Saturday, June 28, 2008

Khalifah Umar di Indonesia..

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Sehari dua ini, saya ada sedikit minat untuk mendekati negara Indonesia. Negara kepulauan yang kaya dengan tanah subur dan pernah dijajah oleh Belanda suatu ketika dulu. Bukan kerana mat-mat Indon pendatang tanpa izinnya atau bukan jua disebabkan oleh drama bersiri ’Soleha’ yang ditayangkan tiap-tiap 5.30 petang di TV9. Tetapi pada orang nombor satunya.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Melalui Lembaga Survei Indonesia yang diketuai oleh Denny Indrayana, pensyarah Undang-undang Universiti Gajah Mada, majoriti popular rakyat memilih Susilo sebagai pemimpin pilihan mereka. Ini kerana, sifat segar dan bersih memberi ruang dan harapan baru pada rakyat itu.

Yang membuatkan saya lebih kagum, kepimpinan Susilo bakal menyerupai kepimpinan khalifah Umar al-Khattab r.a, yang merupakan khalifah Islam kedua selepas Abu Bakar as-Siddiq.


Katanya:
”Saya ingin mengikuti lori dari Jakarta ke Surabaya. Saya ingin menyamar dengan memasang misai dan memakai cermin mata.. saya ingin tahu di mana lokasi pungli (rasuah dengan melakukan pungutan duit sesuka hati) itu..”

Ini bermakna, selepas ini, sang presiden bakal menjadi rakyat biasa untuk melihat sendiri suasana susah-payah rakyatnya. Berpakaian seperti seorang peniaga, atau tukang sapu sampah barangkali. Indonesia juga dikaitkan dengan amalan rasuah yang berleluasa dikalangan rakyatnya. Oleh sebab itu, ia mendesak presidennya sendiri turun kepada rakyat.

Teringat saya kisah khalifah Umar r.a yang terkenal dengan keadilannya. Cerita yang masyhur dimana beliau berjalan di tengah-tengah malam melihat sendiri masalah rakyatnya sehingga terjumpa seorang ibu yang menjerang air bersama seketul batu. Di sisinya anak-anaknya yang menangis kelaparan.

Mungkin dengan sifat seperti ini, 26 Jun 2008 lepas, Parlimen negara Indonesia sebulat suara membuat keputusan untuk mengkaji semula peningkatan 30 peratus harga minyak negara mereka. Ini melihat kepada kenaikan inflasi yang mendadak dan keluhan rakyatnya ditambah lagi seramai 21 orang setakat ini yang cedera dalam beberapa siri bantahan.

Saya terfikir juga, bila lagi negara saya mahu melahirkan seorang Umar pula. Tidak Umar pun, cukuplah sifatnya diikuti. Miskin bersama rakyat yang miskin. Lapar dengan rakyatnya yang lapar.

No comments: