Wednesday, September 16, 2009

E-Voting Tidak “Reliable” – Pensyarah Kejuruteraan Perisian

15 SEPTEMBER 2009 – Seorang pensyarah Jabatan Kejuruteraan Perisian Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) Universiti Malaya menyatakan tidak setuju beliau terhadap undi elektronik atau lebih popular lagi digelar e-voting ketika ditemui.

Beliau Dr. Chiew Thiam Kian yang diminta mengulas berkata, election yang berbentuk besar adalah tidak wajar dilengkapi dengan sistem e-voting. Ketika diusulkan berkenaan pilihanraya kampus, beliau menyatakan itu merupakan election yang besar.

E-voting tidak akan lari daripada sebarang masalah dan setakat ini saya masih belum menjumpai e-voting yang reliable- Thiam Kian

Dr. Chiew Thiam Kian yang amat dikenali di kalangan mahasiswa Jabatan Kejuruteraan Perisian FSKTM diakui kearifan beliau dalam selok-belok memprogram perisian.

Ketika diminta mengulas kemungkinan berlaku ketidakadilan dalam sistem e-voting beliau berkata, dalam memprogram perisian juga boleh berlaku penipuan atau salah kuasa programmer. Memprogram sesuatu perisian atau sistem di sebalik tabir tanpa pengawasan berkemungkinan sesuatu sistem boleh dimanipulasi oleh sesuatu pihak.

Beliau mengulas lanjut, walaupun pada dasarnya pengawasan dibuat ketika sistem dibangunkan oleh programmer, pelbagai lagi masalah-masalah sampingan yang bakal dihadapi dan tidak akan pernah mempunyai penyelesaiannya.

Saranan beliau sebelum mengakhiri sesi pertemuan, pilihanraya kampus yang dimaklumkan bakal berlangsung tidak lama lagi seharusnya mengekalkan undi secara manual.

Sumber: http://mpmum.org

Monday, September 7, 2009

Sedikit Coretan Ramadhan

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Marwan yang semangat

Hari Ahad, berkesempatan bersama-sama rakan-rakan OKU (Orang Kurang Upaya) di Kolej Kediaman ke-7 dalam satu program usrah. Berkenalan dengan Marwan, abang Hidayat, Ubaidullah Kelantan, abang Sam, abang Arif dan Rizal selaku ketua PERMIUM, cukup menginspirasikan.

Marwan cukup senang meluahkan pengalamannya. Dia cacat penglihatan kerana jangkitan penyakit sedari kecil. Katanya, dahulu dia punyai ramai kawan, tetapi kini sudah berkurang, kerana ramai tak nak bersahabat dengannya, dia tidak boleh nampak.

Tapi, Marwan punya cita-cita besar, dia nak jadi guru kepada orang-orang cacat satu hari nanti.

Abang Dayat juga begitu. 2 tahun dahulu, dia seperti kawan-kawannya yang lain, boleh berlari, boleh ketawa riang. Namun, selepas peristiwa kemalangan, pergerakannya terbatas sedikit. Kena berkerusi roda ke sana ke sini.

Saya pesan pada mereka, dahulu Abdullah Bin Abi Maktum juga cacat penglihatan. Minta kepada Rasulullah untuk berperang, tetapi Nabi tidak izinkan. Tetapi Abdullah dengan semangat memberitahu, andai aku keluar berperang, akulah orang yang paling berani, kerana aku boleh memancung sesiapa sahaja kerana aku tidak nampak siapa di hadapan aku. Lalu, Rasulullah benarkan dia.

Walid yang cepat belajar

Walid sewaktu saya kenalinya di kolej kediaman ke-8 dahulu, sangat pemalu orangnya. Dia berasal dari Yaman dalam fakulti kejuruteraan. Susah bertutur dalam bahasa lain selain bahasa arab sahaja.

Tahun kedua, dia beritahu, dia telah berpindah ke kolej kesebelas, katanya di sana ramai kawan yang sama negara dengannya. Saya setuju, ketika dia bertanya dahulu untuk ke sana, biarlah dia lebih bergaul dengan kawan senegaranya.

Walid memang cepat belajar, dahulu dia selalu bawa buku tulis 80 mukasurat. Saya tanya untuk apa? Dia jawab, nak salin perkataan-perkataan baru dalam bahasa Malaysia. Saya senyum dan tepuk bahunya. Hari kesepuluh Ramadhan, saya terserempak dengannya ketika tarawih, dia menegur saya. Dia sudah menjadi ketua bagi pelajar antarabangsa di situ.

Marwan dan Walid. Kedua-dua miliki semangat yang sama. Walau kudrat dan hidup berbeza.

Bulan Ramadhan menginsafkan. Kadangkala Allah bagi kesedaran bukan pada puasa, tapi pada kehidupan dan sekeliling. Saya berterima kasih pada Ramadhan, pada Allah..

Friday, September 4, 2009

Sedih dihalang Tazkirah Bulan Ramadhan

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

1. Sambutan Ramadhan kali ini sangat bermakna kepada seluruh umat Islam. Bulan memberikan peluang kepada kita mengumpul sebanyak mungkin pahala dan kebaikan. Bulan menyemai ikatan perpaduan dan merungkaikan hawa nafsu.

2. Sambutan Ihya' Ramadhan di kolej-kolej kediaman kampus UM kali ini sungguh meriah. Ini kerana kebetulan jatuh pada bulan kemerdekaan. Ini juga bermakna, bulan Ramadhan 'bulan merdeka jiwa dan pemikiran'

3. Namun, masih ada lagi golongan yang belum bersedia memerdekakan jiwa dan akal mereka, walaupun Malaysia sudah 52 tahun bebas dari penjajahan.

4. Tiga hari lepas, saya mendapat jemputan untuk berkuliah sempena bulan Ramadhan di Kolej Kediaman Ungku Aziz. Selaku pimpinan MPMUM, itu menjadi rutin bagi saya menunaikan jemputan tersebut. Tugas memberi kefahaman Islam kepada mahasiswa sebagai amanah yang paling besar untuk dilaksanakan.

5. Saya terkejut apabila mendapat sms daripada jawatankuasan program, semalam yang menyatakan kuliah saya dibatalkan atas alasan saya adalah ahli PRO-MAHASISWA.

6. Saya berfikir, di zaman kini, masih ada lagi golongan seumpama ini yang begitu tidak profesional. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia.

7. Selama hampir tiga tahun saya menyampaikan kuliah dan pengisian di kolej-kolej kediaman seluruh kampus, inilah kali pertama saya bertemu dengan kelompok sebegini. Saya cabar supaya membuktikan seandainya sepanjang kuliah saya, selama ini saya ada menyampaikan 'ajaran sesat' atau menyelewengkan aqidah mahasiswa-mahasiswa lain.

8. Jika tidak, saya harap kelompok seumpama ini agar sedar dan menjadikan bulan Ramadhan yang berbaki ini sebagai permulaan kesedaran mereka.