Wednesday, February 13, 2008

Hadiah Untuk Anak, Suami Isteri dan Ibu Ayah

Assalamualaikum.

Program MOTIVASI 2 in 1 "Anak Bestari Keluarga Harmoni"

Tarikh : 17 Februari 2008
Masa : 8.00 pagi hingga 2.00 petang
Tempat : Institut Profesional Baitul Mal, Kg Pandan Kuala Lumpur
Sasaran : Pelajar (Darjah 5 hingga Tingkatan 5) serta ibu bapa dan orang awam (Program libatkan anak dan ibu bapa)

Antara Pengisiannya:

Slot Pelajar/Anak:
oleh Saudara Ikhwan Afandi Zulkifli (ADNIN Management&Training Centre)
Tajuk : "Aku Pelajar Cemerlang"
dan Saudara Fadzli Yusof (iLead research & Training)
Tajuk : "Smart Learning"

Slot Ibu Bapa:
oleh Cik Nadiah Bt Md Soonan (Hijrah Wealth Management)
Tajuk : "Bijak Kewangan Rumahtangga Ceria"

dan Ustaz Wan Akashah Bin wan Abdul Hamid (Panel Dakwah dan Perunding Motivasi)
Tajuk : "Mahligai Bahagia Membawa Ke Syurga"

Santapan dan Fail disediakan,
Diskaun 15% kepada yang mendaftar lebih daripada dua adik-beradik.
Daftar segera, tempat terhad! (tarikh tutup : 15 Februari 2008)
Sebarang pertanyaan boleh hubungi:
Dewi: 019-6901016
Norsham: 014-8492029
Syimah: 019-2109464

Tuesday, February 12, 2008

INPUT - PROSES - OUTPUT


Baru-baru ini saya berkesempatan mengikuti program motivasi yang dikendalikan oleh Ustaz Hasrizal (saifulislam.com). Siapa tidak kenal dengan beliau, seorang blogger yang komited dengan dakwah melalui idea-ideanya yang begitu fresh.


Pengisian hari itu berkisar mengenai matlamat ibadah dalam kehidupan kita. Apabila menyentuh soal ibadah, beliau mengatakan terdapat 3 basic utama dalam setiap gerak laku kita yang dinamakan ibadah. Apakah basic itu?


INPUT - PROSES - OUTPUT


INPUT adalah bahan-bahan atau item asas atau syarat dalam mencapat kesempurnaan ibadah itu. PROSES adalah bagaimana kita menggabungkan INPUT tadi supaya ia mencapai hasil yang dikehendaki, manakala OUTPUT pula adalah hasilnya atau natijah.


Sebagai contoh mudah saya analogikan bagaimana kita mahu menyediakan makanan, misalnya laksa. INPUT yang diperlukan adalah bahan laksa itu seperti bawang, timun, ikan dan sebagainya. Manakala proses adalah bagaimana dengan gabungan bahan-bahan tadi untuk mencapai hasil laksa tadi. Dan akhirnya OUTPUT adalah hasil daripada dua kaedah tadi adalah satu menu 'Laksa yang sedap dan berkhasiat'


Begitu juga dengan solat. sudah pasti INPUTnya adalah rukun dan syarat wajib. Seterusnya PROSES adalah perlaksanaan solat itu dari segi khusyuk dan pergerakannya. Manakala OUTPUT yang terjadi adalah 'akhlak mulia'


Justeru, relatekanlah dengan apa jua ibadah yang kita lakukan. Belajar, sukan dan sebagainya.


Yang saya perhatikan di sini adalah, ramai orang yang hanya menumpukan kepada soal OUTPUT sahaja. Misalnya mahu berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan. Tetapi tidak mencapai matlamat tersebut. Kenapa? kerana tidak melihat pada INPUT atau prosesnya. Bagaimana mahu hasil yang cemerlang andai PROSES yang sepatutnya sempurna, diabaikan?


Oleh hal demikian, nak tahu berjayanya matlamat dan hasil OUTPUT yang baik, kena lah menilai sejauh mana PROSES yang kita laksanakan. Barulah jelas dan faham, apa tujuan sebenar kita laksanakan tugasan tersebut.


Yang pastinya, niat mestilah ikhlas kerana ALLAH s.w.t.


(slot ini dibentang dihadapan ahli ketika Majlis Berbuka Puasa REAL pada 11 Feb 2008)

Sunday, February 10, 2008

Nak buat maksiat? 5 je syaratnya..


" Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu m asih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak."

Thursday, February 7, 2008

Ingat-ingatlah...!


Sejak kebelakangan ini, saya agak kurang menjenguk blog saya. Hanya beberapa ketika berkesempatan, mengintai-intai shoutbox saya kalau-kalau ada beberapa komen yang perlu berjawab. Minggu ini agak sibuk kerana menguruskan beberapa perkara dan kena dengan cuti pertengahan semester universiti.

Melihat-lihat situasi yang berlaku kini dan memalingkan muka sehari dua kebelakang, banyak perkara besar berlaku. Dimulakan dengan pemergian allahyarham bekas mufti Selangor yang banyak berjasa, Ustaz Ishak Baharom, penuh dengan pengertian yang cukup mendalam buat kita renungi. Beliau, seorang yang sangat berprinsip dalam menegakkan hukum-hakam Allah s.w.t. Satu sikap yang tiada pada mufti-mufti lain. Saya masih ingat, tatkala beliau dengan tegas menyatakan bahawa haram bagi anak-anak gadis melayu beragama Islam untuk menyertai pertandingan Ratu Cantik. Bagi saya, keputusan beliau sangat tepat dan benar, walau tidak disenangi oleh golongan-golongan tertentu (semestinya golongan yang menolak hukum Allah)

Rentetan pemergian allahyarham, ia adalah suatu petanda dan peringatan yang sangat penting bagi seluruh ummat Islam di Malaysia khususnya, jika mereka menyedari. Sudah tiba masanya, ilmu agama kembali ke pangkuan Allah s.w.t, pencipta-Nya. Sudah tiba saatnya, dunia sampai kepada umur tuanya. Terangkatnya ilmu bererti saat musnahnya dunia yang fana ini makin hampir. Sedangkan Rasulullah pada zamannya sendiri menyatakan: ”Aku diutuskan dengan Hari Qiyamat seperti dua jari ini”. Rasulullah mengisyaratkan dua belah jarinya. Bermaksud begitu hampirnya Qiyamat pada zaman tersebut. Apatah lagi di zaman kita ini.

Yang pasti, manusia tetap manusia. Bagi yang beringat akan kedatangan itu, mereka pasti sudah bersedia. Bagi yang merenung barang sejenak akan tragedi-tragedi kemusnahan seperti Tsunami, ribut, banjir dan sebagainya, mereka sedar, itu buah petanda dari Maha Pencipta, sebagai warning atau tiupan wisel separuh masa pertama kedatangan Qiyamat. Itu bagi yang berfikir. Namun, bagi yang leka, akan terus leka. Bagi mereka, tidak lebih hanya sebuah fenomena alam yang terjadi hasil putaran semulajadi bumi. Mereka terus-terusan hanyut dengan lautan keseronokan dan keindahan dunia. Bagi mereka pintu taubat masih terbuka luas.

Ini adalah sekelumit bicara peringatan dan ketukan hati buat seluruh insan. Yang belum sedar, kembalilah. Yang sudah tersedar, teruskan amalmu. Kita tidak lama. Benar, tidak lama. Tidak sempat bertemu Qiyamat pun, kematian pasti menjengah. Yang pasti, jika bukan hari ini, mungkin esok. Jika tidak esok, mungkin malam ini. Atau mungkinkah, saat ini kata-kata terakhir kita...?

Hanya Allah Maha Mengetahui.

Friday, February 1, 2008

Menyelak zaman.


Membaca novel ini (Ranjau Sepanjang Jalan) , membawa saya kepada liku-liku sebuah keluarga petani yang susah dan jerih dalam kehidupannya. Dapat menyelami perasaan dan jiwa mereka.

Antara sinopsisnya:
Hidup sebagai anak tani, Lahuma sekeluarga terpaksa berhempas-pulas bekerja di tengah bendang dengan melawan segala bencana yang merosakkan tanaman padi mereka. Di samping melalui pengalaman dan cabaran sebagai petani.

Mampukah anda merasai penderitaan yang ditanggung oleh keluarga tani ini? Apakah perjuangan-perjuangan yang pernah dilalui oleh mereka.

Ikuti sorotannya dalam novel nostalgia penuh kenangan ini adalah hasil tangan sasterawan negara Shahnon Ahmad. 352 halaman dan berharga RM 14.00. Keluaran alaf21. Dapatkannya dan selamat membaca.