Monday, July 14, 2008

Mahasiswa Berkongsi Duka Bersama Masyarakat

Suasana kebakaran di Jalan Pantai Baru
oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Bertarikh 12 Julai 2008 iaitu bersamaan hari Sabtu, satu kejadian yang tidak diingini berlaku kepada penduduk kampung setinggan Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Kebakaran besar telah berlaku yang meranapkan hampir 28 buah rumah setinggan yang didiami 13 keluarga. Dimaklumkan bahawa, pihak bomba telah menerima panggilan jam 1.11 petang oleh penduduk setinggan berkenaan. Lalu sebanyak 14 jentera daripada Balai Bomba Pantai, Hang Tuah dan Bomba Sekarela bergegas membantu memadamkan kebakaran.

YDP PMIUM menyampaikan sumbangan

Mengetahui kejadian malang ini, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), merasa terpanggil untuk berkongsi rasa dan menghulurkan sumbangan sebagai tanggungjawab mahasiswa kepada masyarakat. Rombongan PMIUM yang diketuai Yang Di Pertuanya, Saudara Muhammad Haafizuddin Bin Abi Rerah tiba pada hari Ahad di Kompleks Stadium Hoki Kuala Lumpur, lokasi dimana mangsa-mangsa kebakaran ditempatkan.

’Hulurkan Tangan, Ringankan Beban’, ungkapan penuh makna ini disambut PMIUM sejajar gagasan ’Sejahtera Bersama PMIUM’ kali ini. Bantuan berupa beras dan gula diagih-agihkan kepada mangsa kebakaran. Ia dilihat sedikit sebanyak sebagai pengubat duka kepada ibu-ibu dan anak-anak yang masih bersedih menghadapi musibah.

Seorang mak cik menceritakan detik-detik cemas sewaktu berlaku kebakaran kepada wakil PMIUM, Hafiz dan Aizat

Seorang penduduk, Pak Abu menerangkan bahawa punca kebakaran adalah bermula daripada rumah yang kosong, lalu merebak kepada rumah-rumah yang lain. Hampir seluruh penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka.

Wakil PMIUM melawat lokasi kebakaran. Dari kiri: Hafiz, Fadzil, Aizat, Rabiatul, Norzillah, Maslida dan Fazillah

YDP PMIUM, saudara Hafizuddin berkata, pemberian sumbangan daripada mahasiswa kepada masyarakat adalah suatu amanah dan tanggungjawab selaku rakyat Malaysia. ”Ini membuktikan bahawa mahasiswa sentiasa bersama masyarakat dalam menghadapi apa jua keadaan dan situasi selain menjadi juru bicara masyarakat.”

Turut bersama-sama PMIUM memberikan bantuan adalah wakil mahasiswa daripada Ma’ruf Club, UIAM yang juga mewakili Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS).

'Sejahtera bersama PMIUM'

No comments: