Tuesday, March 23, 2010

Kenapa takut dengan mahasiswa?

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Kongres Mahasiswa Nasional 2010 (KMN 10) akhirnya berjaya berlangsung pada Sabtu lepas walau berhadapan dengan tekanan dan sekatan pihak pemerintah.

Beberapa perkara dirumus dan diresolusikan, bagi menyusun semula agenda serta pergerakan mahasiswa dalam mendepani cabaran dan massa.

Pihak yang bencikan mahasiswa menjadi cerdik dan bijak, selalu sahaja menyekat dan menghalang pergerakan mahasiswa untuk menyedarkan masyarakat.

Cubaan menyekat

Rasionalnya, penganjuran Kongres Mahasiswa Nasional hanya bertujuan menyusun dan memberi nafas baru kepada gerakan dan mahasiswa untuk menjadi golongan suara ketiga bagi masyarakat.

Paling menyedihkan, saya mendapat tahu di universiti-universiti Lembah Kelang sudah pun mengeluarkan notis amaran kepada mahasiswa agar tidak menghadiri kongres tersebut. Alasannya berkait dengan politik.

Di Universiti Malaya, notis bertulis sendiri daripada Naib Canselor memberi amaran kepada mahasiswa yang terlibat akan dikenakan AUKU dan tatatertib.

Di UPSI juga, pengumuman-pengumuman rasmi dibuat di kolej-kolej kediaman lebih awal.

Tidak cukup dengan itu, pihak pengurus Dewan Centrum Setiawangsa, diarahkan oleh IPD Dang Wangi supaya membatalkan kebenaran menggunakan dewan walaupun sudah dipersetujui lebih awal oleh pengurus dewan membenarkan SMM menggunakannya untuk berkongres.

Bukan itu sahaja, saya menerima SMS bertalu-talu dari nombor tak dikenali, berbunyi amaran tidak menghadiri kongres. Jika tidak, tindakan tatatertib menanti saya dihadapan.

Kenapa takut mahasiswa?

Saya jadi kelakar dengan semua-semua yang terjadi sebelum kongres mahasiswa tempoh hari.

Kelakar kerana, kenapa takut benar pihak pemerintah kepada mahasiswa sehingga menggunakan seberapa banyak mungkin cara untuk menyekat mahasiswa. Polis, pentadbir universiti, AUKU, tatatertib dan sebagainya.

Paling bodoh, berselindung dengan penakut dibelakang akta.

Buat program sedikit, AUKU. Jemput ahli politik, AUKU. Berkongres, disekat. Berdemonstrasi, ditangkap.

Kita nak sebut kepada semua yang suka menyekat mahasiswa.

Apa faedah yang dapat dari menyekat kita? Duit? Kepuasan?

Mahasiswa terlibat politik, bukan kuasa yang dikehendakinya. Mahasiswa berdemonstrasi, bukan mahu merampas jawatan Naib Canselor. Mahasiswa bersuara, bukan mahu menjadi menteri.

Jadi, nak takut apa?

Sehingga hari ini, kita tidak pernah membuat gerakan gerila seperti Al-Maunah yang merampas senjata pada tentera dan menjatuhkan kerajaan.

Kita belum pernah menjadi menteri pengajian tinggi hasil daripada kita berdemonstrasi menuntut diberikan autonomi universiti.

Belum pernah lagi.

Adakah kerajaan mahu, mahasiswa bertindak lebih daripada itu? Adakah pihak pemerintah bersedia untuk melihat mahasiswa mengangkat senjata dan menjatuhkan kerajaan dengan cara 'berdarah' seumpama di negara Thailand?

Apa yang penting, mahasiswa boleh lakukan apa sahaja.

Thursday, March 11, 2010

Saturday, March 6, 2010

Universiti dan kebanggan antarabangsanya

oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Hari ini, kerajaan dan universiti menyebut-nyebut ingin meningkatkan taraf pendidikan pengajian tinggi ke taraf dunia.

Kerajaan dan pentadbiran universiti hari demi hari bertungkus-lumus untuk menaikkan rangking universiti. Kalau boleh ingin menjadi di antara sepuluh terbaik dunia.

Lalu, pelbagai usaha dilakukan. Antaranya meningkatkan sektor kajian (research) dan inovasi (innovation). Mana-mana pensyarah yang berjaya mengantarabangsakan kajian mereka, maka mereka menjadi orang yang diberi perhatian oleh Naib Canselor universiti.

Universiti di Malaysia ingin menjadi universiti yang setanding dengan universiti-universiti antarabangsa. Misalnya Oxford, Havard dan sebagainya. Dalam tiap-tiap ucapan, maka universiti-universiti ini yang dijadikan contoh.

Standard dunia

Mereka terpaksa mengikuti standard daripada Time world university survey dalam kriteria kenaikan rangking universiti, meletakkan sebanyak 40 peratus kepada academic survey.

Saya mengambil contoh di Universiti Malaya, hari ini para pensyarah dan kakitangan teruk bekerja bagi mencapai taraf universiti berstatus antarabangsa. Dan nilaiannya adalah pada aspek kajian dan pengantarabangsaan.

Antaranya, mula mengambil pelajar-pelajar antarabangsa dalam jumlah yang semakin meningkat. Bukan itu sahaja, malah para pensyarah juga dijemput daripada negara luar untuk mengisi tenaga pengajar di UM.

Setiap kajian mesti dibentangkan di peringkat antarabangsa. Dan paling penting ia disiarkan di dalam jurnal antarabangsa bagi menandakan kajian tersebut diiktiraf dunia.

Secara atas kertas, saya cukup memuji akan usaha-usaha ini.

Namun, saya ada sedikit kesal. Dalam terkejar-kejar untuk menandingi universiti antarabangsa, kita terlupa aspek paling besar, iaitu pembangunan modal insan mahasiswa.

Mana dia penumpuan aktiviti-aktiviti pembangunan sakhsiah mahasiswa diberi apabila elemen-elemen teknikal memajukan universiti sahaja yang diutamakan.

Motto universiti

Secara peribadi, penukaran motto Universiti Malaya daripada Producing Leader kepada Producing Research and innovation Leader apabila mula-mula Naib Canselor menggagaskan universiti kajian di UM, sangat membimbangkan saya.

Saya bimbang, semua mahasiswa dan kakitangan berlumba-lumba menjadi pengkaji yang cemerlang, bukan menjadi pemimpin yang cemerlang.

Pengkaji yang cemerlang, tidak akan menghiraukan apa yang berlaku di universiti. Apa yang penting, kajiannya berhasil dan dibentangkan dengan jayanya.

Saya membawa satu contoh, di salah satu fakulti, seorang pensyarah sanggup untuk tidak memberikan kuliah, atas alasan untuk menyiapkan beberapa kajiannya untuk dibentangkan bagi memenuhi syarat pengantarabangsaan.

Antarabangsanya universiti

Dari satu sudut, saya terfikir. Di UM, universiti banyak mengambil pelajar antarabangsa, antaranya yang boleh saya sebutkan paling ramai daripada Iran, Afrika, Nigeria dan Indonesia. Kita berbangga, apabila berjalan di sekitar UM, kelihatan ramai pelajar antarabangsa.

Kemudian kita rasa, ‘universiti ini sudah bertaraf antarabangsa’.

Namun, apalah yang saya boleh banggakan. Pelajar-pelajar yang diambil bukanlah dari negara-negara yang membangun dan maju. Kalaulah ada daripada Australia, Amerika Syarikat, Jepun atau Kanada, sekurang-kurangnya saya boleh angkat bahu apabila bercerita dengan kawan-kawan bahawa antarabangsanya universiti saya.

Jika diteliti, ke mana pelajar-pelajar itu? Mereka ke universiti terkemuka. Ke Havard University, atau ke Oxford University. Ataupun paling dekat ke Nanyang Technology University di Singapura yang berada di rangking ke 73 dunia.

Habis, di mana yang boleh kita banggakan? Pada kualiti? Atau pada kuantiti pelajar dan universiti antarabangsa itu?

Masih jauh untuk diperkatakan. Apa yang paling penting di sini, universiti perlu sedar akan keseimbangan kualiti graduan. Baik aspek akademik mahupun sahsiah.

Dunia hari ini tidak memandang banyaknya A pada mahasiswa, tetapi melihat A pada kepimpinan, soft skill, dan kebolehan serta pengalaman mereka berperanan di dalam masyarakat.

Maka, inilah aspek penumpuan yang perlu diberikan perhatian.

Wednesday, March 3, 2010

Jangan susahkan faham aqidah

catatan : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Saya terpanggil untuk menulis berkenaan aqidah. Umum kita ketahui, aqidah merupakan perkara paling asas dalam kehidupan seorang muslim. Kerana ia berkait soal keimanan atau kepercayaan.

Saya akan tulis ini mengikut standard kefahaman seorang individu biasa. Bukan dari golongan intelek, mahupun agamawan. Maka tulisan saya adalah sederhana sahaja.

Dan dua aliran yang paling popular untuk mendalaminya pada hari ini adalah kaedah tauhid tiga (rububiyyah, uluhiyyah dan asma’ wasifat), dan yang keduanya adalah tauhid sifat 20 (20 sifat-sifat Allah).

Kita dapat mendalami aqidah kaedah tauhid tiga biasanya dalam pengajian buku-buku yang lebih moden. Misalnya dalam teks pengajian Islam di sekolah rendah atau menengah. Biasanya dalam bab keimanan atau tauhid.

Manakala kaedah tauhid sifat 20, yang mempeloporinya adalah dari institusi pondok. Dan kitab yang paling popular digunakan adalah kitab matan ‘ummu barahim’.

Tauhid tiga

Tauhid rububiyyah adalah mengenai ketuhanan, iaitu sifat fitrah manusia yang pasti akan bergantung kepada kuasa yang maha besar.

Uluhiyyah pula menyatakan bahawa hanya Allah s.w.t yang layak disembah setelah menghayati sifat-sifatnya. Manakala asma’ wa sifat adalah kita mengenali nama-nama Allah serta sifat-Nya.

Tauhid itu mendekatkan kita kepada mengenali Allah dan kekuasaannya.

Tauhid sifat 20

Jika kita dalami kitab matan ummu barahim, perbahasan aqidah ini akan membawa kepada kita mengenali sifat-sifat Allah secara mendalam dan terperinci. Sebagai contoh, sifat Allah wujud ertinya ada, lawannya tiada.

Atau sifat-Nya yang lain misalnya mukhalafatu lil hawadis iaitu sifat Allah adalah berbeza dengan kehidupan lain, maknanya Allah tidak sama seperti makhluk lain.

Tauhid itu juga mendekatkan kita kepada mengenali Allah dan kekuasaannya. Dan yang pasti, kedua-dua tauhid ini membawa kita kepada keimanan kepada Allah.

Percanggahan

Kedua-dua aliran ini dari memang berbeza antara satu sama lain, tetapi dari aspek metodologi pemahaman. Asasnya, kedua-dua untuk memahami aqidah.

Samalah seperti kewujudan mazhab-mazhab di dalam dunia ini. Mereka para ulama’, berbeza pandangan apabila wujudnya dalil-dalil yang berbeza. Ia ditambah lagi dengan kaedah pentafsiran yang pelbagai serta berlainan mengikut tempat dan masa.

Masakan tidak, ia berlaku kepada al-Imam as-Syafie rahimahullah, pengasas mazhab as-Syafie yang mengeluarkan dua fatwa berbeza, satu di Hijjaz (Iraq), manakala satu di Mesir.

Memang akan berlaku percanggahan dari aspek metodologi, namun asasnya adalah untuk memahami Islam yang satu.

Agak pelik sekiranya, ada puak yang saling tidak boleh terima kepelbagaian metodologi untuk memahami aqidah sehinggakan satu kelompok sanggup untuk mengkafirkan satu kelompok yang lain.

Logiknya, jika ada satu pihak yang cuba menyalahkan puak lain yang berbeza dengannya, maka mereka ini semestinya berpendirian bahawa aqidah ‘cara mereka’ adalah yang paling benar, atau dengan kata lain mengikut apa yang diajar nabi s.a.w.

Aqidah cara nabi s.a.w.

Kalau dibuka kitab-kitab sirah nabi s.a.w, memang tidak ada metod khusus yang diajar nabi s.a.w ilmu aqidah kepada para sahabatnya.

Ada para sahabat yang memperolehi aqidah daripada mengikuti kuliah-kuliah nabi, mendengar ayat-ayat al-Quran yang dibacakan baginda, lalu mereka tersentuh dan memeluk Islam.

Namun, ada juga seorang sahabat nabi bertanyakan tentang apa yang diperolehinya apabila ia masuk ke dalam Islam. Lalu nabi s.a.w menjawab dia akan mendapat syurga Allah dengan syarat ia turun berjihad bersama-sama baginda.

Lalu sahabat tersebut syahid di medan perang, sedangkan sehari sebelum dia berperang baru memeluk Islam. Rasulullah mengiktiraf kesyahidan beliau.

Kedua-dua mendapat ‘aqidah’ seperti yang dikehendaki nabi s.a.w, tetapi melalui metod yang berlainan.

Permudahkan ia

Kita jangan khilaf (terkeliru) tentang aqidah dan ilmu aqidah. Ilmu aqidah kita akan dapatinya apabila kita belajar dan belajar. Belajar di pondok mahupun di madrasah atau sekolah. Para pengaji di pondok pasti akan mendapat ilmu aqidah jika mereka menghabiskan pengajian kitab ummu barahim.

Untuk memperolehi aqidah, kita mesti melalui dua proses mendapatkannya. Satu melalui belajar, satu lagi melalui pemerhatian, penghayatan dan perlaksanaan. Ini disebut oleh Sayyid Sabiq.

Dapat ilmu aqidah sahaja tidak cukup, seandai tiada penghayatan dan melaksanakan. Adakah aqidah kita dikira mantap dengan hanya kita belajar, menghafal dan ingat sifat 20 dan tauhid tiga semata-mata?

Apa yang penting, belajarlah metod apa pun, asalkan ia sampai kepada tujuan untuk memahami aqidah itu. Dan seperkara lagi, mudahkanlah ia, kurangkanlah bercanggah dalam aspek furu’ (cabang-cabang), apa salahnya berkongsi kefahaman melalui kaedah yang berbeza.

Ilmu berkat, yang belajarnya juga tidak akan lari.