Friday, August 28, 2009

Isu Kartika : Menyempurnakan pembelasahan terhadap Undang-undang Islam

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

1. Isu Kartika Sari Dewi Shukarno masih lagi hangat diperkatakan. Dan ia akan terus diperdebatkan sehinggalah hukuman ke atasnya sempurna dilaksanakan.

2. Sejak dahulu lagi, keputusan Mahkamah Syariah di Malaysia atau urusan pentadbiran penyelesaian berkenaan hak orang Islam sering menjadi perhatian ramai pihak. Misalnya dalam isu tuntutan anak oleh keluarga bukan Islam dan sebagainya.

3. Dalam isu agama anak contohnya, kerajaan mengenepikan suara daripada mahkamah syariah yang menyebabkan keputusan tersebut diambil oleh kelompok yang kurang berautoriti. Hasilnya, keputusan yang dibuat tidak menguntungkan umat Islam.

4. Isu tangkapan Jeslina Hashim pada 13 Januari 2005 dahulu, begitu menyedihkan kerana JAWI langsung ditekan dalam pada tindakanannya yang menjunjung lunas-lunas syariah di Malaysia. Akhirnya, terpaksa tunduk dibawah tangan orang-orang besar politik. Ia mengulangi sejarah sewaktu tangkapan yang berlaku di 'The Ship'.

5. Lebih lagi, fenomena isu arak yang 'bergegar' di Selangor baru-baru ini juga, turut menyentakkan dengan campur tangan seorang exco Selangor, Ronnie Liu terhadap urusan penguatkuasaan undang-undang kepada orang Islam.

6. Seringkali keputusan-keputusan kritikal jatuh bangun umat Islam di Malaysia hari ini dibuat oleh orang yang langsung tidak berautoriti. Dan lebih menakutkan oleh golongan yang secara senyap ingin menjatuhkan Islam di sebalik pakaian 'hak dan kebebasan'. Di bawah slogan '1Malaysia', 'perpaduan', 'hak sama rata' dan pelbagai lagi, seperti memberi lesen supaya hukuman Islam yang termaktub boleh dikurangkan sesuka hati.

7. Sejak dipinda Perlembagaan Malaysia pada tahun 1965 dan 1984, mahkamah Syariah adalah satu-satunya sistem undang-undang yang menjalankan syariat Islam di Tanah Melayu setelah Mahkamah Persekutuan yang menjunjung Perlembagaan Lord Reid. Rentetan pemisahan Mahkamah Syariah daripada Mahkamah Persekutuan pada tahun 1948, lebih lagi memberikan autonomi kepada perundangan itu mengadili orang yang beragama Islam.

8. Apakah lagi benteng yang boleh menjadi pertahanan umat Islam setelah hukuman hudud ditolak mentah-mentah oleh kerajaan Malaysia hari ini? PAS? JAKIM? atau Jawatankuasa Mufti?

9. Persoalan ini perlu diterjah kepada kelompok yang benar-benar melaungkan Islam, namun dalam masa yang sama teruk membelasah mahkamah syariah dalam isu Kartika ini.

10. Mengapa PAS begitu rendah diri dengan hanya mengeluarkan kenyataan 'tidak perlu gopoh menjalankan sebat', seolah mempersalahkan lagi keputusan mahkamah Syariah. GAMIS pula tanpa segan menyifatkan mahkamah syariah sebagai kelam-kabut dalam isu ini.

11. Dalam pada ini, saya menyanjung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang mendesak supaya tidak ada campur tangan pihak lain terhadap isu ini. Setidak-tidaknya memberi sedikit nafas kepada mahkamah syariah untuk terus berdiri menegakkan undang-undang Islam itu.

12. Bagi saya, keadilan Islam itu sangat indah. Biarkan orang Islam diadili dengan undang-undangnya sendiri. Hanya orang yang bersalah sahaja yang takut untuk undang-undang itu dilaksanakan!

Thursday, August 20, 2009

IRIS 2009 : Memikirkan Kembali Nasib Mahasiswa Pengajian Islam

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

1. Islamic Religious Scienes Students Convention 2009 (IRIS 09) yang berlangsung pada 14 dan 15 Ogos di Universiti Islam Antarabangsa perlu diambil perhatian secara serius oleh para pemikir Islam dan mereka yang menuntut dalam pengajian Islam.

2. Cukup memeranjatkan saya, daripada statistik yang dibentangkan oleh Dato' Hamidon Abdul Hamid, dari ISTAC yang juga Pengarah Khas Rektor UIAM. Daripada hasil kajian posisi graduan pengajian Islam UIAM, hanya 49.6 % yang berjaya menempatkan diri mereka di dalam pekerjaan. Selebihnya 42.3 % lagi tidak bekerja dan 6% tidak diketahui posisi mereka.

3. Dalam kajian status pekerjaan graduan Ijazah Pertama yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2007 pula, hanya 38.5% sahaja yang bekerja, manakala bakinya dikenal pasti sebagai menyambung pelajaran, tidak bekerja dan sebagainya.

4. Dua aspek yang menjadi perhatian saya, adalah kerana kualiti ilmu yang dipelajari di universiti tidak sepadan dengan kerja di luar, ataupun 'market place' sendiri tidak menyediakan ruang kepada mahasiswa pengajian Islam.

5. Di UIA, pelajar pengajian Islamnya memiliki beberapa kualiti khusus, antaranya bahasa pengantar pengajian mereka adalah Bahasa Inggeris dan Arab, satu keperluan semasa yang membolehkan mereka diterima dalam pekerjaan nanti.

6. Seperti di UM pula misalnya, walaupun tidak begitu didedahkan dengan bahasa kontemporari itu, namun jabatan yang ditawarkan agak menepati kehendak pasaran kerja seperti kursus syariah ekonomi dan syariah undang-undang.

7. Pun begitu, mengapa masih ramai lagi graduan pengajian Islam yang berstatus menganggur? Mungkin takrifan bekerja itu perlu didefinisikan kembali. Bekerja dari sudut apa dan dimana mereka duduk.

8. Seperkara lagi yang menjadi problemika dan dilema mahasiswa pengajian Islam ini adalah kebolehan mereka untuk 'menebarkan' diri mereka di dalam masyarakat. Apabila menyentuh soal ini, kebolehan mereka dipertikaikan. Mereka gagal menyediakan pemikiran dan diri (soft skill) yang boleh membezakan mereka dengan graduan yang lain.

9. Saya menyebut dalam forum sempena konvensyen tersebut yang bertajuk 'Cabaran Masa Hadapan: Kelangsungan Pelajar Pengajian Islam dalam Masyarakat Moden'. Mahasiswa Pengajian Islam seharusnya memerlukan tajdid fikri (revolusi pemikiran) secara serius untuk menghadapi cabaran mendatang.

10. Antaranya ialah berkonsepkan liberal syariatik, pemikiran yang liberal dalam mendepani segala isu yang berlaku, namun dalam panduan syariat. Contohnya dalam menangani isu kalimah Allah dan bacaan Al-Quran oleh orang bukan Islam.

11. Keperluan diri adalah satu perkara, dalam aspek yang lain lagi, kerajaan juga harus memikirkan ke mana arah tuju mereka ini dan sumbangan mereka dalam masyarakat. Dalam perkara ini, saya menyokong usaha bekas Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi yang cuba membantu graduan pengajian Islam dengan mewujudkan J-QAF. Walaupun masih dilihat dalam lingkungan yang statik, namun ada usaha untuk membangunkan masyarakat melalui jasa dan sumbangan pelajar pengajian Islam.

12. Saya mencadangkan kepada kerajaan Malaysia, bahawa jika benar-benar mahu melihat masyarakat hari ini dipandu dengan Al-Quran dan Sunnah, lakukanlah islamisasi dalam kerajaan melalui medium seperti mana yang dilakukan bekas PM itu.

13. Malah, apa salahnya mewujudkan jawatan-jawatan baru dalam sektor kerajaan yang dikhususkan kepada pelajar pengajian Islam. Misalnya penasihat syariah, Kementerian Sukan atau di Kementerian Dalam Negeri dan di kementerian dan sektor lain.

14. Dengan itu, sedikit sebanyak mungkin dapat menyelesaikan masalah market place mereka, dan dalam masa yang sama sumbangan mereka juga dapat dicurahkan, dan bukan disia-siakan.

Thursday, August 13, 2009

Lagi Kebobrokan HEPA Menjelang Ramadhan

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

1. FESKUM berjalan lancar dengan mendapat pujian dari Pro-Canselor UM.

2. Walaupun banyak perkara dalaman yang teruk terutama yang datang dari pengurusan HEPA. Antaranya kontrak tender bunga yang penuh kesangsian perjanjiannya antara HEP dengan pemegang tender. Iaitu, pemegang tender diarah bayar kepada akaun HEP sebanyak RM53,000.

3. Apa autoriti HEPA dalam hal ini? Mengapa perlu dibayar kepada akau HEPA sedangkan yang lebih berhak adalah Bendahari UM atau legal standi dalam FESKUM, iaitu bendaharinya?

4. Kini, satu lagi kebobrokan HEPA berlaku. Saya dimaklumkan pengarah program bahawa program Penghayatan Ramadhan MPMUM yang akan disambut hujung bulan ini masih lagi belum diluluskan KKDnya. Sedangkan ia dihantar pada 17 Julai yang lalu, hampir sebulan lamanya.

5. Apakah susahnya untuk meluluskan program keagamaan seumpama ini? Setahu saya, tiada sedikitpun unsur melanggar peraturan universiti dan disiplin universiti dalam rancangan program tersebut.

6. Apakah HEPA sudah mula untuk menyekat program-program agama sebagaimana yang dilakukan sejak berzaman kepada persatuan PMIUM?

7. Atau HEPA mula menunjukkan taringnya, ingin memulakan permusuhan dengan kelompok yang ingin membawa kefahaman-kefahaman Islam?

8. Atau mungkin juga HEPA tidak mahu mahasiswa didedahkan dengan kefahaman Islam, dan pendidikan kerohanian atau dengan bahasa mudahnya 'HEP tidak mahu mahasiswanya menjadi individu berpekerti mulia'?

Tahniah Buat Aktivis Mahasiswa : Selamat Bergraduasi!



TAHNIAH!
We Unite For UM
Student Power!

Monday, August 10, 2009

Replika Najib : Silakan Mufti Berfatwa


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

1. Petang 9 Ogos, Dato' Seri Najib ke Batu Caves, bagi meraikan satu program bersama masyarakat India.

2. Beliau disambut oleh pemimpin masyarakat dan rakyat tempatan disusuli dengan persembahan 1Malaysia.

3. Apa yang menarik adalah satu replika yang begitu unik susuk tubuh DS Najib. Ia sebagaimana replika DS Anwar di Batu Caves sewaktu kunjungannya ke sana setahun lalu.

4. Selepas ini pasti banyak cakap-cakap dan respon akan timbul. Saya tidak kisah. Apa yang paling saya tunggu adalah fatwa daripada mufti. Itu sahaja. Tunggu dan dengar..

Sunday, August 9, 2009

FESKUM : Menifestasi Keadilan Kerajaan MPMUM Pro-M


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

1. Alhamdulillah, FESKUM berjaya dirasmikan Khamis lalu. Acara gilang-gemilang ini mendapat sambutan dan penyertaan daripada pelbagai pihak dalam dan luar.

2. Paling membanggakan, Yang Mulia, Tuanku Raja Dr Nazrin memuji penganjuran FESKUM kali ini dan menganggap ia adalah terbaik sepanjang beliau mengikuti FESKUM sebelumnya. Saya dikhabarkan bahawa Tuanku berkenan berbual bersama-sama pengarah FESKUM, saudara Syazwan ketika santapan. Ini suatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

3. Saya jua turut tidak terlepas ingin mengucapkan tahniah kepada Syazwan dan barisan anak-anak buahnya yang begitu bertungkus-lumus semenjak tiga bulan dahulu.

4. Sepanjang pengendalian FESKUM, beberapa transformasi yang begitu luar biasa dilakukan Syazwan. Salah satunya memperbanyakkan program intelek iaitu Forum Rejunevasi Minda dan Wacana Perdana yang membawakan tokoh-tokoh akademik tanah air.

5. Pembukaan tender gerai bunga kali ini dilakukan secara tender terbuka, yang membolehkan siapa sahaja peniaga barangan tersebut menawarkan harga tertinggi untuk menjadi pembekal kepada festival konvo nanti.

6. Pembabitan penggerai yang bermutu dan berkualiti sahaja dipilih mengisi festival jualan. Kadar penyewaan gerai dipastikan berpatutan dan sesuai dengan kemudahan air dan letrik yang dibekalkan melalui kontraktor yang berautoriti.

7. Festival kebudayaan yang dilangsungkan juga, membawa seluruh mahasiswa berbagai latar belakang bangsa dan agama menyertainya dengan disiplin intelektual dan nilai-nilai murni. Konsert yang membawa elemen hedonisme keterlaluan ditangguhkan pada sesi ini bagi memberi laluan program bercorak ilmiah.

8. Kawalan keselamatan dan disiplin penggerai serta pengunjung melalui pantauan etika pemakaian, muzik dan gerak kerja sentiasa berlaku sepanjang festival.

9. Justeru itu, tidak hairanlah festival yang berlaku saban tahun yang mencecah puluhan kali diadakan ini mendapat pujian peribadi daripada individu nombor satu Universiti Malaya.

10. Ia bukanlah kejayaan penggerak Feskum semata-mata, bahkan seluruh pentadbiran UM dan sokongan mahasiswa seluruhnya. Ia adalah sebuah menifestasi dan terjemahan keadilan dan perubahan yang dilaungkan oleh kerajaan MPMUM Pro-M selama ini.