Sunday, August 9, 2009

FESKUM : Menifestasi Keadilan Kerajaan MPMUM Pro-M


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

1. Alhamdulillah, FESKUM berjaya dirasmikan Khamis lalu. Acara gilang-gemilang ini mendapat sambutan dan penyertaan daripada pelbagai pihak dalam dan luar.

2. Paling membanggakan, Yang Mulia, Tuanku Raja Dr Nazrin memuji penganjuran FESKUM kali ini dan menganggap ia adalah terbaik sepanjang beliau mengikuti FESKUM sebelumnya. Saya dikhabarkan bahawa Tuanku berkenan berbual bersama-sama pengarah FESKUM, saudara Syazwan ketika santapan. Ini suatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

3. Saya jua turut tidak terlepas ingin mengucapkan tahniah kepada Syazwan dan barisan anak-anak buahnya yang begitu bertungkus-lumus semenjak tiga bulan dahulu.

4. Sepanjang pengendalian FESKUM, beberapa transformasi yang begitu luar biasa dilakukan Syazwan. Salah satunya memperbanyakkan program intelek iaitu Forum Rejunevasi Minda dan Wacana Perdana yang membawakan tokoh-tokoh akademik tanah air.

5. Pembukaan tender gerai bunga kali ini dilakukan secara tender terbuka, yang membolehkan siapa sahaja peniaga barangan tersebut menawarkan harga tertinggi untuk menjadi pembekal kepada festival konvo nanti.

6. Pembabitan penggerai yang bermutu dan berkualiti sahaja dipilih mengisi festival jualan. Kadar penyewaan gerai dipastikan berpatutan dan sesuai dengan kemudahan air dan letrik yang dibekalkan melalui kontraktor yang berautoriti.

7. Festival kebudayaan yang dilangsungkan juga, membawa seluruh mahasiswa berbagai latar belakang bangsa dan agama menyertainya dengan disiplin intelektual dan nilai-nilai murni. Konsert yang membawa elemen hedonisme keterlaluan ditangguhkan pada sesi ini bagi memberi laluan program bercorak ilmiah.

8. Kawalan keselamatan dan disiplin penggerai serta pengunjung melalui pantauan etika pemakaian, muzik dan gerak kerja sentiasa berlaku sepanjang festival.

9. Justeru itu, tidak hairanlah festival yang berlaku saban tahun yang mencecah puluhan kali diadakan ini mendapat pujian peribadi daripada individu nombor satu Universiti Malaya.

10. Ia bukanlah kejayaan penggerak Feskum semata-mata, bahkan seluruh pentadbiran UM dan sokongan mahasiswa seluruhnya. Ia adalah sebuah menifestasi dan terjemahan keadilan dan perubahan yang dilaungkan oleh kerajaan MPMUM Pro-M selama ini.

No comments: