oleh : Mohd Aizat bin Mohd Salleh
Hari ini, kerajaan dan universiti menyebut-nyebut ingin meningkatkan taraf pendidikan pengajian tinggi ke taraf dunia.
Kerajaan dan pentadbiran universiti hari demi hari bertungkus-lumus untuk menaikkan rangking universiti. Kalau boleh ingin menjadi di antara sepuluh terbaik dunia.
Lalu, pelbagai usaha dilakukan. Antaranya meningkatkan sektor kajian (research) dan inovasi (innovation). Mana-mana pensyarah yang berjaya mengantarabangsakan kajian mereka, maka mereka menjadi orang yang diberi perhatian oleh Naib Canselor universiti.
Universiti di Malaysia ingin menjadi universiti yang setanding dengan universiti-universiti antarabangsa. Misalnya Oxford, Havard dan sebagainya. Dalam tiap-tiap ucapan, maka universiti-universiti ini yang dijadikan contoh.
Standard dunia
Mereka terpaksa mengikuti standard daripada Time world university survey dalam kriteria kenaikan rangking universiti, meletakkan sebanyak 40 peratus kepada academic survey.
Saya mengambil contoh di Universiti Malaya, hari ini para pensyarah dan kakitangan teruk bekerja bagi mencapai taraf universiti berstatus antarabangsa. Dan nilaiannya adalah pada aspek kajian dan pengantarabangsaan.
Antaranya, mula mengambil pelajar-pelajar antarabangsa dalam jumlah yang semakin meningkat. Bukan itu sahaja, malah para pensyarah juga dijemput daripada negara luar untuk mengisi tenaga pengajar di UM.
Setiap kajian mesti dibentangkan di peringkat antarabangsa. Dan paling penting ia disiarkan di dalam jurnal antarabangsa bagi menandakan kajian tersebut diiktiraf dunia.
Secara atas kertas, saya cukup memuji akan usaha-usaha ini.
Namun, saya ada sedikit kesal. Dalam terkejar-kejar untuk menandingi universiti antarabangsa, kita terlupa aspek paling besar, iaitu pembangunan modal insan mahasiswa.
Mana dia penumpuan aktiviti-aktiviti pembangunan sakhsiah mahasiswa diberi apabila elemen-elemen teknikal memajukan universiti sahaja yang diutamakan.
Motto universiti
Secara peribadi, penukaran motto Universiti Malaya daripada Producing Leader kepada Producing Research and innovation Leader apabila mula-mula Naib Canselor menggagaskan universiti kajian di UM, sangat membimbangkan saya.
Saya bimbang, semua mahasiswa dan kakitangan berlumba-lumba menjadi pengkaji yang cemerlang, bukan menjadi pemimpin yang cemerlang.
Pengkaji yang cemerlang, tidak akan menghiraukan apa yang berlaku di universiti. Apa yang penting, kajiannya berhasil dan dibentangkan dengan jayanya.
Saya membawa satu contoh, di salah satu fakulti, seorang pensyarah sanggup untuk tidak memberikan kuliah, atas alasan untuk menyiapkan beberapa kajiannya untuk dibentangkan bagi memenuhi syarat pengantarabangsaan.
Antarabangsanya universiti
Dari satu sudut, saya terfikir. Di UM, universiti banyak mengambil pelajar antarabangsa, antaranya yang boleh saya sebutkan paling ramai daripada Iran, Afrika, Nigeria dan Indonesia. Kita berbangga, apabila berjalan di sekitar UM, kelihatan ramai pelajar antarabangsa.
Kemudian kita rasa, ‘universiti ini sudah bertaraf antarabangsa’.
Namun, apalah yang saya boleh banggakan. Pelajar-pelajar yang diambil bukanlah dari negara-negara yang membangun dan maju. Kalaulah ada daripada Australia, Amerika Syarikat, Jepun atau Kanada, sekurang-kurangnya saya boleh angkat bahu apabila bercerita dengan kawan-kawan bahawa antarabangsanya universiti saya.
Jika diteliti, ke mana pelajar-pelajar itu? Mereka ke universiti terkemuka. Ke Havard University, atau ke Oxford University. Ataupun paling dekat ke Nanyang Technology University di Singapura yang berada di rangking ke 73 dunia.
Habis, di mana yang boleh kita banggakan? Pada kualiti? Atau pada kuantiti pelajar dan universiti antarabangsa itu?
Masih jauh untuk diperkatakan. Apa yang paling penting di sini, universiti perlu sedar akan keseimbangan kualiti graduan. Baik aspek akademik mahupun sahsiah.
Dunia hari ini tidak memandang banyaknya A pada mahasiswa, tetapi melihat A pada kepimpinan, soft skill, dan kebolehan serta pengalaman mereka berperanan di dalam masyarakat.
Maka, inilah aspek penumpuan yang perlu diberikan perhatian.
No comments:
Post a Comment