Wednesday, May 21, 2008

Antara Gempa Bumi Sichuan dan Nakbah Palestin

peristiwa gempa bumi Sichuan yang meragut ribuan nyawa
adalah 'signal' dari Allah kepada kita

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Isnin lalu, dunia dikejutkan dengan peristiwa menyayat hati, iaitu gempa bumi dengan kekuatan 7.9 pada skala Ritcher yang berlaku di wilayah Sichuan, Jiangyou, China. Gempa bumi tersebut begitu mengorbankan hampir 50,000 nyawa manusia sekaligus menjadi antara peristiwa yang terburuk sejak 5 tahun kebelakangan ini. Hari demi hari usaha mencari mayat-mayat yang terkorban dijalankan. Seluruh rakyat China bertafakur mengenangkan sedikit daripada sejumlah ’peringatan’ Allah yang begitu agung itu.

Dua hari berikutnya, pada 15 Mei, umat Islam sedunia memperingati 60 tahun peristiwa Nakbah di Palestin. Peristiwa yang tidak mungkin dilupakan dari kamus memori umat Islam yang prihatin dan cintakan agamanya. Berbeda pula bagi zionis laknatullah, hari itu diraikan dengan penuh gembira. Apakah itu ’nakbah’?


Seperti yang diperkatakan, bagi seorang Muslim yang sensitif dan mengikuti isu Palestin sejak dahulu, pasti mengetahuinya. Nakbah bermaksud malapetaka, manakala istilah ’Nakbah Palestin’ membawa simbol penubuhan negara haram Israel di tanah air umat Islam Palestin yang berlaku secara rasmi pada tarikh 15 Mei 1948. bermula tarikh inilah detik-detik hitam buat penduduk asal Palestin. Negara suci yang dibuka khalifah Umar Al-Faruq suatu ketika dahulu, kini telah dikotorkan dengan jejak-jejak Yahudi.

Antara korban Nakbah dan Sichuan

tidak sama mangsa 'korban' Sichuan dengan 'korban' Nakbah

Tragedi Sichuan melalui gempa bumi begitu menyentuh hati. Beribu-ribu sanak-saudara hilang tempat bernaung. Ibu hilang anaknya. Suami kematian isterinya. Anak-anak menjadi ibarat anak ayam yang kematian ibunya. Hilang bergantung, hilang bernaung.

Tetapi tragedi Nakbah lagi menyayat jika dihayati. Tragdi ini hampir 6 dekad berlalu dan hingga kini masih berlaku. Sejak itu, sudah tidak terkira jumlahnya anak yang kehilangan ibu. Tidak tahu berapa ramainya penduduk yang kehilangan tempat berteduh. Dan berapa pula ibu-ibu atau wanita-wanita yang menjadi mangsa pembunuhan kejam tentera zionis laknatullah di bumi mereka sendiri.

Tragedi Sichuan memaksa seluruh dunia menghantar bantuan kemanusiaan berupa pakaian, makanan, khemah dan pelbagai lagi. Begitu juga bantuan perubatan bagi mangsa-mangsa yang cedera. Berbagai-bagai negara dan saluran serta NGO dan persatuan yang menyingsing tangan menjadi sukarelawan membantu.

Namun tragedi Nakbah tidak dipandang begitu. Nakbah mungkin bagi pandangan sisi adalah perbalahan yang berlaku dikalangan rakyat Palestin, bukan rakyat seluruh negara. Bagi sesetengah berpendapat tiada bersangkut-paut dengan kemanusiaan dan tidak jua perlu bantuan kemanusiaan disalurkan.

Disebalik Nakbah dan Sichuan

Bagi mereka-mereka yang berpegang dengan kata-kata junjungan besar kita s.a.w. yang menyatakan: ”Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mencintai saudara (seagamanya) lebih dia mencintai dirinya sendiri”, mereka ini sayu dengan penderitaan itu. Sebagaimana saudara seagamanya di Palestin diseksa dan dibunuh, maka dia turut merasainya walau di mana dia berada. Saudaranya di sana menangis, dia turut menangis di sini. Apa yang pasti, kezaliman dan kekejaman itu dicipta sendiri oleh musuh-musuh Islam yang iri hati kepada Islam.

selagi mana Palestin tidak dibebaskan, tanggungjawab kita masih belum tamat..


Maka, kita tidak boleh tidak perlu memandang dua peristiwa besar yang melanda dunia itu dengan pandangan yang sangat berbeza. Dengan simpati dan empati. Simpati pada mangsa-mangsa gempa bumi, manakala empati pada tragedi Nakbah di Palestin. Apa bezanya simpati dan empati? Simpati adalah kasihan dan sedih terhadap kedukaan yang berlaku. Tapi empati pula adalah sifat yang lebih dalam. Kasihan dan belas serta merasakan bahawa kita sendiri adalah termasuk orang yang menjadi mangsa peristiwa tersebut. Barulah melahirkan rasa tanggungjawab untuk berkorban bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan saudara kita yang ditimpa bencana itu.

Apa yang pasti, Nakbah akan terus-menerus berlaku dan tida titik penghujungnya, andai saudara seagamanya memandang sebelah mata peristiwa yang berlaku. Apalah salah dan ruginya andai negara-negara Islam sedunia menghantar bantuan makanan, tempat tinggal dan kebajikan sebagaimana yang diterima penduduk China, jika tidak pun mahu menghantar bantuan ketenteraan. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban saudara seagama yang ’ikatan’ aqidah itu melangkaui ikatan kekeluargaan. Paling kurang pun bagi kita yang tidak mampu ini, utuskanlah sekalung doa buat pejuang-pejuang ’kita’ di sana agar mereka tabah dan kuat untuk berjuang membebaskan tanah air ’kita’ itu.

Jangan biarkan tapak jejak Rasul mulia yang terhampar sewaktu peristiwa Isra’ Mikraj dahulu dihakis dengan dosa-dosa kuffar laknatullah..

No comments: