peristiwa Isra’ Mikraj dahulu dihakis dengan dosa-dosa kuffar laknatullah..

Takdir di Celahan Mimpi (Bhg Akhir)


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Tatkala Pak Kasim baru hendak menjejak tangga. Terdengar suara orang memanggil.

“Oh..Rokiah. Ada apa? Cari Mak Piah ke? Dia tak ada. Bawa anaknya ke kampung Seberang.” Pak Kasim menjelaskan pada Rokiah, anak Pak Said. Dia kenal benar anak dara itu.

“Ni, ada kuih, bapak kirim pada pak cik.” Terang Rokiah.

“Naiklah, letak kat atas meja ya. Pak cik nak masuk rumah dulu.” Pak Kasim berlalu masuk ke dalam rumah. Tanpa disedari beberapa mata mengintai dari celahan semak.
“Assalamualaikum..” Pak Kasim bergegas ke hadapan rumah. Dia terkejut. Dilihatnya Rokiah duduk di atas kerusi. Tapi tubuhnya hanya berkain batik kemban! Pintu rumah tertutup.

“Assalamualaikum... Buka pintu ni!” Sejurus pintu terbuka. “Ini kerja kamu ya! Tak senonoh..harap je baik. Rupanya buat kerja terkutuk!” Pak Kasim panik dan terpinga-pinga. Rokiah tunduk.

“Kenapa ni?” Pak Kasim masih terkejut.

“Apa kenapa-kenapa? Selama ni kami orang kampung ingat kamu baik, alim. Tapi syaitan!” Leman bersuara. “Pak Said, halau je orang tua ni dari kampung kita. Entah apa dah dia buat dengan anak Pak Said tu.” Din menambah. “Betul..betul..halau dia..”

Pak Kasim ditolak kuat lalu jatuh ke tanah. Sebentar kemudian bertubi-tubi pukulan diterimanya. Pak Dolah menghayun kakinya tepat ke rusuk kiri. Busu menambah. Sikunya diterjah ke pipi kanan Pak Kasim, darah berhambur dari mulut Pak Kasim. Tergeletak seketika. Darah masih belum berhenti mengalir. Dua saat kemudian tubuh itu kaku.

‘Mayat seorang lelaki dijumpai di dalam Parit : Polis Adakan Siasatan’

Surat khabar hari itu digenggamnya. Busu tersenyum puas.


13 Rabiul Awal 1427 Hijrah, Rabu.

“Jalankan amanahmu kemudian tinggalkan kampung ini sebelum purnama menjelang.” Amanat terakhir sebelum Faiz meninggalkan pondok itu. Faiz gelisah. Rantai di genggamannya di belek-beleknya. Dia mesti menunaikan amanah orang tua itu. Rantai itu minta diserah kepada seorang yang bernama Nur Sufiah. Itu emaknya! Bagaimana orang tua itu kenal akan emaknya. Faiz bimbang jika pemergiannya ke rumah orang tua itu diketahui dan mencetus kemarahan emaknya. Lantas didiamkan perkara itu. Tiba masanya pasti dia akan memberitahu jua.

“Esok kita ke rumah Pak Usu ya..” Mak Sufiah mengingatkan anaknya.

“Baik mak.” Sahut Faiz.

Hari Khamis mereka bertolak ke Kampung Tengah. Sebuah beg besar dibawa sekali kerana mereka akan bermalam di sana beberapa hari. Maklumlah sudah lama tidak bertandang ke sana. Faiz menahan sebuah teksi, selepas menaikinya lalu teksi meluncur pergi.

16 Rabiul Awal 1427 Hijrah, Hari ini.

‘Tragedi Tanah Runtuh. Kampung Selamat Ranap tertimbus. 238 Orang Terkorban’ Tajuk muka hadapan akhbar Berita Harian ditangannya begitu mengejutkannya. Kampungnya ditimpa bencana tanah runtuh. Seluruh kampung musnah dan mengorbankan semua orang kampung. Kebanyakan mati tertimbus. Diberitakan bahawa tanah runtuh berlaku pada waktu tengah malam, ketika semua sedang nyenyak tidur.

“Innalillah wa inna ilaihi raajiuun..” Mak Sufiah terduduk mendengar khabar itu, seakan tidak percaya tragedi itu akan berlaku. Dia tidak menyangka takdir Allah menyebelahinya. Dilafaznya takziah di dalam hati.

Di sudut hujung rumah Faiz bersendirian. ‘Bagaimana dengan orang tua yang ditemuinya dahulu. Hidupkah atau matikah bersama-sama orang kampung? Yang paling penting..siapakah dia itu....?’ Faiz termenung panjang.

Friday, May 9, 2008

Kewajipan Al-Akh Muslim

"ukhwah islamiyah bukanlah hanya pada perkataan tetapi ia
adalah perlaksanaan"
oleh: Mohd Aizat bin Mohd Saleh

Dalam hubungan kewajipan-kewajipan al-akh muslim yang menggabungkan diri ke dalan gerakan Islam,Ustaz Hasan Al-Banna telah menentukan dalam Risalah Ta’alim lebih dari tiga puluh kewajipan. Melalui kewajipan-kewajipan ini,Ustaz Hasan Al-Banna telah merumuskan kewajipan al-akh terhadap dirinya, rumahtangga dan masyarakatnya.Ustaz Hasan Al-Banna telah mengatakan : “Saudara yang jujur, keimananmu terhadap bai’ah ini mewajibkan saudara menunaikan kewajipan-kewajipan berikut, sehingga dengan kewajipan-kewajipan ini saudara telah menjadi seketul bata yang kuat dalam proses pembinaan ini ;

1.Hendaklah saudara mempunyai wirid tertentu dari Al-Quran tidak kurang dari satu juzuk tiap-tiap hari. Hendaklah saudara mengkhatamkan Al- Quran tidak lebih dari masa sebulan dan tidak kurang dari tiga hari.

2.Hendaklah saudara mengelokkan bacaan Al-Quran, mendengar Al-Quran dan mengambil pengajaran dari Al-Quran. Hendaklah saudara mengkaji sejarah Rasulullah saw dan sejarah orang-orang Islam yang terdahulu sekadar keluangan waktu saudara. Paling kurang hendaklah saudara membaca buku “Humatul Islam”. Hendaklah saudara banyak membaca hadis Rasulullah saw dan menghafaz sekurang-kurangnya empat puluh hadis, sebaik-baiknya empat puluh itu ialah hadis susunan Imam Nawawi. Hendaklah saudara mengkaji risalah usul akidah dan risalah cabang hukum fekah.

3.Hendaklah saudara bersegera memeriksa kesihatan saudara secara umum dan mengkaji penyakit yang ada pada saudara. Hendaklah saudara mengambil berat tentang soal-soal kekuatan tenaga saudara, menjaga tubuh badan dan menjauhi sebab-sebab yang membawa kelemahan kesihatan saudara.


4.Janganlah saudara berlebihan minum kopi, teh dan lain-lain minuman yang merangsang. Hendaklah saudara jangan merokok sama sekali.

5.Hendaklah saudara menjaga kebersihan dalam semua perkara, tempat tinggal, pakaian, anggota dan tempat bekerja. Sesungguhnya Islam dibina di atas kebersihan.

6.Hendaklah saudara benar dalam percakapan. Jangan berdusta sama sekali.

7.Hendaklah saudara menunaikan janji dan mengotakan apa yang saudara perkatakan. Jangan saudara menyalahinya walau bagaimana keadaan saudara.

8.Hendaklah saudara bersifat berani dan luas pandangan. Keberanian yang paling mulia ialah berterus terang demi hak dan kebenaran, menyimpan rahsia, mengaku kesalahan, menginsafi diri dan menahan diri dari kemarahan.

9.Hendaklah saudara bersifat serius dan mengutamakan kesungguhan, tetapi keseriusan saudara tidaklah menghalang saudara dari bergurau dengan gurauan yang benar dan senyum ketawa yang tidak melampau.

10.Hendaklah saudara bersifat pemalu, halus perasaan, sensitif terhadap perkara-perkara baik dan jahat dengan merasakan gembira melihat kebaikan dan dukacita melihat kejahatan. Hendaklah saudara menuntut martabat kedudukan atau pangkat yang lebih rendah dari martabat yang sepatutnya saudara terima demi untuk mencari martabat saudara yang sebenar.

11.Hendaklah saudara berlaku adil, menghukum dengan yang sebenarnya dalam semua hal. Kemarahan saudara jangan sampai melupakan kebaikan orang, demikian juga keredaan saudara jangan sampai melupakan kejahatan orang lain. Permusuhan saudara jangan sampai melupakan kebaikan orang lain. Saudara mestilah berkata benar sekalipun terhadap diri saudara dan orang yang paling hampir dengan saudara, sekalipun perkara itu pahit bagi saudara.

12.Saudara mestilah cergas, melatih diri memberikan khidmat umum. Saudara mestilah merasa bahagia apabila dapat memberikan khidmat kepada orang lain, oleh itu saudara hendaklah menziarahi pesakit, menolong orang yang berhajat, membantu orang yang lemah, memujuk dan menenangkan mereka yang ditimpa kemalangan sekalipun dengan perkataan yang baik dan saudara mestilah sentiasa bersegera melakukan kerja-kerja kebajikan.

13.Saudara mestilah bersifat belas kasihan, pemurah dan pengampun. Saudara hendaklah mengampun dan memaafkan, berlembut dan berlemah lembut. Saudara hendaklah belas kasihan kepada manusia dan binatang, baik hubungan dengan orang lain, menjaga adab sopan masyarakat Islam; dengan itu saudara mestilah berlembut dengan orang yang lebih muda, menghormati orang yang lebih tua, melapangkan tempat duduk dalam majlis, jangan mengintip rahsia, jangan mencerca dan mengutuk, minta izin waktu masuk dan keluar dan lainnya.

14.Saudara seharusnya cekap membaca dan menulis. Saudara hendaklah membanyakkan membaca dan meneliti risalah Ikhwan Muslimin, akhbar dan majalah lainnya .Hendaklah saudara menyediakan khutub-khutub khas untuk saudara sekalipun kecil. Saudara mestilah meluaskan ilmu dan mempertingkatkan pengkhususan saudara dalam satu-satu bidang. Saudara juga mestilah memahami masalah-masalah Islamiah secara umum dengan kefahaman dan membolehkan saudara menggambarkan permasalahan itu dan menentukan hukumnya sesuai dengan tuntutan fikrah kita.

15.Saudara mestilah melakukan kerja-kerja iktisad yang mendatangkan hasil kemasukan wang walau bagaimanapun kekayaan saudara. Mengutamakan kerja-kerja bebas sekalipun kecil pendapatannya, menaruh minat kepada pekerjaan itu walau setinggi mana kelulusan saudara.

16.Jangan mengutamakan jawatan kerajaan. Saudara mestilah menganggap jawatan kerajaan itu sebagai satu sumber rezeki yang sempit, tetapi saudara jangan menolaknya jika di beri peluang dan jangan saudara meletakkan jawatan itu kecuali ianya benar-benar bertentangan dengan kewajipan dakwah.

17.Saudara mestilah bersungguh-sungguh menunaikan tugas-tugas saudara dengan berusaha memperelok dan memperkemaskannya,menjaga masa dan jangan menipu

18.Saudara mestilah menerima hak saudara dengan baik, menyempurnakan hak orang lain dengan tidak kurang, tidak payah di minta dan jangan melambat-lambatkannya sama sekali.

19.Saudara mestilah menjauhi segala jenis perjudian walau bagaimanapun tujuan di sebaliknya,menjauhi punca-punca pencarian yang haram walau bagaimanapun besar dan cepatnya keuntungan dari punca-punca itu.

20.Saudara mestilah menjauhi riba dalam semua urusan dan membersihkan diri saudara dari riba.

21.Saudara mestilah memberi khidmat kepada kekayaan Islam secara umum dengan menggalakkan industri dan perbadanan-perbadanan ekonomi Islam. Saudara mestilah berhati-hati benar supaya satu sen pun wang saudara tidak jatuh ke tangan orang bukan Islam walau bagaimanapun keadaan saudara. Jangan saudara pakai dan makan kecuali barang pengeluaran negara Islam.

22.Saudara mestilah mempunyai wang dalam dakwah dengan memberikan sebahagian dari harga saudara. Saudara mestilah menunaikan zakat, jadikanlah zakat itu sebagai hak yang tertentu bagi mereka yang berhak walau bagaimanapun kecilnya pendapatan saudara.

23.Saudara mestilah menyimpan sebahagian dari pendapatan saudara untuk masa-masa kecemasan sekalipun sedikit dan jangan sekali-kali saudara berlebihan dalam perkara-perkara mewah.

24.Saudara mestilah bekerja sekadar yang upaya untuk menghidupkan adat istiadat dan kebudayaan Islam dan menghapuskan kebudayaan kuning dalam kehidupan saudara yang zahir. Sebahagian dari adat-adat itu ialah salam, bahasa, sejarah, pakaian, perabut, masa kerja dan rehat, makan minum, adat waktu datang ziarah dan permisi, adat waktu kegembiraan dan kedukaan dan lainnya. Saudara mestilah mengikut sunnah dalam semua hal ini.

25.Saudara mestilah memulaukan mahkamah-mahkamah tempatan dan semua mahkamah yang tidak bercorak Islam. Saudara mestilah memulaukan akhbar-akhbar, majalah, kelab-kelab, perhimpunan-perhimpunan sekolah-sekolah, dan pertubuhan-pertubuhan yang bertentangan dengan fikrah Islamiah.

26.Saudara mestilah sentiasa ingatkan Allah, hari akhirat dan bersedia untuk menghadapinya. Saudara mestilah mengikut jalan mencari keredhaan Allah dengan himmah dan azam yang tinggi. Saudara mestilah menghampirkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadat-ibadat yang sunat seperti sembahyang waktu malam, puasa paling kurang tiga hari sebulan, membanyakkan zikir dalam hati dan lisan. Saudara mestilah memilih doa-doa ma’athur, yang pernah dibuat oleh Rasulullah saw dalam semua keadaan.

27.Bila saudara bersuci, saudara mestilah menyempurnakan syarat rukunnya dan saudara mestilah sentiasa dalam keadaan berwuduk.

28.Saudara mestilah menyempurnakan syarat dan rukun sembahyang dan sentiasa menunaikannya dalam waktunya. Saudara mestilah mengutamakan sembahyang berjemaah sembahyang di masjid sedapat yang mungkin.

29.Saudara mestilah berpuasa dalam bulan Ramadhan, menunaikan haji jika upaya dan saudara mestilah melakukannya sekarang jika saudara berkuasa.

30.Saudara mestilah berniat untuk berjihad, ingin mati syahid dan membuat persediaan untuk tujuan tersebut sedaya yang boleh.

31.Saudara mestilah sentiasa memperbaharui taubat dan istighfar,menjauhi dosa-dosa kecil lebih-lebih lagi dosa-dosa besar. Saudara mestilah menentukan satu masa yang khas sebelum tidur untuk saudara menghisab segala buruk baik yang telah saudara lakukan. Saudara mestilah menjaga masa, kerana masa itulah hidup. Jangan saudara menggunakan sedikit pun masa saudara untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah. Saudara mestilah bersifat warak,menjauhi perkara-perkara syubahat supaya saudara tidak terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram.

32.Saudara mestilah menjauhi arak dan bahan-bahan yang memabukkan dan yang seumpamanya.

33.Saudara mestilah melawan nafsu saudara sekeras-kerasnya sehingga mudah bagi saudara mengendalikannya. Saudara mestilah menutup pandangan saudara dari melihat perkara yang mungkar, melawan perasaan, melawan dorongan naluri dalam diri saudara. Saudara mestilah mengangkat taraf saudara melalui naluri saudara dengan mengarahkannya kepada perkara-perkara baik dan halal. Saudara mestilah menjauhkan naluri saudara dari perkara-perkara haram,bila dan di mana sahaja.

34.Saudara mestilah memerangi tempat-tempat hiburan apa lagi mendekatinya. Saudara mestilah menjauhi perkara zahir yang menunjukkan kemewahan,boros dan bongkak.

35.Saudara mestilah menjauhkan diri dari mendampingi rakan-rakan yang jahat dan kawan-kawan yang rosak akhlaknya. Saudara mestilah menjauhi tempat-tempat maksiat dan dosa.

36.Saudara mestilah benar-benar mengenali anggota kumpulan saudara seorang demi seorang dan memperkenalkan diri saudara kepada mereka, demikian juga saudara hendaklah menunaikan hak-hak persaudaraan dengan sempurnanya dan dengan rasa kasih sayang, menghargai, tolong-menolong, mengutamakan orang lain dan saudara mestilah hadir dalam perhimpunan-perhimpunan mereka, jangan saudara ketinggalan kecuali dengan keuzuran yang tidak dapat dielakkan di samping saudara sentiasa mengutamakan mereka dalam pergaulan dan perhubungan saudara.

37.Saudara mestilah memutuskan hubungan saudara dengan mana-mana pertubuhan atau mana-mana perhimpunan yang tidak ada hubungan dengan maslahat fikrah saudara lebih-lebih lagi bila saudara diperintahkan berbuat demikian.

38.Saudara mestilah bekerja menyebarkan dakwah kita di mana-mana sahaja. Saudara hendaklah memberitahu pucuk pimpinan tentang keadaan dan hal-hal yang melingkungi saudara dan jangan saudara melakukan sesuatu amal yang akan memberi kesan dan menjejaskan perkara-perkara asasi pada pucuk pimpinan kecuali setelah mendapat izin. Saudara mestilah sentiasa melakukan hubungan roh dan amal dengan pucuk pimpinan. Saudara mestilah menganggap diri saudara sebagai seorang tentera dalam suasana tegang yang sentiasa menunggu perintah.

Wednesday, May 7, 2008

Takdir di Celahan Mimpi (Part 3)

Menghalang yang mungkar
Malam itu Faiz tidak dapat tidur lena. Di pusing ke kanan, tidak selesa. Ke kiri pun tidak juga. Matanya tidak mahu lelap. Teringat kata-kata orang tua yang ditemuinya petang semalam. Ia terngiang-ngiang..

“Pesanlah pada orang-orang kampungmu, jauhkan derhaka pada Tuhan.” Ungkapan terakhir itu meresahkannya.

Sepuluh Tahun Dahulu. 18 Zulkaedah 1417 Hijrah. Isnin.

“Woi..bodoh!..sini bukan tempat kaulah.” Jerit Busu. Kawan-kawannya terkekeh-kekeh ketawa. “Jangan nak tunjuk baik pulak! Datang sini menyusahkan orang. Woi, berambus!, aku tak nak dengar cakap mulut kau, pergi!” sahut Ramli. Kulit pisang di tangannya dibaling tepat ke muka Kasim. Dia berlalu. Hatinya sedih dengan perlakuan dan cercaan tadi.

Masuk ini sudah tiga kali dia diperlakukan sedemikian. Pak Kasim tetap tidak jemu menasihati kawan-kawannya berjudi. Baginya perbuatan mereka salah. Pasti akan mengundang murka Tuhan. Anak dan isteri ditinggalkan tidak makan di rumah. Kemuncaknya, sehingga sanggup mempertaruh anak dara bagi membayar hutang judi.

Suatu hari, kecoh orang kampung tatkala mendengar khabar tauke Seng yang kedainya hangus terbakar dijilat api. Kedai itulah yang menjadi pusat judi orang-orang kampung selama ini. Orang-orang kampung bertungkus-lumus memadamkan api.

“Aku pasti, ini kerja Kasim! Tak de orang lain dah..aku pasti!” Din, hero judi kampung, menahan marah yang membuak-buak.

“Betul...dialah yang selalu tak puas hati dengan kita.” Leman menambah api.

“Tunggulah kau...”

(bersambung..)

Tuesday, May 6, 2008

Tolong Ingat-ingatkan kita semua...


Assalamualaikum..

Tolong ingatkan aku
andai aku terlupakan Tuhan
dalam kelapangan dan kesibukan
dalam kesenangan dan kesusahan

tolong ingatkan aku
jangan jadi anak derhaka
mak ayah dilupakan jangan
usah diluka hati dan perasaan

tolong ingatkan aku
supaya ingat pesanan guru
bukan sekadar peringatan
tapi tarbiyah berpanjangan

tolong ingatkan aku
dengarlah dan bacalah al-quran
tika radio penuh hiburan
tika tv penuh hindustan

tolong ingatkan aku
di mana islamnya zahirku
jika aurat didedahkan
disingkat, diketat dan dijarangkan

tolong ingatkan aku
jadilah sahabat yang baik
sentiasa memberi peringatan
sentiasa menerima teguran

tolong ingatkan aku
kalau bercinta biar keranaNya
dalam memilih utamakan Iman
kelak ikatan dihindari syaitan

tolong ingatkan aku
hidup ini satu kembara
kutiplah mutiara dalam perjalanan
moga di sana menjadi bekalan

tolong ingatkan aku
diri ini milik Yang Kuasa
kepadaNya jiwa diserahkan
segala-galanya Dialah tumpuan
tolong ye ingatkan aku

tolong ingat-ingatkan kawan-kawanku
tolong ingat-ingatkan semua sekali..

terima kasih, wassalam.