Monday, March 5, 2012

Saat hadirnya 'utusan' Allah disisi..


oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Ada beberapa perkara, malah mungkin banyak dan kerap kali di dalam hidup kita yang kadang kala kita tidak mampu untuk difikirkan melalui akal biasa. Kerap kali juga berlaku dalam hidup kita insiden dan peristiwa yang diluar jangkaan kita dan diluar kemampuan kita.

Pernahkah kita berjumpa insan-insan yang 'pelik' kehidupannya yang tiba-tiba hadir di dalam hidup kita? Mungkin sebahagiannya pernah, atau mungkin sebahagiannya tidak pernah langsung.. Atau mungkin kita pernah berjumpa, tetapi tidak menghiraukannya lantaran kita merasakan ia tidak penting di dalam hidup kita.

Pengalaman

Saya ingin berkongsi peristiwa-peristiwa ini yang pernah saya lalui. Bukan kerana ingin bercerita sangat, tetapi sekadar berkongsi saja. Jika ada yang tidak suka membacanya, pedulikan sahaja.

Saya kerapkali dihadiri dengan insan-insan yang saya anggap luar biasa di dalam hidup. Tetapi bukan selalu, hanya sekali-sekala. Pernah saya dihadiri dengan seorang yang saya tidak kenali langsung, menegur saya dengan ucapan: "Ya, syeikh. Lama kita tidak berjumpa.. Ana mahu belajar dan menuntut ilmu dengan anta.." Padahal, saya tidak pernah mengenalinya langsung.

Peristiwa ini pernah seingat saya dua atau tiga kali berlaku, namun saya sudah melupainya. Tetapi ketika peristiwa ini yakni teguran ini, ia sangat berkesan dalam diri saya. Sehingga hari ini saya mengingati peristiwa ini.

Ketika mengajar, saya juga telah ditemukan dengan manusia yang bagi saya begitu 'istimewa'. Dia hadir tiba-tiba dalam hidup saya, hadir sebagai anak murid saya. Seorang yang kalau di sisi masyarakat biasa, akan menganggapnya sebagai 'insan terbuang', dan tidak perlu diambil perhatian.

Kisah hidup

Saya rahsiakan namanya. Tetapi suatu hari selepas belajar, dia menceritakan kisah hidupnya. Dahulu, dirinya bukanlah seperti dirinya hari ini. "Ustaz, kalau saya tak ditimpakan kemalangan, saya rasa, saya masih jauh lagi dari Allah.." katanya memulakan cerita. Katanya, kemalangan itu telah mengubah seluruh hidupnya. Dia koma hampir sebulan, tidak sedarkan diri kerana kemalangan ngeri. Motor yang dinaikinya tersepit dibawah lori. Kalau difikirkan akal biasa, nyawa pastinya sudah tiada lagi hari ini.

"Segan nak cerita dengan ustaz. Dahulu saya ni jahat ustaz. Saya kenal ramai perempuan. Pernahlah saya gendong hampir 20 perempuan, bawa ke hulu ke hilir, tengok wayang, makan sama-sama. Benda-benda tak baik semua pernah saya buat. Kalau dah tengok wayang, saya bukan tengok wayang ustaz, 'benda' lain saya buat.."

"Saya pernah terlibat proses dadah ustaz, rumah saya jadi 'port'. Nombor ekor tu biasalah, tapi tak pernah kena langsung.. Saya kerja cari duit semata-mata nak beli nombor.." Sambungnya lagi "Saya ada 'makwe'. Hampir dah nak kahwin. Dia kata akan sehidup-semati dengan saya ustaz.."

"Tapi kemalangan itu yang memisahkan saya dengan dia. Bila dia tahu saya cacat macam sekarang ni, dia terus tinggalkan saya.. Sekarang saya dengar dia dah berkahwin, dah dapat anak seorang.." Sedih wajahnya saya lihat.

"Sekarang saya tidak fikir apa-apa dah ustaz. Saya serahkan hidup saya pada Allah. Hari ni Allah nak 'balas' semula kesilapan-kesilapan saya dahulu, saya redha." katanya. "Sekarang saya cacat, kerja pun orang tak nak ambil, tapi saya tak terkilan, rezeki ini di mana-mana sahaja, saya yakin.."

Keyakinan dan tawakkal

Ceritanya dahulu dengan keadaannya sekarang, saya dapat mengagak bahawa Allah telah mencampakkan hidayah-Nya di sisi insan di hadapan saya ini. Sungguh saya banyak belajar ilmu darinya. Saya juga kerap kali ditegur olehnya bila ungkapan dan perkataan saya 'lari' dari kehendak agama. Saya pernah bertanya kepadanya: "Tak nak kerja ke? Boleh dapat pendapatan sikit-sikit.." Jawabnya: "Ustaz, rezeki tu dari Allah, kena yakin itu.." Saya tersenyum.

Bukan mudah bertemu orang-orang begini. Tidak ramai orang sebegini 'diutuskan' Allah untuk membawa sejuta hikmah kepada manusia yang berfikir dan menghayati erti kehidupan dan keinsanan. Saya menghargai 'utusan' Allah ini.

Betapa kehampaan, kedukaan, keperitan, dan ujian telah membawa manusia yang dahulunya lalai, leka, dan jahat, telah kembali menemui jalan Allah. Malah sikap dan iman mereka ini kadangkala mengalahkan iman ustaz-ustaz yang selalu berceramah..

Saya selalu ingat pesan guru saya. Kalau hadir peristiwa-peristiwa sebegini, atau hadir orang-orang yang 'istimewa' dalam hidup kita, jangan dipersiakan. Ambil manfaat darinya. Kerana itu mungkin 'utusan' dari Allah untuk menyedarkan dan muhasabah kepada diri kita..

Wallahu a'lam.. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui segalanya..

12:58 a.m (Isnin)
Sunway Batu Caves