Thursday, June 5, 2008

Minyak Oh Minyak..

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Saleh

Tepat jam 12 malam tadi, maka secara rasminya harga komersial minyak petrol Negara Malaysia berubah daripada RM 1.92 seliter kepada RM 2.70 seliter. Ia naik mendadak sebanyak 78 sen seliter berbanding kenaikan sebelum ini yang hanya RM 0.30 seliter sahaja. Tidak sampai beberapa tahun, kenaikannya sudah hampir RM 1.00 lebih.

Ketika sempat minum dan makan roti canai bersama ayahanda di Restoran Thaqwa Sri Gombak, kebetulan restoran tersebut hampir sungguh dengan tiga buah stesen minyak, SHELL, MOBIL dan PETRONAS. Masya Allah! Semua stesen penuh hinggakan jalan utama sesak dengan kenderaan semata-mata mahu ambil peluang harga murah sementelah naik keesokan harinya.

Perdana Menteri, selaku pemimpin negara Malaysia mengumumkan pada jam 4 petang tadi dengan sedikit ’penawar’ bahawa bagi mengurangkan bebanan itu, kerajaan akan membayar tunai kepada rakyatnya yang memiliki kenderaan persendirian. Bagi kereta RM 625 setahun, manakala motorsikal sebanyak RM 150 setahun.

Tidak tahulah apa sebenarnya strategi kerajaan Malaysia. Dengan kegawatan isu-isu yang melanda, tup-tup timbul isu baru yang sangat sensitif di hati rakyat ini. Perlu diingat, kenaikan minyak bukan sekadar terjadi pada ’zat’ minyak itu sahaja, bahkan tempiasnya pasti melanda pada harga-harga makanan seperti kuih-muih, bahan mentah contohnya ayam dan ikan serta kos perkhidmatan yang lain.

Bagi rakyat, sudah tentu perasaan tidak puas hati timbul di hati. Manakala bagi pemimpin negara, mereka ini perlu menyelesaikan permasalahan ketidak seimbangan ekonomi dan sebagainya. Masing-masing ada masalah sendiri.

Rakyat Kita

Kita selalu menonton rancangan kisah benar ’Bersamamu’ terbitan stesen televisyen TV3. kisah ini banyak memaparkan kehidupan realiti rakyat yang sangat susah dan tidak bernasib baik. Ada yang makan nasi bersama kicap, ada yang makan gam sehinggalah kepada siput babi. Semua ini ada dan berlaku dalam masyarakat kita.

Terkadang saya juga terdetik, apakah negara kita ini tersenarai dalam kategori barisan negara-negara miskin seperti Papua New Guinea atau negara Afrika Selatan hinggakan begitu sekali kemiskinannya. Tapi kadang-kadang suatu ketika, saya nampak negara ini sangat ’gah’ dengan kemajuan, kemodenan, kepesatan ekonomi sehingga berjaya menaja program-program bertaraf antarabangsa seperti Monsoon Cup dan sebagainya.

Nota Untuk Pemimpin

Teringat saya kepada ungkapan seorang khalifah Islam Saidina Umar r.a. pernah menyatakan: ”Aku tidak dapat tidur di malam hari kerana takut urusanku dengan Allah tidak selesai. Dan aku tidak dapat tidur di siang hari kerana takut urusanku dengan rakyat tidak selesai” Pernah juga suatu hari beliau menangis tersesak-esak. Apabila ditanya mengapa, beliau menjawab bahawa terdapat seekor kambing milik rakyatnya telah mati. Beliau takut dan bimbang kalau-kalau Allah s.w.t menghukumnya kerana kecuaian pemerintahannya.

Itu sifat pemimpin sejati. Pemimpin sesekali tidak mahu melihat rakyat di bawah jagaannya susah sedikit pun. Kalaupun susah, biarlah pemimpin itu menanggungnya. Dan ia akan berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah rakyatnya, bukan menambahkan lagi beban rakyatnya. Itu baharu pemimpin sejati yang bakal mendapat naungan Allah s.w.t kelak.

Sejarah telah terbukti. Contoh sudah ada. Berapa banyak pemimpin yang boleh tidur di kaki lima masjid tanpa pengawal sebagaimana zuhudnya Saidina Umar. Betapa mana pemimpin yang begitu sanggup memadamkan lilin hanya kerana membincangkan urusan keluarga, jika tidak imannya sehebat Saidina Uthman. Pemimpin abdi kepada rakyat. Ia datang dari orang-orang miskin, kembali kepada mereka semula.

Selepas ini..

Kenaikan harga minyak, kita perlu memandang dalam aspek yang berbeza. Berhentikan sejenak pemikiran ke’politik’an kita. Buang sekejap ulasan-ulasan yang agak mengkritik. Cuba bermuhasabah dan menilai apa sebenarnya suatu pengajaran yang Allah sembunyikan. Bagi yang befikir pasti ada. Bagi yang merenung pasti nampak. Dan yang mencari pasti terjumpa.

Semuanya kembali kepada ’kembara’ kita..

No comments: