Sunday, July 20, 2008

Beberapa ‘Kata Dua’ Terhadap Sistem Pendidikan di Malaysia


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh*

Sistem pendidikan tercerna melalui pengalaman, pemerhatian dan pengamatan yang mendalam terhadap produk pelajar yang dihasilkan. Kita sangat beruntung kerana, negara Malaysia mengfokuskan pendidikan sebagai satu-satunya keperluan utama untuk ‘berdiri’ di dalam masyarakat. Dalam misi kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9), iaitu ‘Meningkatkan Keupayaan Pengetahuan dan Inovasi Negara serta Memupuk Minda Kelas Pertama’, dalam fasa 2008 hingga 2010, kita melihat usaha komited kerajaan Malaysia membangunkan pendidikan kepada masyarakat wajar dihargai.

Misalnya, kerajaan mensasarkan misi ‘Mewujudkan Institusi Pendidikan Tertiari Bertaraf Antarabangsa’ dengan matlamat untuk mencapai 60% daripada jumlah staf akademik di universiti awam berkelayakan ijazah doktor falsafah (Ph.D) menjelang tahun 2010. Maka hasilnya, melalui laporan Kajian Separuh Penggal RMK-9, staf akademik yang mempunyai kelayakan Ph.D, meningkat daripada 26.6% pada tahun 2005 kepada 31.6% pada tahun 2007 dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebanyak 64%, Universiti Malaya (UM) 51%, dan Universiti Sains Malaysia (USM) pula meningkat 50% pada tahun 2007.

Desakan Terhadap Pendidikan
Keperluan pendidikan ini adalah hasil desakan daripada keperluan guna tenaga negara. Dalam kajian semula, semua sektor ekonomi telah mewujudkan tambahan guna tenaga dengan sektor perkhidmatan mencatat kadar pertumbuhan purata guna tenaga tertinggi, iaitu 30.0% setahun. Jumlah guna tenaga dalam sektor perkhidmatan meningkat daripada 5.56 juta pada tahun 2005 kepada 5.89 juta pada tahun 2007 lantas mewujudkan 505,100 peluang pekerjaan. Daripada jumlah ini, 46.7% adalah berpengetahuan yang terdiri daripada pengurus, profesional dan juruteknik.

Banyak lagi sebenarnya rancangan pendidikan jika diperhalusi. Antaranya Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang mana hampir RM 2.6 billion diperuntukkan melalui program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar baru-baru ini.

Review Semula Sistem Pendidikan
Namun, apa yang pasti dan realiti, pembangunan ‘Modal Insan’ yang digagaskan Perdana Menteri masih belum mencapai matlamatnya. Penumpuan tenaga sektor ekonomi semata-mata, bakal melahirkan sistem pendidikan statik dan membantutkan perkembangan budaya berfikir masyarakat. Saya mencadangkan agar kerajaan perlu membuat review semula sistem pendidikan negara, setelah menempuhi 51 tahun kemerdekaan, agar menyamai sistem pendidikan dan pendekatan di negara-negara maju. Kerana di sana telah memberi banyak ruang untuk berlakunya fleksibiliti bagi membangunkan potensi modal insan sejak usia awal.

Negara maju tidak sekadar berjaya melahirkan cerdik pandai dan cendekiawan agung, bahkan di negara-negara maju jugalah lahirnya majoriti jaguh-jaguh agung di bidang sukan, seni, sastera, lakonan, teater, pereka fesyen, dan bermacam-macam bidang lagi. Ini kerana, masyarakat di negara maju mentafsir dan memahami secara lebih mendalam falsafah yang tersirat di sebalik khazanah alam yang tersurat. Lalu menerima realiti kepelbagaian insan, memberikan segala dorongan, dan membina prasarana untuk tunas-tunas muda berbakat itu dapat berkembang.

Situasi Kini
Situasi yang berlaku kini adalah sebaliknya. Banyak perkembangan baik dan meyakini disekat dan dihalang dengan alasan akan menggugat beberapa pihak yang berkepentingan. Fenomena melawan arus, tidak bersyukur dengan pemberian dan pembangkang dimomok-momokkan. Saya juga melihat, ini sebagai salah satu usaha membantutkan sistem pendidikan negara yang maju, kerana tidak memberi ruang setiap individu bangkit dengan bidangnya. Sebagai contoh mudahnya peraturan sesetengah AUKU yang menyekat mahasiswa bersuara dan berorganisasi.

Menyentuh titah Raja Dr. Nazrin, “Setiap anak didik perlu diiktiraf kebolehan dan keupayaan mereka kerana setiap mereka ada peranannya dalam masyarakat dan dalam negara”. Maka apa lagi yang boleh dipersoalkan?

Mungkin selepas ini kerajaan perlu membuat satu kuota pengambilan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), satu jawatan dengan gaji standard pegawai kanan, iaitu jawatan ‘Mahasiswa’!.
*Penulis adalah mahasiswa tahun ke-2 Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Penulis juga adalah ahli Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Beliau boleh dihubungi melalui aisal_daruliman@yahoo.com dan http://generasiwahyu.blogspot.com/

No comments: