Monday, July 28, 2008

Pindaan AUKU : Peluang Mahasiswa atau Udang Sebalik Batu?

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Saleh

Mahasiswa seluruh negara menyambut baik pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) oleh kabinet beberapa hari yang lepas. Melalui Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, semalam mengisytiharkan bahawa pindaan tersebut telah dilaksanakan.

Pindaan tersebut antara lainnya akan membenarkan ahli-ahli politik untuk masuk ke universiti tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, dengan tujuan untuk memberikan ceramah, aktiviti atau pengisian yang berbentuk ilmiah dan bertepatan dengan bidang akademik mahasiswa. Situasi ini jika diamati seakan mengembalikan integriti universiti sebagai medan percambahan idea-idea dan mengetahui maklumat-maklumat berharga dari ahli akademik dan pemimpin-pemimpin negara.


Cuba bayangkan seandainya satu forum atau debat berlangsung yang membariskan ahli panel seperti Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Bin Hj Ahmad Badawi mewakili kerajaan Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Dato’ Seri Abdul Hadi Bin Hj Awang, selaku Presiden PAS dan beberapa wakil dari NGO lain. Mereka ini berbahas dan membincangkan isu-isu nasional seperti ekonomi, sosial dan martabat bangsa. Seandainya ia berlaku, maka tidak hairan slogan ‘Mahasiswa Menggugat’ yang pernah dikumandangkan suatu ketika dahulu bakal kembali menerjah arena politik mahasiswa.

Kerajaan kini, kelihatan sudah menampakkan sikap keterbukaannya terhadap mahasiswa. AUKU jika disorot kembali, ia adalah akta yang digubal disebabkan kesan tragedi 13 Mei 1969. Melihat kepada ketidak seimbangan kaum serta ‘kuasa’ mahasiswa yang begitu hebat menggagaskan idea anti-Tunku (ketika itu) yang mana mahasiswa terlibat secara langsung dan aktif berkempen dalam pilihan raya umum.

Tetapi, perlu diingat wahai sekelian mahasiswa, terdapat satu fasa di dalam AUKU yang mana lebih kurang bunyinya: ‘Setiap aktiviti itu hendaklah melalui budi bicara Naib Canselor universiti terlebih dahulu’ Maknanya bukan mudah-mudah nak membawa masuk ahli-ahli politik ke dalam universiti.

Selepas ini, mahasiswa perlu lebih agresif mengambil peluang ini. Gunakan kesempatan ini sebaik mungkin dengan terlibat secara aktif. Pedulikan akta-akta lain yang mengganggu, gunakan akta baru yang digubal ini walaupun ia nampak seakan ‘melembabkan’ mahasiswa.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad pernah berkata:

“Mahasiswa perlu lebih agresif di dalam akta, kerana kejayaan mahasiswa terdahulu adalah kerana berani mereka menempuh akta..”

Thursday, July 24, 2008

Dulu RM 2.70, sekarang RM 2.90?

DALAM usaha melahirkan generasi bebas toksin dan meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menguatkuasakan penggunaan bekas makanan 'Eco-Pack' dan 'Sistem Lupus Sendiri' di semua kafeteria dan medan selera di kampus terbabit mulai Ogos depan. Timbalan Rektor UIAM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),
Hamidon Abdul Hamid, berkata pada peringkat awal ia akan diperkenalkan kepada beberapa kafeteria dan medan selera, sebelum dilaksanakan menyeluruh. Apa yang pasti, bebanan pelajar akan bertambah selepas kerajaan menaikkan harga minyak dari RM 1.92 kepada RM 2.70.
Antara lainnya , Hamidon berkata: "Semua pengusaha kantin diminta tidak menggunakan bekas polisterina dalam kegiatan penjualan makanan dan sebagai alternatifnya, pelanggan diminta makan di kafeteria menggunakan bekas 'Eco-Pack' dengan harga tambahan sebanyak 20 sen atau membawa bekas makanan sendiri.
"Saya yakin tambahan 20 sen tidak menjadi beban dan jika warga kampus membawa bekas makanan sendiri adalah lebih baik dan menjimatkan," katanya selepas melancarkan program penggunaan Eko-Pack dan Sistem Lupus Sendiri di UIAM, baru-baru ini.
Sudahlah pelajar dibebankan dengan kenaikan harga minyak, kini keperitan itu ditambah lagi setiap kali mahu menjamah makanan. Maknanya, pelajar seakan ditambah bebanan minyak dan keperluan untuk makan menjadi RM2.90. Untuk pengetahuan, UIAM adalah universiti ketiga selepas Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil langkah memperkenalkan bekas makanan mesra alam itu di kampus masing-masing. Insya Allah Universiti Malaya (UM) pasti akan menyusul selepas ini.
Ketua Jabatan Kemudahan, Pemakanan dan Perkhidmatan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UIAM, Noriah Ismail, berkata bekas Eco-pack yang diperbuat daripada fiber tandan kelapa sawit itu lebih selamat kerana polisterina putih yang digunakan selama ini mengandungi banyak bahan kimia berbahaya yang boleh menyebabkan kanser.
Tapi perlu diingatkan disebalik pengenalan pembaharuan-pembaharuan yang nampak seperti ‘memudahkan’, tetapi masih tidak pasti keberkesanannya. Atau apakah ada yang mendapat ‘untung’ daripada kemudahan ini?

Sunday, July 20, 2008

Beberapa ‘Kata Dua’ Terhadap Sistem Pendidikan di Malaysia


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh*

Sistem pendidikan tercerna melalui pengalaman, pemerhatian dan pengamatan yang mendalam terhadap produk pelajar yang dihasilkan. Kita sangat beruntung kerana, negara Malaysia mengfokuskan pendidikan sebagai satu-satunya keperluan utama untuk ‘berdiri’ di dalam masyarakat. Dalam misi kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9), iaitu ‘Meningkatkan Keupayaan Pengetahuan dan Inovasi Negara serta Memupuk Minda Kelas Pertama’, dalam fasa 2008 hingga 2010, kita melihat usaha komited kerajaan Malaysia membangunkan pendidikan kepada masyarakat wajar dihargai.

Misalnya, kerajaan mensasarkan misi ‘Mewujudkan Institusi Pendidikan Tertiari Bertaraf Antarabangsa’ dengan matlamat untuk mencapai 60% daripada jumlah staf akademik di universiti awam berkelayakan ijazah doktor falsafah (Ph.D) menjelang tahun 2010. Maka hasilnya, melalui laporan Kajian Separuh Penggal RMK-9, staf akademik yang mempunyai kelayakan Ph.D, meningkat daripada 26.6% pada tahun 2005 kepada 31.6% pada tahun 2007 dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebanyak 64%, Universiti Malaya (UM) 51%, dan Universiti Sains Malaysia (USM) pula meningkat 50% pada tahun 2007.

Desakan Terhadap Pendidikan
Keperluan pendidikan ini adalah hasil desakan daripada keperluan guna tenaga negara. Dalam kajian semula, semua sektor ekonomi telah mewujudkan tambahan guna tenaga dengan sektor perkhidmatan mencatat kadar pertumbuhan purata guna tenaga tertinggi, iaitu 30.0% setahun. Jumlah guna tenaga dalam sektor perkhidmatan meningkat daripada 5.56 juta pada tahun 2005 kepada 5.89 juta pada tahun 2007 lantas mewujudkan 505,100 peluang pekerjaan. Daripada jumlah ini, 46.7% adalah berpengetahuan yang terdiri daripada pengurus, profesional dan juruteknik.

Banyak lagi sebenarnya rancangan pendidikan jika diperhalusi. Antaranya Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang mana hampir RM 2.6 billion diperuntukkan melalui program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar baru-baru ini.

Review Semula Sistem Pendidikan
Namun, apa yang pasti dan realiti, pembangunan ‘Modal Insan’ yang digagaskan Perdana Menteri masih belum mencapai matlamatnya. Penumpuan tenaga sektor ekonomi semata-mata, bakal melahirkan sistem pendidikan statik dan membantutkan perkembangan budaya berfikir masyarakat. Saya mencadangkan agar kerajaan perlu membuat review semula sistem pendidikan negara, setelah menempuhi 51 tahun kemerdekaan, agar menyamai sistem pendidikan dan pendekatan di negara-negara maju. Kerana di sana telah memberi banyak ruang untuk berlakunya fleksibiliti bagi membangunkan potensi modal insan sejak usia awal.

Negara maju tidak sekadar berjaya melahirkan cerdik pandai dan cendekiawan agung, bahkan di negara-negara maju jugalah lahirnya majoriti jaguh-jaguh agung di bidang sukan, seni, sastera, lakonan, teater, pereka fesyen, dan bermacam-macam bidang lagi. Ini kerana, masyarakat di negara maju mentafsir dan memahami secara lebih mendalam falsafah yang tersirat di sebalik khazanah alam yang tersurat. Lalu menerima realiti kepelbagaian insan, memberikan segala dorongan, dan membina prasarana untuk tunas-tunas muda berbakat itu dapat berkembang.

Situasi Kini
Situasi yang berlaku kini adalah sebaliknya. Banyak perkembangan baik dan meyakini disekat dan dihalang dengan alasan akan menggugat beberapa pihak yang berkepentingan. Fenomena melawan arus, tidak bersyukur dengan pemberian dan pembangkang dimomok-momokkan. Saya juga melihat, ini sebagai salah satu usaha membantutkan sistem pendidikan negara yang maju, kerana tidak memberi ruang setiap individu bangkit dengan bidangnya. Sebagai contoh mudahnya peraturan sesetengah AUKU yang menyekat mahasiswa bersuara dan berorganisasi.

Menyentuh titah Raja Dr. Nazrin, “Setiap anak didik perlu diiktiraf kebolehan dan keupayaan mereka kerana setiap mereka ada peranannya dalam masyarakat dan dalam negara”. Maka apa lagi yang boleh dipersoalkan?

Mungkin selepas ini kerajaan perlu membuat satu kuota pengambilan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), satu jawatan dengan gaji standard pegawai kanan, iaitu jawatan ‘Mahasiswa’!.
*Penulis adalah mahasiswa tahun ke-2 Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Penulis juga adalah ahli Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Beliau boleh dihubungi melalui aisal_daruliman@yahoo.com dan http://generasiwahyu.blogspot.com/

Monday, July 14, 2008

Mahasiswa Berkongsi Duka Bersama Masyarakat

Suasana kebakaran di Jalan Pantai Baru
oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Bertarikh 12 Julai 2008 iaitu bersamaan hari Sabtu, satu kejadian yang tidak diingini berlaku kepada penduduk kampung setinggan Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Kebakaran besar telah berlaku yang meranapkan hampir 28 buah rumah setinggan yang didiami 13 keluarga. Dimaklumkan bahawa, pihak bomba telah menerima panggilan jam 1.11 petang oleh penduduk setinggan berkenaan. Lalu sebanyak 14 jentera daripada Balai Bomba Pantai, Hang Tuah dan Bomba Sekarela bergegas membantu memadamkan kebakaran.

YDP PMIUM menyampaikan sumbangan

Mengetahui kejadian malang ini, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), merasa terpanggil untuk berkongsi rasa dan menghulurkan sumbangan sebagai tanggungjawab mahasiswa kepada masyarakat. Rombongan PMIUM yang diketuai Yang Di Pertuanya, Saudara Muhammad Haafizuddin Bin Abi Rerah tiba pada hari Ahad di Kompleks Stadium Hoki Kuala Lumpur, lokasi dimana mangsa-mangsa kebakaran ditempatkan.

’Hulurkan Tangan, Ringankan Beban’, ungkapan penuh makna ini disambut PMIUM sejajar gagasan ’Sejahtera Bersama PMIUM’ kali ini. Bantuan berupa beras dan gula diagih-agihkan kepada mangsa kebakaran. Ia dilihat sedikit sebanyak sebagai pengubat duka kepada ibu-ibu dan anak-anak yang masih bersedih menghadapi musibah.

Seorang mak cik menceritakan detik-detik cemas sewaktu berlaku kebakaran kepada wakil PMIUM, Hafiz dan Aizat

Seorang penduduk, Pak Abu menerangkan bahawa punca kebakaran adalah bermula daripada rumah yang kosong, lalu merebak kepada rumah-rumah yang lain. Hampir seluruh penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka.

Wakil PMIUM melawat lokasi kebakaran. Dari kiri: Hafiz, Fadzil, Aizat, Rabiatul, Norzillah, Maslida dan Fazillah

YDP PMIUM, saudara Hafizuddin berkata, pemberian sumbangan daripada mahasiswa kepada masyarakat adalah suatu amanah dan tanggungjawab selaku rakyat Malaysia. ”Ini membuktikan bahawa mahasiswa sentiasa bersama masyarakat dalam menghadapi apa jua keadaan dan situasi selain menjadi juru bicara masyarakat.”

Turut bersama-sama PMIUM memberikan bantuan adalah wakil mahasiswa daripada Ma’ruf Club, UIAM yang juga mewakili Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS).

'Sejahtera bersama PMIUM'