Monday, July 28, 2008

Pindaan AUKU : Peluang Mahasiswa atau Udang Sebalik Batu?

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Saleh

Mahasiswa seluruh negara menyambut baik pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) oleh kabinet beberapa hari yang lepas. Melalui Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, semalam mengisytiharkan bahawa pindaan tersebut telah dilaksanakan.

Pindaan tersebut antara lainnya akan membenarkan ahli-ahli politik untuk masuk ke universiti tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, dengan tujuan untuk memberikan ceramah, aktiviti atau pengisian yang berbentuk ilmiah dan bertepatan dengan bidang akademik mahasiswa. Situasi ini jika diamati seakan mengembalikan integriti universiti sebagai medan percambahan idea-idea dan mengetahui maklumat-maklumat berharga dari ahli akademik dan pemimpin-pemimpin negara.


Cuba bayangkan seandainya satu forum atau debat berlangsung yang membariskan ahli panel seperti Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Bin Hj Ahmad Badawi mewakili kerajaan Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Dato’ Seri Abdul Hadi Bin Hj Awang, selaku Presiden PAS dan beberapa wakil dari NGO lain. Mereka ini berbahas dan membincangkan isu-isu nasional seperti ekonomi, sosial dan martabat bangsa. Seandainya ia berlaku, maka tidak hairan slogan ‘Mahasiswa Menggugat’ yang pernah dikumandangkan suatu ketika dahulu bakal kembali menerjah arena politik mahasiswa.

Kerajaan kini, kelihatan sudah menampakkan sikap keterbukaannya terhadap mahasiswa. AUKU jika disorot kembali, ia adalah akta yang digubal disebabkan kesan tragedi 13 Mei 1969. Melihat kepada ketidak seimbangan kaum serta ‘kuasa’ mahasiswa yang begitu hebat menggagaskan idea anti-Tunku (ketika itu) yang mana mahasiswa terlibat secara langsung dan aktif berkempen dalam pilihan raya umum.

Tetapi, perlu diingat wahai sekelian mahasiswa, terdapat satu fasa di dalam AUKU yang mana lebih kurang bunyinya: ‘Setiap aktiviti itu hendaklah melalui budi bicara Naib Canselor universiti terlebih dahulu’ Maknanya bukan mudah-mudah nak membawa masuk ahli-ahli politik ke dalam universiti.

Selepas ini, mahasiswa perlu lebih agresif mengambil peluang ini. Gunakan kesempatan ini sebaik mungkin dengan terlibat secara aktif. Pedulikan akta-akta lain yang mengganggu, gunakan akta baru yang digubal ini walaupun ia nampak seakan ‘melembabkan’ mahasiswa.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad pernah berkata:

“Mahasiswa perlu lebih agresif di dalam akta, kerana kejayaan mahasiswa terdahulu adalah kerana berani mereka menempuh akta..”

No comments: